Ayat 18: Siapakah yang akan mendapat berita gembira itu? Sifat mereka disebut dalam ayat ini:
الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ
Who listen to speech and follow the best of it. Those are the ones Allah has guided, and those are people of understanding.
Malay
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ
Yang mendengar perkataan
Pendapat yang kuat mengatakan ‘perkataan’ yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Jadi berita gembira diberikan kepada mereka yang mampu menumpukan perhatian kepada Al-Qur’an yang dibacakan kepadanya. Kerana kalimah الْقَوْلَ ditafsirkan sebagai Al-Qur’an. Mereka tawajjuh apabila Al-Qur’an dibacakan. Mereka fokus dalam mendengar dan memahami Al-Qur’an.
Dan untuk memahami Al-Qur’an, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dahulu. Ini kerana kalau setakat dengar bacaan sahaja tetapi tidak faham langsung apa yang dibaca, maka ini tidaklah menepati kehendak Allah ﷻ. Kalau baca terjemahan pun, tentu tidak faham.
Marilah belajar tafsir kerana bukan susah pun untuk memahami Al-Qur’an ini. Ini kerana Allah ﷻ hendak kita faham apa yang kita dengar. Maka Allah ﷻ akan permudahkan urusan kita untuk memahami Al-Qur’an ini kalau kita ada usaha untuk memahaminya.
Kalimah الْقَوْلَ juga boleh ditafsirkan untuk perkataan lain juga. Contohnya, ia boleh bermaksud dakwah dari pendakwah-pendakwah. Mereka yang beriman akan mendengar dengan teliti dakwah yang disampaikan dengan fikiran yang waras dan iman yang sedia. Maka amat penting kita mendengar ajaran dari manusia dengan fikiran yang kritis. Tidaklah kita hanya ikut sahaja apa-apa yang disampaikan tanpa usul periksa.
Maka orang yang mendapat berita gembira itu tidak taqlid buta sahaja seperti kebanyakan dari masyarakat Islam kita: apa sahaja kata dari ustaz, mereka terus terima sahaja tanpa usul periksa. Kerana mereka sangka, ustaz itu tentulah betul sedangkan tidaklah semestinya begitu.
فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ
lalu mereka menurut yang terbaik;
Maka selepas dia mendengar الْقَوْلَ itu, dia mengikuti apa yang terbaik dari kata-kata itu.
Tetapi apakah yang terbaik itu? Ini kerana kalimah أحسن digunakan dalam ayat ini. Satu pendapat mengatakan semua di dalam Al-Qur’an itu adalah baik, maka semua ayat Al-Qur’an. Ini kerana ayat-ayat Al-Qur’an disebut sebagai أحسن الحديث di dalam ayat yang lain.
Namun begitu ada juga pendapat yang lain, iaitu dia mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan, dia ikut pula yang ‘terbaik’ daripada ayat-ayat itu. Ada ulama’ mengatakan ia bermaksud ayat-ayat tentang tauhid, kerana itulah yang terbaik sekali yang ada di dalam Al-Qur’an.
Selain tentang tauhid, terdapat lagi ayat-ayat lain tentang perkara-perkara sunat dan tentang amalan-amalan fardhu dan sebagainya. Dan mereka memilih yang ‘terbaik’. Kerana anjuran di dalam Al-Qur’an ada yang berbentuk memberi pilihan kepada umat Islam. Sebagai contoh, lihat Nisa:25
وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُم مِّن فَتَيَاتِكُمُ الْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَانِكُم بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ مُحْصَنَاتٍ غَيْرَ مُسَافِحَاتٍ وَلَا مُتَّخِذَاتِ أَخْدَانٍ فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَاحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنَاتِ مِنَ الْعَذَابِ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنكُمْ وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba – abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah ﷻ memberi pilihan dalam ayat ini di mana disebut di hujungnya وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ (dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu). Maka ada pilihan di situ.
Termasuk juga dalam hal ini adalah tentang halal dan haram – dan banyak lagi perkara lain yang terdapat dalam Al-Qur’an itu – Untuk mengetahuinya, kenalah kita membacanya dan memahaminya dengan belajar tafsir.
Apabila kita sudah memahaminya, bukanlah kita setakat faham sahaja, tetapi hendaklah kita mengamalkannya dalam kehidupan kita. Kita hendaklah mencuba sedaya upaya kita untuk mengamalkan perkara yang kita sudah tahu. Allah ﷻ mengira mengikut usaha kita.
Makna kedua dari ayat ini, kita hendaklah memilih kata-kata yang baik dari segala kata-kata yang kita dengar. Kita akan banyak mendengar dari guru-guru tentang pelajaran agama. Ada yang masuk dalam suratkhabar, ada yang masuk dalam TV, ada yang ustaz mengajar di surau-surau dan masjid kawasan kita.
Berbagai-bagai jenis ustaz dan guru yang ada dan kadang kala apa yang mereka ajar itu berlawanan antara satu sama lain. Ada yang benar dan mungkin ada yang tidak benar. Jadi, mana satu yang hendak kita ikut?
Kita faham bahawa masyarakat kita yang kurang ilmu agama akan mudah keliru. Kerana percanggahan pengajaran yang ada dalam kuliah ustaz-ustaz itu. Kita hendaklah pandai memilih yang ‘terbaik’ dari semua ajaran-ajaran itu. Kalau benar kita terima, kalau tidak benar, maka wajib kita tolak. Untuk kita tahu manakah yang benar dan manakah yang salah, maka kita hendaklah menambah ilmu kita.
Dan ilmu yang terbaik sekali adalah ilmu Al-Qur’an dan Hadis sahih. Secara asasnya, kalau guru yang mengajar itu membaca dalil dari Al-Qur’an dan Hadis sahih, maka itu boleh diterima. Tetapi kalau mereka mengajar dengan mengambil dalil dari bukan Al-Qur’an dan Hadis, maka kita kenalah berhati-hati.
Maka, inilah salah satu maksud ayat ini, iaitu kita hendaklah pandai memilih manakah kebenaran. Yang kita takut adalah: masyarakat awam yang sampai menolak kesemua sekali. Mereka mungkin melihat ada percanggahan antara ‘orang-orang agama’ itu dan mereka membuat konklusi bahawa di kalangan ahli agama pun tidak sekata, maka mereka tolak semua. Ini adalah sesuatu yang amat bahaya sekali. Janganlah kita jadi begitu.
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدٰهُمُ اللَهُ
mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah
Kalau mereka boleh berbuat seperti yang telah disebut di atas, maka ini menunjukkan yang mereka telah mendapat hidayah. Inilah yang kita amat harapkan.
Kita selalu meminta hidayah dalam solat kita apabila kita membaca Al-Qur’an – maka Allah ﷻ menjawab di dalam ayat ini bahawa hidayah itu adalah dalam Al-Qur’an. Maka, kenalah kita belajar Tafsir Al-Qur’an dengan sebaik-baiknya.
وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبٰبِ
dan mereka itulah orang-orang yang berakal waras.
Sekali lagi disebut tentang ulul albab. Mereka adalah orang-orang yang berfikiran waras, pandai, bijaksana. Yang pandai memilih manakah yang benar dan manakah yang salah. Mereka menapis perkataan orang lain dengan Al-Qur’an dan Hadis yang sahih.
Tidaklah mereka mengikut sahaja apa kata orang lain, tidaklah juga mengikut sahaja amalan tok nenek mereka sahaja, tetapi mereka menggunakan akal mereka untuk membezakan manakah yang benar dan mana yang salah.
Mereka ini bukan jenis ikut sahaja tetapi ikut dengan akal. Mereka menggunakan akal mereka untuk membuat keputusan.
Ayat 19: Bandingan kedua dan takhwif ukhrawi.
أَفَمَن حَقَّ عَلَيهِ كَلِمَةُ العَذابِ أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النّارِ
Then, is one who has deserved the decree of punishment [to be guided]? Then, can you save one who is in the Fire?
Malay
Maka adakah orang yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab (disebabkan kekufurannya, sama seperti orang yang dijanjikan bergembira dengan balasan imannya? Sudah tentu tidak) ! Oleh itu adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam neraka?
أَفَمَنْ حَقَّ عَلَيْهِ كَلِمَةُ الْعَذَابِ
Apakah sama satu orang yang telah ditetapkan oleh Allah akan diberi azab,
Ini adalah soalan perbandingan lagi yang ditanya oleh Allah ﷻ. Ini adalah stail surah ini. Ada soalan tetapi tidak diberikan jawapannya kerana Allah ﷻ hendak kita memikirkan jawapannya sendiri.
Ada muqaddar dalam ayat ini: Adakah sama orang itu dengan orang yang dijanjikan kegembiraan dengan balasan amal mereka?
Tentulah tidak sama. Maka ayat ini adalah ayat Tasliah untuk Nabi ﷺ dan penyebar agama. Iaitu ayat untuk memujuk hati Nabi ﷺ dan penyeru tauhid. Nabi Muhammad ﷺ berasa sedih kerana ada yang tidak menerima dakwah baginda. Maka Allah ﷻ memberitahu bahawa ada manusia yang telah ditaqdirkan memang akan memasuki neraka. Tetapi mereka itulah yang rugi.
Dan Nabi ﷺ tidak dapat mengubah mereka walau bagaimana pun baginda dakwah kepada mereka. Nabi ﷺ sedih kerana setelah berbagai cara baginda lakukan untuk dakwah kepada kaumnya, namun masih ramai lagi yang tidak mahu beriman. Allah ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk memberi hidayah kepada mereka.
Hidayah itu hanya datang dari Allah ﷻ. Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah. Kita pun tidak dapat memberi hidayah kepada orang lain – termasuk mereka yang kita sayang. Kita hanya boleh menyampaikan dakwah sahaja. Namun begitu, hendaklah kita ingat, kita tidak tahu siapakah yang akan diberi hidayah oleh Allah ﷻ. Jangan kita lihat seseorang itu teruk sangat, sampai kita buat keputusan orang itu tidak akan mendapat hidayah.
Oleh kerana kita tidak tahu sama ada dia akan mendapat hidayah ataupun tidak, kenalah kita terus memberi dakwah kepadanya. Kemungkinan awalnya, orang yang didakwah itu tidak mahu mendengar dan menerima dakwah kita, tetapi mana tahu, lama kelamaan Allah ﷻ akan buka hatinya. Hendaklah kita ingat kisah Abu Sufyan. Lihatlah bagaimana bertahun-tahun dia menentang Nabi ﷺ, tetapi akhirnya dia telah masuk Islam.
أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النَّارِ
apakah kamu boleh menyelamatkan orang yang ditakdirkan masuk api neraka?
Bolehkah kita menyelamatkan orang itu yang telah ditaqdirkan akan masuk neraka? Tentu tidak boleh, walau Nabi ﷺ sekalipun tidak ada qudrat untuk mengubahnya. Apatah lagi kita, lagilah langsung tidak ada kekuatan dan usaha.
Kita bukannya menjaga syurga dan neraka. Bukan kita yang membuat keputusan sama ada orang itu masuk syurga ataupun neraka. Kita cuma boleh menasihati sahaja kepadanya semasa kita hidup di dunia.
Kita tidak berupaya untuk beri hidayah. Nabi ﷺ sendiri pun tidak boleh memberi hidayah. Yang hanya boleh Nabi ﷺ dan kita buat adalah menyampaikan ajaran agama sebenar-benarnya dan sejelas-jelasnya.
Tetapi ayat ini bukanlah untuk menghalang kita dari berdakwah kepada seseorang. Jangan pula kita membuat keputusan yang orang itu sudah ditaqdirkan masuk neraka jadi buang masa sahaja kalau kita dakwah kepadanya.
Kita kena faham yang kita tetap kena dakwah kepada semua orang. Jangan pilih-pilih. Kerana kita tidak tahu siapa yang Allah ﷻ telah tetapkan masuk neraka. Ini adalah perkara ghaib yang Allah ﷻ sahaja yang tahu.
Dan kalaupun orang itu sudah ditaqdirkan masuk neraka dan tidak akan beriman walau kita dakwah bagaimana cara sekalipun, kita tetap mendapat pahala apabila kita berdakwah kepadanya. Sama ada dia terima ataupun tidak, kita tetap dapat pahala apabila kita berdakwah kepada mereka. Maka kita tidak akan rugi langsung dalam berdakwah.
Dan bukan sahaja kita akan mendapat pahala, ia akan memberi kekuatan tambahan kepada kita. Kerana setiap kali kita berdakwah, kita akan diberikan dengan pemahaman tambahan, kekuatan tambahan. Memang tidak rugi kalau berdakwah kalau begitu.
Ayat 20: Ayat Tabshir
لٰكِنِ الَّذينَ اتَّقَوا رَبَّهُم لَهُم غُرَفٌ مِّن فَوقِها غُرَفٌ مَّبنِيَّةٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ وَعدَ اللهِ ۖ لا يُخلِفُ اللَهُ الميعادَ
But those who have feared their Lord – for them are chambers, above them chambers built high, beneath which rivers flow. [This is] the promise of Allah . Allah does not fail in [His] promise.
Malay
Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.
لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ
Akan tetapi, bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka,
Taqwa adalah menjaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Untuk mengetahui hukum, kenalah belajar dahulu. Kena tahu apa yang Allah ﷻ kehendaki dari kita.
Maka kena belajar tafsir Al-Qur’an dan kemudian belajar sunnah. Barulah kita ada kayu ukur untuk bandingkan mana benar dan mana yang tidak. Ramai yang kata mereka bertaqwa, tetapi adakah mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan? Jadi jangan jahil dalam beragama. Kena tahu dulu apakah agama itu sebenarnya.
لَهُمْ غُرَفٌ مِّنْ فَوْقِهَا
bagi mereka tingkatan-tingkatan di atasnya
Allah ﷻ menjanjikan mahligai untuk mereka yang bertaqwa. Mereka akan diberikan mahligai istana yang hebat dan tinggi bertingkat-tingkat. (Dalam riwayat ada disebut ia setinggi 70 batu tingginya dan bertingkat-tingkat bilik-bilik itu).
Semua bilik itu untuk ahli syurga. Perkara ini kita boleh bayangkan sekarang kerana sudah banyak bangunan yang bertingkat-tingkat tinggi, bukan? Bagi orang Mekah waktu itu, mungkin susah untuk membayangkannya, jadi ini adalah kelebihan pada kita.
غُرَفٌ مَّبْنِيَّةٌ
tingkat-tingkat yang dibina kukuh
Tentulah kualiti mahligai pemberian Allah ﷻ itu begitu hebat sekali, tidak dapat dibayangkan. Tidaklah seperti istana di dunia ini. Betapa hebat pun, tentu ada kelemahan dan kekurangan. Allah ﷻ sebut kukuh dalam ayat ini sebagai motivasi kepada penduduk Mekah. Mereka duduk di dalam rumah yang dibuat dari tanah liat sahaja. Tentu rumah itu tidak kukuh dan ada banyak kekurangan. Maka Allah ﷻ janjikan rumah yang terbaik untuk mereka.
تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ
yang mengalir di bawahnya sungai-sungai
Bukan sahaja rumah yang kukuh, ada sungai pula di bawahnya. Ini pun satu motivasi kepada penduduk Mekah juga. Kerana mereka susah dapat air. Jadi apabila disebut rumah ada sungai, ini memang sesuatu yang amat-amat menarik bagi mereka.
Sungai-sungai yang mengalir mengikut perintah penghuni syurga itu, dia boleh susun aliran air sungai itu mengikut kemahuannya. Sama ada dia hendakkan air sungai itu mengalir mengikut dari atas turun ke bawah, keluar ke bawah dan sebagainya.
Sungai itu pula berjenis-jenis. Dalam ayat lain ada disebut sungai itu ada empat jenis: sungai dari madu, dari arak, dari susu dan dari air. Teringin minum sahaja, sudah ada di bawah kaki kita, pakai ambil sahaja.
وَعْدَ اللهِ ۖ
Inilah janji Allah.
Allah ﷻ telah menjanjikan berbagai-bagai janji yang baik kepada mereka yang bertaqwa untuk memberi semangat kepada manusia. Janji Allah ﷻ bukan seperti janji manusia. Kalau manusia berjanji, belum tentu lagi dia akan tunaikan.
Ini kerana ada yang tidak tertunai janjinya. Sama ada dia memang tidak mahu menunaikan janjinya itu, atau kalau dia mahu tunaikan, dia tidak mampu untuk melakukannya kerana qudrat bukan di tangannya.
لَا يُخْلِفُ اللَهُ الْمِيعَادَ
Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji
Tetapi Allah ﷻ tidak akan memungkiri janji-Nya, asalkan kita berpegang kepada janji kita untuk taat dan bertaqwa kepada-Nya, Allah ﷻ pasti akan berikan.
Ayat 21: Dalil Aqli. Allah ﷻ suruh kita lihat alam ini sebagai tanda kepada Qudrat-Nya. Ayat 21 – 41 ini adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia mengandungi ayat-ayat bandingan antara seruan tauhid orang dan Mukmin dan orang Kafir.
أَلَم تَرَ أَنَّ اللَهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَسَلَكَهُ يَنٰبيعَ فِي الأَرضِ ثُمَّ يُخرِجُ بِهِ زَرعًا مُّختَلِفًا أَلوٰنُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَجعَلُهُ حُطٰمًا ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِأُولِي الأَلبٰبِ
Do you not see that Allah sends down rain from the sky and makes it flow as springs [and rivers] in the earth; then He produces thereby crops of varying colors; then they dry and you see them turned yellow; then He makes them [scattered] debris. Indeed in that is a reminder for those of understanding.
Malay
Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu menjadi kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai. Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan bagi orang-orang yang berakal sempurna.
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً
Tidakkah kamu perhati bahawa Allahlah yang menurunkan kepada kamu air hujan dari langit,
Allah ﷻ suruh kita perhatikan alam ini. Dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh kita lihat dan memikirkan kepada air hujan yang turun dari langit.
Dalam Al-Qur’an selalu disebut tentang air hujan dari langit yang memberi isyarat kepada rezeki dari Allah ﷻ. Negara kita Malaysia ini banyak hujan, jadi selalunya kita tidak mengharapkan sangat kepada hujan, sampaikan kadang-kadang ada yang marah pula kalau hujan turun sebab mengganggu program yang dirancangkan.
Tetapi ingatlah yang Al-Qur’an ini pertama kali dibacakan kepada Arab Mekah yang tidak banyak turunnya hujan di kawasan mereka. Jadi, ia adalah satu rahmat yang mereka pandang tinggi, bukan seperti kita. Kita pun perlukan hujah rahmat ini juga, tetapi ramai yang tidak menghargainya kerana banyak turun sepanjang tahun.
فَسَلَكَهُ يَنٰبِيعَ فِي الْأَرْضِ
Dia memperjalankan air itu sehingga menjadi mata-mata air di bumi
Lihatlah bagaimana air hujan itu turun dan Allah ﷻ takdirkan yang air itu merebak ke tempat lain dan berkumpul menjadi mata air. Dari mata air itulah nanti yang akan menjadi sumber kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan di dunia ini.
Ini nikmat tambahan dari air hujan tadi. Allah ﷻ bukan sahaja menurunkan hujan tetapi Allah ﷻ membina sistem simpanan dan distribusi air itu. Kerana bukanlah kita boleh tadah sahaja hujan itu untuk kegunaan kita. Tidak sempat untuk kita tadah sentiasa.
Maka Allah ﷻ menjalankan air itu ke dalam tanah dan tempat menyimpan air hujan dalam tanah dan dikeluarkan dalam bentuk sungai dan mata air yang manusia boleh gunakan bila perlu. Ada juga yang Allah ﷻ simpan dalam bentuk salji di pergunungan dan turunkan dalam bentuk sungai kepada manusia.
Dan air ada disimpan dalam tanah dan manusia boleh berusaha gali untuk mendapatkannya dalam bentuk telaga. Maka kalau kita fikirkan dan renungkan, maka hebat sekali rahmat Allah ﷻ kepada kita. Ini baru kita tengok air sahaja.
ثُمَّ يُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا مُّخْتَلِفًا أَلْوٰنُهُ
kemudian Dia keluarkan dengan air yang satu jenis itu, berbagai jenis tanaman yang berbagai warna;
Lihatlah betapa hebatnya Allah ﷻ: Dari air yang satu sahaja, boleh mengeluarkan berbagai-bagai jenis tanaman.
Kalau makhluk yang buat, mestilah untuk satu pokok, sejenis air sahaja. Seperti kita buat minyak untuk kereta: satu minyak untuk enjin, satu minyak untuk brek, satu minyak untuk jalankan kereta dan sebagainya. Tetapi Allah ﷻ hanya menggunakan satu jenis air sahaja untuk semua tumbuhan.
Dan dari air yang sama mengeluarkan tumbuhan yang berbagai warna pula. Pelbagai warna tumbuhan dalam alam ini. Kita pun terhibur dengan melihat berbagai-bagai warna yang ada kerana manusia memang sukakan keindahan alam.
Dan bukan itu sahaja, satu jenis pokok pun kadangkala berubah-ubah warna dari satu keadaan ke satu keadaan. Jadi mereka yang duduk di kawasan banyak musim dapat melihat perubahan warna pada tumbuh tumbuhan itu.
ثُمَّ يَهِيجُ
kemudian pokok itu bergerak;
Kalimah ه ي ج bermaksud bergerak. Iaitu bergerak dari batangnya dan putus. Pada asalnya tanah-tanah itu kering, pokok pun layu, tetapi apabila mendapat air sahaja, pokok itu boleh bergerak segar.
Dan kemudian, lama-lama ia akan menjadi layu balik setelah sampai masanya. Inilah perjalanan kehidupan tumbuh tumbuhan. Walaupun kita tidak nampak ia bergerak seperti kita dan binatang, tetapi ia bergerak juga, tapi sedikit demi sedikit.
فَتَرٰهُ مُصْفَرًّا
kemudian kamu lihat ia bertukar jadi kuning;
Iaitu pokok yang asalnya segar, lama-lama akan menjadi kering dan berwarna kuning sebab sudah reput.
ثُمَّ يَجْعَلُهُ حُطٰمًا
kemudian Dia menjadikannya hancur berkecai;
Kemudian, lama kelamaan tanaman itu akan hancur. Inilah perjalanan hidup tanaman di muka bumi. Perkara ini memang sentiasa terjadi dan kita pun melihatnya. Semua ini adalah dalam taqdir Allah ﷻ juga. Allah ﷻ yang menentukan ia akan jadi begitu.
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِأُولِي الْأَلْبٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian itu adalah sebagai peringatan kepada orang yang berakal waras.
Semua kejadian dalam alam ini sebagai peringatan kepada kita yang perkara ini tidaklah terjadi dengan sendirinya tetapi Allah ﷻ yang menjadikannya begitu. Orang yang mempunyai akal waras akan nampak perkara ini.
Dan Allah ﷻ suruh kita lihat supaya kita tahu yang kehidupan kita pun begitu juga. Mula-mula kecil, kemudian membesar dan kemudian akan jadi tua dan akhirnya mati.
Peringatan itu diberikan kepada semua, tetapi yang boleh terima hanyalah orang yang berakal waras sahaja. Iaitu mereka yang menggunakan akal dan memikirkan untung nasib mereka. Mereka dapat memikirkan masa hadapan dan tidak hanya lihat masa sekarang sahaja.
Peringatan yang boleh diambil lagi dari ayat ini adalah Allah ﷻlah yang menghidupkan tanaman-tanaman itu dan Allah ﷻlah juga yang boleh menghidupkan dan mematikan manusia.
Allah ﷻ sahaja yang ada Qudrat itu dan kerana itu sembahlah Dia sahaja, jangan sembah dan buat ibadat kepada selain dari-Nya. Kerana selain dari-Nya tidak mungkin ada yang mampu membuat segala perkara itu.
Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Ayat sebelumnya menceritakan tentang tumbuh-tumbuhan di syurga. Di dunia ini juga ada tumbuh-tumbuhan. Tetapi tumbuhan di dunia ini tidak kekal. Setelah sampai waktunya, ia akan mati.
Allah ﷻ hendak beritahu kita, kalau kita hendakkan sesuatu yang kekal, hendaklah dicari di syurga. Di syurga, semuanya kekal abadi. Maka, jangan berikan sangat tumpuan kepada dunia, tetapi kenalah beramal dan bersedia untuk menyediakan tempat kita di syurga.
Habis Ruku’ ke 2 dari 8 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 13 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani