Maidah Ayat 97: Ayat ini adalah mengenai kelebihan tempat tertentu, yang ada pahala tertentu, berdasarkan maklumat daripada Allah ﷻ dan disampaikan oleh Nabi. Itulah dalil-dalil yang kita mesti gunakan dan bukanlah hanya sekadar dengar-dengar tanpa diketahui dari sumber yang mana. Sebagaimana kekeliruan masyarakat kita semenjak dari dulu lagi, ada yang sangka jika buat ibadat di kubur, ada pahala lebih dan sebagainya; itu adalah fahaman yang salah, kerana mengamalkan ibadat tanpa dalil.
Malangnya, banyak dalam kalangan masyarakat kita yang berbuat begitu. Mereka keliru kerana ada kitab yang menceritakan kelebihan-kelebihan amalan-amalan bid’ah itu. Kitab itu menceritakan tentang kelebihan Hari Haul – iaitu hari ziarah kubur, dan kerana itu ramai yang berduyun-duyun pergi ke kawasan perkuburan tertentu sepertimana manusia pergi mengerjakan Haji.
Ketahuilah bahawa semua ajaran itu asalnya daripada syaitan kerana tidak ada dalil yang sahih. Oleh itu jangan jadikan tempat-tempat itu seperti tempat-tempat ibadat yang Rasulullah ﷺ telah ajar. Malangnya menurut fahaman mereka, ada orang yang kata kalau berbuat ibadat di kawasan perkuburan tertentu, akan mendapat syafaat daripada tok wali penghuni kubur itu. Inilah golongan quburiyyun yang amat banyak di dunia ini, dan malangnya umat Islam pun terlibat dalam hal ini kerana ramai yang sesat. Mereka rapat sangat dengan kubur.
Amalan ini sudah jarang ada di tempat kita tetapi sudah mula memasuki tempat kita dengan kedatangan golongan Habib dari Yaman. Golongan ini memang mengamalkan ajaran sesat ini di Yaman. Banyak sekali amal ibadat yang mereka reka di kuburan wali dan Nabi (kononnya dikatakan kubur Nabi Hud. Bagaimana mereka boleh tahu itu adalah kubur baginda? Sebab ada yang mimpi). Mereka ini golongan sesat yang banyak reka amalan baru. Mereka kata kononnya kalau ikhlas, amalan itu diterima dan dapat pahala banyak dan kelebihan tertentu. Senang sahaja mereka kata padahal perkara itu tidak ada dalil.
Bagi masyarakat kita yang tidak tahu agama, senang sahaja mengikut apa yang mereka lakukan. Begitulah jikalau jahil agama, maka memang akan mudah tertipu oleh mereka yang berperawakan warak (pakai serban, pakai jubah, ada janggut, pegang tasbih sepanjang masa). Oleh itu, kita semua mestilah belajar agama dengan benar dan mesti mendidik masyarakat kita dengan ilmu agama supaya tidak senang ditipu. Jika tidak, mudah sahaja syaitan mempengaruhi mereka dan menyesatkan mereka sehingga masuk neraka yang kekal.
Dalam ayat ini ada 4 perkara yang akan disebut.
۞ جَعَلَ اللهُ الكَعبَةَ البَيتَ الحَرامَ قِيٰمًا لِّلنّاسِ وَالشَّهرَ الحَرامَ وَالهَديَ وَالقَلٰئِدَ ۚ ذٰلِكَ لِتَعلَموا أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَأَنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has made the Ka‘bah, the Sacred House, standing¹ for the people and [has sanctified] the sacred months and the sacrificial animals and the garlands [by which they are identified]. That is so you may know that Allāh knows what is in the heavens and what is in the earth and that Allāh is Knowing of all things.
- Conspicuously as a symbol of Allāh’s religion.
(MELAYU)
Allah telah menjadikan Ka’bah, rumah suci itu sebagai pusat (peribadatan dan urusan dunia) bagi manusia, dan (demikian pula) bulan Haram, had-ya, qalaid. (Allah menjadikan yang) demikian itu agar kamu tahu, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
جَعَلَ اللهُ الكَعبَةَ البَيتَ الحَرامَ قِيٰمًا لِّلنّاسِ
Allah telah menjadikan Ka’bah, rumah suci itu tertegak bagi manusia,
Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang Kaabah, satu tempat yang berkat. Dalam bahasa Arab, kaabah adalah sesuatu yang berbentuk empat segi (cubic). Pada zaman itu terdapat sebuah lagi kaabah di Yaman (dinamakan al-ka’bah al-yamaniah), jadi untuk membezakan dengan Kaabah di Mekah, maka ditambah maklumat tambahan: البَيتَ الحَرامَ.
Allah ﷻ telah menjadikan Kaabah tempat manusia boleh membuat hubungan untuk urusan agama – untuk menegakkan agama Allah ﷻ. Ia adalah tempat berkumpul untuk tujuan agama. Di situ adalah tempat untuk melakukan ibadat dan juga tempat mesyuarat untuk seluruh umat Islam.
Ini adalah kerana Mekah itu tempat berkumpul pemimpin dunia supaya mereka boleh bermesyuarat dan membawa pulang amanat daripada khalifah. Jika ada pengumuman penting, ia akan dilakukan di situ. Begitulah yang dilakukan pada zaman sahabat dan khalifah dahulu.
Maksud الحَرامَ: tempat suci yang diharamkan perkara-perkara tertentu. Antaranya tidak boleh membunuh, merosakkan tanaman dan binatang, amalan yang berlawanan dengan Islam dan sebagainya. Maka Kaabah menjadi tempat yang aman, manusia yang datang tidak berani membuat kacau. Jika seorang nampak pembunuh ayahnya di Kaabah waktu itu, dia akan menundukkan pandangan dan berlalu pergi tanpa membalas dendam.
Lafaz قِيامًا pula boleh bermaksud yang ia akan tetap ada di situ. Kaabah tidak akan pergi ke mana-mana. Tidak akan ada cadangan untuk menukar Kaabah ke tempat yang lain. Ia menjadi sumber ketetapan bagi manusia kerana manusia memerlukan sesuatu yang tetap dan tidak berubah-ubah.
وَالشَّهرَ الحَرامَ
dan bulan Haram,
Dan Allah ﷻ juga telah menetapkan untuk kita dengan bulan-bulan Haram. Dalam empat bulan dalam setahun tidak boleh memulakan peperangan. Ia adalah masa yang diperuntukkan untuk beribadat.
Masyarakat Arab dahulu selalu berperang dan jika peperangan berlangsung sepanjang tahun, maka bilakah waktu untuk membuat amal ibadat pula? Maka Allah ﷻ telah menjadikan 4 bulan Haram di mana perang diharamkan, supaya manusia boleh bermusafir untuk mengerjakan ibadat atau pergi ke mana-mana (untuk berniaga, contohnya).
Kalimah الشهر adalah dalam bentuk mufrad (singular) dan kerana itu ada yang berpendapat ia merujuk kepada bulan DzulHijjah sahaja di mana ia adalah bulan untuk mengerjakan Haji. Akan tetapi umumnya berpendapat ia merujuk kepada semua bulan-bulan Haram: Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Ia disebut dalam Tawbah:36 dan dalil khusus disebut dalam hadith:
الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ
“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah ﷻ menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”.
(Riwayat Bukhari, No. Hadith 4054)
وَالهَديَ
dan had-ya,
Maksudnya binatang yang telah dikenalpasti untuk korban di Kaabah. Sebelum tiba musim korban, seseorang itu telah menetapkan dan mengenalpasti binatang yang akan dikorbankan. Mereka akan membawa binatang itu dari kampung mereka (zaman sekarang beli sahaja di Mekah). Sekarang Allah ﷻ beritahu hukum: Jangan diganggu binatang itu. Lihatlah binatang pun mendapat penghormatan kerana ia dikaitkan dengan Kaabah.
Maka jika orang bermusafir membawa binatang korban ke Kaabah, mereka tidak diganggu. Walaupun pada zaman itu terdapat banyak rompakan di jalanan, tetapi mereka menghormati orang yang membawa binatang had-ya.
وَالقَلٰئِدَ
dan qalaid.
Maksudnya adalah kalung bunga yang dipakaikan di leher. Pada zaman dahulu mereka akan pakai sejenis kalung sebagai tanda yang dia akan pergi mengerjakan Haji dan mereka sebegini tidak diganggu. Selain daripada manusia, binatang juga ditanda khas untuk korban di Kaabah. Jangan diganggu binatang yang telah ditanda itu.
Jadi Kaabah menjadi sumber keamanan bagi orang dan juga yang berkaitan dengannya seperti binatang dan manusia yang hendak mengerjakan haji atau umrah itu.
Satu lagi yang tidak disebut di sini tetapi disebut di tempat yang lain, adalah penduduk Mekah itu sendiri. Mereka dihormati di mana-mana tanah Arab kerana mereka dianggap sebagai penjaga Kaabah. Penduduk tempat lain tidak berani mengganggu mereka. Ini kerana mereka pun ada berhala mereka yang diletakkan berdekatan Kaabah pada waktu itu. Mereka tidak berani mengganggu penduduk Mekah kerana bimbang berhala mereka akan diapa-apakan pula.
ذٰلِكَ لِتَعلَموا أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ
demikian itu agar kamu tahu, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi
Ada jumlah muqaddar (maklumat tambahan) di sini – Allah ﷻ yang menjadikan semua yang di atas supaya kamu menyakini bahawa Allah ﷻlah yang maha mengetahui lapisan langit dan bumi. Allah ﷻ hendak melihat sama ada kita boleh atau tidak untuk mengikut cara-Nya, hukum-Nya, atau hanya hendak mengikut nafsu kita sahaja.
Dengan melihat apa kesan Kaabah (Rumah Allah) kepada manusia, maka manusia sepatutnya boleh melihat ada kelebihan padanya. Allah ﷻ menjaga rumah-Nya dan menjadikan manusia menghormatinya di mana-mana.
وَأَنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Mungkin ada yang tanya kenapa perkara-perkara itu suci dan diharamkan untuk diganggu? Kita kena terima bahawa Allah ﷻ tahu segalanya dan kita tidak tahu. Dan Allah ﷻ tidak perlu menjelaskan untuk kita kenapa sesuatu perkara itu haram atau halal. Kita sebagai manusia kena terima sahaja.
Maidah Ayat 98: Jika seseorang itu masih berdegil dan tidak mahu ikut rancangan Allah ﷻ, maknanya orang itu sebenarnya ikut syaitan. Syaitan memang akan cuba menyesatkan manusia, mereka akan putarbelitkan fakta dan akan menipudaya manusia. Apakah amaran Allah ﷻ terhadap mereka yang sebegitu?
اعلَموا أَنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ وَأَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Know that Allāh is severe in penalty and that Allāh is Forgiving and Merciful.
(MALAY)
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
اعلَموا أَنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya
Jika kamu tidak mahu mengikut juga hukum yang Allah ﷻ telah berikan, tidaklah mengapa. Manusia memang diberikan pilihan sama ada untuk ikut ataupun tidak; manusia tidak dipaksa seperti malaikat dan makhluk yang lain yang kena ikut sahaja.
Namun kena ingat, jika ingin melanggar juga hukum Allah ﷻ, maka kena tahulah yang hukuman yang menanti daripada Allah ﷻ adalah sangat hebat. Jangan kata kamu tidak diberitahu awal-awal.
وَأَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah ﷻ bukanlah bersikap keras sahaja, bukan berkehendak mahu menghukum hamba-Nya sahaja. Kenalah tahu juga yang Allah ﷻ bersifat lembut. Dan bagi mereka yang kembali kepada-Nya, Dia Maha Mengampuni. Maka ambillah peluang ini untuk bertaubat. Jika dahulu buat salah, maka bertaubatlah. Itu yang Allah ﷻ mahukan daripada kita.
Maidah Ayat 99: Tugas Rasul adalah menyampaikan dan tidak memaksa sesiapa. Begitu jugalah tugas kita dalam berdakwah kepada manusia. Kita hanya menyampaikan sahaja, dan jika manusia tidak mahu terima, ia di luar bidang kuasa kita.
مّا عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ ۗ وَاللهُ يَعلَمُ ما تُبدونَ وَما تَكتُمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Not upon the Messenger is [responsibility] except [for] notification. And Allāh knows whatever you reveal and whatever you conceal.
(MALAY)
Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
مّا عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ
Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan,
Tugas baginda adalah menyampaikan sahaja ajaran wahyu yang Allah ﷻ telah beri kepada baginda. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh menghukum sesiapa yang tidak mahu mengikut dakwah yang disampaikan. Baginda memang tidak boleh hukum, tetapi ingat, Allah ﷻ tetap akan hukum. Tidak boleh lari daripada Allah ﷻ. Lari daripada Nabi boleh lagi, namun tidak boleh lari daripada Allah ﷻ.
Bagi kita yang menyambung tugas Nabi menyampaikan dakwah kepada manusia pun sama juga, kita hanya boleh sampaikan sahaja. Jika ada yang tidak mahu dengar, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Kita boleh tegur majlis bid’ah yang manusia lakukan, tetapi hanya setakat tegur sahaja. Jika mereka masih hendak buat juga, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa.
وَاللهُ يَعلَمُ ما تُبدونَ وَما تَكتُمونَ
dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
Allah ﷻ yang tahu apa sahaja yang kamu zahirkan dengan tubuh kamu dan perkataan kamu atau yang kamu simpan dalam hati. Sama ada zahir atau batin, sama sahaja bagi Allah ﷻ, Allah ﷻ tahu kesemuanya. Maka ini mengingatkan kita supaya jangan membuat dosa kerana nanti akan dibalas di akhirat kelak.
Maidah Ayat 100: Kita janganlah terpengaruh dengan ramainya orang yang buat sesuatu amalan yang salah. Ada yang akan berhujah: “Eh, ramai orang yang buat sesuatu amalan itu, takkan salah…?!”
Itu bukanlah dalil tetapi hujah tin kosong sahaja. Sama ada ramai atau tidak yang mengamalkannya, jika tidak ada dalam syarak, ia tetap dikira salah. Kena tahu bahawa ramainya orang yang mengamalkan, bukanlah dalil untuk mengatakan betulnya sesuatu perkara itu. Ingatlah yang ada Nabi yang tidak ada pengikut langsung dan yang ramai dalam kalangan mereka yang mengamalkan syirik.
Adakah itu sebagai dalil untuk mengatakan yang mereka (para Nabi itu) tidak benar dan orang yang ramai itu yang benar? Tentulah tidak, bukan? Oleh itu, benar atau tidak sesuatu fahaman atau amalan itu hanyalah mengikut neraca Allah ﷻ sahaja. Sebarang amalan ibadah, mestilah ada dalil. Maka seorang Muslim hendaklah belajar unuk meminta dalil untuk mana-mana amalan yang ada. Dan dalil itu mestilah daripada Al-Qur’an dan Sunnah (hadith yang sahih yang menjadi ikutan). Ini adalah sangat penting kerana tidak sama antara amalan yang ada dalil dan yang tidak ada dalil.
قُل لّا يَستَوِي الخَبيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَو أَعجَبَكَ كَثرَةُ الخَبيثِ ۚ فَاتَّقُوا اللَّهَ يٰأُولِي الأَلبٰبِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say, “Not equal are the evil and the good, although the abundance of evil might impress you.” So fear Allāh, O you of understanding, that you may be successful.
(MALAY)
Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan”.
قُل لّا يَستَوِي الخَبيثُ وَالطَّيِّبُ
Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik,
Ingatlah yang tidak akan sama amalan yang buruk yang datang daripada nafsu dan perkara yang baik yang datang daripada wahyu. Kita kena belajar supaya dapat membezakan manakah yang baik dan manakah yang buruk. Hanya dengan mempelajari wahyu, barulah kita akan dapat membezakannya.
Lafaz الخَبيثِ bermaksud apa-apa sahaja yang dilarang oleh Allah ﷻ. Maka ia adalah perkara yang diharamkan oleh Allah ﷻ. Ia juga boleh merujuk kepada manusia yang mempunyai sifat yang buruk.
Lafaz الطَّيِّبُ pula merujuk kepada perkara yang baik iaitu yang dihalalkan oleh Allah ﷻ. Ia juga boleh merujuk kepada manusia yang mempunyai sifat yang baik.
Yang baik itu tidak akan sama dengan yang buruk. Di dalam sebuah hadith disebutkan:
“مَا قَلَّ وكَفَى، خَيْرٌ مِمَّا كَثُر وألْهَى”.
Sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih baik daripada sesuatu yang banyak tetapi melalaikan.
(HR Ahmad No. 21721) Sanadnya hasan menurut Syeikh Al-Arnaut
Termasuk dalam perkara ini adalah harta atau pendapatan yang haram dan halal. Ia tidak sama walaupun mungkin kita terkesan dengan banyaknya harta yang haram. Namun Allah ﷻ beritahu di sini bahawa yang haram walaupun banyak, ia tidak bernilai di sisi Allah ﷻ. Kerana itu tidaklah diterima infaq daripada harta yang haram, sebagaimana hadith di bawah:
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “
Rasulullah ﷺ bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya Allah ﷻ bersifat at-Thoyyib dan Dia tidak menerima melainkan yang Thoyyib sahaja. Allah ﷻ memerintahkan orang yang beriman sepertimana diperintah kepada para utusan Allah dengan berkata: Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mukminun: 51). Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah (Al-Baqarah: 172)
Kemudian diceritakan tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut, berdebu, menadah tangannya ke langit kemudian berkata Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makan dengan yang haram, justeru itu bagaimana dimakbulkan doanya?(HR. Muslim No. 1015)
وَلَو أَعجَبَكَ كَثرَةُ الخَبيثِ
meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu,
Kita kena tetap berpegang dengan dalil, walaupun kadang-kadang hati kita dipengaruhi juga oleh banyaknya orang yang mengamalkan sesuatu perkara itu.
Bayangkan, berapa ramai yang mengamalkan salat Hajat berjama’ah dan mengadakan Majlis Tahlil, zikir beramai-ramai dan sebagainya. Inilah hujah yang selalu digunakan oleh pengamal bid’ah. Mereka kata: “Ramai orang yang buat, takkan semua mereka salah; takkan semua mereka nak masuk neraka pula!”
Dan jangan kita terkeliru dengan banyaknya benda yang tidak ada dalam syarak. Rasa bagaikan sudah tidak dapat dielakkan lagi kerana terlalu banyaknya perkara yang dibuat oleh manusia. Jangan terpengaruh dan jangan patah semangat. Kita kena tetap berpegang teguh dengan amalan-amalan yang sahih sahaja kerana yang sahih itu sahajalah yang diterima.
Yang menjadi masalah dengan jiwa kita ini, ialah jika perkara yang buruk itu sudah terlalu banyak, kadang-kadang kita rasa seolah-olah sudah tidak ada apa masalah lagi dengannya, mungkin kerana sudah berasa lali. Sebagaimana kita lihat orang tidak menutup aurat – sudah rasa seperti biasa sahaja berjalan di luar dan melihat orang tidak tutup aurat padahal benda itu adalah benda yang salah. Ingat, yang salah tetap salah walaupun ramai yang melakukannya.
Begitu juga, kita kadang-kadang sudah rasa biasa dengan percakapan yang kotor atau yang kurang ajar kerana sudah biasa sangat kita dengar. Inilah bahaya kalau kita tidak berhati-hati dan prihatin dengan kebenaran. Sekali lagi: yang salah tetap salah walaupun ramai yang buat.
Oleh kerana itulah kita kena jaga hati kita dengan kuat sekali. Kena ada usaha daripada kita sendiri dan tidak boleh kita biarkan sahaja. Kita kena pastikan yang kita mengamalkan agama Islam yang tulen. Inilah jihad (usaha yang kuat) yang kita kena lakukan.
فَاتَّقُوا اللَّهَ يٰأُولِي الأَلبٰبِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan”.
Takutlah kepada Allah ﷻ, wahai orang yang mempunyai yang akal yang waras. Dalam melakukan amalan, fikirkanlah, bukan payah pun. Kena guna akal yang cerdik sikit, bukan ikut orang sahaja. Maka kena belajar dan belajar, fikir dan fikir. Memang begitulah hidup kita. Allah ﷻ telah beri otak dan minda kepada kita, maka kita kena gunakan. Kita bersusah payah menggunakan minda kita untuk belajar dan berfikir ini, semuanya akan diberi pahala oleh Allah ﷻ.
Mudah-mudahan kamu akan beruntung di dunia dan di akhirat. Di dunia pun kita hendakkan untung, lebih-lebih lagi di akhirat. Jadi jangan salah membuat amalan kerana ia merugikan masa di dunia dan nanti lebih teruk lagi kita akan disoal di akhirat kelak (kenapa kamu buat perkara tidak ada dalil?).
Sekian Ruku’ 13 dari 16 ruku’ dalam surah ini.
Maidah Ayat 101: Allah ﷻ melarang bertanyakan perkara yang tidak memberi faedah. Begitulah ramai juga yang suka mengkaji perkara yang tidak perlu dikaji. Itu semua adalah perkara yang membuang masa, sedangkan kita bukan lama hidup di dunia. Bertanya itu memang digalakkan untuk belajar, tetapi pertanyaan tentang perkara yang tidak berfaedah itu adalah perbuatan membuang masa sahaja.
Sebab itu kita katakan, dalam beragama ini kenalah cerdik, kenalah rebut perkara yang jelas membuahkan hasil. Dan jangan buat perkara yang sia-sia. Oleh itu, jangan tanya perkara yang sia-sia. Apabila soal benda yang sia-sia, jawapan yang dapat pun adalah sia-sia juga. Contohnya, tanya arah kiblat jika salat di bulan. Padahal bukan dia hendak ke bulan pun esok atau lusa.
Maka para sahabat dahulu pun sudah ditegur oleh Allah ﷻ di atas soalan-soalan mereka. Jangan buang masa mereka dan jangan buat masa Nabi ﷺ. Dan kadangkala soalan mereka itu boleh menyusahkan mereka pula.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم وَإِن تَسئلوا عَنها حينَ يُنَزَّلُ القُرءآنُ تُبدَ لَكُم عَفَا اللَّهُ عَنها ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, do not ask about things which, if they are shown to you, will distress you. But if you ask about them while the Qur’ān is being revealed, they will be shown to you. Allāh has pardoned it [i.e., that which is past]; and Allāh is Forgiving and Forbearing.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al Qur’an itu diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Ini adalah nasihat kepada orang-orang yang sudah beriman. Kena beri perhatian kalau hendak menjadi orang yang beriman.
لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم
janganlah kamu menanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu
Orang beriman dinasihatkan supaya jangan bertanya perkara yang sia-sia. Itulah maksudnya di dalam ayat ini kerana sekiranya diberitahu kepada kamu perkara itu, ia hanya akan menyusahkan kamu.
Ada riwayat yang mengatakan bagaimana ada sahabat yang bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ, siapakah ayahnya. Memang ada yang Nabi ﷺ jawab. Tetapi mereka yang bertanya itu tidak sedar yang dia itu mungkin anak zina. Itu memang ada kemungkinan kerana sebelum itu mereka adalah jahiliyah dan pada zaman waktu jahiliyah, penzinaan memang berleluasa. Dari dia tidak tahu dia anak zina, sekarang dia sudah menjadi resah sebab sudah pasti dia anak zina. Allah ﷻ melarang kerana soalan itu tidak memberi faedah.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُطبة مَا سَمِعْتُ مِثْلَهَا قَطُّ، قَالَ “لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا” قَالَ: فَغَطَّى أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وُجُوهَهُمْ لَهُمْ حَنِينٌ. فَقَالَ رَجُلٌ: مَنْ أَبِي؟ قَالَ: “فَلَانٌ”، فَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ}
Daripada Anas ibnu Malik yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah mengemukakan suatu khutbah yang belum pernah kudengar hal yang semisal dengannya. Dalam khutbahnya itu antara lain beliau ﷺ bersabda: Sekiranya kalian mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kalian benar-benar sedikit tertawa dan benar-benar akan banyak menangis. Anas ibnu Malik melanjutkan kisahnya, “Lalu para sahabat Rasulullah ﷺ menutupi wajahnya masing-masing, setelah itu terdengar suara esakan mereka. Kemudian ada seseorang lelaki berkata, ‘Siapakah ayahku?’ Maka Nabi ﷺ menjawab, ‘Si Fulan.” Lalu turunlah firman-Nya: Janganlah kalian menanyakan (kepada nabi kalian) banyak hal. (Al-Maidah: 101).
(HR. Bukhari No. 4621)
Pernah juga terjadi, sahabat bertanya, adakah mengerjakan Haji itu wajib setiap tahun? Nabi ﷺ menoleh tidak menjawab. Ini adalah kerana soalan itu bukanlah soalan yang bagus. Kalau Allah ﷻ tidak menetapkan ia perlu dikerjakan setiap tahun, terimalah itu sahaja. Kerana kalau ditanya-tanya dan Nabi ﷺ jawab kena buat setiap tahun, bukankah akan menyusahkan umat Islam pula? Bayangkan kalau kita sekarang kena pergi buat Haji setiap tahun?
عَنْ عَلِيٍّ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا} [آلِ عِمْرَانَ: 97] قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ،كُلَّ عَامٍ؟ فَسَكَتَ. فَقَالُوا: أَفِي كُلِّ عَامٍ؟ فَسَكَتَ، قَالَ: ثُمَّ قَالُوا: أَفِي كُلِّ عَامٍ؟ فَقَالَ: “لَا وَلَوْ قُلْتُ: نَعَمْ لَوَجَبَتْ”، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ} إِلَى آخَرِ الْآيَةِ.
Daripada Ali yang menceritakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yakni firman-Nya: Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah (Ali Imran: 97) Lalu mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ diam, tidak menjawab. Mereka bertanya lagi, “Apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ tetap diam. Kemudian mereka bertanya lagi, “Apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ baru menjawab: Tidak, dan seandainya kukatakan ya, nescaya menjadi wajib; dan seandainya diwajibkan (tiap tahunnya), nescaya kalian tidak akan mampu. Lalu Allah ﷻ menurunkan firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian menanyakan (kepada nabi kalian) hal-hal yang jika diterangkan kepada kalian nescaya menyusahkan kalian. (Al-Maidah: 101), hingga akhir ayat.
(Musnad Ahmad. Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Turmuzi dan Ibnu Majah melalui jalur Mansur ibnu Wardan dengan lafaz yang sama).
Pada zaman sekarang, ramai yang mula belajar agama dan mereka hendak tahu mengenai pelbagai perkara. Mereka selalunya akan tanya adakah haram atau halal sesuatu perkara itu.
Dan apabila dijawab yang ia adalah haram, mereka tidak berpuas hati pula dan mereka akan pergi tanya orang lain pula, sampailah ada yang ada kata ia adalah halal. Itu maknanya dia itu bukanlah ikhlas hendak tahu tetapi kerana hendak mendapatkan kelulusan perkara yang dia sendiri hendak buat.
Ini bukanlah menutup pintu untuk bertanya soalan pula. Kalau kita memang ikhlas hendak tahu sesuatu hukum itu, maka bolehlah bertanya untuk mendapatkan kepastian. Contohnya soalan yang berbunyi ‘bagaimana hendak buat?’ adalah bagus; tetapi jika ditanyakan soalan: ‘kenapa kena buat?’ adalah tidak bagus.
وَإِن تَسئلوا عَنها حينَ يُنَزَّلُ القُرءآنُ تُبدَ لَكُم
dan jika kamu menanyakan di waktu Al Qur’an itu diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu,
Dan sekiranya para sahabat bertanyakan perkara itu ketika wahyu masih lagi diturunkan (Nabi ﷺ masih hidup), nescaya akan dizahirkan apakah jawapan yang sebenar.
Ini adalah kelebihan yang ada kepada para sahabat. Mereka sahaja yang boleh mengamalkan ayat ini kerana Rasulullah ﷺ berada dalam kalangan mereka. Mereka yang duduk dengan Nabi ﷺ dan dapat berinteraksi dengan baginda secara langsung. Dan pertanyaan mereka itu menjadi sandaran agama buat kita yang di belakang ini.
Namun begitu Allah ﷻ telah memberi peringatan kepada mereka supaya berjaga-jaga. Dalam surah Baqarah sudah diterangkan tentang kisah Yahudi dan lembu yang perlu disembelih. Lihatlah bagaimana mereka terus bertanya tentang lembu apa yang perlu disembelih dan setiap kali mereka bertanya, lembu yang dicari itu menjadi semakin sukar untuk dicari. Itu sudah menyusahkan mereka, sedangkan kalau disuruh sembelih lembu dan mereka terus sembelih, mereka boleh ambil mana-mana lembu sahaja.
Oleh itu, generasi umat Nabi Muhammad ﷺ yang awal diingatkan supaya tidak menyusahkan hidup mereka dan orang-orang yang selepas mereka. Mereka sebagai generasi pertama memang mempunyai tanggungjawab yang berat kerana apa yang mereka lalui menjadi agama bagi orang selepas mereka. Jadi Allah ﷻ suruh mereka berhati-hati.
Di dalam sebuah hadith telah disebutkan:
“أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرّم فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ”
Orang muslim yang paling besar dosanya ialah seseorang yang menanyakan sesuatu yang tidak diharamkan, lalu menjadi diharamkan kerana pertanyaannya itu.
(HR. Bukhari No. 7289)
Selepas wafatnya Nabi ﷺ, wahyu tidak turun lagi. Jadi tidaklah ada lagi hukum baru yang timbul. Akan tetapi, bertanya soalan-soalan yang tidak perlu masih lagi dilarang berdasarkan ayat ini, kerana ia adalah perbuatan yang membuang masa. Buang masa orang yang bertanya dan orang yang ditanya.
Orang kita rajin mencari maklumat perkara yang tidak perlu. Contohnya ada yang bertanya apa nama sebenar ibu Nabi Musa عليه السلام, berapa panjangkah bahtera Nabi Nuh عليه السلام, dan lain-lain seumpama itu. Apa perlunya maklumat ini? Kenapa buang masa hendak tahu? Salah satu kepandaian pelajar ilmu adalah tidak menyibukkan dengan maklumat yang tidak perlu dan bermanfaat.
عَفَا اللَّهُ عَنها
Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu.
Allah ﷻ memaafkan mereka terhadap soalan yang lepas-lepas, yang tidak patut itu. Jangan buat lagi.
Atau, ia bermaksud, hal-hal yang tidak disebutkan Allah ﷻ di dalam kitab-Nya, maka hal tersebut termasuk yang dimaafkan. Kerana itu, diamlah kalian sebagaimana Nabi ﷺ diam terhadapnya. Di dalam hadith sahih disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:
“ذَرُونِي مَا تُرِكْتُم؛ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَثْرَةُ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ”.
Biarkanlah aku dengan apa yang kutinggalkan untuk kalian, kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kalian telah binasa hanyalah kerana mereka banyak bertanya dan sering bolak-balik kepada nabi-nabi mereka (yakni banyak merujuk).
(HR. Ibnu Hibban No. 3704) Disahihkan oleh Syeikh al-Arnauth.
Maknanya, kalau perkara yang tidak disebut, maka lapangkanlah dada, jangan dicari-cari lagi.
Di dalam hadith sahih yang lain disebutkan pula:
إِنَّ اللَّهَ فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضيِّعُوها، وحَدَّ حُدُودًا فَلَا تَعْتَدُوهَا، وحَرَّم أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ غَيْرَ نِسْيان فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا”.
Sesungguhnya Allah ﷻ telah menetapkan hal-hal yang fardu, maka janganlah kalian menyia-nyiakannya; dan Dia telah menetapkan batasan-batasan, maka janganlah kalian melampauinya; dan Dia telah mengharamkan banyak hal, maka janganlah kalian melanggarnya. Dan Dia telah mendiamkan (tidak menjelaskan) banyak hal kerana kasihan kepada kalian bukan kerana lupa, maka janganlah kalian menanyakannya.
(HR. Ad-Daruquthni 4/183, Al-Hakim dalam Mustadraknya No. 7114) (Hadith hasan menurut Syeikh al-Albani dan al-Arnauth)
وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ
Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.
Allah ﷻ memmaafkan kerana Allah itu Maha Pengampun. Dan Dia juga al-halim – maksudnya Dia tahu apa yang mereka lalui. Allah ﷻ tahu isi hati mereka. Memang hati manusia suka bertanya, tetapi sekarang diajar kenalah berhati-hati dalam bertanya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 13 November 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Maariful Qur’an