Tafsir Surah al-Maidah Ayat 97 – 101 (Kemuliaan Ka’bah)

Maidah Ayat 97: Ayat ini adalah mengenai kelebihan tempat tertentu, yang ada pahala tertentu, berdasarkan maklumat daripada Allah ‎ﷻ dan disampaikan oleh Nabi. Itulah dalil-dalil yang kita mesti gunakan dan bukanlah hanya sekadar dengar-dengar tanpa diketahui dari sumber yang mana. Sebagaimana kekeliruan masyarakat kita semenjak dari dulu lagi, ada yang sangka jika buat ibadat di kubur, ada pahala lebih dan sebagainya; itu adalah fahaman yang salah, kerana mengamalkan ibadat tanpa dalil.

Malangnya, banyak dalam kalangan masyarakat kita yang berbuat begitu. Mereka keliru kerana ada kitab yang menceritakan kelebihan-kelebihan amalan-amalan bid’ah itu. Kitab itu menceritakan tentang kelebihan Hari Haul – iaitu hari ziarah kubur, dan kerana itu ramai yang berduyun-duyun pergi ke kawasan perkuburan tertentu sepertimana manusia pergi mengerjakan Haji.

Ketahuilah bahawa semua ajaran itu asalnya daripada syaitan kerana tidak ada dalil yang sahih. Oleh itu jangan jadikan tempat-tempat itu seperti tempat-tempat ibadat yang Rasulullah ﷺ telah ajar. Malangnya menurut fahaman mereka, ada orang yang kata kalau berbuat ibadat di kawasan perkuburan tertentu, akan mendapat syafaat daripada tok wali penghuni kubur itu. Inilah golongan quburiyyun yang amat banyak di dunia ini, dan malangnya umat Islam pun terlibat dalam hal ini kerana ramai yang sesat. Mereka rapat sangat dengan kubur.

Amalan ini sudah jarang ada di tempat kita tetapi sudah mula memasuki tempat kita dengan kedatangan golongan Habib dari Yaman. Golongan ini memang mengamalkan ajaran sesat ini di Yaman. Banyak sekali amal ibadat yang  mereka reka di kuburan wali dan Nabi (kononnya dikatakan kubur Nabi Hud. Bagaimana mereka boleh tahu itu adalah kubur baginda? Sebab ada yang mimpi). Mereka ini golongan sesat yang banyak reka amalan baru. Mereka kata kononnya kalau ikhlas, amalan itu diterima dan dapat pahala banyak dan kelebihan tertentu. Senang sahaja mereka kata padahal perkara itu tidak ada dalil.

Bagi masyarakat kita yang tidak tahu agama, senang sahaja mengikut apa yang mereka lakukan. Begitulah jikalau jahil agama, maka memang akan mudah tertipu oleh mereka yang berperawakan warak (pakai serban, pakai jubah, ada janggut, pegang tasbih sepanjang masa). Oleh itu, kita semua mestilah belajar agama dengan benar dan mesti mendidik masyarakat kita dengan ilmu agama supaya tidak senang ditipu. Jika tidak, mudah sahaja syaitan mempengaruhi mereka dan menyesatkan mereka sehingga masuk neraka yang kekal.

Dalam ayat ini ada 4 perkara yang akan disebut.

۞ جَعَلَ اللهُ الكَعبَةَ البَيتَ الحَرامَ قِيٰمًا لِّلنّاسِ وَالشَّهرَ الحَرامَ وَالهَديَ وَالقَلٰئِدَ ۚ ذٰلِكَ لِتَعلَموا أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَأَنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has made the Ka‘bah, the Sacred House, standing¹ for the people and [has sanctified] the sacred months and the sacrificial animals and the garlands [by which they are identified]. That is so you may know that Allāh knows what is in the heavens and what is in the earth and that Allāh is Knowing of all things.

  • Conspicuously as a symbol of Allāh’s religion.

(MELAYU)

Allah telah menjadikan Ka’bah, rumah suci itu sebagai pusat (peribadatan dan urusan dunia) bagi manusia, dan (demikian pula) bulan Haram, had-ya, qalaid. (Allah menjadikan yang) demikian itu agar kamu tahu, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

جَعَلَ اللهُ الكَعبَةَ البَيتَ الحَرامَ قِيٰمًا لِّلنّاسِ

Allah telah menjadikan Ka’bah, rumah suci itu tertegak bagi manusia,

Sekarang Allah ‎ﷻ menceritakan tentang Kaabah, satu tempat yang berkat. Dalam bahasa Arab, kaabah adalah sesuatu yang berbentuk empat segi (cubic). Pada zaman itu terdapat sebuah lagi kaabah di Yaman (dinamakan al-ka’bah al-yamaniah), jadi untuk membezakan dengan Kaabah di Mekah, maka ditambah maklumat tambahan: البَيتَ الحَرامَ.

Allah ‎ﷻ telah menjadikan Kaabah tempat manusia boleh membuat hubungan untuk urusan agama – untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Ia adalah tempat berkumpul untuk tujuan agama. Di situ adalah tempat untuk melakukan ibadat dan juga tempat mesyuarat untuk seluruh umat Islam.

Ini adalah kerana Mekah itu tempat berkumpul pemimpin dunia supaya mereka boleh bermesyuarat dan membawa pulang amanat daripada khalifah. Jika ada pengumuman penting, ia akan dilakukan di situ. Begitulah yang dilakukan pada zaman sahabat dan khalifah dahulu.

Maksud الحَرامَ: tempat suci yang diharamkan perkara-perkara tertentu. Antaranya tidak boleh membunuh, merosakkan tanaman dan binatang, amalan yang berlawanan dengan Islam dan sebagainya. Maka Kaabah menjadi tempat yang aman, manusia yang datang tidak berani membuat kacau. Jika seorang nampak pembunuh ayahnya di Kaabah waktu itu, dia akan menundukkan pandangan dan berlalu pergi tanpa membalas dendam.

Lafaz قِيامًا pula boleh bermaksud yang ia akan tetap ada di situ. Kaabah tidak akan pergi ke mana-mana. Tidak akan ada cadangan untuk menukar Kaabah ke tempat yang lain. Ia menjadi sumber ketetapan bagi manusia kerana manusia memerlukan sesuatu yang tetap dan tidak berubah-ubah.

 

وَالشَّهرَ الحَرامَ

dan bulan Haram,

Dan Allah ‎ﷻ juga telah menetapkan untuk kita dengan bulan-bulan Haram. Dalam empat bulan dalam setahun tidak boleh memulakan peperangan. Ia adalah masa yang diperuntukkan untuk beribadat.

Masyarakat Arab dahulu selalu berperang dan jika peperangan berlangsung sepanjang tahun, maka bilakah waktu untuk membuat amal ibadat pula? Maka Allah ‎ﷻ telah menjadikan 4 bulan Haram di mana perang diharamkan, supaya manusia boleh bermusafir untuk mengerjakan ibadat atau pergi ke mana-mana (untuk berniaga, contohnya).

Kalimah الشهر adalah dalam bentuk mufrad (singular) dan kerana itu ada yang berpendapat ia merujuk kepada bulan DzulHijjah sahaja di mana ia adalah bulan untuk mengerjakan Haji. Akan tetapi umumnya berpendapat ia merujuk kepada semua bulan-bulan Haram: Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Ia disebut dalam Tawbah:36 dan dalil khusus disebut dalam hadith:

الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ

“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah ﷻ menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”.

(Riwayat Bukhari, No. Hadith 4054)

 

وَالهَديَ

dan had-ya,

Maksudnya binatang yang telah dikenalpasti untuk korban di Kaabah. Sebelum tiba musim korban, seseorang itu telah menetapkan dan mengenalpasti binatang yang akan dikorbankan. Mereka akan membawa binatang itu dari kampung mereka (zaman sekarang beli sahaja di Mekah). Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu hukum: Jangan diganggu binatang itu. Lihatlah binatang pun mendapat penghormatan kerana ia dikaitkan dengan Kaabah.

Maka jika orang bermusafir membawa binatang korban ke Kaabah, mereka tidak diganggu. Walaupun pada zaman itu terdapat banyak rompakan di jalanan, tetapi mereka menghormati orang yang membawa binatang had-ya.

 

وَالقَلٰئِدَ

dan qalaid.

Maksudnya adalah kalung bunga yang dipakaikan di leher. Pada zaman dahulu mereka akan pakai sejenis kalung sebagai tanda yang dia akan pergi mengerjakan Haji dan mereka sebegini tidak diganggu. Selain daripada manusia, binatang juga ditanda khas untuk korban di Kaabah. Jangan diganggu binatang yang telah ditanda itu.

Jadi Kaabah menjadi sumber keamanan bagi orang dan juga yang berkaitan dengannya seperti binatang dan manusia yang hendak mengerjakan haji atau umrah itu.

Satu lagi yang tidak disebut di sini tetapi disebut di tempat yang lain, adalah penduduk Mekah itu sendiri. Mereka dihormati di mana-mana tanah Arab kerana mereka dianggap sebagai penjaga Kaabah. Penduduk tempat lain tidak berani mengganggu mereka. Ini kerana mereka pun ada berhala mereka yang diletakkan berdekatan Kaabah pada waktu itu. Mereka tidak berani mengganggu penduduk Mekah kerana bimbang berhala mereka akan diapa-apakan pula.

 

ذٰلِكَ لِتَعلَموا أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

demikian itu agar kamu tahu, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi 

Ada jumlah muqaddar (maklumat tambahan) di sini – Allah ‎ﷻ yang menjadikan semua yang di atas supaya kamu menyakini bahawa Allah ‎ﷻlah yang maha mengetahui lapisan langit dan bumi. Allah ‎ﷻ hendak melihat sama ada kita boleh atau tidak untuk mengikut cara-Nya, hukum-Nya, atau hanya hendak mengikut nafsu kita sahaja.

Dengan melihat apa kesan Kaabah (Rumah Allah) kepada manusia, maka manusia sepatutnya boleh melihat ada kelebihan padanya. Allah ‎ﷻ menjaga rumah-Nya dan menjadikan manusia menghormatinya di mana-mana.

 

وَأَنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Mungkin ada yang tanya kenapa perkara-perkara itu suci dan diharamkan untuk diganggu? Kita kena terima bahawa Allah ‎ﷻ tahu segalanya dan kita tidak tahu. Dan Allah ‎ﷻ tidak perlu menjelaskan untuk kita kenapa sesuatu perkara itu haram atau halal. Kita sebagai manusia kena terima sahaja.


 

Maidah Ayat 98: Jika seseorang itu masih berdegil dan tidak mahu ikut rancangan Allah ‎ﷻ, maknanya orang itu sebenarnya ikut syaitan. Syaitan memang akan cuba menyesatkan manusia, mereka akan putarbelitkan fakta dan akan menipudaya manusia. Apakah amaran Allah ‎ﷻ terhadap mereka yang sebegitu?

اعلَموا أَنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ وَأَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Know that Allāh is severe in penalty and that Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

اعلَموا أَنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya

Jika kamu tidak mahu mengikut juga hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan, tidaklah mengapa. Manusia memang diberikan pilihan sama ada untuk ikut ataupun tidak; manusia tidak dipaksa seperti malaikat dan makhluk yang lain yang kena ikut sahaja.

Namun kena ingat, jika ingin melanggar juga hukum Allah ‎ﷻ, maka kena tahulah yang hukuman yang menanti daripada Allah ‎ﷻ adalah sangat hebat. Jangan kata kamu tidak diberitahu awal-awal.

 

وَأَنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ‎ﷻ bukanlah bersikap keras sahaja, bukan berkehendak mahu menghukum hamba-Nya sahaja. Kenalah tahu juga yang Allah ‎ﷻ bersifat lembut. Dan bagi mereka yang kembali kepada-Nya, Dia Maha Mengampuni. Maka ambillah peluang ini untuk bertaubat. Jika dahulu buat salah, maka bertaubatlah. Itu yang Allah ‎ﷻ mahukan daripada kita.


 

Maidah Ayat 99: Tugas Rasul adalah menyampaikan dan tidak memaksa sesiapa. Begitu jugalah tugas kita dalam berdakwah kepada manusia. Kita hanya menyampaikan sahaja, dan jika manusia tidak mahu terima, ia di luar bidang kuasa kita.

مّا عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ ۗ وَاللهُ يَعلَمُ ما تُبدونَ وَما تَكتُمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Not upon the Messenger is [responsibility] except [for] notification. And Allāh knows whatever you reveal and whatever you conceal.

(MALAY)

Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.

 

مّا عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ

Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan, 

Tugas baginda adalah menyampaikan sahaja ajaran wahyu yang Allah ‎ﷻ telah beri kepada baginda. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh menghukum sesiapa yang tidak mahu mengikut dakwah yang disampaikan. Baginda memang tidak boleh hukum, tetapi ingat, Allah ‎ﷻ tetap akan hukum. Tidak boleh lari daripada Allah ‎ﷻ. Lari daripada Nabi boleh lagi, namun tidak boleh lari daripada Allah ‎ﷻ.

Bagi kita yang menyambung tugas Nabi menyampaikan dakwah kepada manusia pun sama juga, kita hanya boleh sampaikan sahaja. Jika ada yang tidak mahu dengar, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Kita boleh tegur majlis bid’ah yang manusia lakukan, tetapi hanya setakat tegur sahaja. Jika mereka masih hendak buat juga, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa.

 

وَاللهُ يَعلَمُ ما تُبدونَ وَما تَكتُمونَ

dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.

Allah ‎ﷻ yang tahu apa sahaja yang kamu zahirkan dengan tubuh kamu dan perkataan kamu atau yang kamu simpan dalam hati. Sama ada zahir atau batin, sama sahaja bagi Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ tahu kesemuanya. Maka ini mengingatkan kita supaya jangan membuat dosa kerana nanti akan dibalas di akhirat kelak.


 

Maidah Ayat 100: Kita janganlah terpengaruh dengan ramainya orang yang buat sesuatu amalan yang salah. Ada yang akan berhujah: “Eh, ramai orang yang buat sesuatu amalan itu, takkan salah…?!”

Itu bukanlah dalil tetapi hujah tin kosong sahaja. Sama ada ramai atau tidak yang mengamalkannya, jika tidak ada dalam syarak, ia tetap dikira salah. Kena tahu bahawa ramainya orang yang mengamalkan, bukanlah dalil untuk mengatakan betulnya sesuatu perkara itu. Ingatlah yang ada Nabi yang tidak ada pengikut langsung dan yang ramai dalam kalangan mereka yang mengamalkan syirik.

Adakah itu sebagai dalil untuk mengatakan yang mereka (para Nabi itu) tidak benar dan orang yang ramai itu yang benar? Tentulah tidak, bukan? Oleh itu, benar atau tidak sesuatu fahaman atau amalan itu hanyalah mengikut neraca Allah ‎ﷻ sahaja. Sebarang amalan ibadah, mestilah ada dalil. Maka seorang Muslim hendaklah belajar unuk meminta dalil untuk mana-mana amalan yang ada. Dan dalil itu mestilah daripada Al-Qur’an dan Sunnah (hadith yang sahih yang menjadi ikutan). Ini adalah sangat penting kerana tidak sama antara amalan yang ada dalil dan  yang tidak ada dalil.

قُل لّا يَستَوِي الخَبيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَو أَعجَبَكَ كَثرَةُ الخَبيثِ ۚ فَاتَّقُوا اللَّهَ يٰأُولِي الأَلبٰبِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Not equal are the evil and the good, although the abundance of evil might impress you.” So fear Allāh, O you of understanding, that you may be successful.

(MALAY)

Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan”.

 

قُل لّا يَستَوِي الخَبيثُ وَالطَّيِّبُ

Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik,

Ingatlah yang tidak akan sama amalan yang buruk yang datang daripada nafsu dan perkara yang baik yang datang daripada wahyu. Kita kena belajar supaya dapat membezakan manakah yang baik dan manakah yang buruk. Hanya dengan mempelajari wahyu, barulah kita akan dapat membezakannya.

Lafaz الخَبيثِ bermaksud apa-apa sahaja yang dilarang oleh Allah ‎ﷻ. Maka ia adalah perkara yang diharamkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia juga boleh merujuk kepada manusia yang mempunyai sifat yang buruk.

Lafaz الطَّيِّبُ pula merujuk kepada perkara yang baik iaitu yang dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia juga boleh merujuk kepada manusia yang mempunyai sifat yang baik.

Yang baik itu tidak akan sama dengan yang buruk. Di dalam sebuah hadith disebutkan:

“مَا قَلَّ وكَفَى، خَيْرٌ مِمَّا كَثُر وألْهَى”.

Sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih baik daripada sesuatu yang banyak tetapi melalaikan.

(HR Ahmad No. 21721) Sanadnya hasan menurut Syeikh Al-Arnaut

 

Termasuk dalam perkara ini adalah harta atau pendapatan yang haram dan halal. Ia tidak sama walaupun mungkin kita terkesan dengan banyaknya harta yang haram. Namun Allah ‎ﷻ beritahu di sini bahawa yang haram walaupun banyak, ia tidak bernilai di sisi Allah ‎ﷻ. Kerana itu tidaklah diterima infaq daripada harta yang haram, sebagaimana hadith di bawah:

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “

Rasulullah ﷺ bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya Allah ‎ﷻ bersifat at-Thoyyib dan Dia tidak menerima melainkan yang Thoyyib sahaja. Allah ‎ﷻ memerintahkan orang yang beriman sepertimana diperintah kepada para utusan Allah dengan berkata: Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mukminun: 51). Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah (Al-Baqarah: 172)
Kemudian diceritakan tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut, berdebu, menadah tangannya ke langit kemudian berkata Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makan dengan yang haram, justeru itu bagaimana dimakbulkan doanya?

(HR. Muslim No. 1015)

 

وَلَو أَعجَبَكَ كَثرَةُ الخَبيثِ

meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu,

Kita kena tetap berpegang dengan dalil, walaupun kadang-kadang hati kita dipengaruhi juga oleh banyaknya orang yang mengamalkan sesuatu perkara itu.

Bayangkan, berapa ramai yang mengamalkan salat Hajat berjama’ah dan mengadakan Majlis Tahlil, zikir beramai-ramai dan sebagainya. Inilah hujah yang selalu digunakan oleh pengamal bid’ah. Mereka kata: “Ramai orang yang buat, takkan semua mereka salah; takkan semua mereka nak masuk neraka pula!”

Dan jangan kita terkeliru dengan banyaknya benda yang tidak ada dalam syarak. Rasa bagaikan sudah tidak dapat dielakkan lagi kerana terlalu banyaknya perkara yang dibuat oleh manusia. Jangan terpengaruh dan jangan patah semangat. Kita kena tetap berpegang teguh dengan amalan-amalan yang sahih sahaja kerana yang sahih itu sahajalah yang diterima.

Yang menjadi masalah dengan jiwa kita ini, ialah jika perkara yang buruk itu sudah terlalu banyak, kadang-kadang kita rasa seolah-olah sudah tidak ada apa masalah lagi dengannya, mungkin kerana sudah berasa lali. Sebagaimana kita lihat orang tidak menutup aurat – sudah rasa seperti biasa sahaja berjalan di luar dan melihat orang tidak tutup aurat padahal benda itu adalah benda yang salah. Ingat, yang salah tetap salah walaupun ramai yang melakukannya.

Begitu juga, kita kadang-kadang sudah rasa biasa dengan percakapan yang kotor atau yang kurang ajar kerana sudah biasa sangat kita dengar. Inilah bahaya kalau kita tidak berhati-hati dan prihatin dengan kebenaran. Sekali lagi: yang salah tetap salah walaupun ramai yang buat.

Oleh kerana itulah kita kena jaga hati kita dengan kuat sekali. Kena ada usaha daripada kita sendiri dan tidak boleh kita biarkan sahaja. Kita kena pastikan yang kita menhamalkan agama Islam yang tulen. Inilah jihad (usaha yang kuat) yang kita kena lakukan.

 

 فَاتَّقُوا اللَّهَ يٰأُولِي الأَلبٰبِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan”.

Takutlah kepada Allah ‎ﷻ, wahai orang yang mempunyai yang akal waras. Dalam melakukan amalan, fikirkanlah, bukan payah pun. Kena guna akal yang cerdik sikit, bukan ikut orang sahaja. Maka kena belajar dan belajar, fikir dan fikir. Memang begitulah hidup kita. Allah ‎ﷻ telah beri otak dan minda kepada kita, maka kita kena gunakan. Kita bersusah payah menggunakan minda kita untuk belajar dan berfikir ini, semuanya akan diberi pahala oleh Allah ‎ﷻ.

Mudah-mudahan kamu akan beruntung di dunia dan di akhirat. Di dunia pun kita hendakkan untung, lebih-lebih lagi di akhirat. Jadi jangan salah membuat amalan kerana ia merugikan masa di dunia dan nanti lebih teruk lagi kita akan disoal di akhirat kelak (kenapa kamu buat perkara tidak ada dalil?).

Sekian Ruku’ 13 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Maidah Ayat 101: Allah ‎ﷻ melarang bertanyakan perkara yang tidak memberi faedah. Begitulah ramai juga yang suka mengkaji perkara yang tidak perlu dikaji. Itu semua adalah perkara yang membuang masa, sedangkan kita bukan lama hidup di dunia. Bertanya itu memang digalakkan untuk belajar, tetapi pertanyaan tentang perkara yang tidak berfaedah itu adalah perbuatan membuang masa sahaja.

Sebab itu kita katakan, dalam beragama ini kenalah cerdik, kenalah rebut perkara yang jelas membuahkan hasil. Dan jangan buat perkara yang sia-sia. Oleh itu, jangan tanya perkara yang sia-sia. Apabila soal benda yang sia-sia, jawapan yang dapat pun adalah sia-sia juga. Contohnya, tanya arah kiblat jika salat di bulan. Padahal bukan dia hendak ke bulan pun esok atau lusa.

Maka para sahabat dahulu pun sudah ditegur oleh Allah ‎ﷻ di atas soalan-soalan mereka. Jangan buang masa mereka dan jangan buat masa Nabi ﷺ. Dan kadangkala soalan mereka itu boleh menyusahkan mereka pula.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم وَإِن تَسئلوا عَنها حينَ يُنَزَّلُ القُرءآنُ تُبدَ لَكُم عَفَا اللَّهُ عَنها ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not ask about things which, if they are shown to you, will distress you. But if you ask about them while the Qur’ān is being revealed, they will be shown to you. Allāh has pardoned it [i.e., that which is past]; and Allāh is Forgiving and Forbearing.

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al Qur’an itu diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini adalah nasihat kepada orang-orang yang sudah beriman. Kena beri perhatian kalau hendak menjadi orang yang beriman.

 

لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم

janganlah kamu menanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu

Orang beriman dinasihatkan supaya jangan bertanya perkara yang sia-sia. Itulah maksudnya di dalam ayat ini kerana sekiranya diberitahu kepada kamu perkara itu, ia hanya akan menyusahkan kamu.

Ada riwayat yang mengatakan bagaimana ada sahabat yang bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ, siapakah ayahnya. Memang ada yang Nabi ﷺ jawab. Tetapi mereka yang bertanya itu tidak sedar yang dia itu mungkin anak zina. Itu memang ada kemungkinan kerana sebelum itu mereka adalah jahiliyah dan pada zaman waktu jahiliyah, penzinaan memang berleluasa. Dari dia tidak tahu dia anak zina, sekarang dia sudah menjadi resah sebab sudah pasti dia anak zina. Allah ‎ﷻ melarang kerana soalan itu tidak memberi faedah.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُطبة مَا سَمِعْتُ مِثْلَهَا قَطُّ، قَالَ “لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا” قَالَ: فَغَطَّى أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وُجُوهَهُمْ لَهُمْ حَنِينٌ. فَقَالَ رَجُلٌ: مَنْ أَبِي؟ قَالَ: “فَلَانٌ”، فَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ}

Daripada Anas ibnu Malik yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah mengemukakan suatu khutbah yang belum pernah kudengar hal yang semisal dengannya. Dalam khutbahnya itu antara lain beliau ﷺ bersabda: Sekiranya kalian mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kalian benar-benar sedikit tertawa dan benar-benar akan banyak menangis. Anas ibnu Malik melanjutkan kisahnya, “Lalu para sahabat Rasulullah ﷺ menutupi wajahnya masing-masing, setelah itu terdengar suara esakan mereka. Kemudian ada seseorang lelaki berkata, ‘Siapakah ayahku?’ Maka Nabi ﷺ menjawab, ‘Si Fulan.” Lalu turunlah firman-Nya: Janganlah kalian menanyakan (kepada nabi kalian) banyak hal. (Al-Maidah: 101).

(HR. Bukhari No. 4621)

 

Pernah juga terjadi, sahabat bertanya, adakah mengerjakan Haji itu wajib setiap tahun? Nabi ﷺ menoleh tidak menjawab. Ini adalah kerana soalan itu bukanlah soalan yang bagus. Kalau Allah ‎ﷻ tidak menetapkan ia perlu dikerjakan setiap tahun, terimalah itu sahaja. Kerana kalau ditanya-tanya dan Nabi ﷺ jawab kena buat setiap tahun, bukankah akan menyusahkan umat Islam pula? Bayangkan kalau kita sekarang kena pergi buat Haji setiap tahun?

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا} [آلِ عِمْرَانَ: 97] قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ،كُلَّ عَامٍ؟ فَسَكَتَ. فَقَالُوا: أَفِي كُلِّ عَامٍ؟ فَسَكَتَ، قَالَ: ثُمَّ قَالُوا: أَفِي كُلِّ عَامٍ؟ فَقَالَ: “لَا وَلَوْ قُلْتُ: نَعَمْ لَوَجَبَتْ”، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ} إِلَى آخَرِ الْآيَةِ.

Daripada Ali yang menceritakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yakni firman-Nya: Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah (Ali Imran: 97) Lalu mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ diam, tidak menjawab. Mereka bertanya lagi, “Apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ tetap diam. Kemudian mereka bertanya lagi, “Apakah untuk setiap tahun?” Rasulullah ﷺ baru menjawab: Tidak, dan seandainya kukatakan ya, nescaya menjadi wajib; dan seandainya diwajibkan (tiap tahunnya), nescaya kalian tidak akan mampu. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian menanyakan (kepada nabi kalian) hal-hal yang jika diterangkan kepada kalian nescaya menyusahkan kalian. (Al-Maidah: 101), hingga akhir ayat.
(Musnad Ahmad. Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Turmuzi dan Ibnu Majah melalui jalur Mansur ibnu Wardan dengan lafaz yang sama). 

Pada zaman sekarang, ramai yang mula belajar agama dan mereka hendak tahu mengenai pelbagai perkara. Mereka selalunya akan tanya adakah haram atau halal sesuatu perkara itu.

Dan apabila dijawab yang ia adalah haram, mereka tidak berpuas hati pula dan mereka akan pergi tanya orang lain pula, sampailah ada yang ada kata ia adalah halal. Itu maknanya dia itu bukanlah ikhlas hendak tahu tetapi kerana hendak mendapatkan kelulusan perkara yang dia sendiri hendak buat.

Ini bukanlah menutup pintu untuk bertanya soalan pula. Kalau kita memang ikhlas hendak tahu sesuatu hukum itu, maka bolehlah bertanya untuk mendapatkan kepastian. Contohnya soalan yang berbunyi ‘bagaimana hendak buat?’ adalah bagus; tetapi jika ditanyakan soalan: ‘kenapa kena buat?’ adalah tidak bagus.

 

وَإِن تَسئلوا عَنها حينَ يُنَزَّلُ القُرءآنُ تُبدَ لَكُم

dan jika kamu menanyakan di waktu Al Qur’an itu diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu, 

Dan sekiranya para sahabat bertanyakan perkara itu ketika wahyu masih lagi diturunkan (Nabi ﷺ masih hidup), nescaya akan dizahirkan apakah jawapan yang sebenar.

Ini adalah kelebihan yang ada kepada para sahabat. Mereka sahaja yang boleh mengamalkan ayat ini kerana Rasulullah ﷺ berada dalam kalangan mereka. Mereka yang duduk dengan Nabi ﷺ dan dapat berinteraksi dengan baginda secara langsung. Dan pertanyaan mereka itu menjadi sandaran agama buat kita yang di belakang ini.

Namun begitu Allah ‎ﷻ telah memberi peringatan kepada mereka supaya berjaga-jaga. Dalam surah Baqarah sudah diterangkan tentang kisah Yahudi dan lembu yang perlu disembelih. Lihatlah bagaimana mereka terus bertanya tentang lembu apa yang perlu disembelih dan setiap kali mereka bertanya, lembu yang dicari itu menjadi semakin sukar untuk dicari. Itu sudah menyusahkan mereka, sedangkan kalau disuruh sembelih lembu dan mereka terus sembelih, mereka boleh ambil mana-mana lembu sahaja.

Oleh itu, generasi umat Nabi Muhammad ﷺ yang awal diingatkan supaya tidak menyusahkan hidup mereka dan orang-orang yang selepas mereka. Mereka sebagai generasi pertama memang mempunyai tanggungjawab yang berat kerana apa yang mereka lalui menjadi agama bagi orang selepas mereka. Jadi Allah ‎ﷻ suruh mereka berhati-hati.

Di dalam sebuah hadith telah disebutkan:

“أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرّم فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ”

Orang muslim yang paling besar dosanya ialah seseorang yang menanyakan sesuatu yang tidak diharamkan, lalu menjadi diharamkan kerana pertanyaannya itu.

(HR. Bukhari No. 7289)

Selepas wafatnya Nabi ﷺ, wahyu tidak turun lagi. Jadi tidaklah ada lagi hukum baru yang timbul. Akan tetapi, bertanya soalan-soalan yang tidak perlu masih lagi dilarang berdasarkan ayat ini, kerana ia adalah perbuatan yang membuang masa. Buang masa orang yang bertanya dan orang yang ditanya.

Orang kita rajin mencari maklumat perkara yang tidak perlu. Contohnya ada yang bertanya apa nama sebenar ibu Nabi Musa عليه السلام, berapa panjangkah bahtera Nabi Nuh عليه السلام, dan lain-lain seumpama itu. Apa perlunya maklumat ini? Kenapa buang masa hendak tahu? Salah satu kepandaian pelajar ilmu adalah tidak menyibukkan dengan maklumat yang tidak perlu dan bermanfaat.

 

عَفَا اللَّهُ عَنها

Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. 

Allah ‎ﷻ memaafkan mereka terhadap soalan yang lepas-lepas, yang tidak patut itu. Jangan buat lagi.

Atau, ia bermaksud, hal-hal yang tidak disebutkan Allah ‎ﷻ di dalam kitab-Nya, maka hal tersebut termasuk yang dimaafkan. Kerana itu, diamlah kalian sebagaimana Nabi ﷺ diam terhadapnya. Di dalam hadith sahih disebutkan  bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“ذَرُونِي مَا تُرِكْتُم؛ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَثْرَةُ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ”.

Biarkanlah aku dengan apa yang kutinggalkan untuk kalian, kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kalian telah binasa hanyalah kerana mereka banyak bertanya dan sering bolak-balik kepada nabi-nabi mereka (yakni banyak merujuk).

(HR. Ibnu Hibban No. 3704) Disahihkan oleh Syeikh al-Arnauth.

Maknanya, kalau perkara yang tidak disebut, maka lapangkanlah dada, jangan dicari-cari lagi.

Di dalam hadith sahih yang lain disebutkan pula:

إِنَّ اللَّهَ فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضيِّعُوها، وحَدَّ حُدُودًا فَلَا تَعْتَدُوهَا، وحَرَّم أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ غَيْرَ نِسْيان فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا”.

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ telah menetapkan hal-hal yang fardu, maka janganlah kalian menyia-nyiakannya; dan Dia telah menetapkan batasan-batasan, maka janganlah kalian melampauinya; dan Dia telah mengharamkan banyak hal, maka janganlah kalian melanggarnya. Dan Dia telah mendiamkan (tidak menjelaskan) banyak hal kerana kasihan kepada kalian bukan kerana lupa, maka janganlah kalian menanyakannya.

(HR. Ad-Daruquthni 4/183, Al-Hakim dalam Mustadraknya No. 7114) (Hadith hasan menurut Syeikh al-Albani dan al-Arnauth)

 

وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.

Allah ‎ﷻ memmaafkan kerana Allah itu Maha Pengampun. Dan Dia juga al-halim – maksudnya Dia tahu apa yang mereka lalui. Allah ‎ﷻ tahu isi hati mereka. Memang hati manusia suka bertanya, tetapi sekarang diajar kenalah berhati-hati dalam bertanya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Ogos 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Baqarah Ayat 143 (Tentang penukaran Kiblat)

Ayat 143:

وَكَذٰلِكَ جَعَلنٰكُم اُمَّةً وَّسَطًا لِّتَکُونُوا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيكُم شَهِيدًا ؕوَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنّاسِ لَرَءوفٌ رَحيمٌ

Sahih International

And thus we have made you a just community that you will be witnesses over the people and the Messenger will be a witness over you. And We did not make the qiblah which you used to face except that We might make evident who would follow the Messenger from who would turn back on his heels. And indeed, it is difficult except for those whom Allah has guided. And never would Allah have caused you to lose your faith. Indeed Allah is, to the people, Kind and Merciful.

Malay

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

 

وَكَذَٰلِكَ

Dengan kesempurnaan inilah,

Ini adalah jawapan ‘penuh kesempurnaan’. Lafaz كَذَٰلِكَ asalnya bermaksud perbandingan antara satu perkara dengan perkara yang lain, tetapi dalam ayat ini, ia bukan bandingan sebab tidak ada bandingan untuk dibandingkan. Kalau kita hendak pakai juga maksud ‘perbandingan’, akan susah untuk tafsir.

Maka kita kena ambil ia bermaksud ‘kesempurnaan’. Untuk mencapai kesempurnaan, [ayat seterusnya]…

 

جَعَلنَـٰكُم أُمَّةً وَسَطًا

Kami jadikan kamu sebagai ‘umat pertengahan’;

Dan untuk kesempurnaanlah, Kami jadikan kamu umat terbaik. Lafaz وَسَطًا maksudnya ‘yang terbaik’. Umat Islam adalah umat terbaik dari dahulu sampai sekarang; Mereka terpilih kerana mereka mengikut arahan Allah ‎ﷻ. Walaupun sebenarnya hati mereka mungkin tidak suka kerana mereka hendak menghadap ke Kaabah.

Banyak pentafsiran tentang makna perkataan أُمَّةً وَسَطًا (umat pertengahan) ini. ‘Pertengahan’ apakah yang dimaksudkan? Umat Islam duduk di tengah-tengah antara perkara yang terlampau – “between two extremes”. Iaitu antara kepentingan peribadi dan masyarakat. Kita tidak terlalu melebihkan diri sendiri sehingga melupakan masyarakat dan tidak juga melebihkan masyarakat sampai melupakan kepentingan individu.

Kerana itulah ada ibadat dalam Islam yang melibatkan peribadi (seperti salat sunat bersendirian) dan dalam masyarakat (seperti salat berjemaah). Dan ada ibadat yang menggabungkan kedua-duanya seperti ibadat Haji – ia adalah ibadat persendirian (buat sendiri-sendiri) tetapi dilakukan beramai-ramai. Kita hidup bermasyarakat, jadi tidak boleh kepentingan peribadi kita sampai menyakiti orang lain.

Begitu juga kita adalah umat pertengahan antara intelektual dan spiritual. Kita tidak berlebihan antara keduanya. Kita tidaklah terlalu mementingkan intelektual dan tidak terlalu mementingkan spiritual – kita seimbang antara keduanya. Ini adalah kesilapan Ahli Kitab terdahulu. Bangsa Yahudi terlalu mementingkan intelektual. Mereka adalah umat yang berilmu – tetapi mereka pandai sangat (terlebih pandai) sampaikan mereka hendak mengubah kitab mereka sendiri dengan sangkaan ia lebih relevan dengan keperluan semasa.

Dan Kristian pula terlalu melebihkan elemen spiritual sampaikan mereka meninggalkan ilmu – mereka buat ibadat tanpa ilmu. Mereka tidak menerima elemen sains contohnya. Mereka terima bulat-bulat penipuan-penipuan yang dilakukan oleh ahli-ahli agama mereka.

Di sebalik dua agama yang telah sesat itu, adanya Al-Qur’an yang mengandungi kedua-dua elemen ini – intelektual dan spiritual. Oleh itu, jikalau kita hendak menjadi umat pertengahan seperti yang disebut dalam ayat ini, maka kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an iaitu dari Allah ‎ﷻ sendiri.

‘Pertengahan’ juga bermaksud antara pengetahuan dan perbuatan. Jangan kita tahu ilmu sahaja, tetapi kita tidak buat. Begitu juga, jangan kita buat amalan tanpa mengetahui apakah ilmu di sebaliknya dan hukumnya. Begitulah indahnya Islam ini.

 

لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ

Supaya kamu akan menjadi saksi (di akhirat nanti), ke atas manusia;

Allah jadikan kita sebagai umat pertengahan supaya umat Islam semua menjadi saksi kepada seluruh manusia di akhirat nanti bahawa para Nabi sepanjang zaman telah menyampaikan ajaran agama kepada umat mereka.

Di akhirat nanti, apabila ditanya kepada umat terdahulu adakah Nabi-nabi mereka telah menyampaikan dakwah kepada mereka, puak yang derhaka dari kalangan mereka masih juga mahu berbohong. Mereka akan kata tidak ada Nabi yang sampaikan ajaran kepada mereka (kerana itu mereka sesat).

Maka, Nabi-nabi mereka akan ditanya sama ada mereka telah menyampaikan. Para Nabi itu akan jawab yang mereka memang telah sampaikan, cuma umat mereka itu sahaja yang degil tidak mahu menerima. Kemudian akan ditanya kembali kepada umat mereka. Umat yang degil akan jawab balik yang Nabi itu telah bohong. Nabi-Nabi itu akan jawab yang dalil mereka adalah umat Nabi Muhammad ﷺ, iaitu umat akhir zaman.

Kaum mereka akan kata, bagaimana umat Nabi Muhammad ﷺ boleh menjadi saksi kerana umat Nabi Muhammad ﷺ tidak ada masa itu? Maka umat Islam akan jawab yang mereka boleh jadi saksi kerana mereka telah diberitahu dalam Al-Qur’an dan mereka telah belajar isi kandung Al-Qur’an itu. Dan mereka akan kata, dalam Al-Qur’an telah disebut bagaimana semua Nabi sudah sampaikan ajaran agama kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ kata benarlah saksi itu.

Orang Islam juga akan menjadi saksi kepada Nabi Muhammad ﷺ bahawa baginda telah menyampaikan segala ajaran baginda kerana baginda juga termasuk dalam lingkungan para Nabi. Kita boleh berkata begitu dengan yakin kerana ajaran baginda telah sampai kepada kita. Apabila ditanya adakah telah disampaikan ajaran Nabi Muhammad ﷺ, kita akan jawab “Ya, sudah sampai”. Kerana ada manusia yang akan kata tidak sampai kepada mereka. Tapi kita akan jawab, bagaimana tidak sampai, sedangkan kita telah dapat ajaran itu.

Oleh itu, apakah jawapan pengikut-pengikut Tarekat dan Sufi yang memegang pendapat bahawa ada ajaran-ajaran tertentu dan kononnya yang khas yang mereka kata Nabi ﷺ hanya sampaikan kepada sahabat-sahabat tertentu sahaja? Apabila mereka berkata begitu, mereka sebenarnya menuduh Nabi Muhammad ﷺ tidak sampaikan semua ajaran kepada semua manusia (ada yang baginda sorok dan bagi kepada orang tertentu sahaja). Itu adalah satu dakwaan yang teramat jahat kepada Nabi ﷺ.

Kita juga akan menjadi saksi kepada orang-orang yang di sekeliling kita. Ini kerana kita kenal belaka siapa yang tidak ikut setelah kita beri dakwah kepada mereka. Kita akan jadi saksi di hadapan Allah ‎ﷻ nanti. Bahawa kita sudah sampaikan kepada mereka tetapi mereka yang tidak mahu juga ikut.

Namun kita kenalah jadi orang yang mengikut sunnah terlebih dahulu dan dakwah kepada mereka. Kalau kita pun tidak dakwah kepada mereka, bagaimana pula kita hendak menjadi saksi?

Begitu juga, kita sepatutnya menjadi ikutan kepada semua manusia. Semua manusia sepatutnya menjadikan kita sebagai contoh ikutan mereka. Namun malangnya, umat Islam kebanyakannya teruk sangat akhlaknya sampaikan tidak berselera orang-orang bukan Islam untuk mengikuti kita. Mereka akan kata: “Kalau Islam itu baik, tentulah penganutnya pun orang yang baik-baik juga”. Jadi, kita sebenarnya telah memburukkan nama agama Islam dengan akhlak kita yang buruk. Ini amat memalukan sekali.

Cara pengamalan agama kita pun tidak betul. Bayangkan ada yang mengaku sebagai Muslim tetapi mencederakan diri mereka sampai berdarah kononnya untuk memohon pengampunan seperti yang dilakukan oleh Syiah; bayangkan ada orang yang berzikir terlompat-lompat, terkinja-kinja seperti kera? Apa agaknya pandangan orang bukan Islam melihat perbuatan mengarut itu?

Bayangkan juga ada orang Islam yang mengambil rasuah terang-terangan, ada yang kerjanya menipu setiap hari, ada yang selamba sahaja menyakitkan orang lain dan sebagainya lagi. Bayangkan seorang yang nampak alim tetapi berlaku zalim terhadap ahli keluarganya sendiri? Orang Islam yang mengutuk sana dan sini, mengadu domba? Semua ini memalukan nama Islam.

Masalahnya, jikalau kita tidak boleh menjadi ikutan kepada orang lain, maka orang-orang bukan Islam itu boleh menjadikan kita sebagai alasan kenapa mereka tidak mahu memasuki Islam. Mereka boleh berhujah di hadapan Allah ‎ﷻ nanti bahawa mereka tidak nampak keindahan Islam disebabkan oleh akhlak buruk penganut Islam.

Namun  begitu, alhamdulillah masih ramai lagi yang masuk Islam walaupun mereka telah lihat perangai buruk penganut Islam. Itu adalah kerana mereka telah mengkaji Islam yang sebenarnya dan hasilnya mereka dapat memahami bahawa yang teruk bukannya Islam, tetapi ‘orang Muslim’. Mereka yang tetap juga masuk Islam itu adalah orang-orang yang Allah ‎ﷻ telah berikan hidayah kepada mereka. Ada yang berkata: “Nasib baik saya kenal Islam sebelum saya kenal orang Muslim.”

Dan dalam masa yang sama, memang ada orang-orang mukmin yang telah menjadi sebab kepada orang bukan Islam untuk melihat keindahan Islam. Dari orang-orang mukmin yang berperangai mulia itulah orang bukan Islam dapat melihat keindahan Islam. Bukanlah semua orang-orang Islam itu teruk. Soalannya, adakah kita hendak menjadi antara mereka yang teruk atau antara mereka yang mukmin?

 

وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Dan Rasul (Nabi Muhammad) itu menjadi saksi ke atas kamu;

Nabi Muhammad ﷺ sendiri akan menjadi saksi ke atas umat Islam betapa benarnya penyaksian mereka. Sebelum ini telah disebut bagaimana umat Islam akan menjadi saksi bahawa para Nabi telah menyampaikan ajaran dakwah kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ pula akan menjadi saksi bahawa benarlah penyaksian kita itu.

Nabi Muhammad ﷺ juga akan menjadi saksi ke atas orang yang beriman. Iaitu mereka yang mengamalkan sunnah dan menyebar ugama. Tentulah kita suka kalau Nabi Muhammad ﷺ sendiri menjadi saksi ke atas kita di Mahsyar nanti. Baginda akan menjadi saksi mengatakan yang kita telah mengikut sunnah. Bayangkan besarnya nikmat kalau begitu. Bayangkan yang Nabi Muhammad ﷺ yang menjadi saksi ke atas kita.

Guru kita pula akan menjadi saksi ke atas kita, gurunya menjadi saksi ke atasnya pula, sampailah kepada sahabat dan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Itulah yang dipanggil sanad. Maka, kenalah kita sebar ugama supaya ada orang yang menjadi saksi kepada kita nanti.

Ia bukan satu kerja yang senang. Hendak suruh manusia jangan bersanding pun sudah susah. Jangan kata hendak larang, tidak pergi pun sudah susah – takut macam-macam orang kata kalau kita tidak pergi. Padahal bersanding itu adalah amalan agama Hindu. Kita tahu bahawa Hindu itu satu agama yang mengamalkan syirik. Kerusi bersanding itulah yang menjadi simbolik kepada pemujaan yang dilakukan oleh penganut Hindu. Iaitu perlambangan perkahwinan Sri Rama dan Sita Devi.

Ditambah pula lagi dengan ‘suap semangat’ dan renjis merenjis – itu adalah cara pemujaan agama mereka dan itu adalah perbuatan kufur kepada Allah ‎ﷻ. Kita lihat sendiri pun sudah tahu ia sama sahaja dengan perbuatan agama Hindu, bukan? Amalan itu semua adalah tinggalan daripada agama Hindu nenek moyang kita dahulu. Sebab mereka dahulu sebelum masuk Islam, beragama Hindu.

Sebenarnya banyak yang mengamalkan lagi amalan-amalan peninggalan agama Hindu kerana sayang kepada perbuatan itu (dikatakan kononnya adat). Jaga sangat adat resam sampai mereka rasa tidak boleh hendak tinggal. Kalau ada yang larang, yang menegur itu pula yang kena marah. Selalunya ia dari orang-orang yang jahil agama sahaja.

Maka kita yang hendak mengamalkan sunnah ini pula yang susah hati bila menegur. Kalau kita tegur, ramai yang akan marah. Alasan yang diberi adalah “tidak sayangkan adat”. Padahal adat itu bercanggah dengan agama Islam. Kalau adat itu tidak bercanggah, kita pun tidak tegur. Tapi janganlah kita takut untuk tegur. Jangan hiraukan penolakan orang yang jahil agama. Mereka yang kena dengar kata kita, bukannya kita yang kena dengar kata mereka.

Satu lagi, Nabi ﷺ akan menjadi saksi ke ‘atas’ kita, bukan ‘untuk’ kita. Ini kalau kita buat amalan yang salah – amalan bidaah dan amalan syirik. Nabi ﷺ akan dipanggil nanti dan Nabi ﷺ akan ditanya sama ada baginda telah mengajar manusia untuk berbuat amalan yang salah itu. Waktu itu, Nabi ﷺ akan berkata itu tidak benar, baginda tidak pernah ajar amalan itu dan baginda tidak dapat menolong kita untuk mempertahankan kita.

Ada dalam satu riwayat, pernah Nabi ﷺ suruh sahabat membacakan Al-Qur’an kepada baginda (kerana baginda suka kalau dibacakan Al-Qur’an kepada baginda). Apabila sampai kepada ayat di mana baginda akan menjadi saksi ke atas umatnya, baginda suruh sahabat itu berhenti membaca dan baginda tidak tahan dan terus menangis. Kerana baginda tahu bahawa baginda akan dipanggil menjadi saksi ke atas umatnya (mengatakan kita tidak mengikut ajarannya). Kita sangka Nabi ﷺ akan menolong kita, namun sebaliknya. Jadi ini amat menakutkan. Ini menimbulkan satu persoalan kepada kita: Adakah kita benar-benar telah mengamalkan sunnahnya?

Oleh itu, jangan kita tersilap sangka seperti puak-puak ahli Kitab. Mereka sangka Nabi-nabi mereka akan menolong mereka, tetapi tidak. Kalau apa yang mereka amalkan itu salah, Nabi-nabi itu tidak akan dapat menolong pengikut-pengikut mereka. Kerana sebenarnya, mereka tidak mengikut pun ajaran Nabi-nabi mereka itu tetapi mereka reka amalan yang baru.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita dengan bermacam-macam amalan bidaah yang mereka amalkan. Bagaimana mereka boleh sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan menolong mereka, bagi syafaat kepada mereka padahal amalan yang mereka lakukan itu tidak pernah Nabi ﷺ ajar?

Jangan kita sangka yang kalau kita beragama Islam sahaja, kita akan selamat, Nabi ﷺ akan bantu kita. Itu tidak akan berlaku sama sekali. Bayangkan, Nabi Muhammad ﷺ pernah berkata kepada anaknya, Fatimah رضي الله عنها – kalau Fatimah رضي الله عنها melakukan kesalahan, baginda pun tidak dapat menolong. Kalau anaknya sendiri baginda tidak dapat tolong, bagaimana baginda boleh hendak menolong kita?

 

وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا

Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang kamu dulu menghadap kepadanya itu

Ini adalah jawapan kedua tentang kenapa kiblat mengalami pertukaran. Iaitu dari BaitulMaqdis ke Mekah (Kaabah). Dahulu umat Islam telah mengadap Kiblat ke arah BaitulMaqdis semasa di Mekah. Kiblat itu diteruskan selama 16 bulan atau 17 bulan semasa di Madinah. Kemudian telah ditukar ke arah Kaabah. Sekarang Allah ﷻ jelaskan kenapa Allah ﷻ buat penukaran itu.

 

إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ

melainkan supaya Kami dapat tahu siapa yang ikut Rasul;

Allah ‎ﷻ membuat penukaran arah kiblat itu kerana hendak membezakan antara hamba-Nya: Mana yang ikut Nabi ﷺ semata-mata atau hanya mengikut baginda kerana Nabi ﷺ salat sama dengan kiblat mereka. Kalau mereka sudah tidak lagi ikut kiblat baru itu, bermaksud dahulu dia ikut Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ mengikut dia sahaja. Dan apabila Nabi ﷺ sudah tidak sama dengan kiblat mereka, mereka sudah tidak ikut. Maknanya, hidayat mereka dulu tidak sempurna.

Bukanlah ayat ini bermaksud Allah ‎ﷻ jahil tidak tahu siapa yang sebenarnya beriman. Sebenarnya Allah ‎ﷻ cuma hendak bezakan kepada umat Islam sahaja. Bukanlah Allah ‎ﷻ tidak tahu iman hamba-Nya sampaikan Dia kena buat sesuatu untuk memastikannya pula – kalau ada yang kata begini, itu adalah salah sama sekali. Allah ‎ﷻ Maha Tahu hati hamba-hamba-Nya. Cuma Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan iman mereka yang sebenarnya kepada orang Mukmin.

Ia adalah ujian Allah ‎ﷻ kepada sahabat untuk memperlihatkan siapakah yang taat dan siapa yang tidak. Mereka yang taat itu adalah mereka yang sanggup mengikut arahan Nabi ﷺ tanpa banyak soal. Waktu penukaran itu, banyak umat Islam yang telah goyah agama mereka. Ada yang kata adakah Allah ‎ﷻ telah salah beri alamat semasa suruh pakai kiblat yang dahulu? Dan berbagai-bagai lagi isu-isu yang timbul.

Ada yang waktu itu mereka baru masuk Islam dari agama lain. Dan penukaran kiblat itu menyebabkan mereka sangsi kepada Islam kerana nampak Islam macam tidak tetap pendirian – ini adalah kerana mereka masih jahil lagi dan tidak faham agama Islam lagi. Allah ‎ﷻ hendak melihat siapakah yang mahu ikut arahan tanpa soal.

 

مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ

dan siapa yang berpaling ke belakang;

Iaitu mereka yang tidak ikut Nabi ﷺ, iaitu golongan munafik dan juga golongan Yahudi. Ada dari kalangan mereka yang kembali kepada agama asal, iaitu kufur. Mereka meninggalkan agama Islam kerana mereka salah faham dan mereka sendiri yang tidak tetap pendirian untuk ikut apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ sampaikan.

Allah ‎ﷻ hendak menguji manusia tentang arahan kiblat ini. Sama ada mereka tetap patuh arahan Allah ‎ﷻ atau tidak. Jadi ada dua golongan yang diuji waktu itu:

1. Muhajirin yang meninggalkan Mekah ke Madinah waktu itu diuji kerana membelakangi Kaabah dan Mekah. Apabila mereka di Madinah mereka kena salat mengadap ke Jurusalem dan membelakangi Mekah. Tentu berat bagi mereka.

2. Golongan Ansar diuji apabila arahan mengadap ke Kaabah. Mereka lebih rapat dengan Jurusalem kerana mereka sudah lama duduk dengan Yahudi dan kiblat Yahudi adalah ke Jurusalem.

Allah ‎ﷻ hendak lihat siapakah yang taat kepada kepada arahan-Nya. Tempat menghadap itu tidak lebih penting daripada arahan Allah ‎ﷻ. Kita kena tetap taat kepada apa sahaja arahan dari Allah ‎ﷻ. Kalaulah ditakdirkan dalam salat kita disuruh menghadap ke banyak arah pun kita kena buat. Katakanlah waktu berdiri Allah ‎ﷻ suruh menghadap satu arah dan bila rukuk kena menghadap lain arah, sujud arah lain pula. Kalau itu yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, kita tetap juga kena ikut.

Apakah pula ujian bagi kita yang tidak hidup pada zaman itu? Kita pun diuji untuk terima arah kiblat ini. Janganlah hendak pening kepala fikir kenapa ke Kaabah? Adakah kita sujud kepada Hajarul Aswad pula? Ini antara soalan-soalan ujian yang bermain di kepala masyarakat kita sampai sekarang.

Memang ia ada ditimbulkan oleh agama lain seperti Hindu dan ramai Muslim yang pening juga. Jawapan kenapa menghadap ke Kaabah adalah kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Senang sahaja jawapannya. Kenapa hendak pening menjawab soalan daripada penganut agama yang mereka itu sendiri tidak tentu arah?

Dalam konteks yang lebih luas, ini adalah ujian untuk taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dalam segala hal. Apabila kita tahu sesuatu hukum yang ada dalam nas agama, adakah kita akan ikut? Kita pun tahu, kalau ada dalil, kenalah ikut. Jangan lagi hendak berhujah: “Amalan ini dah lama buat, ustaz itu ajar, tok nenek kita dah amalkan dan takkan mereka salah, adakah mereka masuk neraka….” dan macam-macam lagi hujah-hujah bathil dari manusia yang jahil.

Jangan semakkan fikiran kita. Arahan Allah ‎ﷻ lebih penting daripada terus memikirkan kata-kata orang lain. Kita mesti pentingkan arahan Allah ‎ﷻ, bukannya kata-kata manusia yang pelbagai. Kita sendiri tahu, yang selalu buat bising itu tidak belajar agama pun, jadi kenapa kita hendak hiraukan pendapat mereka? Mereka yang kena ikut kita yang belajar ini, bukan sebaliknya.

 

وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً

Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah satu perkara yang amat berat untuk dipikul;

Memang menukar arah kiblat bagi para sahabat itu adalah perbuatan yang amat berat bagi mereka. Memang begitulah, untuk mengikut Allah ‎ﷻ dan Rasul semata-mata adalah susah kerana ramai yang tidak mengikutnya. Contohnya, seperti hendak meninggalkan amalan bersanding semasa majlis kahwin. Atau tidak hadir ke majlis tahlil, atau Maulid Nabi.

Ini kerana amalan sesat itu dibuat oleh ramai manusia dalam masyarakat. Jadi kita takut masyarakat tidak dapat menerima kita. Kita takut kepada mereka yang jahil. Ini adalah salah dan mereka yang sebegini adalah lemah iman mereka.

Jadi, pengajarannya, kita kena ada semangat yang kuat untuk mengikut ajaran Nabi ﷺ kita. Jangan hiraukan apa orang kata. Kalau hendak ikut semua kata-kata manusia, tidak lalu kita hendak makan nasi, bukan?

 

إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ

melainkan ke atas orang-orang yang mendapat hidayat Allah sahaja;

Kalau Allah ‎ﷻ beri hidayah kepada mereka, mereka akan berasa ringan sedikit untuk mengikut sunnah. Walaupun memang berat (tidak dinafikan) tetapi dimudahkan sedikit. Ini kerana mereka hanya takut kepada Allah ‎ﷻ dan bukan kepada masyarakat sekeliling yang jahil. Semakin tinggi iman dan ilmu kita, semakin mudah untuk kita tidak menghiraukan kata-kata masyarakat sekeliling.

 

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُم‌

Dan tidaklah Allah akan menyia-yiakan ‘iman’ kamu;

Allah ‎ﷻ tidak akan menyia-nyiakan ibadat-ibadat soleh yang sahabat-sahabat Nabi ﷺ lakukan semasa mereka menghadap ke Baitul Maqdis. Tidaklah sia-sia amalan mereka dahulu – mereka masih dapat pahala juga daripada amalan mereka dahulu.

‘Iman’ yang dimaksudkan dalam ayat itu adalah ‘salat’ mereka. Ini menunjukkan kebesaran ibadat Salat sampaikan digunakan kalimah ‘iman’ untuk merujuk kepadanya. Ia hampir setaraf dengan iman sampaikan Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘iman’ untuk ‘salat’ dalam ayat ini. Begitu pentingnya salat, sehinggakan ia boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai kekuatan iman seseorang. Ini boleh dilihat sama ada dia akan terus salat ataupun tidak apabila timbul kesusahan.

Ada orang yang tidak ada masalah untuk salat kalau dia dalam suasana senang dan tenang; tetapi kalau sibuk dengan hal lain, mereka sanggup tinggalkan Salat. Oleh itu, ketahuilah yang salat itu amat penting sekali kerana ia adalah tali hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah alamat zahir tentang iman seseorang. Kita memang tidak tahu iman dalam hati manusia, tetapi kita boleh kenali dengan zahir mereka.

Asbabun Nuzul petikan ayat ini: Ada sahabat-sahabat yang risau salat mereka semasa menghadap ke BaitulMaqdis dulu tidak sah. Ada orang Yahudi yang mengacau umat Islam dengan mengatakan kalau kiblat sudah ditukar, bermakna ibadat salat mereka semasa menghadap ke BaitulMaqdis itu tidak dikira. Maka kelam kabutlah para sahabat sekalian kerana entah berapa lama mereka salat menghadap BaitulMaqdis.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa ia diterima kerana semasa mereka menghadap ke BaitulMaqdis itu, mereka lakukan kerana iman mereka. Waktu itu mereka mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan Nabi mereka. Mereka taat kepada Allah ‎ﷻ dan tidak mungkin Allah ‎ﷻ akan mensia-siakan ketaatan mereka itu?

Seperti kita telah sebutkan, arah itu tidak penting, yang lebih penting adalah taat kepada arahan daripada Allah ‎ﷻ. Dahulu Allah ‎ﷻ suruh menghadap ke BaitulMaqdis, sekarang ke Kaabah pula. Kalau Allah ‎ﷻ suruh tukar pula, kita tetap akan ikut (tidaklah ada penukaran lagi kerana tiada lagi Nabi yang menerima wahyu).

 

إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ 

Sesungguhnya Allah terhadap manusia sangat menyayangi

Bukannya Allah ‎ﷻ tidak sedar tentang kepayahan yang diterima oleh umat-Nya yang terpaksa mengharung segala rintangan dan tohmahan. Allah ‎ﷻ sedar, namun itu semua adalah sebagai ujian untuk kita. Kalau ia adalah senang, bukanlah ujian namanya.

Yang diuji adalah orang yang beriman. Memang yang diuji adalah barang yang berharga. Contohnya, kalau orang beri kita emas atau berlian, tentu kita ingin mengujinya sama ada ia adalah tulen ataupun tidak. Tetapi kalau orang beri kita besi biasa sahaja, adakah kita hendak uji sama ada ia adalah besi ataupun tidak?

Tentu tidak, kerana besi tidak berharga mana. Bermakna, yang diuji adalah benda yang bernilai. Maka ingatlah, yang Allah ‎ﷻ uji adalah orang yang beriman. Kalau kita diuji, bermakna Allah ‎ﷻ hendak uji iman kita sebenarnya. Maka jangan takut dan lelah dengan ujian.

 

رَّحِيمٌ

Maha Belas kasihan.

Amat tinggi sifat Raheem Allah ‎ﷻ ke atas kita. Kerana itulah orang Mukmin akan mendapat raheem Allah ‎ﷻ di akhirat kelak. Raheem ini hanya diberikan kepada orang Mukmin sahaja di akhirat (Kalau Rahman, semua makhluk boleh dapat semasa di dunia). Maka semoga kita mendapat Raheem Allah ‎ﷻ kelak, ameen.

Kesimpulan ayat ini: ada kelebihan yang diberikan kepada umat Islam dan dengan kelebihan itu, ada tanggungjawab. Dengan kelebihan yang diberikan ada tanggungjawab yang kita kena tunaikan. Maka kita kena belajar apakah tanggungjawab itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 8 Mei 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain