Tafsir Surah Fatihah Ayat 6 [Bahagian 3] (Maksud Jalan Yang Lurus)

Jalan Yang Lurus

Seperti yang bincangkan sebelum ini, permintaan hidayah itu bukanlah sesuatu yang biasa sahaja tetapi merangkumi pemahaman yang menyeluruh. Bahagian ayat seterusnya memberi penekanan yang lebih spesifik: iaitu yang kita pinta hidayah itu adalah kepada ‘jalan yang lurus’.

Ini menunjukkan bahawa hidayah bukan terbuka, tetapi ada satu tujuan yang pasti. Begitu ramai manusia yang menyangka dan mengaku yang mereka mendapat hidayah. Contohnya orang Kristian pun rasa yang mereka mendapat hidayah. Tetapi adakah hidayah mereka itu membawa mereka kepada ‘jalan yang lurus’?

Hanya satu jalan sahaja yang Allah redha iaitu jalan yang lurus. Lalu apakah jalan ‘yang lurus itu’? Apabila digunakan ال dalam sesuatu perkataan, ia memberi maksud sesuatu yang spesifik atau sesuatu yang memang diketahui orang – sudah maklum. Jadi maknanya, ‘jalan yang lurus’ itu bukan sesuatu yang umum tetapi sesuatu yang pasti.

Tidaklah boleh seseorang mengaku jalan yang lurus itu adalah itu dan ini mengikut fahamannya sahaja. Kerana ianya adalah satu perkara yang diketahui umum dan bukan mengikut takrifan individu. Tambahan pula, dalam ayat seterusnya dijelaskan lagi apakah ‘jalan yang lurus’ itu.

Kalimah الصِّراطَ dalam bahasa bermaksud ‘jalan’. Asalnya merujuk kepada laluan air dalam tenggorok apabila kita minum. Laluan itu hanya ada satu sahaja dan air itu tidak akan pergi ke mana-mana lagi – hanya mengikut satu laluan itu sahaja. Laluan itu telah pasti dan dan ianya adalah semulajadi kerana air itu akan turun ke bawah. Itu adalah dari segi bahasa.

Dari segi syarak, ada lima kriteria untuk sesuatu jalan atau laluan itu boleh dipanggil ‘الصِّراطَ ‘. الصِّراطَ adalah jalan yang spesifik kerana ada perkataan lain lagi yang boleh digunakan untuk jalan, seperti طريق dan سبيل. Tetapi, perkataan-perkataan itu tidak digunakan, sebaliknya, digunakan perkataan yang khusus – الصِّراطَ. Kriteria-kriteria yang perlu ada untuk sesuatu jalan itu dipanggil الصِّراطَ adalah:

1. Ianya mestilah jalan yang lurus. Ada jalan yang bengkang bengkok yang masih lagi boleh digunakan oleh manusia, tapi ianya bukanlah الصِّراطَ kalau ianya tidak lurus.

2. Jalan itu membawa mereka yang sampai kepada tujuan yang dikehendaki.

3. Jalan itu adalah jalan yang paling dekat. Dan memang kalau jalan yang lurus, ianya adalah jalan yang paling dekat kerana tidak membelok ke mana-mana.

4. Jalan yang luas sampai boleh dilalui oleh mereka yang hendak melaluinya. Jalan yang selesa untuk dilalui.

5. Jalan itu khusus untuk destinasi yang dimaksudkan. Kalau bukan spesifik jalan yang membawa kepada jalan yang lurus, Allah gunakan طريق atau سبيل sahaja. Dan memang perkataan سبيل ada digunakan dalam Qur’an seperti yang dalam An’am:153

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,

Lihatlah bagaimana jalan selain jalan yang lurus digunakan perkataan السُّبُلَ (jamak kepada سبيل) sedangkan Jalan Allah digunakan perkataan صِرَاطِ. Dan jalan yang lurus itu selalu sahaja dalam bentuk mufrad (singular) tetapi jalan yang lain boleh jadi banyak. Sebab jalan yang salah banyak tapi jalan yang lurus hanya satu sahaja.

Tidaklah perkataan سبيل itu memberi isyarat buruk sahaja. Ada juga Allah gunakan perkataan سبيل dalam bentuk yang baik. Seperti dalam Maidah:16

يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dengan (Al-Qur’an) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

Tapi سُبُلَ bukanlah bermaksud jalan yang lurus. Ianya adalah jalan yang membawa kepada keselamatan. Dan digunakan dalam ayat ini dengan perkataan سُبُلَ kerana ada banyak juga jalan yang membawa ke arah kebaikan. Dari jalan yang selamat itu, boleh membawa kepada jalan yang lurus.

Sebagai contoh, untuk beribadat, ada macam-macam aktiviti yang boleh dilakukan – membantu manusia, memberi sedekah, berzikir, solat dan macam-macam lagi.

Ada beberapa ciri lagi ‘Jalan yang Lurus’ itu untuk pengetahuan kita:

1. ‘Jalan yang lurus’ itu sama sahaja kepada semua Nabi dan Rasul. Kerana syariat mungkin berlainan, tapi jalan yang sama sahaja dalam bentuk tauhid. Tidak pernah bertukar ilmu Tauhid itu dari Nabi Adam sampailah ke Hari Kiamat nanti.

2. Jalan ini bukan sahaja lurus, tapi tidak berlopak dan berbukit. Ianya mudah untuk dilalui. Ianya juga jalan yang selamat.

3. Apabila jalan itu lurus, ianya adalah mengambil jarak yang paling dekat, bukan? Oleh itu, untuk menggunakan jalan itu, hanya menggunakan usaha yang sedikit sahaja. Ini memberi isyarat bahawa kalau orang yang kurang amalan pun boleh berada atas jalan ini. Kerana ianya senang untuk diikuti.

Oleh itu, dalam kita berdoa kepada Allah untuk meletakkan kita di atas jalan yang lurus, kita sebenarnya meminta jalan yang paling mudah untuk kita. Kita rupanya meminta kemudahan kepada Allah. Itulah rahmat Allah kepada makhlukNya. Kalau sudah ada jalan yang senang, buat apa nak guna jalan yang susah?

Kerana tidak faham dengan konsep inilah, ramai umat Islam yang memilih jalan yang susah. Sebagai contoh, golongan tarekat akan menyusahkan diri mereka dengan ibadat-ibadat yang berat yang tidak pun disuruh dalam agama.

4. Jadi, kalau jalan ini lurus, molek, maka ianya adalah jalan yang jelas. Bukan jalan yang susah kita nak cari. Allah dah mudahkan untuk kita supaya kita tidak ada alasan untuk kata jalan itu susah sangat sampai kita tak jumpa. Nabi bersabda:

لَقَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ

Sesungguhnya, aku telah meninggalkan kalian di atas jalan, seperti jalan yang sangat putih, malamnya sama dengan siangnya. Tiada yang menyimpang sesudahku dari jalan itu, kecuali orang (itu) akan binasa. Riwayat Ahmad 4/126; Ibnu Majah, no. 5 dan 43

Lihatlah bagaimana Al-Qur’an dan sunnah adalah mudah dan senang untuk difahami dan diikuti. Di mana-mana sahaja kita boleh cari Mushaf Al-Qur’an dan Kitab Hadis. Bukanlah macam kitab-kitab karangan manusia yang kadang-kadang kita hanya dengar sahaja, tapi tak pernah jumpa dan kalau nak cari, sama ada susah atau tak jumpa langsung.

Dan kita telah diberikan akal untuk memahami Al-Qur’an dan Sunnah itu. Tapi kena ada usaha untuk belajar Tafsir Al-Qur’an dan belajar Syarah Hadis-hadis itu. Janganlah baca sendiri sahaja kerana akan susah nak faham kalau baca sendiri sahaja.

Kalau ianya mudah dan jelas, apa lagi alasan untuk kita tidak mengikutinya? Mereka yang tak jumpa hanyalah mereka yang memang tak mahu benda yang senang. Kalau tak jumpa, itu adalah salah kita. Tidak boleh salahkan orang lain.

5. Jalan yang lurus ini kena (bertepatan) dengan jiwa manusia. Tidak lari dari fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah. Sebagai contoh, tidak perlu sampai tidak berkahwin ataupun berzikir berhari-hari lamanya untuk mencapai ketinggian dalam agama. Itu adalah ciri-ciri agama yang kufur dan sesat sahaja.

Nabi pernah bersabda memberi perumpamaan ‘jalan yang lurus’. Ianya seperti satu jalan dan di kiri kanan ada pintu. Di hadapannya pula ada penyeru. Apabila kita nak buka pintu yang tertutup itu, akan ada yang mengingatkan supaya jangan buka pintu itu.

Maka, Allah bukan sahaja beri peringatan dengan Al-Qur’an dan hadis sahaja, tapi ada pemberi ingat lagi. Mungkin yang memberi peringatan itu adalah para malaikat. Allah sudah mudahkan kepada kita sebenarnya untuk berada atas jalan yang lurus ini.

Dari Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata.

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam membuat sebuah garis lurus bagi kami, lalu bersabda,”Ini adalah jalan Allah,” kemudian beliau membuat garis lain pada sisi kiri dan kanan garis tersebut, lalu bersabda,”Ini adalah jalan-jalan (yang banyak). Pada setiap jalan ada syaitan yang mengajak kepada jalan itu,” kemudian beliau membaca.

إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. [Al An’am:153]. Hadits shahih diriwayatkan oleh Ahmad I/435, dan yang lainnya

Kita kena tahu apakah jalan-jalan yang selain dari jalan yang lurus, supaya kita tahu manakah jalan yang kita kena elak. Nak tahu terang, kenalah tahu apa yang gelap juga, bukan? Kita kena tahu, yang selain dari jalan yang lurus, ianya adalah jalan-jalan yang salah. Ada banyak jalan yang salah dalam dunia ini. Jalan yang benar ada satu sahaja, sedangkan yang salahnya ada banyak.

Jangan tertipu dengan mereka yang memberi hujah yang kata semua jalan membawa kepada Allah. Kalau itu benar, tidaklah perlu Nabi diturunkan kepada Musyrikin Mekah kerana mereka memang hendak menuju kepada Allah pun.

Mereka sudah kenal pun Allah dan mereka sebenarnya menyembah berhala-berhala itu untuk mendekatkan diri dengan Allah pun. Ini tertulis dalam ayat Zumar:3.

أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ

Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,

Ayat ini menunjukkan walaupun niat mereka baik dan menuju kepada Allah, tetapi kalau cara yang mereka gunakan itu salah, ianya tertolak juga dan membawa kepada neraka juga.

Maka, berhati-hatilah dengan fikrah-fikrah yang bukan sunnah dalam dunia ini. Terlalu banyak kalau kita hendak senaraikan di sini. Tambahlah ilmu pengetahuan dengan Tafsir Al-Qur’an dan Sunnah dan in sha Allah, anda akan selamat.

Akhir sekali, tiga perkara yang penting yang perlu kita sentiasa fikirkan:

1. Tujuan kita: Sembah Allah

2. Cara: Melalui cara yang diajar oleh Allah

3. Jalan: Hanya Jalan yang lurus sahaja.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s