Tafsir Surah al-An’am Ayat 10 – 12 (Kalau Rasul itu malaikat)

An’am Ayat 10: Ayat ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ.

وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبلِكَ فَحاقَ بِالَّذينَ سَخِروا مِنهُم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

And already were messengers ridiculed before you, but those who mocked them were enveloped by that which they used to ridicule.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

 

وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ

Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu,

Kalimah اسْتُهْزِئَ adalah perbuatan mengejek-ngejek dengan mengatakan sesuatu itu adalah satu kebodohan; iaitu mereka mengatakan perbuatan orang lain adalah perbuatan yang bodoh. Tujuannya adalah untuk memalukan orang itu.

Nabi Muhammad ﷺ telah diejek-ejek oleh Musyrikin Mekah yang menolak baginda. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu baginda bahawa Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu juga sudah melalui seperti apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka mengatakan apa yang Nabi mereka bawa itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Tentunya ia amat menyakitkan hati Rasulullah ﷺ. Kita kena ingat yang Nabi Muhammad ﷺ juga adalah seorang manusia. Baginda terkesan juga dengan apa yang dicaci kepada baginda. Bukannya baginda tidak ada perasaan sampaikan tidak kisah langsung dengan kata-kata manusia.

Jadi, Nabi Muhammad ﷺ diajar supaya jangan hiraukan sangat dengan kata-kata mereka itu. Nabi ﷺ diberitahu dalam ayat ini bahawa bukan baginda sahaja yang melaluinya, tetapi Rasul-rasul lain sebelum baginda pun pernah kena begitu. Dan para Rasul itu semuanya tidak patah semangat dalam menyampaikan dakwah, maka baginda pun janganlah patah semangat. Teruskan berdakwah.

Apakah kesan pemberitahuan ini kepada baginda? Ini melibatkan psikologi dan perasaan manusia. Katakanlah kita mendapat satu musibah, tentu kita rasa tidak selesa, bukan? Namun apabila kita diberitahu yang orang lain pun sudah melalui seperti apa yang kita kena, maka sedikit sebanyak akan mengurangkan sedikit keresahan kita itu. Kita pun rasa: “Owh.. ada juga orang lain kena macam aku kena ni…”. Sebenarnya terdapat kelegaan sedikit dalam hati itu. Tidaklah kita rasa terasing sangat.

Ini mengajar kita bahawa orang yang membawa mesej tauhid memang akan diejek. Nabi-Nabi dulu diejek termasuklah Nabi Muhammad ﷺ. Para pendakwah dulu juga diejek. Maka bersedialah untuk diejek kerana itu adalah sunnatullah dari dahulu sampai sekarang. ‘Sunnatullah’ maksudnya sesuatu yang berulang-ulang zaman berzaman.

Maka jangan hairan sangat kalau dikeji. Kalau kita kena keji dan kena ejek, itu adalah perkara biasa sahaja. Kalau kita dapat terima hakikat ini, maka kuranglah sedikit luka pada hati kita. Dan kita juga diingatkan dalam ayat ini, yang bukan kita sahaja kena ejek, para Rasul yang lebih mulia daripada kita pun kena ejek. Maka legalah sedikit hati kita, bukan?

Dalam ayat ini (dan banyak ayat-ayat lain seumpamanya) Nabi Muhammad ﷺ diingatkan supaya jangan layan permintaan mengarut mereka itu seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Contohnya mereka minta diturunkan Al-Qur’an siap bertulis dan mereka minta diturunkan malaikat kepada mereka.

Allah ‎ﷻ ajar baginda supaya jangan layan permintaan sebegini kerana mungkin Nabi ﷺ ada terfikir, kalaulah diberikan apa yang mereka minta itu, mungkin mereka akan beriman. Allah ‎ﷻ larang baginda berfikir begitu. Buang masa sahaja layan mereka.

Nabi Muhammad ﷺ memang hendak sangat-sangat supaya mereka beriman kerana baginda berasa amat bertanggungjawab terhadap mereka. Kalau boleh, baginda mahukan semua bangsa Arab beriman dengan baginda. Namun, Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada baginda yang mereka tidak akan beriman walaupun diberikan apa yang mereka minta itu. Maka jangan layan permintaan mereka itu kerana mereka hendak mengejek dan memperolok-olokkan sahaja.

 

فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم

lalu diselubungi dalam kalangan mereka yang mengejek-ejek itu,

Perkataan حَاقَ bermaksud sesuatu yang ‘turun dan menyelubungi.’ Mereka akan diberikan azab yang akan menyelubungi mereka. Mereka tidak akan dibiarkan sahaja nanti. Mereka akan diazab atas perbuatan mengejek mereka itu.

Apabila azab itu dari ‘atas’, kita tidak boleh lari ke atas. Apabila ‘diselubungi’, bermakna, tidak boleh lari ke tepi. Jadi, maksud yang hendak dibawa di dalam ayat ini, mereka tidak ada tempat untuk lari. Azab yang dikenakan kepada mereka amat teruk nanti.

Maka tugas Nabi ﷺ‎ adalah menyampaikan sahaja. Begitu juga dengan kita. Apabila sudah disampaikan dan mereka tolak kebenaran, maka ada balasan bagi mereka. Kita tidak perlu risau.

 

مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

Apa yang akan menyelubungi mereka? – apa yang mereka ejek dulu. Dulu mereka ejek hukuman-hukuman yang dikatakan mereka akan dapat. Mereka kata: “kalau betul, bawalah turun apa azab yang nak dikenakan kepada mereka itu!”

Sekarang dikatakan, mereka pasti akan dapat apa yang mereka ejek dulu. Di dunia lagi mereka ada yang akan dikenakan dengan balasan azab. Ini isyarat kepada para malaikat yang akan menghancurkan mereka di Perang Badr nanti di mana mereka akan mengalami kekalahan yang tidak disangka-sangka.

Mereka juga akan terima azab di Hari Akhirat nanti. Mereka akan terima azab ini kerana dahulu mereka tidak mahu terima dakwah tauhid. Bukan tidak mahu terima sahaja, mereka ejek-ejek lagi. Apabila dikatakan kepada mereka, kalau mereka sembah berhala dan buat syirik, Allah ‎ﷻ akan beri azab kepada mereka, mereka akan kata: “Bawa turunlah azab itu kalau kau benar!”

Maka dapatlah kita tahu daripada ayat ini bahawa mereka yang mengejek-ejek itu akan diazab nanti. Maka berilah ‘khabar gembira’ ini kepada mereka. ‘Khabar gembira’ itu sebagai ejekan sahaja, kerana balasan kepada ejekan mereka. Mereka mengejek, maka Allah‎ ﷻ ejek mereka balik.

Ayat ini juga sebenarnya pujukan buat kita. Kalau kita sebagai pendakwah diejek dan kita rasa lemah, rasa sesak, ingatlah bahawa ada lagi orang lain yang lebih teruk daripada kita. Dan orang lain itu lebih baik daripada kita pun. Maka jangan patah semangat. Janganlah kena kutuk ‘wahabi’ terus hendak sorok muka dalam bantal dan menangis teresak-esak pula!

Ayat ini juga memberitahu kepada kita hukum mengejek Rasulullah ﷺ. Ia merupakan dosa besar. Maka kalau ada yang buat kartun yang menghina Nabi ﷺ, maka tahulah kita bahawa mereka itu telah melakukan dosa yang amat besar sekali. Maka tidak perlulah kita sibuk hendak menyerang mereka, bunuh mereka, kerana nanti Allah‎ ﷻ sendiri yang akan menghukum mereka.

Kita sangka orang kafir sahaja yang mengejek Nabi ﷺ. Namun amat menyedihkan apabila terdapat juga orang Islam yang tanpa sedar telah mengejek Nabi ﷺ, iaitu apabila mereka merendah-rendahkan Sunnah Nabi.

Sebagai contoh, mereka ejek orang yang makan dengan tangan kanan. Atau minum dengan pegang gelas dengan tangan kanan yang telah pegang makanan – mereka kata kita pengotor.

Atau mengejek mereka yang simpan janggut – mereka kata: “Itu geng tabligh manalah tu…” dan sebagainya. Itu semua adalah Sunnah Nabi dan kalau kita ejek, maka ingatlah bahawa kita sebenarnya telah mengejek Nabi ﷺ dan mengejek Nabi ﷺ adalah dosa besar.

Habis Ruku’ 1 dari 20 ruku’ dalam surah ini.


 

An’am Ayat 11: Ayat jenis Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab di dunia).

قُل سِيرُوا فِي الأَرضِ ثُمَّ انظُرُوا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

Sahih International

Say, “Travel through the land; then observe how was the end of the deniers.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”

 

قُلْ

Katakanlah (wahai Muhammad):

Banyak ayat dalam surah ini dimulakan dengan قُلْ. Kita akan lihat selepas ini berkali-kali lagi akan diulang. Allah‎ ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ bagaimana berdakwah dan menyampaikan kepada manusia.

 

سِيرُوا فِي الْأَرْضِ

“Mengembaralah kamu di muka bumi,

Perkataan سِيرُ bermaksud ‘mengembara’. Tetapi mengembara itu ada dua jenis: sama ada dengan fizikal kita atau mengembara dengan minda kita.

Sebagai contoh, kita belajar tentang Mesir dan tentang Firaun dengan hanya membaca mengenainya. Seperti zaman sekarang, teknologi semakin canggih sampaikan kita dapat tahu banyak perkara tanpa kita perlu pergi ke sesuatu tempat pun.

 

ثُمَّ انظُرُوا

kemudian perhatikanlah

Ambillah pelajaran daripada apa yang terjadi kepada orang-orang terdahulu. Tujuan kita mengembara adalah untuk mengambil pengajaran.

Sebab itulah apabila Nabi ﷺ dan para sahabat melalui kawasan tempat telah dimusnahkan kaum terdahulu, Nabi ﷺ tidak benarkan mereka masuk kecuali dengan menangis untuk mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi kepada kaum terdahulu. Ini kerana dengan cara itu, barulah kita dapat mengambil kesan pengajaran. Bukannya kita hendak jalan-jalan makan angin tetapi kerana hendak mengambil pelajaran.

 

كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan.”

Lihatlah bagaimana keseluruhan tamadun boleh dihancurkan oleh Allah ‎ﷻ kerana mereka mendustakan wahyu. Ada pembelajaran yang kita boleh dapat. Ini bertujuan supaya kita berasa takut dan berhati-hati dengan perbuatan kita.

Kerana kalau kita seperti mereka, boleh sahaja Allah ‎ﷻ hendak hancurkan kita dan gantikan dengan umat yang lain.


 

An’am Ayat 12: Ini adalah ayat jenis Dalil iktirafi (iktiraf akidah yang benar dalam diri Musyrikin Mekah). Ini adalah arahan Allah‎ ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk menyampaikan soalan kepada Musyrikin Mekah.

قُل لِّمَن مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ قُل ِلّلهِ ۚ كَتَبَ عَلىٰ نَفسِهِ الرَّحمَةَ ۚ لَيَجمَعَنَّكُم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ لا رَيبَ فيهِ ۚ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم فَهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Say, “To whom belongs whatever is in the heavens and earth?” Say, “To Allah .” He has decreed upon Himself mercy. He will surely assemble you for the Day of Resurrection, about which there is no doubt. Those who will lose themselves [that Day] do not believe.

Malay

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya”. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.

 

قُل

Bertanyalah (wahai Muhammad):

Ini adalah suruhan Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ untuk bertanya kepada Musyrikin Mekah. Allah‎ ﷻ beri hujah kepada baginda bagaimana berdakwah kepada mereka.

 

لِّمَن مَّا فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

“Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?

Kepunyaan siapakah alam ini? Alam yang begini luas, begitu indah, milik siapa? Soalan ini sebenarnya Musyrikin Mekah pun tahu. Mereka bukannya tidak kenal Allah ‎ﷻ. Mereka kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan utama, sebagai pencipta alam ini. Maka Allah‎ ﷻ iktiraf akidah mereka yang benar itu. Tetapi janganlah setakat itu sahaja; kalau benarlah Allah ‎ﷻ yang memiliki alam ini, maka sembahlah Dia sahaja. Kenapa hendak sembah selainnya lagi?

 

قُل ِلّلهِ

“Katakanlah:” (Semuanya itu) adalah milik Allah.

Daripada ayat ini kita boleh andaikan yang mereka tidak menjawab soalan itu, jadi Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ sendiri yang jawab. Dalam ayat-ayat yang lain, telah ditanyakan kepada mereka, siapakah yang ‘mencipta’ langit dan bumi. Ada yang mereka jawab: Allah. Tetapi, apabila ditanya ‘milik’ siapakah langit dan bumi ini, mereka tidak mahu jawab.

Ini kerana tidaklah sama jika mereka terima Allah ‎ﷻ yang ‘jadikan’ langit dan bumi dan lain kalau ia ‘milik’ Allah ‎ﷻ. Mereka tidak ada masalah untuk menerima hakikat yang Allah ‎ﷻlah yang menjadikan alam ini. Itu adalah sebahagian daripada Tauhid Rububiyyah. Tetapi mereka ada masalah untuk mengaku yang alam ini ‘milik’ Allah ‎ﷻ.

Sebagaimana kereta kita, memang bukan kita yang buat kereta itu, tetapi kita tidak kisah kerana walaupun bukan kita yang buat kereta itu, namun ia sekarang menjadi milik kita. Jadi, jika kita mengaku langit dan bumi ini milik Allah ‎ﷻ, maka kita kena terima bahawa kita bergantung kepada-Nya, kita kena ikut arahan dan perintah Allah ‎ﷻ. Golongan Musyrikin Mekah tidak boleh terima kenyataan itu.

Maka ayat ini mengingatkan kita bahawa segala yang ada dalam alam ini adalah hak milik Allah ‎ﷻ belaka. Dialah Khaliq (Pencipta) dan Dialah juga Maalik (yang memiliki). Jadi, kenalah kita taat kepada arahan-Nya, kenalah kita hanya menyembah-Nya sahaja, kenalah kita hanya meminta doa kepada-Nya sahaja.

 

كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ

Dia (Allah) telah menetapkan atas diri-Nya rahmat.

Iaitu Allah ‎ﷻ telah menetapkan bahawa rahmat-Nya melebihi azab-Nya. Rahmat-Nya mendahului azab-Nya. Rahmat Allah ‎ﷻ akan sentiasa lebih daripada azab-Nya. Sifat lembut-Nya akan mengatasi sifat keras-Nya.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak menghancurkan terus Musyrikin Mekah semasa mereka melakukan kesyirikan, kerana mungkin mereka akan berpatah balik dan bertaubat. Jika Allah ‎ﷻ terus hancurkan mereka, tentu mereka tidak ada peluang lagi untuk masuk Islam. Maka ini adalah salah satu rahmat daripada Allah ‎ﷻ (iaitu Allah ‎ﷻ beri peluang kepada mereka).

Allah‎ ﷻ telah menulis Rahmah untuk Diri-Nya sepertimana yang terdapat dalam Sahih Bukhari:

أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللهَ كَتَبَ كِتَابًا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ الْخَلْقَ إِنَّ رَحْمَتِي سَبَقَتْ غَضَبِي فَهُوَ مَكْتُوبٌ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ

Abu Hurairah رضي الله عنه berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah menetapkan satu ketetapan sebelum mencipta makhluk ini ‘rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku, dan itu tercatat di sisi- Nya di atas ‘arsy.”

(HR. Bukhari No. 7554 daripada Abu Hurairah رضي الله عنه)

Allah ‎ﷻ boleh mewajibkan apa sahaja untuk Diri-Nya. Ikut Dia apa yang Dia hendak buat. Itulah sifat Rahmaan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ meletakkan sifat Rahman-Nya lebih besar dalam setiap keputusan-Nya.

Dalam hadith yang lain, Nabi memberitahu kita yang Allah ‎ﷻ ada seratus rahmah. Satu rahmah diturunkan ke dunia dan satu rahmah itulah dikongsi oleh semua makhluk. Maka dari situlah seorang emak sayang kepada anaknya, kawan menyayangi kawan yang lain, ibu binatang pun sayangkan anaknya.

Bayangkan satu rahmah sahaja dibahagikan kepada SEMUA makhluk di bumi, dan Allah ‎ﷻ simpan lagi 99 itu. Tidak terbayang kita sifat rahmah Allah ‎ﷻ itu. Ini terdapat dalam hadith:

إِنَّ اللهَ خَلَقَ الرَّحْمَةَ يَوْمَ خَلَقَهَا مِائَةَ رَحْمَةٍ فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعًا وَتِسْعِينَ رَحْمَةً وَأَرْسَلَ فِي خَلْقِهِ كُلِّهِمْ رَحْمَةً وَاحِدَةً فَلَوْ يَعْلَمُ الْكَافِرُ بِكُلِّ الَّذِي عِنْدَ اللهِ مِنْ الرَّحْمَةِ لَمْ يَيْأَسْ مِنْ الْجَنَّةِ وَلَوْ يَعْلَمُ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي عِنْدَ اللهِ مِنْ الْعَذَابِ لَمْ يَيأَسْ مِنْ النَّارِ.

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ menciptakan rahmat. Pada hari penciptaannya, Allah ‎ﷻ menciptakan 100 rahmat, kemudian Dia menahan di sisi-Nya 99 rahmat, dan melepaskan untuk seluruh ciptaan-Nya satu rahmat. Jadi, jika orang kafir mengetahui seluruh rahmat yang ada pada sisi Allah ‎ﷻ, maka dia tidak akan putus asa daripada (mendapatkan) syurga, dan jika seorang yang beriman mengetahui seluruh bentuk azab yang ada pada sisi Allah ‎ﷻ, maka dia tidak akan merasa aman dari neraka.

(HR. Bukhari No. 6469 daripada Abu Hurairah رضي الله عنه)

Mungkin ada yang terfikir dan bertanya: jika Allah ‎ﷻ bersifat ar-Rahman, kenapa ada kesusahan dan ketidakadilan dalam dunia? Kenapa ada seksaan di neraka nanti? Kenapa Allah ‎ﷻ hendak balas manusia dengan keburukan jika mereka ada membuat salah? Ini adalah satu persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran manusia.

Jawapan: kepada orang yang beriman, apa-apa sahaja kesusahan yang dialaminya, baik kesusahan pada tubuh badannya, batinnya, kekurangan makan dan minum dan apa-apa sahaja kesusahan, ketahuilah bahawa itu adalah rahmat untuknya. Bagaimana pula begini? Nabi ﷺ bersabda di dalam Sahih Bukhari:

من يُرد الله به خيرًا، يُصب منه

Sesiapa yang Allah ‎ﷻ mahukan kebaikan untuknya, Allah ‎ﷻ akan memberikan musibah kepadanya.

(HR. Bukhari No. 5645 daripada Abu Hurairah رضي الله عنه)

Kenapa pula begini? Kerana apabila seorang yang beriman ditimpa musibah dan dia sabar, dia akan mendapat pahala. Kebaikan juga akan diberikan kepadanya dan musibah itu akan meninggikan darjatnya. Seseorang itu akan mendapat semua itu, asalkan dia bersabar.

Ia juga akan menjadikan dirinya dalam keadaan tawadduk (rendah diri). Dia akan sentiasa sedar yang dia masih memerlukan Allah ‎ﷻ dalam segenap hal dan perkara. Jadi, pertaliannya dengan Allah ‎ﷻ tidak akan putus. Selalunya kalau seseorang itu sentiasa mendapat kebaikan, ada kemungkinan dia akan lupa untuk berharap kepada Allah ‎ﷻ.

Maka, orang beriman yang ditimpa musibah akan berpaling kepada Allah ‎ﷻ dan memohon kepada Allah ‎ﷻ. Dia akan semakin rapat dengan Allah ‎ﷻ. Jadi, dengan kita tahu begini, kita akan mengubah pandangan kita dalam melihat musibah dan kesusahan yang kita alami. Barulah kita nampak, dalam musibah itu, ada rahmat Allah ‎ﷻ rupanya.

Bagaimana pula dengan orang yang tidak beriman? Apabila seorang yang tidak beriman ditimpa musibah, ini memberi peluang kepadanya untuk bertaubat dan kembali kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana kadangkala manusia ini kalau sudah jatuh terduduk, baru egonya rendah sedikit untuk terima kebenaran. Jika dia mahu membuka hatinya kepada iman, dia akan memikirkan kepada siapakah lagi yang dia boleh meminta pertolongan jika bukan dengan Allah ‎ﷻ? Maka, jika dia faham begitu, dia akan beriman. Maka, ternampaklah rahmat dalam kesusahan yang dialaminya itu.

Kalau pun seseorang itu tidak ditimpa musibah, sememangnya telah terlalu banyak rahmat Allah ‎ﷻ diberikan kepadanya. Dia sahaja yang tidak sedar selalunya. Seperti makan minum dan segala keperluannya telah diberikan secara berterusan. Semuanya ini Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia walaupun kadang-kadang orang itu tidak beriman pun dengan Allah ‎ﷻ dan tidak pernah bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Lihatlah, bagaimana dengan orang yang kafir pun Allah ‎ﷻ bersifat Rahman kepada mereka.

Jika mereka dibalas dengan azab di akhirat nanti, itu adalah kerana kesalahan yang mereka telah lakukan kerana mereka tidak mahu beriman dan itu adalah salah mereka. Setelah mereka diberikan dengan segala dalil dan hujah, mereka masih lagi tidak mahu beriman dan meninggalkan kesyirikan yang mereka lakukan.

Hari Kiamat juga adalah satu rahmat daripada Allah ‎ﷻ; iaitu Allah ‎ﷻ membalas segala amal kebaikan yang manusia lakukan semasa di dunia. Bayangkan kalau kita buat kerja tetapi tidak mendapat upah, tentu kita tidak suka, bukan? Allah ‎ﷻ Maha Pemurah sampaikan kalau kita hanya berniat untuk membuat kebaikan pun Allah ‎ﷻ sudah tuliskan pahala perbuatan itu untuk kita.

Dengan rahmat Allah‎ ﷻ jugalah Dia telah mengingatkan kita dengan hari kiamat supaya kita beringat. Sebab itu banyak sekali ayat Al-Qur’an yang menyebut tentang Neraka. Itu adalah rahmat yang besar sebenarnya. Bayangkan kalau seorang anak tidak tahu api itu bahaya. Maka dia hendak pegang api itu tetapi ibunya akan melarang dan menjerit kepadanya kerana ibunya sayangkan dia. Bukanlah ibu itu jerit sebab marah tetapi sebab dia sayang. Maka Allah ‎ﷻ selalu sebut tentang neraka kepada kita supaya kita beringat tentang bahayanya neraka itu.

 

لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ

Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat

Lihatlah bagaimana sebaik sahaja Allah ‎ﷻ sebut tentang rahmat-Nya, Allah ‎ﷻ terus sebut tentang Hari Kiamat. Kenapa Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita dengan satu hari yang dikaitkan dengan pembalasan yang buruk? Bukankah ini berlawanan dengan sifat ar-Rahman? Tidak sama sekali. Seperti yang kita telah sebut di atas, peringatan Allah ‎ﷻ ini juga adalah satu rahmat. Kalau Dia tidak ingatkan, lagilah bahaya, bukan?

Hari itu dinamakan Hari الْقِيَامَةِ yang diambil daripada kata dasar ق و م yang bermaksud ‘berdiri’ kerana pada hari itu, keseluruhan makhluk Allah ‎ﷻ akan bangkit berdiri menunggu perbicaraan.

Keduanya, pada hari itu, keadilan akan ‘ditegakkan’. Keadilan yang sebenar tidak ada dalam dunia sekarang. Ada orang yang buat salah, boleh terlepas begitu sahaja (kerana dia pandai mengelak atau menggunakan rasuah dan sebagainya). Ada juga orang yang bunuh ramai orang, tetapi kalau pun dia ditangkap, dia hanya boleh dibunuh sekali sahaja.

Banyak lagi jika disebut tentang ketidakadilan dalam dunia sekarang. Begitu ramai yang ditindas dan dizalimi dan mereka tidak mendapat pembalasan atas kezaliman yang telah dikenakan kepada mereka. Namun tidak begitu di akhirat nanti. Allah ‎ﷻ akan memberi keadilan dengan sepenuhnya. Maka ini memberi peringatan kepada kita: jika kita dizalimi di dunia pun, ingatlah yang akhirat itu ada… maka kita akan mendapat keadilan kelak. Ya, kita dinafikan keadilan di dunia, namun ia akan ditegakkan di akhirat kelak.

Ketiganya, saksi-saksi akan ‘dibangkitkan’ pada hari itu dan memberi pernyataan mereka. Tidak dapat lagi kita hendak lari, hendak tipu. Jika dalam mahkamah dunia, boleh lagi tipu kalau mereka pandai atau menggunakan khidmat peguam yang pandai. Entah berapa ramai manusia yang dapat lari hukuman di mahkamah dunia, namun tidak di mahkamah Allah ‎ﷻ nanti.

Dengan sifat Rahmanlah Allah ‎ﷻ menjadikan Hari Kiamat. Ini kerana mereka yang telah melakukan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan mereka yang telah melakukan kezaliman akan dibalas. Sebagaimana kita juga, kalau ada orang yang zalim, sifat semulajadi kita mesti hendak melihat mereka diadili dengan seadilnya. Ini memang sifat semulajadi manusia, dan yakinlah yang ia akan diberi di akhirat kelak.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

yang tidak ada sebarang syak padanya”.

Hari Kiamat itu tidak syak lagi, pasti berlaku. Kita tahu dengan pasti tentang kedatangan hari Kiamat ini dari segi syarak dan akal. Dari segi syarak, terlalu banyak ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi yang menyebut tentangnya.

Dari segi akal, kita tahu yang semua yang ada dalam alam ini akan musnah akhirnya. Kita semua akan mati, tidak ada yang dapat hidup selama-lamanya. Begitu juga dengan dunia ini.

Oleh itu, mereka yang tidak beriman pun tahu bahawa alam ni akan hancur. Para saintis pun selalu memberikan senario di mana dunia akan hancur akhirnya seperti juga bintang-bintang yang mereka kaji itu. Tidak ada yang akan kekal.

Dan secara logik, tidak akan ada orang yang baik dalam dunia dan orang yang jahat mendapat nasib yang sama. Dalam hati kita, kita tahu bahawa ada keadilan akhirnya. Mereka yang jahat tentu akan dibalas dan mereka yang baik tentu mendapat kebaikan. Tidak akan sama kedua-duanya. Dan kita pun tahu keadilan itu tidak ada dalam dunia. Kena tunggu akhirat nanti baru akan ada keadilan.

 

الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

Orang-orang yang merugikan diri sendiri,

Bagaimanakah mereka telah merugikan diri mereka sendiri? Allah ‎ﷻ telah memberikan kita fitrah, iaitu roh yang sempurna, tetapi mereka telah tidak menggunakannya untuk kebaikan.

Oleh itu, mereka telah merugikan diri mereka sendiri. Sebagaimana jika kita berniaga – ada modal yang banyak tetapi rugi dalam perniagaan sampai habis modal itu.

 

فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

maka mereka tidak beriman.

Mereka yang tidak beriman adalah mereka yang sebenar-benar rugi. Mereka akan menyesal yang amat sangat pada hari Kiamat nanti. Tetapi penyesalan mereka tidak berguna. Menangislah air mata darah sekali pun, tidak akan mereka diberi peluang untuk memperbaiki diri mereka. Ini semua adalah kerana mereka tidak beriman semasa mereka hidup di dunia. Mereka tidak mengambil peluang memikirkan manakah jalan yang benar dan manakah jalan yang patut ditinggalkan.

Mereka tidak beriman seperti yang sepatutnya. Setelah mereka menerima yang Allah ‎ﷻ sebagai pencipta alam ini, mereka tidak terima yang Dia juga yang memiliki alam ini. Dan kerana itu, mereka tidak ikut apa ajaran wahyu daripada-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s