Tafsir Surah Ali Imran Ayat 86 – 96 (Ayatul Birr)

Ayat 86: Ayat ini tentang mereka yang murtad. Setelah tahu mana yang Haq, mereka masih lagi menolak kebenaran. Sebenarnya tidak perlu tolak semua ayat Al-Qur’an, tolak satu sahaja ayat sudah jatuh kafir. Sebagai contoh, mereka tolak satu ayat Al-Qur’an sahaja, sudah dikira kufur kerana ayat Al-Qur’an itu mestilaj diterima semuanya sekali. Jangan ada ragu-ragu pada satu pun ayat Al-Qur’an.

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

How shall Allah guide a people who disbelieved after their belief and had witnessed that the Messenger is true and clear signs had come to them? And Allah does not guide the wrongdoing people.

MALAY

Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ

Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, 

Bagaimanalah lagi Allah ‎ﷻ hendak beri hidayah kalau ada orang yang tolak selepas beriman. Mereka itu sudah kenal Islam dan sudah masuk Islam pun, tetapi kemudian berpaling meninggalkan agama kerana mereka sudah sepatutnya kenal Islam, maka penolakan mereka itu adalah amat berat. Ini berbeza dengan orang yang tidak kenal Islam.

وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ

dan juga sesudah mereka bersaksi bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar,

mereka mengucapkan sendiri syahadah dengan lidah mereka yang Nabi Muhammad ﷺ itu benar dan seorang Rasul. Maknanya dia sudah masuk Islam. Syahadah itu bermaksud sudah tahu, sudah menyaksikan.

وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ

dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata.

Segala bukti dalam bentuk wahyu telah datang kepada mereka. Mereka sudah dapat semula maklumat yang diperlukan untuk beriman tetapi mereka masih buat tidak kisah dengan agama.

وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim.

Mereka dikira zalim dan Allah ‎ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka lagi. Mereka tidak akan mendapat hidayah lagi kerana mereka sudah tahu kebenaran tetapi mereka masih lagi menolak kebenaran itu walaupun telah tahu. Mereka telah murtad dan ini adalah dosa yang amat besar.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang orang Yahudi yang masuk Islam setelah nampak kebenaran Islam. Namun kemudiannya mereka telah keluar daripada Islam.


Ayat 87: Apakah balasan yang akan diberikan kepada orang yang murtad?

أُولَٰئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Those – their recompense will be that upon them is the curse of Allah and the angels and the people, all together,

MALAY

Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).

أُولَٰئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ

Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah

Mereka akan mendapat laknat Allah ‎ﷻ yang berkekalan. ‘Laknat’ itu maksudnya mereka tidak ada peluang untuk bertaubat dan tidak akan diterima taubat mereka.

وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

dan malaikat-Nya sekalian manusia.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ tetapi mereka akan mendapat laknat daripada malaikat dan manusia seluruhnya. Ini kerana malaikat dan manusia yang beriman tidak suka kepada orang yang meninggalkan agama mereka.


Ayat 88:

خٰلِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Abiding eternally therein. The punishment will not be lightened for them, nor will they be reprieved.

MALAY

Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian;

خٰلِدِينَ فِيهَا

Mereka kekal di dalamnya,

Mereka akan kekal dalam laknat itu kerana mereka ada peluang untuk mengamalkan agama Islam yang benar ini tetapi mereka telah mensia-siakan eluang itu.

لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ

tidak diringankan azab seksa daripada mereka

Mereka nanti akan diazab dan azab mereka tidak akan diringankan. Walau bagaimana kuat sekalipun mereka merayu kepada malaikat yang menyeksa mereka, azab itu tidak akan dikurangkan sedikit pun.

Azab itu akan sentiasa sakit. Kalau kita selalu kena pukul, lama-kelamaan sakit itu kita sudah rasa biasa. Akan tetapi ini tidak akan terjadi di akhirat kelak. Azab itu tidak akan rasa biasa sampai bila-bila.

وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

dan mereka pula tidak diberi tangguh

Tidak diberi peluang ditangguhkan walau sesaat. Kalau dalam dunia, boleh minta orang yang menyeksa kita berikan tangguh seminit dua, mungkin tukang seksa itu ada belas kasihan atau penat, tetapi malaikat tidak ada belas kasihan langsung. Ini kerana mereka amat taat kepada Allah ‎ﷻ.

Kalau seseorang diseksa di dunia, tukang seksa akan tahan sekejap kalau dia lihat orang yang diseksa itu akan mati kalau dia teruskan kerana kalau dia mati, sudah tidak dapat diseksa lagi orang itu. Namun begitu di neraka nanti, tidak perlu hendak takut orang yang diseksa itu akan mati kerana memang tidak akan mati. Kematian sudah tiada lagi.


Ayat 89: Jadi amat teruk sekali balasan bagi mereka yang murtad kecuali kalau orang murtad itu sempat bertaubat sebelum dia mati. Maknanya ada harapan lagi, selagi belum mati. Selagi belum mati, boleh bertaubat.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Except for those who repent after that and correct themselves. For indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

MALAY

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu, 

Kecuali kalau orang murtad itu yang sempat bertaubat setelah murtad. Caranya, yang mana dia tolak, mesti terima balik dan kena ingat, tolak satu sahaja daripada rukun-rukun Islam atau ayat-ayat Al-Qur’an, sudah dikira murtad.

Dalam ayat sebelum ini, disebut akan terus dilaknat orang yang murtad dan dalam ayat ini kata diterima pula. Kenapa ada perbezaan? Ini kerana orang yang murtad tidak semuanya sama. Ada yang memang hatinya jahat menolak kebenaran dan ada yang murtad kerana ikut – ikut orang sahaja. Maka ada yang masih ada harapan lagi.

وَأَصْلَحُوا

serta memperbaiki diri mereka,

Syarat taubat adalah hendaklah diperbaiki semula kesilapan yang dia pernah buat kerana telah menolak hukum dan ayat Allah ‎ﷻ. Maknanya dia kena terima semula mana-mana bahagian yang dia tolak dan dia kena baiki diri dia. Kalau dahulu tidak salat, maka dia kena salat semula.

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ sanggup mengampunkan semua dosa orang itu. Maka jangan ada sesiapa yang putus asa. Ini adalah kerana Allah‎ ﷻ amat sayang kepada manusia. Kerana sayang, Allah ‎ﷻ sanggup terima taubat hamba-Nya walaupun dosanya amat besar iaitu dosa murtad.


Ayat 90: Takhwif duniawi

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الضَّالُّونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who reject the message after their belief and then increase in disbelief – never will their [claimed] repentance be accepted, and they are the ones astray.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, 

Ini adalah jenis orang yang kafir degil. Sudah tahu kebenaran tetapi masih tolak juga lagi. Mereka sepatutnya tahu kebenaran kerana mereka sudah masuk Islam. Itulah maksudnya ‘sesudah mereka beriman’.

ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا

kemudian mereka bertambah kufur lagi,

Malangnya mereka ini amat teruk, makin diberitahu tentang agama, makin bertambah kufur mereka. Makin dinasihati, makin mereka melawan.

Malah mereka menentang Islam. Mungkin mereka jadi jurucakap yang menceritakan kononnya keburukan Islam sampaikan orang kafir semakin salah faham dengan Islam. Mereka mungkin semakin yakin tentang kesilapan Islam kerana yang sudah masuk pun boleh keluar.

Maka mereka yang sebegini tidak akan diterima taubat mereka. Kerana mereka menyatakan kekufuran mereka dan menentang Islam. Ini adalah orang yang amat teruk sekali dan dalam hukum Hudud, mereka ini boleh dibunuh.

 لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ

tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka,

Kalau mereka masih terus kufur. Lama-lama semakin bertambah kufur mereka. Mereka semakin tenggelam di dalam kekafiran mereka. Semakin ditarik ke arah kesesatan sampai tidak ada peluang lagi untuk kembali ke arah kebenaran.

Kita pernah beritahu yang kufur ini ada empat peringkat. Kalau sudah sampai tahap empat, sudah tidak diterima taubat kerana hati mereka telah dikunci mati daripada menerima hidayah lagi. Mereka akan bertaubat di akhirat akhirnya, tetapi tidak akan diterima.

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الضَّالُّونَ

dan mereka itulah orang-orang yang sesat.

Mereka akan sesat selama-lamanya dan apabila mati, akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah balasan yang layak bagi mereka.


Ayat 91:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ وَمَا لَهُم مِّن نّٰصِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieve and die while they are disbelievers – never would the [whole] capacity of the earth in gold be accepted from one of them if he would [seek to] ransom himself with it. For those there will be a painful punishment, and they will have no helpers.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir,

Ini adalah orang yang mati dalam kafir. Mereka tidak sempat bertaubat semasa mereka hidup kerana taubat hanya diterima semasa hidup sahaja. Kalau nyawa sudah di kerongkong, tidak akan diterima lagi taubat seseorang itu.

فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ

maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengannya

Tidak diterima tebusan walaupun mereka sanggup memberi emas sepenuh bumi pun. Kalau dalam dunia, emas sebanyak itu tentu ada nilai sedikit sebanyak, tetapi di akhirat nanti, ia tidak bernilai langsung. Kalau dalam dunia boleh pakai rasuah lagi, boleh suap orang sana dan sini, namun tidak di akhirat.

Memanglah tidak ada sesiapa pun yang ada emas seluas bumi. Cuma Allah hendak jadikan andaian: kalaulah ada pun tidak akan diterima.

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya,

Yang mereka dapat hanyalah seksa yang tidak akan berkurangan pedihnya. Azab semakin sakit dan sakit lagi, tidak pernah berkurang. Dan  mereka tidak akan alah dengan azab itu. Mereka tidak akan rasa sudah biasa (alah bisa tegal biasa).

وَمَا لَهُم مِّن نّٰصِرِينَ

dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

Tidak ada sesiapa pun yang akan menolong mereka di akhirat kelak. Kalau dalam dunia, ada sahaja orang yang boleh bantu kita, sama ada mereka sukarela atau kita bayar mereka. Namun ia tidak akan berlaku di akhirat nanti.


Ayat 92: Kita sekarang masuk ke juz yang keempat. Ia berkenaan dengan ‘birr’. Ayat birr juga ada dalam Surah Baqarah dahulu – ayat 177. Ini disentuh lagi dalam surah Ali Imran ini.

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never will you attain the good [reward]1 until you spend [in the way of Allāh] from that which you love. And whatever you spend – indeed, Allāh is Knowing of it.

  • Another meaning is “You will never attain righteousness.”

MALAY

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.

Kita tidak akan dapat pahala yang sebenar dan kebaikan yang sebenar sehingga kita infaqkan apa yang kita kasihi iaitu kita mengorbankan benda yang kita kasihi. Tentunya makna umum adalah harta dan jiwa; tetapi ia boleh juga bermaksud perkara lain.

Oleh kerana surah ini tentang dakwah kepada penganut Kristian, maka antara perkara yang mereka kena korbankan adalah fahaman yang mereka kasihi.. Untuk masuk Islam kena ada pengorbanan. Mereka kena tinggalkan fahaman salah tentang Nabi Isa عليه السلام, tentang syirik, tentang Nabi Ibrahim عليه السلام dan macam-macam lagi. Tentunya mereka kasih dengan fahaman mereka itu kerana mereka telah belajar dan memegangnya semenjak kecil lagi. Namun ini adalah ujian yang mereka perlu lepasi.

Begitu juga kita dalam masyarakat sekarang, untuk terima jalan Sunnah, kena tinggalkan guru-guru dan fahaman yang salah tentang bid’ah. Jangan lagi terima guru-guru yang membenarkan amalan-amalan bid’ah yang meringankan sahaja amalan-amalan itu. Ramai dalam kalangan ustaz yang tidak berani menegur amalan bid’ah atau mereka setakat kata, hendak buat boleh, jika tidak mahu buat jangan bising.

Malah, ada ustaz di negara kita ini yang jadi pengamal bid’ah (antaranya merekalah yang jadi tekong Majlis Tahlil). Kita kena tinggalkan mereka dan jangan ambil ilmu lagi daripada mereka. Ini terpaksa kita lakukan. Banyak ustaz yang sunnah di negara kita sekarang. Walaupun pergerakan mereka terhad, kerana dihalang oleh mereka yang berkuasa, tetapi mereka masih banyak lagi, in sha Allah.

Memang susah hendak tinggalkan fahaman dan amalan lama. Golongan Nasara itu tentunya amat sayang dengan agama mereka. Mungkin ada yang sudah menjadi guru dan banyak pengikut dan mendapat banyak imbuhan keduniaan dengan kedudukan mereka itu. Ini kerana tentunya ada yang disanjung oleh masyarakat mereka. Kalau ikut Nabi Muhammad ﷺ, maka kenalah belajar semula dari mula; akan dicemuh dengan masyarakat mereka; mungkin dipulau oleh ahli keluarga mereka; macam-macam lagi.

Mafhum kedua daripada maksud ‘infaq’ adalah infaq harta yang biasa. Telah banyak disebut dalam Surah Baqarah sebelum ini, maka ini adalah pengulangan perkara itu. Kita kena beri harta yang kita kasih. Siapa yang tidak sayangkan harta, bukan?

Namun begitu hendaklah berpada-pada juga, bukannya kena beri semua pun sampai muflis licin habis harta kita tinggal sehelai sepinggang. Lafaz مِمَّا bermaksud ‘sebahagian’, bukanlah semua. Jadi, tidaklah perlu kita berikan semua sekali harta kita. Janganlah diikut sangat Saidina Abu Bakr رضي الله عنه yang telah memberikan semua harta beliau. Beliau sudah berada di suatu tahap yang berbeza. Ramai lagi sahabat lain yang kita boleh contohi.

Yang penting, kita kena infaq benda yang kita sayangi, bukannya barang yang kita tidak suka. Kena beri barang yang boleh dipakai lagi. Semua syarat-syarat ini telah diterangkan dalam perbincangan Surah Baqarah (bab infaq).

Infaq itu bukanlah mengeluarkan harta sahaja kerana ayat ini menggunakan lafaz وَمَا yang memberi isyarat yang ia boleh menjadi pelbagai. Satu perkara yang kita sayang juga adalah masa. Ia adalah ‘harta’ paling berharga semasa kita muda. Selalunya orang muda akan menggunakan masa muda mereka kepada perkara membuang masa.

Namun kita kena luangkan masa yang amat kita hargai ini untuk belajar, mengajar, berdakwah, buat kebajikan, buat amal ibadat dan lain-lain lagi perkara dalam agama. Kalau tidak diluangkan masa, memang tidak akan ke mana. Kalau hendak tunggu masa ‘lapang’, memang tidak akan ada. Kita sendiri yang kena cari dan tentukan masa itu.

وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Dan sesuatu apa jua yang kamu infakkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Apa sahaja yang kita infaqkan itu, Allah ‎ﷻ amat mengetahui tentangnya dan Allah ‎ﷻ sudah tulis apa yang kita infaqkan. Tidak perlu kita hendak beritahu sesiapa yang kita infaqkan kerana Allah ‎ﷻ tahu. Tidak perlulah kita hendak canangkan kepada orang, tidak perlulah untuk dimasukkan dalam Instagram atau dalam FB. Boleh mendatangkan masalah sahaja kalau dimasukkan (takut hilang rasa ikhlas dalam hati kita).


Ayat 93:

Ayat ini adalah tentang kesamaran Ahli Kitab tentang halal dan haram daging unta. Mereka keliru tentang agama dan tentang penetapan hukum. Maka disentuh di dalam ayat ini.

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِي إِسرٰءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرٰءيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّورَٮٰةُ‌ۗ قُلْ فَأْتُوا بِٱلتَّورَٮٰةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

All food was lawful to the Children of Israel except what Israel [i.e., Jacob] had made unlawful to himself before the Torah was revealed. Say, [O Muḥammad], “So bring the Torah and recite it, if you should be truthful.”

MALAY

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israil – sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِي إِسْرٰءيلَ

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israel,

Semuanya sebenarnya adalah halal termasuk unta. Perkataan كُلُّ itu, bukanlah bermaksud semua sekali. Perumpamaan seorang seorang suami yang kata kepada isterinya: “Aku dah beri semuanya kepada kamu, apa lagi yang kamu hendak?”

Tentulah suami itu tidak beri semua, bukan? Banyak lagi yang dia belum bagi, mungkin rumah, kereta, mahligai, tanah, bulan, bintang dan sebagainya. Oleh itu, maksud كُلُّ itu maknanya banyak makanan yang halal kepada mereka.

إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرٰءيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِ

kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri 

Ini dikecualikan kepada Nabi Yaakub عليه السلام ke atas dirinya sendiri kerana sebab-sebab rawatan atau ada yang kata, baginda tidak suka makan daging unta. Bukannya baginda haramkan, cuma baginda sendiri tidak makan (baginda menahan untuk dirinya sahaja).

Namun malangnya, ada keturunan baginda yang mengharamkan kepada diri mereka apabila mereka tahu yang Nabi Yaakub عليه السلام tidak makan unta.

Kita kena tahu bahawa إِسْرَائِيلُ adalah nama gelaran kepada Nabi Yaakub عليه السلام.

مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّورَٮٰةُ‌ۗ

sebelum diturunkan Kitab Taurat.

Kejadian pantang Nabi Yaakub عليه السلام itu terjadi sebelum turunnya Taurat. Sebelum dan selepas turunnya Taurat, memakan unta adalah halal. Bacalah Taurat, mana ada yang mengatakan haram unta.

Ini adalah satu perkara yang besar yang banyak bersangkutan dengan kita juga, bukan tentang unta sahaja. Puak Bani Israel telah mengharamkan makanan yang Allah ‎ﷻ tidak haramkan kepada mereka. Oleh itu, mereka telah melakukan satu kesalahan yang besar, kerana menghalal dan mengharamkan sesuatu adalah haq Allah ‎ﷻ sahaja.

Allah ‎ﷻ yang menentukan yang mana halal dan mana haram. Kalau mereka pandai-pandai haramkan, maka mereka telah mengambil haq Allah ‎ﷻ dan ini adalah perkara yang berat. Oleh itu, mengharamkan benda yang halal akan menyebabkan murtad.

Maka, bagaimana dengan kalangan masyarakat kita yang memandai-mandai mengharamkan/pantang beberapa jenis makanan kepada diri mereka? Contohnya, semasa bersalin, semasa mengamalkan ilmu-ilmu rahsia yang entah dari mana, mengharamkan jenis-jenis makanan kepada keturunan mereka, dan sebagainya. Perkara ini ada dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah al-An’am.

قُلْ فَأْتُوا بِٱلتَّورَٮٰةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ cabar mereka untuk keluarkan kitab Taurat dan tunjuk di manakah ada dikatakan yang unta itu haram dimakan?


Ayat 94:

فَمَنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever invents about Allāh untruth after that – then those are [truly] the wrongdoers.

MALAY

(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Sesiapa yang mengadakan benda baru dalam agama, mereka itu dikira sebagai zalim. Ini adalah kerana agama ini adalah hak Allah ‎ﷻ, disampaikan melalui Rasul-rasul baginda. Maka tidak patut kalau kita datangkan perkara baru dalam agama yang tidak ada asalnya dari Allah ‎ﷻ dan Nabi.

Adil itu adalah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya dan zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Jadi kalau ambil tugas dan haq Allah ‎ﷻ, maka itu adalah zalim.

Begitulah kita menentang amalan-amalan bid’ah dalam masyarakat kita. Kebanyakan daripada pengamal bid’ah dengan mudah sahaja melakukan amalan bid’ah, seperti ia tidak ada apa, perkara biasa sahaja seolah-olah tidak salah bagi mereka, padahal itu adalah mereka-reka perkara baru dalam agama. Mereka tidak faham apakah maksud ‘bid’ah’ itu, sampaikan ada yang menggunakan tiket ‘Bid’ah Hasanah’ di dalam membolehkan amalan yang mereka lakukan. Ini adalah amat bahaya sekali.


Ayat 95:

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Allāh has told the truth. So follow the religion of Abraham, inclining toward truth; and he was not of the polytheists.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah,

Allah ‎ﷻ adalah benar dalam wahyu yang diturunkan.

Apa yang Allah ‎ﷻ firman adalah benar. Maka kenalah ikut apa sahaja yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Mulakan dengan belajar apa yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Kalau tidak tahu, bagaimana hendak ikut?

فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ

maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim

Ikutlah agama Nabi Ibrahim عليه السلام yang meninggalkan syirik. Maksud مِلَّةَ adalah satu penyatuan agama yang disebabkan oleh cinta iaitu cara hidup yang diamalkan oleh ramai orang.

حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

yang berdasarkan Tauhid, dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik.

Agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام adalah agama Islam yang hanif – yang lurus dan fokus kepada Allah ‎ﷻ.

Selalu apabila disebutkan agama Nabi Ibrahim عليه السلام yang ‘hanif’, ditambah bahawa baginda ‘tidak syirik’. Kenapa perlu ditambah pula sedangkan kalimah ‘hanif’ itu sendiri sudah ada konotasi tauhid?

Ini adalah kerana puak Musyrikin Mekah juga ada menggelarkan diri mereka beragama hanif, kerana mereka kata mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi Allah ‎ﷻ tekankan di sini kalau agama Nabi Ibrahim عليه السلام, ia adalah tauhid dan tidak ada syirik di dalamnya.

Seperti orang kita lah juga – mengaku beragama Islam dan mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, tetapi sebenarnya ada antara mereka yang mengamalkan juga fahaman dan amalan syirik yang mereka tidak sedari. Mereka tidak sedar kerana mereka tidak belajar wahyu. Jadi mereka sangka mereka beriman dan sudah mengamalkan tauhid, namin belum tentu lagi. Kena periksa dengan wahyu Allah ‎ﷻ baru tahu.


Ayat 96: Ini adalah jawapan kepada satu lagi kesamaran dalam fahaman Yahudi Nasara iaitu tentang Kiblat di Mekah. Ini apabila kiblat berpindah ke Kaabah semasa Nabi di Madinah.

Mereka tidak dapat terima Mekah sebagai kiblat. Mereka kata kiblat mereka (BaitulMaqdis) lebih lama dari kiblat umat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka berhujah: kalau sudah lama, kenapa nak pakai kiblat yang baru pula? Lalu Allah memberikan penjelasan dalam ayat ini sebagai bukti bahawa tidak salah Nabi Muhammad apabila beralih ke Mekah sebagai kiblat.

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the first House [of worship] established for mankind was that at Bakkah [i.e., Makkah] – blessed and a guidance for the worlds.

MALAY

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

 

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (ialah Baitullah) yang di Bakkah

Sekarang Allah beritahu kita yang Rumah Ibadat yang pertama dibina untuk manusia sebagai rumah ibadat adalah Kaabah di Makkah. Ianya untuk semua manusia, bukannya untuk bangsa tertentu sahaja. Ini kerana agama Islam ini adalah untuk semua manusia. Ianya adalah agama yang terbuka untuk semua memasukinya (dan memang kena masuk Islam pun). Jadi tidaklah agama Islam ini terhad seperti agama Yahudi yang hanya kepada bangsa mereka sahaja.

‘Bakkah’ adalah nama lama bagi Mekah. Allah sebutkan juga sejarah Mekah itu sebagai makluman. Ianya ada juga disebut dalam Kitab Suci Yahudi dan Nasara. Tapi mereka telah tukar kepada ‘Sakkah’ dan mereka kata ianya adalah tempat lama yang tidak diketahui lagi, tak boleh jumpa. Mereka tutup maklumat itu dari orangramai. Mereka telah pusing maklumat supaya umat mereka tidak tahu tentang Bakkah (Mekah).

 

مُبَارَكًا

yang berkat

Sekarang Allah beritahu sifat Mekah itu. Kelebihan Mekah itu ialah ia diberi Keberkatan oleh Allah. Maksudnya diganda pahala  apabila beribadat di dalamnya, dibandingkan dengan masjid lain sebanyak seratus ribu kali ganda. Tanah Haram juga ada keberkatan yang kita sendiri mungkin tidak tahu.

Ini mengingatkan kita bahawa keberkatan pada apa-apa atau sesiapa sahaja, ditentukan oleh Allah. Kena ada dalil yang sesuatu itu berkat. Bukan manusia yang pandai-pandai kata ianya berkat. Sebagai contoh, ada yang kata orang balik Mekah itu ada berkat; atau guru itu ada berkat; atau kubur itu ada berkat; dan sebagainya. Itu semua tidak ada dalil maka hendaklah ditolak. Jangan kita terlibat dalam perkara rekaan-rekaan seperti itu.

Inilah yang dinamakan ‘tabarruk’. Ia memang ada dalam Islam. Akan tetapi kenalah ada dalil. Malangnya ramai golongan yang mereka-reka berkat baru. Sampai sekarang yang paling teruk adalah mengambil berkat dengan logo capal. Ini tidak ada dalil sahih dan cara tabarruk yang amat salah.

 

وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ

dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi sekelian alam.

Dan Mekah itu sebagai hidayat. Maknanya di tengah-tengah Mekah itu ada Kaabah dan setiap umat Islam kena hadap kepadanya dalam solat. Hidayat itu nisbah kepada kiblat tawajjuh, iaitu tempat untuk kita hadapkan wajah kita (fokuskan pandangan).

Kerana itu tidak diterima solat kalau mengadap ke tempat yang lain. Melainkan kalau kita berada di tempat yang kita tidak tahu mana kiblat, barulah boleh kalau kita solat mengadap mana-mana arah. Tetapi sebelum itu, kita kena usaha untuk cari manakah kiblat dahulu.

Dengar kata, Syiah sudah mula menukar kiblat mereka. Ada nampak di media bagaimana mereka solat mengadap arah selain dari Mekah. Ini adalah satu perbuatan yang amat salah sekali. Kalau dulu, persamaan kita dengan mereka adalah kiblat yang sama sahaja, sebab yang lain memang sudah tidak sama. Tapi kali ini, nampaknya kiblat kita dan mereka pun sudah berlainan.

Semoga masyarakat kita kenal siapakah Syiah ini dan tidaklah tertipu dengan diayah mereka. Kita kena sebarkan kesesatan mereka ini supaya masyarakat kita sedar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 November 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s