Ayat 270:
وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ ۗ وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ
SAHIH INTERNATIONAL
And whatever you spend of expenditures or make of vows – indeed, Allah knows of it. And for the wrongdoers there are no helpers.
MALAY
Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ
Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan daripada infak
Tidak disebut infak apa dalam ayat ini. Maka ia boleh merujuk kepada infak untuk jalan Allah ﷻ atau infak kepada maksiat.
أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ
atau apa sahaja yang kamu nazarkan
Nazar disebut dalam ayat ini kerana nazar pun adik beradik infak juga. Sama ada nazar pada jalan Allah ﷻ atau ke jalan maksiat.
Nazar adalah satu janji untuk melakukan sesuatu jikalau sesuatu terjadi. Sebagai contoh, kita bernazar untuk infak kepada sekolah agama kalau anak kita dapat keputusan yang baik. Ramai juga orang kita yang bernazar sebegini. Akan tetapi ada perbincangan tentang hal ini.
Nazar sudah ada sebelum Islam lagi, diamalkan oleh semua agama, termasuk Hindu (nazar membawa kavadi). Zaman Jahiliyah pun sudah ada perbuatan Nazar, sebagai contoh Umar pernah bernazar untuk i’tikaf di Ka’bah. Apabila dia masuk Islam, beliau tanya Rasulullah perlukah diteruskan nazarnya itu.
Apabila Islam datang, maka nazar dibahagi dua:
Nazar mu’allaq atau nazar meraih manfaat dari Tuhan dengan menawarkan ‘ibadah rasuah’. Ini seperti rasuah kepada Tuhan. Jika Tuhan beri apa yang dipinta, maka barulah hamba nak melakukan ketaatan. Contoh: jika aku dapat 10A dalam SPM, maka wajiblah aku bernazar puasa 5 hari. Maksudnya dia rasuah Tuhan dengan ibadah puasa, jika Tuhan menunaikan hajatnya.
Di dalam fiqh, ini tidak disukai dan ada seperti larangan dari Rasulullah. Cuma apabila larangan dari Rasulullah, ia dikira makruh, bukannya haram. Hanya jika Allah yang larang, ia terus dikira haram. Ini kaedah emas yang kena dipegang.
Maka nazar seperti ini disukai dan dalilnya adalah hadis:
نَهَى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – عَنِ النَّذْرِ قَالَ « إِنَّهُ لاَ يَرُدُّ شَيْئًا ، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ »
“Nabi saw melarang untuk bernazar, beliau bersabda: ‘Nazar sama sekali tidak mampu menolak sesuatu. Nazar hanyalah dikeluarkan dari orang yang bakhil (pelit)’.” (HR. Bukhari no. 6693 dan Muslim no. 1639 dari sanad Ibn Umar)
Akan tetapi ada sebahagian ulama seperti dari Mazhab Maliki dan Syafi’iy yang mengatakan nazar adalah sunnah. Kita pun boleh lihat dalam ayat Surah Baqarah yang kita bincangkan ini. Jadi bagaimana pula?
Kita kena faham yang maksud nazar yang sunnah itu ialah jenis ‘nazar mutlak’. Iaitu janji kepada Allah, tanpa memberi syarat kepada Allah. Contoh: “aku ikhlas bernazar bulan Rejab untuk berpuasa 10 hari”. Nazar yang sebegini adalah sunnah sebab tidak diikat dengan apa apa syarat.
فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ
sesungguhnya Allah mengetahui-Nya
Allah ﷻ hendak beritahu yang apa sahaja yang kita infakkan untuk kebaikan, Allah ﷻ tahu, maka tidak payah sibuk beritahu kepada orang kerana kita harap pahala daripada Allah ﷻ sahaja.
Allah ﷻ hendak mengingatkan yang kalau kita infak atau nazar kepada keburukan, pun Allah ﷻ tahu juga.
وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ
orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
Allah ﷻ hendak mengingatkan yang kalau sesiapa infak kepada perkara keburukan, Allah ﷻ akan beri balasan azab dan tidak akan ada sesiapa yang dapat menyelamatkan dia.
Ayat 271: Kadang-kadang kerana tuntutan semasa, kita kena zahirkan sedekah kita. Terutama kalau zakat wajib. Ini pun bagus juga supaya orang kaya lain pun ikut keluarkan zakat sebab ikut kita. Sampai ulama’ kata sunat untuk menzahirkan zakat wajib.
Tetapi jika ‘sedekah sunat’, disunatkan untuk merahsiakannya untuk menjaga keikhlasan kerana takut ada timbul suka dalam hati kita kalau ada orang nampak.
إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ
SAHIH INTERNATIONAL
If you disclose your charitable expenditures, they are good; but if you conceal them and give them to the poor, it is better for you, and He will remove from you some of your misdeeds [thereby]. And Allah , with what you do, is [fully] acquainted.
MALAY
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik
Ayat ini memberi hukum bahawa boleh untuk kita zahirkan sedekah kita. Kadang-kadang itu adalah sebaik-baik cara tetapi kena tengok keadaan juga.
Kadang-kadang ada suasana yang apabila kita mula keluarkan sedekah, orang lain ada ikut. Ada satu hadith bagaimana semasa Nabi ﷺ di dalam satu majlis dengan para sahabat, telah datang seorang peminta sedekah. Nabi ﷺ suruh mereka membantu peminta sedekah itu tetapi tidak ada sesiapa pun yang bangun membantu pada mulanya. Namun kemudian seorang sahabat telah bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu. Melihat perbuatan sahabat yang pertama itu, para sahabat yang lain pun mulai bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu.
Maka Rasulullah ﷺ memberitahu yang sahabat yang mula buat itu dapat pahala sedekah sahabat-sahabat yang lain juga.
“Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk (kebenaran) adalah baginya pahala sebagaimana pahala bagi orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan pahala tersebut sedikitpun.” (Sahih Muslim)
وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم
Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu;
Namun kalau kita sembunyikan sedekah itu dan berikan pada tempat yang betul, itu lebih baik kerana hati kita terjaga daripada sifat riak dan ujub.
Memberi pada tempat yang betul adalah lebih baik. Ini penting kerana kadang-kadang manusia beri kepada tempat yang tidak kena. Maka, kita bukan sahaja kena sedekah, tetapi kena pandai memilih tempat pemberian yang sesuai. Dalam ayat ini disebut fakir miskin, kerana mereka antara golongan yang amat memerlukan bantuan daripada orang lain.
وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم
dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu.
Berkat daripada amalan infak, Allah ﷻ akan tutup dosa-dosa kita. Allah ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘sebahagian’ daripada dosa-dosa kita. Maknanya, bukan semua dosa akan ditutup. Kalau dosa kecil, Allah ﷻ ampunkan terus.
Tetapi kalau dosa besar, Allah ﷻ akan gerakkan hati kita untuk bertaubat. Ini adalah kerana perkataan من maksudnya ‘sebahagian’ dan bukan semua. Dosa-dosa yang besar hendaklah kita minta ampun secara khusus.
وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ
Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Sama ada kita beri secara zahir atau kita sembunyikan sedekah kita itu, Allah ﷻ tahu. Maka janganlah kita risau sama ada Allah ﷻ balas atau tidak. Tidak perlu kita hendak beritahu kepada orang lain, yang penting Allah ﷻ sudah tahu dan yang kita pentingkan adalah Allah ﷻ sedar apa yang kita lakukan, bukan?
Ayat 272:
۞ لَيسَ عَلَيكَ هُدِىٰهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم ۚ وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ ۚ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Not upon you, [O Muhammad], is [responsibility for] their guidance, but Allah guides whom He wills. And whatever good you [believers] spend is for yourselves, and you do not spend except seeking the countenance of Allah . And whatever you spend of good – it will be fully repaid to you, and you will not be wronged.
MALAY
Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
لَيسَ عَلَيكَ هُدىٰهُم
Tidaklah ke atas engkau memberi hidayah kepada mereka
Tidak boleh berhenti daripada berbuat baik kalau apa yang kita hendak tidak menjadi. Contohnya, mungkin kita tolong orang supaya dia ikut kita belajar, tetapi dia tetap tidak mahu datang. Atau kita bantu dia kerana kita hendak nasihatkan dia menjadi orang yang baik, tetapi itu tidak terjadi.
Kadangkala kita mungkin rasa sia-sia sahaja kita infak dan bantu orang dan orang itu tidak jadi seperti yang kita harapkan. Allah ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang janganlah kita sampai berhenti daripada menolong dia.
Kerana yang memberikan hidayah bukan atas kuasa kita. Zaman Nabi ﷺ pun jadi macam itu. Sahabat ada yang tolong keluarga mereka yang kafir tetapi mereka tidak mahu juga masuk Islam. Mereka sampai satu ketika sudah tidak mahu hendak tolong keluarga mereka lagi. Jadi Allah ﷻ tegur perbuatan mereka itu. Allah ﷻ mengingatkan yang bukan kita yang beri hidayah kepada orang lain.
وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ
akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya
Kita hanya boleh sampaikan dakwah sahaja. Kita hanya boleh mengajak sahaja. Allah ﷻ sahaja yang boleh beri hidayah. Jadi jangan rasa bersalah kalau orang yang kita dakwah itu tidak mahu menerima dakwah itu kerana hidayah dan iman di dalam tangan Allah ﷻ.
وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم
Dan apa jua harta yang halal yang kamu infakkan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri
Jangan berhenti daripada infak termasuk kepada orang yang tidak mengikut ajakan dakwah kita. Ini kerana kalau mereka masih tidak mahu beriman, tidak mahu datang belajar agama, kita masih juga dapat pahala infak itu. Maka tidaklah sia-sia perbuatan infak kita itu kerana pahala sudah tertulis.
وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ
dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah
Hendaklah kita infak kerana mencari redha Allah ﷻ. Inilah tujuan kita infak sebenarnya. Maka kalau kita infak kerana hendak mengubah seseorang, kena ingat balik yang kita infak itu adalah kerana mencari redha Allah ﷻ, bukannya kerana hendak ubah orang. Ubah orang ke arah kebaikan itu adalah bonus sahaja.
Ayat ini sebenarnya adalah ayat arahan daripada Allah ﷻ walaupun ianya dalam jumlah khabar (pemberitahuan). Nampaknya macam ayat beritahu, tetapi sebenarnya ia adalah ayat suruhan. Macam kita cakap kepada anak-anak kita: “Ingat yer… keluarga kita tidak ada kurang ajar dengan orang tua…” Ayat itu macam ayat beritahu (ayat khabar), tetapi sebenarnya ia adalah ayat suruhan dan peringatan.
وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم
dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu
Nescaya infak kita itu akan dibalas dengan baik di akhirat. Pahala infak tetap akan dapat. Ini adalah janji daripada Allah ﷻ dan kalau Allah ﷻ yang janji, tentu Allah ﷻ akan tepati.
وَأَنتُم لا تُظلَمونَ
dan kamu tidak akan dizalimi
Maksudnya tidak kurang pahala yang Allah ﷻ balas daripada infak kita itu. Malah Allah ﷻ beri berlebih-lebih kali ganda lagi.
Contoh bagaimana Allah ﷻ beri lebih lagi kepada kita: Kadang-kadang kita hendak beri kepada orang lain supaya ikut kita belajar, tetapi kadang-kadang Allah ﷻ beri orang lain yang ikut kita.
Maknanya Allah ﷻ menggantikan dengan orang lain. Maka, yang kita infak itu, kita dapat pahala infak walaupun dia tidak ikut belajar dan yang ikut belajar itu pun kita dapat pahala dakwah pula.
Ayat 273: Allah ﷻ ajar kita untuk memilih tempat infak dengan terbaik. Infak yang elok adalah kepada fakir miskin seperti yang telah disebut. Tetapi yang terbaik adalah kepada fakir miskin yang sedang menegakkan agama Allah ﷻ.
لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
[Charity is] for the poor who have been restricted for the cause of Allah , unable to move about in the land. An ignorant [person] would think them self-sufficient because of their restraint, but you will know them by their [characteristic] sign. They do not ask people persistently [or at all]. And whatever you spend of good – indeed, Allah is Knowing of it.
MALAY
Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.
لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ
bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya pada jalan Allah
Infak terbaik yang boleh kita berikan adalah kepada fakir miskin yang terikat mereka itu di jalan Allah ﷻ.
Sebab fakir miskin ada juga yang tidak baik, tidak beriman dan mungkin jadi fakir sebab mereka malas bekerja sahaja. Tetapi ada fakir miskin yang mengajar agama, berdakwah dan kerja-kerja lain dalam agama.
Mereka telah ‘mengikat’ diri mereka di jalan Allah ﷻ sampai tidak ada masa mencari harta. Mungkin mereka telah mewakafkan diri mereka untuk mengajar Al-Qur’an kepada masyarakat atau mengajar hadith kepada manusia. Infak kepada mereka seperti ini adalah yang terbaik.
لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ
yang tidak berupaya mengembara di muka bumi untuk mencari rezeki
Mereka tidak sempat ke sana sini untuk mencari rezeki kerana sibuk mengajar. Mereka perlu dibantu kerana kalau mereka sibuk cari pendapatan, mereka akan kurang kerja pada agama.
Kita kena sedar yang mereka itu bukan malas bekerja, tetapi mereka rasa tugas mereka mengajar atau berdakwah itu lebih penting lagi untuk kepentingan masyarakat.
Ada guru agama yang ada kerja dan mereka mengajar separuh masa. Maka mereka seperti ini tidak memerlukan bantuan orang lain. Mereka lebih suka tidak mengambil apa-apa daripada anak murid.
Tetapi ada guru agama yang memang sepenuh hidup mereka mengajar agama. Mereka tidak ada kerja lain. Maka kepada mereka yang sebegini, kenalah bantu mereka. Tidak perlu tunggu mereka meminta.
يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ
orang-orang yang jahil menyangka mereka itu kaya kerana kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.
Orang yang jahil agama sangka mereka yang mengajar itu kaya raya sebab mereka itu tidak meminta-minta. Yang jahil menyangka, orang yang susah tentulah minta tolong, bukan? Tetapi guru-guru agama itu tidak meminta-minta tolong pun, relaks sahaja nampaknya. Jadi orang jahil sangka: Mereka tidak minta tolong, tentu mereka itu sudah cukup keperluan.
Ingatlah yang mengajar itu tidak meminta-minta dengan orang, tetapi mereka akan berdoa kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ akan bantu mereka kerana Allah ﷻ sudah berjanji untuk beri jalan keluar kepada orang yang bertaqwa.
تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم
Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat mereka
Kamu yang mengaji agama akan kenal mereka yang memerlukan pertolongan dengan melihat cara hidup mereka. Lihatlah bagaimana cara mereka pakai, bagaimana cara mereka makan dan sebagainya.
Maka kena sensitiflah sedikit dengan memerhatikan memek muka mereka, pakaian mereka, cara mereka bercakap yang mungkin mereka ada sebut keperluan mereka dengan amat berhalus. Dalam hal ini kena faham-fahamlah.
لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا
mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.
Mereka tidak meminta kepada manusia dengan cara bersungguh-sungguh. Mereka tidak minta dengan cara yang memalukan. Mereka tidak memalukan diri mereka dengan minta dengan cara yang kuat.
Mungkin mereka beri isyarat sahaja dan kalau dia nampak kita macam berat hendak beri, dia dengan segera kata sebenarnya dia tidak perlukan pun. Mereka yang jahil, akan rasa kalau dia tidak minta bersungguh-sungguh, tentulah dia tidak perlu mana.
Namun Allah ﷻ sudah beritahu sifat mereka – mereka tidak mendesak. Mereka memang memerlukan, tetapi mereka tidak mendesak-desak seperti orang lain. Ini kerana pengharapan mereka telah letakkan pada Allah ﷻ. Tambahan pula dalam kerja mengajar agama ini, takut orang salah faham. Ramai yang jahil menuduh orang yang mengajar agama kerana hendakkan duit masyarakat.
وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ
Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.
Allah ﷻ beri lagi motivasi kepada kita untuk infak dan sedekah. Entah berapa kali Allah ﷻ sudah beritahu. Maka kena ingatlah perkara ini. Pahala amat banyak bagi mereka yang infakkan harta mereka di jalan Allah ﷻ.
Habis Ruku’ 37 dari 40 surah ini
Ayat 274:
الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ سِرًّا وَعَلانِيَةً فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Those who spend their wealth [in Allah ‘s way] by night and by day, secretly and publicly – they will have their reward with their Lord. And no fear will there be concerning them, nor will they grieve.
MALAY
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang,
Maksud siang dan malam itu adalah ‘sentiasa’. Ini mengajar kita bahawa infak itu perlu dilakukan berterusan. Perlu dilakukan setiap masa dan bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Bila ada peluang sahaja, kita jalankan infak kita. Mata kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain.
سِرًّا وَعَلانِيَةً
dengan cara sulit atau terbuka,
Kadang-kadang kita infak secara senyap dan kadang-kadang kita terpaksa infak di depan orang yang melihat kita. Kita bukannya sengaja hendak tunjuk tetapi waktu itu memang ada orang lain. Maknanya bila ada peluang sahaja, kita akan infakkan harta kita. Sama ada secara senyap atau tidak.
فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم
mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka,
Allah ﷻ menjadikan pahala dari sisi-Nya. Kalau Allah ﷻ kata ia dari Sisi-Nya, tentulah ia adalah amat besar sekali. Tidak dapat dibayangkan bagaimana banyaknya pahala itu.
وَلا خَوفٌ عَلَيهِم
dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,
Mereka tidak perlu ditakuti lagi nasib mereka di akhirat kerana mereka telah banyak bekal.
وَلا هُم يَحزَنونَ
serta mereka pula tidak akan berdukacita.
Mereka tidak berdukacita semasa meninggalkan dunia kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 31 Januari 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan.