Tafsir Surah al-A’raf Ayat 93 – 97 (Ujian dalam senang)

A’raf Ayat 93:

فَتَوَلّىٰ عَنهُم وَقالَ يٰقَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي وَنَصَحتُ لَكُم ۖ فَكَيفَ ءآسىٰ عَلىٰ قَومٍ كٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he [i.e., Shu‘ayb] turned away from them and said, “O my people, I had certainly conveyed to you the messages of my Lord and advised you, so how could I grieve for a disbelieving people?”

MALAY

Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, macam mana aku hendak merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)”.

 

فَتَوَلّىٰ عَنهُم

Maka Nabi Syuaib berpaling meninggalkan mereka

Ini setelah mereka dihancurkan. Nabi Syuaib عليه السلام telah diselamatkan daripada azab yang dikenakan kepada kaumnya itu. Baginda dan pengikut baginda dikeluarkan sebelum azab dikenakan. Ada yang mengatakan mereka telah pergi ke Mekah dan terus tinggal di sana hingga akhir hidup mereka.

 

وَقالَ يٰقَومِ لَقَد أَبلَغتُكُم رِسٰلٰتِ رَبّي

sambil berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku,

Sambil bergerak berpaling daripada mereka itu, Nabi Syuaib عليه السلام berkata: aku telah sampaikan apa yang patut aku sampaikan daripada Tuhanku. Lihatlah yang baginda sampaikan adalah رِسٰلٰتِ رَبّي iaitu ilmu wahyu daripada Tuhan semesta alam. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh ahli agama di mana-mana pun. Bukannya reka ilmu baru dan sumber baru pula.

Kita lihat sekarang sangat banyak ilmu yang direka-reka oleh orang yang dikatakan sebagai ahli agama. Mereka ini memakai serban dan jubah tetapi dibawakan cerita karut. Malah cerita mimpi pun mereka bawa sekali. Ini tidak benar! Malangnya ramai pula orang yang jahil ikut mereka. Inilah musibah umat, senang sangat percaya kepada orang yang tidak ada ilmu wahyu! Maka kita ajak ramai-ramai belajar ilmu Sunnah yang menolak perkara sedemikian.

 

وَنَصَحتُ لَكُم

dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. 

Baginda sudah memberikan nasihat kepada mereka semua. Kita telah sebutkan di dalam kisah-kisah para Nabi yang lain maksud نصح itu iaitu ‘ikhlas’. Maka Nabi Syuaib عليه السلام telah menyampaikan dakwah dan nasihat dengan penuh ikhlas.

Di sini mengajar kita yang baginda dan pengikut baginda telah diselamatkan. Kenapa? Kerana mereka telah menyampaikan dakwah. Maka, untuk selamat daripada azab dan murka Allah ﷻ, kita hendaklah menjalankan dakwah dengan niat yang ikhlas. Sekiranya semata-mata tidak melakukan syirik dan kesalahan, tetapi dalam masa yang sama tidak mengajak orang lain melakukan perkara yang sama, maka kita belum tentu selamat lagi.

 

فَكَيفَ ءآسىٰ عَلىٰ قَومٍ كٰفِرينَ

Oleh itu, macam mana aku hendak merasa sedih terhadap orang-orang kafir?

Lalu bagaimana baginda hendak bersedih hati kepada kaum yang telah kafir degil itu? Memang tidak patut untuk berasa sedih terhadap mereka kerana apa yang terjadi kepada mereka adalah disebabkan diri mereka sendiri. Mereka yang pilih jalan mereka. Orang yang begitu, tidak perlu kita bersedih kerana mereka.

Mungkin Nabi Syuaib عليه السلام ada berasa sedih melihat nasib yang menimpa kaumnya itu. Memang baginda yang berdoa supaya mereka dimusnahkan, akan tetapi selepas melihat azab kepada kaumnya itu, hati baginda telah terkesan pula. Maka baginda mengingatkan diri baginda supaya jangan rasa begitu kerana yang dikenakan kepada mereka itu adalah Allah ﷻ sendiri dan disebabkan kesalahan mereka sendiri.

Ini juga mengajar kita, kalaulah ada orang yang kita dakwah dan dia tidak mahu dengar juga. Katakanlah dia mati selepas itu, mungkin kita sedih kerana dia tidak menerima ajaran wahyu ini. Namun kita ingatkan diri kita supaya jangan bersedih sangat kerana apa yang berlaku kepada dirinya itu adalah pilihannya sendiri.

Allah ﷻ sendiri pernah menegur Rasulullah ﷺ yang terlalu bersedih di dalam [ Kahf: 6 ]

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا

Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Sekali lagi baginda ditegur di dalam [ Fatir: 8 ]

فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۖ فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ

Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka.

Oleh itu, kita diingatkan supaya jangan menyesal jika kita sudah sampaikan, tetapi orang yang yang didakwah tidak terima kerana itu adalah pilihan mereka. Yang kita patut menyesal adalah kalau kita tidak sampaikan dakwah.

Habis Ruku’ 11 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 94: Sekarang Allah ﷻ sebut peringatan-peringatan yang bersifat umum, bukan berkenaan khusus para Nabi yang telah disebut sebelum-sebelum ini. Sebelum ini khusus kisah Nabi Nuh عليه السلام, Nabi Syuaib عليه السلام dan seterusnya. Itu semua adalah kisah-kisah sebagai contoh sahaja iaitu Allah ﷻ tidak ceritakan tentang semua Nabi dan umat mereka. Sekarang penceritaan bersifat umum kepada semua para Nabi dan umat mereka. Kita pun termasuk juga dalam hal ini.

وَما أَرسَلنا في قَريَةٍ مِّن نَّبِيٍّ إِلّا أَخَذنا أَهلَها بِالبَأساءِ وَالضَّرّاءِ لَعَلَّهُم يَضَّرَّعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We sent to no city a prophet [who was denied] except that We seized its people with poverty and hardship that they might humble themselves [to Allāh].

MALAY

Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

 

وَما أَرسَلنا في قَريَةٍ مِّن نَّبِيٍّ إِلّا أَخَذنا أَهلَها بِالبَأساءِ وَالضَّرّاءِ

Dan Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi, melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan dan penderitaan 

Ayat ini pertama sekali ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang menolak Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ hendak mengingatkan yang sekiranya menolak Nabi lagi Rasul itu, maka sunnatullah daripada-Nya adalah mereka akan dikenakan dengan musibah.

Peringatan ini adalah setelah diberikan lima kisah daripada para Nabi untuk menjelaskan dua Dakwa daripada surah ini. Sepatutnya mereka mengambil pengajaran daripada kisah-kisah itu. Namun jika mereka masih menolak juga, Allah ﷻ akan timpakan kesusahan hidup dan kesakitan tubuh badan kepada mereka.

Allah ﷻ mengingatkan manusia di sini yang Dia yang mengutus para Nabi itu. Dia sahaja yang layak menentukan siapa yang layak menjadi Nabi. Mereka itu diutus kepada قَريَةٍ yang boleh bermaksud kampung, daerah, negeri, negara, wilayah atau apa sahaja tempat yang manusia hidup berkumpul dengan ramainya. Semua tempat dapat pembawa wahyu.

Kita sebagai manusia mesti mengikut ajaran wahyu yang telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Walaupun sekarang Nabi ﷺ sudah tidak ada dalam kalangan kita, akan tetapi ajaran mereka dibawa oleh para ulama’ kerana ulama itu adalah pewaris Nabi ﷺ. Ini seperti disebut di dalam banyak hadith, antaranya: Abu Ad Darda رضي الله عنه berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Barangsiapa meniti jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahnya jalan ke syurga. Sungguh, para Malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredhaan kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimintakan maaf oleh penduduk langit dan bumi hingga ikan yang ada di dasar laut. Kelebihan seorang alim dibandingkan dengan ahli ibadah seperti keutamaan rembulan pada malam purnama atas seluruh bintang. Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”

(Hadith Riwayat Abu Daud (3641)

Hadith ini walaupun banyak komentar berkenaannya, akan tetapi secara umum kita terima sebagai sahih kerana banyaknya hadith seperti ini. Cuma kita kena ingat, ilmu yang diwarisi daripada Nabi ﷺ, tentulah ilmu wahyu. Oleh itu, ulama’ yang kita terima sebagai pewaris Nabi ﷺ adalah mereka yang membawa ajaran wahyu. Semua perkataan ulama’ perlu dinilai dengan neraca wahyu. Mereka mesti sampaikan ajaran wahyu kepada kita, bukannya pendapat mereka sendiri. Jika pendapat mereka pun, mestilah ada sandarannya daripada wahyu.

Dalam ayat ini Allah ﷻ sebut ‘Nabi’ tetapi mereka itu juga Rasul kerana mereka juga diutus. Cuma digunakan istilah Nabi di sini untuk menekankan yang mereka diutus untuk bawa berita besar (naba’) kepada masyarakat.

Ibn Mas’ud رضي الله عنه mengatakan البَأساءِ melibatkan kesusahan dari segi harta, seperti tanaman tidak menjadi, tidak ada air, udara tidak baik, kelaparan dan sebagainya. Sementara الضَّرّاءِ pula melibatkan kesusahan dari segi fizikal tubuh badan. Ini seperti penyakit yang tidak ada ubat, hilang akal walaupun sementara. Kerana kalau kita hilang akal sebentar semasa memandu, boleh menyebabkan kemalangan, bukan?

Sedarlah kita bahawa mudah sahaja Allah ﷻ hendak mengenakan musibah kepada manusia. Lihatlah apa yang terjadi semasa Tsunami dan juga Covid19 yang melanda dunia. Kita tidak sangka semua perkara ini akan berlaku kerana ia ditentukan oleh Allah ﷻ . Allah ﷻ boleh kenakan kepada kita bila-bila masa Dia kehendaki.

 

لَعَلَّهُم يَضَّرَّعونَ

supaya mereka tunduk merendah diri 

Apakah tujuan Allah ﷻ timpakan  musibah itu? Allah ﷻ timpakan terlebih dahulu azab yang ringan itu supaya mereka tunduk kepada Allah ﷻ dan merayu dan taat kepada Allah ﷻ . Maka ia sebenarnya adalah rahmat daripada Allah ﷻ supaya mereka beringat. Supaya mereka terkesan dan terkenang untuk kembali taat kepada Allah ﷻ. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut di dalam [ Sajdah: 21 ]

وَلَنُذيقَنَّهُم مِّنَ العَذابِ الأَدنىٰ دونَ العَذابِ الأَكبَرِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Ini kerana selalunya manusia menolak kebenaran disebabkan sikap ego dan sombong mereka yang berpunca daripada kehidupan mereka yang sempurna, senang, kaya dan berpengaruh. Mereka rasa sudah cukup sehinggakan tidak memerlukan sesiapa lagi. Maka, Allah ﷻ akan turunkan ego mereka dengan memberi susah kepada mereka, supaya mereka boleh sedar dan ikut kepada penyebar tauhid dan ikut ajaran daripada mereka.

ni mengajar kita jangan marah sekiranya dikenakan musibah kerana ia mungkin sebagai peringatan daripada Allah ﷻ kepada kita untuk kita periksa balik diri kita. Adakah kita di atas landasan iman atau tidak? Jika kita tergelincir, maka Allah ﷻ berikan musibah untuk sedarkan kita semula. Maka kena beringat-ingat; lebih baik kita sedar diri dalam kesenangan, daripada kita lupa Allah ﷻ dan Allah ﷻ ambil kesenangan itu untuk mengingatkan kita. Kita pun tentunya tidak mahu susah, bukan? Maka jangan tunggu susah baru hendak ingat kepada Allah ﷻ .


 

A’raf Ayat 95: Ayat tadi adalah ujian dalam bentuk kesusahan, sekarang dalam bentuk kesenangan pula.

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا وَّقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We exchanged in place of the bad [condition], good, until they increased [and prospered] and said, “Our fathers [also] were touched with hardship and ease.”¹ So We seized them suddenly while they did not perceive.¹

  • Instead of being grateful to Allāh for His blessings, they merely attributed them to the changing fortunes of time.
  • That they had been tried and tested.

MALAY

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

 

ثُمَّ بَدَّلنا مَكانَ السَّيِّئَةِ الحَسَنَةَ حَتّىٰ عَفَوا

Setelah itu Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka meningkat

Kalau mereka tetap juga tidak mengubah keadaan mereka kepada iman (dengan musibah kesusahan itu), Allah ﷻ tukar keadaan buruk mereka itu menjadi baik. Ini mungkin menghairankan kepada sesetengah orang, kenapa Allah ﷻ memberikan kebaikan pula kepada mereka sedangkan mereka tidak taat? Jika ikut logik akal kita, tentulah setelah diberikan musibah masih juga tidak sedar diri, maka tentu langkah seterusnya adalah azab yang lebih teruk, bukan?

Kenapa pula mereka ditukarkan dengan diberi nikmat pula? Kita kena faham bahawa kebaikan yang diberikan kepada mereka itu adalah sebagai istidraj sahaja, iaitu sebagai ujian kepada mereka. Ini sebenarnya menakutkan untuk kita perhatikan nanti. Manusia mungkin senang faham jika ujian itu dalam bentuk kesusahan, namun ramai tidak faham ujian dalam bentuk kesenangan. Maka kita mesti sentiasa ingat: susah itu ujian, senang juga adalah ujian.

Mereka diubah nasib mereka sehingga banyak kebaikan mereka peroleh sehingga penduduk bertambah ramai, keadaan bertambah maju, harta semakin banyak. Anak bertambah ramai dan harta bertambah banyak. Kalimah yang digunakan di sini adalah حَتّىٰ عَفَوا. Kalimah عَفَوا asalnya bermaksud Allah ﷻ menghapuskan terus dosa seperti yang kita biasa dengar dalam doa kalau bertemu lailatul qadr  اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني  (Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan). Juga ia bermaksud Allah ﷻ membiarkan sahaja tanpa diambil tindakan.

Di sini ia bermaksud Allah ﷻ membiarkan mereka mendapat nikmat dan di dalam kesenangan. Malangnya ia menyebabkan mereka bertambah jauh daripada iman, mereka lebih menikmati kehidupan dunia sehingga melupakan akhirat dan semakin menjauh daripada agama yang benar.

Maka ini mengajar kita, bukannya kita kena tumpukan perhatian kita untuk mendapatkan kekayaan dan kemewahan yang banyak. Kita sepatutnya melebihkan iman dan ilmu melebihi keduniaan. Apabila kita lebihkan akhirat, dunia akan datang dengan sendirinya. Kita takut kalau kita berlebihan sangat dengan kekayaan, sebenarnya ia adalah istidraj sahaja.

Ia juga mengajar kita sekiranya mendapat banyak nikmat, tidak semestinya ia adalah rahmat. Ia bukan tanda Allah ﷻ redha dengan kita. Mungkin sebaliknya Allah ﷻ murka dengan kita kerana ia bergantung kepada apa alat yang menikmatinya. Adakah iman atau nafsu? Jika iman yang menikmatinya, maka orang itu akan bersyukur dan taat kepada Allah ﷻ; tetapi jika nafsu yang menikmatinya, maka ia hanya menyebabkan dia leka lalai dan menjauhkannya daripada kebenaran.

 

وَقالوا قَد مَسَّ ءآباءَنَا الضَّرّاءُ وَالسَّرّاءُ

dan mereka berkata: “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan

Waktu sedang menikmati kesenangan itu mereka berkata: “Tok nenek kami dulu sekejap ditimpa kesusahan dan kemudian senang, ini biasa sahaja…”. Mereka tidak tsabitkan keadaan itu dengan Allah ﷻ kerana mereka sudah jauh daripada agama dan lupa Allah ﷻ . Mereka kata itu adalah ‘bencana alam’ seolah-olah alam yang buat, bukannya Allah ﷻ. Mereka tidak sedar yang mereka sekarang sedang ditipu.

Atau, maksud mereka: “Telah menimpa kami kesengsaraan dan penderitaan, lalu disusuli dengan kemakmuran, sama seperti yang dialami oleh nenek moyang kami di masa silam kerana sesung­guhnya hal tersebut hanyalah terjadi kerana putaran masa.” Mereka sama sekali tidak mengerti tentang urusan Allah ﷻ terhadap diri mereka, tidak pula mereka rasakan ujian Allah ﷻ terhadap diri mereka dalam dua keadaan tersebut. Mereka tidak mengambil pengajaran.

Sebab itu mereka sebut الضَّرّاءُ (kesusahan) dahulu sebelum sebut السَّرّاءُ (kesenangan) sebab pada mereka, betapa susah pun mereka itu, nanti habislah susah itu dan akan senang semula. Sebagaimana jika terkena banjir, nanti surutlah banjir itu. Sekejap sahaja susah, nanti dapat bantuan senanglah semula.

Ini yang kita takut terjadi kepada negara kita ini kerana dulu kita telah dijajah lama. Pada waktu itu kehidupan negara kita amat susah sekali. Namun dalam masa yang sama, masyarakat kita banyak yang mengamalkan bid’ah dan syirik.

Kemudian, Allah ﷻ telah beri kemerdekaan kepada negara kita. Namun begitu,  masih lagi ramai yang mengamalkan bid’ah dan syirik. Selepas kemerdekaan itu, negara kita semakin maju dari tahun ke tahun. Persoalan sekarang: adakah kesenangan yang kita nikmati sekali ini sebagai istidraj?

Bukanlah kita menolak kesenangan ini. Kita terima sahaja kesenangan dan kesusahan dalam hidup kita kerana susah dan senang adalah ujian daripada Allah ﷻ. Namun kita mesti sentiasa ingat untuk beriman dan beramal soleh. Lihatlah hadith seperti apa yang telah disebutkan di dalam hadis Sahihain:

عَجَبًا لِلْمُؤْمِنِ، لَا يَقْضِي اللَّهُ لَهُ قَضَاءً إِلَّا كَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ سَراء شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاء صَبَر فَكَانَ خَيْرًا لَهُ”

Sungguh mengagumkan perihal orang mukmin, tidak sekali-kali Allah ﷻ memutuskan baginya suatu keputusan melainkan hal itu menjadi kebaikan baginya. Jika dia tertimpa kesengsaraan, dia bersabar; dan sabar itu baik baginya, jika beroleh kesenangan, dia bersyukur; dan bersyukur itu baik baginya.

(Muttafaqun alaih Sahih Bukhari dan Muslim)

 

فَأَخَذنٰهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Pada waktu mereka sedang leka menikmati nikmat dunia itu, mereka ditimpakan azab dengan tiba-tiba. Mereka langsung tidak bersedia untuk menghadapinya. Memang mereka terkejut sangat. Allah ﷻ biarkan mereka hidup senang dan terus buat dosa sampai leka, sehinggalah sampai satu masa, mereka dikenakan dengan azab yang menjatuhkan mereka.

Azab tiba-tiba ini lebih hebat kerana mereka yang menerimanya tidak bersedia langsung. Ia tidak sama kalau kita sudah tahu dan bersedia dengan musibah. Sebagai contoh ada tempat yang sudah biasa banjir, maka mereka sudah bersedia. Namun begitu, pada tahun 2022, banyak tempat yang tidak pernah dinaiki banjir, tiba-tiba teruk banjirnya. Memang perit kerana mereka tidak pernah sangka yang mereka akan terkena banjir. Maka, azab yang tidak disangka-sangka ini lebih teruk kesannya.

Kita amat takut jika kita pun akan mengalami nasib yang sama. Nauzubilli min dzaalik. Tidak berapa lama dahulu, hidup kita susah sangat apabila dilanda Covid19. Tidak boleh keluar, ramai yang mati, takut sangat kalau berjangkit, ekonomi pun sudah tidak bagus, ramai hilang pekerjaan dan ramai yang bunuh diri. Hidup kita amat terkesan. Namun adakah ini memberi kesan kepada iman kita? Adakah kita baiki keadaan diri dan agama kita?

Kemudian Allah ﷻ sekarang sudah mudahkan kembali hidup kita, boleh bekerja dan pergi ke sana sini. Adakah kita sudah lupakan musibah yang Allah ﷻ telah kenakan kepada kita itu? Atau adakah kita kembali kepada perbuatan maksiat kita yang dahulu, wal hasil balik asal sahaja? Maka kesenangan yang kita dapat setelah susah dahulu berupa istidraj daripada Allah ﷻ?

Perkara ini begitu besar sekali sampaikan banyak ayat Allah ﷻ sebut tentangnya seperti [ An’am: 44 ]

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ فَتَحنا عَلَيهِم أَبوٰبَ كُلِّ شَيءٍ حَتّىٰ إِذا فَرِحوا بِما أوتوا أَخَذنٰهُم بَغتَةً فَإِذا هُم مُّبلِسونَ

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan).

Maka ini mengajar kita yang jika kita duduk di dalam kesenangan, jangan rasa senang hati sangat kerana kita tidak tahu, entah-entah Allah ﷻ sedang kenakan istidraj kepada kita.


 

A’raf Ayat 96:

وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ ءآمَنوا وَاتَّقَوا لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ وَلٰكِن كَذَّبوا فَأَخَذنٰهُم بِما كانوا يَكسِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if only the people of the cities had believed and feared Allāh, We would have opened [i.e., bestowed] upon them blessings from the heaven and the earth; but they denied [the messengers], so We seized them for what they were earning.¹

  • Of blame for their sin.

MALAY

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

 

وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ ءآمَنوا وَاتَّقَوا

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, 

Ini merujuk kepada penduduk negeri mana-mana pun, kalaulah mereka beriman dan menjaga hukum dan amal. Itulah yang sepatutnya yang dilakukan oleh manusia.

Apabila Allah ﷻ letak kalimah ءآمَنوا dan اتَّقَوا bersebelahan, maka ini mengajar kita yang ia tidak sama. Maka, iman dan taqwa tidaklah sama ya. Ulama’ memberikan pendapat tentang apakah bezanya. Ada yang mengatakan ءآمَنوا adalah perkara dalam hati dan اتَّقَوا adalah perbuatannya. Ada juga yang mengatakan kalimah ءآمَنوا bermaksud melakukan yang Allah ﷻ perintah dan kalimah اتَّقَوا merujuk perbuatan meninggalkan apa yang dilarang.

 

لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ

tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.

Jika beriman dan bertaqwa, nescaya di dunia lagi akan dibukakan pintu berkat dari langit yang boleh membawa mereka kepada syurga. Maksud barakah adalah sesuatu yang banyak dan semakin bertambah dan bertambah. Oleh itu, apabila Allah ﷻ kata ‘berkat’,  maka ia membawa maksud kebaikan yang bertambah-tambah dan tidak berkurangan. Air, tanaman, binatang ternak, perniagaan maju dan sebagainya.

Contoh berkah adalah air yang sedikit tetapi dapat digunakan oleh orang yang ramai. Contohnya pernah di zaman Nabi ﷺ air semangkuk dapat menghilangkan dahaga ramai orang. Satu lagi contoh adalah sesuatu barang itu boleh dipakai lama (tahan lama). Kadangkala kita makan sedikit sudah kenyang, itu tanda ada berkat; sedangkan kadangkala makan banyak pun tidak puas. Juga kadangkala kerja dapat disiapkan dalam masa yang sekejap sahaja apabila ada berkat; bila tidak ada berkat, kerja tidak habis-habis rasanya.

Kalau kita perhatikan, keberkatan sudah banyak hilang daripada kita. Masa kita tidak cukup untuk buat kerja. Bayangkan orang dahulu dengan masa yang mereka ada, banyak kitab dan kerja yang mereka boleh buat. Berbanding dengan kita, dengan segala teknologi untuk memudahkan kerja, namun kerja masih tidak siap-siap, sibuk memanjang, bukan? Kita sepatutnya hidup senang dengan segala kemudahan yang ada, tetapi hati sentiasa tidak tenang, bukan?

Jangan lupa juga yang turun dari langit adalah wahyu Al-Qur’an. Maka keberkatan di sini juga boleh bermaksud keberkatan Al-Qur’an di mana akan diberi kefahaman Al-Qur’an kepada masyarakat. Allah ﷻ bukannya hendak mengazab kita. Jika kita buat baik seperti yang sepatutnya, Allah ﷻ tidak akan mengazab kita. Seperti firman-Nya dalam [ Nisa: 147 ]:

ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم ۚ وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Dalam ayat sebelum ini, disebut mereka yang ingkar tetapi diberikan dengan nikmat sebagai istidraj kepada mereka. Sekiranya beriman dan beramal soleh, Allah ﷻ boleh beri juga nikmat keduniaan kepada kita. Bukannya kalau kita beriman dan beramal dengan cara Islam, hidup kita kena susah dan sengsara. Maka janganlah kata semua nikmat yang kita dapat itu adalah istidraj sahaja – ada yang Allah ﷻ berikan sebagai balasan baik bagi amal kita.

Oleh sebab itu, susah juga untuk tentukan mana berkat dan mana yang istidraj sebab nampak seakan sama sahaja. Ulama’ kata kalau dapat kesenangan tetapi banyak membuat maksiat, itu tanda ia adalah istidraj. Maka boleh nilai sendiri.

Mungkin ada yang bertanya: ramai sahaja yang beriman di sesuatu negeri, tetapi tidak pun dapat berkatnya atau tidak kelihatan keberkatan itu terserlah? Jawapannya adalah syarat itu adalah أَهلَ القُرىٰ ءآمَنوا وَاتَّقَوا iaitu semua penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa. Kalau sikit-sikit sahaja, belum lagi memenuhi syarat itu.

 

وَلٰكِن كَذَّبوا فَأَخَذنٰهُم بِما كانوا يَكسِبونَ

Tetapi mereka mendustakan, lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Namun begitu, masih ramai manusia yang mendustakan kebenaran, mendustakan wahyu, mendustakan agama yang benar. Maka Allah ﷻ mengazab mereka di dunia lagi. Azab itu boleh dikenakan kepada semua penduduk negeri itu seperti disebut dalam [ Anfal: 25 ]

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.

Maka jikalau kita tidak menjalankan kerja dakwah kepada masyarakat sampai mereka melakukan maksiat, Allah ﷻ boleh sahaja kenakan azab musibah kepada semua orang tidak kira siapa. Orang beriman pun boleh dikenakan dengan azab itu.


 

A’raf Ayat 97: Ayat takhwif duniawi. Allah ﷻ hendak menghina orang yang buat maksiat tetapi berasa aman.

أَفَأَمِنَ أَهلُ القُرىٰ أَن يَأتِيَهُم بَأسُنا بَيٰتًا وَهُم نائِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, did the people of the cities feel secure from Our punishment coming to them at night while they were asleep?

MALAY

Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?

Tanya kepada mereka yang tidak mahu beriman itu, adakah mereka berasa aman tidak akan dikenakan azab langsung daripada Allah ﷻ? Tidakkah mereka tahu yang azab itu boleh datang secara senyap pada waktu malam ketika tidur?

Sepatutnya waktu malamlah waktu kita berehat dan bergembira dengan ahli keluarga kita setelah seharian bekerja dan sibuk dengan perkara lain. Tetapi Allah ﷻ boleh sahaja kenakan azab kepada mereka iaitu waktu yang tidak disangka-sangka. Mereka tidak takutkah?

Bukan orang melakukan maksiat sahaja patut berasa takut, orang beriman pun patut rasa takut juga. Jangan hendak berasa aman sangat kerana azab itu boleh kena kepada kita juga bila-bila masa. Azab itu menyeluruh, bukan khusus kepada pelaku maksiat sahaja.

Para sahabat yang telah dijanjikan syurga seperti Saidina Umar رضي الله عنه pun tidak berasa selamat. Beliau selalu bertanya kepada Abu Huzaifah رضي الله عنه, adakah nama beliau termasuk di dalam senarai orang munafik. Jika orang sebegini hebat terkenal dengan tinggi taqwanya pun takut dan tidak berasa aman, takkan jenis kita pula boleh rasa aman?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s