Tafsir Surah al-A’raf Ayat 87 – 92 (Pendakwah dihalau dari negeri)

A’raf Ayat 87:

وَإِن كانَ طائِفَةٌ مِّنكُم ءآمَنوا بِالَّذي أُرسِلتُ بِهِ وَطائِفَةٌ لَّم يُؤمِنوا فَاصبِروا حَتّىٰ يَحكُمَ اللَّهُ بَينَنا ۚ وَهُوَ خَيرُ الحٰكِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if there should be a group among you who has believed in that with which I have been sent and a group that has not believed, then be patient until Allāh judges between us. And He is the best of judges.”

MALAY

“Dan jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukum-Nya di antara kita semua, dan Dia lah jua sebaik-baik hakim”.

 

وَإِن كانَ طائِفَةٌ مِّنكُم ءآمَنوا بِالَّذي أُرسِلتُ بِهِ

“Dan jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya,

Ini adalah nasihat daripada Allah ﷻ. Ini setelah Nabi Syuaib عليه السلام sampaikan ajaran tauhid dan ajaran-ajaran lain seperti yang diperintahkan oleh Allah ﷻ. Dalam ramai-ramai daripada kaumnya itu, adalah juga yang mahu beriman.

 

وَطائِفَةٌ لَّم يُؤمِنوا

dan segolongan lagi tidak beriman, 

Namun begitu, tentu ada puak yang tidak mahu beriman, maka apakah perlu kita lakukan? Kita yang menjalankan kerja dakwah ini pun selalu menerima perkara yang sama: ada yang mahu terima dan ada yang menolak atau buat tidak tahu sahaja.

 

فَاصبِروا حَتّىٰ يَحكُمَ اللَّهُ بَينَنا

maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukum-Nya di antara kita semua,

Dalam keadaan seperti itu, maka bersabar sahajalah. Tunggulah dan terus beramal dan berdakwah sehingga Allah ﷻ membuat keputusan di antara kita, mana satu yang lebih baik. Biarlah Allah ﷻ yang tentukan siapa yang dikenakan azab nanti.

Di sini kita diingatkan yang dalam berdakwah memang kena ada sabar yang kuat dan Nabi Syuaib عليه السلام diingatkan di dalam ayat ini. Begitu juga dengan kita yang mengambil jalan sebagai pendakwah Sunnah ini. Ia bukan kerja senang dan banyak yang menentang. Namun Allah ﷻ ingatkan yang hendaklah bersabar. Bukanlah semestinya semua orang yang kita sampaikan dakwah Sunnah ini akan terima. Janganlah terkena penyakit kemurungan pula ya. Banyakkan latihan senyum untuk mengubat diri dan minda.

 

وَهُوَ خَيرُ الحٰكِمينَ

dan Dia lah jua sebaik-baik hakim”.

Bersabarlah menunggu keputusan daripada Allah ﷻ itu kerana Allah ﷻ adalah sebaik-baik hakim yang membuat keputusan. Keputusan yang Allah ﷻ buat tentunya penuh hikmah kerana sesungguhnya Dia akan menjadikan kesudahan yang terpuji bagi orang-orang yang bertaqwa, sedangkan orang-orang kafir mendapat kehancuran dan kebinasaan.

Oleh itu, jangan kita ambil kerja Allah ﷻ dan menghukum orang pula. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Mungkin ada orang yang menentang kita dan memburukkan kita, maka mungkin terdetik di hati kita berharap supaya mereka dikenakan dengan azab atau musibah. Jangan begitu. Bukan kerja kita untuk menentukan apa yang akan patut dikenakan kepada mereka. Serahkan sahaja kepada Hakim yang terbaik iaitu Allah ﷻ. Kerja kita hanya sampaikan sahaja.

AKHIR JUZ 8.


 

A’raf Ayat 88:

۞ قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ لَنُخرِجَنَّكَ يٰشُعَيبُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَكَ مِن قَريَتِنا أَو لَتَعودُنَّ في مِلَّتِنا ۚ قالَ أَوَلَو كُنّا كٰرِهينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who were arrogant among his people, “We will surely evict you, O Shu‘ayb, and those who have believed with you from our city, or you must return to our religion.” He said, “Even if we were unwilling?

MALAY

Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaum Nabi Syuaib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu kembali kepada ugama kami”. Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?

 

قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ

Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaum Nabi Syuaib berkata: 

Sekali lagi ketua kaum yang sombong untuk menerima kebenaran berbuat onar. Ini sudah berkali-kali kita baca, bukan? Mereka mempunyai kuasa dan kerana itu mereka boleh berbuat onar. Mereka tidak suka kebenaran disampaikan kerana kebenaran memang tidak disukai oleh orang yang jahat.

Tidak disebut nama para pemimpin itu kerana mereka tidak penting. Yang penting adalah pengajaran tentang mereka. Ia disebut secara umum sahaja kerana zaman berzaman jenis manusia seperti ini memang ada.

Kenapakah mereka itu sombong? Kerana jawatan yang mereka ada. Memang begitulah manusia apabila mendapat kuasa. Ramai yang menyalahgunakan kuasa. Mereka berasa mereka boleh berbuat apa sahaja dan mereka tidak mahu mendengar lagi apa yang orang bawahan katakan. Ini mengajar kita jika mempunyai kuasa, maka janganlah bersikap sombong.

Akan tetapi ada satu lagi yang bahaya, iaitu orang pertengahan (“middle management”) yang ada hubungan baik dengan pemimpin di atas. Mereka ini juga ada yang menyalahgunakan kedudukan  mereka untuk melakukan masalah. Ada yang menggunakan istilah ‘Little Napolean’ bagi mereka ini.

Ini mengajar kita di mana sahaja kedudukan kita, jangan berasa besar sangat. Kita duduk di atas pun kerana ada orang di bawah kita. Sekiranya kita berada di atas, boleh sahaja Allah ﷻ jatuhkan kita ke bawah kerana salahguna kuasa kita. Tidak semestinya kita terus duduk di atas. Allah ﷻ yang berikan kedudukan itu dan Allah ﷻ boleh sahaja tarik balik.

Ini juga mengajar kita yang para pemimpin itu menjadi kufur kerana mereka sombong untuk menerima kebenaran. Sifat sombong akan menyebabkan hidayah terhalang daripada masuk ke dalam minda dan hati kita. Kita hendaklah membuka hati dan minda kita kepada kebenaran, tidak kira dari mana ia datang. Sekiranya  hujah disertakan dengan dalil, maka kita kena terima.

Oleh itu, jangan jadi sombong. Ingatlah yang iblis menjadi kufur, menolak kebenaran sampaikan dilaknat oleh Allah ﷻ kerana sifat sombongnya. Ini kita sudah pelajari di awal surah ini.

 

لَنُخرِجَنَّكَ يٰشُعَيبُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَكَ مِن قَريَتِنا

“Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang telah beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini,

Mereka kata mereka akan menghalau Nabi Syuaib عليه السلام dan orang-orang beriman dengan baginda dari daerah mereka. Kalimah لَنُخرِجَنَّكَ ada taukid (penekanan) maka ini bermaksud yang mereka memang benar-benar hendak mengeluarkan Nabi Syuaib عليه السلام dan pengikut baginda, bukan main-main acah sahaja. Mereka ini adalah golongan atasan dan mereka ada kuasa. Nampaknya mereka hendak menyalahgunakan kuasa mereka itu.

Mereka kata akan mengeluarkan baginda مِن قَريَتِنا (dari negeri kami). Padahal Nabi Syuaib عليه السلام pun berasal dari tempat itu juga. Namun begitulah mereka berasa agama amalan mereka itu yang betul, sampaikan orang yang tidak ikut fahaman seperti mereka tidak layak duduk sekali.

Sebenarnya, Nabi Syuaib عليه السلام juga dalam kalangan ahli keluarga orang atasan mereka. Mereka telah menaruh harapan yang tinggi kepada baginda untuk meneruskan pimpinan mereka. Namun apabila baginda lain daripada apa yang mereka harapkan, maka mereka telah berasa putus harap sampaikan mereka hendak menghalau baginda dari negeri itu.

Beginilah para Nabi, para pendakwah dan ulama’ yang kadangkala diusir dari tempat tinggal mereka kerana menyatakan kebenaran. Orang ramai tidak suka apabila kita sampaikan kebenaran. Mereka hendak kawal fikiran dan fahaman manusia, sampaikan kalau ada yang berlainan dengan mereka, mereka akan lawan dan usir dari tempat mereka.

Kenapakah golongan penentang sampai menghalau orang yang membawa kebenaran? Kerana mereka tidak ada hujah yang haq. Mereka tidak ada dalil sandaran bagi amalan dan fahaman mereka, tetapi mereka tidak mahu mengalah menerima kebenaran. Maka begitulah zaman berzaman, yang tidak ada dalil tetap juga tidak mahu menerima kebenaran.

 

أَو لَتَعودُنَّ في مِلَّتِنا

atau kamu kembali kepada agama kami”.

Mereka berikan ultimatum: sekiranya baginda tidak mahu dihalau, baginda hendaklah kembali kepada resam mereka, ikut ajaran agama mereka. Itulah maksud ‘millah’ iaitu seumpama agama rasmi sesuatu negeri. Maka para pemimpin itu mahu Nabi Syuaib عليه السلام dan orang-orang yang telah beriman itu untuk mengamalkan fahaman mereka, iaitu fahaman syirik dan cara perniagaan yang tidak jujur. Pada mereka, itulah agama yang benar, yang normal dan semua orang mesti ikut.

Sepertimana zaman kita sekarang, puak bid’ah mahukan kita kembali ikut mengamalkan bid’ah yang telah lama diamalkan oleh keturunan Melayu ini turun temurun. Pada mereka, kita yang mengamalkan sunnah ini amat pelik. Selagi tidak menerima kembali amalan tok nenek yang bid’ah itu, selagi itulah mereka akan pinggirkan. Segala perkara buruk sahaja dikatanya kepada kita ini. Ini kita kenalah sabar.

Mereka paksa Nabi Syuaib عليه السلام untuk ‘kembali’ kepada amalan asal mereka. Namun kita pun tahu yang para Nabi dipelihara oleh Allah ﷻ daripada amalan syirik kaum mereka walaupun mereka belum mendapat wahyu lagi. Maka, bagaimana pula pimpinan kaumnya itu suruh dia kembali? Sekiranya untuk pengikut Nabi Syuaib عليه السلام (yang sudah beriman) yang disuruh kembali maka betullah, tetapi bagaimana pula dengan Nabi Syuaib عليه السلام?

Jawapannya Nabi Syuaib عليه السلام tidak pernah terlibat dengan amalan syirik mereka. Cuma selama itu baginda tidak berkata apa-apa. Baginda sudah nampak kepincangan amalan mereka itu, tetapi baginda belum mendapat wahyu lagi, maka baginda tidak dapat hendak menegur mereka secara berdepan lagi. Seperti juga Nabi Muhammad ﷺ juga yang lemas dengan amalan syirik kaumnya sehinggakan baginda mendapat ilham untuk menyendiri di Gua Hira’. Ini kerana baginda belum mendapat wahyu lagi dan tidak ada cara hendak menangani kepincangan dalam masyarakatnya lagi.

 

قالَ أَوَلَو كُنّا كٰرِهينَ

Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?

Nabi Syuaib عليه السلام jawab: “Apakah kami kena ikut kepada ajaran sesat itu walaupun kami tidak suka?” Tentunya baginda dan orang-orang yang beriman tidak suka dan tidak rela dihalau begitu sahaja tanpa membuat kesalahan apa-apa. Juga tentu mereka tidak mahu mengikut amalan agama kaumnya yang sesat itu. Ia bagaikan menyuruh mereka melakukan sesuatu yang menyakitkan.

Seperti kitalah juga, yang sudah beralih kepada fahaman Sunnah ini, kita tidak akan mahu kembali kepada amalan bid’ah yang dahulu pernah kita sendiri amalkan. Kita tidak akan kembali kerana kita sudah tahu mana intan dan mana kaca. Takkan mahu paksa kita buat amalan bid’ah – baca Yasin pada malam Jumaat, buat Majlis Tahlil, kenduri arwah dan sebagainya itu. Kalau kami tidak suka buat, takkan paksa kami buat juga?

Di sini kita belajar sesuatu daripada teguran Nabi Syuaib عليه السلام ini. Iaitu tidak ada paksaan dalam agama. Buat apa kita hendak paksa orang masuk Islam atau ikut kita? Mungkin pada luaran dia ikut, namun hatinya tidak redha. Mana boleh paksa orang yang tidak suka untuk menerima agama kita. Oleh sebab itulah tidak ada paksaan untuk masuk agama Islam. Ini telah disebut dalam [ Baqarah: 256 ]

لا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam ugama

Keduanya, Nabi Syuaib عليه السلام mengajar semua orang patut membenci kepada agama lain selain agama Islam. Kita juga hendaklah membenci ajaran yang batil. Itulah juga sebabnya kita tidak boleh menerima fahaman syirik dan amalan bid’ah kerana ia merosakkan agama dan menyebabkan kita tidak akan selamat di akhirat kelak.


 

A’raf Ayat 89:

قَدِ افتَرَينا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا إِن عُدنا في مِلَّتِكُم بَعدَ إِذ نَجّٰنَا اللَّهُ مِنها ۚ وَما يَكونُ لَنا أَن نَّعودَ فيها إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا ۚ وَسِعَ رَبُّنا كُلَّ شَيءٍ عِلمًا ۚ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا ۚ رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ وَأَنتَ خَيرُ الفٰتِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We would have invented against Allāh a lie if we returned to your religion after Allāh had saved us from it. And it is not for us to return to it except that Allāh, our Lord, should will. Our Lord has encompassed all things in knowledge. Upon Allāh we have relied. Our Lord, decide between us and our people in truth, and You are the best of those who give decision.”

MALAY

“Sesungguhnya kami mereka-reka dusta terhadap Allah, jika kami kembali kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah kami kembali kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, buatlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim”.

 

قَدِ افتَرَينا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا إِن عُدنا في مِلَّتِكُم بَعدَ إِذ نَجّٰنَا اللَّهُ مِنها

“Sesungguhnya kami mereka-reka dusta terhadap Allah, jika kami kembali kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya.

Kalimah افتَرَينا berasa daripada katadasar ف ر ع yang antara lain bermaksud menipu. Ia sama maksud dengan كذب. Nabi Syuaib عليه السلام berkata, sekiranya mereka kembali kepada agama yang sesat itu, maka mereka telah melakukan pembohongan atas nama Allah ﷻ. Sedangkan Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka daripada ajaran sesat itu. Berbohong atas nama Allah ﷻ adalah satu dosa yang besar. Ia adalah perbuatan yang paling zalim seperti disebut dalam [ Zumar: 32 ] dan ayat-ayat lain.

فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَبَ عَلَى اللهِ

Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah

Sebagaimana kita juga, takkan mahu kembali kepada amalan bid’ah dan syirik yang dulu kita amalkan. Takkan kita sanggup berdusta mengatakan perkara itu Allah ﷻ suka sedangkan tidak ada dalil baginya? Kalau kita kata ia perkara ‘baik’, maka kita sudah berdusta atas nama Allah ﷻ, bukan? Kita yang sudah belajar agama, sudah kenal wahyu, sudah tahu mana yang benar dan mana yang salah. Maka, kalau kembali juga buat amalan sesat itu, tentulah itu kesalahan yang amat berat sekali.

Maka Allah ﷻ telah selamatkan Nabi Syuaib عليه السلام dan para pengikutnya yang bermaksud kebenaran telah dimasukkan ke dalam hati mereka. Inilah penyelamatan yang paling penting. Jika Allah ﷻ selamatkan kita daripada syirik dan bid’ah, maka inilah nikmat yang amat besar. Untuk zaman sekarang, diselamatkan ini dengan menerima ajaran Sunnah. Bukannya keselamatan fizikal yang lebih besar, tetapi keselamatan dalam agamalah yang kita paling kita perlukan.

Disebabkan tidak faham perkara inilah, ramai dalam kalangan kita mengadakan Majlis Doa Selamat (juga dipanggil Selamatan) kerana berharap diri mereka dan fizikal mereka diselamatkan (sebagai contoh hendak pergi buat Haji). Namun mereka tidak perasan yang mereka lakukan itu adalah amalan bid’ah yang tidak pernah dibuat Rasulullah ﷺ dan para sahabat baginda. Mereka berdoa meminta selamat dengan cara yang tidak selamat. Tidak ada majlis khusus untuk melakukan doa dalam agama. Sekiranya ia adalah baik, sudah tentulah ia telah dilakukan lama dahulu oleh golongan yang lebih baik daripada kita (golongan salafussoleh).

 

وَما يَكونُ لَنا أَن نَّعودَ فيها إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا

Dan tidaklah patut kami kembali kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. 

Tidak patut bagi kita kembali kepada ajaran sesat melainkan Tuhan yang kehendaki. Nabi Syuaib عليه السلام tidak akan mahu mengikuti agama sesat mereka kecualilah kalau Allah ﷻ takdirkan millah mereka itu adalah millah Islam, maka waktu itu tentulah mereka akan bersama dengan kaum mereka itu. Entah mungkin mereka menerima dakwah baginda, barulah baginda akan sertai millah mereka.

Allah ﷻ tidak akan mengembalikan mereka kepada amalan agama kaum mereka yang sesat. Maksud Nabi Syuaib عليه السلام dalam ayat ini, mereka akan ikut agama kaum mereka, kalau kaum mereka itu sendiri yang masuk Islam dan mengamalkan millah yang sebenar. Barulah mereka akan sama-sama berada dalam agama yang sama.

Atau, Nabi Syuaib عليه السلام serahkan kepada Allah ﷻ dengan mengatakan إِلّا أَن يَشاءَ اللَّهُ رَبُّنا (kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya). Ini adalah kata-kata berlapik daripada baginda kerana memang baginda tidak hingin ikut agama sesat akan tetapi baginda sedar yang semuanya di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh takdirkan orang beriman dan Allah ﷻ boleh takdir seseorang itu menjadi sesat (walaupun setelah beriman). Berapa ramai yang asalnya beriman, namun Allah ﷻ merubah hatinya menjadi sesat? Kerana itu kita memang mestilah benar-benar menjaga hati dan iman kita kerana takut Allah ﷻ boleh palingkan.

 

وَسِعَ رَبُّنا كُلَّ شَيءٍ عِلمًا

Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu.

Sedangkan ilmu Tuhan meliputi segala sesuatu. Maka kenalah ikut apa yang Allah ﷻ suruh kita buat. Ilmu Allah ﷻ yang luas itu tidak ada satu pun yang menyuruh berbuat syirik kepada-Nya.

Ilmu Allah ﷻ terlalu luas sehinggakan Allah ﷻ tahu apa yang kita akan buat. Allah ﷻ sahaja tahu sama ada kita akan terus beriman atau tidak. Jangan kita yakin sangat yang kita pasti terus beriman kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Ilmu Allah ﷻ meliputi yang telah lepas, sekarang dan masa hadapan.

 

عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلنا

Kepada Allah jualah kami bertawakal.

Apa sahaja ancaman daripada puak kufur itu, kepada-Nya kita bertawakal. Serahkan sahaja kepada Allah ﷻ apa yang akan terjadi. Oleh itu, di dalam kita berdakwah di jalan Allah ﷻ ini, kita mestilah serahkan kepada Allah ﷻ segala urusan kita dan keputusan yang Dia hendak tentukan. Kita hanya boleh sampaikan sahaja.

Kita serahkan kepada Allah ﷻ tentang iman kita. Kita berharap semoga Allah ﷻ menjaga iman kita dan dikekalkan iman kita sehingga kita mati dalam Islam. Namun jangan lupa yang syarat tawakal adalah mesti ada usaha. Bukan goyang kaki dan berharap sahaja. Kena ada usaha untuk menjaga iman kita. Jangan lupa berdoa dan jangan lupa tingkatkan iman. Sebab itu ada doa Nabi ajar supaya minta dikekalkan di dalam iman ini.

Iman ini turun dan naik. Sekiranya kita sedar yang ia turun, maka kenalah buat sesuatu untuk menaikkannya kembali. Antaranya dengan menghadiri majlis ilmu. Jangan terus biarkan diri duduk di dalam kelemahan iman. Pernah rasakan iman sedang turun?

Dalam kehidupan kita, kena banyak tawakal dan ingat kepada Allah ﷻ. Namun ramai yang tidak faham maksud tawakal. Antara perkara yang manusia salah faham tentang tawakal adalah mereka serahkan keputusan kepada Allah ﷻ, tetapi apabila keputusan itu tidak seperti yang mereka kehendaki, mereka marah pula dan tidak puas hati. Tawakal mereka menjadi tidak lengkap. Maka, ringkasnya tawakal itu mestilah ada usaha, serahkan kepada Allah ﷻ apa yang akan jadi, dan apa sahaja ketentuan daripada Allah ﷻ, terima sahaja.

 

رَبَّنَا افتَح بَينَنا وَبَينَ قَومِنا بِالحَقِّ

Wahai Tuhan kami, buatlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran

Ini adalah doa baginda: “Berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan keputusan yang benar”. Baginda minta keputusan terus daripada Allah ﷻ untuk menyelesaikan pergeseran fahaman antara baginda dan puak yang menentang itu. Kerana itulah juga ‘qadhi’ (hakim) juga digelar ‘fatih’ kerana mereka juga membuat keputusan. Inilah maksudnya menyerahkan kepada Allah ﷻ segala keputusan, apa yang Allah ﷻ akan tetapkan. Nabi Syuaib عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk membantu baginda dan orang yang beriman dalam ayat ini.

Ada ulama’ tafsir berpendapat yang maksud doa baginda ini sebenarnya meminta azab diturunkan kepada kaumnya yang menentang itu kerana baginda sudah nampak tidak ada jalan lagi dengan puaknya yang menentang itu. Ini kerana kalimah yang digunakan adalah افتَح daripada katadasar ف ت ح yang bermaksud ‘buka’. Yang baginda minta adalah dibukakan pintu dakwah yang telah ditutup oleh penentang baginda dalam kalangan pembesar negeri.

Maka untuk buka balik, mereka itu hendaklah dihapuskan dan untuk menghapuskan mereka, pemusnahan itu adalah menyeluruh dikenakan kepada semua yang tidak beriman. Maknanya selepas mereka dimusnahkan nanti, baru dakwah dimulakan dengan puak yang baru yang tidak ada rekod menentang lagi.

 

وَأَنتَ خَيرُ الفٰتِحينَ

Engkau jualah sebaik-baik Pembuat keputusan”.

Kita hendaklah serahkan keputusan kepada Allah ﷻ dan redha dengan apa yang Allah ﷻ tetapkan kerana sesungguhnya Allah ﷻ yang sebaik-baik Pembuat keputusan. Apa sahaja yang Dia tentukan, kita kena yakin yang itu adalah untuk kebaikan.


 

A’raf Ayat 90: 

وَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ لَئِنِ اتَّبَعتُم شُعَيبًا إِنَّكُم إِذًا لَّخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who disbelieved among his people, “If you should follow Shu‘ayb, indeed, you would then be losers.”

MALAY

Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir daripada kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): “Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu menjadilah orang-orang yang rugi”.

 

وَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ

Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir daripada kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): 

Para pembesar telah menjalankan taktik mereka untuk menakutkan mereka yang beriman. Atau, boleh juga dikatakan kepada orang yang belum beriman tetapi nampak seperti hendak beriman. Mereka tutup pintu daripada orang lain beriman kepada Nabi Syuaib عليه السلام. Sebelum ini mereka telah bercakap dengan golongan yang telah beriman, tetapi dalam ayat ini mereka bercakap dengan orang yang belum beriman.

 

لَئِنِ اتَّبَعتُم شُعَيبًا إِنَّكُم إِذًا لَّخٰسِرونَ

“Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu menjadilah orang-orang yang rugi”.

Mereka menakutkan orang yang beriman dengan berkata, sekiranya mereka yang beriman itu tetap mengikut juga Nabi Syuaib عليه السلام (atau yang baru hendak beriman), mereka akan menjadi orang yang paling rugi di mana mereka akan binasa. Mereka kata orang beriman itu akan rugi kerana tinggalkan cara hidup yang telah lama diamalkan, iaitu cara hidup yang majoriti.

Inilah juga taktik yang digunakan oleh golongan pemimpin yang hendak menjatuhkan Sunnah. Golongan penentang akan menakut-nakutkan dengan cubaan memberi berbagai-bagai ancaman dan nasihat buruk. Kita kena tahu ini supaya kita dapat mengenalnya sekiranya ia terjadi kepada kita.

Cuma rugi di sini hanya disebut dalam bentuk umum sahaja. Rugi boleh menjadi pelbagai rugi, bukan? Kalau dilihat kepada perbuatan salah kaum itu, mereka menipu dalam perniagaan. Oleh itu, mungkin yang dimaksudkan, kalau ikut Nabi Syuaib عليه السلام, sudah tidak boleh menipu lagi, maka tidak boleh untung lebih lagi, boleh jadi rugi pula.

Namun rugi yang sebenarnya adalah dalam hal agama iaitu tidak dapat salat berjama’ah, tidak dapat belajar tadabbur Al-Qur’an, tidak dapat mengamalkan Sunnah dan sebagainya. Manakala rugi yang paling besar adalah apabila masuk neraka. Boleh rujuk [ Zumar: 15 ].

Kita juga boleh rugi walaupun kita seorang Muslim kalau tidak menjalankan tugas kita sebagai Muslim. Ini disebut dalam Surah Asr.


 

A’raf Ayat 91: Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab dunia). Ini adalah jawapan kepada doa Nabi Syuaib عليه السلام sebelum ini.

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the earthquake seized them, and they became within their home [corpses] fallen prone.

MALAY

Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.

 

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ

Maka mereka dibinasakan oleh gempa, 

Maka kerana dosa mereka, mereka telah ditimpa gegaran dan tempikan dari langit. Perkara ini disebut dengan lebih maklumat lagi dalam [ Hud: 94 ] kerana dalam ayat ini tidak disebut tempikan.

وَلَمّا جاءَ أَمرُنا نَجَّينا شُعَيبًا وَالَّذينَ آمَنوا مَعَهُ بِرَحمَةٍ مِنّا وَأَخَذَتِ الَّذينَ ظَلَمُوا الصَّيحَةُ فَأَصبَحوا في دِيارِهِم جاثِمينَ

Dan tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Syu’aib dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengan dia dengan rahmat dari Kami, dan orang-orang yang zalim dibinasakan oleh satu suara yang mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya.

Di dalam [ Syu’araa: 189 ] mereka juga dikenakan dengan percikan api dari awan. Maka semua ini dikenakan kepada mereka.

فَكَذَّبوهُ فَأَخَذَهُم عَذابُ يَومِ الظُّلَّةِ ۚ إِنَّهُ كانَ عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Kemudian mereka mendustakan Syu’aib, lalu mereka ditimpa azab pada hari mereka dinaungi awan. Sesungguhnya azab itu adalah azab hari yang besar.

Ada pendapat yang mengatakan kaumnya itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan mereka dikenakan dengan azab yang berbeza.

 

فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.

Lalu mereka mati rebah bergelimpangan dalam runtuhan rumah mereka sendiri. Ia juga bermaksud ia terjadi pada waktu subuh.


 

A’raf Ayat 92: Ini adalah kata-kata Allah ﷻ setelah mereka dimusnahkan.

الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كَأَن لَّم يَغنَوا فيهَا ۚ الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كانوا هُمُ الخٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who denied Shu‘ayb – it was as though they had never resided there. Those who denied Shu‘ayb – it was they who were the losers.

MALAY

Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.

 

الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كَأَن لَّم يَغنَوا فيهَا

Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. 

Yang dimusnahkan adalah orang-orang yang pernah mendustakan Syuaib عليه السلام semasa mereka hidup dahulu, dan mereka dimusnahkan sehingga langsung tidak meninggalkan kesan seolah-oleh mereka tidak pernah tinggal di tempat itu.

Kalimah يَغنَوا berasal daripada kata dasar غ ن ي yang selalunya digunakan untuk bawa maksud ‘kaya’ atau hidup dengan senang. Maknanya tidak ada kesan mereka pernah tinggal dan hidup senang di tempat mereka dimusnahkan itu. Padahal dulu mereka lama duduk di situ dengan serba kemewahan.

Atau ia bermaksud selepas azab diturunkan kepada mereka dan tempat itu telah dimusnahkan, tidak ada kesan yang dulu tempat itu adalah tempat yang mewah dan indah kerana sudah jadi hancur belaka.

 

الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كانوا هُمُ الخٰسِرينَ

Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.

Merekalah orang yang betul-betul rugi di akhirat kelak. Padahal, sebelum ini dalam ayat 90, mereka kata kepada orang beriman bahawa yang ikut Nabi Syuaib عليه السلام yang rugi, maka sekarang Allah ﷻ beritahu bahawa merekalah sebenarnya yang rugi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Oktober 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s