Tafsir Surah Anfal Ayat 25 – 29 (Furqan dalam hati)

Anfal Ayat 25: Sambungan nasihat kepada golongan mukmin

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً ۖ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And fear a trial¹ which will not strike those who have wronged among you exclusively, and know that Allāh is severe in penalty.

  • i.e., an affliction or punishment during life upon this earth. When corruption spreads among a people, its consequences will affect everyone.

(MALAY)

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya.

 

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً

Dan peliharalah dirimu dari pada bencana yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.

Ini adalah larangan untuk bertolak ansur pada perkara yang kita tidak boleh bertolak ansur. Dalam ertikata lain, terlampau lembut.

Kita kena berjaga-jaga daripada ‘fitnah’ – yang dimaksudkan adalah fitnah tidak taat, yang menyebabkan datangnya bala bencana daripada Allah ‎ﷻ. Keadaan yang baik boleh bertukar menjadi bala, dan bala itu boleh terkena pada semua umat. Tidak hanya menimpa kepada golongan yang zalim sahaja.

‘Fitnah’ dalam ayat ini bukanlah seperti fahaman orang Melayu (kata-kata tohmahan yang tidak benar tentang kita). Fitnah dalam bahasa Arab bermaksud ujian dan dalam ayat ini ia bermaksud ‘bala’ atau ‘musibah’ yang akan dikenakan.

Bala ini didapati dengan cara bertolak ansur dengan perkara yang mungkar iaitu bersifat lemah lembut dengan mereka yang menderhakai Allah ‎ﷻ. Padahal kita tidak membuat perkara seperti yng mereka buat, cuma kita tidak tegur apa yang mereka lakukan.

Kalau ini berlaku, keadaan boleh bertukar menjadi azab dan azab itu bersifat umum pula. Inilah akibat tidak menjalankan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat. Contohnya kita lihat masyarakat kita membuat syirik dan amalan bid’ah, tetapi kita hanya melihat sahaja dan tidak menegur mereka. Sedangkan kita ada kekuatan dan kemampuan untuk melakukannya. Maka nantikan bala bencana ke atas diri kita. Lihatlah peringatan daripada Rasulullah ﷺ ini.

حَدَّثَنَا حَجَّاج بْنُ مُحَمَّدٍ، أَخْبَرَنَا شَرِيكٌ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ الْمُنْذِرِ بْنِ جَرِيرٍ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَا مِنْ قَوْمٍ يَعْمَلُونَ بِالْمَعَاصِي، وَفِيهِمْ رَجُلٌ أَعَزُّ مِنْهُمْ وَأَمْنَعُ لَا يُغَيِّرُونَ، إِلَّا عَمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ -أَوْ: أَصَابَهُمُ الْعِقَابُ”.

Telah menceritakan kepada kami Hajjaj ibnu Muhammad, telah menceritakan kepada kami Syarik, daripada Abu Ishaq, daripada Al-Munzir ibnu Jarir, daripada ayahnya yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Tiada suatu kaum pun yang mengerjakan kemaksiatan, sedangkan di antara mereka terdapat seorang lelaki yang paling kuat dan paling berpengaruh di antara mereka, lalu dia tidak mencegahnya, melainkan Allah ‎ﷻ akan menimpakan seksaan kepada mereka secara menyeluruh, atau Allah ‎ﷻ menimpakan bencana seksaan kepada mereka.
(Imam Abu Daud meriwayatkannya daripada Musaddad, daripada Abul Ahwas, daripada Abu Ishaq dengan sanad yang sama)  

Oleh hal yang demikian, menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar adalah satu tanggungjawab kita. Kalau kita tidak tegur, maka masyarakat akan lebih jauh masuk ke lembah kesesatan. Yang kita kena tegur adalah perbuatan maksiat yang berlaku secara umum. Sekarang ini senang kita dapat tahu kerana media sosial yang semakin banyak menyampaikan maklumat itu kepada kita.

Kerana itulah kita yang tahu agama ini kenalah menegur kesalahan dalam masyarakat. Walaupun perkara itu berlaku di meja penceramah agama. Ini kerana kita tidak boleh biarkan sahaja agama ini dirosakkan. Perkara ini amat penting sampaikan banyak kali Allah ‎ﷻ sebut di dalam Al-Qur’an, antaranya Maidah: 63, Maidah: 79, Maidah: 105, A’raf: 164 – 165, A’raf: 199, Hud: 116 – 177, Hajj: 41, Luqman: 17 dan banyak lagi.

Tentulah ramai orang tidak suka apabila kita tegur mereka. Ini biasa sahaja kerana tugas kita hanya menegur. Sama ada mereka terima atau tidak, itu perkara kedua kerana kita bukan diwajibkan menjaga hati manusia akan tetapi wajib menjaga agama Allah ﷻ. Apabila kita sudah tegur, maka kita sudah terselamat walaupun ramai tidak mahu mengikut teguran kita atau ramai yang sangka lebih baik tidak ditegur. Malah kita pula ditegur semula kerana menegur orang lain. Inilah yang disebut dalam [ A’raf: 164 ].

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

Satu lagi pendapat tentang maksud fitnah di dalam ayat ini adalah tidak menjalankan jihad. iaitu jihad jenis yang wajib apabila dikerahkan oleh pemerintah. Bala yang boleh dikenakan itu bala di dunia lagi kerana apabila kita lemah untuk menjalankan jihad, orang kafir akan mengambil peluang untuk memijak-mijak kita. Oleh itu jangan jadi lemah.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaan-Nya.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita yang azab yang boleh dikenakan kepada manusia amatlah berat. Azab seksaan Allah ‎ﷻ amat berat maka kenalah kita berhati-hati. Maka kena jalankan kerja dakwah kita dan jangan takut menegur orang yang melakukan kesalahan.


 

Anfal Ayat 26: Ayat Tabshir (berita gembira). Untuk mengajak mereka untuk taat, maka Allah ‎ﷻ mengingatkan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada umat Islam ketika itu.

وَاذكُروا إِذ أَنتُم قَليلٌ مُّستَضعَفونَ فِي الأَرضِ تَخافونَ أَن يَتَخَطَّفَكُمُ النّاسُ فَئآوىٰكُم وَأَيَّدَكُم بِنَصرِهِ وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And remember when you were few and oppressed in the land, fearing that people might abduct you, but He sheltered you, supported you with His victory, and provided you with good things – that you might be grateful.

(MALAY)

Dan ingatlah (hai para muhajirin) ketika kamu masih berjumlah sedikit, lagi tertindas di muka bumi (Mekah), kamu takut orang-orang akan menculik kamu, maka Allah memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikan-Nya kamu kuat dengan pertolongan-Nya dan diberi-Nya kamu rezeki dari yang baik-baik agar kamu bersyukur.

 

وَاذكُروا إِذ أَنتُم قَليلٌ مُّستَضعَفونَ فِي الأَرضِ

Dan ingatlah (hai para muhajirin) ketika kamu masih berjumlah sedikit, lagi tertindas di muka bumi (Mekah),

Allah ‎ﷻ mengingatkan para Muhajirin yang dulu mereka sedikit sahaja bilangan mereka. Pada waktu itu mereka amat lemah dan dipandang rendah pula di bumi Mekah dulu. Musuh dalam kalangan Musyrikin Mekah boleh berbuat apa sahaja kepada umat Islam sehingga mereka terpaksa lari ke tempat lain kerana tidak tahan dengan layanan dan seksaan mereka.

Bila tadabbur ayat-ayat sebegini, terkenanglah betapa kita golongan Sunnah di negara ini pun sedikit dan seperti tertindas oleh golongan yang ada kuasa. Maka kita tidak dapat masuk TV, masjid dan tidak mendapat tauliah untuk mengajar. Malah ada yang ditangkap oleh pihak penguasa. Maka ini mengajar kita untuk bersabar. Kerana para sahabat yang lebih mulia dari kita pun pernah mengalami keadaan yang lebih teruk dari kita.

 

تَخافونَ أَن يَتَخَطَّفَكُمُ النّاسُ

kamu takut orang-orang akan menculik kamu,

Pada waktu dulu, mereka amat takut kalau mereka diculik oleh manusia lain untuk dijadikan sebagai hamba. Mereka dalam keadaan yang amat susah. Sekiranya tinggal di Mekah, mereka boleh ditangkap dan boleh diseksa oleh Musyrikin Mekah, tetapi kalau keluar dari Mekah, mereka takut akan ditangkap pula.

Lafaz يَتَخَطَّفَكُمُ selalunya digunakan apabila burung menangkap binatang yang kecil. Begitulah mereka takut ditangkap oleh orang luar dan dijadikan sebagai hamba atau tebusan pula dan ini memang biasa sahaja terjadi di Tanah Arab dulu.

 

فَئآوىٰكُم وَأَيَّدَكُم بِنَصرِهِ وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ

maka Allah memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikan-Nya kamu kuat dengan pertolongan-Nya dan diberi-Nya kamu rezeki dari yang baik-baik

Dalam mereka keadaan susah itu, gundah gulana, Allah ‎ﷻ berikan tempat duduk tetap untuk mereka di Madinah. Allah ‎ﷻ beri perlindungan di sana. Di Madinah itu pula mendapat bantuan daripada golongan Ansar yang berkongsi keperluan hidup dengan mereka.

Kemudian Allah ‎ﷻ kuatkan mereka dengan bantuan khas-Nya. Allah ‎ﷻ berikan kecukupan kepada mereka dalam keperluan mereka. Dan Allah ﷻ telah beri kemenangan kepada mereka dalam Perang Badr dan perang-perang yang lain. Kemenangan itu adalah kerana bantuan dari Allah ﷻ.

Allah ‎ﷻ juga memberikan rezeki kepada mereka daripada harta yang baik – antaranya harta ghanimah (harta rampasan perang). Sewaktu mereka ditindas dan lemah di Mekah dahulu, mereka tidak menyangka langsung yang mereka akan jadi kuat sehingga dapat memenangi peperangan dan mendapat harta rampasan pula. Namun Allah  telah merubah nasib mereka.

Kesusahan mereka berakhir setelah Allah ‎ﷻ memberikan agama Islam kepada mereka. Maka berkat agama Islam itulah Allah ‎ﷻ menguatkan mereka hingga dipengaruhi di seluruh negeri, dan melalui Islamlah Allah ‎ﷻ meluaskan rezeki mereka serta menjadikan mereka berkedudukan ke atas manusia.

Berkat Islam juga Allah ‎ﷻ memberikan banyak hal kepada mereka, seperti yang kalian lihat sendiri. Kerana itu, bersyukurlah kepada Allah ‎ﷻ di atas nikmat-nikmat-Nya. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ suka kepada perbuatan bersyukur dan orang-orang yang bersyukur selalu beroleh tambahan nikmat daripada Allah ‎ﷻ.

Rezeki selalunya Allah ‎ﷻ beri setelah ada usaha daripada manusia. Akan tetapi apakah usaha para muhajirin itu? Usaha mereka adalah usaha yang paling hebat iaitu menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Memang usaha kita untuk mendapatkan rezeki di dunia ini dengan bekerja dan berniaga itu tidak dapat hendak dibandingkan dengan usaha mereka yang lebih hebat. Itulah usaha yang terbaik yang boleh dilakukan oleh manusia.

 

لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

agar kamu bersyukur.

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka supaya mereka bersyukur di atas segala nikmat pemberian-Nya itu. Kalau mereka bersyukur, kenalah mereka taat kerana syukur itu bukan hanya lafaz kalimah alhamdulillah sahaja, tetapi kenalah taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Bagaimana mungkin kita telah terima segala nikmat dari seseorang tapi kita tidak dengar cakapnya? Maka begitulah dengan Allah ﷻ. Apabila segala nikmat telah diberikan, takkan kita sanggup hendak engkar dengan Dia?


 

Anfal Ayat 27: Ini adalah undang-undang perang lagi. Jangan khianat.

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَخونُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ وَتَخونوا أَمٰنٰتِكُم وَأَنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not betray Allāh and the Messenger or betray your trusts while you know [the consequence].

(MALAY)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang diamanahkan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

 

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang telah beriman, 

Wahai orang-orang yang sudah beriman, dengarlah pesanan ini:

 

لا تَخونُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ

janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita semua supaya jangan khianati amanah yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul. Taat kepada Rasul adalah juga taat kepada Allah ‎ﷻ. Sedangkan kita pun sudah tahu pentingnya menjaga amanah agama.

Lafaz khianat yang dimaksudkan adalah dalam hal agama iaitu termasuk suruhan dan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Kenalah kita jaga dan taat kepada arahan agama sama ada datang daripada Allah ‎ﷻ ataupun daripada Rasulullah ﷺ. Ada banyak perkara yang kita kena jaga supaya jangan khianat, tetapi yang pertama sekali, jangan khianat dalam hal agama.

Di dalam kebanyakan kitab tafsir, banyak yang menyebut asbabun nuzul ayat ini adalah berkenaan seorang sahabat yang bernama Abu Lubabah رضي الله عنه. Maka ada baiknya kita sebutkan di sini walaupun kisah ini tidak disepakati kesahihannya.

Dalam penyerbuan Rasulullah ﷺ ke perbentengan Yahudi Bani Quraizhah, Abu Lubabah رضي الله عنه ikut bersama baginda dan pasukan Mukmin. Rasulullah ﷺ bersama para sahabatnya mengepung benteng Bani Quraizhah selama 25 hari, sehingga mereka hidup dalam kekurangan dan ketakutan. Mereka kemudian mengirim seorang utusan kepada Rasulullah ﷺ, meminta Abu Lubabah bin Mundzir رضي الله عنه dikirimkan kepada mereka untuk dimintakan pendapatnya. Rasulullah ﷺ memerintahkan Abu Lubabah رضي الله عنه pergi menemui mereka.

Sebelumnya, Rasulullah ﷺ meminta pendapat mereka agar yang akan memberikan keputusan adalah Sa’ad bin Mu’adz رضي الله عنه. Tapi mereka minta Abu Lubabah رضي الله عنه. Apabila anak-anak dan isteri-isteri mereka melihat Abu Lubabah رضي الله عنه datang, mereka menangis meraung-raung, memohon belas kasihannya. Sudah tentu, Abu Lubabah رضي الله عنه sebagai manusia tidak dapat menyembunyikan rasa hiba dan harunya apabila melihat mereka. Tambahan pula, ada keluarga dan harta Abu Lubabah رضي الله عنه yang berada di dalam kawasan mereka.

Mereka bertanya, “Wahai Abu Lubabah, bagaimana pendapatmu, apakah kami akan tunduk kepada keputusan Sa’ad bin Mu’adz?” Abu Lubabah رضي الله عنه lalu mengisyaratkan kepada mereka dengan tangannya yang diletakkan ke lehernya, bahawa mereka akan disembelih. Maka beliau memberi isyarat kepada mereka agar tidak mahu menerima.

Namun kemudiannya Abu Lubabah رضي الله عنه telah segera menyedari kesalahannya. Beliau sedar yang beliau telah membocorkan rahsia Rasulullah ﷺ dan telah khianat kepada amanah yang telah diberikan kepadanya. Kata beliau: “Demi Allah, kedua kakiku belum beranjak dari tempatku melainkan telah mengetahui bahawa aku telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”

Beliau kemudian pergi ke masjid dan mengikat tubuhnya pada salah satu tiang (sehingga sekarang ada tiang yang digelar tiang Abu Lubabah/Tiang Taubat di kawasan Raudhah). “Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum hingga mati atau Allah mengampuni dosaku itu,” ujarnya lirih. Keluarganyalah yang menguruskannya. Mereka akan membukakan ikatan apabila beliau hendak pergi ke tandas dan salat.

Tujuh hari lamanya (ada yang mengatakan 3 hari) beliau tidak makan dan minum sehingga tidak sedarkan diri, kemudian Allah ‎ﷻ mengampuninya. Lalu ada yang menyampaikan berita itu kepadanya, “Wahai Abu Lubabah, Allah telah mengampuni dosamu.”

Beliau berkata, “Tidak. Aku tidak akan membuka ikatanku sebelum Rasulullah datang membukanya.” Tidak lama setelah itu, Rasulullah ﷺ pun datang membukanya. Abu Lubabah رضي الله عنه berkata kepada baginda, “Kiranya akan sempurna taubatku, kalau aku meninggalkan kampung halaman kaumku, tempatku melakukan dosa. Dan aku akan menyumbangkan seluruh hartaku.”

Rasulullah ﷺ menjawab, “Kau hanya dibenarkan menyumbang sepertiganya saja.” Begitulah. Abu Lubabah mendapat ampunan, baik daripada Rasulullah ﷺ mahupun daripada Allah ‎ﷻ.

 

وَتَخونوا أَمٰنٰتِكُم وَأَنتُم تَعلَمونَ

dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang diamanahkan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

Ada banyak lagi amanah yang telah diberikan kepada kita. Kata Ibn Abbas رضي الله عنهما ia adalah kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Khianat kepada Rasul ﷺ pula adalah dengan meninggalkan Sunnah dan melakukan bid’ah. Ini telah disebut di atas.

Akan tetapi ada banyak lagi amanah-amanah yang lain. Amanah secara am pula adalah setiap amal yang telah diberitakan oleh Allah ‎ﷻ. Ada amanah dengan keluarga, dengan harta yang diminta kita jaga, dengan rakyat yang kita menjadi pemimpin dan macam-macam lagi. Jangan khianati amanah itu sedangkan kita pun tahu kepentingan menjaga amanah. Perkara ini bukannya perkara baru pun, cuma Allah ‎ﷻ mengingatkan sahaja. Di dalam hadith yang terkenal, kita pun tahu mengkhianati amanah adalah salah satu daripada sifat-sifat munafik:

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda,

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاث إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَ إِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَ إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

“Tanda orang munafik itu tiga: apabila dia berucap, dia berdusta, jika membuat janji, dia berdusta, dan jika dipercayai, mengkhianati.”

(HR Al-Bukhari, Kitab Iman, Bab Tanda-tanda Orang Munafik (33) dan Muslim, Kitab Iman, Bab Penjelasan Sifat-Sifat Orang Munafik (59))

Amanah yang dijaga oleh sahabat lagi besar. Mereka bukan sahaja mesti menjaga agama dalam amalan seharian, tetapi mereka ada tugas yang lebih besar lagi – membantu Rasulullah ﷺ dalam menegakkan agama Islam di dunia. Ini kerana Rasulullah ﷺ ada tugas besar dan siapa lagi yang boleh baginda harapkan untuk membantu baginda kalau tidak para sahabat yang ada dengan baginda waktu itu?

Oleh itu, para sahabat bukan buat perkara yang wajib sahaja, tetapi mereka telah membuat perkara yang jauh lebih besar daripada itu. Mereka ada tugas yang besar apabila Allah ‎ﷻ letak mereka duduk sekali dengan Rasulullah ﷺ. Kita mungkin tidak sedar dan perasan perkara itu kerana kita sekarang sudah beragama. Agama Islam sudah ramai dianuti.

Namun ingatlah yang para sahabat waktu itu kena sebarkan dan kenalkan Allah ‎ﷻ kepada manusia sejagat. Pada waktu itu manusia lain tidak kenal pun apa itu Islam yang sebenar dan bagaimana Allah ﷻ yang sebenarnya. Jadi tugas mereka sangat-sangat berat. Oleh kerana kita tidak faham tanggungjawab mereka itu, kita rasa senang sahaja, buat biasa sahaja dengan agama ini. Padahal kita pun sebenarnya kena sebarkan agama ini juga kepada manusia kerana ramai lagi yang tidak tahu tentang Allah ‎ﷻ, atau salah faham tentang Allah ‎ﷻ.

Kita sekarang hanya sibuk dengan perkara-perkara kecil sahaja, tentang halal haram sahaja, tentang ibadat sendiri sahaja, tetapi sebenarnya Islam mestilah disebarkan ke seluruh dunia. Kita tidak pandang sangat tugas dakwah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Maka kita kena perkenalkan Allah ‎ﷻ dan tauhid kepada manusia sejagat.

Habis Ruku’ 3 daripada 10 ruku’ surah ini


 

Anfal Ayat 28: Allah ‎ﷻ memberikan peringatan tentang harta dan anak kerana dua perkara inilah yang menyebabkan kita sukar untuk jaga amanah.

وَاعلَموا أَنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And know that your properties and your children are but a trial and that Allāh has with Him a great reward.

(MALAY)

Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

 

وَاعلَموا أَنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ

Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa harta benda dan anak pinak kita adalah ujian besar sebenarnya. Inilah salah satu maksud ‘fitnah’ iaitu ‘ujian’ daripada Allah ‎ﷻ. (Bukannya seperti fahaman masyarakat kita dengan fitnah). Ia adalah ujian yang amat besar sehinggakan ada yang mengkhianati amanah kerana menjaga sangat dua perkara itu. Oleh kerana dua perkara itu, manusia boleh cuai amanah sehingga boleh mengakibatkan rosaknya agama dan menjerumuskan manusia ke dalam neraka.

Harta dan anak adalah dua perkara yang kita banyak luangkan masa kita. Namun janganlah jadikan perkara itu sebagai penghalang untuk menegakkan agama. Lihatlah kisah Abu Lubabah رضي الله عنه di atas yang menyebabkan beliau gagal menjaga menjaga amanah.

Juga dengarlah kisah Abu Bakr رضي الله عنه dengan anaknya yang kafir (akhirnya dia masuk Islam). Mereka kadangkala bertembung dalam peperangan. Anaknya kemudian telah memberitahu ayahnya yang dia selalu nampak ayahnya di medan perang dan dia akan mengelak kerana dia tidak mahu membunuh ayahnya. Namun, Abu Bakr رضي الله عنه jawab yang dia sebenarnya mencari-cari anaknya itu untuk membunuhnya kerana beliau lebih sayangkan agama dan Rasulullah ﷺ daripada sayangkan anaknya.

Memang tidak salah untuk menjaga harta dan sayang anak pinak. Akan tetapi janganlah sampai mengabaikan agama dan amanah yang di pundak kita. Janganlah baca ayat ini sampai takut ada harta dan ada anak pula. Memang sudah menjadi lumrah yang manusia memang akan suka harta dan suka anak. Cuma kita kena berhati-hati. Allah ‎ﷻ memberikan peringatan antaranya di dalam [ Munafiqoon: 9 ]

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

Antara anak dan harta, manusia lebih sayangkan anak lagi rasanya. Akan tetapi di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut harta dulu kerana hartalah yang banyak mengambil masa manusia. Kadangkala diberikan alasan anaklah dia mencari harta itu kerana katanya untuk beri segala-galanya kepada anak dan masa depan anak itu. Akhirnya kerana terlalu meluangkan masa untuk mencari harta (kononnya untuk anak itu) sampaikan masa dengan anak pun diabaikan. Pendidikan anak dan tumbesaran mereka boleh terabai entah ke mana. Ini adalah tafsir pertama.

Atau satu lagi tafsir, iaitu dua perkara itu adalah ujian besar untuk kita menjaganya. Kita kena jaga sebagaimana kita jaga syariat. Tujuan diberikan harta dan anak pinak itu adalah untuk melihat sama ada kita bersyukur atau tidak. Dan untuk kita gunakan ke arah kebaikan. Harta dan anak pinak itu juga adalah tanggungjawab kita dan kita akan ditanya tentang tanggungjawab kita nanti di akhirat. Kita akan ditanya bagaimana cara kita gunakan harta itu dan adakah kita didik anak pinak dengan cara yang betul.

Dan dua perkara ini memang benar adalah ujian besar. Kita sekarang hidup dalam dunia yang banyak pilihan kebendaan. Maka harta dan keindahan dunia adalah satu perkara yang amat berat. Materialistik adalah salah satu perkara yang kita perlu jaga supaya kita tidak terlalu mementingkannya lebih daripada agama. Janganlah ada perkara lain yang kita lebihkan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahih, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَمَالِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ”

Demi Tuhan Yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-­Nya, tidaklah seseorang di antara kalian beriman sebelum aku lebih disukainya daripada dirinya sendiri, keluarganya, harta bendanya, dan semua manusia.

(Sahih al-Bukhari (6632))

 

وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Ini adalah dorongan supaya memilih akhirat. Ada kekayaan duniawi tidak salah tetapi janganlah sampai tertinggal persediaan untuk menghadapi akhirat. Jangan tertipu dengan keindahan dunia kerana walaupun nampak dunia ini sebagai hebat, tetapi pahala di sisi Allah ‎ﷻ lebih hebat lagi daripada dunia ini. Kita sepatutnya lebih luangkan masa dan usaha kita untuk kejar pahala yang berharga di akhirat kelak.


 

Anfal Ayat 29: Sekarang kita masuk ke perenggan makro ke 4 daripada ayat ini sehingga ke ayat 40. Sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu kita kenapa Musyrikin Mekah itu patut diperangi. Maka jangan ada berbelah bahagi lagi dalam berperang dengan Musyrikin itu.

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجعَل لَّكُم فُرقانًا وَيُكَفِّر عَنكُم سَيِّئَاتِكُم وَيَغفِر لَكُم ۗ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, if you fear Allāh, He will grant you a criterion¹ and will remove from you your misdeeds and forgive you. And Allāh is the possessor of great bounty.

  • By which to judge between truth and falsehood. Also interpreted as a “way out” of difficulties.

(MALAY)

Hai orang-orang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, Kami akan memberikan kepadamu Furqaan. Dan kami akan jauhkan dirimu dari kesalahan-kesalahanmu, dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

 

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Dengarlah pesanan ini wahai orang yang beriman.

 

إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجعَل لَّكُم فُرقانًا

jika kamu bertaqwa kepada Allah, Kami akan memberikan kepadamu Furqaan

Allah ‎ﷻ mengingatkan umat Islam, mereka hendaklah mempunyai sifat taqwa dalam peperangan. Kena taat kepada arahan dan hukum daripada Allah ‎ﷻ. Orang yang bertaqwa akan sentiasa menjaga hukum dan memikirkan apakah yang Allah ‎ﷻ hendak mereka lakukan dalam setiap perkara. Ketika hendak membuat apa-apa sahaja dia akan fikir: Adakah ini halal atau haram?

Satu lagi maksud taqwa yang kita boleh ambil adalah pencegahan. Ini seperti pepatah الوقاية خير من العلاج (pencegahan itu lebih baik daripada rawatan). Dengan mengambil langkah pencegahan, in sha Allah kita akan selamat. Maka taqwa juga bermaksud berhati-hati. Al-Imam Ibnu Kathir رحمه الله ada membawakan dialog 2 orang sahabat Nabi di dalam kitab tafsirnya tatkala mentafsirkan makna taqwa daripada ayat ke-2 surah al-Baqarah.

Dikatakan bahawa Amirul Mukminin Sayyidina `Umar bin al-Khattab رضي الله عنه ` pernah bertanya kepada Sayyidina Ubai bin Ka`ab رضي الله عنه mengenai taqwa.

Lalu berkatalah Ubai رضي الله عنه : “Pernahkah engkau melalui suatu lorong yang banyak duri?”

`Umarرضي الله عنه  menjawab: “Ya, bahkan.”

Ubai رضي الله عنه bertanya kembali: “Lalu, apakah yang engkau lakukan?”

`Umar رضي الله عنه menjawab: “Aku akan bersungguh-sungguh dan hati-hati.”

Ubai رضي الله عنه  menjawab: “Itulah taqwa.”

Oleh sebab itu, hendaklah kita berusaha untuk menjaga taqwa dalam diri kita. Kemudian Allah ‎ﷻ sebut 3 kelebihan jikalau ada taqwa dalam diri kita. Pertama, kalau kita bertaqwa, Allah ‎ﷻ akan adakan ‘furqan‘ dalam diri kita. Apakah maksud furqan?

Ada berbagai tafsiran para ulama’ tentang maksudnya di sini. Dari segi bahasa, ia berasal daripada katadasar ف ر ق yang antara lain bermaksud membezakan. Kerana itulah Al-Qur’an dinamakan juga Al-Furqan kerana ia membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Ini sebagaimana disebut dalam [ Furqan: 1 ]

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ

Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya

Oleh itu salah satu pendapat tentang maksud pemberian furqan di dalam ayat daripada Surah Anfal ini adalah jikalau kita menjaga taqwa, maka Allah ‎ﷻ akan memberikan pemahaman kepada Al-Qur’an. Ia akan menjadi rujukan untuk kita menentukan manakah yang benar dan tidak.

Pendapat kedua adalah ia adalah dalil yang jelas yang boleh digunakan untuk membuat keputusan. Itulah dalil jelas yang datang daripada hati yang terhasil daripada sifat taqwa yang telah ada. Kadang-kadang ada perkara yang tidak jelas hukumnya kepada kita. Namun oleh kerana kita ada taqwa dan takut sangat kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ jadikan dalam hati kita sifat ingin menjauhi atau mendekati keselamatan. Wujudnya taqwa dalam diri manusialah yang menyebabkan mereka sanggup susah kerana hendak menjaga hukum.

Oleh itu ‘Furqan’ adalah sifat boleh membezakan antara benda yang boleh diambil atau tidak, boleh buat atau tidak. Kadangkala kita tidak tahu hukumnya dengan pasti, tetapi hati kita sudah dapat rasa mana yang bagus dan mana yang tidak. Ia seperti ilham daripada Allah ‎ﷻ.

Pendapat ketiga, ia bermaksud ilmu. Dalilnya adalah bahagian akhir daripada ayat [ Al- Baqarah: 282 ]

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah akan mengajar kamu

Maksudnya kalau kita ada taqwa, maka hati kita akan bersih dan senang ilmu masuk ke dalam hati kita. Maka senang hendak faham agama kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang memasukkan ilmu itu. Sebab itu ada orang senang hendak faham pelajaran agama dan ada yang bertahun-tahun belajar tetapi tidak faham-faham.

Yang keempat, ia boleh bermaksud ‘kemenangan‘. Ini kerana maksud farq adalah yang membezakan antara dua perkara. Seperti di dalam perang Badr, Allah ‎ﷻ memenangkan pihak yang benar dan mengalahkan pihak yang salah untuk menjelaskan mana satu yang benar dan mana satu puak yang salah. Kerana itulah salah satu gelaran bagi perang Badr adalah Yaumul Furqan (Hari Perbezaan) kerana hari itu telah membezakan antara puak yang benar dan puak yang salah.

Yang kelima, ia boleh bermaksud makhraj (jalan keluar) daripada masalah. Ini seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam [ Talaq: 2 ]

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar

Banyaklah masalah dan cabaran kita di dunia ini, bukan? Kadangkala pening kepala kita hendak menyelesaikannya dan mungkin sudah putus asa kerana kita sedar ia di luar kemampuan kita. Ya, ia di luar kemampuan kita tetapi mudah sahaja di sisi Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ mengajar cara untuk selesaikan masalah di dalam ayat ini: taqwalah kepada-Nya dan Dia akan berikan jalan keluar. Maknanya kita serahkan masalah kita kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَيُكَفِّر عَنكُم سَيِّئَاتِكُم وَيَغفِر لَكُم

Dan kami akan jauhkan dirimu daripada kesalahan-kesalahanmu, dan mengampuni (dosa-dosa)mu. 

Kelebihan kedua kalau bertaqwa adalah pengampunan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan menjauhkan kita daripada keburukan dosa yang kita lakukan kalau kita bertaqwa. Ini adalah kerana dosa yang kita lakukan sebenarnya memberi kesan buruk kepada diri kita. Allah ‎ﷻ akan menghilangkan kesan buruk itu daripada kita. Allah ‎ﷻ akan berikan taufik kepada orang bertaqwa untuk melakukan banyak amalan soleh sehingga mengalahkan perbuatan dosanya.

Kelebihan ketiga adalah Allah ‎ﷻ akan mengampuni segala dosa orang yang bertaqwa. Ini kita memang amat perlukan kerana kita sebagai manusia memang banyak dosa. Kita amat mengharapkan pengampunan dosa kerana kalau ada dosa, maka kena dimasukkan ke dalam neraka dan kita tidak mahu masuk ke neraka langsung.

Ada juga pendapat yang membezakan antara keduanya di mana يُكَفِّر عَنكُم سَيِّئَاتِكُم dikatakan merujuk kepada dosa-dosa kecil dan يَغفِر لَكُم merujuk kepada dosa-dosa besar.

 

وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah ‎ﷻ ada banyak lagi kurniaan yang besar-besar yang disimpan untuk diberikan kepada kita nanti. Yang penting kita kena taat kepada-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Oktober 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibnu Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s