Ayat 4: Ayat tasliah kepada Nabi.
وَإِن يُكَذِّبوكَ فَقَد كُذِّبَت رُسُلٌ مِّن قَبلِكَ ۚ وَإِلَى اللهِ تُرجَعُ الأُمورُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if they deny you, [O Muḥammad] – already were messengers denied before you. And to Allāh are returned [all] matters.
(MELAYU)
Dan jika mereka mendustakan kamu (sesudah kamu beri peringatan) maka sungguh telah didustakan pula rasul-rasul sebelum kamu. Dan hanya kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.
وَإِن يُكَذِّبوكَ فَقَد كُذِّبَت رُسُلٌ مِّن قَبلِكَ
Dan jika mereka mendustakan kamu maka sungguh telah didustakan pula rasul-rasul sebelum kamu.
Allah nak beritahu kepada Rasulullah: “Jangan bersedih wahai Nabi”. Ini adalah kerana baginda amat sedih dan terkilan apabila dakwah tauhid baginda ditolak. Bukan sahaja ajaran baginda ditolak malah baginda sendiri dihina dan dituduh macam-macam.
Dan Allah hendak memberitahu baginda supaya jangan pelik. Dulu pun para Nabi sudah didustakan. Bukanlah baginda yang pertama ditolak. Maka kalau begitu tidaklah perlu bersedih sangat. Inilah tasliah (pujukan). Kerana apabila kita tahu orang lain pun kena juga, maka berkuranglah sikit rasa sakit hati kita, bukan?
Maka ayat tasliah ini juga untuk kita. Janganlah sedih dan patah hati bila ditolak oleh manusia apabila kita dakwah kepada mereka. Ini biasa sahaja kerana para pejuang tauhid dari dulu memang ditolak oleh manusia. Bukan semua boleh terima.
وَإِلَى اللهِ تُرجَعُ الأُمورُ
Dan hanya kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.
Akhirnya semua keputusan pulang kepada Allah. Kalau mereka kata Nabi menipu, maka keputusan mereka tidak ada nilai. Keputusan Allahlah yang penting dan muktamad. Semua kita akan kembali ke akhirat dan Allah akan buat keputusan. Selepas keputusan dibuat, maka semua akan dibalas di atas setiap perbuatan kita. Termasuk akan diberikan balasan kepada orang-orang yang menentang itu.
Ayat 5: Takhwif ukhrawi.
يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۖ وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O mankind, indeed the promise of Allāh is truth, so let not the worldly life delude you and be not deceived about Allāh by the Deceiver [i.e., Satan].
(MELAYU)
Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.
يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ
Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar,
Apa sahaja janji yang Allah sebut dalam Al-Qur’an akan terjadi. Bukanlah ini semua perkara main-main. Janji yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah tentang neraka di mana telah disentuh dalam ayat sebelum ini. Allah akan memasukkan penentang tauhid dan pelaku dosa ke dalam neraka dan ini adalah pasti.
فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا
maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu
Maka jangan kamu dilalaikan dengan kehidupan dunia. Jangan terpedaya dengan keindahan dunia yang nampak sahaja indah ini. Ia nampak sahaja indah, tapi sebenarnya tidak.
Tidak dapat dinafikan, kehidupan di dunia dan segala perhiasannya memang mampu untuk melalaikan manusia. Ada yang sibuk dengan kerja, ada yang sibuk dengan fesyen, ada yang sibuk dengan hiburan, ada yang sibuk dengan sukan, ada yang sibuk dengan politik, dan macam-macam lagi.
Ada yang cuma mahu bersuka ria sahaja tanpa memikirkan tentang kehidupan mereka yang akhirnya akan berakhir dengan kematian dan akan mengadap Allah dan akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan dan amalan. Maka kenalah berhati-hati dan berjaga dengan setiap amalan kita. Jangan kita buat tidak tahu sahaja. Kena sentiasa ingat yang kita akan bertemu dengan Allah.
Maka terlalai dengan dunia adalah satu kesalahan dan kesilapan ini dialami oleh semua orang walaupun oleh orang Islam juga. Jangan sangka yang kita sudah Muslim, kita sudah selamat. Kalau kita Muslim pun tapi tidak menjalankan kehidupan seperti yang dikehendaki oleh Allah, maka kita pun akan masalah besar nanti.
Walaupun peringatan ini sudah diberikan kepada keseluruhan manusia tetapi kita orang Islam yang sedang membaca Al-Qur’an ini pun kena beri perhatian. Kita pun tidak terselamat kalau tidak berhati-hati. Maka kerana itu Allah banyak sekali ingatkan manusia dengan bahayanya dunia.
Untuk mudah menolak dunia yang menarik ini, maka kita kena yakin sangat dengan janji Allah di akhirat. Kalau kita yakin dengan janji balasan yang baik di akhirat kelak, maka kita mudah untuk tinggalkan keindahan dunia yang kurang kalau dibandingkan dengan syurga. Kerana itu banyak yang Allah beritahu kita tentang kehebatan balasan di syurga nanti supaya datang keyakinan kita kepada janji itu.
Dunia bukanlah semuanya buruk. Tapi kalau terus terpesona sampai terlupa buat persediaan untuk akhirat, maka ini sudah menjadi satu kesilapan yang besar.
وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ
dan sekali-kali janganlah syaitan memperdayakan kamu tentang Allah.
Kalimah الغَرورُ dari غ ر ر yang bermaksud tipu dan perdaya orang yang lalai atau jahil. Apabila ditambah dengan ال maka ia adalah isim dan merujuk kepada sesuatu atau seseorang yang spesifik. Yang dimaksudkan adalah syaitan. Syaitan akan berusaha untuk menipu dan memperdayakan manusia.
Banyak cara syaitan akan menipu dan menggunakan helah. Maka kita kena faham bagaimana cara mereka ‘membelit’ manusia. Ini memerlukan pembelajaran dalam ‘Talbis Iblis’. Ada kitab khusus tentang perkara ini perlu dipelajari oleh kita. Kerana di dalam kitab itu diajar bagaimanakah cara iblis menipu manusia.
Antaranya syaitan akan gunakan senjata yang dinamakan ‘taswif’ (dari kalimah سوف yang bermaksud ‘akan’). Ianya melengahkan manusia dari beribadat dan menuntut ilmu. Ada manusia yang sudah tahu kepentingan ibadah dan ilmu, tapi syaitan bisikkan hal-hal lain yang menghalangnya dari terus melakukan kebaikan seperti belajar, beribadat dan amal-amal kebaikan yang lain. Hal kerja, anak dan keluarga, malah apa sahaja kesibukan yang berbagai-bagai akan dijadikan alasan oleh syaitan untuk tidak melakukan kebaikan.
Ramai tertipu bukan kerana tak tahu kepentingan agama tapi kerana kena taswif. Maka kita kena pandai bahagi masa untuk ibadah dan menambah ilmu agama. Bukannya tunggu masa lapang kerana masa lapang memang tidak akan ada. Maka kita kena susun jadual kita dan jangan abaikan masa untuk belajar dan memperbaiki diri kita.
Kena juga faham bahawa syaitan itu memang pandai menipu manusia. Kepada orang kafir ada cara penipuannya, dan kepada orang musyrik ada cara penipuannya, dan kepada orang Islam pun ada cara penipuan juga. Orang yang jahil ada syaitannya dan kalau orang alim, ada syaitan yang lebih hebat yang akan menipu. Memang tidak akan dapat dielak dari diganggu dan cubaan hasutan dari syaitan itu. Yang penting kena ada ilmu untuk menolak bisikan mereka.
Sebagai contoh kepada orang Islam, syaitan akan bisikkan ke dalam hati mereka supaya mereka rasa mereka itu sudah selamat sebab mereka sudah Muslim, sudah mengucap syahadah, solat tak tinggal, sesekali berderma dan sebagainya.
Maka mereka tidak benar-benar mengamalkan Islam seperti yang sepatutnya dikehendaki oleh Allah dan disampaikan dalam Al-Qur’an dan sunnah. Maka mereka tidak mendalami ilmu agama dan banyak lagi perkara halal dan haram yang mereka tidak endahkan. Ini kerana mereka sudah rasa selamat dan seolah-olah pasti masuk syurga.
Maka syaitan akan bisik kepada mereka dengan berkata mereka tidak ada masalah sebenarnya kalau mereka buat dosa sedikit-sedikit maka itu tidak akan memasukkan mereka ke dalam neraka pun. Dan kerana itu ada orang yang sangka walaupun mereka buat dosa tetapi apabila mereka pergi mengerjakan umrah maka mereka akan membersihkan dosa-dosa mereka.
Atau kepada orang yang jual arak ataupun mengamalkan perniagaan yang melibatkan riba, tetapi mereka rasa mereka akan selamat apabila mereka beri derma kepada masjid ataupun persatuan agama Islam. Ia seolah-olah ‘cuci’ dosa mereka dan tiket mereka ke syurga telah pasti.
Satu lagi penipuan yang mereka guna adalah dengan mengatakan yang Tuhan itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Dan kalau Allah Maha Penyayang, takkan Allah nak masukkan orang Islam ke dalam neraka pula? Lihat bagaimana Syaitan akan beri pemahaman yang salah ini seolah-olah jikalau orang Islam sahaja maka orang itu terus selamat. Maka orang Islam tidak takut buat dosa dan macam-macam lagi.
Kerana itu di dalam ayat ini Allah sebut syaitan akan menipu manusia ‘tentang Allah’. Iaitu syaitan akan membisikkan fahaman yang tidak benar tentang Allah seperti yang kita telah sebutkan tadi.
Dan ada yang ditipu dengan syaitan yang mengatakan Allah telah beri ‘kelebihan’ tertentu kepada mereka untuk mereka gunakan ke arah kebaikan. Kerana itu ada pelakon, penyanyi ataupun pemuzik yang ada kelebihan dalam seni sampai mereka boleh melakukan perkara-perkara itu dan mereka sangka yang Allah menjadikan kelebihan itu ada pada mereka untuk mereka menjalankan ‘kerja Allah’.
Maka mereka menjadi pelakon, pemuzik dan juga penyanyi dan digunakan cara itu untuk dakwah, kononnya. Padahal itu adalah cara dakwah yang salah dan menyanyi dan bermain muzik adalah haram di dalam Islam.
Dan mereka membawa perawakan yang baik di mana mereka menyanyi untuk mendapatkan wang dan digunakan wang itu untuk derma kepada mangsa-mangsa bencana alam dan sebagainya. Maka mereka rasa mereka sudah buat sesuatu yang baik. Ini juga adalah satu penipuan di dalam agama. Syaitan telah menipu dan mengelabui mata mereka sampai mereka nampak perbuatan mereka itu baik dalam agama. Padahal ianya tidak sama sekali.
Jadi ada dua kali Allah sebut ghurur dalam ayat ini. Ini adalah kerana inilah senjata Iblis yang hebat dan ramai yang tertipu. Salah satu elemen ghurur yang paling besar adalah ujub. Iaitu sangka diri hebat kerana memandang diri dan amal sudah banyak tanpa menisbahkan segala kelebihan dan kepandaian itu kepada Allah.
Mereka sangka mereka taat dan dapat beramal itu kerana diri mereka. Mereka lupa menisbahkan nikmat taat dan buat amal itu kepada Allah. Kalaulah Allah tidak beri dorongan, mereka pun tentu tidak dapat nak beramal. Maka kena berhati-hati.
Jangan pandang amal kita hebat dan banyak. Dan jangan sangka Allah terus terima amal kita. Kita kena terus berharap kepada Allah untuk menerima amal kita yang kecil ini.
Ayat 6:
إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, Satan is an enemy to you; so take him as an enemy. He only invites his party to be among the companions of the Blaze.
(MELAYU)
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala
إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu,
Yakinlah syaitan itu benar-benar musuh kita. Dia memang musuh yang nyata pun dan ramai pun sudah tahu tentang perkara ini. Bukanlah syaitan itu nyata dalam bentuk fizikal, tapi memang Iblis sendiri sudah menyatakan yang dia musuh manusia dan Allah telah beritahu yang syaitan itu adalah musuh kita dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an.
Tapi ramai yang leka kerana syaitan itu tidak nyata pada pandangan mata fizikal kita. Walaupun syaitan tidak nyata di mata kita, tapi dia telah ikrar akan menyesatkan anak Adam. Maka itu tanda dia musuh nyata. Ini disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلا}
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam, “maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain dari-Ku, sedangkan mereka adalah musuhmu. Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim. (Al-Kahfi: 50)
فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا
maka anggaplah ia musuh,
Jangan ada sangsi yang dia itu musuh kita. Maka bila ada musuh, maka kenalah kenal musuh kita macam mana. Kena berhati-hati dengan dia, jangan pernah anggap ia sebagai kawan. Dan kerana itu kena kaji cara dia menipu kita supaya kita boleh elak penipuannya. Kalau kita tidak tahu, maka kita akan sentiasa kena tipulah jawabnya. Maka kerana itu pembelajaran yang penting adalah Talbis Iblis.
إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ
kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala
Sesiapa yang mendengar dan mengikut bisikan syaitan itu adalah termasuk di dalam ‘parti’ syaitan. Iaitu menjadi geng mereka dalam neraka. Maka kerana itu mereka dengar sahaja bisikan dan arahan dari syaitan.
Tujuan syaitan adalah untuk memasukkan semua anak Adam ke dalam neraka bersama dengan mereka. Mereka nak tarik sebanyak mungkin dari anak Adam. Maka semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka. Maka kenalah tahu bagaimana mereka menipu supaya kita boleh elak dari terjerumus ke dalam penipuan mereka itu.
Ayat 7:
الَّذينَ كَفَروا لَهُم عَذابٌ شَديدٌ ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those who disbelieve will have a severe punishment, and those who believe and do righteous deeds will have forgiveness and great reward.
(MELAYU)
Orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang keras. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.
الَّذينَ كَفَروا لَهُم عَذابٌ شَديدٌ
Orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang keras.
Ini adalah Takhwif ukhrawi. Allah beritahu sebagai ancaman yang orang yang engkar dengan kebenaran akan dikenakan dengan azab yang keras. Mereka tidak akan sanggup untuk menerima azab itu kerana keras sangat dan tidak akan berkurangan. Dan kalau kesalahan yang mereka lakukan itu adalah kesalahan dalam tauhid dan syirik, maka mereka akan kekal dalam neraka.
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ
Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.
Sekarang ayat tabshir ukhrawi pula. Ini diberikan kepada mereka yang beriman sempurna (tidak mengamalkan syirik) dan kuat akidahnya.
Mereka juga tidak beriman sahaja, tapi mereka tunjuk iman mereka itu dengan perbuatan. Iaitu mereka melakukan amal kebaikan. Dan amalan kebaikan itu mestilah amal yang ‘soleh’. Amal yang soleh adalah amal ibadat yang ada contoh dan dalil dari ajaran Nabi dan perbuatan sahabat.
Kepada mereka, Allah janjikan keampunan yang besar. Maknanya Allah boleh ampunkan semua sekali dosa-dosa mereka yang banyak. Dan ini amat penting kerana sebagai manusia, yang kita takut adalah kalau dosa kita dikira satu persatu. Kerana tentu ia sangat banyak. Maka janji pengampunan dari Allah ini sangat mahal.
Kerana kalau sudah dibersihkan dosa, maka tentu orang itu akan dimasukkan ke dalam syurga. Kita berharap semoga Allah tidak mengira dosa kita satu persatu. Kita harap Allah akan buat pengiraan yang ringan sahaja dan lepaskan kita dan tidak hukum kita di atas dosa-dosa kita yang banyak itu.
Apabila dalam syurga, maka yang pasti orang itu sudah selamat. Sekarang nak tengok kedudukan dalam syurga pula kerana di dalam syurga ada tingkatan-tingkatan (dipanggil darjat). Yang paling tinggi adalah Tingkatan Firdaus. Semakin banyak pahala ahli syurga itu, semakin tinggi kedudukan dan darjatnya dalam syurga. Maka kepada mereka yang banyak melakukan ibadat, maka kedudukan mereka akan tinggi dalam syurga.
Habis Ruku’ 1 dari 5 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 8: Zajrun.
أَفَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ فَرَءآهُ حَسَنًا ۖ فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۖ فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِما يَصنَعونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then is one to whom the evil of his deed has been made attractive so he considers it good [like one rightly guided]? For indeed, Allāh sends astray whom He wills and guides whom He wills. So do not let yourself perish over them in regret. Indeed, Allāh is Knowing of what they do.
(MELAYU)
Maka apakah orang yang dijadikan menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia menyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.
أَفَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ فَرَءآهُ حَسَنًا
Maka apakah orang yang dijadikan menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik,
Ada muqaddar dalam ayat ini apabila ada kalimah أفمن (adakah sama?). Ini adalah ayat perbandingan. Adakah sama antara seorang yang buat amalan buruk tapi dia nampak baik amalannya itu? Bandingkan dengan seorang yang memang Allah berikan fahaman agama sampai dia nampak mana benar dan mana salah? Adakah sama? Tentu tidak.
Syaitan pandai menjadikan manusia itu nampak baik sahaja perbuatan buruk mereka. Perkara ini banyak disebut di dalam Al-Qur’an. Perbuatan itu sebenarnya buruk, tetapi syaitan telah mengelabui mata mereka sampaikan mereka nampak dan sangka yang apa yang mereka buat itu adalah baik. Inilah yang dinamakan Talbis Iblis (belitan Iblis). Syaitan pandai mengelabui mata manusia sampaikan amalan yang salah dianggap amalan yang baik.
Sebagai contoh, ada golongan homoseksual yang melakukan demonstrasi di khalayak ramai kononnya untuk memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih cara hidup mereka. Kononnya ini adalah kebebasan individu. Begitu juga dengan pergerakan kebebasan wanita.
Dan kerja penipuan manusia ini sekarang lebih mudah dilakukan kerana media boleh digunakan oleh manusia yang jahat untuk menipu manusia. Fahaman salah amat senang disebar sekarang.
Sebagai contoh peperangan yang melibatkan kononnya pembebasan rakyat-rakyat yang ditindas. Maka negara Amerika menghantar tentera mereka ke negara itu kononnya untuk membebaskan mereka. Mereka pandai pakai propaganda kerana media massa dikawal oleh mereka.
Yang ditunjuk di dalam media nanti adalah gambar kanak-kanak yang suka bermain dengan tentera-tentera Amerika itu. Tetapi tidak ditunjukkan bagaimana banyaknya kematian yang terlibat yang tidak patut berlaku tetapi berlaku kerana campur tangan orang luar (Amerika). Dan tidak ditunjukkan kemusnahan dan pihak-pihak lain yang menentang kedatangan anasir luar dari Amerika itu.
Begitu juga kadang-kadang ada peperangan di antara sesama Islam dan kedua-dua pihak memanggil peperangan itu sebagai ‘jihad fisabilillah’. Tetapi sebenarnya ia adalah peperangan yang memusnahkan kedua-dua negara Islam dan orang-orang Islam. Dan peperangan itu bukan untuk kebaikan agama islam pun. Tetapi syaitan menipu dengan menggunakan nama ‘jihad’ untuk menipu orang-orang yang bodoh.
Di dalam Islam ada golongan-golongan yang melakukan perkara yang syirik dan juga bidaah tetapi mereka ditampilkan oleh syaitan sebagai melakukan perkara yang kononnya Islamik. Ini termasuk golongan Habib dan juga ahli agama yang menggunakan topik agama Islam untuk menipu manusia.
Maka kerana mereka telah ditipu, mereka nampak perbuatan mereka itu baik dan mereka teruskan. Mereka tidak rasa bersalah pun, malah mereka rasa merekalah golongan yang terpimpin.
فَإِنَّ اللهَ يُضِلُّ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ
Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya;
Kepada mereka yang mahu jadi kafir, maka Allah boleh benarkan. Allah biarkan sahaja mereka buat apa yang mereka mahu semasa mereka di dunia. Allah rekodkan sahaja apa yang mereka lakukan dan nanti Allah akan balas dengan sekeras-kerasnya.
Kalau tidak mahu beriman dengan ajaran yang sebenarnya, dan apabila dinasihati mereka tetapi menolak, maka Allah boleh buat keputusan untuk tutup hati mereka dari terima iman. Bukanlah Allah buat keputusan dari awal lagi tetapi apabila mereka terus menerus menentang. Bagi mereka yang Allah telah tutup pintu hati mereka itu, maka tidak ada harapan bagi mereka untuk beriman sampai bila-bila.
Allah hendak memberitahu Nabi yang ada insan yang Allah telah buat keputusan tidak akan beri iman kepada mereka. Maka janganlah baginda rasa terkilan kerana mereka tidak beriman walaupun setelah baginda beri dakwah dalam berbagai jenis cara. Memang bukan salah baginda kalau mereka tetap tidak mahu beriman kerana memang Allah telah buat keputusan untuk menyesatkan mereka. Maka jangan fikirkan hal mereka lagi. Baik baginda beri penumpuan kepada mereka yang masih lagi ada harapan.
فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ
maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka.
Allah pujuk Nabi supaya jangan sedih sangat dengan golongan-golongan yang teruk itu. Memang ianya perkara yang menyedihkan sampai tidak boleh buat apa-apa. Memang tentu kita bersedih tapi jangan sampai perasaan jadi lemah.
Atau jangan nak buat bising sahaja kepada media dan buat sesuatu yang tidak memberi kebaikan. Ramai orang yang sebegitu, tahu komplen sahaja sana dan sini. Ingatlah yang Nabi tidak duduk senyap sahaja. Baginda terus jalankan kerja dakwah dan mengajak kepada kebaikan dan agama yang lurus. Biarkan mereka nak buat apa pun, janji kita tetap teruskan dengan usaha dakwah kita. Serahkan sahaja hal mereka kepada Allah dan tak payah pusing kepala memikirkan mereka.
إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِما يَصنَعونَ
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.
Sesungguhnya Allah menyesatkan orang yang sesat dan memberi petunjuk orang yang mendapat petunjuk hanyalah kerana pengetahuanNya yang sempurna dan hujah-Nya yang tiada taranya.
Allah tahu apa sahaja yang mereka lakukan untuk dibalas. Kalau mereka telah buat dosa, mereka tidak akan terlepas. Allah sentiasa sahaja rekod apa yang mereka lakukan. Maka tidak perlu pusing tentang mereka, dan serahkan sahaja kepada Allah. Allah pasti akan balas.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 4 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi