Tafsir Surah al-A’raf Ayat 101 – 104 (Kisah Nabi Musa a.s.)

Ayat 101:

تِلكَ القُرىٰ نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنبائِها ۚ وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَما كانوا لِيُؤمِنوا بِما كَذَّبوا مِن قَبلُ ۚ كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِ الكافِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those cities – We relate to you, [O Muḥammad], some of their news. And certainly did their messengers come to them with clear proofs, but they were not to believe in that which they had denied before.¹ Thus does Allāh seal over the hearts of the disbelievers.

  • i.e., they persistently denied every warning given them.

MALAY

Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata, sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meterikan di atas hati orang-orang yang kafir.

تِلكَ القُرىٰ نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنبائِها

Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu

Allah sengaja menceritakan kisah-kisah kaum yang telah musnah itu kepada kita di dalam Qur’an ini. Kita telah baca kisah Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Syuaib dan Nabi Luth a.s. Semua kisah itu disampaikan kepada kita sebagai pengajaran untuk kita.

Bukan semua kisah umat terdahulu diceritakan kepada kita, hanya sedikit sahaja iaitu yang sesuai untuk kita ambil pengajaran. Dan dari kisah itu pun, bukan semua kisah diberikan dengan terperinci tapi hanya disebut perkara yang penting-penting sahaja.

Kisah dalam Qur’an bukanlah kisah dalam Old Testament dan New Testament yang begitu terperinci sekali, satu persatu perkara mereka hendak beritahu. Masalahnya, kita tidak pasti sama ada ianya benar atau tidak. Oleh itu, kita tidak digalakkan untuk terus menerima kisah-kisah Israiliyat.

وَلَقَد جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ

dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata, 

Mereka yang dimusnahkan itu bukan mereka tidak disampaikan dengan hidayah. Para Nabi telah datang kepada mereka dan memberikan maklumat yang cukup tentang apakah kebenaran itu. Allah takkan mengazab mereka tanpa diberikan dengan peringatan. Jadi, mereka itu bukanlah ‘kafir jahil’ tapi ‘kafir degil’. Maklumat hidayah telah sampai kepada mereka tapi mereka sahaja yang degil untuk menerimanya.

فَما كانوا لِيُؤمِنوا بِما كَذَّبوا مِن قَبلُ

sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu.

Mereka tetap juga tidak mahu beriman setelah diberikan dengan berbagai dalil. Ini adalah kerana dari mula lagi mereka tidak mahu beriman. Hati mereka memang menolak dari awal lagi. Kerana mereka menipu fitrah mereka sendiri yang kenal kebenaran. Tentang fitrah ini akan disebut dalam ayat 172 nanti.

كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِ الكافِرينَ

Demikianlah Allah meteriikan di atas hati orang-orang yang kafir.

Oleh kerana mereka tetap juga degil dari menerima kebenaran, maka Allah telah kunci mati hati mereka yang engkar. Mereka tidak akan dapat hidayah sampai bila-bila. Kerana Allah hendak masukkan mereka ke dalam neraka. Dalam istilah pengajian kita, ia dipanggil Khatmul Qalbi.


Ayat 102:

وَما وَجَدنا لِأَكثَرِهِم مِن عَهدٍ ۖ وَإِن وَجَدنا أَكثَرَهُم لَفاسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not find for most of them any covenant;¹ but indeed, We found most of them defiantly disobedient.

  • i.e., they were found to be unfaithful and negligent of Allāh’s covenant.

MALAY

Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.

وَما وَجَدنا لِأَكثَرِهِم مِن عَهدٍ

Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji

Allah beritahu yang Dia tidak melihat ramai dari mereka yang memenuhi janji untuk beriman. Yang ramainya, memungkiri janji. Begitulah kebanyakan dari manusia tidak beriman sebenarnya. Itulah sebabnya kita ingatkan manusia supaya tidak ikut suara majoriti, tapi ikutlah suara yang bawa dalil dan bukti.

وَإِن وَجَدنا أَكثَرَهُم لَفاسِقينَ

dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.

Allah berfirman yang kebanyakan dari manusia itu bersifat fasik. Iaitu mereka tidak taat kepada hukum. Mereka menyimpang dari jalan ketaatan serta menyimpang dari janji yang telah mereka ambil, iaitu janji yang buat semasa mereka diciptakan dan telah difitrahkan di dalam diri mereka.

Janji itu telah diambil dari mereka sejak mereka masih berada di dalam tulang sulbi, iaitu bahawa Tuhan dan Penguasa mereka adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Dia. Lalu mereka mengikrarkan janji itu dan bersaksi terhadap diri mereka sendiri mengenainya, tetapi mereka melanggar janji itu dan meninggalkannya di belakang mereka. Kemudian mereka menyembah selain Allah Bersama-Nya tanpa ada dalil dan bukti yang membenarkannya.

Telah disebut di dalam hadis Sahih Muslim, bahawa Allah Swt. telah berfirman dalam hadis qudsi:

“إِنِّي خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاء، فَجَاءَتْهُمُ الشَّيَاطِينُ فَاجْتَالَتْهُمْ عَنْ دِينِهِمْ، وحَرّمَتْ عَلَيْهِمْ مَا أحللتُ لَهُمْ”

Sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan hanif (cenderung kepada agama yang benar), kemudian datanglah syaitan, lalu syaitan menyesatkan mereka dari agamanya, dan syaitan mengharamkan kepada mereka apa-apa yang telah Aku halalkan bagi mereka.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan:

“كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ”

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, dan Majusi.


Ayat 103: Sekarang kita masuk ke dalam kisah keenam. Kisah ini untuk menerangkan Dakwa Pertama – Kena ada sifat berani menghadapi segala dugaan kerana menyampaikan wahyu Allah. Kita akan lihat kisah keberanian Nabi Musa a.s.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم موسىٰ بِآياتِنا إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَئِهِ فَظَلَموا بِها ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent after them Moses with Our signs to Pharaoh and his establishment, but they were unjust toward them.¹ So see how was the end of the corrupters.

  • i.e., they rejected and opposed the signs.

MALAY

Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم موسىٰ بِآياتِنا

Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami

Kita telah belajar lima kisah para Nabi sebelum ini. Tentu anda perasan bahawa kisah ini mengikut turutan sejarah. Sekarang kita sampai kepada kisah Nabi Musa kerana baginda datang selepas Nabi Syuaib a.s.

Allah utus Nabi Musa a.s. untuk bawa kebenaran dengan menunjukkan mukjizat dari Allah. Banyak ayat-ayat dalam Qur’an yang telah menceritakan apakah mukjizat-mukjizat itu.

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَئِهِ فَظَلَموا بِها

dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. 

Dari sejarah Nabi Musa, kita tahu yang baginda pernah lari dari Firaun tapi selepas 10 tahun, baginda balik semula ke Mesir kerana telah ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya.

Maka, untuk menyampaikan dakwah itu, kepada seorang pemimpin zalim yang dia telah pernah lari dulu, dan kepada pemimpin-pemimpin lain yang juga, zalim, tentulah baginda kena berani yang sangat, kalau tidak berani, tentu dia tidak sanggup untuk pergi balik. Inilah Dakwa Pertama surah ini, iaitu kena berani untuk menyampaikan dakwah. Untuk menyampaikan dakwah tauhid, Nabi Musa telah menempuhi berbagai dugaan yang berat-berat. Kita kena semat kisah ini dalam diri kita supaya kita pun dapat keberanian dalam dakwah.

‘Firaun’ itu bukanlah nama seorang manusia, tapi adalah pangkat seorang pemimpin di Mesir. Semasa Nabi Musa kembali ke istana Firaun, Firaun yang sedang memerintah bukanlah ayah angkatnya yang telah membelanya dulu, tapi anaknya. Semasa Musa dibela, Firaun waktu itu belum ada anak lagi. Tapi kemudian dia telah mendapat anak dan Firaun yang anak itu telah membesar sekali bersama dengan Firaun. Oleh itu, ada rasa kekeluargaan antara Nabi Musa dan Firaun itu. Allahu a’lam, ini adalah satu pendapat yang tidak kurang kuat juga.

Apabila Nabi Musa menyampaikan dakwah tauhid kepada Firaun dan para pembesar, mereka degil dan menzalimi akan kebenaran. Mereka telah tolak kebenaran dan engkar dengan ayat Allah.

Masalah yang dihadapi oleh Firaun dan para pembesar adalah kerana mereka itu ada sifat sombong untuk terima kebenaran. Sedangkan masalah yang ada pada Bani Israil adalah mereka lalai. Ini kembali kepada sifat Iblis dan Nabi Adam. Iblis ada sifat sombong dan Nabi Adam ada sifat lalai. Kedua-dua sifat ini diulang-ulang dalam surah ini sebagai peringatan kepada kita supaya kita berhati-hati dari mempunyai dua sifat itu.

Bani Israil waktu itu adalah rakyat bawahan negara Mesir. Mereka dijadikan hamba dan kuli kepada puak Qibti yang memerintah. Bani Israil adalah pendatang ke Mesir, iaitu mereka datang dengan keluarga Nabi Yusuf termasuk Nabi Yaakob dulu. Walaupun mereka asalnya pendatang tapi mereka ada kedudukan dalam negara pada waktu itu. Tetapi lama kelamaan penduduk asal telah mengadakan revolusi dan menjadikan Bani Israil sebagai hamba abdi mereka sahaja. Begitulah serba ringkas kenapa semasa dalam kisah Nabi Musa ini, Bani Israil telah diperhambakan oleh bangsa Qibti. Allahu a’lam.

فَانظُر كَيفَ كانَ عاقِبَةُ المُفسِدينَ

Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.

Oleh kerana mereka telah menolak ajakan tauhid dari Nabi Musa dan Nabi Harun, maka perhatilah kesudahan mereka yang kita pun sudah tahu. Ini diingatkan kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang mengamalkan syirik.

Kita tahu kisah Firaun dan begitu juga bangsa Arab kerana telah sampai kepada mereka kisah tentang bagaimana Firaun dan tenteranya telah ditenggelamkan. Ambillah pengajaran dari kisah-kisah itu, jangan baca sahaja.

Dari ayat ini, sampailah ke ayat 162, ianya berlegar tentang kisah Nabi Musa a.s.


Ayat 104: Allah mula menceritakan kisah Nabi Musa a.a. secara tafsili (satu persatu)

وَقالَ موسىٰ يا فِرعَونُ إِنّي رَسولٌ مِن رَبِّ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Moses said, “O Pharaoh, I am a messenger from the Lord of the worlds

MALAY

Dan berkatalah Nabi Musa: “Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

Dalam ayat ini, dimulakan tentang bagaimana Nabi Musa memperkenalkan diri baginda kepada Firaun dan para pemimpin negara. Beginilah juga Nabi Muhammad memperkenalkan diri baginda kepada ahli keluarga dan masyarakat Arab waktu itu. Bila para Nabi mula berdakwah kepada umat mereka, begitulah yang mereka lakukan.

Kalau kita hendak berdakwah pun begitulah juga. Kena beritahu yang kita sudah belajar dan sekarang hendak menyampaikan dakwah kita kepada manusia. Biar orang kenal kita siapa dan kenapa mereka kena dengar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Februari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s