Tafsir Surah al-A’raf Ayat 105 – 112 (Mukjizat Nabi Musa)

Ayat 105: Sambungan kata-kata Nabi Musa.

حَقيقٌ عَلىٰ أَن لا أَقولَ عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ ۚ قَد جِئتُكُم بِبَيِّنَةٍ مِن رَبِّكُم فَأَرسِل مَعِيَ بَني إِسرائيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Who is] obligated not to say about Allāh except the truth. I have come to you with clear evidence from your Lord, so send with me the Children of Israel.”¹

  • i.e., free them from oppression and allow them to emigrate.

MALAY

“Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku.

حَقيقٌ عَلىٰ أَن لا أَقولَ عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ

“Wajib aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. 

Wajib bagi baginda sebagai rasul untuk tidak bercakap atas nama Allah melainkan perkara yang benar sahaja. Baginda mengingatkan kepada mereka sifat baginda yang tidak pernah mengatakan perkara yang bohong. Maka begitulah juga tentang perkara berkenaan agama. Sudah tentulah baginda memperkatakan perkara yang benar sahaja. Kalau dulu baginda tidak pernah berbohong, maka begitulah juga kali ini.

Begitulah juga dengan Nabi kita, baginda memulakan dakwah baginda dengan mengingatkan kaumnya bagaimana mereka telah mempercayai baginda sampaikan mereka menggelar baginda ‘al-amin’. Maka kalau dulu baginda tidak pernah berbohong tentang semua hal, takkan tiba-tiba baginda hendak menipu tentang Allah pula.

Maka ini juga mengajar kita supaya hanya berkata benar sahaja, sama ada hal agama atau pun hal-hal lain.

قَد جِئتُكُم بِبَيِّنَةٍ مِن رَبِّكُم

Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. 

Baginda menekankan yang baginda datang kepada mereka dengan bawa bukti mukjizat dari Tuhan. Apabila Firaun dan orang bawahannya hendak mempersoalkan baginda dan apabila mereka minta hendak tengok bukti, baginda telah menunjukkan bagaimana tongkat baginda menjadi ular dan bagaimana tangan baginda bercahaya.

Oleh itu, mukjizat hanya dikeluarkan apabila perlu sahaja. Dalam kes ini, mukjizat Nabi Musa dikeluarkan apabila diminta sebagai bukti yang baginda benar adalah seorang Rasul. Oleh itu, bukanlah para Nabi boleh keluarkan mukjizat ikut suka mereka setiap kali. Ianya hanya dikeluarkan ketika perlu sahaja dan apabila Allah benarkan sahaja.

فَأَرسِل مَعِيَ بَني إِسرائيلَ

Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku.

Selain dari mengajak manusia kepada tauhid, satu lagi perkara penting yang baginda minta Firaun lakukan adalah untuk melepaskan semua Bani Israil dari cengkaman perhambaan. Bani Israil dulu datang ke negara Syam dan mereka telah menetap duduk di Mesir. Oleh itu, mereka sebenarnya adalah Muhajirin kerana mereka asalnya dari Palestin. Mereka telah berhijrah ke Mesir semasa zaman Nabi Yusuf.

Maksud baginda, lepaskanlah golongan Bani Israil itu dari tahanan dan penindasan Firaun, dan biarkanlah mereka menyembah Tuhan (Allah), kerana sesungguhnya mereka berasal dari keturunan seorang nabi yang mulia —iaitu ‘Israil’— atau Nabi Ya’qub ibnu Ishaq ibnu Ibrahim, kekasih Allah Yang Maha Pemurah.

Nabi Musa a.s. minta mereka dilepaskan kerana Bani Israil telah dizalimi sudah sekian lama sebagai hamba abdi. Begitulah yang terjadi kepada bangsa yang berhijrah itu. Dan begitulah kebiasaan manusia dengan para pendatang. Kalau ada pendatang yang datang ke negara baru, selalunya penduduk asal tidak suka kepada mereka. Penduduk asal akan melihat pendatang itu sebagai pencuri kepada hasil bumi dan pekerjaan penduduk asal itu.

Lihatlah bagaimana perkara ini berlaku di mana-mana. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana Presiden Donald Trump yang cuba untuk merendahkan kedudukan para pendatang ke Amerika. Dia hendak halang orang luar dari datang ke negara itu. Dan slogannya disokong oleh banyak penduduk yang telah lama ada di Amerika.

Dan manusia akan tetap sahaja menyalahgunakan tenaga dari manusia yang lain. Pemerintahan Firaun telah menggunakan Bani Israil sebagai tenaga buruh kasar mereka zaman berzaman. Kita boleh kenal pasti perkara ini adalah satu yang zalim dan kejam, bukan? Tapi bagaimana dengan zaman sekarang? Walaupun tidak ada lagi perhambaan yang diamalkan secara jelas, tapi masih ada lagi elemen itu dalam dunia ini.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana tenaga kerja buruh kasar selalunya digunakan terhadap mereka yang hidup miskin. Sebagai contoh, ada syarikat besar yang menggunakan tenaga kerja buruh kasar untuk mengeluarkan produk mereka (seperti iPhone) di kilang-kilang di Negara China. Pekerja kilang itu dibayar dengan gaji yang murah dan diberi tempat tinggal yang sempit dan mereka dikerah untuk bekerja dengan teruk sekali. Itu pun sebenarnya adalah satu bentuk ‘perhambaan’ juga sebenarnya.


Ayat 106: Apa kata Firaun dengan permintaan Nabi Musa itu?

قالَ إِن كُنتَ جِئتَ بِآيَةٍ فَأتِ بِها إِن كُنتَ مِنَ الصّادِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said, “If you have come with a sign, then bring it forth, if you should be of the truthful.”

MALAY

Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu tanda, maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

Ini adalah cabaran yang dikeluarkan oleh Firaun kepada Nabi Musa. Firaun tidak percaya kepada kerasulan Nabi Musa dan oleh itu dia hendak menjatuhkan kedudukan baginda. Maka dia cabar baginda untuk bawa keluar tanda.

Tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat, sesuatu yang menakjubkan sebagai tanda yang baginda benar-benar adalah seorang Rasul. Dia keluarkan cabaran ini kerana dia tidak percaya kepada Nabi Musa. Dia sangka dengan cara itu, Nabi Musa pasti tidak dapat lakukan dan akan senyap begitu sahaja.


Ayat 107: Nabi Musa pun menunjukkan mukjizat baginda.

فَأَلقىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he [i.e., Moses] threw his staff, and suddenly it was a serpent, manifest.¹

  • i.e., genuine and not imagined, as a miracle from Allāh.

MALAY

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

فَأَلقىٰ عَصاهُ

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, 

Nabi Musa mencampakkan tongkat yang di tangan baginda. Ini seperti yang telah diajar oleh Allah sebelum itu seperti yang telah diceritakan dalam surah Taha. Dan Nabi Musa melontarkan tongkat ini adalah atas arahan Allah. Hanya setelah Allah suruh baginda lontar, barulah baginda lontar. Kerana mukjizat tidak jadi tanpa kebenaran dari Allah.

فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُبينٌ

maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

Apabila dilontar, maka tongkat itu menjadi ular besar yang jelas. Memang jadi ular sungguh, bukan silap mata. Ianya adalah ular yang besar pula. Selepas tongkat itu berubah menjadi ular yang besar seraya mengangakan mulutnya, ular itu telah merayap dengan cepat ke arah Fir’aun.

Ketika Fir’aun melihat ular itu berjalan menuju dirinya, dia segera melompat dari singgahsananya dan lari meminta tolong kepada Musa untuk mencegahnya maka Nabi Musa melakukannya. Tahu juga dia takut.


Ayat 108: Ini pula adalah mukjizat kedua.

وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّاظِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he drew out his hand; thereupon it was white [with radiance] for the observers.

MALAY

Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

وَنَزَعَ يَدَهُ

Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, 

Ini adalah mukjizat Nabi Musa yang kedua. Baginda memasukkan tangannya dicelah ketiak (masuk ikut baju baginda). Dan kemudian baginda keluarkan dan ditunjukkan di khalayak ramai.

فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّاظِرينَ

tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

Apabila dikeluarkan tangan baginda, maka ternampaklah tangannya cerah berseri untuk setiap orang yang memandang. Tangannya bercahaya (bukan jadi tangan cerah pula) dan mereka yang melihat terkejut dan mereka merenungnya dengan terpesona. Ini kerana tidak pernah terjadi sebelum itu.

Habis Ruku’ 13 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 109: Para pembesar sudah takut melihat mukjizat yang ditunjukkan boleh Nabi Musa. Maka mereka kena cakap sesuatu (damage control).

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ إِنَّ هٰذا لَساحِرٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent among the people of Pharaoh, “Indeed, this is a learned magician

MALAY

Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ

Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: 

Kejadian ini berlaku di dalam istana tapi berkemungkinan ada orang lain yang melihatnya. Maka tentu yang melihatnya terpesona dan rasa Nabi Musa itu benar-benar seorang Rasul. Maka, pemuka-pemuka Firaun itu takut kalau orang lain yang melihatnya akan ikut Nabi Musa, maka mereka kena buat sesuatu.

إِنَّ هٰذا لَساحِرٌ عَليمٌ

“Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

Mereka kata apa yang dilakukan oleh Nabi Musa itu adalah sihir semata-mata, bukannya apa pun. Tapi mereka pun mengaku yang ia bukan sihir biasa, mereka mengaku yang sihir itu adalah sihir yang hebat. Mereka kata Nabi Musa memang seorang ahli sihir yang hebat dan mahir.

Zaman itu memang zaman manusia mengamalkan sihir di negara Mesir. Jadi mereka sudah biasa dengan sihir. Maka, kalau ada benda yang pelik dari kebiasaan, maka mereka akan kata itu adalah sihir. Tapi begitu pun pada mereka, apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu memang lebih hebat dari kebiasaan biasa.

Jadi kita boleh lihat yang itu adalah tuduhan sahaja untuk merendahkan kedudukan Nabi Musa. Mereka kata yang baginda tunjuk itu bukanlah apa tapi sihir sahaja, orang lain pun boleh buat. Jadi itu adalah hujah bathil sahaja dan beginilah juga tuduhan yang dikenakan oleh Musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad.

Manusia yang menolak kebenaran memang akan gunakan apa-apa cara sahaja untuk menang. Mereka akan gunakan kuasa yang mereka ada. Zaman Nabi Musa, Zaman Nabi Muhammad dan pada setiap zaman pun. Yang ada kedudukan, tentukan suara mereka lebih besar dan masyarakat lebih senang hendak percaya. Maka mereka gunakan kedudukan itu.

Begitulah kalau zaman permulaan dakwah Sunnah ini, golongan yang bukan Sunnah yang ada suara yang lebih besar dan kedudukan yang lebih tinggi dalam masyarakat. Maka mereka gunakan berbagai-bagai cara untuk merendahkan kedudukan golongan orang-orang Sunnah dan ustaz-ustaz Sunnah.


Ayat 110:

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِن أَرضِكُم ۖ فَماذا تَأمُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who wants to expel you from your land [through magic], so what do you instruct?”

MALAY

“Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِن أَرضِكُم

“Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. 

Mereka tuduh tujuan Nabi Musa adalah hendak halau mereka yang berkuasa itu dari negara Mesir dengan cara sihir. Maknanya, mereka nak kata yang Nabi Musa dan Nabi Harun itu adalah terroris. Mereka tuduh Nabi Musa mahukan kedudukan dalam negara sahaja, nak jadi raja.

فَماذا تَأمُرونَ

“Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”

Siapakah yang berkata dalam ayat ini? Mungkin yang berkata adalah Firaun kepada pemimpin yang lain, atau yang berkata itu adalah para pemimpin itu kepada rakyat bangsa Qibti itu.

Kalau mereka tanya kepada rakyat, maksudnya mereka hendak membangkitkan semangat bangsa Qibti. Mereka nak beritahu kepada bangsa Qibti, sekarang ada orang luar yang hendak mengambil alih kuasa kita dan halau kita dari Mesir, nak ambil hamba-hamba kita dari kita. Sekarang apa yang kamu nak buat terhadap yang hendak ambil alih kuasa ini!?


Ayat 111:

قالوا أَرجِه وَأَخاهُ وَأَرسِل فِي المَدائِنِ حاشِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said,¹ “Postpone [the matter of] him and his brother and send among the cities gatherers

  • After mutual consultation and agreement.

MALAY

Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);

قالوا أَرجِه وَأَخاهُ

Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya

Ini adalah keputusan mereka selepas mereka berbincang sesama mereka. Mereka buat keputusan untuk beri tempoh kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Jangan hukum atau buat apa-apa lagi kepada mereka. Beri mereka tempoh dan nanti kita bersemuka satu hari nanti.

وَأَرسِل فِي المَدائِنِ حاشِرينَ

serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) para pengumpul

Dan bercadang untuk hantar utusan ke setiap daerah dari negara Mesir itu. Mereka lantik beberapa pengumpul untuk kumpulkan semua ahli sihir yang hebat-hebat. Tapi penggunaan lafaz حاشِرينَ itu digunakan untuk mengumpulkan binatang ternak. Maknanya, nanti ahli-ahli sihir itu kena paksa untuk berkhidmat kepada negara.


Ayat 112:

يَأتوكَ بِكُلِّ ساحِرٍ عَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who will bring you every learned magician.”

MALAY

“Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”.

Tujuan mereka adalah supaya para pengumpul itu akan bawakan setiap ahli sihir yang mahir. Bawakan kepada Firaun dan direkrut untuk berkhidmat kepada Firaun. Maka mereka mahu kumpulkan ahli sihir yang hebat-hebat belaka. Bukan yang biasa punya, tapi yang memang betul-betul pandai dan berpengalaman.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Februari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s