Tafsir Surah al-A’raf Ayat 103 – 110 (Kisah Nabi Musa عليه السلام)

A’raf Ayat 103: Sekarang kita masuk ke dalam kisah keenam. Kisah ini untuk menerangkan Dakwa Pertama – Kena ada sifat berani menghadapi segala dugaan kerana menyampaikan wahyu Allah ﷻ. Kita akan lihat kisah keberanian Nabi Musa عليه السلام. Daripada ayat ini, sampailah ke ayat 162, ia berlegar tentang kisah Nabi Musa عليه السلام.

Kisah baginda ini paling panjang dan paling banyak di dalam Al-Qur’an. Ini kerana banyak pengajaran di dalamnya. Mukjizat yang ditunjukkan juga banyak dan pertentangan kepada baginda juga amat berat.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم مّوسىٰ بِئآيٰتِنا إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ فَظَلَموا بِها ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent after them Moses with Our signs to Pharaoh and his establishment, but they were unjust toward them.¹ So see how was the end of the corrupters.

  • i.e., they rejected and opposed the signs.

MALAY

Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم مّوسىٰ بِئآيٰتِنا

Kemudian Kami membangkitkan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami

Kita telah belajar lima kisah para Nabi sebelum ini. Tentu anda perasan bahawa kisah ini mengikut turutan sejarah. Sekarang kita sampai kepada kisah Nabi Musa عليه السلام kerana baginda datang selepas Nabi Syuaib عليه السلام.

Digunakan kalimah ثُمَّ di dalam ayat ini yang bermaksud kemudian. Akan tetapi apabila ada ثُمَّ ia bermaksud setelah berlalu jangkamasa yang lama. Ini adalah kerana Nabi Musa عليه السلام itu jaraknya jauh daripada Nabi Syuaib عليه السلام. Mereka bukan hidup sezaman seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak. Ini menjadi dalil bagi pihak yang mengatakan kisah dua perempuan yang dibantu Nabi Musa عليه السلام di Madyan itu bukanlah anak Nabi Syuaib عليه السلام.

Di sini Allah menggunakan kalimah بَعَثنا yang bermaksud ‘Kami bangkitkan’. Sedangkan untuk Nabi-nabi yang lain sebelum ini digunakan kalimah أَرسَلنا untuk Nabi Nuh عليه السلام dan yang lain atau hanya disebut إلى sahaja. Ada penekanan apabila Allah menggunakan بَعَثنا untuk Nabi Musa عليه السلام kerana kisah Nabi Musa عليه السلام ini paling banyak di dalam Al-Qur’an. Sampaikan ulama’ mengatakan كاد القرآن أن يكون كله لموسى (hampir-hampir keseluruhan Al-Qur’an itu tentang Nabi Musa عليه السلام).

Kisah baginda disebut di 136 tempat di dalam Al-Qur’an dan kisah musuhnya Firaun pula disebut di 74 tempat. Ini adalah kerana dakwah baginda yang berat dan musuh baginda juga hebat. Teruknya Firaun sampai mengaku tuhan yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain.

Selain itu, Nabi Musa عليه السلام juga berhadapan dengan Bani Israel yang semua sangatlah teruk dan kaum yang degil. Kisah baginda banyak diceritakan supaya menjadi pengajaran bagi Nabi Muhammad ﷺ dan kita sebagai umat baginda.

Allah mengutuskan Nabi Musa عليه السلام untuk membawa kebenaran dengan menunjukkan mukjizat daripada Allah . Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang telah menceritakan apakah mukjizat-mukjizat itu. Kisah yang paling banyak adalah mukjizat Nabi Musa عليه السلام di dalam Al-Qur’an (sehingakan terdapat 9 mukjizat yang disebut).

Oleh hal yang demikian, ‘ayat-ayat’ yang dimaksudkan ini merujuk kepada mukjizat-mukjizat itu. Ia juga boleh merujuk kepada Taurat yang diberikan kepada baginda dan umat baginda.

 

إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيْهِ فَظَلَموا بِها

dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. 

Di sini disebut Nabi Musa عليه السلام diutus untuk Firaun dan ahli kabinetnya. Namun begitu, ada pendapat yang mengatakan baginda diutus untuk Bani Israel sahaja seperti Nabi-nabi yang lain. Seorang Nabi itu diutuskan untuk kaumnya sahaja kecuali Nabi Muhammad ﷺ yang diutus kepada semua kaum.

Mengikut pendapat ini, Nabi Musa عليه السلام hanya berhadapan dengan Firaun hanya untuk mendapatkan kembali kemerdekaan Bani Israel supaya selepas itu baginda boleh mendidik mereka. Oleh itu baginda bukanlah Rasul bagi Firaun dan bangsa Qibti.

Akan tetapi ada pendapat lain yang mengatakan baginda juga diutus kepada Firaun juga kerana mereka itu pun perlu diperbetulkan. Bayangkan kalau kita hendak dakwah kepada kampung orang Melayu dan di situ ada orang Cina juga tinggal. Tidak mungkin pula kita berkata: “Takpe apek, saya datang untuk dakwah orang Melayu sahaja.”

Kalimah مَلَإيْهِ merujuk kepada pembesar-pembesar di dalam kabinet Firaun. Mereka inilah yang menjalankan segala polisi Firaun dan menjadi ‘punahsihat’ kepadanya. Maka di mana pula rakyat dalam kalangan bangsa Qibti yang lain, kenapa tidak disebut? Tidak perlu disebut kerana mereka itu ikut sahaja apa kata Firaun dan para pembesar. Pembesar beragama A, mereka pun agama A lah juga.

Ini biasa sahaja kerana begitulah orang awam dalam masyarakat. Sampaikan ada pepatah Arab yang mengatakan آلعوام كالأنعام (orang awam seperti binatang ternak). Maksudnya mereka ikut sahaja pegangan pemimpin mereka. Sebagaimana Firaun yang mengawal fikiran rakyat bawahannya secara total seperti disebut di dalam [ Zukhruf: 54 ]

فَاستَخَفَّ قَومَهُ فَأَطاعوهُ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik.

Daripada sejarah Nabi Musa عليه السلام, kita tahu yang baginda pernah melarikan diri daripada Firaun namun selepas 10 tahun, baginda pulang semula ke Mesir kerana telah ditugaskan untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya.

Maka, untuk menyampaikan dakwah itu, kepada seorang pemimpin zalim yang baginda telah pernah lari dulu, dan kepada pemimpin-pemimpin lain yang juga zalim, tentulah baginda mesti mempunyai sikap yang sangat berani, jikalau tidak berani, tentu baginda tidak sanggup untuk pulang. Oleh itu, jika hendak dibandingkan dengan tugas kita yang hanya berdakwah kepada manusia biasa, sebenarnya tidaklah teruk sangat.

Inilah Dakwa Pertama surah ini, iaitu mesti berani untuk menyampaikan dakwah. Untuk menyampaikan dakwah tauhid, Nabi Musa عليه السلام telah menempuhi pelbagai dugaan yang berat-berat. Kita hendaklah semat kisah ini ke dalam diri kita supaya kita pun mendapat keberanian dalam dakwah.

‘Firaun’ itu bukanlah nama seorang manusia, tetapi ia adalah pangkat seorang pemimpin di Mesir. Ketika Nabi Musa عليه السلام kembali ke istana Firaun, Firaun yang sedang memerintah bukanlah ayah angkatnya yang telah membelanya dulu, tetapi anaknya. Semasa Musa عليه السلام dibela, Firaun pada waktu itu belum mempunyai anak lagi. Namun kemudian dia telah mendapat anak dan anak Firaun itu telah membesar sekali bersama dengan Musa عليه السلام. Oleh itu, ada rasa kekeluargaan antara Nabi Musa عليه السلام dan Firaun itu. Allahu a’lam, ini adalah satu pendapat yang tidak kurang kuat juga.

Ada pendapat yang mengatakan Firaun yang menentang Nabi Musa عليه السلام itu bernama Ramses II. Apabila Nabi Musa عليه السلام menyampaikan dakwah tauhid kepada Firaun dan para pembesar, mereka degil dan menzalimi akan kebenaran. Mereka telah menolak kebenaran dan ingkar dengan ayat Allah ﷻ.

Masalah yang dihadapi oleh Firaun dan para pembesar adalah kerana mereka itu ada sifat sombong untuk menerima kebenaran. Sedangkan masalah yang ada pada Bani Israel adalah mereka lalai. Ini kembali kepada sifat Iblis dan Nabi Adam عليه السلام. Iblis mempunyai sifat sombong dan Nabi Adam عليه السلام pula mempunyai sifat lalai. Kedua-dua sifat ini diulang-ulang dalam surah ini sebagai peringatan kepada kita supaya kita berhati-hati daripada mempunyai dua sifat itu.

Maka mereka telah berlaku ‘zalim’ kepada ayat-ayat Allah ﷻ yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام. Kenapakah dikatakan zalim? Kerana maksud zalim adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sepatutnya ayat-ayat Allah ﷻ diimani, tetapi mereka buat tidak endah sahaja malah mereka menolak dengan keras.

Juga ia bermaksud dengan menolak ayat-ayat Allah ﷻ, mereka telah menzalimi diri mereka sendiri. Mereka akan menyebabkan diri mereka akan diazab di dunia dan di akhirat. Cuma mereka sahaja tidak perasan yang mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri.

Bani Israel pada waktu itu adalah rakyat bawahan negara Mesir. Mereka dijadikan hamba dan kuli kepada puak Qibti yang memerintah. Bani Israel adalah pendatang ke Mesir, iaitu mereka datang dengan keluarga Nabi Yusuf عليه السلام termasuk Nabi Yaakob عليه السلام dulu. Walaupun mereka asalnya pendatang tetapi mereka mempunyai kedudukan dalam negara ketika itu. Kisah ini boleh rujuk Surah Yusuf.

Namun begitu, lama kelamaan penduduk asal telah mengadakan revolusi dan menjadikan Bani Israil sebagai hamba abdi mereka sahaja. Begitulah serba ringkas kenapa semasa dalam kisah Nabi Musa عليه السلام ini, Bani Israel telah diperhambakan oleh bangsa Qibti.

 

فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.

Oleh kerana mereka telah menolak ajakan tauhid daripada Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام, maka perhatilah kesudahan mereka yang kita pun sudah tahu. Perkara ini diulang berkali-kali di dalam surah ini. Ini diingatkan kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang mengamalkan syirik. Malah Firaun sampai mengaku dialah tuhan yang paling tinggi.

Kita tahu kisah Firaun dan begitu juga bangsa Arab kerana telah sampai kepada mereka kisah tentang bagaimana Firaun dan tenteranya telah ditenggelamkan. Ambillah pengajaran daripada kisah-kisah itu, jangan baca sahaja.


 

A’raf Ayat 104: Allah ﷻ memulakan kisah Nabi Musa عليه السلام secara tafsili (satu persatu)

وَقالَ موسىٰ يٰفِرعَونُ إِنّي رَسولٌ مِّن رَّبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Moses said, “O Pharaoh, I am a messenger from the Lord of the worlds

MALAY

Dan berkatalah Nabi Musa: “Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.

 

Kita boleh lihat di sini وَقالَ موسىٰ iaitu Musa عليه السلام cakap berhadapan dengan Firaun. Ini mengajar kita yang dakwah ini sebenarnya berdepan. Kita kena berjumpa dengan orang yang hendak didakwah itu. Memang kita menggunakan juga teknik penulisan tetapi tidak sama kalau jumpa berdepan. Kalau berdepan, lebih jelas dan lebih sampai maksud.

Dalam ayat ini, dimulakan kisah Nabi Musa عليه السلام memperkenalkan diri baginda kepada Firaun dan para pemimpin negara. Beginilah juga Nabi Muhammad ﷺ memperkenalkan diri baginda kepada ahli keluarga dan masyarakat Arab pada waktu itu. Bila para Nabi mula berdakwah kepada umat mereka, begitulah yang mereka lakukan.

Kalau kita hendak berdakwah pun begitulah juga. Kena beritahu yang kita sudah belajar dan sekarang hendak menyampaikan dakwah kita kepada manusia. Biar orang kenal kita siapa dan kenapa mereka kena dengar.

Nabi Musa عليه السلام tekankan di sini yang baginda adalah Rasul utusan رَبِّ العٰلَمينَ yang dalam masa yang sama menidakkan ketuhanan Firaun. Bukankah Firaun mengaku dia tuhan?


 

A’raf Ayat 105: Sambungan kata-kata Nabi Musa عليه السلام.

حَقيقٌ عَلىٰ أَن لا أَقولَ عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ ۚ قَد جِئتُكُم بِبَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّكُم فَأَرسِل مَعِيَ بَني إِسرٰءيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Who is] obligated not to say about Allāh except the truth. I have come to you with clear evidence from your Lord, so send with me the Children of Israel.”¹

  • i.e., free them from oppression and allow them to emigrate.

MALAY

“Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israel menyertai aku.

 

حَقيقٌ عَلىٰ أَن لا أَقولَ عَلَى اللَّهِ إِلَّا الحَقَّ

“Wajib aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. 

Wajib bagi baginda sebagai rasul untuk tidak bercakap atas nama Allah ﷻ melainkan perkara yang benar sahaja. Baginda mengingatkan kepada mereka sifat baginda yang tidak pernah mengatakan perkara yang bohong. Maka begitulah juga tentang perkara berkenaan agama. Sudah tentulah baginda memperkatakan perkara yang benar sahaja. Jika dulu baginda tidak pernah berbohong, maka begitulah juga kali ini.

Begitulah juga dengan Nabi ﷺ kita, baginda memulakan dakwah baginda dengan mengingatkan kaumnya bagaimana mereka telah mempercayai baginda sampaikan mereka menggelar baginda ‘al-amin’. Maka kalau dulu baginda tidak pernah berbohong tentang semua hal, tidak mungkin tiba-tiba baginda hendak menipu tentang Allah ﷻ pula.

Maka ini juga mengajar kita supaya hanya berkata benar sahaja, sama ada hal agama atau pun hal-hal lain.

 

قَد جِئتُكُم بِبَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّكُم

Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata daripada Tuhan kamu. 

Baginda menekankan yang baginda datang kepada mereka dengan membawakan bukti mukjizat daripada Tuhan. Apabila Firaun dan orang bawahannya hendak mempersoalkan baginda dan apabila mereka minta hendak melihat bukti, baginda telah menunjukkan bagaimana tongkat baginda menjadi ular dan bagaimana tangan baginda bercahaya.

Oleh itu, mukjizat hanya dikeluarkan apabila perlu sahaja. Dalam kes ini, mukjizat Nabi Musa عليه السلام dikeluarkan apabila diminta sebagai bukti yang baginda benar-benar adalah seorang Rasul. Oleh itu, bukanlah para Nabi boleh keluarkan mukjizat sesuka hati mereka setiap kali. Ia hanya dikeluarkan ketika perlu sahaja dan apabila Allah ﷻ izinkan sahaja.

 

فَأَرسِل مَعِيَ بَني إِسرٰءيلَ

Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israel menyertai aku.

Selain daripada mengajak manusia kepada tauhid, satu lagi perkara penting yang baginda minta Firaun lakukan adalah untuk melepaskan semua Bani Israel daripada cengkaman perhambaan. Bani Israel dahulu datang dan telah menetap di Mesir. Oleh itu, mereka sebenarnya adalah muhajirin kerana mereka asalnya dari Palestin. Mereka telah berhijrah ke Mesir ketika zaman Nabi Yusuf عليه السلام.

Maksud baginda, lepaskanlah golongan Bani Israel itu daripada tahanan dan penindasan Firaun, dan biarkanlah mereka menyembah Tuhan (Allah ﷻ), kerana sesungguhnya mereka berasal daripada keturunan seorang nabi yang mulia — iaitu ‘Israil’— iaitu Nabi Ya’qub ibnu Ishaq ibnu Ibrahim, kekasih Allah Yang Maha Pemurah.

Nabi Musa عليه السلام meminta mereka dilepaskan kerana Bani Israel telah dizalimi sudah sekian lama sebagai hamba abdi. Begitulah yang terjadi kepada bangsa yang berhijrah itu. Begitulah kebiasaan manusia dengan para pendatang. Kalau ada pendatang yang datang ke negara baru, selalunya penduduk asal tidak suka kepada mereka. Penduduk asal akan melihat pendatang itu sebagai pencuri kepada hasil bumi dan pekerjaan penduduk asal itu.

Lihatlah bagaimana perkara ini berlaku di mana-mana. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana Presiden Donald Trump yang cuba untuk merendahkan kedudukan para pendatang ke Amerika. Dia hendak menghalang orang luar daripada datang ke negara itu. Slogannya telah disokong oleh banyak penduduk yang telah lama berada di Amerika.

Manusia akan tetap sahaja menyalahgunakan tenaga daripada manusia yang lain. Pemerintahan Firaun telah menggunakan Bani Israel sebagai tenaga buruh kasar mereka sejak zaman berzaman. Kita boleh kenal pasti perkara ini adalah satu yang zalim dan kejam, bukan? Namun bagaimana pula dengan zaman sekarang? Walaupun tidak ada lagi perhambaan yang diamalkan secara jelas, tetapi masih ada lagi elemen itu dalam dunia ini.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana tenaga kerja buruh kasar selalunya digunakan terhadap mereka yang hidup miskin. Ada syarikat besar yang menggunakan tenaga kerja buruh kasar untuk mengeluarkan produk mereka (seperti iPhone) di kilang-kilang di Negara China. Pekerja kilang itu dibayar dengan gaji yang murah dan diberi tempat tinggal yang sempit dan mereka dikerah untuk bekerja dengan teruk sekali. Itu pun sebenarnya adalah satu bentuk ‘perhambaan’ juga sebenarnya.


 

A’raf Ayat 106: Apa kata Firaun dengan permintaan Nabi Musa عليه السلام itu?

قالَ إِن كُنتَ جِئتَ بِئآيٰةٍ فَأتِ بِها إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said, “If you have come with a sign, then bring it forth, if you should be of the truthful.”

MALAY

Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu tanda, maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

 

Ini adalah cabaran yang dikeluarkan oleh Firaun kepada Nabi Musa عليه السلام. Firaun tidak percaya kepada kerasulan Nabi Musa عليه السلام dan oleh itu dia hendak menjatuhkan kedudukan baginda. Maka dia mencabar baginda untuk membawakan bukti.

Tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat, sesuatu yang menakjubkan sebagai tanda yang baginda benar-benar adalah seorang Rasul. Dia keluarkan cabaran ini kerana dia tidak percaya kepada Nabi Musa عليه السلام. Dia sangka dengan cara itu, Nabi Musa عليه السلام pasti tidak dapat melakukan dan akan senyap begitu sahaja.

Maka tidak salah sebenarnya minta bukti sebelum menolaknya. Betul apa yang dilakukan oleh Firaun di sini sebab dia memang seorang yang bijak. Janganlah kita marah kalau orang minta bukti. Janganlah kata orang yang minta bukti itu seperti Firaun pula kerana memang kita diajar dalam Al-Qur’an untuk minta bukti. Sebagai seorang yang bijak sememangnya mahukan bukti.

Bukanlah seperti Firaun pula yang teruk sikapnya kerana setelah bukti diberikan, dia tetap menolak. Namun begitu ada yang lebih teruk daripada Firaun pula apabila mereka terus tolak sebelum melihat bukti. Ini ada yang berlaku dalam kalangan kita yang menyampaikan kebenaran, terus mereka ditolak tanpa mendengar apa-apa pun. Ini memang jenis orang yang bodoh sungguh.


 

A’raf Ayat 107: Nabi Musa عليه السلام pun menunjukkan mukjizat baginda.

فَأَلقىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he [i.e., Moses] threw his staff, and suddenly it was a serpent, manifest.¹

  • i.e., genuine and not imagined, as a miracle from Allāh.

MALAY

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

 

فَأَلقىٰ عَصاهُ

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, 

Nabi Musa عليه السلام mencampakkan tongkat yang di berada tangan baginda. Ini seperti yang telah diajar oleh Allah ﷻ sebelum itu seperti yang telah diceritakan dalam [Taha: 17]

قَالَ أَلْقِهَا يَا مُوسَىٰ

Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!”

Nabi Musa عليه السلام tidaklah terkejut kali ini apabila tongkat menjadi ular kerana baginda sudah pernah melihatnya. Kali pertama dahulu memang baginda terkejut dan takut sangat.

Nabi Musa عليه السلام melontarkan tongkat ini adalah atas arahan Allah ﷻ. Hanya setelah Allah ﷻ perintahkan baginda lontar, barulah baginda lontar. Ini kerana mukjizat tidak menjadi tanpa izin daripada Allah ﷻ. Kerana itulah mukjizat adalah kuasa Allah ﷻ , bukannya kuasa manusia walaupun Nabi.

 

فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ

maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

Apabila dilontar, maka tongkat itu menjadi ular besar yang jelas. Menjadi ular hidup sebenar, bukan sekadar silap mata. Ia adalah ular yang besar pula kerana kalimah yang digunakan adalah ثُعبانٌ yang bermaksud ular yang besar. Kalimah مبين boleh membaca maksud besar. Kalimah مبين juga bermaksud kejadian ini berlaku di khalayak ramai, bukannya dibuat sorok-sorok seperti yang selalu dilakukan oleh golongan ahli sihir.

Selepas tongkat itu berubah menjadi ular yang besar seraya mengangakan mulutnya, ular itu telah merayap dengan cepat ke arah Fir’aun. Ketika Fir’aun melihat ular itu menuju ke arah dirinya, dia segera melompat daripada singgahsananya dan lari berlindung kepada Musa عليه السلام untuk mencegahnya maka Nabi Musa عليه السلام melakukannya. Tahu juga dia takut. Dikatakan juga ramai kerana ahli istana yang meninggal kerana ketakutan.


 

A’raf Ayat 108: Ini pula adalah mukjizat kedua.

وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّٰظِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he drew out his hand; thereupon it was white [with radiance] for the observers.

MALAY

Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

 

وَنَزَعَ يَدَهُ

Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, 

Ini adalah mukjizat Nabi Musa عليه السلام yang kedua. Baginda memasukkan tangannya di celah ketiak (masuk ikut baju baginda). Kemudian baginda mengeluarkan dan ditunjukkan di khalayak ramai. Dari segi bahasa kalimah نَزَعَ bermaksud mencabut sesuatu dengan kuat. Ini seperti keadaan orang nazak kerana waktu itu sedang dicabut roh daripada tubuhnya.

Di dalam ayat ini ringkas sahaja, tidak disebut dari mana tangan baginda ditarik. D dalam ayat Naml: 12 diberitahu yang baginda memasukkan tangan baginda ke dalam baju baginda.

وَأَدخِل يَدَكَ في جَيبِكَ

Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu

Manakala di dalam ayat Taha: 22 disebut tangan itu dimasukkan ke ketiak baginda

وَاضْمُمْ يَدَكَ إِلَىٰ جَنَاحِكَ

dan kepitlah tanganmu ke ketiakmu

 

فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّٰظِرينَ

tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

Apabila dikeluarkan tangan baginda, maka ternampaklah tangannya cerah berseri untuk setiap orang yang memandang. Cahayanya sangat cerah sampaikan boleh menerangi sekeliling baginda. Tangannya bercahaya dan mereka yang melihat terkejut dan mereka merenungnya dengan terpesona. Ini kerana tidak pernah terjadi sebelum itu.

Maka di sini sahaja sudah ada dua mukjizat yang baginda tunjukkan. Kenapa ular dan tangan bercahaya? Ulama’ mengatakan ular itu sebagai ancaman jika mereka menolak; dan cahaya tangan itu adalah isyarat yang baginda mengajak kepada jalan yang benar.

Habis Ruku’ 13 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 109: Para pembesar sudah takut melihat mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام. Maka mereka kena cakap sesuatu (sebagai damage control).

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent among the people of Pharaoh, “Indeed, this is a learned magician

MALAY

Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

 

قالَ المَلَأُ مِن قَومِ فِرعَونَ

Berkatalah Ketua-ketua daripada kaum Firaun: 

Kejadian ini berlaku di dalam istana tetapi berkemungkinan ada orang lain yang melihatnya. Maka tentu yang melihatnya terpesona dan merasakan Nabi Musa عليه السلام itu adalah benar-benar seorang Rasul. Maka, pemuka-pemuka Firaun itu takut kalau orang lain yang melihatnya akan mengikut Nabi Musa عليه السلام, maka mereka kena buat sesuatu.

 

إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ عَليمٌ

“Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.

Mereka kata apa yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام itu adalah sihir semata-mata, bukannya apa pun. Ini kerana mereka itu jahil dan hanya biasa melihat silap mata daripada ahli sihir mereka sahaja. Namun mereka pun mengaku yang ia bukan sihir biasa, mereka mengaku yang sihir itu adalah sihir yang hebat. Mereka kata Nabi Musa عليه السلام memang seorang ahli sihir yang hebat dan mahir. Sebab itu mereka tambah kalimah عَليمٌ.

Zaman itu memang zaman manusia mengamalkan sihir di negara Mesir. Mereka sudah biasa dengan sihir. Maka sekiranya ada benda yang pelik daripada kebiasaan, mereka akan kata itu adalah sihir. Namun begitu pun pada mereka, apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عليه السلام itu memang lebih hebat daripada kebiasaan biasa.

Sebenarnya tidaklah sama sihir dan mukjizat. Sihir itu dilakukan oleh ahli sihir yang hidup dalam serba kekotoran. Lagi mereka kotor, lagi sihir semakin menjadi. Sihir itu sebenarnya tidak mengubah apa-apa realiti pun, cuma permainan mata sahaja. Sedangkan mukjizat itu benar-benar berlaku. Contohnya apabila tongkat menjadi ular, memang benar ia menjadi ular, bukan main olok-olok silap mata sahaja.

Namun tentulah mereka tidak boleh terima, maka mereka kata itu sihir sahaja. Kita boleh lihat yang itu adalah tuduhan sahaja untuk merendahkan kedudukan Nabi Musa عليه السلام. Mereka kata yang baginda tunjuk itu bukanlah apa tetapi sihir sahaja, orang lain pun boleh buat. Maka itu adalah hujah bathil dan beginilah juga tuduhan yang dikenakan oleh Musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad ﷺ.

Sudah disebut di dalam ayat lain seperti Dzaariyat: 52 yang setiap Nabi akan dituduh gila atau ahli sihir.

كَذٰلِكَ ما أَتَى الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا قالوا ساحِرٌ أَو مَجنونٌ

Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.

Seperti juga Nabi Muhammad ﷺ yang telah dituduh gila dan juga ahli sihir. Ini sememangnya tuduhan mengarut kerana mana mungkin orang gila itu ahli sihir pula? Kerana ahli sihir adalah orang yang waras.

Manusia yang menolak kebenaran memang akan menggunakan apa-apa cara sahaja untuk menang. Mereka akan menggunakan kuasa yang mereka ada. Ini berlaku ketika zaman Nabi Musa عليه السلام, zaman Nabi Muhammad ﷺ dan pada setiap zaman pun. Yang ada kedudukan, tentulah suara mereka lebih besar dan masyarakat lebih senang hendak percaya. Maka mereka gunakan kedudukan itu.

Begitulah kalau zaman permulaan dakwah Sunnah ini, golongan yang bukan Sunnah yang ada suara yang lebih besar dan kedudukan yang lebih tinggi dalam masyarakat. Maka mereka menggunakan berbagai-bagai cara untuk merendahkan kedudukan golongan orang-orang Sunnah dan ustaz-ustaz Sunnah.


 

A’raf Ayat 110:

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِّن أَرضِكُم ۖ فَماذا تَأمُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who wants to expel you from your land [through magic], so what do you instruct?”

MALAY

“Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”

 

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِّن أَرضِكُم

“Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu”. 

Mereka menuduh tujuan Nabi Musa عليه السلام adalah hendak menghalau mereka yang berkuasa itu dari negara Mesir dengan cara sihir. Maknanya, mereka hendak berkata yang Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Harun عليه السلام itu adalah terroris. Mereka menuduh Nabi Musa عليه السلام mahukan kedudukan dalam negara sahaja, mahu menjadi raja.

Atau, ini menggunakan isu perkauman untuk menakutkan masyarakat. Ini seperti kempen ahli politik sekarang juga. Mereka menggunakan isu perkauman kerana ini adalah salah satu kaedah dari zaman dahulu lagi untuk menakutkan manusia.

 

فَماذا تَأمُرونَ

“Oleh itu, apa yang kamu syorkan?”

Siapakah yang berkata dalam ayat ini? Mungkin yang berkata adalah Firaun kepada pemimpin yang lain, atau yang berkata itu adalah para pemimpin itu kepada rakyat bangsa Qibti itu.

Jika mereka bertanya kepada rakyat, maksudnya mereka hendak membangkitkan semangat bangsa Qibti. Mereka hendak beritahu bangsa Qibti, sekarang ada orang luar yang hendak mengambil alih kuasa kita dan menghalau kita dari Mesir, hendak mengambil hamba-hamba kita daripada kita. Sekarang apa yang kamu mahu kami buat terhadap yang hendak mengambil alih kuasa ini?!

Lihatlah Firaun yang teruk itu pun berbincang dahulu dengan ahli kabinetnya sebelum membuat keputusan. Sebagaimana kisah Ratu Balqis juga, beliau berbincang dengan para pembesarnya. Oleh itu, sekiranya para pemimpin membuat keputusan tanpa berbincang dengan para penasihatnya, maka mereka adalah lebih teruk daripada Firaun. Oleh sebab itu, kita sebagai ketua sama ada persatuan, pejabat atau di rumah pun, bawa berbincanglah dengan ahli-ahli yang terlibat.

Allah ﷻ telah mengajar kita tentang perkara ini dalam [ Shura: 38 ]

وَالَّذينَ استَجابوا لِرَبِّهِم وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَمرُهُم شورىٰ بَينَهُم وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

Dan juga orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 November 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s