Tafsir Surah Hadid Ayat 19 – 20 (Penipuan dunia)

Ayat 19:

وَالَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ أُولٰئِكَ هُمُ الصِّدّيقونَ ۖ وَالشُّهَداءُ عِندَ رَبِّهِم لَهُم أَجرُهُم وَنورُهُم ۖ وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who have believed in Allāh and His messengers – those are [in the ranks of] the supporters of truth and the martyrs, with their Lord. For them is their reward and their light.¹ But those who have disbelieved and denied Our verses – those are the companions of Hellfire.

  • Another accepted meaning is “And those who have believed in Allāh and His messengers – they are the supporters of truth. And the martyrs, with their Lord, will have their reward and their light.”

(MELAYU)

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu orang-orang Shiddiqien dan orang-orang yang menjadi saksi di sisi Tuhan mereka. Bagi mereka pahala dan cahaya mereka. Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ أُولٰئِكَ هُمُ الصِّدّيقونَ

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu orang-orang Shiddiqien

Golongan الصِّدّيقونَ bermaksud mereka yang membenarkan agama. Ia adalah kalimah mubalaghah yang berasal dari ص د ق yang bermaksud ‘membenarkan’. Mereka ini adalah orang yang benar iaitu apa yang mereka cakap dan lakukan adalah sama. Tidaklah cakap di mulut lain tapi di hati lain, seperti orang munafik. Golongan munafik bercakap perkara yang benar, tapi di hati mereka tersimpan sifat yang tidak percaya kepada agama.

Mereka beriman sepenuhnya dengan Allah dan sangat teguh sifat benar mereka. Sangat jujur dan tidak berbohong. Mereka yang sebegini telah diterima iman mereka.

Mereka ini dibandingkan dengan golongan munafik dan lemah iman yang tidak berkhidmat untuk agama dan berinfak untuk agama. Golongan mukmin yang sebenar akan berlumba-lumba untuk berkhidmat kepada agama. Mereka akan ringan tangan untuk mengeluarkan infak.

Bukan sahaja kena beriman dengan Allah tetapi kena beriman dengan Rasul dan bukan Nabi Muhammad sahaja tapi semua Rasul. Sebelum ini telah disebut tentang golongan Ahli Kitab supaya jangan jadi seperti mereka.

Ini adalah kerana masalah dengan Ahli Kitab adalah mereka tidak menerima semua Rasul. Mereka pilih-pilih Rasul yang mereka hendak terima dan mereka tidak menerima kerasulan Nabi Muhammad SAW. Yahudi terima semua Nabi kecuali Nabi Isa dan Nabi Muhammad, sedangkan Nasara terima semua Nabi kecuali Nabi Muhammad.

 

وَالشُّهَداءُ عِندَ رَبِّهِم

dan orang-orang yang menjadi saksi di sisi Tuhan mereka. 

Potongan ayat ini ada dua tafsiran, bergantung samada potongan kalimahوَالشُّهَداءُ ini adalah sambungan dari yang sebelumnya atau permulaan kepada perkara yang baru.

1. Kalau ia adalah sambungan dari potongan sebelumnya, maka ia adalah sambungan kepada sifat orang siddiqeen itu. Mereka bersaksi di atas ketaatan dan keimanan mereka.

Dan mereka juga menjadi saksi kepada umat lain. Mereka akan bersaksi bahawa para Rasul semua sudah menyampaikan ajaran kepada umat mereka; umat mereka sahaja yang tidak mahu terima. Ini seperti yang disebut dalam Hajj:78

وَتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ

dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia

2. Pendapat yang kedua mengatakan ini adalah permulaan ayat yang baru dan ia menceritakan tentang golongan yang diberi kelebihan mati syahid di medan perang. Ini adalah kerana mereka beriman sungguh-sungguh dengan Allah dan para Rasul. Maknanya ayat ini menyebut tentang golongan Siddiqeen dan golongan Syahideen. Dan memang di ayat Nisa:69 pun ada pembahagian ini disebut.

وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا

Dan barang siapa yang menaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. 

Dari sini kita dapat tahu yang ada beza antara dua golongan ini dan golongan siddiqeen itu lebih tinggal dari solongan syahideen.

 

لَهُم أَجرُهُم

Bagi mereka pahala

Mereka akan mendapat balasan pahala dari Allah. Segala amal ibadat dan infak mereka akan dibalas dengan pahala. Pahala itu pula telah disebut sebelum ini: amat banyak dan berganda-ganda dari segi kuantiti dan kualiti.

Seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahihain:

“إِنَّ أَرْوَاحَ الشُّهَدَاءِ فِي حَوَاصِلِ طَيْرٍ خُضْر تَسْرَحُ فِي الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ اطِّلَاعَةً فَقَالَ: مَاذَا تُرِيدُونَ؟ فَقَالُوا: نُحِبُّ أَنْ تَرُدَّنَا إِلَى الدَّارِ الدُّنْيَا فَنُقَاتِلَ فِيكَ فَنَقْتُلَ كَمَا قُتِلنا أَوَّلَ مَرَّةٍ. فَقَالَ إِنِّي قَضَيْتُ أَنَّهُمْ إِلَيْهَا لَا يَرْجِعُونَ”

Sesungguhnya arwah para syuhada berada di dalam perut burung hijau yang terbang bebas di dalam syurga sekehendak hatinya, kemudian hinggap pada lentera-lentera itu. Maka Tuhanmu menjenguk mereka, lalu berfirman, ‘Apakah yang kamu kehendaki?” Mereka menjawab, “Kami menginginkan agar Engkau mengembalikan kami ke dunia, maka kami akan berperang lagi di jalan-Mu sampai gugur sebagaimana keadaan kami yang pertama kali.” Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku telah memutuskan bahawa mereka tidak dapat kembali lagi ke dunia.”

 

وَنورُهُم

dan cahaya mereka.

Dan mereka akan mendapat cahaya yang amat diperlukan di akhirat kelak. Iaitu telah disebut cahaya semasa melintas Titian Sirat. Waktu itu keadaan amat gelap sekali dan semua orang Islam memerlukan cahaya. Semua akan diberi cahaya tetapi cahaya orang munafik akan dimatikan.

 

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, 

Kita telah sebutkan bagaimana iman itu ada dua jenis, dari segi kuantiti dan dari segi kualiti. Ada yang hanya mengucapkan dua kalimah syahadah sahaja dan ada yang memang benar-benar beriman.

Sebagaimana iman ada dua jenis, maka kufur juga ada dua jenis: ada jenis kufur yang jelas kerana kufur itu dilidah di mana orang itu menyatakan kekufurannya. Ini jenis tidak berselindung.

Dan ada pula jenis kufur di hati seperti tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah telah berikan.

Begitu juga takzib (pendustaan) ada dua jenis. Ada yang menolak wahyu dengan menyatakan tidak percaya. Tetapi ada juga yang tidak kata begitu di lidah, tetapi mereka tidak amalkan wahyu maka dari segi praktikal, mereka juga mendustakan wahyu itu. Kerana apabila tidak amalkan wahyu, itu bermakna yang mereka tidak percaya dengan apa yang disampaikan. Memanglah mereka tidak sebut tapi mereka tunjuk dari segi perbuatan dan sikap mereka.

Tafsir ini bersesuaian dengan tema surah ini di mana ia bukan di antara orang Islam dan orang kafir tetapi ianya membincangkan perbezaan antara orang yang muslim sejati dan juga orang Islam yang lemah imannya. Kalau tidak percaya sungguh-sungguh dengan wahyu, maka itu adalah sifat orang kufur dan sifat orang yang takzib.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

mereka itulah penghuni-penghuni neraka.

Maka orang Islam jangan rasa selamat jikalau mereka sudah bernama Islam dan mereka mengamalkan ibadah-ibadah di dalam Islam. Kerana jikalau mereka tidak mengamalkan Islam dengan benar, maka ditakuti mereka termasuk ke dalam golongan munafik dan orang munafik itu akan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang telah disebut-sebut sebelum ini.

Habis Ruku 2 dari 4 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 20: Sekarang Allah beritahu apakah penyebab kepada lemahnya iman. Maka kita kena tengok dengan benar. Allah beritahu yang kebanyakan manusia nak bermain sahaja. Dan kemudian Allah sebut tentang roda kehidupan manusia.

Ini juga adalah sebab infak yang keempat. Iaitu dunia ini tidak kekal.

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا ۖ وَفِي الآخِرَةِ عَذابٌ شَديدٌ وَمَغفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضوٰنٌ ۚ وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا مَتٰعُ الغُرورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Know that the life of this world is but amusement and diversion and adornment and boasting to one another and competition in increase of wealth and children – like the example of a rain whose [resulting] plant growth pleases the tillers; then it dries and you see it turned yellow; then it becomes [scattered] debris. And in the Hereafter is severe punishment and forgiveness from Allāh and approval. And what is the worldly life except the enjoyment of delusion.

(MELAYU)

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

 

اعلَموا

Ketahuilah, 

Orang Islam kena faham perkara yang hendak disampaikan ini. Maka ini mengajar yang kita kena ada ilmu. Nak dapat ilmu kenalah belajar dan luangkan masa.

Apakah penting sangat yang perlu diketahui sampaikan Allah siap suruh kita kena tahu juga perkara ini. Maknanya ia penting sangat.

 

أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ

bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan 

Kalimah dunia dari segi bahasa pun sudah bermaksud ‘rendah’ dan tidak bernilai sebenarnya. Kerana ia tidak bernilai kalau dibandingkan dengan akhirat. Malangnya orang melebihkan dunia dari akhirat walaupun ia rendah.

Walaupun dunia ini rendah, tetapi jikalau kita gunakan apa yang kita ada (seperti harta) untuk infak, maka ia akan menjadi tinggi nilainya dan menjadi harta kita yang kekal.

Allah hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas mereka, kerana mereka hanya hendak bermain saja.

Jadi takkanlah kita nak jadi begitu pula? Adakah kita masih kanak-kanak lagi yang masih tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang insan, sebagai seorang hamba Allah? Kalau kita kata seseorang itu berperangai macam ‘budak-budak’ pun, tentu dia akan marah, bukan? Jadi kena ada kematangan dalam diri kita. Kalau dulu semasa kecil dan membesar dulu, bolehlah kalau bermain-main dalam kehidupan.

 

وَلَهوٌ

dan suatu yang melalaikan,

Dan apabila kanak-kanak itu sudah semakin besar, maka mereka akan berjumpa dengan ‘hiburan’ pula seperti kartun, lagu, dan benda-benda lain. Maknanya mereka sudah naik taraf kepada benda lain yang melalaikan mereka. Permainan pun dah mula jadi mahal. Dulu main pasir sahaja tapi sekarang dah pakai handphone canggih.

Semua itu menjadi perkara yang melalaikan mereka. Asyik tengok handphone sahaja, asyik chatting dengan kawan sahaja, hantar gambar sana sini, tengok game, tengok movie di handphone dan sebagainya. Mereka lalai dari memikirkan tentang akhirat. Lalai dari buat persediaan untuk akhirat, lalai untuk belajar, untuk beramal dan untuk infak.

Dunia ini memang melalaikan dan ini tidak dapat dinafikan. Ada sahaja perkara yang menyebabkan kita akan terpesona. Kalau kita biarkan sahaja fikiran kita ‘dicuri’ oleh dunia, maka kita akan terus lalai dan hanyut. Kita kena sedar sifat dunia yang melalaikan ini supaya kita dapat bersedia dan tidak dihanyutkan olehnya.

 

وَزينَةٌ

dan perhiasan

Dan setelah mereka semakin besar dan dewasa, maka mereka akan risau tentang penampilan diri mereka pula. Maka mereka akan jaga badan dari jadi gemuk dan risau tentang perhiasan dan tentang jenama baju yang mereka pakai. Rambut pun nak kena ada fesyen tertentu. Ramai yang pergi gym kerana nak tunjuk otot-otot yang besar.

Ramai yang pakai tudung tapi bukan tudung biasa, kena berfesyen juga. Bukannya nak tutup aurat tapi nak menarik perhatian lelaki pula.

Maknanya pada peringkat ini, ramai yang sibuk nak jaga imej dan penampilan diri di mata masyarakat. Tak mahu kalah dari segi rumah, kereta, jenama handphone, jam dan sebagainya.

 

وَتَفاخُرٌ بَينَكُم

dan bermegah-megah antara kamu

Dari asal jaga penampilan diri, maka lama kelamaan perasaan itu akan dinaik taraf kepada perasaan ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain apa yang dia ada.

Orang itu akan berbangga dari universiti dia mana belajar, atau di mana dia bekerja. Ke mana dia melancong dan di mana dia selalu lepak. Sudah ada perasaan mahu orang lain nampak apa yang dia ada dan kedudukan dia di mata dunia.

Kalau dia kaya lagi mulalah dia kejar pangkat Datuk, Tan Sri dan sebagainya. Inilah sahaja masanya disibukkan seharian. Nak capai itu dan ini sampaikan tidak buat persediaan untuk menghadapi akhirat.

 

وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ

serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak,

Dan kemudian mereka akan naik taraf lagi untuk mengumpul harta dan juga anak.

Kehidupan mereka akan berlegar-legar di antara harta dan anak dan itulah sahaja yang mereka fikirkan. Mereka kira-kira berapa banyak wang dalam bank, berapa banyak tanah dan rumah yang mereka ada.

Mereka nak banyak anak yang berjaya. Hantar anak ke universiti dalam kursus yang mereka sangka boleh beri kejayaan dunia kepada mereka. Dan kemudian mereka berbangga-bangga di mana anak mereka belajar. Kemudian di mana anak mereka bekerja, kahwin dengan siapa, pangkat apa dalam kerajaan dan macam-macam lagi.

Mereka fikirkan tentang duit tution anak, pakaian anak, kawan-kawan anak, ke mana mereka nak pergi masa cuti sekolah, dan macam-macam lagi.

Sesungguhnya kesimpulan dari kehidupan dunia bagi para pemiliknya adalah hal-hal tersebut, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ}

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). (Ali Imran: 14)

 

كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ

seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; 

Maka itulah sahaja perkara-perkara yang mereka fikirkan. Allah beri perumpamaan kehidupan dunia itu seperti غَيثٍ (hujan yang turun tepat pada masanya). Ini adalah perumpamaan seorang petani.

Hujan itu banyak turun semasa mereka memerlukannya dan akan menakjubkan dan mengembirakan para petani. Kalimah الكُفّارَ dalam ayat ini bermaksud ‘petani’ kerana mereka menanam benih di dalam tanah dan kemudian menutup (kambus) tanah itu.

Bukanlah ia bermaksud ‘orang kafir’ seperti yang kita selalu faham. Orang kafir digelar begitu kerana mereka menutup iman mereka. Tapi asalnya ia digunakan untuk para petani.

Mereka memang memerlukan hujan kerana mereka menuai hanya sekali setahun sahaja dan jikalau hujan tidak ada maka tidak ada hasil pada tahun itu. Kegembiraan para petani ini ditunjukkan di dalam amalan perayaan mereka yang berkenaan dengan tuaian kerana mereka gembira sangat. Kerana itu masyarakat kita ada perayaan ‘Semangat Padi’ dan seumpamanya.

Mereka gembira apabila hujan turun kerana mereka dah hampir nampak apa yang mereka mahukan akan terjadi. Mereka seperti kanak-kanak yang dibawa ke kedai permainan dan dia nampak permainan yang dia mahu. Seperti juga orang muda yang dipanggil untuk temuduga kali kedua. Seperti orang yang hendak membeli rumah dan pinjaman rumahnya diluluskan. Belum dapat lagi hasil tapi bayangnya sudah nampak. Begitulah perumpamaan yang digunakan dalam ayat ini.

 

ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا

kemudian tanaman itu menjadi kering

Kemudian tanaman yang mereka banggakan itu menjadi kuning, tidak seperti yang mereka harapkan. Patutnya jadi hijau tapi jadi layu pula. Dan kalau ia menjadi kuning maka petani itu tidak suka lagi dan tidak akan tuai tanaman itu.

Begitulah manusia dengan keindahan dunia. Suka sangat kepada sesuatu permainan sehinggalah dia nampak permainan lain yang lebih menarik; Pemilik kereta amat sayang kepada keretanya yang hebat, sehinggalah dia tengok kereta yang lebih hebat lagi kereta dia; Pemilik rumah akan berbangga dengan rumahnya sehinggalah dia pergi ke rumah orang lain yang lebih hebat, maka mulalah dia nampak rumah dia hodoh sahaja.

 

ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا

kemudian menjadi hancur. 

Tanaman yang mereka banggakan dan tunggu-tunggu itu jadi hancur. Atau harta yang mereka suka jadi rosak atau hilang.

Demikian jugalah manusia yang pada permulaan usianya dan usia mudanya, dia kelihatan segar, padat, berisi, serta penampilannya hebat. Kemudian secara beransur-ansur mulai menua dan semua wataknya berubah dan merasa kehilangan sebahagian dari kekuatannya. Lalu jadilah dia manusia yang lanjut usia dan lemah kekuatannya, sedikit geraknya dan tidak mampu mengerjakan sedikit pekerjaan pun.

Allah hendak memberitahu yang harta dunia ini tidak kekal. Dunia ini sendiri tidak akan kekal. Maka kalau ada yang meletakkan pengharapan kepada dunia, mereka akan menyesal; kalau terlalu cinta kepada dunia, maka dunia itu pasti akan meninggalkannya, atau dia sendiri akan mati dan meninggalkan harta itu.

 

وَفِي الآخِرَةِ عَذابٌ شَديدٌ

Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras

Dan kalau mereka hanya mementingkan dunia sahaja dan tidak bersedia untuk akhirat dengan iman dan amal, maka mereka akan menerima azab di akhirat kelak.

Kerana kalau tidak mempelajari agama maka tentulah ada amalan yang salah dan fahaman yang salah. Amalan dan fahaman salah akan menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka.

 

وَمَغفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضوٰنٌ

dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. 

Bagi yang boleh taat kepada Allah, Rasul dan agama dan sanggup infak, mereka akan dapat keampunan yang besar dari Allah. Dan keampunan ini amat diperlukan oleh kita kerana kalau tidak, maka kita akan menanggung dosa dan dosa itu kena dicuci di neraka.

Maka ini menyebabkan seorang muslim dimasukkan ke dalam neraka dahulu sebelum dikeluarkan dan dimasukkan pula ke dalam syurga. Tentu kita tidak mahu masuk ke neraka walau sesaat, bukan? Maka kenalah kita ambil perhatian. Selalunya kita kena mengharap kepada pengampunan dosa dari Allah.

 

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا مَتٰعُ الغُرورِ

Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

Allah hendak memberitahu bahawa kehidupan dunia ini tidak akan memuaskan kerana akan ada sahaja kekurangan. Tetapi penghuni syurga akan puas dengan apa yang ada di dalam syurga dan dia tidak akan mahu perkara lain. Kerana tidak ada apa lagi yang dia rasa tidak cukup bila di dalam syurga nanti.

Maka jangan tertipu dan terpedaya dengan dunia kerana dunia hanyalah menipu manusia. Memang di dunia ini kesenangan yang sedikit tapi yang bahayanya kerana ia menipu. Dibentangkan kepada kita dengan segala kesenangan dan nikmat, sampaikan kalau kita tidak berhati-hati kita akan terdaya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Mac 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s