Tafsir Surah Hadid Ayat 27 – 29 (Persamaan Rahib dan Ahli Sufi)

Ayat 27: Ayat ini mengajar kita supaya jangan jadi Rahbaniyah yang seperti Ahli Kitab. Mereka itu ghuluw (berlebihan) dalam satu perkara tetapi mendustakan perkara yang lain. Rahbaniyyah memang bagus, tapi jangan ghuluw.

ثُمَّ قَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِرُسُلِنا وَقَفَّينا بِعيسَى ابنِ مَريَمَ وَءآتَينٰهُ الإِنجيلَ وَجَعَلنا في قُلوبِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ رَأفَةً وَرَحمَةً وَرَهبانِيَّةً ابتَدَعوها ما كَتَبنٰها عَلَيهِم إِلَّا ابتِغاءَ رِضوٰنِ اللهِ فَما رَعَوها حَقَّ رِعايَتِها ۖ فَئآتَينَا الَّذينَ ءآمَنوا مِنهُم أَجرَهُم ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent following their footsteps [i.e., traditions] Our messengers and followed [them] with Jesus, the son of Mary, and gave him the Gospel. And We placed in the hearts of those who followed him compassion and mercy and monasticism, which they innovated; We did not prescribe it for them except [that they did so] seeking the approval of Allāh. But they did not observe it with due observance. So We gave the ones who believed among them their reward, but many of them are defiantly disobedient.

(MELAYU)

Kemudian Kami iringi di belakang mereka dengan rasul-rasul Kami dan Kami iringi (pula) dengan Isa putra Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.

 

ثُمَّ قَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِرُسُلِنا

Kemudian Kami iringi di belakang mereka dengan rasul-rasul Kami

Kalimah ق ف ف  bermaksud ikut dengan rapat di belakang. Maksudnya Allah susuli Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim itu dengan Nabi-nabi yang lain. Memang Bani Israil telah diberikan dengan ramai para Nabi yang tidak terkira banyaknya.

 

وَقَفَّينا بِعيسَى ابنِ مَريَمَ

dan Kami iringi (pula) dengan Isa putra Maryam; 

Salah seorang dari Rasul yang utama adalah Nabi Isa. Baginda disebut secara khusus kerana baginda adalah Rasul utama sebelum Muhammad SAW. Beza baginda dan Nabi Muhammad adalah dalam sekitar 600 tahun. Allah nak tegur pengikut Nabi Isa yang mereka itu memang dekat dengan umat Islam. Memang berkongsi Nabi pun.

 

وَءآتَينٰهُ الإِنجيلَ

dan Kami berikan kepadanya Injil

Nabi Isa a.s. telah diberikan dengan Kitab Injil. Kitab Injil adalah penjelasan tambahan kepada Kitab Taurat. Hukum hakam mereka masih pakai lagi Kitab Taurat tapi ada penambahan dan pembaikan dalam Kitab Injil.

 

وَجَعَلنا في قُلوبِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ رَأفَةً وَرَحمَةً

dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. 

Allah jadikan dalam hati mereka yang percaya kepada Nabi Isa dan Injil dengan perasaan sayang dan kasihan belas sesama mereka. Dan mereka juga agak rapat kepada umat Islam. Mereka ini lebih rapat kepada umat Islam kalau dibandingkan dengan golongan Yahudi. Ini adalah perasaan yang Allah campakkan dalam hati mereka yang ikut Nabi Isa.

Ini adalah pujian bagi golongan Nasrani yang benar. Tentunya yang beriman dengan benar. Sebagai contoh, golongan Hawariyyun yang membantu Nabi Isa dan beriman dengan baginda. Kalau zaman sekarang, belum tentu lagi kerana mereka itu tidak beriman dengan benar.

Atau ia boleh jadi pujian kepada puak Nasrani. Kalimah رَأفَةً dan رَحمَةً mempunyai maksud yang lebih kurang sahaja. Tapi apabila ia diletakkan bersebelahan, maknanya Allah hendak menekankan ada perbezaan yang halus diantara keduanya.

Kalimah رَأفَةً adalah perasaan yang timbul apabila melihat seseorang dalam kesusahan. Orang yang ada رَأفَةً akan senang tersentuh apabila melihat kesedihan dan kesusahan orang lain.

Kalimah رَحمَةً pula kesinambungan dari sifat رَأفَةً tadi. Orang yang ada sifat رَحمَةً akan berusaha untuk beri bantuan, tidaklah dia melihat sahaja.

Mereka yang beragama Kristian memang ada berperasaan begini kerana mereka ini adalah pengikut Nabi Isa dan Nabi Isa memang begitu sifatnya dengan manusia. Maka pengikutnya pun begitu juga. Jadi Allah puji orang Nasrani dalam ayat ini.

 

وَرَهبانِيَّةً ابتَدَعوها

Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah 

Allah menceritakan salah satu dari sifat orang Nasrani ini. Mereka ada satu golongan yang digelar sebagai ‘Rahib’. Rahib adalah pengikut Nabi Isa yang hidup menyendiri dan pakai pakaian yang tidak selesa. Dalam bahasa lain mereka ini dipanggil Monk.

Kalimah رَهبانِيَّةً berasal dari katadasar ر ه ب yang bermaksud ‘takut’. Ini jenis takut Sama ada takut kepada orang lain sampai lari, takut kepada kelemahan diri sendiri, atau takut kepada Tuhan.

Para rahib itu adalah golongan yang menolak dunia. Mereka memilih untuk tidak kahwin, tidak berkawan dengan orang dan mereka menjauhi bermewah dengan dunia. Itulah tiga ciri konsep rahbaniyyah.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk ilmu tajwid untuk maklumat lanjut. Maka ayat ini dibaca: وَرَهبانِيَّتَنِ ابتَدَعوها warahbaaniyyatanibtadauuha. Maksudnya kena ada penambahan huruf ن dalam ayat ini.

 

ما كَتَبنٰها عَلَيهِم

padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka

Konsep rahbaniyyah itu adalah rekaan mereka sahaja dan Allah tidak pernah mengajar dan tidak pernah suruh mereka buat begitu. Mereka sahaja yang memandai reka dan ini adalah amalan bidaah pengikut Nabi Isa.

Mereka tengok Nabi Isa tak berkahwin maka mereka nak ikut keadaan baginda itu. Padahal Nabi Isa tak pernah ajar pun dan hanya suruh mereka ikut apa yang baginda telah lakukan dalam hal agama sahaja. Maka ini adalah hanya dari andaian mereka sahaja. Kalau pun Nabi Isa tidak menikah, tidaklah mereka kena ikut pula.

Ini seperti golongan sufi dan tarekat yang juga kononnya hendak menolak keduniaan. Mereka juga telah reka konsep baru dalam agama Islam yang tidak ada (bidaah). Dan memang ada kajian yang menunjukkan mereka yang memulakan konsep kesufian ini mengambil contoh dari amalan golongan rahib itu.

 

إِلَّا ابتِغاءَ رِضوٰنِ اللهِ

tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah,

Niat mereka memang baik. Ini kerana mereka nak mencari redha Allah untuk beribadat sepenuhnya kepada Allah. Mereka rasa kalau mereka terikat dengan dunia maka itu akan memesongkan mereka dari agama dan Tuhan. Jadi mereka sangka mereka telah ikut Nabi mereka. Tapi sebenarnya apa yang mereka lakukan ini sudah melampau dan sudah termasuk dalam bidaah agama.

Surah ini berkenaan sifat kerohanian dan kita kena ambil contoh sifat kerohanian daripada para sahabat. Mereka menjaga iman mereka dan di dalam masa yang sama mereka memberi manfaat kepada masyarakat. Kalau mereka menyendiri dari masyarakat, bagaimana mereka nak berkhidmat dan membantu beri manfaat kepada masyarakat?

Maka yang diamalkan oleh golongan sufi dan tarekat itu tidaklah dari agama Islam sebenarnya. Mereka itu mengaku sahaja mengamalkan Islam tapi kerana jahil, mereka telah tertipu. Dan ramai dari masyarakat kita pun tertipu dengan perkara ini.

 

فَما رَعَوها حَقَّ رِعايَتِها

lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya.

Mereka konon nak tolak dunia, tapi mereka takkan dapat jaga. Mereka tidak akan berjaya kerana mereka telah reka kehidupan yang menyempitkan dan jiwa mereka sendiri akan menentang mereka. Ini adalah kerana manusia kena berkahwin, berkawan dengan manusia lain dan menggunakan harta. Maka benda-benda itu semua memang diperlukan dan lama-lama mereka akan langgar juga akhirnya.

Kerana kita sebagai manusia tidak boleh menolak fitrah keinginan kita. Sebagaimana kita tidak boleh menolak keinginan untuk makan, maka begitu jugalah dengan yang lain. Kerana itulah kita selalu mendengar banyak kisah paderi Kristian meliwat budak-budak koir mereka kerana memang tidak dapat nak tahan nafsu seks dari dilepaskan.

Kita kena duduk di antara dua keadaan, jangan terlalu lemah dan jangan terlalu ekstrim. Kalau  ini tidak dijaga maka akan ada masalah.

1. Pertama, kalau terlalu lemah, maka hati manusia akan menjadi keras.

2. Dan kalau hanya menjaga iman sendiri iaitu hidup sendiri dan tidak bercampur gaul dengan masyarakat, maka akan ada masalah lain. Golongan rahib itu tolak dunia dan tidak berkahwin. Kononnya mereka kata untuk mendampingkan diri sepenuhnya dengan Tuhan. Sepatutnya mereka bergaul dengan masyarakat dan mendidik masyarakat yang memerlukan bimbingan. Kalau mereka menyendiri dari masyarakat, bagaimana mereka hendak menasihati masyarakat?

Apabila Allah mengatakan perkara ini telah terjadi kepada golongan Kristian itu, maka perkara ini juga ada terjadi kepada orang Islam juga. Iaitu ada golongan yang sibuk dengan berzikir dan meningkatkan kerohanian diri sahaja tetapi tidak berdakwah kepada masyarakat dan tidak membantu mereka dengan tidak mengerjakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Akhirnya masyarakat akan terpesong jauh dari agama.

Walaupun tidak disuruh, tetapi mereka buat juga perkara itu kerana mereka hendak mendapatkan redha Allah. Tetapi mereka tidak berjaya untuk melakukannya. Kerana itulah sejarah dalam gereja amat memalukan kerana merekalah yang meliwat budak-budak muda. Kemudian ada skandal diantara paderi dan biarawanita (nun) mereka.

Mereka tahan diri mereka dari berkahwin tetapi mereka bodoh kerana mereka seolah-olah tidak tahu bahawa nafsu itu bukan boleh ditahan-tahan. Allah berikan nafsu kepada manusia untuk mengadakan hubungan seks, dan ini tidak salah. Cuma ia perlu dilakukan dengan cara yang baik, dengan pernikahan yang benar.

Tetapi golongan Kristian yang bodoh itu terus cuba tutup nafsu dan ia adalah usaha yang tidak akan berjaya. Ia seperti menahan laluan sungai yang laju, tetapi laluan itu tetap juga akan bergerak dan kalau ditahan juga maka ianya akan keluar dengan cara yang salah. Sepertimana sungai itu akan melimpah-limpah keluar ke tebing dan merosakkan tanaman.

Pada waktu mereka mula mengamalkan konsep Rabbaniyyah itu (golongan yang awal) sebenarnya mereka sedang ditindas oleh golongan pemerintah pada waktu itu. Golongan Yahudi yang berkuasa (atau bersekongkol dengan pemerintah) telah mengadu dan menipu kepada pemerintah dengan mengatakan bahawa golongan Nasrani ini hendak mengambil alih kerajaan.

Maka dari hasutan puak Yahudi itu, puak Nasrani ditangkap beramai-ramai. Maka ketika itu untuk menjaga agama mereka maka mereka terpaksa mengasingkan diri ke tempat yang jauh dan tidak bercampur gaul dengan masyarakat.

Jadi mereka yang mula-mula melakukannya ada sebab kenapa mereka melakukannya. Tapi orang-orang kemudian telah meniru perbuatan mereka yang awal itu, walaupun tiada masalah bagi mereka untuk mengamalkan agama dengan bebas selepas itu. Mereka tiru golongan yang awal itu kerana mereka melihat orang-orang yang telah melakukan pengasingan itu mendapat kelebihan-kelebihan tertentu. Mereka seronok beribadat dan mereka sangka begitulah cara terbaik untuk jaga Kitab Injil.

Maka ramai yang ikut tanpa usul periksa. Maka itulah bahaya kalau melakukan sesuatu tanpa melihat kenapakah ianya pertama kali dilakukan. Kerana itu kita selalu tekankan kena ada ilmu dalam melakukan sesuatu. Jangan pakai buat sahaja.

Tapi mereka tak jaga kitab dengan sepatutnya pun. Kerana di dalam Kitab Injil itu pun tidak mengajar untuk mengasingkan diri dan tidak berkahwin. Sebaliknya kitab itu mengajar mereka untuk menyampaikan dakwah agama kepada masyarakat. Tapi malangnya mereka hanya duduk beramal mengasingkan diri sampai mati.

Ada golongan yang salah faham dengan ayat ini. Mereka kata memang Allah suka amalan kerahiban ini, cuma yang salah pada Nasrani itu adalah kerana mereka tidak amalkan sepenuhnya, gagal di tengah jalan.

Ini adalah fahaman yang salah. Yang selalu kata begini adalah golongan sufi tarekat. Kita nak tekankan yang amalan kerahiban ini dan meninggalkan keduniaan seperti yang dilakukan oleh golongan sufi itu tidak ada dalam Islam. Tidak patut ianya dilakukan. Seperti yang disebut dalam hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يعمُر، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ زَيْدٍ العَمِّي، عَنْ أَبِي إِيَاسٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لِكُلِّ نَبِيٍّ رَهْبَانِيَّةٌ، وَرَهْبَانِيَّةُ هَذِهِ الْأُمَّةِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ma’mar telah menceritakan kepada kami Abdullah, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Zaid yang tuna netra, dari Abu Iyas, dari Iyas ibnu Malik, bahawa Nabi Saw. pernah bersabda: Bagi tiap-tiap nabi ada rahbaniyyahnya sendiri dan rahbaniyyah umat ini adalah berjihad di jalan Allah Swt.

Ini mengajar kita bahawa yang perlu kita lakukan adalah berjihad di jalan Allah, bukannya duduk berzikir bersendirian tanpa berkhidmat kepada agama.

Juga Rasulullah telah bersabda:

“لَا تُشَدِّدُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَيُشَدَّدَ عَلَيْكُمْ، فَإِنَّ قَوْمًا شَدَّدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ فَشُدِّدَ عَلَيْهِمْ، فَتِلْكَ بَقَايَاهُمْ فِي الصَّوَامِعِ وَالدِّيَارَاتِ، رَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ”

Janganlah kamu memperberat dirimu sendiri, maka akibatnya kamu akan diperberat. Kerana sesungguhnya pernah ada suatu kaum yang memperberat terhadap dirinya sendiri, maka akibatnya mereka diperberat. Dan itulah sisa-sisa mereka berada di biara-biara dan gereja-gereja; mereka telah mengada-adakan rahbaniyyah, padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka.

 

فَئآتَينَا الَّذينَ ءآمَنوا مِنهُم أَجرَهُم

Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya

Yang buat amalan agama dengan betul, Allah beri pahala mereka. Ini adalah sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul. Maka memang agama Nasara waktu itu adalah agama Islam.

Maka mereka yang ikut ajaran wahyu dengan benar, tidak melakukan syirik, tidak menambah perkara baru dalam agama, tidak menukar kitab wahyu itu, tentu sekali mereka mendapat ganjaran mereka. Maknanya tidaklah mereka itu semuanya salah belaka. Ada juga yang benar dari kalangan mereka.

 

وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.

Tapi yang ikut ajaran yang benar itu bukanlah yang majoriti. Maka kerana itu yang majoriti dari kalangan mereka adalah fasik – terkeluar dari agama yang sebenar.


 

Ayat 28: Ayat targhib (galakan) kepada mengikut ajaran kitab wahyu. Ayat 28 – 29 ini mengajak kita untuk bertaqwa kepada Allah supaya mendapat RahmatNya. RahmatNya tidak mengira bangsa atau keturunan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَءآمِنوا بِرَسولِهِ يُؤتِكُم كِفلَينِ مِن رَّحمَتِهِ وَيَجعَل لَّكُم نورًا تَمشونَ بِهِ وَيَغفِر لَكُم ۚ وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fear Allāh and believe in His Messenger; He will [then] give you a double portion of His mercy and make for you a light by which you will walk and forgive you; and Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَءآمِنوا بِرَسولِهِ

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya,

Wahai yang beriman dengan Nabi Isa, hendaklah kamu sekarang beriman dengan Nabi Muhammad. Berimanlah dengan sebenar-benar iman kepada Allah dan sekarang kena ikut ajaran Nabi Muhammad SAW.

Ada pendapat kedua yang mengatakan khitab ayat ini kepada orang yang sudah Muslim dan mengaku beriman, tapi iman mereka lemah. Mereka diingatkan supaya jangan cakap sahaja beriman tapi tidak beriman dengan sebenarnya.

Allah mengingatkan kita untuk bertaqwa dan takut kepada Allah dan jangan reka cara-cara baru di dalam agama Islam seperti yang telah dilakukan oleh golongan Nasara. Inilah maksudnya ikut dan beriman kepada Rasul. Iaitu ikut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Rekaan cara-cara baru dalam agama itu adalah salah walaupun dibuat kerana niat ikhlas untuk Allah. Niat tidak menghalalkan cara.

Berimanlah dengan Rasul dan ikut syariat agama dan amalan agama yang telah diajar oleh Nabi. Malangnya ramai dari kalangan orang kita perasan mereka beriman, tapi mereka telah reka ajaran baru dalam agama.

Ada yang reka dan ada yang ikut-ikut sahaja tanpa ilmu. Kerana itulah kita hendaklah berdakwah dan mengajak umat Islam kembali kepada ajaran yang tulen. Jangan amalkan amalan bidaah.

 

يُؤتِكُم كِفلَينِ مِن رَّحمَتِهِ

nescaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, 

Jikalau orang Nasara itu mahu beriman kepada Nabi Muhammad maka mereka akan mendapat dua kali ganda pahala. Ini adalah kerana pahala pertama adalah kerana mereka beriman dengan Nabi Isa dan pahala kedua kerana mereka beriman dengan Nabi Muhammad.

Kelebihan ini hanya diberikan kepada golongan ahli kitab sahaja. Kita yang lahir sudah di dalam agama Islam tidak mendapat kelebihan ini. Pendapat ini disokong oleh ayat Qasas:54

أُولٰئِكَ يُؤتَونَ أَجرَهُم مَّرَّتَينِ بِما صَبَروا

Mereka itu diberi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka,

Dan juga ada hadis yang berkenaan perkara ini di mana Rasulullah Saw. pernah bersabda:

” ثَلَاثَةٌ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُمْ مَرَّتَيْنِ: رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمَنَ بِنَبِيِّهِ وَآمَنَ بِي فَلَهُ أَجْرَانِ، وَعَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَدَّى حَقَّ اللَّهِ وَحَقَّ مَوَاليه فَلَهُ أَجْرَانِ، وَرَجُلٌ أَدَّبَ أَمَتَهُ فَأَحْسَنَ تَأْدِيبَهَا ثُمَّ أَعْتَقَهَا وَتَزَوَّجَهَا فَلَهُ أَجْرَانِ”.

tiga macam orang yang mereka diberi pahala dua kali, iaitu seseorang dari Ahli Kitab yang beriman kepada nabinya, lalu beriman pula kepadaku, maka baginya dua pahala. Dan seorang hamba sahaya yang menunaikan hak Allah dan hak majikannya, maka baginya dua pahala. Dan seorang lelaki yang mendidik budak perempuannya dengan pendidikan yang baik, kemudian dia memerdekakannya dan mengahwininya, maka baginya dua pahala.

Kalau kita terima pendapat yang mengatakan khitab ayat ini kepada orang yang sudah Muslim, maka mereka juga dapat dua pahala: pahala pertama kerana telah masuk Islam dan pahala kedua kerana benar-benar beriman dan mengamalkan syariat dengan sebenarnya. Pendapat ini disokong oleh ayat Saba’:37

وَما أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم بِالَّتي تُقَرِّبُكُم عِندَنا زُلفىٰ إِلّا مَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَأُولٰئِكَ لَهُم جَزاءُ الضِّعفِ بِما عَمِلوا وَهُم فِي الغُرُفٰتِ ءآمِنونَ

Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikit pun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal (saleh), mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga). Imam Bukhari dan Imam Muslim telah mengetengahkan pula hadis ini di dalam kitab sahih masing-masing.

Jadi walaupun kedua-duanya kuat dari segi dalil, tapi pendapat yang kedua ini lebih kuat rasanya kerana Surah Hadid ini ditujukan kepada orang Islam sebenarnya. Inilah yang kita lihat dari mula surah ini lagi. Allahu a’lam.

 

وَيَجعَل لَّكُم نورًا تَمشونَ بِهِ

dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan 

Bila beriman, maka Allah janji mereka akan mendapat cahaya petunjuk semasa di dunia. Mereka akan diberi hidayah untuk menjalani kehidupan di dunia. Sebagaimana kita memerlukan cahaya untuk melihat semasa berjalan, maka kita juga memerlukan cahaya wahyu untuk menjalani kehidupan beragama.

Atau, cahaya yang dimaksudkan adalah cahaya di akhirat semasa berjalan di Sirat menuju ke syurga. Ini merujuk kepada ayat 12 di awal surah ini di mana cahaya orang munafik akan dipadamkan dan mereka akan terpinga-pinga. Maka kepada yang beriman sempurna akan diberikan dengan cahaya di akhirat kelak.

Ayat ini mungkin ditujukan kepada golongan Nasrani atau mungkin ianya dalam bentuk umum ditujukan kepada umat akhir zaman iaitu kita semua.

Kalau begitu, kita pun boleh dapat dua jenis rahmat seperti yang disebut dalam ayat ini. Walaupun kita tidak pernah jadi umat Nabi Isa tapi kerana sanggup terima semua Nabi lain, maka Allah bermurah hati beri pahala tambahan kepada kita semua.

 

وَيَغفِر لَكُم

dan Dia mengampuni kamu.

Dan yang lebih penting, Allah akan beri pengampunan dari segala dosa. Ini adalah amat penting kerana kalau tiada dosa, maka akan terus masuk ke dalam syurga. Sebagai manusia tentulah kita ada dosa, maka dosa-dosa yang kita tidak sengaja dan dilakukan sewaktu lemah itu akan diampunkan oleh Allah.

Ini juga termasuk dosa-dosa yang dilakukan semasa jahiliah dulu. (Bukan para sahabat sahaja ada zaman jahiliah mereka, kita pun ada ‘zaman jahiliah’ kita juga, bukan?)

 

وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah Maha Mengampuni. Dan Allah sanggup ampunkan semua dosa orang beriman kerana Allah bersifat رَحيمٌ. Dan seperti kita patut tahu, sifat رَحيمٌ ini hanya diberikan kepada orang yang beriman sahaja di akhirat kelak. Kalau sifat Rahman diberikan kepada semua, sifat رَّحيمٌ hanya kepada umat Islam beriman sahaja.


 

Ayat 29: Ayat ini juga ada beberapa tafsiran.

لِّئَلّا يَعلَمَ أَهلُ الكِتٰبِ أَلّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّن فَضلِ اللهِ ۙ وَأَنَّ الفَضلَ بِيَدِ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[This is] so that the People of the Scripture may know that they are not able [to obtain] anything from the bounty of Allāh¹ and that [all] bounty is in the hand² of Allāh; He gives it to whom He wills. And Allāh is the possessor of great bounty.

  • As long as they refuse to believe in the message of Allāh which was conveyed through Muḥammad (ṣ).
  • See footnote to 2:19.

(MELAYU)

(Kami terangkan yang demikian itu) supaya ahli Kitab mengetahui bahawa mereka tiada mendapat sedikit pun akan kurnia Allah (jika mereka tidak beriman kepada Muhammad), dan bahawasanya kurnia itu adalah di tangan Allah. Dia berikan kurnia itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

 

لِّئَلّا يَعلَمَ أَهلُ الكِتٰبِ

supaya ahli Kitab mengetahui 

Allah telah beritahu yang jikalau bantu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu, pasti Allah akan beri kejayaan. Allah telah beri kekuasaan kepada umat Islam seperti yang telah dijanjikan oleh Rasulullah. Baginda pernah berkata yang kerajaan Rom dan Parsi akan jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun ianya tidak terjadi kepada zaman Rasulullah, tetapi ia telah terjadi pada hayat para sahabat.

Itulah kejayaan yang diberikan kepada umat Islam. Maka ada perkara yang Allah  hendak sampaikan kepada golongan Nasrani. Apakah ia?

 

أَلّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّن فَضلِ اللهِ

bahawa mereka tiada mendapat sedikit pun akan kurnia Allah

1. Ini adalah tafsir pertama, di mana kalimah لا dalam ayat ini dipakai dalam bentu la zaidah (penambahan sahaja). Allah hendak golongan Ahli Kitab memahami bahawa mereka tidak ada kuasa untuk memilih Nabi. Ini adalah kerana golongan Ahli Kitab itu tidak suka apabila Nabi akhir zaman itu diangkat daripada bangsa Arab, bukan daripada bangsa mereka (Bani Israil).

Mereka kena sedar yang mereka tidak ada kuasa memilih dan mempertikaikan pilihan Allah. Allah sudah pilih Nabi Muhammad sebagai Nabi akhir zaman dan bukan Nabi Isa, maka bagindalah yang terbaik dan umat bagindalah yang terbaik. Ini adalah dugaan bagi mereka untuk menerima keputusan dari Allah. Mereka kena sedar kedudukan mereka sebagai hamba.

2. Ayat ini ada juga ditafsirkan secara negatif. Iaitu baca لا itu dengan maksud ‘la haqiqi’: supaya tidak.

Jadi apabila dibaca dengan cara negatif ia bermaksud: supaya orang Kristian itu tahu yang mereka tidak ada lagi harapan untuk mendapat redha Allah. Mereka hanya terpedaya dan perasan sahaja yang mereka hebat tapi perasaan itu sebenarnya tanpa bukti. Ini penyakit syok sendiri.

Mereka sangka mereka itu insan terpilih padahal tiada wahyu yang kata mereka umat akhir zaman dan terpilih dibandingkan dengan umat-umat lain. Maka Allah nak sedarkan mereka dari dilamun perasaan yang tidak benar.

Maka umat Islam jangan peduli kepada mereka. Mereka itu tidak tahu dan perasan sahaja.

3. Ada juga yang mentafsirkan dengan cara yang positif: maksudnya baca لا dalam bentuk positif. Allah hendak memberitahu kepada orang Kristian itu yang mereka ada lagi harapan untuk diterima oleh Allah jikalau mereka masuk ke dalam Islam.

Maka kita sebagai orang Islam kena tunjukkan kebaikan Islam kepada mereka. Kita kena sampaikan ajaran wahyu kepada mereka. Kita kena tunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Kita yang kena beri semangat kepada mereka.

 

وَأَنَّ الفَضلَ بِيَدِ اللهِ

dan bahawasanya kurnia itu adalah di tangan Allah. 

Mereka kena tahu bahawa Allah yang mempunyai banyak lagi kurnia dan Allah yang menentukan siapa yang boleh dapat kurnia itu. Maka apabila Allah lantik Nabi Muhammad sebagai Rasul terakhir, mereka kena terima kerana itu adalah haq Allah untuk pilih sesiapa sahaja.

Dan sampaikan wahyu kepada mereka supaya mereka tahu yang kurnia itu semuanya di tangan Allah. Maka kena berharap kepada Allah. Kalau tidak taat kepada Allah, bagaimana nak berharap kepada kurnia Allah?

 

يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

Dia berikan kurnia itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Allah yang mempunyai haq untuk menentukan siapakah yang dapat status kenabian dan kerasulan. Dulu Musyrikin Mekah tidak dapat terima Nabi Muhammad sebagai Nabi. Kemudian di Madinah, baginda juga tidak diterima oleh golongan Ahli Kitab juga.

Golongan Musyrikin Mekah pelik kenapa manusia di kalangan mereka yang dapat wahyu sedangkan Muhammad itu bukannya kaya dan berpengaruh.

Ahli Kitab pula tidak dapat terima Nabi Muhammad sebagai Nabi kerana baginda dari keturunan Arab dan bukan dari bangsa mereka.

 

وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah ada banyak kurnia lagi yang boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Tapi untuk mendapat kurnia Allah, kenalah berharap dan taat kepada Allah. Barulah ada peluang untuk dapat kurnia dari Allah.

AKHIR JUZ 27.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Mujaadilah.

Tarikh: 12 Mac 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 24 – 26 (Guna besi untuk perang)

Ayat 24: Allah sambung cerita sifat orang yang khayal dan sombong itu. Ayat ini menyuruh kita pelihara diri daripada sifat bakhil. Hati kita ini kalau tak dilatih untuk menjadi murah hati untuk keluarkan infak, maka hati itu akan terus jadi kedekut.

Ini kerana kedekut adalah sifat manusia. Lihatlah kanak-kanak kita, memang asal sifat mereka adalah kedekut. Mereka takkan nak bagi barang permainan mereka berkongsi dengan orang lain. Jadi memang sifat manusia itu telah diisi dengan sifat kedekut sebenarnya. Kita yang kena ubah sifat semulajadi itu. Kena latih dan ajar anak kita dan diri kita untuk jadi pemurah.

Maka untuk galakkan diri senang beri infak, sebenarnya kena ada latihan. Ianya bukan datang sendiri dan tidaklah boleh tunggu sifat itu datang. Kalau tunggu, memang tidak datang. Maka kena ikhtiar dapatkan sifat pemurah ini.

Kalau tak latih, maka akan terus bakhil sampai bila-bila. Sifat bakhil itu kalau teruk sangat, barang yang tiada harga pun boleh kedekut nak bagi kepada orang padahal benda itu dia sendiri pun tak pakai.

الَّذينَ يَبخَلونَ وَيَأمُرونَ النّاسَ بِالبُخلِ ۗ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Those] who are stingy and enjoin upon people stinginess. And whoever turns away¹ – then indeed, Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

  • Refusing to spend for Allāh’s cause or refusing obedience to Him.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang kikir dan menyuruh manusia berbuat kikir. Dan barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah) maka sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

الَّذينَ يَبخَلونَ

orang-orang yang kikir 

Surah ini sudah menyebut tentang infak sebelum ini. Sekarang disebut bagaimana pula dengan mereka yang tidak mahu mengeluarkan harta dan usaha mereka ke arah Islam. Mereka itu dinamakan sebagai ‘bakhil’.

Asalnya bakhil ini adalah kerana ‘cinta dunia’. Dan sebelum ini telah disebut tentang tipuan dunia. Maka Allah latih dengan wajibkan bayar zakat. Sedekah adalah sunat, tapi zakat itu adalah wajib yang tidak dapat tidak, perlu dilakukan. Bila sudah biasa keluarkan zakat yang wajib, maka senanglah ringan tangan untuk keluarkan sedekah dan infak pula. Inilah latihan yang dimaksudkan.

Kemudian kita kena berlatih sendiri untuk mula beri sedikit demi sedikit. Saya teringat kisah seorang yang letak banyak gula-gula dalam poket dia dan beri kepada sesiapa yang dia jumpa. Dia kata itulah latihan dia nak jadi seorang yang pemurah. Biasakan beri yang kecil-kecil, dan upgrade kepada perkara yang lebih berharga.

Dalam ayat sebelum ini disebut tentang orang yang bangga diri. Salah satu sebab yang menjadikan seseorang itu bangga adalah kerana kekayaannya. Maka orang-orang yang sebegitu tentulah tidak mahu mengeluarkan harta dunia kerana ia akan merasa diri dia rendah kalau hartanya kurang.

Jadi dia akan berusaha nak tambah harta dia bagi lagi banyak dan tidak akan suka kalau melakukan sesuatu yang menyebabkan kurang hartanya. Maka orang yang sebegini ada masalah dengan hati dia. Dia kena didik hati dia balik jadi lembut untuk memberi. Dia kena sedar hakikat dunia dan hakikat harta yang tidak kekal.

 

وَيَأمُرونَ النّاسَ بِالبُخلِ

dan menyuruh manusia berbuat kikir.

Bukan sahaja mereka bakhil tetapi mereka juga mengajak orang lain jadi bakhil juga. Kenapa pula begitu? Kenapa tak bakhil sendirian sahaja?

Ini adalah kerana jikalau semua orang lain mengeluarkan harta pada jalan agama dan mereka sahaja yang tidak melakukannya maka tentulah mereka malu. Tentulah nampak mereka lain dari orang lain.

Maka mereka akan membisikkan kepada orang lain supaya jangan sedekah. Supaya tidaklah nampak mereka sahaja yang tidak sedekah. Mereka akan bagi hujah yang mereka kena simpan wang untuk masa susah, simpan untuk anak di masa hadapan dan macam-macam lagi alasan.

Dia sendiri memang tidak akan keluarkan infak tapi sekarang dia ajak orang lain pun jangan infak dengan beri hujah-hujah sebegitu. Dia bagi orang terfikir dua kali untuk infak kerana takut susah, takut anak susah, takut dengan keadaan ekonomi di masa hadapan dan lain-lain lagi.

Jadi ayat ini adalah tanda orang munafik: Mereka sendiri memang sudah bakhil dan simpan harta mereka dari beri kepada orang lain; dan mereka juga akan mengajak orang lain pun jadi bakhil. Maka janganlah kita ada sifat ini dalam diri kita.

Dan dengan cara ini juga kita dapat kenal siapakah golongan munafik itu. Ini kerana kita tidak dapat baca hati manusia. Kita tidak tahu dengan tepat siapakah yang munafik tapi kita hanya boleh tahu dengan sifat-sifat mereka seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Ini kerana kalau kita lihat ada sesiapa yang ada sifat munafik dalam diri dia, maka kita kena berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu bahaya.

Mereka akan melemahkan umat Islam dari dalam kalau tidak dikenali. Maka kita kena dakwah kepada dia dan ajak dia ke arah pelajaran wahyu. Kena jelaskan kepadanya tentang infak, tentang harta, dan tentang dunia.

 

وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

Dan barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah) maka sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Dan kalau ada manusia yang kedekut dan tidak mahu mengeluarkan harta mereka ke arah kebaikan, maka Allah beritahu yang Dia tidak memerlukan harta mereka. Ini adalah kerana Allah Maha Kaya dan Allah tidak memerlukan sesiapa pun. Allah juga tidak perlu kepada ibadah kita, tidak perlu kepada harta kita dan infak kita. Segala ibadah dan infak kita adalah untuk diri kita sendiri.

Allah juga tidak perlu kepada pujian kita kerana dia sudah Maha Terpuji. Sama ada ada yang puji Allah atau tidak, Allah tetap terpuji. Tapi bila kita puji Allah, maka Allah amat suka dan balas dengan kebaikan.

Habis bahagian pertama iaitu tentang infak. Selepas ini akan masuk tentang jihad pula.


 

Ayat 25: Kita sekarang masuk ke Bahagian Kedua surah ini. Ayat 25 – 29 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir. Ia mengajar kita untuk menegakkan keadilan.

Kita akan berbincang tentang jihad dan susah payah perjuangan untuk menegakkan tauhid. Ia adalah proses yang bermula dari susah payah belajar tauhid dan kemudian tabligh (sampaikan) kepada orang lain. Kemuncaknya adalah apabila jihad qital (jihad perang).

Oleh itu kita kena faham yang jihad itu ada yang bil lisaan (dengan lisan kata-kata) atau bil sinaan (dengan senjata). Maka jangan sempitkan maksud jihad itu kepada perang sahaja. Maknanya, semua orang boleh berjihad sebenarnya, iaitu dengan jihad lisan.

Tapi jangan pula dimatikan konsep jihad perang ini. Kerana jihad ini penting kerana kalau tidak bersedia untuk jihad dan menghadapi susah payah, ditakuti ada sifat munafik dalam diri. Dan memang golongan munafik tidak suka menyertai jihad, sama ada lisan ataupun qital.

Maka kena ada niat untuk menyertai peperangan apabila ianya diperlukan. Memang sekarang tengah tidak ada jihad, tapi kena sematkan niat dalam hati kita untuk berjihad jika perlu. Sekarang memang tidak ada jihad lagi kerana masa tidak sesuai atau belum sampai lagi, tapi niat kena ada.

Jadi sekarang kita akan sentuh ayat-ayat tentang jihad. Surah Hadid ini mula menyentuh tentang jihad kerana ianya diturunkan di awal waktu Madaniyyah dan klimaks tentang perang nanti disentuh dalam Surah Tawbah yang memang ianya surah tentang perang.

Dalam ayat 25 & 26 ini memberitahu kita yang Kitab Al-Qur’an ini diturunkan supaya isinya dapat dijadikan neraca keadilan.

لَقَد أَرسَلنا رُسُلَنا بِالبَيِّنٰتِ وَأَنزَلنا مَعَهُمُ الكِتٰبَ وَالميزانَ لِيَقومَ النّاسُ بِالقِسطِ ۖ وَأَنزَلنَا الحَديدَ فيهِ بَأسٌ شَديدٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَلِيَعلَمَ اللهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالغَيبِ ۚ إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have already sent Our messengers with clear evidences and sent down with them the Scripture and the balance that the people may maintain [their affairs] in justice. And We sent down iron, wherein is great military might and benefits for the people, and so that Allāh may make evident those who support Him and His messengers unseen. Indeed, Allāh is Powerful and Exalted in Might.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

 

لَقَد أَرسَلنا رُسُلَنا بِالبَيِّنٰتِ

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata

Allah yang mengangkat para Rasul sepanjang zaman untuk membawa risalah dari Allah. Rasul dibekalkan dengan bukti-bukti nyata iaitu dalam bentuk wahyu dan mukjizat.

Mereka kena sampaikan wahyu kepada manusia dan disebarkan kepada umat. Dan kerana perkara yang mereka sampaikan itu adalah perkara besar, maka mereka juga dibekalkan dengan mukjizat-mukjizat sebagai bukti yang mereka itu memang Nabi dan Rasul.

Nabi-nabi adalah pejuang maka kena lihat kepada mereka dan jadikan mereka sebagai contoh. Kerana itu ada banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang perjalanan hidup mereka dan perjuangan mereka. Banyak yang kita boleh belajar dari kisah mereka. Kisah mereka disentuh secara ringkas sahaja dalam Al-Qur’an dan ditambah dengan hadis-hadis Nabi dan huraian dari para ulama’.

 

وَأَنزَلنا مَعَهُمُ الكِتٰبَ

dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab

Kalimah ‘al-kitab’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hukum-hukum agama’. Tidaklah semua para Nabi dapat kitab wahyu tapi mereka ada bawa hukum yang disampaikan kepada umat. Dan para Nabi dan Rasul pasti akan menegakkan hukum Allah. Mereka mengajar apakah kehendak Allah kepada kita dan bagaimana cara kita menjalani kehidupan kita semasa di dunia.

Allah yang menjadikan kita, maka Allah tahu bagaimana kita patut hidup. Hukum-hukum yang Allah tetapkan kepada kita adalah untuk kebaikan kita. Bukanlah hukum itu untuk menyusahkan kita, tapi sebenarnya untuk menyenangkan kita. Kerana kalau tiada hukum, maka porak perandalah manusia kerana manusia tidak akan tahu bagaimana hendak menjalani kehidupan dan bermasyarakat dengan baik.

 

وَالميزانَ

dan neraca 

Dan kalimah ‘mizan’ membawa maksud ‘neraca keadilan’. Ia adalah tafsir kepada al-kitab. Kerana al-kitab adalah hukum dan hukum itu adalah untuk menegakkan keadilan.

Kerana dalam wahyu ada mizan yang mengajar kita prinsip-prinsip keadilan. Untuk menegakkan keadilan di atas muka bumi ini kita kena rujuk kepada wahyu yang Allah sampaikan kerana kalau tidak, kita tidak akan tahu kerana akal kita tidak akan dapat mencapai tahap keadilan yang dikehendaki.

Dan keadilan ini amat penting terutama sekali menegakkan keadilan ‘kalimah tauhid’. Itulah keadilan yang utama kita kena tegakkan. Kerana kalau kita sembah dan mengabdikan diri kepada selain Allah, itu adalah ketidakadilan peringkat tertinggi.

Juga mizan boleh bermaksud sebagai ‘penilai’ antara benar dan salah; antara syirik dan tauhid. Dengan adanya mizan ini kita boleh buat keputusan diantara pilihan yang ada (baik atau buruk). Maka barulah kita tahu manakah cara dan jalan yang patut diikuti.

 

لِيَقومَ النّاسُ بِالقِسطِ

supaya manusia dapat menegakkan keadilan.

Kedua-dua perkara di atas (al-kitab dan al-mizan) kena ada di dalam masyarakat yang aman. Maka keadilan tidak akan wujud kalau masyarakat itu tidak berpegang kepada agama iaitu berpegang kepada al-kitab. Kerana mereka yang berpegang kepada agama sahaja yang sanggup untuk menegakkan keadilan.

Ini kerana mereka takut kepada Allah dan apa yang Allah akan lakukan kepada mereka kalau mereka tidak menegakkan keadilan. Kalau setakat takut kepada manusia sahaja, tidak cukup.

Ayat ini memberitahu kita yang kita bukan sahaja membawa kebenaran dalam amalan individu tapi dalam hal masyarakat majmuk pula. Maka jangan nak selamatkan diri sahaja dan melakukan ibadat berseorangan sahaja, tapi kita hendaklah bermasyarakat dengan cara yang adil.

 

وَأَنزَلنَا الحَديدَ

Dan Kami ciptakan besi 

Allah bukan sahaja menurunkan wahyu tetapi Allah beritahu yang Dia juga yang ‘menurunkan’ besi. ‘Turun’ dalam ayat ini bermaksud ‘menjadikan’. Kerana besi itu adalah nikmat dan nikmat itu ‘diturunkan’ dari Allah. Semua nikmat dari Allah. Dan ini juga seperti yang Allah sebut dalam Zumar:6

وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ الأَنعٰمِ ثَمٰنِيَةَ أَزوٰجٍ ۚ 

dan Dia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan ekor

Sebenarnya, penggunaan kalimah ‘diturunkan’ juga adalah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an yang hanya diketahui apabila kajian moden semakin mendalam. Ini adalah kerana memang besi itu bukannya dari bumi tapi memang diturunkan dari langit. Ini boleh dibaca dalam http://www.miracles-of-quran.com/iron.htm

Jadi ini adalah satu lagi bukti kehebatan Al-Qur’an yang disahkan oleh penemuan sains. Kerana perkara sebeginilah yang menyebabkan ramai ahli sains dan mereka yang membuka hati mereka kepada kebenaran telah masuk ke dalam agama Islam.

Ia juga adalah bukti kebenaran Al-Qur’an. Apa sahaja yang disampaikan di dalamnya adalah kebenaran. Kerana lebih kurang 80% dari maklumat sains yang disampaikan di dalam Al-Qur’an adalah 100% benar, maka ini sudah cukup tinggi untuk menjadi dalil bahawa keseluruhan Al-Qur’an itu benar.

Ini kerana yang tidak dapat disahkan adalah perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, jin, malaikat dan seumpamanya. Akan tetapi, kalau perkara yang dapat dibuktikan dengan sains semuanya benar, takkan yang 20% lagi itu tidak benar, bukan?

Kenapa pula besi tiba-tiba ada di dalam hal agama?

 

فيهِ بَأسٌ شَديدٌ

yang padanya terdapat kekuatan yang hebat

Ianya adalah satu kekuatan yang sangat hebat terutama sekali kepada para pejuang jihad. Ia digunakan untuk pertahanan diri dan alat senjata untuk berjihad. Umat Islam kena gunakan dalam jihad.

Ini juga adalah dalil mukjizat Al-Qur’an. Kerana ia memang logam yang mempunyai ikatan yang paling kuat dalam dunia. Ini boleh dibaca pada http://www.miracles-of-quran.com/iron.htm.

Besi memberi isyarat kepada peperangan. Kerana untuk menegakkan keadilan di Tanah Arab itu Rasulullah perlu berperang untuk mencapai keadilan. Kerana itu besi itu adalah hadiah dari Allah untuk dibuat pedang, tombak dan juga perisai.

Semuanya itu digunakan untuk sebagai alat perang. Dan kita telah beritahu sebelum ini bahawa Surah Hadid bahagian kedua ini adalah tentang jihad dan sekarang sudah diberi isyarat tentang jihad dengan menyebut besi.

Dan memang baginda kena gunakan peperangan untuk menegakkan keadilan dan mendirikan negara Islam. Kerana baginda mesti menunjukkan satu contoh bagaimana keadilan itu dipraktikkan di dalam negara Islam yang aman. Kerana jikalau ia tidak ditunjukkan maka keadilan itu hanya menjadi satu idea sahaja dan Al-Qur’an ini juga menjadi satu kitab teori sahaja.

وَقَدْ رَوَى الْإِمَامُ أَحْمَدُ وَأَبُو دَاوُدَ، مِنْ حَدِيثِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ ثَابِتِ بْنِ ثَوْبَانَ، عَنْ حَسَّانَ بْنِ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي الْمُنِيبِ الْجُرَشِيِّ الشَّامِيِّ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “بُعِثتُ بِالسَّيْفِ بَيْنَ يَدَي السَّاعَةِ حَتَّى يُعبَد اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وجُعِل رِزْقِي تَحْتَ ظِلّ رُمْحي، وَجَعَلَ الذِّلَّةُ والصِّغار عَلَى مَنْ خَالَفَ أَمْرِي، وَمَنْ تَشبَّه بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ”

Imam Ahmad telah meriwayatkan —juga Abu Daud— melalui hadis Abdur Rahman ibnu Sabit ibnu Sauban, dari Hasan ibnu Atiyyah, dari Abul Munib Al-Jarasyi Asy-Syami, dari Ibnu Umar yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Aku diutus dengan membawa pedang sebelum hari kiamat, hingga hanya Allah semata sajalah yang disembah tiada sekutu bagi-Nya. Dan Allah menjadikan rezekiku berada di bawah bayangan tombakku, dan menjadikan kehinaan dan kerendahan bagi orang yang menentang perintahku; dan barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari mereka.

Maknanya untuk menegakkan keadilan di muka bumi kena ada kuasa pemerintahan untuk menegakkan undang-undang dan menghukum mereka yang tidak ikut undang-undang. Dan kadangkala untuk mendapatkan kuasa memerintah ini memerlukan peperangan.

 

وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ

dan berbagai manfaat bagi manusia, 

Dan besi itu juga boleh digunakan untuk buat barang-barang yang lain dan bukan sahaja senjata. Kita pun memang pakai besi dalam banyak kehidupan kita. Kerana besi itu dapat dijadikan sebagai guna untuk pekerjaan manusia seperti cangkul, kapak, gergaji, pahat, alat untuk membajak tanah, dan peralatan lainnya yang digunakan untuk keperluan pertanian, pertukangan serta alat-alat lainnya yang diperlukan oleh manusia.

Ini mengajar kita yang alat peperangan itu hanya dibuat jikalau ada perang dan juga waktu aman, kita gunakan teknologi dan material yang ada untuk kegunaan dalam kehidupan yang lain.

Masalah terjadi apabila industri yang buat alat peperangan ini hendak terus menjadi kaya raya. Mereka mendapat keuntungan yang gila-gila kerana peperangan dan kerana itu mereka telah menyebabkan ada keperluan kepada peralatan perang.

Dan apa yang terjadi apabila perang tiada? Apabila perang tiada maka perniagaan mereka terbantut dan mereka tidak mendapat kekayaan lagi. Jadi syarikat industri peperangan ini melobi supaya perang berterusan dan supaya ada keperluan kepada industri mereka yang telah menjadikan mereka kaya raya.

Maka kerana itu perang nampaknya tidak berhenti-henti kerana syarikat gergasi yang menggunakan kuasa lobi mereka supaya perang di dunia ini berterusan. Mereka mengadu domba para pemimpin dan rakyat yang mudah terpengaruh supaya bibit-bibit perang tercetus. Maka tempat yang aman mereka telah kacau supaya perang terjadi di situ.

 

وَلِيَعلَمَ اللهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالغَيبِ

dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. 

Jihad menjadi kayu pengukur kepada iman umat Islam. Apabila para sahabat berdiri di sebelah Nabi untuk berperang menegakkan agama, mereka itu bukan sahaja beriman dengan Allah dan Nabi Muhammad tetapi mereka juga beriman dengan para rasul yang sudah tidak ada iaitu mereka itu ghaib (kerana sudah tidak ada lagi). Kerana mereka percaya dengan ajaran para rasul itu yang tugas mereka menegakkan agama sama ada dengan cara aman ataupun dengan cara perang.

Oleh itu, Allah nak zahirkan siapa yang sanggup bantu Allah dengan guna besi. Allah sudah tahu siapa yang akan bantu kerana Allah tahu isihati manusia. Cuma Allah nak zahirkan sahaja kepada umat Islam yang lain. Allah nak zahirkan siapakah yang akan bantu rasul.

Kerana itu kalau nak tahu siapakah orang munafik, tanda mereka adalah mereka tidak akan sanggup untuk berjihad. Mereka akan cari alasan untuk tidak berjihad. Kerana sifat mereka memang malas susah dan takut mati.

 

إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa. Walaupun ayat ini menyebut tentang besi dan alat peperangan tetapi yang sebenar-benar berkuasa hanyalah Allah. Berperang itu hanyalah sebagai alat untuk mencapai kemenangan sahaja tetapi kemenangan yang sebenarnya diberikan oleh Allah.

Allah sendiri tidak perlukan besi dan peperangan untuk menegakkan agama kerana Allah boleh sebarkan agama begitu sahaja. Allah boleh sahaja buka hati semua manusia untuk menerima Islam. Tapi Allah beri peluang kepada kita untuk berdakwah kepada yang belum Muslim. Maka Allah cipta besi supaya manusia boleh gunakan untuk tegakkan agama.

Allah tidak perlukan pertolongan kita untuk menegakkan agamaNya. Allah boleh sahaja ubah hati manusia untuk terima hidayah begitu sahaja. Tapi Allah beri peluang kepada Rasul dan manusia untuk berjuang menegakkan agamaNya. Maka dengan berjuang itu manusia dapat peluang untuk mengumpul pahala dengan banyak.

Maka kena faham dengan ayat ini. Jangan jadi orang sesat yang menggunakan ayat ini untuk azimat pula. Kerana ada fahaman yang kata, bila beli kereta kena baca ayat ini pada air dan curahkan air itu pada kereta kerana kereta itu akan terjaga kerana kereta itu dijadikan dari besi. Memang mengarut fahaman manusia kalau tidak belajar wahyu dengan benar.

Habis Ruku 3 dari 4 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 26: Dalam ayat sebelum ini telah disebut Rasul secara ijmali (umum) sahaja. Sekarang disebut secara tafsili (khusus) di mana disebut nama beberapa Rasul.

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا وَإِبرٰهيمَ وَجَعَلنا في ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالكِتٰبَ ۖ فَمِنهُم مُّهتَدٍ ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already sent Noah and Abraham and placed in their descendants prophethood and scripture; and among them is he who is guided, but many of them are defiantly disobedient.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya kenabian dan Al Kitab, maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan banyak di antara mereka fasik.

 

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا وَإِبرٰهيمَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim

Selepas disebut tentang rasul-rasul secara umum, maka sekarang disebut dua Rasul yang penting. Mereka ini menjadi contoh pejuang dalam agama. Kena baca kisah mereka dalam Al-Qur’an dan dalam hadis. Jadikan perjuangan mereka sebagai motivasi kepada kita.

 

وَجَعَلنا في ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالكِتٰبَ

dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya kenabian dan Al Kitab, 

Dua Rasul ini amat besar kepada manusia kerana dari keturunan mereka keluar keturunan manusia dan banyak para nabi.

Selepas banjir besar keturunan manusia bermula dan bersambung dari Nabi Nuh sahaja kerana tidak ada manusia lahir yang dari zuriat yang lain. Maka kita ini semua adalah zuriat Nabi Nuh dan kerana itu Nabi Nuh digelar ‘Adam Kedua’.

Dari keturunan baginda iaitu Sam bin Nuh (kemudian menjadi golongan semitic) adalah Nabi Ibrahim dan dari keturunan baginda lahirnya keturunan para Rasul yang banyak.

 

فَمِنهُم مُّهتَدٍ

maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk

Ada dari kalangan umat-umat mereka yang terpimpin dan ikut kebenaran dan menerima wahyu. Tapi segelintir sahaja.

 

وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

dan banyak di antara mereka fasik.

‘Fasik’ di dalam ayat ini bermaksud ‘kafir’. Ini yang ramai (majoriti) dari kalangan keturunan mereka yang memilih jalan sesat. Walaupun mereka itu keturunan Nabi, tapi tetap mereka itu lari jauh dari ajaran wahyu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 Mac 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 21 – 23 (Kenapa Allah beri musibah kepada kita?)

Ayat 21: Sebelum ini telah disebut tentang penyakit dunia dan sekarang Allah beri ubat kepada penyakit dunia itu. Ayat 21 – 24 adalah Perenggan Makro Keempat di mana Allah menganjurkan kita untuk segera melakukan kebajikan. Dalam ayat 21 ini Allah suruh kita segera mohon keampunan dan syurga.

سابِقوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُها كَعَرضِ السَّماءِ وَالأَرضِ أُعِدَّت لِلَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ ۚ ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Race [i.e., compete] toward forgiveness from your Lord and a Garden whose width is like the width of the heavens and earth, prepared for those who believed in Allāh and His messengers. That is the bounty of Allāh which He gives to whom He wills, and Allāh is the possessor of great bounty.

(MELAYU)

Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

 

سابِقوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم

Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu

Kita semua haruslah berlumba-lumba untuk mendapatkan akhirat. Inilah sifat ahli syurga. Mereka bersungguh-sungguh di dalam beramal dan membuat persediaan untuk akhirat. Mereka ingin maju di hadapan dalam hal agama dan tidak berasa cukup dengan apa yang telah mereka lakukan. Mereka akan mencuba untuk memperbaiki amalan mereka dan sentiasa menambah ilmu mereka.

Salah satu amalan yang sangat dianjurkan untuk berlumba adalah dalam perkara infak. Ini kerana telah disebut yang kalau berinfak, akan mendapat pengampunan dari Allah, bukan? Oleh sebab itu kalau tahu ada orang lain yang memberi, maka kita harus mempunyai sifat untuk mahu memberi dengan lebih banyak lagi. Tentunya haruslah mengikut kemampuan kita juga. Tapi keinginan itu mestilah ada.

Berhentilah daripada berlumba-lumba dengan manusia lain dalam pengumpulan harta, pengumpulan anak, kejayaan dan perkara-perkara lain. Sebaliknya berlumba-lumbalah untuk mendapatkan pengampunan dan keredhaan dari Allah. Berlumba-lumbalah dalam memberi infak yang lebih.

Dan memang para sahabat berlumba-lumba di dalam hal agama dan mengumpul pahala, sebagaimana yang telah dikemukakan dalam hadis sahih yang menyebutkan:

أَنَّ فُقَرَاءَ الْمُهَاجِرِينَ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثور بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَى وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ. قَالَ: “وَمَا ذَاكَ؟ “. قَالُوا: يُصلُّون كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ وَلَا نَتَصَدَّقُ، ويُعتقون وَلَا نُعْتِق. قَالَ: “أَفَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ سَبَقْتُمْ مَنْ بَعْدَكُمْ، وَلَا يَكُونُ أَحَدٌ أَفْضَلَ مِنْكُمْ إِلَّا مَنْ صَنَعَ مِثْلَ مَا صَنَعْتُمْ: تُسَبِّحُونَ وَتُكَبِّرُونَ وَتَحْمَدُونَ دُبُر كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ”. قَالَ: فَرَجَعُوا فَقَالُوا: سَمِعَ إِخْوَانُنَا أَهْلُ الْأَمْوَالِ مَا فَعَلْنَا، فَفَعَلُوا مِثْلَهُ! فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يؤتيه من يشاء”
bahawa orang-orang fakir dari kalangan muhajirin berkata, “Wahai Rasulullah, orang-orang yang hartawan telah memborong semua pahala dan derajat yang tinggi serta kenikmatan yang abadi.” Rasulullah Saw. bertanya, “Mengapa demikian?” Mereka menjawab, “Mereka salat seperti kami salat, dan mereka puasa seperti kami puasa. Mereka berzakat, sedangkan kami tidak dapat berzakat. Mereka memerdekakan budak, sedangkan kami tidak dapat memerdekakan budak.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: Mahukah kalian kutunjukkan kepada suatu hal yang apabila kalian mengerjakannya dapat mendahului orang-orang yang sesudah kalian, dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan hal yang sama dengan kalian. Iaitu hendaknya kalian bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap selesai dari salat kalian sebanyak tiga puluh tiga kali. Tetapi tidak berapa lama mereka kembali lagi kepada Rasulullah Saw. dan berkata, “Saudara-saudara kami yang hartawan telah mendengar apa yang kami kerjakan, lalu mereka mengerjakan hal yang semisal dengan kami.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: Itu merupakan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

 

وَجَنَّةٍ عَرضُها كَعَرضِ السَّماءِ وَالأَرضِ

dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, 

Kejar pengampunan dari Allah dan juga kena kejar syurga. Dalam ayat sebelum ini Allah menyebut tentang manusia yang mengejar-ngejar kehidupan dunia. Allah hendak memberitahu di dalam ayat ini bahawa sepatutnya manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan syurga di akhirat. Kerana syurga itu kekal dan lebih hebat daripada dunia yang fana ini.

Di dalam surah sebelum ini telah disebut golongan yang mula-mula beriman dan beramal soleh, maka mereka diberikan dengan kelebihan yang amat tinggi dan sekarang Allah memberitahu apa yang mereka akan dapat lagi, iaitu syurga yang kekal abadi.

Iaitu mereka akan diberi dengan taman-taman syurga. Taman disebut sebab sebelum ini telah disebut tentang petani (yang suka apabila hujan turun). Kemudian Allah sebut tentang kebesaran syurga itu untuk menarik minta kita yang membaca Al-Qur’an ini. Lebar syurga itu sangat luas.

Orang Arab tahu langit dan bumi sahaja jadi Allah gunakan langit dan bumi sebagai perumpamaan kepada isyarat luasnya syurga itu. Ia kerana nak beri isyarat kepada mereka supaya mereka boleh faham. Tentulah kita tidak tahu keluasan syurga yang tepat.

Dari ayat ini ia memberi isyarat yang keseluruhan syurga itu nanti seluas langit dan bumi dan mungkin lebih luas lagi. Dan keseluruhan syurga itu tempat ahli syurga. Dia boleh pergi ke mana-mana sahaja dia pergi. Macam sekarang, kalau kita nak pergi ke bulan pun sikit punya susah. Tapi nanti di akhirat ahli syurga boleh pergi ke mana-mana dia nak pergi.

 

أُعِدَّت لِلَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ

yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya.

Syurga itu memang telah ada dan sekarang sedang menunggu tuannya untuk masuk. Ini adalah dalil bahawa syurga itu memang telah ada bukan baru nak buat selepas Kiamat nanti.

Bagaimanakah cara untuk kita dapat masuk ke dalam syurga? Satu fahaman orang Islam adalah jikalau kita buat A, kemudian B, dan C, maka kita akan dapat masuk ke dalam syurga. Ini cara amal secara kuantitatif sahaja. Tapi surah ini tentang amalan kualitatif iaitu amalan yang berkualiti dari kita.

Kita jangan lihat secara kuantitatif sahaja. Sepertimana kalau kita hendak menjadi warganegara sesuatu negara maka kita kena lakukan beberapa perkara tertentu dan tinggalkan beberapa perkara. Iaitu kena taat kepada undang-undang negara. Tapi tidaklah itu bermaksud kita menjadi warganegara yang berkhidmat kepada masyarakat. Islam tidak mahu kita buat ‘cukup-cukup makan’, kerana Allah mahu kita buat lebih lagi.

Islam tidak mahu kita hanya menyelamatkan diri kita sahaja tetapi kita hendaklah berkhidmat kepada masyarakat dan memudahkan kehidupan orang lain juga. Kalau kita lihat kisah-kisah para rasul di dalam Al-Qur’an, kita boleh lihat mereka itu bukan sahaja mengajak manusia kepada Allah dan juga menyembah Allah tetapi mereka juga menegur tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat mereka di dalam hal keduniaan.

Ini seperti Nabi Syu’aib yang menegur cara perniagaan kaum baginda dan juga Nabi Luth yang menegur amalan homoseksual umatnya. Dan Nabi Musa pula menegur tentang keburukan perhambaan. Maksudnya, mereka juga melihat kepada realiti kehidupan masyarakat yang kena dibaiki. Mereka bukan nak lepaskan diri mereka sahaja, tapi mereka mahu masyarakat juga selamat.

Dan agama Islam adalah agama yang lengkap yang bukan hanya menyebut tentang Tuhan tetapi juga memberi kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat. Maka kita kena sampaikan ajaran agama ini supaya ianya boleh diterapkan di dalam segenap kehidupan manusia. Kerana ianya memang boleh memberi kebaikan kepada semua.

Jadi walaupun ayat ini menyebut tentang iman kepada Allah dan Rasul, kita tetap kena lihat lebih dari itu lagi. Kerana makna beriman dengan Allah dan Rasul itu amat luas. Jangan sangka “aku sudah beriman”, itu sudah cukup. Kena buat kerja. Kena jadi khalifah di dunia.

 

ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ

Itulah kurnia Allah, 

Dan kalau kita jalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi maka Allah akan beri kurniaan yang amat luas.

Kalimah فَضلُ bermaksud pemberian balasan yang lebih dari yang sepatutnya. Memang Allah akan beri berlebih-lebih. Bayangkan kita sekejap sahaja beramal dan berkhidmat di dunia, tapi Allah balas dengan syurga yang berkekalan.

 

يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Allah yang pilih siapa yang akan mendapat kurniaan yang besar itu. Tapi pemberian Allah berdasarkan siapa yang hendak. Jadi kena ada kehendak dalam diri manusia itu dulu. Bila sudah ada kehendak, maka dia akan jalankan kerja dan kerana usahanya itu, Allah balas dengan beri Rahmat yang besar.

 

وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Dan Allah mampu untuk beri balasan rahmat yang amat besar. Tuhan yang menjadikan alam ini tentu mempunyai kemampuan untuk beri segala yang dijanjikanNya. Semua janji dalam Al-Qur’an ini bukan janji kosong. Ianya pasti akan ditepati.


 

Ayat 22: Ini adalah sebab infak yang ke-lima. Semasa harta itu ada di tangan kamu, maka hendaklah kamu infaqkan kerana jika tidak, ia akan musnah begitu sahaja.

Kerana yang akan terjadi adalah salah satu daripada dua: sama ada harta itu musnah dahulu ataupun kamu dulu yang musnah kerana mati.

Semasa di dunia kita akan menerima musibah. Musibah itu pasti akan kena kepada kita, sama ada dalam bentuk hukuman atau dalam bentuk ujian. Cuma kita kena ingat yang di sebalik musibah itu boleh jadi ada pahala. Maka ayat 22 & 23 ini mengajak kita bersabar atas kerugian harta dan nyawa.

Kenapa disebut tentang musibah dalam ayat tentang infak? Kerana infak ada sedikit musibah kerana harta akan berkurang tapi ini adalah ujian. Tapi tetap ada pahala di sebaliknya kerana Allah akan ganti balik sekurang-kurangnya 10 kali ganda. Asalkan kita redha dengan ujian itu.

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ فِي الأَرضِ وَلا في أَنفُسِكُم إِلّا في كِتٰبٍ مِّن قَبلِ أَن نَّبرَأَها ۚ إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No disaster strikes upon the earth or among yourselves except that it is in a register¹ before We bring it into being – indeed that, for Allāh, is easy –

  • i.e., the Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth).

(MELAYU)

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

 

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ فِي الأَرضِ

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi

Oleh kerana surah ini berkenaan infak, maka kita tafsir musibah ini pertamanya dalam bentuk infak harta. Ramai yang tidak mahu infak harta kerana mereka takut harta berkurang. Pada mereka, kurang harta itu adalah musibah. Maka Allah nak ingatkan yang jangan takut dengan musibah kurang harta.

Jangan takut untuk keluarkan infak kerana kita telah belajar yang kalau harta itu musnah sebelum kita sempat untuk keluarkan infak maka kita telah hilang peluang untuk menjadikan ianya sebagai harta kita yang kekal.

Musibah itu juga ada dalam bentuk yang lain. Dan kalau kita sudah berusaha untuk menegakkan agama Allah ini maka kita akan menemui beberapa masalah dan gangguan. Maka Allah sentuh tentang perkara itu di dalam ayat ini.

‘Musibah’ daripada segi bahasa bermaksud anak panah yang tepat kena sasarannya. Jadi musibah itu bermaksud sesuatu yang memang telah ditentukan oleh Allah akan kena kepada kita. Ianya bukanlah sesuatu yang tidak sengaja tetapi apa yang Allah telah takdirkan. Memang kita tidak akan dapat elak. Maka kerana redha sahaja.

 

وَلا في أَنفُسِكُم

dan (tidak pula) pada dirimu sendiri 

Musibah itu boleh jadi pada luaran atau pada tubuh badan kita sendiri. Ianya telah ditentukan oleh Allah.

Kepada diri itu adalah musibah berupa rasa sakit dan penyakit. Qatadah mengatakan: telah diceritakan kepada kami bahawa tiada seorang pun yang terkena luka kerana batang dan tidak pula musibah yang menimpa telapak kaki (tertusuk duri) dan tidak pula terkilirnya urat, melainkan kerana perbuatan dosa (yang bersangkutan), dan apa yang dimaafkan oleh Allah darinya adalah lebih banyak.

Maka musibah yang Allah kenakan kepada kita itu memang Allah telah takdirkan jadi kita kena terima dan redha yang ia menjadi ujian bagi kita. Mungkin ia adalah kifarah kepada dosa yang kita telah lakukan. Dan kalau kita berjaya melepasi ujian dan musibah itu maka ia akan menjadi pahala tambahan kepada kita.

 

إِلّا في كِتٰبٍ مِّن قَبلِ أَن نَّبرَأَها

melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya.

Yakni ia telah sedia tertulis sebelum Allah ciptakan manusia dan makhluk lainnya. Sebelum Allah keluarkan ke alam nyata, takdir telah ditentukan. Ini kerana kalimah نبرأ adalah dari katadasar ب ر أ yang bermaksud menjadi nyata, penciptaan, pengeluaran, pembentukan.

Sebahagian ulama tafsir mengatakan bahawa dhamir yang terdapat pada lafaz nabra-aha merujuk kepada nufus (yakni anfusikum – diri kamu). Sebelum kamu nafs kita dijadikan, telah ditentukan dari dahulu lagi.

Menurut pendapat yang lain, ia kembali kepada musibah. Musibah itu memang telah ditakdirkan akan terjadi. Tetapi pendapat yang terbaik ialah yang mengatakan ia kembali kepada makhluk dan manusia, kerana konteks pembicaraan berkaitan dengannya. Sebelum Allah jadikan manusia, Allah sudah tentukan nasib dia.

Mana-mana musibah pun sudah ada dalam ilmu Allah. Allah yang tentukan ia akan terjadi. Jangan kita mempersoalkan kenapa Allah beri musibah kepada kita. Kita sebagai seorang mukmin kena terima ketentuan dari Allah. Inilah baru dipanggil sebagai hamba yang sejati.

Dan kalau kita dapat terima perkara ini, Allah akan jadikan kita seorang yang ada personaliti yang kukuh. Apa-apa sahaja yang terjadi, kita dapat terima dan tidak mengeluh. Bila tidak mengeluh maka kita sentiasa memandang ke hadapan dan tidaklah kita asyik bertanya: “kenapalah musibah ini terjadi kepada aku?”. Sebaliknya kita redha dan ambil pengajaran dari apa yang terjadi.

 

إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Allah mudah sahaja nak jadikan apa-apa sahaja dan kenakan apa-apa musibah kepada manusia. Allah telah tetapkan qadha’ itu 50 ribu tahun sebelum Allah menjadikan alam ini termasuk kita, seperti yang disebut dalam hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ، حَدَّثَنَا حَيْوَةُ وَابْنُ لَهِيعة قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو هَانِئٍ الْخَوْلَانِيُّ: أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ الحُبُلي يَقُولُ: سَمِعْتُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمرو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “قدَّر الله المقادير قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Abdur Rahman, telah menceritakan kepada kami Haiwah dan Ibnu Lahi’ah. Keduanya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Hani’ Al-Khaulani, bahawa dia pernah mendengar Abu Abdur Rahman Al-Habli mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Amr ibnul As mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Allah telah menetapkan ukuran-ukuran (semua makhluk-Nya) sebelum menciptakan langit dan bumi dalam jarak lima puluh ribu tahun. Imam Muslim meriwayatkannya di dalam kitab sahihnya melalui hadis Abdullah ibnu Wahb dan Haiwah ibnu Syuraih dan Nafi’ ibnu Yazid, ketiganya dari Abu Hani’ dengan sanad yang sama.

Bukannya Allah kenakan musibah dan ujian kepada kita kerana Dia benci kepada kita. Allah beri musibah sama ada antara dua perkara:

1. Nak beri peringatan kepada kita kerana ada kesalahan yang kita telah lakukan. Maka ini adalah peringatan yang baik kerana kalau tidak ada peringatan, kita lagi hanyut.

2. Sebagai peluang untuk dapat pahala. Kerana dengan ada musibah dan kita redha dan sabar dengan musibah itu, maka kita akan dapat pahala. Ini adalah pahala ‘bonus’. Kerana tidak perlu buat apa-apa sudah dapat pahala. Dengan sabar sahaja dah dapat pahala, bukan?


 

Ayat 23: Jadi kita sudah membincangkan bab takdir. Mungkin timbul soalan: kenapa Allah ceritakan tentang takdir? Ianya adalah perkara ghaib dan hanya Allah sahaja yang tahu. Maka Allah beritahu hikmah musibah itu, Allah sahaja tahu takdirnya dan kenapa ia dijadikan, dan kita tidak tahu. Dan sekarang Allah sebut tentang pemberitahuan itu secara umum.

لِّكَيلا تَأسَوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا تَفرَحوا بِما ءآتٰكُم ۗ وَاللهُ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In order that you not despair over what has eluded you and not exult [in pride] over what He has given you. And Allāh does not like everyone self-deluded and boastful –

(MELAYU)

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,

 

لِّكَيلا تَأسَوا عَلىٰ ما فاتَكُم

supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu,

Tujuan Allah memberi musibah kepada kita adalah supaya kita menjadi orang yang tetap teguh dan tidak terkesan sangat dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita boleh tenang-tenang sahaja dengan apa yang terjadi kepada kita.

Pada masa ayat ini diturunkan, keadaan umat Islam waktu itu masih lagi lemah dan memerlukan pengorbanan dari semua umat Islam. Mereka masih lagi berperang menentang kufar. Mereka masih lagi dilanda bahaya diserang pada bila-bila masa oleh musuh, bukan sahaja dari Musyrikin Mekah tapi juga dari sekitar tanah Arab yang berpihak kepada Mekah. Musuh juga berseteru dengan pihak musuh dalaman seperti Yahudi dan Nasara yang tidak menyukai umat Islam.

Maka tentulah umat Islam waktu itu lelah dan rasa, tidakkah Allah mahu membantu mereka? Allah beritahu yang bukannya Allah tidak tahu apa yang mereka lalui, tapi semua itu adalah ujian dari Allah untuk memberi kekuatan dan ketabahan kepada mereka.

Oleh itu jikalau kita dikenakan dengan sesuatu perkara yang malang, maka kita tidaklah bersedih sangat. Kerana kita sudah tahu yang itu adalah suratan takdir dari Allah yang Allah telah tentukan dari dulu lagi. Kita sebut inna lillah sahaja dan kerana itu kita akan dapat pahala kerana kita serahkan urusan kita kepada Allah.

Maksud inna lillah adalah ‘kita ini milik Allah’ belaka. Dan bila kita milik Allah, Allah boleh buat apa sahaja kepada kita. Macam kita ada harta, maka ikut kitalah nak buat apa dengan harta itu, bukan?

Maka kalau kita terima kita adalah hamba dan milik Allah, maka mudah untuk kita terima apa sahaja yang dikenakan kepada kita. Inilah ‘maqam hamba’ (peringkat hamba) yang patut kita sematkan dalam diri kita. Kena sedar yang kita ini hamba dan Allah itu Tuhan. Jangan nak mempersoalkan apa yang Allah buat kepada kita.

Bukan para sahabat sahaja yang kena ujian, kita pun kena uji sentiasa dalam segala usaha kita. Jangan kita rasa putus asa atau lemah semangat dan bersedih kalau apa yang kita usahakan tidak terjadi.

Sebagai contoh, kita mungkin berusaha nak bina masjid untuk kegunaan masyarakat tapi tidak berjaya kerana dihalang Majlis Daerah. Kalau kita kuat dan sedar yang kita sudah usaha sebaik mungkin untuk Allah, apa yang tidak menjadi tidaklah menyedihkan kita sangat. Janganlah kita persoalkan: “kenapalah Allah tak benarkan aku buat masjid ni, bukankah ia benda baik?”

Kenalah terima yang projek buat masjid itu bukanlah keseluruhan Islam tapi salah satu cara sahaja untuk menegakkan agama. Walaupun masjid itu tidak berjaya dibina, tapi iman kita tetap ada. Bila kita faham perkara ini, tidaklah kita putus semangat untuk terus berusaha lagi. Kita boleh terus buat benda lain pula. Allah tak takdirkan kita berjaya dalam perkara ini, maka kita usaha bab lain.

Sebagai contoh lagi, katakanlah pergerakan dakwah kita ada masalah. Mulanya baik-baik sahaja, tapi lama kelamaan ada masalah kerana syaitan sudah cucuk jarum bagi ahli dalam persatuan berkelahi sesama sendiri. Jangan pula kita putus semangat nak menyertai persatuan dakwah yang lain.

Maknanya, jangan kerana satu usaha tidak berjaya, kita terus tidak mahu terlibat lagi. Itu putus semangat dan putus asa namanya dan ini adalah bisikan dari syaitan. Ini adalah fahaman yang salah dan maknanya dia telah terkesan dengan keadaan dan tidak tahu maksud ayat ini.

 

وَلا تَفرَحوا بِما ءآتٰكُم

dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. 

Dan di sebaliknya pula, Allah hendak mengingatkan kita supaya jangan bergembira sangat jikalau kita berjaya menjalankan projek kita. Kerana kejayaan projek itu bukanlah bermaksud yang kita sendiri sudah selamat kerana iman kita itu tidak bersangkutan dengan projek itu sahaja. Allah sudah takdirkan pun yang ia akan berjaya dan beri peluang kepada kita untuk terlibat sahaja dapat pahala kerana kita ada usaha.

Memang kita ada usaha, tapi kita jangan gembira sangat atau bangga sampai kata kerana kitalah usaha itu berjaya. Kerana segala apa yang terjadi adalah atas kehendak dan kebenaran Allah. Kalau Allah tak benarkan dan tak tolong kita, usaha itu tidak akan berjaya. Maka kalau berjaya, maka kita kena pulangkan balik kepada Allah. Kita kena kata: “alhamdulillah, Allah takdirkan usaha ini berjaya… semua ini adalah izinNya juga…”.

Allah nak ingatkan kita yang kita ini semua dalam takluk Dia dan usaha kita tidak memberi bekas melainkan dengan izinNya. Maka kerana itu sekali sekala Allah beri kejayaan dan sekali sekala Allah beri kesusahan kepada kita. Untuk ingatkan perkara ini. Ini supaya kita tidaklah terlalu terkesan dengan apa yang berlaku. Apa sahaja yang berlaku, kita tetap ingat kepada Allah.

Kalaulah semua usaha kita berjaya, tentu kita akan rasa kita ada kuasa pula untuk menjadikan apa sahaja dan lupa takdir Allah; dan kalau Allah beri kegagalan sahaja, tentu kita akan rasa malas nak buat apa-apa lagi dan takut nak berusaha. Maka sekali sekala Allah beri kejayaan dan sekali sekala Allah beri kegagalan.

Formulanya adalah: Kita kena ada dua: sabar dan syukur. Jadi ingat SS ini. Kehidupan kita adalah di antara dua perkara ini sahaja. Terapkan dua konsep ini dalam kehidupan kita seharian.

Bila tidak berjaya: sabar
Bila berjaya: syukur

 

وَاللهُ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,

Kalimah مُختالٍ dari katadasar خ ي ل dan dari katadasar yang sama, jadi kalimah ‘khayal’ yang kita semua faham rasanya. Allah tak suka mereka yang khayal dengan diri mereka yang dipanggil mukhtal. Iaitu mereka yang sangka diri mereka hebat, sedangkan itu adalah khayal dan perasan sahaja.

Maka itulah yang terjadi kalau tidak berhati-hati dengan hati kita. Katakanlah sebagai contoh ada projek dan usaha dakwah yang berjaya, mungkin ada yang cakap dalam hati dia: “sebab akulah yang buat, maka kerana itulah projek dakwah kita terjadi”. Mereka sangka sebab merekalah yang sesuatu projek agama itu berjaya. Itu khayalan sahaja.

Mereka rasa mereka hebat dan kerana itu masjid itu terdiri, madrasah itu berjalan, street dakwah itu berjalan, ramai orang masuk Islam kerana dia, dan lain-lain lagi. Mereka khayal dan sombong dengan kelebihan dalaman. Mereka lupa yang perkara itu berjaya kerana Allah yang beri berjaya.

Kalimah فَخورٍ dari katadasar ف خ ر yang bermaksud bangga diri dan rasa diri hebat. Kalau مُختالٍ itu bermaksud berbangga dengan ‘kelebihan dalaman’, kalimah فَخورٍ pula bermaksud berbangga dengan ‘kelebihan luaran’. Sebagai contoh, kalau bangga dengan rupa paras, ini termasuk فَخورٍ. Ini termasuk berbangga dengan apa yang kita miliki seperti rumah dan kereta.

Kedua-dua sifat مُختالٍ dan فَخورٍ adalah ujian kepada manusia. Memang perasaan itu datang sendiri tanpa kita usaha pun, tanpa kita paksa. Ia datang sendiri tapi bila ia datang, kita kenalah tolak. Ini biasa sahaja kerana memang hamba sentiasa dalam ujian. Dan salah satu ujian yang berat adalah apabila datang perasaan-perasaan sebegini.

Kedua-dua kalimah مُختالٍ dan فَخورٍ  itu bermaksud berbangga, tetapi satu berbangga dengan kelebihan yang ada pada diri dan keduanya berbangga dengan perkara luaran yang didapati daripada ikhtiar. Kalau kita sudah tahu tentang perkara ini, maka senanglah kita nak perasan bila ia datang (dan tidak perasan). Kalau kita tidak kenal yang susah. Sebab itu kita kena kenal musuh kita kerana kalau tak kenal yang susah nak tolak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 Mac 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 19 – 20 (Penipuan dunia)

Ayat 19:

وَالَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ أُولٰئِكَ هُمُ الصِّدّيقونَ ۖ وَالشُّهَداءُ عِندَ رَبِّهِم لَهُم أَجرُهُم وَنورُهُم ۖ وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who have believed in Allāh and His messengers – those are [in the ranks of] the supporters of truth and the martyrs, with their Lord. For them is their reward and their light.¹ But those who have disbelieved and denied Our verses – those are the companions of Hellfire.

  • Another accepted meaning is “And those who have believed in Allāh and His messengers – they are the supporters of truth. And the martyrs, with their Lord, will have their reward and their light.”

(MELAYU)

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu orang-orang Shiddiqien dan orang-orang yang menjadi saksi di sisi Tuhan mereka. Bagi mereka pahala dan cahaya mereka. Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ أُولٰئِكَ هُمُ الصِّدّيقونَ

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu orang-orang Shiddiqien

Golongan الصِّدّيقونَ bermaksud mereka yang ‘membenarkan agama’. Ia adalah kalimah mubalaghah (bersangatan) yang berasal dari ص د ق yang bermaksud ‘membenarkan’. Kebenaran yang Allah sampaikan, mereka terima dan mereka amalkan. Kerana itu Abu Bakr digelar As-Siddiq kerana beliau membenarkan segala apa yang disampaikan oleh Rasulullah.

Sifat mereka juga ‘benar’ iaitu apa yang mereka cakap dan lakukan adalah sama. Tidaklah cakap di mulut lain tapi di hati lain dan perbuatan pula lain, seperti orang munafik. Golongan munafik bercakap perkara yang benar, tapi di hati mereka tersimpan sifat yang tidak percaya kepada agama.

Mereka yang siddiq itu beriman sepenuhnya dengan Allah dan sangat teguh sifat benar mereka. Mereka sangat jujur dan tidak berbohong. Mereka yang sebegini telah diterima iman mereka. Mereka telah berada pada tingkat iman yang tinggi.

Mereka ini dibandingkan dengan golongan munafik dan lemah iman yang tidak berkhidmat untuk agama dan berinfak untuk agama. Golongan mukmin yang sebenar akan berlumba-lumba untuk berkhidmat kepada agama. Mereka akan ringan tangan untuk mengeluarkan infak.

Bukan sahaja kena beriman dengan Allah tetapi kena beriman dengan Rasul dan bukan Nabi Muhammad sahaja tapi semua Rasul. Sebelum ini telah disebut tentang golongan Ahli Kitab supaya jangan jadi seperti mereka. Ini adalah kerana masalah dengan Ahli Kitab adalah mereka tidak menerima semua Rasul. Mereka pilih-pilih Rasul yang mereka hendak terima dan mereka tidak menerima kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Sebagai contoh, Yahudi terima semua Nabi kecuali Nabi Isa dan Nabi Muhammad, sedangkan Nasara terima semua Nabi kecuali Nabi Muhammad. Maka beriman dengan para Rasul itu adalah membenarkan kerasulan mereka. Jangan dibeza-bezakan antara mereka. Iaitu tanpa tafriq seperti yang disebut dalam Baqarah:285.

وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya

 

وَالشُّهَداءُ عِندَ رَبِّهِم

dan orang-orang yang menjadi saksi di sisi Tuhan mereka. 

Potongan ayat ini ada dua tafsiran, bergantung sama ada potongan kalimah الشُّهَداءُ ini adalah sambungan dari yang sebelumnya atau permulaan kepada perkara yang baru.

1. Kalau ia adalah sambungan dari potongan sebelumnya, maka ia adalah sambungan kepada sifat orang siddiqeen itu. Mereka bersaksi di atas ketaatan dan keimanan mereka.

Dan mereka juga menjadi saksi kepada umat lain. Mereka akan bersaksi bahawa para Rasul semua sudah menyampaikan ajaran kepada umat mereka; umat mereka sahaja yang tidak mahu terima. Ini seperti yang disebut dalam Hajj:78

وَتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ

dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia

2. Pendapat yang kedua mengatakan ini adalah permulaan ayat yang baru dan ia menceritakan tentang golongan yang diberi kelebihan mati syahid di medan perang. Ini adalah kerana mereka beriman sungguh-sungguh dengan Allah dan para Rasul. Ini pun sesuai juga kerana surah ini memang berkenaan jihad juga.

Maknanya ayat ini menyebut tentang golongan Siddiqeen dan golongan Syahideen. Dan memang di ayat Nisa:69 pun ada pembahagian ini disebut.

وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا

Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. 

Dari sini kita dapat tahu yang ada beza antara dua golongan ini dan golongan siddiqeen itu lebih tinggal dari solongan syahideen.

 

لَهُم أَجرُهُم

Bagi mereka pahala mereka

Mereka yang siddiq dan syahid itu akan mendapat balasan pahala dari Allah. Segala amal ibadat dan infak mereka akan dibalas dengan pahala. Pahala itu pula telah disebut sebelum ini: amat banyak dan berganda-ganda dari segi kuantiti dan kualiti.

Seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahihain:

“إِنَّ أَرْوَاحَ الشُّهَدَاءِ فِي حَوَاصِلِ طَيْرٍ خُضْر تَسْرَحُ فِي الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ اطِّلَاعَةً فَقَالَ: مَاذَا تُرِيدُونَ؟ فَقَالُوا: نُحِبُّ أَنْ تَرُدَّنَا إِلَى الدَّارِ الدُّنْيَا فَنُقَاتِلَ فِيكَ فَنَقْتُلَ كَمَا قُتِلنا أَوَّلَ مَرَّةٍ. فَقَالَ إِنِّي قَضَيْتُ أَنَّهُمْ إِلَيْهَا لَا يَرْجِعُونَ”

Sesungguhnya arwah para syuhada’ berada di dalam perut burung hijau yang terbang bebas di dalam syurga sekehendak hatinya, kemudian hinggap pada lentera-lentera itu. Maka Tuhanmu menjenguk mereka, lalu berfirman, ‘Apakah yang kamu kehendaki?” Mereka menjawab, “Kami menginginkan agar Engkau mengembalikan kami ke dunia, maka kami akan berperang lagi di jalan-Mu sampai gugur sebagaimana keadaan kami yang pertama kali.” Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku telah memutuskan bahawa mereka tidak dapat kembali lagi ke dunia.”

 

وَنورُهُم

dan cahaya mereka.

Dan mereka akan mendapat cahaya yang amat diperlukan di akhirat kelak. Iaitu telah disebut cahaya semasa melintas Titian Sirat. Iaitu cahaya di hadapan mereka dan di kanan mereka. Waktu itu keadaan amat gelap sekali dan semua orang memerlukan cahaya. Semua Muslim akan diberi cahaya tetapi cahaya orang munafik akan dimatikan.

 

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Dan orang-orang yang kufur dan mendustakan ayat-ayat Kami, 

Kita telah sebutkan bagaimana iman itu ada dua jenis, dari segi kuantiti dan dari segi kualiti. Ada yang hanya mengucapkan dua kalimah syahadah sahaja dan ada yang memang benar-benar beriman.

Sebagaimana iman ada dua jenis, maka kufur juga ada dua jenis: ada jenis kufur yang jelas kerana kufur itu di lidah di mana orang itu menyatakan kekufurannya. Ini jenis tidak berselindung.

Dan ada pula jenis kufur di hati seperti tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah telah berikan.

Begitu juga takzib (pendustaan) ada dua jenis. Ada yang menolak wahyu dengan menyatakan tidak percaya. Tetapi ada juga yang tidak kata begitu di lidah, tetapi mereka tidak amalkan wahyu, maka dari segi praktikal, mereka juga mendustakan wahyu itu. Kerana apabila tidak amalkan wahyu, itu bermakna yang mereka tidak percaya dengan apa yang disampaikan. Memanglah mereka tidak sebut tapi mereka tunjuk dari segi perbuatan dan sikap mereka.

Tafsir ini bersesuaian dengan tema surah ini di mana ia bukan di antara orang Islam dan orang kafir tetapi ianya membincangkan perbezaan antara orang yang Muslim sejati dan juga orang Islam yang lemah imannya (ini adalah sifat munafik). Kalau tidak percaya sungguh-sungguh dengan wahyu, maka itu adalah sifat orang kufur dan sifat orang yang takzib.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

mereka itulah penghuni-penghuni neraka.

Maka orang Islam jangan rasa selamat jikalau mereka sudah bernama Muslim dan mereka mengamalkan ibadah-ibadah di dalam Islam. Kerana jikalau mereka tidak mengamalkan Islam dengan benar, maka ditakuti mereka termasuk ke dalam golongan munafik dan orang munafik itu akan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang telah disebut-sebut sebelum ini.

Dan kalau kesalahan dosa itu adalah dosa syirik, maka kalau pun orang itu Muslim, dia akan tetap juga kekal dalam neraka. Kerana dosa syirik tidak ada ampunnya. Maka ini amat menakutkan. Kalaulah kita tidak belajar ilmu wahyu, maka kita tidak tahu mana yang tauhid dan mana yang syirik. Bukannya orang itu sengaja hendak melakukan perkara syirik tapi dia lakukan kerana jahil agama dan jahil wahyu.

Habis Ruku 2 dari 4 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 20: Sekarang Allah beritahu apakah penyebab kepada lemahnya iman. Iaitu kerana tertipu dengan keindahan dunia.

Maka kita kena tengok dengan betul-betul. Allah beritahu yang kebanyakan manusia nak bermain-main sahaja di dunia ini. Dan kemudian Allah sebut tentang roda kehidupan manusia. Dalam ayat ini Allah memberitahu hakikat dunia dan akhirat.

Ini juga adalah sebab infak yang keempat. Iaitu dunia ini tidak kekal. Maka tidak perlu nak berlebih sangat dengan dunia. Maka untuk kekalkan harta kita, maka hendaklah kita infak di jalan Allah.

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا ۖ وَفِي الآخِرَةِ عَذابٌ شَديدٌ وَمَغفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضوٰنٌ ۚ وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا مَتٰعُ الغُرورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Know that the life of this world is but amusement and diversion and adornment and boasting to one another and competition in increase of wealth and children – like the example of a rain whose [resulting] plant growth pleases the tillers; then it dries and you see it turned yellow; then it becomes [scattered] debris. And in the Hereafter is severe punishment and forgiveness from Allāh and approval. And what is the worldly life except the enjoyment of delusion.

(MELAYU)

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

 

اعلَموا

Ketahuilah, 

Orang Islam kena faham perkara yang hendak disampaikan ini. Maka ini mengajar yang kita kena ada ilmu. Nak dapat ilmu kenalah belajar dan luangkan masa. Ilmu tidak datang sendiri melainkan kena ada usaha untuk mendapatkannya. Tidaklah berzikir berjam-jam sepanjang hari seperti yang dilakukan oleh golongan tarekat yang telah ditipu.

Apakah penting sangat yang perlu diketahui sampaikan Allah siap suruh kita kena tahu juga perkara ini. Selalunya Allah terus beritahu sahaja, bukan? Maknanya ia penting sangat.

 

أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ

bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan 

Kalimah ‘dunia’ dari segi bahasa pun sudah bermaksud ‘rendah’ dan tidak bernilai sebenarnya. Kerana ia tidak bernilai kalau dibandingkan dengan akhirat. Malangnya manusia melebihkan dunia dari akhirat walaupun ia rendah.

Walaupun dunia ini rendah, tetapi jikalau kita gunakan apa yang kita ada (seperti harta) untuk infak, maka ia akan menjadi tinggi nilainya dan menjadi harta kita yang kekal.

Allah hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain saja. Dan yang kanak-kanak itu beriya-iya sangat main permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja, bukan? Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?

Jadi takkanlah kita nak jadi macam kanak-kanak pula? Adakah kita masih kanak-kanak lagi yang masih tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang insan, sebagai seorang hamba Allah? Kalau kita kata seseorang itu berperangai macam ‘budak-budak’ pun, tentu dia akan marah, bukan?

Jadi kena ada kematangan dalam diri kita. Kalau dulu semasa kecil dan membesar dulu, bolehlah kalau bermain-main dalam kehidupan. Tapi orang dewasa sepatutnya tahu tugas dan tanggungjawabnya di dunia ini sebagai hamba Allah.

 

وَلَهوٌ

dan suatu yang melalaikan,

Dan apabila kanak-kanak itu sudah semakin besar, maka mereka akan berjumpa dengan ‘hiburan’ pula seperti kartun, lagu, dan benda-benda lain. Maknanya mereka sudah naik taraf kepada benda lain yang melalaikan mereka. Permainan pun sudah mula jadi mahal. Dulu main pasir sahaja tapi sekarang sudah pakai handphone canggih.

Semua itu menjadi perkara yang melalaikan mereka. Asyik tengok handphone sahaja, asyik chatting dengan kawan sahaja, hantar gambar sana sini, tengok game, tengok movie di handphone dan sebagainya. Semua itu melalaikan mereka dari pelajaran, dari keluarga, dari tugasan harian.

Maka janganlah kita termasuk golongan yang lalai. Iaitu mereka lalai dari memikirkan tentang akhirat. Lalai dari buat persediaan untuk akhirat, lalai untuk belajar, untuk beramal dan untuk infak. Mereka tidak terfikir untuk cari peluang untuk bantu orang lain, berkhidmat untuk kebaikan orang lain.

Dunia ini memang melalaikan dan ini tidak dapat dinafikan. Ada sahaja perkara yang menyebabkan kita akan terpesona. Kalau kita biarkan sahaja fikiran kita ‘dicuri’ oleh dunia, maka kita akan terus lalai dan hanyut. Kita kena sedar sifat dunia yang melalaikan ini supaya kita dapat bersedia dan tidak dihanyutkan olehnya.

 

وَزينَةٌ

dan perhiasan

Dan setelah mereka semakin besar dan dewasa, maka mereka akan risau tentang penampilan diri mereka pula. Maka mereka akan jaga badan dari jadi gemuk dan risau tentang perhiasan dan tentang jenama baju yang mereka pakai. Rambut pun nak kena ada fesyen tertentu. Ramai yang pergi gym kerana nak tunjuk otot-otot yang besar.

Ramai yang pakai tudung tapi bukan tudung biasa, kena berfesyen juga. Bukannya nak tutup aurat tapi nak menarik perhatian lelaki pula.

Maknanya pada peringkat ini, ramai yang sibuk nak jaga imej dan penampilan diri di mata masyarakat. Tak mahu kalah dari segi rumah, kereta, jenama handphone, jam dan sebagainya. Mereka suka menghias diri mereka supaya nampak berketerampilan di dalam masyarakat. Mereka amat menjaga penampilan diri mereka.

 

وَتَفاخُرٌ بَينَكُم

dan bermegah-megah antara kamu

Dari asal jaga penampilan diri, maka lama kelamaan perasaan itu akan dinaik taraf kepada perasaan ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain apa yang dia ada.

Orang itu akan berbangga dari universiti mana dia belajar, atau di mana dia bekerja. Ke mana dia melancong dan di mana dia selalu lepak. Sudah ada perasaan mahu orang lain nampak apa yang dia ada dan kedudukan dia di mata dunia. Dia suka membanding-bandingkan dengan orang lain. Bila pergi mana-mana, dia akan post dalam FB dan Instagram.

Kalau dia kaya, mulalah dia kejar pangkat Datuk, Tan Sri dan sebagainya. Inilah sahaja masanya disibukkan seharian. Nak capai itu dan ini sampaikan tidak buat persediaan untuk menghadapi akhirat.

 

وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ

serta (berbangga-banggaan) tentang banyaknya harta dan anak,

Dan kemudian mereka akan naik taraf lagi untuk mengumpul harta dan juga anak. Kehidupan mereka akan berlegar-legar di antara harta dan anak dan itulah sahaja yang mereka fikirkan. Mereka kira-kira berapa banyak wang dalam bank, berapa banyak tanah dan rumah yang mereka ada.

Mereka nak banyak anak yang berjaya. Hantar anak ke universiti dalam kursus yang mereka sangka boleh beri kejayaan dunia kepada mereka. Dan kemudian mereka berbangga-bangga di mana anak mereka belajar. Kemudian di mana anak mereka bekerja, kahwin dengan siapa, pangkat apa dalam kerajaan dan macam-macam lagi.

Mereka sibukkan diri dengan fikirkan tentang duit tuisyen anak, pakaian anak, kawan-kawan anak, ke mana mereka nak pergi masa cuti sekolah, dan macam-macam lagi. Sibuk sahaja mereka dengan hal dunia sampaikan hal akhirat dilupakan. Kelas agama tidak pergi, ilmu tidak didapati.

Sesungguhnya kesimpulan dari kehidupan dunia bagi para pemiliknya adalah hal-hal tersebut, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ}

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). (Ali Imran: 14)

 

كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ

seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani dengan penumbuhannya; 

Maka itulah sahaja perkara-perkara yang mereka fikirkan. Allah beri perumpamaan kehidupan dunia itu seperti غَيثٍ (hujan yang turun tepat pada masanya). Ini adalah perumpamaan seorang petani.

Hujan itu banyak turun semasa mereka memerlukannya dan akan menakjubkan dan menggembirakan para petani. Kalimah الكُفّارَ dalam ayat ini bermaksud ‘petani’ kerana mereka menanam benih di dalam tanah dan kemudian menutup (kambus) tanah itu. Kalimah ك ف ر bermaksud ‘menutup’.

Bukanlah ia bermaksud ‘orang kafir’ seperti yang kita selalu gunakan. Orang kafir digelar begitu kerana mereka menutup iman mereka. Tapi asalnya ia digunakan untuk para petani (yang menutup tanah).

Mereka memang memerlukan hujan kerana mereka menuai hanya sekali setahun sahaja dan jikalau hujan tidak ada maka tidak ada hasil pada tahun itu. Kegembiraan para petani ini semasa menuai ditunjukkan di dalam amalan perayaan mereka yang berkenaan dengan tuaian kerana mereka gembira sangat. Kerana itu masyarakat kita ada perayaan ‘Semangat Padi’ dan seumpamanya.

Mereka sangat gembira apabila hujan turun kerana mereka sudah hampir nampak apa yang mereka mahukan akan terjadi. Mereka seperti kanak-kanak yang dibawa ke kedai permainan dan dia nampak permainan yang dia mahu. Seperti juga orang muda yang dipanggil untuk temuduga kali kedua. Seperti juga orang yang hendak membeli rumah dan pinjaman rumahnya diluluskan. Belum dapat lagi hasil tapi bayangnya sudah nampak. Begitulah perumpamaan yang digunakan dalam ayat ini.

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan.

 

ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا

kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning

Tapi bayangkan kalau tanaman yang mereka banggakan itu menjadi kuning, tidak seperti yang mereka harapkan. Patutnya jadi hijau tapi jadi layu pula. Dan kalau ia menjadi kuning maka petani itu tidak suka lagi dan tidak akan tuai tanaman itu.

Begitulah manusia dengan keindahan dunia. Suka sangat kepada sesuatu permainan sehinggalah dia nampak permainan lain yang lebih menarik; pemilik kereta amat sayang kepada keretanya yang hebat, sehinggalah dia tengok kereta yang lebih hebat lagi dari kereta dia; Pemilik rumah akan berbangga dengan rumahnya sehinggalah dia pergi ke rumah orang lain yang lebih hebat, maka mulalah dia nampak rumah dia hodoh sahaja.

 

ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا

kemudian menjadi hancur. 

Tanaman yang mereka banggakan dan tunggu-tunggu itu jadi hancur. Atau harta yang mereka suka jadi rosak atau hilang. Memang begitulah sifat dunia, tidak kekal.

Demikian jugalah manusia yang pada permulaan usianya dan usia mudanya, dia kelihatan segar, padat, berisi, serta penampilannya hebat. Kemudian secara beransur-ansur mulai menua dan semua wataknya berubah dan merasa kehilangan sebahagian dari kekuatannya. Lalu jadilah dia manusia yang lanjut usia dan lemah kekuatannya, sedikit sahaja tinggal geraknya dan tidak mampu mengerjakan sedikit pekerjaan pun.

Allah hendak memberitahu yang harta dunia ini tidak kekal. Dunia ini sendiri tidak akan kekal. Maka kalau ada yang meletakkan pengharapan kepada dunia, mereka akan menyesal; kalau terlalu cinta kepada dunia, maka dunia itu pasti akan meninggalkannya, atau dia sendiri akan mati dan meninggalkan harta itu.

 

وَفِي الآخِرَةِ عَذابٌ شَديدٌ

Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras

Dan kalau mereka hanya mementingkan dunia sahaja dan tidak bersedia untuk akhirat dengan iman dan amal, maka mereka akan menerima azab di akhirat kelak.

Kerana kalau tidak mempelajari agama maka tentulah ada amalan yang salah dan fahaman yang salah. Amalan dan fahaman salah akan menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka.

 

وَمَغفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضوٰنٌ

Dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. 

Bagi yang boleh taat kepada Allah, Rasul dan agama dan sanggup infak, mereka akan dapat keampunan yang besar dari Allah. Dan keampunan ini amat diperlukan oleh kita kerana kalau tidak, maka kita akan menanggung dosa dan dosa itu kena dicuci di neraka.

Maka ini menyebabkan seorang Muslim dimasukkan ke dalam neraka dahulu sebelum dikeluarkan dan dimasukkan pula ke dalam syurga. Tentu kita tidak mahu masuk ke neraka walau sesaat, bukan? Maka kenalah kita ambil perhatian. Selalunya kita kena mengharap kepada pengampunan dosa dari Allah.

 

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا مَتٰعُ الغُرورِ

Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

Allah hendak memberitahu bahawa kehidupan dunia ini tidak akan memuaskan kerana akan ada sahaja kekurangan. Tetapi penghuni syurga akan puas dengan apa yang ada di dalam syurga dan dia tidak akan mahu perkara lain. Kerana tidak ada apa lagi yang dia rasa tidak cukup bila di dalam syurga nanti.

Maka jangan tertipu dan terpedaya dengan dunia kerana dunia hanyalah menipu manusia. Memang di dunia ini kesenangan yang sedikit tapi yang bahayanya kerana ia menipu. Dibentangkan kepada kita dengan segala kesenangan dan nikmat, sampaikan kalau kita tidak berhati-hati kita akan terpedaya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 25 Februari 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 15 – 18 (Jangan jadi Ahli Kitab)

Ayat 15:

فَاليَومَ لا يُؤخَذُ مِنكُم فِديَةٌ وَلا مِنَ الَّذينَ كَفَروا ۚ مَأوٰكُمُ النّارُ ۖ هِيَ مَولٰكُم ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So today no ransom will be taken from you or from those who disbelieved. Your refuge is the Fire. It is most worthy of you, and wretched is the destination.”

(MELAYU)

Maka pada hari ini tidak diterima tebusan dari kamu dan tidak pula dari orang-orang kafir. Tempat kamu ialah neraka. Dialah tempat berlindungmu. Dan dia adalah sejahat-jahat tempat kembali”.

 

فَاليَومَ لا يُؤخَذُ مِنكُم فِديَةٌ

Maka pada hari ini tidak diterima tebusan dari kamu

Di akhirat nanti orang-orang munafik itu akan cuba untuk menebus diri mereka tetapi tidak akan diterima. Tapi waktu itu bukan sesiapa ada harta pun. Tapi kalau ada harta pun, tidak akan diterima tebusan.

Ini disebut kerana mungkin ada yang sangka boleh beri rasuah di akhirat seperti boleh rasuah semasa di dunia untuk melepaskan diri. Tapi itu hanya di dunia sahaja. Di akhirat keadaan sudah berlainan sekali. Memang tidak akan ada harapan untuk melepaskan diri.

Dalam ayat dari surah yang lain, ada disebut bagaimana orang berdosa itu cuba untuk menggadai ahli keluarga dan kenalan mereka supaya mereka diselamatkan. Ini kerana masing-masing tidak ada harta di sana. Tapi tidak akan diterima.

 

وَلا مِنَ الَّذينَ كَفَروا

dan tidak pula dari orang-orang kafir.

Dan juga tidak akan diterima tebusan daripada orang kafir. Mereka pun akan cuba nak selamatkan diri tapi tidak akan ada peluang.

Ini amat menakutkan kerana seolah-olah orang munafik itu dimasukkan sama dalam golongan orang-orang kafir. Mereka disebut bersebelahan dalam ayat ini. Ini adalah dalil bahawa orang munafik akan mendapat balasan yang sama dengan orang kafir. Semoga kita diselamatkan dari termasuk ke dalam dua golongan ini.

 

مَأوٰكُمُ النّارُ

Tempat kamu ialah neraka.

Akan dikatakan kepada mereka yang tempat tinggal mereka yang kekal adalah di neraka. Kalimah مأو dari segi bahasa bermaksud tempat berlindung, tempat berehat, tempat berteduh. Jadi ini adalah perli dari Allah – berlindunglah kamu dalam neraka.

 

هِيَ مَولٰكُم

itulah tempat berlindungmu.

Mawla mereka adalah neraka, bukan Allah. Mawla adalah seseorang yang boleh beri pertolongan kepada seseorang. Sepatutnya mereka menjadikan Allah sebagai mawla, tapi kerana mereka tidak buat begitu, maka nerakalah mawla mereka sekarang.

Ini adalah ejekan kerana mawla adalah orang yang sanggup beri perlindungan kepada kita. Dan Allah ejek dengan mengatakan neraka sahaja yang sanggup beri perlindungan kepada mereka. Tapi apa yang boleh diharap dari neraka melainkan azab sengsara sahaja?

 

وَبِئسَ المَصيرُ

Dan dia adalah sejahat-jahat tempat kembali”.

Tiada tempat lain yang lebih buruk dari neraka. Sepanjang masa akan dikenakan dengan azab yang amat menakutkan dan menyakitkan. Tiada masa rehat langsung bagi penghuni neraka itu.


 

Ayat 16: Ayat 16 & 17 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi teguran Allah supaya jangan keras hati seperti golongan Ahli Kitab.  Maka ayat 16 ini adalah zajrun tentang Ahli Kitab.

Buat amalan hati kena ada hubungan hati dengan Allah. Hati tidak boleh lalai dengan Allah terutama dengan wahyu Allah. Kerana itu sahabat tetap belajar wahyu dengan Nabi. Sahabat mukmin tekun belajar dengan Nabi. Yang munafik sahaja yang sentiasa mengelak duduk dalam majlis dengan Nabi. Mereka malas nak belajar. Jadi kalau orang kita malas belajar agama, maka itu ada sifat-sifat orang munafik.

Maka Allah tegur golongan Muslim yang jauh dari peringatan. Mereka tidak dekatkan diri mereka dengan wahyu Allah. Allah bandingkan mereka dengan ahli kitab.

۞ أَلَم يَأنِ لِلَّذينَ ءآمَنوا أَن تَخشَعَ قُلوبُهُم لِذِكرِ اللهِ وَما نَزَلَ مِنَ الحَقِّ وَلا يَكونوا كَالَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلُ فَطالَ عَلَيهِمُ الأَمَدُ فَقَسَت قُلوبُهُم ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has the time not come for those who have believed that their hearts should become humbly submissive at the remembrance of Allāh and what has come down of the truth? And let them not be like those who were given the Scripture before, and a long period passed over them, so their hearts hardened; and many of them are defiantly disobedient.

(MELAYU)

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.

 

أَلَم يَأنِ

Belumkah datang waktunya

Allah kata: “tidakkah masa telah lepas?” Terjemah itu jadi begini kerana Allah gunakan kalimah لم  dan bukan لا. Kalimah لم digunakan untuk sesuatu yang telah berlalu. Ini menunjukkan bahawa memang sudah terlambat sangat.

Atau boleh juga terjemahkan begini: “Belum sampai masa lagikah?” Tidakkah kamu tahu masa kamu sudah terlambat? Tidakkah kamu mahu ambil sisa masa ini untuk memperbaiki diri kamu? Hendak tunggu apa lagi kamu wahai umat Islam?

 

لِلَّذينَ ءآمَنوا أَن تَخشَعَ قُلوبُهُم لِذِكرِ اللهِ

bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah

Ayat ini sebenarnya ditujukan kepada golongan munafik, bukannya golongan mukmin yang sebenar. Tidakkah masa sudah terlambat untuk orang-orang yang ‘mengaku mereka beriman’ untuk rasa takjub dan terpegun dengan Allah? Mereka sepatutnya tunduk khusyuk kepada Allah tapi tidak mereka lakukan. Ini kerana kalau ada perasaan itu barulah boleh menyebabkan mereka mahu mengingat kepada Allah.

Dan mereka patut takut kerana selama ini mereka tidak berzikir dan memenuhi hati mereka dengan zikir kepada Allah. Mereka buat tidak kisah dengan Allah. Dan berapa banyak ayat yang Allah telah berikan untuk menegur mereka yang kita telah baca.

Mereka tidak takut kepada Allah dan kerana itu mereka tidak terpanggil untuk menyahut seruan Allah untuk membantu menegakkan agama Islam. Mereka nampak bagaimana susah payahnya golongan Muhajireen yang terpaksa lari meninggalkan Mekah kerana hendak menegakkan agama. Mereka pun tidak mahu susah begitu kerana mereka hendak hidup dalam kemudahan sahaja.

Golongan muhajireen itu memerlukan bantuan kewangan dan lain-lain lagi, tapi golongan munafik itu tidak kisah pun untuk membantu. Mereka tidak percaya kepada janji-janji Allah yang akan membalas pemberian infak mereka. Malah pada mereka, golongan Muhajireen itu golongan pendatang yang menyusahkan mereka sahaja.

 

وَما نَزَلَ مِنَ الحَقِّ

dan kepada kebenaran yang telah turun

Yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Selain dari Allah, mereka kena tunduk kepada wahyu. Tidakkah mereka sudah terlambat untuk mengisi diri mereka dengan takjub kepada Al-Qur’an? Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Tidakkah mereka terkesan dengan janji yang telah termaktub dalam Al-Qur’an tentang balasan bagi mereka yang infak di jalan Allah?

Mereka juga hendaklah memahami pengajaran dalam Al-Qur’an. Tidakkah patut mereka rasa mereka telah rugi serugi-ruginya kerana mereka belum memenuhi diri mereka dengan pemahaman Al-Qur’an? Ayat ini memberi isyarat bahawa orang-orang Islam waktu itu sudah tidak menghiraukan Al-Qur’an lagi. Maka bagaimanakah agaknya dengan orang kita sekarang yang memang langsung tidak pernah menghiraukan Al-Qur’an? Ramai yang tahu baca sahaja tapi tidak tahu apa yang dibaca.

Maka kena wujudkan masa dalam hidup kita untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an dan selepas itu luangkan masa setiap hari untuk tadabbur Al-Qur’an. Jangan berlalu satu hari pun di mana anda tidak membaca dan belajar ayat-ayat Al-Qur’an dalam kehidupan anda. Jangan tunggu ‘masa luang’ kerana memang tidak akan datang. Kita yang kena wujudkan masa itu.

 

وَلا يَكونوا كَالَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلُ

dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya,

Dan tidakkah telah sampai masa untuk mereka berhenti menjadi seperti orang yang telah diberikan dengan kitab sebelum mereka? Allah beri contoh apa yang telah berlaku dulu kepada golongan Ahli Kitab. Mereka juga telah diberikan dengan kitab wahyu tetapi mereka tidak menghiraukannya dan hanya membacanya sebagai adat sahaja.

Allah melarang orang-orang mukmin menyerupai orang-orang yang telah diberikan kepada mereka Al-Kitab sebelum kaum mukmin, dari kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Setelah masa berlalu cukup panjang atas mereka, lalu mereka mengganti Kitabullah yang ada di tangan mereka dan menukarnya dengan harga yang sedikit, dan mencampakkannya ke belakang punggung mereka.

Dan sebagai gantinya mereka menerima berbagai pendapat yang beraneka ragam dan yang dibuat-buat, serta berpegang kepada pendapat manusia dalam agama Allah, dan mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan (pembuat hukum baru) selain Allah. Maka pada saat itulah hati mereka menjadi keras dan tidak mahu menerima pelajaran serta tidak mahu lunak dengan janji mahupun ancaman.

Ini sama sahaja dengan orang-orang Islam kita sekarang yang hanya membaca Al-Qur’an tetapi tidak memahami dan mengambil pelajaran darinya. Mereka sangka dengan mereka baca Al-Qur’an hari-hari (atau di bulan Ramadhan), mereka telah memenuhi sifat mereka sebagai seorang Muslim? Ini amat rugi kerana mereka ada Al-Qur’an di tangan mereka tapi mereka tidak mempelajari apakah ajaran di dalamnya. Dan kerana itu mereka melanggar sahaja apa yang mereka baca.

Ramai yang tidak pakai wahyu Al-Qur’an dan hadis tapi ikut pendapat guru-guru mereka, ustaz-ustaz mereka, pendapat orang-orang tua, tok nenek mereka dan kawan-kawan mereka sahaja yang jahil. Hukum-hukum baru dan amalan-amalan baru telah direka oleh manusia (mengambil tugas Allah dan Nabi) dan diamalkan oleh ramai orang. Maka samalah sahaja dengan golongan Ahli Kitab dulu. Kalau Ahli Kitab dengan pendeta mereka; orang kita ikut sahaja apa yang ustaz mereka ajar (tanpa usul periksa).

Dan nanti itu akan menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka. Begitulah yang terjadi kepada golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) dulu. Lama mereka duduk dalam agama, sampai mereka telah melupakan wahyu asal. Wahyu asal mereka tidak pelajari dan kerana itu syaitan senang ambil peluang untuk menipu mereka.

 

فَطالَ عَلَيهِمُ الأَمَدُ فَقَسَت قُلوبُهُم

kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. 

Masa telah berlalu lama bagi Ahli Kitab itu sampaikan keras hati mereka daripada tunduk kepada kitab wahyu. Mereka jadi sudah biasa ada agama dan mereka buat tidak kisah, terutama sekali dengan ilmu wahyu. Mereka hanya membaca kitab wahyu mereka tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca. Mereka tidak jadikan kitab wahyu mereka itu sebagai sesuatu yang dapat melembutkan hati mereka.

Begitulah, apabila berjauhan dengan wahyu dan nasihat Nabi, maka hati akan menjadi keras. Apabila diberi nasihat, mereka tidak tersentuh. Mereka hanya lakukan apa yang mereka hendak sahaja, tapi menghiraukan tempat mereka di akhirat kelak.

Ahli Kitab telah lama ditinggalkan oleh Rasul mereka, maka kerana itu mereka telah lupa kepada ajaran wahyu. Tapi kamu, wahai golongan munafik, masih lagi ada Rasul di kalangan kamu, tapi kamu sudah tidak hiraukan baginda? Kamu lagi teruk dari mereka!

 

وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.

Kalimah fasiq dalam ayat ini bermaksud ‘kafir’. Ramai atau majoriti dari kalangan Ahli Kitab itu menjadi kafir kerana menolak wahyu yang disampaikan kepada mereka.

Malangnya begitulah yang terjadi kepada umat Islam sekarang. Pemahaman mereka kepada Al-Qur’an ini amatlah lemah. Mereka tetap sayang kepada Al-Qur’an tetapi mereka tidak tahu menggunakan Al-Qur’an itu sebagai panduan hidup.

Dan kerana itu sekarang orang-orang kita yang jahil wahyu ini apabila ada masalah baru mereka hendak tahu mana ayat yang hendak dibaca dan dijadikan sebagai ‘azimat’. Sebagai contoh, mereka tanya kalau demam nak baca surah mana, ayat mana, berapa kali? Bila nak kahwin mulalah tanya ayat mana nak baca, bila nak bersalin ayat mana pula, dan sebagainya.

Maknanya mereka gunakan Al-Qur’an untuk perkara-perkara tertentu sahaja dan bukan untuk mereka mengambil pengajaran di dalamnya. Mereka nak murah rezeki, nak jadikan sebagai pendinding, sebagai pengubat penyakit. Adakah itu sahaja gunanya Al-Qur’an yang mulia ini?

Dan ada yang hanya menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai khat hiasan di rumah? Adakah mereka hanya nak gantung ayat Al-Qur’an itu pada kereta? Untuk hafal dan dibaca sahaja tanpa difahami? Kalau begitulah sahaja mereka anggap Al-Qur’an yang mulia ini, maka ada yang tak kena.

Kenapa kita tidak diajar dengan ilmu wahyu ini dari awal? Kenapa tidak ramai yang ajar kepentingan Al-Qur’an ini dari kita kecil lagi? Kalau zaman sahabat dulu, mereka tidak benarkan anak-anak mereka belajar perkara lain sebelum belajar tafsir Al-Qur’an. Tapi kita sampai ke tua ramai yang tidak tahu pasal Al-Qur’an lagi.

Maknanya, ada masalah pembelajaran agama dalam masyarakat kita. Perkara yang amat penting sekali tidak diajar, sampaikan ia jadi asing bagi kita. Tidakkah tafsir Al-Qur’an ini asalnya asing bagi anda? Padahal anda orang Islam, bukan?

Maka perkara ini hendaklah diperbaiki dari sekarang. Jangan lagi masyarakat kita jahil tentang Al-Qur’an. Maka pembelajaran tafsir ini kena dipertingkatkan. Dan andalah sekarang yang jadi pemangkinnya. Segala usaha perlu digembleng untuk menyampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an ini ke mana-mana sahaja. Sebarkan ilmu tafsir ini ke mana-mana.


 

Ayat 17: Oleh kerana pentingnya Al-Qur’an ini, maka Allah sekarang menyebut tentang nilai wahyu ini. Jadi ayat ini adalah tentang Risalah dan Hidayah.

اعلَموا أَنَّ اللهَ يُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ قَد بَيَّنّا لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Know that Allāh gives life to the earth after its lifelessness. We have made clear to you the signs; perhaps you will understand.¹

  • That similarly, Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) can soften a heart after its hardness and guide one who had previously been astray.

(MELAYU)

Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya Allah menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepadamu tanda-tanda kebesaran (Kami) supaya kamu memikirkannya.

 

اعلَموا أَنَّ اللهَ يُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها

Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya Allah menghidupkan bumi sesudah matinya.

Allah masih lagi beri peluang kepada manusia untuk berubah ke arah kebaikan. Sekarang Allah bandingkan hati sama saja dengan tanah dan tanah yang mati itu ibarat seperti hati yang mati. Allah boleh hidupkan tanah yang mati itu dengan berikan air hujan kepada tanah itu.

Dan Allah boleh hidupkan hati manusia yang mati dengan mengisikannya dengan wahyu Al-Qur’an. Kerana itulah makanan roh dan kerana itu kita kena hidupkan roh kita dengan wahyu. Kalau jauh dari wahyu Al-Qur’an, maka akan jadi seperti tanah yang mati. Tapi seperti tanah yang mati boleh dihidupkan, maka hati yang mati juga boleh dihidupkan kembali.

Maka kita kena sayang Al-Qur’an ini dan dekatkan hati kita dengannya. Salah satu caranya adalah dengan menghafal dan membacanya di dalam solat kita. Kerana solat adalah satu masa yang kita tidak ada kerja lain waktu itu, melainkan untuk mengadap Allah dan mendengar sendiri bacaan ayat-ayat Al-Qur’an. Maka waktu itu kita tidak diganggu dengan perkara-perkara lain kerana sepatutnya kita kena fokus pada solat kita itu.

Maka ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca sepatutnya lebih meresap dalam jiwa kita. tapi kenalah faham dulu apa yang dibaca. Kenalah belajar tafsir dahulu, supaya ayat-ayat yang dibaca itu lebih bermakna.

Maka pada waktu itulah kita baca Al-Qur’an dengan penuh makna. Maka kenalah kita hafal Al-Qur’an sebanyak yang mungkin supaya kita boleh membacanya di dalam solat. Tidakkah itu mahu memasukkan Al-Qur’an ini yang asalnya berada di Lauh Mahfuz dan sekarang berada di dalam hati kita?

 

قَد بَيَّنّا لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepadamu tanda-tanda kebesaran (Kami) supaya kamu memikirkannya.

Tanda-tanda kebenaran Al-Qur’an itu ada di sekeliling kita. Allah telah menceritakan di dalam Al-Qur’an apa yang terjadi di luar sana. Maka ini adalah punca untuk kita percaya kepada Al-Qur’an. Kita boleh lihat benda yang disebut dalam Al-Qur’an ini berlaku di hadapan mata kita setiap hari.

Sebagai contoh, kisah-kisah sains dalam dunia ini telah ada dalam Al-Qur’an. Sebagai contoh kejadian kita di dalam perut ibu kita. Tidak mungkin ianya adalah rekaan dari manusia yang duduk di padang pasir beribu tahun dulu dapat tahu apa yang terjadi dalam perut? Nabi hanya sampaikan maklumat itu dari Allah yang menjadikan kita yang tahu segala-galanya.


 

Ayat 18: Sekarang ayat Al-Qur’an kembali kepada menceritakan targhib kepada infak. Ayat 18 – 20 adalah Perenggan Makro Ketiga dan Allah memberitahu pahala infak. Allah janjikan balasan yang banyak kepada mereka yang sanggup mengeluarkan infak pada jalan Allah.

إِنَّ المُصَّدِّقينَ وَالمُصَّدِّقٰتِ وَأَقرَضُوا اللهَ قَرضًا حَسَنًا يُضٰعَفُ لَهُم وَلَهُم أَجرٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the men who practice charity and the women who practice charity and [they who] have loaned Allāh a goodly loan – it will be multiplied for them, and they will have a noble reward.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah (Allah dan Rasul-Nya) baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.

 

إِنَّ المُصَّدِّقينَ وَالمُصَّدِّقٰتِ

Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah (Allah dan Rasul-Nya) baik laki-laki mahupun perempuan

Yang dipuji dalam ayat ini adalah orang-orang yang mengeluarkan sedekah. Kalimah ‘sedekah’ itu dari ص د ق yang bermaksud ‘membenarkan’. Ini kerana orang-orang yang bersedekah itu ‘membenarkan’ janji-janji Allah yang hendak memberi balasan yang baik kepada mereka yang bersedekah.

Dua-dua kalimah المُصَّدِّقينَ وَالمُصَّدِّقٰتِ itu di dalam bentuk ada tasydid iaitu mubalaghah, maka ia bermaksud orang lelaki dan orang perempuan yang banyak bersedekah.

Maka kerana itu mereka ringan tangan untuk menghulurkan harta, diri dan masa mereka kepada jalan Allah. Kerana mereka percaya dengan janji Allah. Dan mereka membenarkan janji itu dengan melakukan sedekah.

Disebut lelaki dan wanita yang bersedekah di dalam ayat ini kerana kedua-duanya boleh bersedekah. Bukan lelaki sahaja yang layak dan boleh bersedekah tetapi perempuan juga. Maka perempuan juga kena ambil peluang ini.

 

وَأَقرَضُوا اللهَ قَرضًا حَسَنًا

dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, 

Mereka yang percaya kepada janji Allah bersedia untuk memberi pinjaman yang baik kepada Allah. Kita kena tahu yang syarat qardun hasan adalah kena beri dengan ikhlas. Jangan berharap kepada selain balasan dari Allah.

Apakah apakah balasan kepada mereka yang sanggup sedekah dan memberikan pinjaman yang baik kepada Allah?

 

يُضٰعَفُ لَهُم

nescaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka; 

Allah akan balas pemberian mereka itu dengan berlipat kali ganda. Ini adalah gandaan dari segi kuantiti. Allah balas dengan balasan yang banyak berganda-ganda. Disebut dalam ayat yang lain, balasan itu boleh naik kepada 700 kali ganda malah Allah boleh beri lebih lagi.

 

وَلَهُم أَجرٌ كَريمٌ

dan bagi mereka pahala yang banyak.

Kalimah kareem pula maksudnya dari segi nilai atau kualiti. Allah akan beri balasan yang bernilai lebih tinggi dari apa yang kita beri. Berapa sangatlah kita beri sebagai infak kita, bukan? Tapi balasan Allah adalah syurga yang tidak terkata hebatnya. Jadi kalimah ‘pahala yang banyak’ dalam ayat ini boleh bermaksud syurga.

Atau kalimah kareem ini bermaksud keampunan dari Allah. Dan kita amat memerlukan keampunan Allah kerana kita orang yang banyak dosa. Dosa dapat dihapuskan dengan bersedekah. Bila dosa kita dihapuskan, maka tentulah tinggal amal ibadat kita sahaja yang dinilai. Maka ini amat untung sekali. Untung sahaja ada, rugi tidak ada. Tidakkah anda mahu perniagaan yang tidak ada rugi, hanya ada untung sahaja?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 25 Februari 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi