Tafsir Surah Hadid Ayat 21 – 24 (Kenapa Allah beri musibah kepada kita?)

Ayat 21: Sebelum ini telah disebut tentang penyakit dunia dan sekarang Allah beri ubat kepada penyakit dunia itu.

سابِقوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُها كَعَرضِ السَّماءِ وَالأَرضِ أُعِدَّت لِلَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ ۚ ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Race [i.e., compete] toward forgiveness from your Lord and a Garden whose width is like the width of the heavens and earth, prepared for those who believed in Allāh and His messengers. That is the bounty of Allāh which He gives to whom He wills, and Allāh is the possessor of great bounty.

(MELAYU)

Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

 

سابِقوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم

Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu

Kita semua kena berlumba untuk mendapatkan akhirat. Inilah sifat ahli syurga. Mereka bersungguh-sungguh dalam beramal dan buat persediaan untuk akhirat. Mereka ingin maju di hadapan dalam hal agama dan tidak rasa cukup dengan apa yang mereka telah lakukan. Mereka akan cuba baiki amal mereka dan sentiasa menambah ilmu mereka.

Salah satu yang kena berlumba adalah dala perkara infak. Kerana telah disebut yang kalau infak, akan mendapat pengampunan dari Allah, bukan? Kerana itu kalau tahu ada orang lain yang beri, kena ada sifat mahu beri lebih banyak lagi. Tentunya kena ikut kemampuan kita juga. Tapi keinginan kena ada.

Berhentilah dari berlumba-lumba dengan manusia lain dalam pengumpulan harta, pengumpulan anak, kejayaan dan perkara-perkara lain. Sebaliknya berlumba-lumbalah dalam mendapatkan pengampunan dari Allah.

Dan memang para sahabat berlumba-lumba dalam hal agama dan mengumpul pahala, sebagaimana yang telah dikemukakan dalam hadis sahih yang menyebutkan:

أَنَّ فُقَرَاءَ الْمُهَاجِرِينَ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثور بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَى وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ. قَالَ: “وَمَا ذَاكَ؟ “. قَالُوا: يُصلُّون كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ وَلَا نَتَصَدَّقُ، ويُعتقون وَلَا نُعْتِق. قَالَ: “أَفَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ سَبَقْتُمْ مَنْ بَعْدَكُمْ، وَلَا يَكُونُ أَحَدٌ أَفْضَلَ مِنْكُمْ إِلَّا مَنْ صَنَعَ مِثْلَ مَا صَنَعْتُمْ: تُسَبِّحُونَ وَتُكَبِّرُونَ وَتَحْمَدُونَ دُبُر كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ”. قَالَ: فَرَجَعُوا فَقَالُوا: سَمِعَ إِخْوَانُنَا أَهْلُ الْأَمْوَالِ مَا فَعَلْنَا، فَفَعَلُوا مِثْلَهُ! فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يؤتيه من يشاء”
bahwa orang-orang fakir dari kalangan muhajirin berkata, “Wahai Rasulullah, orang-orang yang hartawan telah memborong semua pahala dan derajat yang tinggi serta kenikmatan yang abadi.” Rasulullah Saw. bertanya, “Mengapa demikian?” Mereka menjawab, “Mereka salat seperti kami salat, dan mereka puasa seperti kami puasa. Mereka berzakat, sedangkan kami tidak dapat berzakat. Mereka memerdekakan budak, sedangkan kami tidak dapat memerdekakan budak.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: Mahukah kalian kutunjukkan kepada suatu hal yang apabila kalian mengerjakannya dapat mendahului orang-orang yang sesudah kalian, dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan hal yang sama dengan kalian. Yaitu hendaknya kalian bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap selesai dari salat kalian sebanyak tiga puluh tiga kali. Tetapi tidak berapa lama mereka kembali lagi kepada Rasulullah Saw. dan berkata, “Saudara-saudara kami yang hartawan telah mendengar apa yang kami kerjakan, lalu mereka mengerjakan hal yang semisal dengan kami.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: Itu merupakan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

 

وَجَنَّةٍ عَرضُها كَعَرضِ السَّماءِ وَالأَرضِ

dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, 

Kejar pengampunan dari Allah dan juga kena kejar syurga. Dalam ayat sebelum ini Allah menyebut tentang manusia yang mengejar-ngejar kehidupan dunia. Allah hendak memberitahu di dalam ayat ini bahawa sepatutnya manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan syurga di akhirat. Kerana syurga itu kekal dan lebih hebat dari dunia yang fana ini.

Di dalam surah sebelum ini telah disebut golongan yang mula-mula beriman dan beramal soleh maka mereka diberikan dengan kelebihan yang amat tinggi dan sekarang Allah memberitahu apa yang mereka akan dapat lagi, iaitu syurga yang kekal abadi.

Iaitu mereka akan diberi dengan taman-taman syurga. Taman disebut sebab sebelum ini telah disebut tentang petani (yang suka apabila hujan turun). Kemudian Allah sebut tentang kebesaran syurga itu untuk menarik minta kita yang membaca Qur’an ini. Lebar syurga itu sangat luas.

Orang Arab tahu langit dan bumi sahaja jadi Allah gunakan langit dan bumi sebagai perumpamaan kepada isyarat luasnya syurga itu. Ia kerana nak beri isyarat kepada mereka supaya mereka boleh faham. Tentulah kita tidak tahu keluasan syurga yang tepat.

Dari ayat ini ia memberi isyarat yang keseluruhan syurga itu nanti seluas langit dan bumi dan mungkin lebih luas lagi. Dan keseluruhan syurga itu tempat ahli syurga. Dia boleh pergi ke mana-mana sahaja dia pergi. Macam sekarang, kalau kita nak pergi ke bulan pun sikit punya susah. Tapi nanti di akhirat ahli syurga boleh pergi ke mana-mana dia nak pergi.

 

أُعِدَّت لِلَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ

yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya.

Syurga itu memang telah ada dan sekarang sedang menunggu tuannya untuk masuk. Ini adalah dalil bahawa syurga itu memang telah ada dah bukan baru nak buat selepas Kiamat nanti.

Bagaimanakah cara untuk kita dapat masuk ke dalam syurga? Satu fahaman orang Islam adalah jikalau kita buat A, kemudian B, dan C, maka kita akan dapat masuk ke dalam syurga. Ini cara amal kuantitatif sahaja. Tapi surah ini tentang amalan kualitatif iaitu amalan yang berkualiti dari kita.

Kita jangan lihat secara kuantitatif sahaja. Sepertimana kalau kita hendak menjadi warganegara sesuatu negara maka kita kena lakukan beberapa perkara tertentu dan tinggalkan beberapa perkara. Iaitu kena taat kepada undang-undang negara. Tapi tidaklah itu bermaksud kita menjadi warganegara yang berkhidmat kepada masyarakat. Islam tidak mahu kita buat cukup-cukup makan, kerana Allah mahu kita buat lebih lagi.

Islam tidak mahu kita hanya menyelamatkan diri kita sahaja tetapi kita hendaklah berkhidmat kepada masyarakat dan memudahkan kehidupan orang lain juga. Kalau kita lihat kisah-kisah para rasul di dalam Qur’an, kita boleh lihat mereka itu bukan sahaja mengajak manusia kepada Allah dan juga menyembah Allah tetapi mereka juga menegur tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat mereka di dalam hal keduniaan.

Ini seperti Nabi Syu’aib yang menegur cara perniagaan kaum baginda dan juga Nabi Luth yang menegur amalan homoseksual umatnya. Dan Nabi Musa pula menegur tentang keburukan perhambaan. Maksudnya, mereka juga melihat kepada realiti kehidupan masyarakat yang kena dibaiki. Mereka bukan nak lepaskan diri mereka sahaja, tapi mereka mahu masyarakat juga selamat.

Dan agama Islam adalah agama yang lengkap yang bukan hanya menyebut tentang Tuhan tetapi juga memberi kebaikan kepada kehidupan manusia. Maka kita kena sampaikan ajaran agama ini supaya ianya boleh diterapkan di dalam segenap kehidupan manusia. Kerana ianya memang boleh memberi kebaikan kepada semua.

Jadi walaupun ayat ini menyebut tentang iman kepada Allah dan Rasul, kita tetap kena lihat lebih dari itu lagi. Kerana makna beriman dengan Allah dan Rasul itu amat luas. Jangan sangka “aku sudah beriman”, itu sudah cukup. Kena buat kerja. Kena jadi khalifah di dunia.

 

ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ

Itulah kurnia Allah, 

Dan kalau kita jalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi maka Allah akan beri kurniaan yang amat luas. Kalimah فَضلُ bermaksud pemberian balasan yang lebih dari yang sepatutnya. Memang Allah akan beri berlebih-lebih. Bayangkan kita sekejap sahaja beramal dan berkhidmat di dunia, tapi Allah balas dengan syurga yang berkekalan.

 

يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Allah yang pilih siapa yang akan mendapat kurniaan yang besar itu. Tapi pemberian Allah berdasarkan siapa yang hendak. Jadi kena ada kehendak dalam diri manusia itu dulu. Bila sudah ada kehendak, maka dia akan jalankan kerja dan kerana usahanya itu, Allah balas dengan beri Rahmat yang besar.

 

وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Dan Allah mampu untuk beri balasan rahmat yang amat besar. Tuhan yang menjadikan alam ini tentu mempunyai kemampuan untuk beri segala yang dijanjikanNya. Semua janji dalam Qur’an ini bukan janji kosong. Ianya pasti aka ditepati.


 

Ayat 22: Ini adalah sebab infak yang ke-lima. Semasa harta itu ada ditangan kamu, maka hendaklah kamu infaqkan kerana jika tidak akan musnah begitu sahaja.

Kerana yang akan terjadi adalah salah satu daripada dua: sama ada harta itu musnah dahulu ataupun kamu dulu yang musnah kerana mati.

Semasa di dunia kita akan menerima musibah. Musibah itu pasti akan kena kepada kita, samada dalam bentuk hukuman atau dalam bentuk ujian. Cuma kita kena ingat yang di sebalik musibah itu ada pahala.

Kenapa disebut tentang musibah dalam ayat tentang infak? Kerana infak ada sedikit musibah kerana harta akan berkurang tapi ini adalah ujian. Tapi tetap ada pahala di sebaliknya kerana Allah akan ganti balik sekurang-kurangnya 10 kali ganda.

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ فِي الأَرضِ وَلا في أَنفُسِكُم إِلّا في كِتٰبٍ مِّن قَبلِ أَن نَّبرَأَها ۚ إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No disaster strikes upon the earth or among yourselves except that it is in a register¹ before We bring it into being – indeed that, for Allāh, is easy –

  • i.e., the Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth).

(MELAYU)

Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

 

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ فِي الأَرضِ

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi

Oleh kerana surah ini berkenaan infak, maka kita tafsir musibah ini pertamanya dalam bentuk infak harta. Ramai yang tidak mahu infak harta kerana mereka takut harta berkurang. Pada mereka, kurang harta itu adalah musibah. Maka Allah nak ingatkan yang jangan takut dengan musibah kurang harta.

Jangan takut untuk keluarkan infak kerana kita telah belajar yang kalau harta itu musnah sebelum kita sempat untuk keluarkan infak maka kita telah hilang peluang untuk menjadikan ianya sebagai harta kita yang kekal.

Musibah itu juga ada dalam bentuk yang lain. Dan kalau kita sudah berusaha untuk menegakkan agama Allah ini maka kita akan menemui beberapa masalah dan gangguan. Maka Allah sentuh tentang perkara itu di dalam ayat ini.

‘Musibah’ daripada segi bahasa bermaksud anak panah yang tepat kena sasarannya. Jadi musibah itu bermaksud sesuatu yang memang telah ditentukan oleh Allah akan kena kepada kita. Ianya bukanlah sesuatu yang tidak sengaja tetapi apa yang Allah telah takdirkan.

 

وَلا في أَنفُسِكُم

dan (tidak pula) pada dirimu sendiri 

Musibah itu boleh jadi pada luaran atau pada tubuh badan kita sendiri. Ianya telah ditentukan oleh Allah.

Kepada diri itu adalah musibah berupa rasa sakit dan penyakit. Qatadah mengatakan bahawa: telah diceritakan kepada kami bahawa tiada seorang pun yang terkena luka kerana batang dan tidak pula musibah yang menimpa telapak kaki (tertusuk duri) dan tidak pula terkilirnya urat, melainkan kerana perbuatan dosa (yang bersangkutan), dan apa yang dimaafkan oleh Allah darinya adalah lebih banyak.

Maka musibah yang Allah kenakan kepada kita itu memang Allah telah takdirkan jadi kita kena terima dan redha yang ia menjadi ujian bagi kita. Mungkin ia adalah kifarah kepada dosa yang kita telah lakukan. Dan kalau kita berjaya melepasi ujian dan musibah itu maka ia akan menjadi pahala tambahan kepada kita.

 

إِلّا في كِتٰبٍ مِّن قَبلِ أَن نَّبرَأَها

melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya.

Yakni sebelum Allah ciptakan manusia dan makhluk lainnya. Sebahagian ulama tafsir mengatakan bahawa damir yang terdapat pada lafaz nabra-aha merujuk kepada nufus (yakni anfusikum). Menurut pendapat yang lain, kembali kepada musibah. Tetapi pendapat yang terbaik ialah yang mengatakan kembali kepada makhluk dan manusia, kerana konteks pembicaraan berkaitan dengannya. Sebelum Allah jadikan manusia, Allah dah tentukan nasib dia.

Mana-mana musibah pun sudah ada dalam ilmu Allah. Allah yang tentukan ia terjadi. Jangan kita mempersoalkan kenapa Allah beri musibah kepada kita. Kita sebagai seorang mukmin kena terima ketentuan dari Allah. Inilah baru dipanggil sebagai hamba yang sejati.

Dan kalau kita dapat terima perkara ini, Allah akan jadikan kita seorang yang ada personaliti yang kukuh. Apa-apa sahaja yang terjadi, kita dapat terima dan tidak mengeluh. Bila tidak mengeluh maka kita sentiasa memandang ke hadapan dan tidaklah kita asyik bertanya: “kenapalah musibah ini terjadi kepada aku?”.

 

إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Allah mudah sahaja nak jadikan apa-apa sahaja dan kenakan kepada apa-apa musibah kepada manusia. Allah telah tetapkan qadha’ itu 50 ribu tahun sebelum Allah menjadikan alam ini termasuk kita, seperti yang disebut dalam hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ، حَدَّثَنَا حَيْوَةُ وَابْنُ لَهِيعة قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو هَانِئٍ الْخَوْلَانِيُّ: أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ الحُبُلي يَقُولُ: سَمِعْتُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمرو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “قدَّر الله المقادير قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Abdur Rahman, telah menceritakan kepada kami Haiwah dan Ibnu Lahi’ah. Keduanya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Hani’ Al-Khaulani, bahawa dia pernah mendengar Abu Abdur Rahman Al-Habli mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Amr ibnul As mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Allah telah menetapkan ukuran-ukuran (semua makhluk-Nya) sebelum menciptakan langit dan bumi dalam jarak lima puluh ribu tahun. Imam Muslim meriwayatkannya di dalam kitab sahihnya melalui hadis Abdullah ibnu Wahb dan Haiwah ibnu Syuraih dan Nafi’ ibnu Yazid, ketiganya dari Abu Hani’ dengan sanad yang sama.

Bukannya Allah kenakan musibah dan ujian kepada kita kerana Dia benci kepada kita. Allah beri musibah samada antara dua perkara:

1. Nak beri peringatan kepada kita kerana ada kesalahan yang kita telah lakukan. Maka ini adalah peringatan yang baik kerana kalau tidak ada peringatan, kita lagi hanyut.

2. Sebagai peluang untuk dapat pahala. Kerana dengan ada musibah dan kita redha dan sabar dengan musibah itu, maka kita akan dapat pahala. Ini adalah pahala ‘bonus’. Kerana tidak perlu buat apa-apa dah dapat pahala. Dengan sabar sahaja dah dapat pahala, bukan?


 

Ayat 23: Jadi kita sudah membincangkan bab takdir. Mungkin timbul soalan: kenapa Allah ceritakan tentang takdir? Ianya adalah perkara ghaib dan hanya Allah sahaja yang tahu. Maka Allah beritahu hikmah Allah tahu takdir dan kita tidak tahu.

لِّكَيلا تَأسَوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا تَفرَحوا بِما ءآتٰكُم ۗ وَاللهُ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In order that you not despair over what has eluded you and not exult [in pride] over what He has given you. And Allāh does not like everyone self-deluded and boastful –

(MELAYU)

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,

 

لِّكَيلا تَأسَوا عَلىٰ ما فاتَكُم

supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu,

Tujuan Allah beri musibah kepada kita adalah supaya kita menjadi orang yang tetap teguh dan tidak terkesan sangat dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Pada masa ayat ini diturunkan, keadaan umat Islam waktu itu masih lagi lemah dan memerlukan pengorbanan dari semua umat Islam. Mereka masih lagi berperang menentang kufar. Mereka masih lagi dilanda bahaya diserang bila-bila masa oleh musuh, bukan sahaja dari Musyrikin Mekah tapi sekitar tanah Arab yang berpihak kepada Mekah. Mereka juga berseteru dengan musuh dalaman seperti Yahudi dan Nasara yang tidak suka kepada umat Islam.

Maka tentulah umat Islam waktu itu lelah dan rasa tidakkah Allah mahu membantu mereka? Allah beritahu yang bukannya Allah tidak tahu apa yang mereka lalui, tapi semua itu adalah ujian dari Allah untuk memberi kekuatan dan ketabahan kepada mereka.

Oleh itu jikalau kita dikenakan dengan sesuatu perkara yang malang, maka kita tidaklah bersedih sangat. Kerana kita sudah tahu yang itu adalah suratan takdir dari Allah yang Allah telah tentukan dari dulu lagi. Kita sebut inna lillah sahaja dan kerana itu kita akan dapat pahala kerana kita serahkan kepada Allah.

Maksud inna lillah adalah ‘kita ini milik Allah’ belaka. Dan bila kita milik Allah, Allah boleh buat apa sahaja kepada kita. Macam kita ada harta, maka ikut kitalah nak buat apa dengan harta itu, bukan?

Maka kalau kita terima kita adalah hamba dan milik Allah, maka mudah untuk kita terima Inilah maqam hamba yang patut kita sematkan dalam diri kita. Kena sedar yang kita ini hamba dan Allah itu Tuhan. Jangan nak mempersoalkan apa yang Allah buat kepada kita.

Bukan mereka sahaja yang kena ujia, kita pun kena uji sentiasa dalam segala usaha kita. Jangan kita rasa putus asa atau lemah semangat dan bersedih kalau apa yang kita usahakan tidak terjadi. Sebagai contoh, kita mungkin berusaha nak bina masjid untuk kegunaan masyarakat tapi tidak berjaya kerana dihalang Majlis Daerah. Kalau kita kuat dan sedar yang kita dah usaha sebaik mungkin untuk Allah, apa yang tidak menjadi tidaklah menyedihkan kita sangat. Janganlah kita persoalkan: “kenapalah Allah tak benarkan aku buat masjid ni, bukankah ia benda baik?”

Terima yang projek buat masjid itu bukanlah keseluruhan Islam tapi salah satu cara sahaja untuk menegakkan agama. Walaupun masjid itu tidak berjaya dibina, tapi iman kita tetap ada. Bila kita faham perkara ini tidaklah kita putus semangat untuk terus berusahaja. Kita boleh terus buat benda lain pula. Allah tak takdirkan kita berjaya dalam perkara ini, maka kita usaha bab lain.

Sebagai contoh lagi, katakanlah pergerakan dakwah kita ada masalah. Mulanya baik-baik sahaja, tapi lama kelamaan ada masalah kerana syaitan dah cucuk jarum bagi ahli dalam persatuan berkelahi sesama sendiri. Jangan pula kita putus semangat nak menyertai persatuan dakwah yang lain. Jangan kerana satu usaha tidak berjaya kita terus tidak mahu terlibat lagi. Ini adalah fahaman yang salah dan maknanya dia telah terkesan dengan keadaan dan tidak tahu ayat ini.

 

وَلا تَفرَحوا بِما ءآتٰكُم

dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. 

Dan di sebaliknya pula, Allah hendak mengingatkan kita supaya jangan bergembira sangat jikalau kita berjaya menjalankan projek kita. Kerana kejayaan projek itu bukanlah bermaksud yang kita sendiri sudah selamat kerana iman kita itu tidak bersangkutan dengan projek itu sahaja. Allah dah takdirkan pun yang ia akan berjaya dan beri peluang kepada kita untuk terlibat sahaja dapat pahala kerana kita ada usaha.

Memang kita ada usaha, tapi kita jangan gembira sangat atau bangga sampai kata kerana kitalah usaha itu berjaya. Kerana segala apa yang terjadi adalah atas kehendak dan kebenaran Allah. Kalau Allah tak benarkan dan tak tolong kita, usaha itu tidak akan berjaya. Maka kalau berjaya, maka kita kena pulangkan balik kepada Allah. Kita kena kata: “alhamdulillah, Allah takdirkan usaha ini berjaya… semua ini adalah izinNya juga…”.

Allah nak ingatkan kita yang kita ini semua dalam takluk Dia dan usaha kita tidak memberi bekas melainkan dengan izinNya. Maka kerana itu sekali sekala Allah beri kejayaan dan sekali sekala Allah beri kesusahan kepada kita. Ini supaya kita tidaklah terlalu tertekan dengan apa yang berlaku. Apa sahaja yang berlaku, kita tetap ingat kepada Allah. Kalau semua usaha kita berjaya, tentu kita akan rasa kita ada kuasa untuk menjadikan apa sahaja dan lupa takdir Allah; kalau Allah beri kegagalan sahaja, tentu kita akan rasa malas nak buat apa-apa lagi dan takut nak berusaha.

Formulanya adalah: Kita kena ada dua: sabar dan syukur. Kehidupan kita adalah di antara dua perkara ini sahaja. Terapkan dua konsep ini dalam kehidupan kita seharian.

Bila tidak berjaya: sabar
Bila berjaya: syukur

 

وَاللهُ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,

Kalimah مُختالٍ dari katadasar خ ي ل dan dari katadasar yang sama, jadi kalimah ‘khayal’ yang kita semua faham rasanya. Allah tak suka mereka yang khayal dengan diri mereka yang dipanggil mukhtal. Iaitu mereka yang sangka diri mereka hebat, sedangkan itu adalah khayal dan perasan sahaja.

Maka itulah yang terjadi kalau tidak berhati-hati. Katakanlah sebagai contoh ada projek dan usaha dakwah yang berjaya, mungkin ada yang kata: “sebab akulah yang buat, maka kerana itulah projek dakwah kita terjadi”. Mereka sangka sebab merekalah yang sesuatu projek agama itu berjaya.

Mereka rasa mereka hebat dan kerana itu masjid itu terdiri, madrasah itu berjalan, street dakwah itu berjalan, ramai orang masuk Islam kerana dia, dan lain-lain lagi. Mereka khayal dan sombong dengan kelebihan dalaman. Mereka lupa yang perkara itu berjaya kerana Allah yang beri berjaya.

Kalimah فَخورٍ dari katadasar ف خ ر yang bermaksud bangga diri dan rasa diri hebat. Kalauمُختالٍ itu bermaksud berbangga dengan ‘kelebihan dalaman’, kalimah فَخورٍ pula bermaksud berbangga dengan ‘kelebihan luaran’. Sebagai contoh, kalau bangga dengan rupa paras, ini termasuk فَخورٍ. Ini termasuk berbangga dengan apa yang kita miliki seperti rumah dan kereta.

Kedua-dua sifat مُختالٍ dan فَخورٍ adalah ujian kepada manusia. Memang perasaan itu datang sendiri tanpa kita usaha pun, tanpa kita paksa. Ia datang sendiri tapi bila ia datang, kita kenalah tolak. Ini biasa sahaja kerana memang hamba sentiasa dalam ujian. Dan salah satu ujian yang berat adalah apabila datang perasaan-perasaan sebegini.

Kedua-dua kalimah مُختالٍ dan فَخورٍ  itu bermaksud berbangga, tetapi satu berbangga dengan kelebihan yang ada pada diri dan keduanya berbangga dengan perkara luaran yang didapati daripada ikhtiar. Kalau kita sudah tahu tentang perkara ini, maka senanglah kita nak perasan bila ia datang. Kalau kita tidak kenal lah yang susah. Sebab itu kita kena kenal musuh kita kerana kalau tak kenal yang susah nak tolak.


 

Ayat 24: Hati kita ini kalau tak dilatih untuk menjadi murah hati untuk keluarkan infak, maka hati itu akan terus jadi kedekut. Kerana kedekut adalah sifat manusia. Lihatlah kanak-kanak kita, memang asal sifat mereka adalah kedekut. Mereka takkan nak bagi barang permainan mereka berkongsi dengan orang lain. Jadi memang sifat manusia itu telah diisi dengan sifat kedekut sebenarnya.

Maka untuk galakkan diri senang beri infak, sebenarnya kena ada latihan. Ianya bukan datang sendiri dan tidaklah boleh tunggu sifat itu datang. Kalau tunggu, memang tidak datang. Maka kena ikhtiar dapatkan sifat pemurah ini.

Kalau tak latih, maka akan terus bakhil sampai bila-bila. Sifat bakhil itu kalau teruk sangat, barang yang tiada harga pun boleh kedekut nak bagi kepada orang padahal benda itu sendiri dia pun tak pakai.

الَّذينَ يَبخَلونَ وَيَأمُرونَ النّاسَ بِالبُخلِ ۗ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Those] who are stingy and enjoin upon people stinginess. And whoever turns away¹ – then indeed, Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

  • Refusing to spend for Allāh’s cause or refusing obedience to Him.

(MELAYU)

(yaitu) orang-orang yang kikir dan menyuruh manusia berbuat kikir. Dan barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah) maka sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

الَّذينَ يَبخَلونَ

orang-orang yang kikir 

Surah ini sudah menyebut tentang infak sebelum ini. Sekarang disebut bagaimana pula dengan mereka yang tidak mahu mengeluarkan harta dan usaha mereka ke arah Islam. Mereka itu dinamakan sebagai ‘bakhil’.

Asalnya bakhil ini adalah kerana ‘cinta dunia’. Maka Allah latih dengan wajibkan bayar zakat. Sedekah adalah sunat, tapi zakat itu adalah wajib. Bila dah biasa keluarkan zakat yang wajib, maka senanglah ringan tangan untuk keluarkan sedekah dan infak pula. Inilah latihan yang dimaksudkan.

Kemudian kita kena berlatih sendiri untuk mula beri sedikit demi sedikit. Saya teringat seorang yang letak banyak gula-gula dalam poket dia dan beri kepada sesiapa yang dia jumpa. Dia kata itulah latihan dia nak jadi seorang yang pemurah. Biasakan beri yang kecil-kecil, dan upgrade kepada perkara yang lebih berharga.

Dalam ayat sebelum ini disebut tentang orang yang bangga diri. Salah satu sebab yang menjadikan seseorang itu bangga adalah kerana kekayaannya. Maka orang-orang yang sebegitu tentulah tidak mahu mengeluarkan harta dunia kerana ia akan merasa diri dia rendah kalau hartanya kurang.

Jadi dia akan berusaha nak tambah harta dia bagi lagi banyak dan tidak akan suka kalau melakukan sesuatu yang menyebabkan kurang hartanya. Maka orang yang sebegini ada masalah dengan hati dia.

 

وَيَأمُرونَ النّاسَ بِالبُخلِ

dan menyuruh manusia berbuat kikir.

Bukan sahaja mereka bakhil tetapi mereka juga mengajak orang lain jadi bakhil juga. Kenapa pula begitu? Kenapa tak bakhil sendirian sahaja?

Ini adalah kerana jikalau semua orang lain mengeluarkan harta pada jalan agama dan mereka sahaja yang tidak melakukannya maka tentulah mereka malu. Tentulah nampak mereka lain dari orang lain.

Maka mereka akan membisikkan kepada orang lain supaya jangan sedekah. Supaya tidaklah nampak dia sahaja yang tidak sedekah. Dia akan kata yang mereka kena simpan wang untuk masa susah, simpan untuk anak di masa hadapan dan macam-macam lagi alasan. Dia sendiri memang tidak akan keluarkan infak dah.

Jadi ayat ini adalah tanda orang munafik: Mereka sendiri memang sudah bakhil dan simpan harta mereka; dan mereka juga akan mengajak orang lain pun jadi bakhil. Maka janganlah kita ada sifat ini dalam diri kita.

Dan dengan cara ini juga kita dapat kenal siapakah golongan munafik itu. Ini kerana kita tidak dapat baca hati manusia. Kita tidak tahu dengan tepat siapakah yang munafik tapi kita hanya boleh tahu dengan sifat-sifat mereka seperti yang disebut dalam Qur’an. Ini kerana kalau kita lihat ada sesiapa yang ada sifat munafik dalam diri dia, maka kita kena berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu bahaya. Mereka akan melemahkan umat Islam kalau tidak dikenali.

 

وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

maka sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Dan kalau ada manusia yang kedekut dan tidak mahu mengeluarkan harta mereka ke arah kebaikan, maka Allah beritahu yang Dia tidak memerlukan harta mereka. Ini adalah kerana Allah Maha Kaya dan Allah tidak memerlukan sesiapa pun. Allah juga tidak perlu kepada ibadah kita, tidak perlu kepada harta kita dan infak kita. Segala ibadah dan infak kita adalah untuk diri kita sendiri.

Allah juga tidak perlu kepada pujian kita kerana dia sudah Maha Terpuji. Samada ada yang puji Allah atau tidak, Allah tetap terpuji.

Habis bahagian pertama iaitu tentang infak. Selepas ini akan masuk tentang jihad pula.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 Februari 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s