Tafsir Surah Hadid Ayat 25 – 26 (Guna besi untuk perang)

Ayat 25: kita masuk ke Bahagian Kedua surah ini. Kita akan berbincang tentang jihad dan susah payah perjuangan untuk menegakkan tauhid. Ia adalah proses yang bermula dari susah payah belajar dan kemudian tabligh (sampaikan) kepada orang lain. Kemuncaknya adalah apabila jihad qital (jihad perang).

Oleh itu kita kena faham yang jihad itu ada yang billisaan (dengan lisan kata-kata) atau bilsinaan (dengan senjata). Maka jangan sempitkan maksud jihad itu kepada perang sahaja. Maknanya, semua orang boleh berjihad sebenarnya, iaitu jihad lisan.

Jihad ini penting kerana kalau tidak bersedia untuk jihad dan menghadapi susah payah, ditakuti ada sifat munafik dalam diri. Dan memang golongan munafik tidak suka menyertai jihad, samada lisan ataupun qital.

Jadi sekarang kita akan sentuh ayat-ayat tentang jihad. Surah Hadid ini mula menyentuh tentang jihad kerana ianya diturunakn di awal waktu Madaniyyah dan klimaks tentang perang nanti disentuh dalam Surah Tawbah yang memang ianya surah tentang perang.

لَقَد أَرسَلنا رُسُلَنا بِالبَيِّنٰتِ وَأَنزَلنا مَعَهُمُ الكِتٰبَ وَالميزانَ لِيَقومَ النّاسُ بِالقِسطِ ۖ وَأَنزَلنَا الحَديدَ فيهِ بَأسٌ شَديدٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَلِيَعلَمَ اللهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالغَيبِ ۚ إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have already sent Our messengers with clear evidences and sent down with them the Scripture and the balance that the people may maintain [their affairs] in justice. And We sent down iron, wherein is great military might and benefits for the people, and so that Allāh may make evident those who support Him and His messengers unseen. Indeed, Allāh is Powerful and Exalted in Might.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

 

لَقَد أَرسَلنا رُسُلَنا بِالبَيِّنٰتِ

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata

Allah lah yang mengangkat para Rasul sepanjang zaman untuk membawa risalah dari Allah. Rasul dibekalkan dengan bukti-bukti nyata iaitu dalam bentuk wahyu dan mukjizat.

Mereka kena sampaikan wahyu kepada manusia dan disebarkan. Dan kerana perkar ayang mereka sampaikan itu adalah perkara besar, maka mereka juga dibekalkan dengan mukjizat-mukjizat sebagai bukti yang mereka itu memang Nabi.

Nabi-nabi adalah pejuang maka kena lihat kepada mereka dan jadikan mereka sebagai contoh. Kerana itu ada banyak ayat-ayat Qur’an yang menceritakan tentang perjalanan hidup mereka dan perjuangan merka. Banyak yang kita boleh belajar dari kisah mereka. Kisah mereka disentuh secara ringkas sahaja dalam Qur’an dan ditambah dengan hadis-hadis Nabi dan huraian dari para ulama.

 

وَأَنزَلنا مَعَهُمُ الكِتٰبَ

dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab

Kalimah ‘al-kitab’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hukum-hukum agama’. Para Nabi dan Rasul menegakkan hukum Allah. Mereka mengajar apakah kehendak Allah kepada kita dan bagaimana cara kita menjalani kehidupan kita semasa di dunia.

Allah yang menjadikan kita maka Allah tahu bagaimana kita patut hidup. Hukum-hukum yang Allah tetapkan kepada kita adalah untuk kebaikan kita. Bukanlah hukum itu untuk menyusahkan kita, tapi sebenarnya untuk menyenangkan kita. Kerana kalau tiada hukum, maka porak perandalah manusia kerana manusia tidak akan tahu bagaimana hendak menjalani kehidupan dan bermasyarakat dengan baik.

 

وَالميزانَ

dan neraca 

Dan mizan membawa maksud ‘neraca keadilan’. Ia adalah tafsir kepada al-kitab. Kerana al-kitab adalah hukum dan hukum itu adalah untuk mengakkan keadilan.

Kerana dalam wahyu ada mizan yang mengajar kita prinsip-prinsip keadilan. Untuk menegakkan keadilan di atas mukabumi ini kita kena rujuk kepada wahyu yang Allah sampaikan kerana kalau tidak, kita tidak akan tahu kerana akal kita tidak akan dapat mencapai tahap keadilan yang dikehendaki. Dan keadilan ini amat penting terutama sekali menegakkan keadilan ‘kalimah tauhid’. Kerana kalau kita sembah dan mengabdikan diri kepada selain Allah, itu adalah ketidakadilan peringkat tertinggi.

Juga mizan boleh bermaksud sebagai ‘penilai’ antara benar dan salah; antara syirik dan tauhid. Dengan adanya mizan ini kita boleh keputusan diantara pilihan kita. Maka barulah kita tahu manakah cara dan jalan yang patut diikuti.

 

لِيَقومَ النّاسُ بِالقِسطِ

supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.

Kedua-dua perkara di atas kena ada di dalam masyarakat yang aman. Maka keadilan tidak akan wujud kalau masyarakat itu tidak berpegang kepada agama iaitu berpegang kepada al-kitab. Kerana mereka yang berpegang kepada agama sahaja yang sanggup untuk menegakkan keadilan.

Ini kerana mereka takut kepada Allah dan apa yang Allah akan lakukan kepada mereka kalau mereka tidak menegakkan keadilan.

Ayat ini memberitahu kita yang kita bukan sahaja membawa kebenaran dalam amalan individu tapi dalam hal masyarakat majmuk pula. Maka jangan nak selamatkan diri sahaja dan melakukan ibadat berseorangan sahaja, tapi kita hendaklah bermasyarakat dengan cara yang adil.

 

وَأَنزَلنَا الحَديدَ

Dan Kami ciptakan besi 

Allah bukan sahaja menurunkan wahyu tetapi Allah beritahu yang Dia juga yang ‘menurunkan’ besi. ‘Turun’ dalam ayat ini bermaksud ‘menjadikan’. Kerana besi itu adalah nikmat dan nikmat itu ‘diturunkan’ dari Allah. Semua nikmat dari Allah. Dan ini juga seperti yang Allah sebut dalam Zumar:6

وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ الأَنعٰمِ ثَمٰنِيَةَ أَزوٰجٍ ۚ 

dan Dia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan ekor

Kenapa pula besi tiba-tiba ada di dalam hal agama?

 

فيهِ بَأسٌ شَديدٌ

yang padanya terdapat kekuatan yang hebat

Ianya adalah satu kekuatan yang sangat hebat terutama sekali kepada para pejuang jihad. Ia digunakan untuk pertahanan diri dan alat senjata untuk berjihad.

Ini memberi isyarat kepada peperangan. Kerana untuk menegakkan keadilan di Tanah Arab itu baginda perlu berperang untuk mencapai keadilan. Kerana besi itu adalah hadiah dari Allah untuk dibuat pedang, tombak dan juga perisai. Dan kita telah beritahu sebelum ini bahawa Surah Hadid bahagian kedua ini adalah tentang jihad dan sekarang sudah diberi isyarat tentang jihad dengan menyebut besi.

Dan memang baginda kena gunakan peperangan untuk menegakkan keadilan dan mendirikan negara Islam. Kerana baginda mesti menunjukkan satu contoh bagaimana keadilan itu dipraktikkan di dalam negara Islam yang aman. Kerana jikalau ia tidak ditunjukkan maka keadilan itu hanya menjadi satu idea sahaja dan Qur’an ini juga menjadi satu kitab teori sahaja.

وَقَدْ رَوَى الْإِمَامُ أَحْمَدُ وَأَبُو دَاوُدَ، مِنْ حَدِيثِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ ثَابِتِ بْنِ ثَوْبَانَ، عَنْ حَسَّانَ بْنِ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي الْمُنِيبِ الْجُرَشِيِّ الشَّامِيِّ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “بُعِثتُ بِالسَّيْفِ بَيْنَ يَدَي السَّاعَةِ حَتَّى يُعبَد اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وجُعِل رِزْقِي تَحْتَ ظِلّ رُمْحي، وَجَعَلَ الذِّلَّةُ والصِّغار عَلَى مَنْ خَالَفَ أَمْرِي، وَمَنْ تَشبَّه بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ”

Imam Ahmad telah meriwayatkan —juga Abu Daud— melalui hadis Abdur Rahman ibnu Sabit ibnu Sauban, dari Hasan ibnu Atiyyah, dari Abul Munib Al-Jarasyi Asy-Syami, dari Ibnu Umar yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Aku diutus dengan membawa pedang sebelum hari kiamat, hingga hanya Allah semata sajalah yang disembah tiada sekutu bagi-Nya. Dan Allah menjadikan rezekiku berada di bawah bayangan tombakku, dan menjadikan kehinaan dan kerendahan bagi orang yang menentang perintahku; dan barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari mereka.

Maknanya untuk menegakkan keadilan di mukabumi kena ada kuasa pemerintahan untuk menegakkan undang-undang dan menghukum mereka yang tidak ikut undang-undang. Dan kadangkala untuk mendapatkan kuasa memerintah ini memerlukan peperangan.

 

وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ

dan berbagai manfaat bagi manusia, 

Dan besi itu juga boleh digunakan untuk buat barang-barang yang lain dan bukan sahaja senjata. Kita pun memang pakai besi dalam banyak kehidupan kita. Kerana besi itu dapat dijadikan sebagai guna untuk pekerjaan manusia seperti cangkul, kapak, gergaji, pahat, alat untuk membajak tanah, dan peralatan lainnya yang digunakan untuk keperluan pertanian, pertukangan serta alat-alat lainnya yang diperlukan oleh manusia.

Ini mengajar kita yang alat peperangan itu hanya dibuat jikalau ada perang dan juga waktu aman, kita gunakan teknoloji dan material yang ada untuk kegunaan dalam kehidupan yang lain.

Masalah terjadi apabila industri yang buat alat peperangan ini hendak terus menjadi kaya raya. Mereka mendapat keuntungan yang gila-gila kerana peperangan dan kerana itu mereka telah menyebabkan ada keperluan kepada peralatan perang.

Dan apa yang terjadi apabila perang tiada? Apabila perang tiada maka perniagaan mereka terbantut dan mereka tidak mendapat kekayaan lagi. Jadi syarikat industri peperangan ini melobi supaya perang berterusan dan supaya ada keperluan kepada industri mereka yang telah menjadikan mereka kaya raya.

Maka kerana itu perang nampaknya tidak berhenti-henti kerana syarikat gergasi yang menggunakan kuasa lobi mereka supaya perang di dunia ini berterusan. Maka tempat yang aman mereka telah kacau supaya perang terjadi di situ.

 

وَلِيَعلَمَ اللهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالغَيبِ

dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. 

Jihad menjadi kayu pengukur kepada iman umat Islam. Apabila para sahabat berdiri di sebelah Nabi untuk berperang menegakkan agama, mereka itu bukan sahaja beriman dengan Allah dan Nabi Muhammad tetapi mereka juga beriman dengan para rasul yang sudah tidak ada iaitu ghaib. Kerana mereka percaya dengan ajaran para rasul itu yang tugas mereka menegakkan agama sama ada dengan cara aman ataupun dengan cara perang.

Oleh itu, Allah nak zahirkan siapa yang sanggup bantu Allah dengan guna besi. Allah dah tahu dah siapa yang akan bantu. Cuma Allah nak zahirkan sahaja kepada umat Islam yang lain. Allah nak zahirkan siapakah yang akan bantu rasul. Kerana itu kalau nak tahu siapakah orang munafik, mereka tidak akan sanggup untuk berjihad. Mereka akan cari alasan untuk tidak berjihad.

 

إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa. Walaupun ayat ini menyebut tentang besi dan alat peperangan tetapi yang sebenar benar berkuasa hanyalah Allah. Berperang itu hanyalah sebagai alat untuk mencapai kemenangan sahaja tetapi kemenangan yang sebenarnya diberikan oleh Allah.

Allah sendiri tidak perlukan besi kerana Allah boleh sebarkan agama begitu sahaja. Allah cipta besi supaya manusia tegakkan agama.

Allah tidak perlukan pertolongan kita. Allah boleh sahaja ubah hati manusia untuk terima hidayah begitu sahaja. Tapi Allah beri peluang kepada Rasul dan manusia untuk berjuang menegakkan agamaNya. Maka dengan berjuang itu manusia dapat peluang untuk mengumpul pahala dengan banyak.

Maka kena faham dengan ayat ini. Jangan jadi orang sesat yang menggunakan ayat ini untuk azimat pula. Kerana ada fahaman yang kata, bila beli kereta kena baca ayat ini pada air dan curahkan air itu pada kereta kerana kereta itu akan terjaga kerana kereta itu dijadikan dari besi. Memang mengarut fahaman manusia kalau tidak belajar.

Habis Ruku 3 dari 4 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 26: Dalam ayat sebelum ini telah disebut Rasul secara ijmali (umum) sahaja. Sekarang disebut secara tafsili (khusus) dimana disebut nama beberapa Rasul.

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا وَإِبرٰهيمَ وَجَعَلنا في ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالكِتٰبَ ۖ فَمِنهُم مُّهتَدٍ ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already sent Noah and Abraham and placed in their descendants prophethood and scripture; and among them is he who is guided, but many of them are defiantly disobedient.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya kenabian dan Al Kitab, maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan banyak di antara mereka fasik.

 

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا وَإِبرٰهيمَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim

Selepas disebut tentang rasul-rasul secara umum, maka sekarang disebut dua Rasul yang penting. Mereka ini menjadi contoh pejuang dalam agama. Kena baca kisah mereka dalam Qur’an dan dalam hadis.

 

وَجَعَلنا في ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالكِتٰبَ

dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya kenabian dan Al Kitab, 

Dua Rasul ini amat besar kepada manusia kerana dari keturunan mereka keluar keturunan manusia dan banyak para nabi.

Selepas banjir besar keturunan manusia bermula dan bersambung dari Nabi Nuh sahaja kerana tidak ada manusia lahir yang ada zuriat yang lain. Maka kita ini semua adalah zuriat Nabi Nuh dan kerana itu Nabi Nuh digelar ‘Adam Kedua’.

Dari keturunan Sam (semitic) bin Nuh adalah Nabi Ibrahim dan dari keturunan baginda lahirnya keturunan para Rasul yang banyak.

 

فَمِنهُم مُّهتَدٍ

maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk

Ada dari kalangan umat-umar mereka yang terpimpin dan ikut kebenaran dan menerima wahyu. Tapi segelintir sahaja.

 

وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

dan banyak di antara mereka fasik.

‘Fasik’ di dalam ayat ini bermaksud ‘kafir’. Ini yang ramai dari kalangan mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Mac 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s