Tafsir Surah Qasas Ayat 51 – 56 (Kita tidak boleh beri hidayah kepada orang yang kita sayang)

Ayat 51:

۞ وَلَقَد وَصَّلنا لَهُمُ القَولَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have [repeatedly] conveyed to them the word [i.e., the Qur’ān] that they might be reminded.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami turunkan berturut-turut perkataan ini (Al Qur’an) kepada mereka agar mereka mendapat pelajaran.

 

وَلَقَد وَصَّلنا لَهُمُ القَولَ

Dan sesungguhnya telah Kami turunkan berturut-turut perkataan ini (Al Qur’an) kepada mereka

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ini, sama ada Quraish ataupun orang Yahudi. Kalimah وصّل bermaksud ‘mengalir dengan berterusan’ seperti aliran sungai berterusan masuk ke dalam laut. Maka Allah ﷻ nak beritahu yang ada kesinambungan dari Taurat ke dalam Al-Qur’an. Pengajaran dalam Taurat berterusan di dalam Al-Qur’an.

Allah ﷻ nak beritahu kepada manusia (terutama kepada Bani Israil): Kalau kamu sudah tahu tentang Taurat, maka kamu akan kenal apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini mempunyai persamaan. Iaitu persamaan dalam perkara tauhid. Ia tidak akan ada perbezaan dari apa yang disampaikan kerana ia dari sumber yang sama iaitu Allah ﷻ. Ajaran tentang tauhid tidak berbeza dari dulu sampai bila-bila (kecuali bab syariat yang berubah mengikut zaman).

Ia juga bermaksud yang Allah ﷻ sentiasa sampaikan ajaran wahyu kepada manusia, melalui para Rasul yang menyampaikan wahyu itu kepada manusia. Allah ﷻ tidak biarkan manusia tanpa panduan. Selepas satu Rasul, dibangkitkan Rasul yang lain.

 

لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

agar mereka mendapat pelajaran.

Kalau manusia itu memang mahu beriman, maka mereka akan dapat ambil pengajaran dari wahyu yang Allah ﷻ sampaikan. Tapi kalau tidak endahkan apa nasib yang akan diterima di akhirat, maka tidak dapat ditolong. Ini kerana memang mereka tidak mahu kepada kebenaran pun. Dan mereka juga orang yang degil hatinya dan keras kepalanya.

Orang yang mahukan kebenaran sahaja yang dapat mengambil pengajaran. Iaitu mereka yang sematkan di dalam hati mereka inginkan kebenaran. Mereka dahagakan ilmu yang benar. Maka mereka ada berdoa kepada Allah: “Ya Allah… tunjukkan aku mana yang benar…..” Mereka itu Allah akan tarik ke arah kebenaran.

Bagaimana caranya? Macam-macam cara Allah boleh buat. Mungkin diberikan guru, diberikan kelas yang mudah, diberikan kawan yang ingatkan dia, dibentangkan penulisan yang dia boleh faham dan lain-lain lagi. Yang penting, kena ada keinginan dulu.


 

Ayat 52:

الَّذينَ ءآتَينٰهُمُ الكِتٰبَ مِن قَبلِهِ هُم بِهِ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those to whom We gave the Scripture before it – they¹ are believers in it.

  • i.e., the sincere believers among them.

(MELAYU)

Orang-orang yang telah Kami datangkan kepada mereka Al-Kitab sebelum Al-Qur’an, mereka beriman (pula) dengan Al-Qur’an itu.

 

الَّذينَ ءآتَينٰهُمُ الكِتٰبَ مِن قَبلِهِ

Orang-orang yang telah Kami datangkan kepada mereka Al-Kitab sebelum Al-Qur’an, 

Allah ﷻ menceritakan tentang golongan Ahli Kitab dalam ayat ini. Ingatlah yang bukan semua dari mereka itu teruk-teruk belaka. Kita selalu fikirkan yang buruk sahaja tentang mereka sedangkan ada sahaja dari kalangan mereka yang mahukan kebenaran.

Sekarang Allah beritahu yang ada di antara mereka yang benar-benar beriman dengan wahyu seperti yang ada dalam Taurat, dan apabila ditunjukkan dengan Al-Qur’an itu maka mereka pun beriman dengannya.

 

هُم بِهِ يُؤمِنونَ

mereka beriman (pula) dengan Al-Qur’an itu.

Mereka beriman dengan Al-Qur’an kerana mereka nampak ada persamaan dengan ajaran tauhid yang mereka sendiri sudah tahu dan sudah biasa. Mereka itu adalah daripada golongan yang betul-betul insaf dan mahukan kebenaran maka mereka itu beriman kepada wahyu yang disampaikan kepada mereka.

Hati mereka memang terbuka kepada kebenaran dan apabila datang Al-Qur’an, mereka sanggup terima. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ}

Orang-orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. (Al-Baqarah: 121)


 

Ayat 53:

وَإِذا يُتلىٰ عَلَيهِم قالوا ءآمَنّا بِهِ إِنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّنا إِنّا كُنّا مِن قَبلِهِ مُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is recited to them, they say, “We have believed in it; indeed, it is the truth from our Lord. Indeed we were, [even] before it, Muslims [i.e., submitting to Allāh].”

(MELAYU)

Dan apabila dibacakan (Al-Qur’an itu) kepada mereka, mereka berkata: “Kami beriman kepadanya; sesungguhnya; Al-Qur’an itu adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami, sesungguhnya kami sebelumnya adalah orang-orang yang membenarkan(nya).

 

وَإِذا يُتلىٰ عَلَيهِم قالوا ءآمَنّا بِهِ

Dan apabila dibacakan (Al-Qur’an itu) kepada mereka, mereka berkata: “Kami beriman dengannya;

Mereka yang benar-benar ikhlas dalam agama iaitu orang yang benar-benar beriman, dan apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, mereka terus beriman dengannya. Kerana hati mereka memang ada inabah (condong kepada kebenaran).

Begitulah yang terjadi kepada sekumpulan orang Kristian yang datang bertemu dengan Abu Bakr رضي الله عنه untuk mendengar bacaan Al-Qur’an dari beliau. Setelah mereka dengar bacaan Al-Qur’an itu, mereka menangis dan kemudian beriman dengan agama Islam.

Sa’id ibnu Jubair mengatakan bahawa ayat di atas diturunkan berkenaan dengan tujuh puluh orang pendeta yang diutus oleh Raja Najasy setelah mereka datang kepada Nabi ﷺ dan Nabi ﷺ membacakan kepada mereka Surah Yaasin, iaitu:

{يس. وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ}

Ya Sin. Demi Al-Qur’an yang penuh hikmah. (Yaasin: 1-2), hingga akhir surah.

Lalu mereka menangis dan masuk Islam. Maka turunlah firman Allah ﷻ berkenaan dengan mereka,

Dan begitulah masih ada lagi sampai sekarang orang-orang Kristian dan Yahudi yang menangis apabila mendengar Al-Qur’an dan terjemahannya dibacakan kepada mereka. Ini kerana hati mereka telah lembut dengan agama dan ada keinginan kepada kebenaran di dalam hati mereka.

 

إِنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّنا

sesungguhnya ia (Al-Qur’an itu) adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami, 

Mereka kata tidak lain dan tidak bukan, Al-Qur’an ini pasti adalah kebenaran daripada Tuhan. Tidak syak lagi kerana mereka telah kenal bagaimanakah wahyu itu. Mereka orang yang ada pengalaman dengan agama. Kerana itu mereka kenal apakah kebenaran itu.

 

إِنّا كُنّا مِن قَبلِهِ مُسلِمينَ

sesungguhnya kami sebelumnya adalah orang-orang yang menyerah diri sepenuhnya.

Dan mereka kata sebelum itu lagi mereka telah beriman. Maksudnya, sebelum Al-Qur’an pun mereka itu sudah dikira sebagai orang-orang Muslim; yakni orang-orang yang mengesakan Allah ﷻ, ikhlas kepada-Nya, dan memenuhi seruan-Nya. Kerana iman mereka sama seperti iman yang disebut dalam Al-Qur’an.

Dan inilah juga kata-kata Ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman عليه السلام (dalam Surah Naml sebelum surah ini) apabila dia berjumpa dengan Nabi Sulaiman عليه السلام. Apa yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman عليه السلام itu hanya menguatkan apa yang sudah ada di dalam hatinya; begitu juga dengan Ahli Kitab apabila mereka mendengar Al-Qur’an dibacakan – mereka sudah ada fahaman tauhid itu dan Al-Qur’an menguatkan sahaja.

Begitulah orang-orang ahli kitab yang berpegang dengan kitab mereka dengan benar, mereka itu telah beriman sebenarnya dan mereka sahaja yang tidak tahu lagi. Hati mereka telah beriman sebelum itu lagi tetapi mereka belum berjumpa dengan Al-Qur’an sahaja. Maka apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, mereka terus beriman dengan agama Islam.


 

Ayat 54: Sekarang Allah ﷻ beri pujian kepada mereka dan Allah ﷻ beritahu apakah sifat-sifat mereka.

أُولٰئِكَ يُؤتَونَ أَجرَهُم مَّرَّتَينِ بِما صَبَروا وَيَدرَءونَ بِالحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those will be given their reward twice for what they patiently endured and [because] they avert evil through good, and from what We have provided them they spend.

(MELAYU)

Mereka itu diberi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka, dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan.

 

أُولٰئِكَ يُؤتَونَ أَجرَهُم مَّرَّتَينِ بِما صَبَروا

Mereka itu diberi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka,

Mereka akan mendapat dua kali ganda pahala kerana mereka telah beriman dengan kitab mereka dan sekarang mereka beriman dengan Al-Qur’an pula. Maknanya mereka beriman dengan dua kitab wahyu terus. Dulu mereka beriman dengan ikhlas, dan sekarang mereka beriman dengan ikhlas dengan Al-Qur’an. Ini kelebihan yang ada pada mereka. Kalau kita lahir-lahir sahaja sudah ada dalam keluarga Islam, maka kita tidak dapat kelebihan ini.

Dan mereka diberikan dengan pahala berganda kerana mereka sabar dengan wahyu setakat mana yang mereka ada sebelum Al-Qur’an sampai kepada mereka. Atas kesabaran mereka itu pun mereka dapat pahala tambahan lagi. Mereka telah memilih agama akhir zaman. Begitulah dalam mengerjakan agama memang kena bersabar.

Ada juga yang mengatakan mereka ini adalah orang Habashah yang telah beriman dengan para sahabat yang berhijrah ke sana dan mereka telah datang ke Mekah untuk beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ pula. Apabila mereka datang ke Mekah untuk berjumpa dengan Rasulullah ﷺ mereka telah digelakkan oleh Musyrikin Mekah dan mereka bersabar dengan apa yang dikenakan kepada mereka.

Atau ia boleh berbentuk umum di mana mereka ini adalah orang-orang yang apabila dikenakan dengan keburukan seperti tohmahan dan gangguan kepada mereka, mereka menolaknya dengan kebaikan (dan dengan kesabaran). Di dalam sebuah hadith sahih melalui riwayat Amir Asy-Sya’bi, dari Abu Burdah, dari Abu Musa Al-Asy’ari r.a. disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“ثَلَاثَةٌ يُؤتَونَ أجْرهم مَرّتَين: رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمَنَ بِنَبِيِّهِ ثُمَّ آمَنَ بِي، وَعَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَدَّى حَقَّ اللَّهِ وَحَقَّ مَوَالِيهِ، ورَجُل كَانَتْ لَهُ أمَة فَأَدَّبَهَا فَأَحْسَنَ تَأْدِيبَهَا ثُمَّ أَعْتَقَهَا فتزوَّجها”

Ada tiga macam orang yang pahalanya diberi dua kali, iaitu seorang lelaki dari kalangan Ahli Kitab yang beriman kepada nabinya, kemudian beriman kepadaku; seorang hamba sahaya yang menunaikan hak Allah dan hak majikannya; dan seorang lelaki yang mempunyai seorang budak perempuan, lalu dia mendidiknya dengan baik, kemudian memerdekakannya dan mengahwininya.

 

وَيَدرَءونَ بِالحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ

dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan,

Mereka tolak amalan keburukan yang diajak kepada mereka dengan melakukan amalan kebaikan. Mereka diajak melakukan amalan-amalan yang salah, tapi mereka tidak mahu. Sebaliknya mereka akan buat amalan yang benar dari agama.

Mereka ikut jalan Sunnah, iaitu cara Nabi. Mereka tidak ikut akal dan  nafsu mereka, tapi mereka ikut ajaran dari Kitab. Maka kena tolak ajaran yang tidak ikut sunnah, dengan bawa ajaran Sunnah kepada masyarakat.

Atau, kalau ada orang buat jahat dengan mereka, mereka balas dengan kebaikan. Mereka tidak membalas kejahatan dengan hal yang semisal, tetapi memaafkan dan melupakannya.

 

وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

dan sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan.

Dan satu lagi sifat mereka adalah mereka mengeluarkan harta mereka untuk kebaikan. Mereka infak harta mereka ke arah kebaikan. Mereka sedar yang harta benda yang Allah ﷻ berikan kepada mereka itu bukan untuk mereka sahaja, tapi mereka kena salurkan kepada orang lain yang memerlukan. Ia akan menjadi harta kekal mereka di akhirat.

Di sini memberitahu yang mereka menolak hubbud dunya (cinta dunia) dengan tidak cinta harta dan pangkat. Allah cabut cinta dunia ini setelah mereka tingkatkan cinta kepada Allah dan akhirat. Allah ganti dengan cinta pahala dan cinta akhirat.

Dan keduanya, percaya bahawa ada balasan bagi infak mereka di akhirat. Kerana infak itu kena ingat, bukannya buang harta itu, tapi kita simpan dengan cara yang baik di sisi Allah. Mereka melabur di sisi Allah.

Imam Qurtubi mengatakan, infak di sini juga bermaksud sebar dan ajar ilmu kerana ilmu juga harta. Ia adalah termasuk jenis harta rohani. Walaupun tubuh sudah hancur nanti, tapi pahala akan berterusan kerana ilmu terus digunakan oleh masyarakat. Mereka tidak sembunyikan ilmu kerana ayat Al-Qur’an yang lain menyatakan yang sorok ilmu adalah mudharat.


 

Ayat 55: Bukan sahaja mereka tidak buat benda lagha, tapi tinggalkan orang lain yang buat benda lagha. Mereka bukan leka dengan dunia, tapi gunakan dunia untuk kumpul pahala.

وَإِذا سَمِعُوا اللَّغوَ أَعرَضوا عَنهُ وَقالوا لَنا أَعمٰلُنا وَلَكُم أَعمٰلُكُم سَلٰمٌ عَلَيكُم لا نَبتَغِي الجٰهِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they hear ill speech, they turn away from it and say, “For us are our deeds, and for you are your deeds. Peace will be upon you;¹ we seek not the ignorant.”

  • This is not the Islāmic greeting of “Peace be upon you.” Rather, it means “You are secure from being treated in a like manner by us.”

(MELAYU)

Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: “Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil”.

 

وَإِذا سَمِعُوا اللَّغوَ أَعرَضوا عَنهُ

Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya

Apabila mereka mendengar kata-kata buruk yang ditujukan kepada mereka, mereka meninggalkan orang itu dan tidak menghiraukannya lagi. Tidak payah buang masa dengan mereka. Mereka sentiasa jaga diri dari dapat dosa dan dari buang masa dari buat pahala. Rugi masa kalau masa yang ada tidak digunakan untuk buat pahala. Jadi ini seperti apa yang telah disebut di dalam Surah Furqan:

{وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا}

dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerja­kan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya. (Al-Furqan: 72)

Lagha adalah perkara sia-sia yang tidak memberi keuntungan kepada akhirat. Orang yang beriman dan yang pandai juga berhati-hati, tidak melayan perkara sebegitu kerana buang masa sahaja. Kerana ia tidak menambah pahala dan rugi kerana mengambil masa yang boleh digunakan untuk buat pahala.

Atau lagha itu ia bukan sahaja tidak menguntungkan di akhirat, tetapi membahayakan kedudukan di akhirat seperti kata-kata yang berbentuk syirik. Ini lagha yang paling teruk. Bukan sahaja tidak untung, malah memang membahayakan. Cakap-cakap kosong sahaja, tapi ada kesan dari segi akidah atau dosa.

Kalau zaman sekarang, ada yang buat pantun, qasidah, kata-kata hikmat yang kadangkala mengandungi elemen syirik tanpa mereka sedari kerana mereka jahil. Maka kena hati-hati dengan kata-kata dan tulisan kita.

Oleh itu kita kena sedar yang orang yang baik, mereka tidak buang masa dengan perkara lagha dan kalau ada orang-orang yang melakukan lagha itu, mereka akan tinggalkan sahaja. Mereka tidaklah duduk dan bergebang sekali dengan mereka. Tapi tidaklah mereka meninggalkan orang yang melakukan perkara lagha itu dengan kurang ajar. Mereka cuma beri salam dan pergi ke arah lain. Janganlah kita kurang ajar dengan orang lain walaupun mereka jahil.

 

وَقالوا لَنا أَعمٰلُنا

dan mereka berkata: “Bagi kami amal-amal kami

Ini adalah sikap mereka yang tegas tapi lembut (tidaklah mereka kasar). Tapi tidaklah berlembut sangat sampai terima amalan orang lain yang tidak Sunnah. Mereka (yang beriman itu) berkata yang mereka ada amalan mereka. Iaitu amalan-amalan yang sunnah, amalan yang benar. Mereka nak amalkan amalan yang benar sahaja. Kalau amalan yang belum tentu puncanya, mereka tidak mahu.

Dan ia juga bermaksud, mereka akan dapat balasan dari amalan yang mereka lakukan itu (mereka akan dapat ‘balasan’ pahala bagi amalan mereka itu). Kerana setiap amalan ada balasan di akhirat.

Maka kerana mereka mengharapkan kebaikan akhirat, maka mereka hendak amalkan amalan yang baik. Kerana itu mereka tidak mahu mengamalkan amalan yang lagha kerana itu tidak menguntungkan. Mereka juga tidak mengamalkan amalan yang tidak sahih. Ada banyak lagi amalan yang sahih, kenapa dikejar amalan yang tidak sahih dan entah dapat pahala atau dosa kalau dilakukan?

 

وَلَكُم أَعمٰلُكُم

dan bagimu amal-amalmu, 

Dan orang yang lagha itu ada pula amalan mereka. Orang yang baik tidak campur urusan dengan mereka yang melakukan perkara lagha itu.

Ini juga bermaksud, mereka mengingatkan kepada orang yang lagha itu, nanti mereka juga akan dapat balasan buruk dari amalan lagha mereka itu. Maka ini bermakna mereka sedang melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Kerana mereka menegur dan mengingatkan kepada orang lain atas kesalahan yang dilakukan.

Jadi ini bukanlah orang beriman itu hendak melepaskan diri sahaja. Jangan salah faham ayat ini. Ada yang sangka maksud ayat ini: “aku ada amal aku, engkau pun ada amal engkau. Masing-masing buat amalan sendiri. Jangan kutuklah apa yang aku nak amal”.

Ini fahaman yang tidak benar. Kerana seolah-olah kita beri pengiktirafan pula kepada amalan salah dan bid’ah orang lain. Tidak boleh begitu, kerana kita kena tegur amalan yang salah. Jadi maksud ayat ini lebih kurang begini: “jangan pakai buat sahaja amalan… kena tengok amalan itu. Kerana kalau kita buat amalan, kita akan dapat balasan dari amalan itu. Jangan kita menyesal nanti.”

 

سَلٰمٌ عَلَيكُم

kesejahteraan atas dirimu,

Dan mereka mengucapkan ‘salam’ kepada orang yang lagha itu kemudian meninggalkan mereka. Kerana memang kena tinggalkan mereka yang buat lagha tapi janganlah dengan cara yang kurang ajar.

Jadi ini bukan salam apabila berjumpa tetapi salam untuk meninggalkan iaitu dinamakan ‘salam tarakah‘ (meninggalkan). Kerana mereka tahu mereka tidak patut buang masa dengan orang-orang yang lagha. Tapi mereka meninggalkan dengan baik, siap beri salam lagi. Begitulah akhlak kena dijaga, jangan sakitkan hati orang.

 

لا نَبتَغِي الجٰهِلينَ

kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil”.

Mereka tidak akan berkawan dan bergaul dengan orang yang jahil. Sama ada mereka itu jahil ilmu atau jahil tindak tanduk. Mereka tidak mahu mencari kejahilan iaitu tidak mahu bersekongkol dan bercampur gaul dengan orang-orang yang jahil yang mengikut hawa nafsu mereka sahaja dalam berkata-kata dan beramal.

Kerana pergaulan boleh merosakkan jiwa seseorang. Maka kena putuskan hubungan dengan golongan maksiat. Jangan duduk-duduk dengan mereka. Takut Allah gabungkan hati kita dengan mereka. Ini termasuk kalau duduk dan makan bersama-sama dengan mereka.

Muhammad ibnu Ishaq telah mengatakan di dalam kitab As-Sirah, bahawa telah datang kepada Rasulullah ﷺ, ketika baginda berada di Mekah, ada kurang lebih dua puluh orang Nasrani. Mereka telah mendengar perihal Nabi ﷺ saat mereka di negeri Abesinia; mereka menjumpai Rasulullah ﷺ berada di masjid, lalu mereka duduk dengannya, berbicara dengannya, serta bertanya kepadanya.

Saat itu terdapat banyak kaum laki-laki dari kalangan Quraisy berada di tempat perkumpulan mereka di sekeliling Ka’bah. Setelah mereka selesai dari menanyai Rasulullah ﷺ tentang berbagai hal yang ingin mereka tanyakan kepadanya, maka Rasulullah ﷺ menyeru mereka untuk menyembah Allah ﷻ dan membacakan Al-Qur’an kepada mereka.

Setelah mereka mendengar bacaan Al-Qur’an itu, maka berlinanganlah air mata mereka. Lalu mereka memenuhi seruan Allah ﷻ, beriman kepada-­Nya, dan membenarkan Nabi-Nya serta mengetahui dari Nabi ﷺ segala apa yang telah disifatkan di dalam kitab mereka mengenai dirinya.

Ketika mereka bangkit meninggalkan Nabi ﷺ, maka Abu Jahal ibnu Hisyam bersama sejumlah orang Quraisy menyapa mereka seraya mengatakan, “Semoga Allah membuat kalian kecewa sebagai iringan kafilah; orang-orang di belakang kalian dari kalangan pemeluk agama kalian mengutus kalian untuk mendatangkan kepada mereka berita tentang lelaki ini. Tetapi setelah kalian duduk bersamanya, tiada lain kalian langsung meninggalkan agama kalian, lalu kalian membenarkan ucapannya. Kami tidak pernah mengetahui ada delegasi yang lebih dungu daripada kalian,” atau ucapan lainnya yang semisal.

Maka mereka menjawab, “Kesejahteraan atas kalian. Kami tidak mahu bersikap jahil seperti kalian, bagi kami amal-amal kami dan bagi kalian amal-amal kalian; kami tidak merasa puas dengan kebaikan.”

Menurut pendapat yang lain, rombongan tersebut adalah dari kalangan penduduk Nasrani Najran. Hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui siapakah mereka di antaranya yang sebenarnya. Ada kelebihan kepada puak Nasrani itu seperti firman-Nya:

{ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا} إِلَى قَوْلِهِ: {فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ}

Yang demikian itu disebabkan di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib. (Al-Maidah: 82) sampai dengan firman-Nya: maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al-Qur’an dan kenabian Muhammad ﷺ. (Al-Maidah: 83)


 

Ayat 56: Ini adalah nasihat kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah menafikan qudrat beri hidayat ada pada manusia, termasuk pada diri Nabi sendiri. Kena usaha sendiri untuk dapatkan hidayah. Kalau keturunan tidak membantu walaupun bapa saudara Nabi sendiri pun.

Dan ayat ini juga adalah tasliah bagi Nabi. Nabi sedih apabila ramai tidak ikut terima hidayah, maka Allah beritahu yang memang baginda tidak ada kuasa.

إِنَّكَ لا تَهدي مَن أَحبَبتَ وَلٰكِنَّ اللهَ يَهدي مَن يَشاءُ ۚ وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, [O Muḥammad], you do not guide whom you like, but Allāh guides whom He wills. And He is most knowing of the [rightly] guided.

(MELAYU)

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah ﷻ memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah ﷻ lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.

 

إِنَّكَ لا تَهدي مَن أَحبَبتَ

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi,

Allah ﷻ memberitahu Nabi Muhammad ﷺ yang baginda tidak dapat memberi hidayah kepada manusia walaupun itu adalah orang-orang yang baginda sayang. Ini kerana yang boleh memberi hidayah adalah Allah ﷻ sahaja. Kuasa beri hidayah kepada manusia bukan pada Nabi atau pada sesiapa sahaja, hanya ada pada Allah ﷻ.

Maka kalau ada orang yang kita sayang dan kita nak selamatkan dia pun, kita tidak boleh masukkan terus hidayah kepada mereka. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Dalam dalam ayat lain ada disebut melalui firman-Nya:

{لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ}

Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya. (Al-Baqarah: 272)

Bapa saudara Nabi ﷺ, iaitu Abu Tholib telah banyak menolong baginda dan kerana pertolongannya itulah membolehkan baginda terus berdakwah di bumi Mekah. Tetapi akhirnya Abu Tholib sendiri tidak beriman. Maka Rasulullah ﷺ amat bersedih dengan kematian bapa saudaranya itu di dalam kufur dan Allah hendak memberitahu kepada Nabi ﷺ yang baginda tidak boleh memberi hidayah kepada manusia melainkan baginda hanya boleh menyampaikan sahaja.

Bapa saudara baginda sendiri pun baginda tidak boleh beri hidayah. Walaupun baginda sayang sangat dan terhutang budi kepada bapa saudaranya itu, tapi baginda tidak boleh buat apa. Kisah ini disebut dalam hadis:

قَالَ الزُّهْرِيُّ: حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ المسَيَّب، عَنْ أَبِيهِ -وَهُوَ الْمُسَيَّبُ بْنُ حَزْن الْمَخْزُومِيُّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ -قَالَ: لَمَّا حَضَرَتْ أَبَا طَالِبٍ الْوَفَاةُ جَاءَهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَوَجَدَ عِنْدَهُ أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ، وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أُمَيَّةَ بْنِ الْمُغِيرَةِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا عَمِّ، قُلْ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، كَلِمَةٌ أَشْهَدُ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ”. فَقَالَ أَبُو جَهْلٍ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أُمَيَّةَ: يَا أَبَا طَالِبٍ، أَتَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ؟ فَلَمْ يَزَلْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْرِضُهَا عَلَيْهِ، وَيَعُودَانِ لَهُ بِتِلْكَ الْمَقَالَةِ، حَتَّى قَالَ آخَرَ مَا قَالَ: هُوَ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ. وَأَبَى أَنْ يَقُولَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَمَا لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْكَ”. فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى} [التوبة: 113] ، بوأنزل فِي أَبِي طَالِبٍ: {إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ}

Az-Zuhri mengatakan, telah menceritakan kepadaku Sa’id ibnul Musayyab, dari ayahnya Al-Musayyab ibnu Hazn Al-Makhzumi r.a. yang menceritakan bahawa ketika Abu Talib menjelang ajalnya, Rasulullah ﷺ datang. Baginda ﷺ menjumpai Abu Jahal ibnu Hisyam dan Abdullah ibnu Abu Umayyah ibnul Mugirah ada di sisi Abu Talib. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Wahai paman(ku), ucapkanlah, “Tidak ada Tuhan selain Allah, ” iaitu suatu kalimat yang dengannya kelak aku akan membelamu di hadapan Allah! Maka Abu Jahal dan Abdullah ibnu Abu Umayyah berkata, “Hai Abu Talib, apakah kamu tidak suka dengan agama Abdul Muttalib?” Rasulullah ﷺ terus-menerus menawarkan hal itu kepada Abu Talib, tetapi keduanya selalu menentangnya dengan kalimat itu terhadap Abu Talib. Sehingga di akhir kalimat yang diucapkan Abu Talib menyatakan bahawa dirinya tetap berada pada agama Abdul Muttalib, dan menolak untuk mengucapkan kalimat “Tidak ada Tuhan selain Allah.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Demi Allah, sungguh aku akan memohonkan ampun buatmu (kepada Allah) selama aku tidak dilarang memohonkannya buatmu. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Tiadalah sepatutnya bagi nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya). (At-Taubah:113) Dan sehubungan dengan Abu Talib itu Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya. (Al-Qasas: 56). Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkannya melalui hadis Az-Zuhri.

Nabi Musa diberi kelebihan di mana ahli keluarga baginda semuanya beriman tetapi perkara yang sama tidak diberikan kepada Rasulullah ﷺ kerana kebanyakan daripada ahli keluarga baginda tidak mahu beriman. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat hendak memastikan mereka beriman kerana baginda tidak ada kuasa untuk memberi hidayah kepada sesiapa pun.

 

وَلٰكِنَّ اللهَ يَهدي مَن يَشاءُ

tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya,

Hanya Allah ﷻ sahaja tahu siapakah yang layak untuk mendapat hidayah kerana hati mereka sendiri yang mahukan kebenaran. Dan Hanya Allah  ﷻ sahaja yang tahu isi hati mereka dan kerana itu Allah ﷻ sahaja yang tahu siapa yang patut ditarik ke arah iman. Dan biasanya orang itu adalah orang yang ada sifat inabah (hendak jadi orang yang baik).

Oleh kerana itu kita kena minta hidayah kepada Allah ﷻ dan bukan kepada Rasulullah ﷺ kerana Rasulullah ﷺ sendiri tidak boleh memberi iman kepada kita. Macam Abu Tholib itu dia hanya baik dengan Nabi ﷺ sahaja tetapi tidak mahu berbaik dengan Allah ﷻ, maka kerana itu dia tidak mendapat hidayah.

Dikatakan lagi ini adalah kerana Abu Tholib itu hanya sayang dan membantu Rasulullah ﷺ kerana baginda adalah ‘anak saudaranya’ dan bukan kerana baginda itu seorang Nabi. Ulama’ mengatakan yang jikalau Abu Tholib itu membantu Rasulullah ﷺ kerana baginda itu seorang ‘Nabi’, maka Allah ﷻ akan bantu dengan beri hidayah kepadanya.

 

وَهُوَ أَعلَمُ بِالمُهتَدينَ

dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.

Dan Allah ﷻ akan memberi hidayah itu kepada mereka yang ada inabah iaitu keinginan kepada kebenaran di dalam hatinya. Allah pandai pilih siapa yang layak dapat.

Ayat ini mengajar kita yang kita wajib ikhtiar untuk dapat hidayah. Hari-hari kita kena minta kepada Allah supaya berikan hidayah kepada kita. Jangan minta hanya kerana rutin sahaja, tapi kena sematkan dalam hati yang memang mahu benar-benar kepada hidayah itu.

Maka kita kena sebarkan kitab hidayat (Al-Qur’an) kepada manusia supaya mereka sendiri mahu kepada hidayat itu dan mereka sendiri akan minta dan usaha untuk dapatkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Februari 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s