Ayat 57: Ini adalah ayat jenis syikayah. Iaitu rungutan Allah ﷻ tentang manusia yang degil. Allah ﷻ ulang balik kata-kata dan hujah mereka semasa menolak kebenaran. Sekarang Allah ﷻ menceritakan alasan Arab Mekah yang tidak mahu beriman. Selalunya alasan yang sama juga digunakan oleh manusia ini.
وَقالوا إِن نَّتَّبِعِ الهُدىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّف مِن أَرضِنا ۚ أَوَلَم نُمَكِّن لَّهُم حَرَمًا ءآمِنًا يُجبىٰ إِلَيهِ ثَمَرٰتُ كُلِّ شَيءٍ رِّزقًا مِّن لَّدُنّا وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they [i.e., the Quraysh] say, “If we were to follow the guidance with you, we would be swept¹ from our land.” Have We not established for them a safe sanctuary to which are brought the fruits of all things as provision from Us? But most of them do not know.
- By the other Arab tribes.
(MELAYU)
Dan mereka berkata: “Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami”. Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan dari segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
وَقالوا إِن نَّتَّبِعِ الهُدىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّف مِن أَرضِنا
Dan mereka berkata: “Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami”.
Ada penduduk Mekah yang datang kepada Nabi Muhammad ﷺ dan memberitahu yang jikalau mereka beriman dengan baginda, mereka akan dibuang daripada tanah Arab itu seperti burung yang mengambil makanan. Ini adalah perumpamaan: Burung akan patuk makanan itu dan mereka takut mereka kena ‘patuk’ (diambil mungkin di malam hari) dan dibuang ke luar dari Mekah.
Ini kerana mereka melihat kalangan para sahabat yang telah beriman dengan Rasulullah ﷺ itu menjadi tumpuan tempat diganggu oleh orang-orang yang jahat. Mereka pun takut mereka kena macam itu. Mereka takut hidup mereka susah.
Jadi walaupun mereka terpesona dengan Al-Qur’an itu (dan rasa ia benar) tetapi mereka masih takut-takut untuk beriman. Mereka tidak mahu menjadi mangsa kutukan kaum dan puak mereka. Mereka takut nasib mereka susah semasa di dunia.
Macam orang kita yang sudah mula kenal dengan jalan sunnah. Mereka sudah nampak yang jalan sunnah ini adalah jalan yang benar. Manakah tidak, hujah semua menggunakan ayat Al-Qur’an dan hadis dari Nabi. Tapi masih ramai yang tidak masuk sepenuhnya kerana mereka takut kena pulau dengan kawan-kawan dan keluarga mereka. Ini kerana mereka nampak banyak sekali orang yang mengamalkan sunnah disisih oleh masyarakat.
Mereka takut dipandang pelik oleh masyarakat lain. Contohnya, mereka takut jadi kutukan kalau tidak pergi ke Majlis Tahlil atau Doa Selamat yang dianjurkan oleh masyarakat yang masih jauh dari Jalan Sunnah.
أَوَلَم نُمَكِّن لَّهُم حَرَمًا ءآمِنًا
Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci) yang aman,
Allah ﷻ ingatkan Musyrikin Mekah itu dengan jasa yang telah diberikan kepada mereka. Mereka waktu itu tinggal di Mekah, Tanah Haram yang dihormati. Ianya aman dari gangguan puak-puak di luar Mekah.
Ini adalah kerana penduduk Mekah memang dihormati oleh masyarakat luar. Kalau penduduk tempat lain bermusafir di luar, ramai yang diganggu dan dirompak dan ada yang diserang dan dibunuh. Tapi penduduk Mekah selamat sahaja. Ini adalah kerana penduduk luar itu ada letak (parking) berhala mereka di Kaabah dan mereka takut kalau mereka ganggu orang Mekah, berhala mereka akan dipecahkan pula. (Apa? Bani Pak Taif itu kacau orang kita? Kita hancurkan berhala mereka sekarang!)
يُجبىٰ إِلَيهِ ثَمَرٰتُ كُلِّ شَيءٍ
yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan dari segala macam
Walaupun tanah Mekah tidak subur tapi makanan ada sahaja. Buah-buahan yang terpilih dibawa ke Mekah dari merata tempat. Allah ﷻ kata bukan sahaja buah-buahan tetapi buah-buahan yang terpilih iaitu buah-buahan yang baik. Inilah kelebihan yang Allah ﷻ telah berikan kepada penduduk Mekah kerana mereka tinggal di Mekah.
رِّزقًا مِّن لَّدُنّا
untuk menjadi rezeki dari sisi Kami
Allah ﷻ ingatkan yang itu semua adalah nikmat daripada sisi Allah ﷻ dan pemakbulan doa Nabi Ibrahim yang meminta sebegitu. Maka kenanglah rezeki yang Allah ﷻ telah berikan itu. Mereka hendak takut apa, sedangkan Allah ﷻ lama selamatkan mereka.
Mereka takut mereka akan menjadi mangsa orang-orang di sekeliling mereka tetapi Allah ﷻ ingatkan yang selama ini Allah ﷻ telah beri nikmat keselamatan kepada mereka daripada puak-puak dan bangsa lain di sekeliling mereka.
Allah ﷻ hendak memberitahu mereka bahawa jangan takut kerana jikalau mereka beriman, Allah ﷻ akan beri perlindungan kepada mereka. Sebagaimana Allah ﷻ telah beri perlindungan kepada penduduk tanah Mekah. Siapa yang beri keamanan mereka di Mekah itu kalau bukan Allah ﷻ? Maka takkan Allah ﷻ tak boleh selamatkan mereka kalau mereka masuk Islam?
وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ
Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Malangnya kebanyakan dari mereka tidak tahu tentang perkara itu dan kerana itu mereka tidak sanggup untuk beriman. Mereka tidak percaya dengan yakin kepada Allah ﷻ. Mereka takut sangat, sampaikan mereka sanggup tinggalkan kebenaran, asalkan mereka selamat di dunia.
Ayat 58: Ayat takhwif duniawi. Allah ﷻ suruh berjalan dan bermusafir lihat tempat lain. Allah ﷻ ingatkan kepada penduduk Mekah itu dan manusia di mana-mana sahaja.
وَكَم أَهلَكنا مِن قَريَةٍ بَطِرَت مَعيشَتَها ۖ فَتِلكَ مَسٰكِنُهُم لَم تُسكَن مِّن بَعدِهِم إِلّا قَليلًا ۖ وَكُنّا نَحنُ الوٰرِثينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And how many a city have We destroyed that was insolent in its [way of] living, and those are their dwellings which have not been inhabited after them except briefly.¹ And it is We who were the inheritors.
- By travelers seeking temporary shelter. The reference is to the ruins which were visible to the Quraysh during their journeys.
(MELAYU)
Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang telah Kami binasakan, yang sudah berbangga dalam kehidupannya; maka itulah tempat kediaman mereka yang tiada didiami (lagi) sesudah mereka, kecuali sebahagian kecil. Dan Kami adalah Pewaris(nya).
وَكَم أَهلَكنا مِن قَريَةٍ بَطِرَت مَعيشَتَها
Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang telah Kami binasakan, yang berbangga dalam kehidupannya;
Dan Allah ﷻ ingatkan kepada mereka entah berapa banyak negeri dan kampung yang telah Allah ﷻ musnahkan. Berjenis-jenis negeri dan tempat duduk yang Allah ﷻ telah musnahkan.
Mereka itu berbagai-bagai jenis dan tempat tetapi mereka itu dimusnahkan kerana sebab yang sama: iaitu mereka tidak beriman sempurna (tanpa syirik) dan kerana mereka telah leka dengan kehidupan senang mereka. Mereka telah salahgunakan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka.
Oleh kerana mereka berada dalam kehidupan yang senang (macam penduduk Mekah itu), maka mereka telah sombong untuk terima kebenaran. Ini masalahnya apabila manusia hidup dalam kesenangan: mereka rasa mereka tidak memerlukan sesiapa dan mereka lupa yang mereka akan mati.
فَتِلكَ مَسٰكِنُهُم
maka itulah tempat kediaman mereka
Tempat tinggal mereka telah dimusnahkan langsung. Dan kamu wahai penduduk Mekah pun apabila bermusafir telah melihat peninggalan-peninggalan sebahagian daripada mereka. Antaranya mereka boleh lihat peninggalan Kaum Aad dan Tsamud.
لَم تُسكَن مِّن بَعدِهِم إِلّا قَليلًا
yang tiada di diami (lagi) sesudah mereka, kecuali sebahagian kecil.
Tempat-tempat itu telah dimusnahkan oleh Allah ﷻ dengan teruk sampaikan tidak boleh didiami lagi melainkan sebahagian kecil sahaja. Nak dijadikan tempat tinggal memang tidak boleh, tetapi hanya boleh dijadikan sebagai tempat laluan sahaja.
Kalau Allah ﷻ hancurkan, memang tidak berguna lagi tempat itu. Takkan nak jadikan Mekah sampai begitu pula? Tidak sayangkah mereka kepada Mekah itu?
وَكُنّا نَحنُ الوٰرِثينَ
Dan Kami adalah Pewaris(nya).
Dan Allah-lah yang akan menjadi waris yang akhir sekali kerana nanti semua tempat peninggalan itu akan ditinggalkan oleh manusia dan hanya tinggal Allah ﷻ sahaja. Bukan sahaja tempat-tempat yang telah dimusnahkan itu tetapi Mekah pun akan musnah juga akhirnya nanti. Dan bukan Mekah sahaja, tapi keseluruhan bumi ini juga akhirnya akan diwarisi oleh Allah ﷻ.
Allah ﷻ hendak mengingatkan manusia bahawa yang kekal hanya Allah ﷻ sahaja. Memang semua tempat akan dimusnahkan seperti firman Allah ﷻ dalam ayat lain:
وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا}
Tak ada suatu negeri pun melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. (Al-Isra: 58), hingga akhir ayat.
Ayat 59:
وَما كانَ رَبُّكَ مُهلِكَ القُرىٰ حَتّىٰ يَبعَثَ في أُمِّها رَسولًا يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِنا ۚ وَما كُنّا مُهلِكِي القُرىٰ إِلّا وَأَهلُها ظٰلِمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And never would your Lord have destroyed the cities until He had sent to their mother [i.e., principal city] a messenger reciting to them Our verses. And We would not destroy the cities except while their people were wrongdoers.
(MELAYU)
Dan tidak adalah Tuhanmu membinasakan kota-kota, sebelum Dia mengutus di ibukota itu seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota; kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.
وَما كانَ رَبُّكَ مُهلِكَ القُرىٰ حَتّىٰ يَبعَثَ في أُمِّها رَسولًا
Dan tidak adalah Tuhanmu membinasakan kota-kota, sebelum Dia mengutus di ibukota itu seorang rasul
Allah bukanlah hendak memusnahkan semua tempat itu melainkan setelah Allah ﷻ membangkitkan Rasul di ibu negaranya. Allah ﷻ beri peluang dengan berikan ilmu kepada mereka, dengan dibangkitkan para Rasul untuk mengajar mereka tentang tauhid dan tentang agama.
Allah ﷻ akan hantar Rasul di ibukota kerana dari ibukota itulah ajaran tauhid akan dibawa ke tempat lain. Seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:
{لِتُنْذِرَ أُمَّ الْقُرَى وَمَنْ حَوْلَهَا}
agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah) dan orang-orang yang di luar lingkungannya. (Al-An’am: 92)
يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِنا
yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka;
Para Rasul itu membacakan wahyu Allah ﷻ kepada umat mereka. Begitulah cara Allah ﷻ menyebarkan wahyu itu dengan dibangkitkan Rasul di tengah-tengah ibu negara dan darinya akan disampaikan dakwah ke tempat yang lain. Yang penting kena sampaikan ajaran wahyu kepada manusia.
Kerana itulah kita apabila berdakwah, kena bacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia. Kerana hati manusia akan terbuka dengan ayat-ayat wahyu. Wahyu itu ada mukjizat yang dapat membuka hati manusia.
وَما كُنّا مُهلِكِي القُرىٰ إِلّا وَأَهلُها ظٰلِمونَ
dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota; kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.
Dan Allah ﷻ tidak akan menghancurkan sesuatu tempat itu melainkan setelah pasti bahawa penduduk itu telah zalim dan Allah ﷻ tahu yang mereka tidak akan berubah. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah ظالِمونَ dan bukan يظلمون.
Kalau kalimah ظالِمونَ itu di dalam bentuk noun (isim/kata nama), maknanya mereka telah kekal sebagai seorang yang zalim. Kalau kalimah يظلمون ia bermaksud mereka ‘sedang melakukan kezaliman’, mungkin mereka boleh berubah lagi. Kerana itu tidak sama ‘tukang masak’ dengan orang yang sedang memasak. Tukang masak memang sentiasa masak dan pakar dalam memasak. Kalau ‘sedang memasak’ sahaja, entah-entah dia sedang masak maggi sahaja.
Maksudnya ظالِمونَ itu adalah mereka yang memang sudah zalim teruk (dan sudah jadi sifat mereka yang kekal) dan Allah ﷻ tahu yang mereka itu tidak akan berubah lagi hati mereka. Kalau mereka itu masih ada harapan lagi untuk berubah maka Allah ﷻ tidak akan hancurkan mereka terus kerana Allah ﷻ akan beri peluang kepada mereka. Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati manusia. Kerana itu Allah ﷻ layak untuk buat keputusan itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 29 September 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan