Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 46 – 50 (Tidak memahami Al-Qur’an)

Isra’ Ayat 46: Oleh sebab itu mereka dihalang daripada mendapat hidayah. Mereka dihalang kerana mereka sendiri yang menolak untuk percaya.

 

وَجَعَلنَا عَلَىٰ قُلُوبِہِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِہِم وَقرًا‌ۚ وَإِذَا ذَكَرتَ رَبَّكَ فِى ٱلقُرءَانِ وَحدَهُ ۥ وَلَّواْ عَلَىٰٓ أَدبَـٰرِهِم نُفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have placed over their hearts coverings, lest they understand it, and in their ears deafness. And when you mention your Lord alone in the Qur’ān, they turn back in aversion.

(MELAYU)

dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur’an, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana benci,

 

وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ

dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka agar mereka tidak dapat memahaminya. 

Bukan sahaja ada penghalang, tetapi pada hati mereka juga ada أَكِنَّةً (penutup). Kalimah أَكِنَّةً adalah dalam bentuk jamak daripada كنان kinan, ertinya selaput yang menutupi hati. Asalnya ia adalah penutup sebagai penghalang daripada sinaran matahari, selimut yang menutupi badan atau penutup bekas makanan.

Ia digunakan dalam ayat ini sebagai analogi ada penutup yang menghalang ‘cahaya’ kebenaran daripada sampai kepada mereka. Allah ﷻ selalu ibaratkan kebenaran dalam bentuk cahaya. Ini menjadikan mereka duduk dalam kegelapan agama. Allah ﷻ terus letak mereka dalam gelap sampai wahyu tidak sampai kepada mereka. Kerana itu mereka tidak faham.

 

وَفي آذانِهِم وَقرًا

dan sumbatan di telinga mereka,

Pada pendengaran mereka juga ada penutup maknawi. Kalimah وَقرًا asalnya bermaksud sesuatu yang berat. Maka kiasannya seperti ada benda yang berat sangat di telinga seseorang itu sampai tidak dapat mendengar. Ia adalah kiasan sahaja kerana yang dimaksudkan di sini adalah mereka tidak dapat mendengar kebenaran. Walaupun telah disampaikan kepada mereka, mereka tidak mampu untuk dengar. Mereka dengar, tetapi mereka tidak faham.

Anda jangan beranggapan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa Allah ﷻ yang menghalang mereka beriman, dengan dalih “Kami telah meletakkan di atas hati mereka penutup-penutup”. Jangan beranggapan demikian, kerana penutup-penutup itu diletakkan Allah ﷻ setelah terbukti keengganan mereka menerima kebenaran. Keengganan itu lahir akibat keburukan hati serta sikap mereka yang dengki dan ingin mempertahankan keistimewaan yang selama ini mereka nikmati (dan kedudukan mereka di dalam masyarakat), serta kerana ada penyumbat di telinga mereka, sehingga walau mereka dengan sengaja dan bersungguh-sungguh mendengarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan keterangan-keterangan Nabi ﷺ, mereka tidak dapat mengambil manfaat. Penutup-penutup hati itu diletakkan Allah ﷻ setelah sebelumnya sudah ada sumbatan di telinga mereka, sehingga mereka tuli bahkan buta. Ini kerana nafsu mereka yang telah menutupnya.

Al-Qur’an adalah bacaan, dan ketika turun ia bukanlah satu tulisan. Masyarakat Arab yang pertama menerimanya pun tidak pandai membaca, sehingga alat pancaindera pertama untuk menangkap pesan-pesannya adalah pendengaran. Bahkan seseorang tidak akan mampu membaca sebelum dia mendengar bunyi pengucapan huruf-huruf yang dibacanya. Setelah itu barulah dengan melihat huruf-huruf itu dia dapat membacanya. Maka kalau tidak mampu mendengar Al-Qur’an, memang akan ada masalah.

Golongan Musyrikin Mekah itu tidak faham Al-Qur’an walaupun mereka dengar Al-Qur’an dibacakan. Sekarang bagaimana dengan orang Islam kita? Kalau mereka pun tidak faham Al-Qur’an, maka apa bezanya dengan orang musyrikin itu? Maka kerana itulah kena belajar tafsir Al-Qur’an, jangan setakat baca sahaja.

 

وَإِذا ذَكَرتَ رَبَّكَ فِي القُرءآنِ وَحدَهُ

Dan apabila kamu menyebut Tuhanmu saja dalam Al Qur’an, 

Dalam ayat ini, ditekankan tentang Tuhan itu satu sahaja kerana ramai orang kafir mengambil banyak tuhan-tuhan rekaan mereka. Malangnya, orang Islam pun ada fahaman sebegitu kerana itu mereka ada banyak sembahan ilah-ilah selain Allah ﷻ.

Mereka seolah-olah tidak berpuas hati yang Al-Qur’an sebut tentang Allah ﷻ sahaja sebagai ilah. Mereka berharap kalau-kalau ada disebut tentang manusia-manusia yang ada berkat, para malaikat yang dijadikan wasilah (perantara), kerana itulah fahaman mereka. Kerana itu mereka bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat. Ramai orang Islam yang bertawasul dengan Nabi, wali dan malaikat kerana diajar oleh guru-guru yang sesat. Sedangkan tidak ada dalil tentang amalan ini dalam agama. Dalam Al-Qur’an hanya sebut tentang Allah ﷻ sahaja sebagai ilah dan tidak ada yang lain.

Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut.

    1. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus.
    2. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan.
    3. Di dalam ayat 45 kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.
    4. Sekarang di dalam ayat ini kita diberitahu yang orang musyrik melarikan diri apabila Al-Qur’an hanya menyebut Allah ﷻ sahaja Tuhan yang Esa.

 

وَلَّوا عَلىٰ أَدبارِهِم نُفورًا

nescaya mereka berpaling ke belakang kerana benci,

Oleh itu, apabila disampaikan (didakwah) kepada mereka yang dalam Al-Qur’an kena doa terus kepada Allah ﷻ sahaja, tidak boleh melalui perantara, mereka tidak suka. Kalau dikatakan boleh puja Allah ﷻ sahaja, pun mereka tidak suka kerana mereka juga memuja selain Allah ﷻ. Kalau kita tekankan perkara ini kepada mereka, mereka berpusing kerana benci dengan apa yang kita sampaikan.

Mereka mulalah kata macam-macam tohmahan dan ejekan kepada kita. Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya di dalam Zumar: 45:

وَإِذا ذُكِرَ اللَهُ وَحدَهُ اشمَأَزَّت قُلوبُ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ ۖ وَإِذا ذُكِرَ الَّذينَ مِن دونِهِ إِذا هُم يَستَبشِرونَ
Dan apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain daripada Allah, mereka dengan serta merta gembira.

Ini kerana mereka ada akidah salah tentang Allah ﷻ dan buruk sangka tentang Allah ﷻ. Mereka sangka kalau mereka doa terus kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ tidak dengar doa mereka. Maka mereka pun carilah perantara-perantara untuk sampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Tujuan mereka adalah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Namun ini adalah akidah dan fahaman yang salah dan Allah ﷻ telah kutuk di dalam Zumar: 3

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”


 

Isra’ Ayat 47: Ayat sebelum ini menyebut golongan penentang itu tidak faham apabila dibaca ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. . Di sini disebut mereka sebenarnya dengar juga Al-Qur’an, namun bukan untuk memahami, sebaliknya hanya untuk mencari-cari kelemahan dan kesalahan di dalam Al-Qur’an.

Oleh kerana Nabi ﷺ membawakan ajaran tauhid, melarang menggunakan tawasul, maka mereka tidak suka dengan apa yang disampaikan oleh baginda. Maka mereka buat rancangan untuk menjatuhkan ajaran tauhid. Allah ﷻ memberitahu kita bahawa memang golongan penentang ada buat rancangan untuk menjatuhkan Islam.

نَّحنُ أَعلَمُ بِمَا يَستَمِعُونَ بِهِۦۤ إِذ يَستَمِعُونَ إِلَيكَ وَإِذ هُم نَجوَىٰٓ إِذ يَقُولُ ٱلظَّـٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلاً مَّسحُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We are most knowing of how they listen to it when they listen to you and [of] when they are in private conversation, when the wrongdoers say, “You follow not but a man affected by magic.”

(MELAYU)

Kami lebih mengetahui dalam keadaan bagaimana mereka mendengarkan sewaktu mereka mendengar kepada kamu, dan sewaktu mereka berbisik-bisik (iaitu) ketika orang-orang zalim itu berkata: “Kamu tidak lain hanyalah mengikuti seorang laki-laki yang kena sihir”.

 

نَّحنُ أَعلَمُ بِمَا يَستَمِعُونَ بِهِۦۤ إِذ يَستَمِعُونَ إِلَيكَ

Kami lebih mengetahui dalam keadaan bagaimana mereka mendengarkan sewaktu mereka mendengar kepada kamu,

Seperti yang kita tahu, nilai Al-Qur’an itu tinggi yang memberi pengajaran kepada mereka yang membuka hati untuk menerimanya. Namun ada yang hanya mendengar bacaan Al-Qur’an tetapi mereka tidak mahu beriman pun dengan apa yang disampaikan di dalamnya. Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah, walaupun mereka faham bahasa Arab, malangnya hati mereka tidak menerima apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu.

Allah ﷻ gunakan kalimah يَستَمِعُونَ yang bermaksud mendengar sungguh-sungguh Al-Qur’an itu, tetapi bukan untuk mencari kebenaran namun untuk mencari kelemahan. Di sini kita dapat tahu yang Allah ﷻ bukan sahaja tahu apa yang mereka lakukan, tetapi Allah ﷻ tahu apakah motivasi atau tujuan mereka melakukannya. Kalimah بِهِۦۤ di dalam يَستَمِعُونَ بِهِ ada yang mentafsirkan ia dhomir kepada Al-Qur’an, tetapi ada juga yang menisbahkannya kepada telinga.

Bukan mereka sahaja, umat zaman berzaman ada sahaja berperangai begitu. Malah umat Islam pun ada juga yang begitu. Mereka datang dengar bacaan Al-Qur’an atau kelas Tafsir sekadar hanya mahu memperolok-olokkan ajaran di dalamnya. Sebagai contoh, ada juga yang masuk kelas tafsir tetapi bukan mahu belajar sebenarnya, tetapi mahu mengejek. Kalau kelas itu dalam media sosial, mereka akan sampaikan ajaran itu kepada kawan-kawan yang sefahaman dengan mereka sampai mengejek-ngejek.

Asal ayat ini adalah tentang pemuka Quraish yang datang dengar-dengar bacaan Al-Qur’an daripada Nabi Muhammad ﷺ (secara rahsia). Allah ﷻ tahu bagaimana cara mereka dengar Al-Qur’an itu. Mereka tidak hiraukan pun ajaran yang ada dalam Al-Qur’an itu. Mereka cuma dengar Al-Qur’an itu kerana mereka suka dengar sahaja kerana Al-Qur’an itu sedap didengar. Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu mereka dengar Al-Qur’an itu untuk tujuan apa.
Ada hadith yang berkenaan perkara ini:

Muhammad ibnu Ishaq di dalam kitab As-Sirah-nya mengatakan, telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnu Muslim ibnu Syihab Az-Zuhri; dia pernah menceritakan suatu kisah bahawa Abu Sufyan ibnu Harb dan Abu Jahal ibnu Hisyam serta Al-Akhnas ibnu Syuraiq ibnu Amr ibnu Wahb As-Saqafi keluar di suatu malam dengan tujuan untuk mendengar apa yang dibaca oleh Rasulullah Saw. dalam solatnya di malam hari di dalam rumahnya. Kemudian masing-masing orang dari mereka mengambil posisinya masing-masing untuk mencuri dengar dari tempat (posisi)nya, masing-masing dari mereka tidak mengetahui tempat temannya. Maka semalaman penuh mereka mendengarkan apa yang dibaca oleh Rasulullah Saw. Setelah fajar terbit, mereka bubar.’ Dan ketika mereka bertemu di tengah perjalanan pulang, mereka saling mencela di antara sesamanya. Sebahagian dari mereka mengatakan kepada sebahagian yang lain, “Janganlah kalian lakukan lagi, kerana kalau ada seseorang dari kalangan awam kalian melihat kalian, maka akan menimbulkan kecurigaan di hatinya terhadap kalian.” Setelah itu mereka pulang ke tempatnya masing-masing. Kemudian pada malam yang kedua, masing-masing dari mereka kembali ke tempat posisinya semula, lalu semalaman mereka mendengarkan bacaan Nabi Saw. Ketika fajar terbit mereka bubar; dan dalam perjalanan pulangnya mereka bersua, lalu sebahagian dari mereka mengatakan hal yang sama seperti kelmarin kepada sebahagian yang lainnya, kemudian pulang ke rumahnya masing-masing. Pada malam yang ketiganya masing-masing orang dari mereka kem¬bali ke tempat posisinya semula, lalu semalaman mereka mendengarkan bacaan Nabi Saw. (dalam solatnya) hingga fajar terbit, kemudian mereka pulang. Di tengah jalan mereka bersua, maka sebahagian dari mereka mengatakan kepada sebahagian yang lain, “Kita tidak mahu meninggalkan tempat ini sebelum ada perjanjian di antara kita, bahawa kita tidak akan kembali lagi melakukan hal ini!” Akhirnya mereka mengadakan perjanjian di antara sesamanya, bahawa mereka tidak akan mengulanginya lagi. Se¬telah itu masing-masing pulang ke rumahnya. Pada keesokan harinya Al-Akhnas ibnu Syuraiq mengambil tong¬katnya, lalu keluar rumah menuju ke tempat Abu Sufyan ibnu Harb. Sesampainya di rumah Abu Sufyan, Al-Akhnas berkata kepadanya, “Hai Abu Hanzalah, bagaimanakah pendapatmu tentang apa yang telah engkau dengar dari Muhammad?” Abu Sufyan menjawab, “Hai Abu Salabah, demi Allah, sesungguh¬nya saya telah mendengar banyak hal yang saya ketahui, dan saya menge¬tahui apa yang dimaksudkan olehnya dengan perkataannya itu. Tetapi saya juga telah mendengar banyak hal yang tidak saya ketahui makna dan maksudnya.” Al-Akhnas berkata, “Demi yang engkau sebut dalam sumpahmu itu, saya pun mempunyai pemahaman yang sama.” Al-Akhnas pergi meninggalkan Abu Sufyan, lalu menuju ke rumah Abu Jahal. Sesampainya di rumah Abu Jahal, Al-Akhnas bertanya kepa¬danya, “Hai Abul Hakam, bagaimanakah pendapatmu tentang apa yang telah engkau dengar dari Muhammad?” Abu Jahal menjawab, “Apa yang saya dengar?” Abu Jahal melanjutkan perkataannya, “Kami dan Bani Abdu Manaf bersaing untuk merebut kedudukan. Mereka memberi makan, maka kami memberi makan pula. Mereka memberikan tunggang¬an, maka kami pun memberikan tunggangan pula. Dan mereka memberi, maka kami pun memberi pula. Hingga manakala kami sedang sengit-sengitnya berlumba, mereka mengatakan, ‘Di antara kami ada seorang nabi yang mendapat wahyu dari langit.’ Maka jika kami menjumpai masa¬nya, demi Allah, kami tidak akan beriman kepadanya dan tidak memper¬cayainya selama-lamanya.” Maka Al-Akhnas bangkit meninggalkan Abu Jahal dan pulang ke rumahnya.

 

وَإِذ هُم نَجوَىٰٓ

dan sewaktu mereka berbisik-bisik

Allah ﷻ juga tahu apa yang mereka bermesyuarat bersama mereka secara rahsia. Mereka berbisik sesama mereka kerana mereka sedang buat rancangan jahat untuk menjatuhkan ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah tentang musyrikin Mekah yang buat rancangan untuk selamatkan diri mereka daripada ajaran ‘sesat’ Nabi Muhammad ﷺ, kononnya.

Mereka sudah tidak tahan dengan apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an kerana ia bertentangan dengan ajaran tok nenek mereka yang mengamalkan syirik, mengamalkan tawasul. Maka mereka telah merancang untuk halang Al-Qur’an dan Rasulullah ﷺ.

إِذ يَقُولُ ٱلظَّـٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلاً مَّسحُورًا

ketika orang-orang zalim itu berkata: “Kamu tidak lain hanyalah mengikuti seorang laki-laki yang kena sihir”.

Mereka sudah risau dengan perkembangan agama Islam kerana sudah ramai yang mula percaya kepada Al-Qur’an. Kerana mereka lihat, semakin ramai yang dengar bacaan Al-Qur’an, semakin ramai yang beriman. Oleh itu, orang-orang musyrik yang zalim itu buat rancangan untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Muhammad ﷺ.

Mereka telah pergi jumpa golongan yang telah beriman dan mereka terus kata yang Nabi Muhammad ﷺsebenarnya seorang yang sudah terkena sihir. Ini adalah percubaan mereka untuk kembalikan orang-orang yang telah beriman itu ke jalan syirik. Mereka kata yang Nabi ﷺ adalah seorang yang terkena sihir yang memiliki jin. Mereka kata jin itu selalu datang kepada baginda untuk menyam¬paikan kalam yang telah didengarnya, kemudian Nabi ﷺ membacakannya kepada manusia. Itulah tohmahan mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ.

Kalau orang kita sekarang, mereka akan pergi kepada orang yang telah mula untuk menerima sunnah, dan mereka ‘menasihati’ orang itu jangan percaya dengan ustaz-ustaz ‘Wahabi’ itu. Mereka kata jangan pergi dengar dengan ajaran sunnah lagi kerana kalau ikut, akan terpengaruh dengan ajaran ‘Wahabi’.


 

Isra’ Ayat 48:

ٱنظُر كَيفَ ضَرَبُواْ لَكَ ٱلأَمثَالَ فَضَلُّواْ فَلَا يَستَطِيعُونَ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Look how they strike for you comparisons;¹ but they have strayed, so they cannot [find] a way.

  • Describing the Prophet () as a poet, a madman or one under the influence of sorcery.

(MELAYU)

Lihatlah bagaimana mereka membuat perumpamaan-perumpamaan terhadapmu; kerana itu mereka menjadi sesat dan tidak dapat lagi menemukan jalan (yang benar).

 

انظُر كَيفَ ضَرَبوا لَكَ الأَمثالَ

Lihatlah bagaimana mereka membuat perumpamaan-perumpamaan terhadapmu;

Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengandungi kalimah انظُر. Asalnya ia bermaksud ‘lihatlah’ akan tetapi ia bermaksud perhatikan dan fikirkanlah. Ini adalah kerana Allah ﷻ mengajar manusia untuk menggunakan akal. Allah ﷻ mencela manusia yang tidak menggunakan akal seperti ayat-ayat أفلا تعقلون، أفلا تتفكرون dan sebagainya. Maknanya Islam tidaklah memandulkan akal melainkan menggalakkan kita menggunakan akal.

Penentang-penentang yang musyrik itu telah menjadikan perumpamaan yang buruk tentang Nabi. Mereka kata baginda ahli sihir lah, kena sihir lah, kena rasuk jin lah, penipu lah, tukang tenung lah, penyair lah dan lain-lain lagi. Nabi ﷺ sendiri tidak tahu apa yang telah dikatakan oleh mereka di belakang baginda, tetapi Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu.

 

فَضَلّوا

kerana itu mereka menjadi sesat 

Mereka yang telah buat perkara itu, tidak akan memperolehi jalan kepada hidayah kerana mereka telah menghina Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah menolak dari awal lagi ajaran kebenaran yang sampai kepada mereka. Maka hati mereka telah ditutup.

 

فَلا يَستَطيعونَ سَبيلًا

dan tidak dapat lagi menemukan jalan

Mereka akan terus sesat kerana menolak dari awal. Maka kita takut kalau ramai dalam kalangan puak-puak bid’ah sekarang yang mengatakan bermacam-macam fitnah kepada kepada orang-orang sunnah. Amat bahaya kalau mereka menentang. Kalau mereka tidak terima sahaja, tanpa menentang, masih lagi ada harapan untuk mereka menerima hidayah itu.

Mungkin ramai yang tidak dapat terima ajaran Sunnah (kerana tidak biasa lagi dengar), tetapi mereka tidak menentang, mereka biarkan sahaja. Lama kelamaan, kalau mereka yang jenis begini buka hati mereka dan cuba perhatikan manakah pihak yang beri hujah yang lebih kuat (sama ada puak sunnah atau puak bid’ah itu), lama kelamaan mereka akan nampak yang puak sunnah lah yang lebih kuat hujahnya.

Manakan tidak, puak sunnah beri hujah daripada Al-Qur’an dan hadith yang sahih, sedangkan puak bid’ah itu asyik beri hujah-hujah yang merapu sahaja. Mereka boleh terbuka hati kerana mereka tidak menentang dari awal. Mereka mungkin tunggu dengar dan lihat.

.


 

Isra’ Ayat 49: Ayat syikayah (rungutan daripada Allah ﷻ). Di dalam ayat jenis ini Allah ﷻ mengulang kembali kata-kata golongan penentang. Ini adalah salah satu daripada hujah bodoh mereka.

Setelah ayat yang lalu menjelaskan kesesatan kaum musyrikin secara umum, kini dihuraikan kesesatan mereka secara khusus, yakni berkaitan dengan penolakan tentang kepastian adanya hari Kiamat.

وَقَالُوٓاْ أَءِذَا كُنَّا عِظَـٰمًا وَرُفَـٰتًا أَءِنَّا لَمَبعُوثُونَ خَلقًا جَدِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “When we are bones and crumbled particles, will we [truly] be resurrected as a new creation?”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Apakah bila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, apa benar-benarkah kami akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk yang baru?”

 

وَقَالُوٓاْ أَءِذَا كُنَّا عِظَـٰمًا وَرُفَـٰتًا

Dan mereka berkata: “Apakah bila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, 

Mereka tidak percaya yang mereka akan dihidupkan. Mereka guna akal mereka untuk menolak kebenaran. Mereka lihat tulang belulang manusia dan fikir: ‘Bagaimanalah tulang-tulang ini boleh hidup balik?’

Kata (رفات) rufat terambil daripada kata (رفت) rafata yang bererti menghancurkan sehingga menjadi keping-keping yang sangat kecil, bagaikan pasir, atau tepung.

.

 

أَءِنَّا لَمَبعُوثُونَ خَلقًا جَدِيدًا

apa benar-benarkah kami akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk yang baru?”

Mereka beri hujah begini: ‘Takkan apabila tulang mereka sudah hancur, nanti mereka akan dihidupkan balik?’ Ini tidak masuk akal pada mereka. Maka soalan ini telah disentuh dan dijawab berkali-kali oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an, dan sekarang ada disebut lagi di sini. Allah ﷻ akan beri jawapannya.

Allah ﷻ telah pernah beri jawapan kepada soalan mereka yang sebegini di dalam Yaasin: 78-79

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ
Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

قُل يُحييهَا الَّذي أَنشَأَها أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ
Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya);


 

Isra’ Ayat 50: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang syikayah Allah ﷻ berkenaan orang yang tidak percaya tentang kehidupan selepas mati. Mereka kata kalau mereka sudah jadi tulang yang hancur, takkan mereka dihidupkan balik? Maka Allah ﷻ jawab syikayah itu dalam ayat ini.

۞ قُل كونوا حِجارَةً أَو حَديدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Be you stones or iron¹

  • i.e., even if you should be stones or iron.

(MELAYU)

Katakanlah: “Jadilah kamu sekalian batu atau besi,

 

Allah ﷻ jawab kepada mereka dengan nada yang marah. Allah ﷻ marah kerana Allah ﷻ telah beri mereka berbagai perumpamaan dalam berbagai ayat, tetapi masih tidak faham-faham. Maka Allah ﷻ perli mereka, bagaimana kalau mereka jadi batu atau besi?

Maknanya tidak hancur menjadi tanah pun, tetapi menjadi batu atau besi. Atau, kalau kamu hairan sangat, kamu jadilah batu atau besi (yang keras), pun Allah ﷻ boleh hidupkan mereka balik. Ini cara Allah ﷻ suruh mereka senyap dan tutup mulut mereka daripada berhujah dengan cara yang kurang ajar. Allah ﷻ gunakan kata yang keras kerana mereka sudah teruk sangat.

Atau, Allah ﷻ perli mereka sepatutnya mereka menjadi batu atau besi kerana batu dan besi tidak ada tanggungjawab syariat dan mereka tidak diadili di akhirat kelak. Namun itu tentulah mustahil kerana Allah ﷻ yang menentukan mereka menjadi apa. Maka apakah faedah Rasulullah ﷺ disuruh untuk mereka menjadi besi atau batu? Ia untuk menunjukkan ketidakupayaan mereka sebagai makhluk. Semuanya ditentukan oleh Allah ﷻ .

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 46 – 50 (Tidak memahami Al-Qur’an)”

Leave a comment