Ayat 71: Ayat 71 – 83 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia menceritakan sifat-sifat Qudrat Allah. Ayat 71 ini adalah Dalil aqli. Ini lagi satu ayat dalil menunjukkan Tuhan itu berkuasa penuh dan kerana itu hanya Dia sahaja yang patut disembah.
أَوَلَم يَرَوا أَنّا خَلَقنا لَهُم مِّمّا عَمِلَت أَيدينا أَنعٰمًا فَهُم لَها مٰلِكونَ
Do they not see that We have created for them from what Our hands have made, grazing livestock, and [then] they are their owners?
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?
أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ
Tidakkah mereka melihat bahawa Kamilah yang menciptakan bagi mereka
Allah sahaja yang menciptakan apa sahaja dalam alam ini. Dan alam ini dan segala yang ada di dalamnya adalah untuk kita kerana Allah gunakan kalimat لهم (untuk mereka) dalam ayat ini.
Kalimah ‘tidakkah engkau melihat’ bermaksud ‘tidakkah engkau faham’? Tidakkah engkau mahu memikirkan? Dalam bahasa kita pun selepas kita jelaskan sesuatu kepada seseorang, kita tanya dia: “kau nampak tak?”
مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا
daripada yang dibuat dengan tangan Kami
Allah mengingatkan manusia bahawa semua itu dilakukan olehNya. Bukan oleh tangan manusia sendiri, tapi Allah cipta dengan kekuasaanNya. Dengan TanganNya sendiri. Bagaimana rupa tangan Allah, tidak perlu kita bayangkan dan cuba jelaskan.
Sudah pasti, ia tidak sama dengan tangan kita. Seperti ayat pertama surah ini (يس) kita tidak dapat jelaskan, begitu jugalah bagaimana rupa tangan Allah ini.
أَنْعٰمًا
binatang-binatang ternak;
Allah telah jadi bagi kita ternakan seperti lembu, kambing dan sebagainya. Kerana kalau an’am, ia adalah binatang ternak; kalau bahimah, ia adalah binatang liar. Begitu banyak nikmat yang manusia telah dapat dari binatang-binatang ternak ini. Dari zaman dulu sampailah zaman sekarang.
Mungkin manusia zaman sekarang tak perasan sebab kita beli daging dan susu dari pasaraya sekarang, tapi hendaklah kita ingat bahawa ianya datang dari binatang-binatang itu juga. Cuma sahaja kita tidak bela dan tidak sembelih sendiri binatang-binatang itu.
فَهُمْ لَهَا مٰلِكُونَ
yang mereka miliki?
Manusia memiliki binatang ternak itu untuk kegunaan mereka dengan mudahnya. Ini menunjukkan bahawa Allah telah menundukkan binatang ternak kepada manusia. Manusia memiliki kemampuan untuk menundukkan binatang. Sampaikan kanak-kanak pun dapat tunggang unta; kalau unta beratus-ratus pun kita masih dapat kawal mereka – tidaklah mereka berani nak lawan manusia kerana mereka lebih ramai. Ini adalah dari rahmat Allah. Kalau bukan Allah benarkan, tidak dapat kita lakukan.
Allah mengingatkan manusia tentang nikmat yang telah diberikanNya kepada manusia tapi kebanyakan manusia lupa tentangnya. Kalau kita telah berbakti kepada manusia dan manusia itu tidak ikut cakap kita, kita akan mengingatkan mereka tentang segala pertolongan dan jasa yang telah diberikan kepada mereka dulu semasa mereka susah, atau semasa mereka memerlukannya. Begitulah dengan manusia, kadang-kadang perlu diingatkan dengan nikmat yang Allah telah berikan sebagai peringatan untuk mereka.
Ayat 72:
وَذَلَّلنٰها لَهُم فَمِنها رَكوبُهُم وَمِنها يَأكُلونَ
And We have tamed them for them, so some of them they ride, and some of them they eat.
Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.
وَذَلَّلْنٰهَا لَهُمْ
Dan Kami jinakkan binatang ternak untuk mereka;
Allah kata Dialah yang menjinakkan binatang itu. Kalaulah kambing itu garang sikit, kita pun sudah susah nak sembelih. Kalau binatang jadi ganas, kita pun tak boleh bela. Sebab itu ada binatang macam harimau kita tidak boleh bela, bukan?
Ada banyak jenis binatang dalam dunia ini yang telah dijadikan oleh Allah, tapi tak semua kita boleh jinakkan. Allah beri ada binatang tidak jinak supaya kita dapat menghargai nikmat binatang yang jinak itu. Maka, menjinakkan binatang sampai kita boleh mendapat manfaat darinya adalah nikmat dari Allah. Allah ingatkan kita tentang nikmat itu kepada kita.
فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ
maka sebahagian darinya dijadikan tunggangan
Ada binatang yang jinak sangat sampai boleh dijadikan sebagai kenderaan seperti unta, kuda, keldai dan lain-lain lagi.
وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ
dan ada sebahagian yang boleh dimakan;
Ada pula binatang yang kita makan dagingnya iaitu jenis-jenis seperti kambing dan lembu. Ada pula yang boleh ditunggang dan dimakan sekali, macam unta. Kalau kita buat kenderaan seperti kereta, bolehkah kita makan? Tentu tak boleh.
Ayat 73:
وَلَهُم فيها مَنٰفِعُ وَمَشارِبُ ۖ أَفَلا يَشكُرونَ
And for them therein are [other] benefits and drinks, so will they not be grateful?
Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?
وَلَهُمْ فِيهَا مَنٰفِعُ
Dan bagi mereka binatang-binatang itu padanya berbagai-bagai lagi manfaat lain;
Binatang ternak itu bukan sahaja untuk ditunggangi dan dimakan sahaja, tapi ada lagi kegunaan dan faedah lain seperti bulu, kulit, tulang, gigi dan lain-lain lagi yang manusia boleh gunakan dalam kehidupan mereka.
وَمَشَارِبُ
dan minuman;
Bukan sahaja dagingnya boleh dimakan, tapi ada binatang yang juga ada sumber minuman iaitu susu dari binatang-binatang itu. Begitu juga air kencing binatang juga boleh dijadikan ubat, seperti air kencing unta.
أَفَلَا يَشْكُرُونَ
Kenapakah mereka tidak bersyukur?
Dengan segala nikmat yang Allah telah berikan kepada kita, sepatutnya kita sedar dan kita bersyukur kepada Allah. Tapi ramai yang tidak bersyukur. Kenapa masih lagi tidak ikut ajaran Islam yang betul? Kenapa tidak sembah Allah sahaja dengan segala apa yang Allah telah berikan kepada kita?
Bagaimana cara bersyukur? Kalau ikut suruhan Allah dan Nabi, barulah dikatakan bersyukur. Maka lafaz syukur adalah ‘alhamdulillah’ tapi perbuatannya adalah dengan taat dan menjalankan arahan Allah. Barulah layak kalau nak cakap Alhamdulillah kalau telah melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang. Kena ikut semua ajaran Tuhan dan Nabi. Bukan hanya senang-senang sahaja mengucapkan ‘alhamdulillah’ dan sangka kita telah bersyukur.
Kenapa kita tidak ikut sahaja ajaran Nabi Muhammad? Kenapa ada yang buat amalan yang tidak diajar oleh baginda? Sebagai contoh: Tidak ada dalil hadis yang sahih mengatakan ada amalan baca Yaasin pada setiap malam Jumaat. Tidak ada dalil yang sahih. Padahal hadis yang ada adalah baca Surah Kahfi pada hari Jumaat, bukannya baca Surah Yaasin.
Begitu juga tidak ada hadis yang sahih yang menyuruh kita membacakan Yaasin kepada orang yang hampir mati dan orang yang telah mati. Tapi ianya sekarang dibuat secara menyeluruh.
Apabila manusia tidak bersyukur, apakah yang manusia akan buat?
Ayat 74: Allah sebut kenapa manusia ada yang sembah selain Allah.
وَاتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ آلِهَةً لَّعَلَّهُم يُنصَرونَ
But they have taken besides Allah [false] deities that perhaps they would be helped.
Dan mereka menyembah beberapa ilah yang lain dari Allah, dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).
وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللهِ آلِهَةً
Mereka masih juga mengambil selain dari Allah ilah-ilah lain;
Sepatutnya puja Allah sahaja sebagai ilah, tapi manusia majoritinya puja selain Allah. Golongan Kristian puja Nabi Isa, Hindu puja malaikat (dalam bentuk berhala), Buddha puja wali-wali (tok nenek mereka yang telah mati). Tapi kita orang Islam, semua sekali kita puja! Lagi teruk dari agama lain nampaknya.
Ada yang puja dan minta pertolongan kepada Nabi, wali dan malaikat. Kalau orang yang bersilat lagi teruk, mereka kalau masuk gelanggang silat, ada seru kepada Nabi Yunus. Ada yang seru Nabi Khadr dan Nabi-Nabi yang lain. Maka banyaklah kefahaman yang salah tentang wali-wali, sampai ada yang kata pada Malam Lailatul Qadr, Nabi Khadr akan turun. Dan orang kita diajar kalau jumpa Nabi Khadr, pegang janggut dia dan minta harta karun dan umur yang panjang. Lihatlah… mereka nak minta hal dunia juga!
Padahal, kalau betullah Nabi Khadr itu boleh memakbulkan doa, mintalah supaya dosa kita diampunkan contohnya. Tapi malangnya, itu semua adalah angan-angan kosong sahaja, kerana tidaklah ada dalil yang sahih yang mengatakan Nabi Khadr turun pada malam Lailatul Qadr.
Dan tidak ada dalil yang sahih yang mengatakan Nabi Khadr masih hidup lagi. Tapi golongan yang jauh dari wahyu, memang suka percaya kepada perkara yang tidak sahih itu. Yang sebetulnya, Nabi Khadr telah lama mati.
Perkataan آلِهَةً itu bukan sahaja bermaksud ‘tuhan-tuhan’. Ianya boleh jadi macam-macam. Kerana ilah itu luas maknanya. Ianya adalah tempat pengharapan kita. Ianya juga adalah apa-apa sahaja yang kita lebihkan dari Allah. Kalau kita lebihkan wang dari Allah, maka wang itulah اله kita. Kalau kita lebihkan Nabi dari Allah, maka Nabi itulah yang jadi اله.
لَعَلَّهُمْ يُنْصَرُونَ
mudah-mudahan mereka mendapat pertolongan;
Tujuan mereka memuja dan menyeru semua entiti itu adalah mengharap pertolongan sebenarnya. Supaya yang diseru itu membantu mereka di Mahsyar dengan beri syafaat kepada mereka. Kerana itu ada yang seru dan minta kepada Nabi untuk beri syafaat kepada mereka Mahsyar nanti. Ini adalah cara yang amat salah sedangkan untuk dapat syafaat adalah dengan beri selawat kepada Nabi, bukan beri salam kepada baginda! Bukan minta kepada baginda!
Manusia ada yang puja dewa, malaikat, Nabi dan sebagainya, juga kerana mengharapkan pertolongan dari Nabi, wali dan malaikat itu. Kerana itu ada juga yang memberi salam kepada Nabi. Mereka beri salam kepada Nabi itu kerana mereka nak minta supaya Nabi ingat dan kenang mereka supaya beri syafaat nanti.
Semua itu adalah perbuatan kufur kepada Tuhan. Inilah salah faham tentang syafaat dalam masyarakat kita. Juga salah faham tentang doa sampai mereka sanggup minta kepada selain Allah. Ini adalah salah kerana kita hanya boleh minta tolong kepada Allah sahaja.
Tapi kerana salah faham, mereka kalau dapat pergi ke kubur Rasulullah, macam-macam hajat mereka cakap kepada baginda. Mereka habis duit pergi Umrah dan Haji tapi malangnya mereka kufur di Madinah.
Kalau bagi salam kepada Nabi pun tak perlu sebenarnya. Cukuplah dengan berselawat sahaja kerana itu memang ada dalam syariat agama Islam. Kerana kita pun sudah selalu beri salam kepada Nabi dalam solat kita sebenarnya (dalam Tahiyat).
Tak boleh minta syafaat kepada Nabi, kerana sebenarnya kita kena minta syafaat dengan Allah. Tak boleh kita berkata begini di kubur Nabi: “Ya Rasulullah, kami dah sampai ni, semoga kamu ingat kepada kami nanti di Mahsyar. Dari jauh kami datang ni..” Padahal Nabi Muhammad sudah wafat, macam mana kita boleh bercakap dengan dia lagi? Bagaimana baginda nak dengar permintaan manusia?
Kerana ramai tak faham tentang inilah yang menyebabkan mereka akan kirim salam kepada Nabi Muhammad melalui rakan-rakan dan keluarga yang melawat Masjid Nabi. Padahal, kita hanya disuruh untuk berselawat sahaja kepada baginda. Apabila kita berselawat, Nabi Muhammad akan dimaklumkan tentang selawat kita itu oleh malaikat. Bukannya Nabi dengar sendiri selawat kita itu.
Semua perbuatan mereka itu yang mengharapkan pertolongan dari entiti-entiti itu adalah sia-sia sahaja. Ianya tidak bermanfaat kepada mereka sedikit pun. Kerana Nabi, wali dan malaikat itu tidak dapat nak membantu.
Penjelasan Tentang Makna ‘Syafaat’:
Untuk faham makna ”syafaat, kita kena buat perbandingan: Siapa yang sebenarnya ambil nyawa kita apabila telah sampai ajal kita? Tentulah Allah yang mengambil nyawa kita, bukan Malaikat Maut, bukan? Allah yang suruh Malaikat Maut untuk mencabut nyawa kita. Oleh itu, kalau kita nak umur yang panjang, kita minta kepada Allah, bukan kepada Malaikat Maut, bukan?
Malaikat yang beri rezeki pula? Semua tahu ianya adalah Mikail. Kalau Malaikat Mikail yang menurunkan rezeki, kenapa tak minta rezeki dengan Mikail sahaja? Kita semua minta rezeki dengan Allah, bukan dengan Malaikat Mikail, bukan? Sebab kita tahu rezeki itu bukan dari Malaikat Mikail tapi dari Allah. Mikail hanya sampaikan sahaja.
Oleh itu, sama juga dengan Rasulullah dan syafaat, Nabi tugasnya adalah ‘menyampaikan’ sahaja syafaat. Baginda bukan ‘pemberi’ syafaat. Baginda hanya boleh memberi apa yang Tuhan suruh sampaikan sahaja. Hakikatnya Allah taala belaka yang memberikan rezeki, syafaat, pertolongan dan segala-galanya.
Tentu anda pernah ke Majlis Tahlilan, bukan? Selalu dengar kan lafaz begini: “ila hadratin nabi….” Ini adalah amalan tawasul yang haram. Ketahuilah yang perkataan ‘hadrat’ yang selalu diamalkan dalam bertawasul kepada Nabi itu datang dari India. Bukan dari Nabi dan bukan dari ajaran Islam. Kita selalu dengar kepala majlis tahlil akan memulakan majlis dengan membaca: “ila hadratin Nabiyy….”
Maksud mereka adalah Nabi Muhammad ‘hadir’ dalam majlis mereka. Padahal, itu adalah kefahaman yang salah. Nabi sudah wafat dan tidak mendampingi alam dunia lagi. Selepas itu, mereka kirim/sedekah al-Fatihah kepada baginda kerana nak bodek baginda. Tujuannya, adalah nak berkat dari Nabi, keluarga baginda dan para sahabat baginda. Dan sebagai ‘upah’ untuk sampaikan doa kepada Allah, maka terima sedekah pahala Fatihah ini kongsi ramai-ramai. Ini adalah amalan yang salah sama sekali.
Ramai manusia salah faham tentang syafaat. Mereka sangka Nabi Muhammad yang tentukan siapa dapat syafaat. Tapi bayangkan, kalaulah Nabi Muhammad boleh beri syafaat kepada sesiapa sahaja yang baginda hendak, bolehlah baginda beri kepada bapa saudara baginda kerana baginda sayang sangat kepada Abu Talib dan Abu Talib pun sudah banyak tolong baginda.
Tapi tak boleh juga kerana baginda tidak ada kelebihan itu. Abu Talib masuk neraka juga (dan akan dapat hukuman paling ringan dalam neraka). Nabi sayang sangat dengan Abu Talib. Abu Talib bukan sahaja bapa saudara, tapi dia juga adalah bapa angkat baginda. Beliau juga adalah besan Nabi juga kerana anaknya Saidina Ali telah berkahwin dengan Fatimah anak Nabi Muhammad. Tiga pangkat terdapat pada Abu Talib. Tapi Nabi tak boleh juga nak bagi syafaat kepadanya.
Jadi ingatlah bahawa tidaklah Nabi itu pemberi berkat dan pemberi syafaat. Kita sebenarnya tak boleh minta berkat dengan manusia. Tapi ada keadaan yang telah diberitahu kita akan dapat berkat. Contohnya, dalam majlis ilmu, semua yang ada dalam majlis ilmu itu akan dapat berkat, tak perlu kita minta kerana akan dapat secara automatik.
Jadi bukanlah ustaz yang mengajar itu yang memberi berkat, tapi majlis itu sendiri yang ada berkat. Ini kita tahu dari dalil-dalil yang sah. Begitu juga, Allah telah beritahu bahawa ada tempat yang diberkati, seperti Tanah Haram dan Kaabah.
Sepanjang hidup Nabi, tidak ada dalil Nabi buat majlis tahlil dan buat talqin orang mati. Padahal, dalam hidup baginda, ada isteri baginda yang mati, anak baginda pun ada yang mati, sahabat baginda pun banyak yang mati sepanjang hidup baginda.
Tapi walaupun kita tahu Nabi tak pernah buat, ramai orang kita pandai-pandai juga buat. Padahal Allah tak kata Dia nak beri pahala bila kita buat tahlil, Nabi pun tak pernah cakap, sahabat pun tak amalkan. Jadi mereka yang mengamalkannya sebenarnya berdusta kepada Tuhan mereka.
Mereka dikira berdusta kerana mengatakan perbuatan itu adalah baik padahal Allah tak kata nak bagi pahala. Itu adalah perbuatan bidaah dalam agama. Ingatlah bahawa orang yang mengamalkan bidaah ada masalah dengan fahaman agama mereka.
Ayat 75: Jadi mereka yang menyeru kepada Nabi, wali dan malaikat itu mengharapkan pertolongan dari entiti yang diseru itu. Adakah mereka dapat pertolongan itu? Allah jawab dalam ayat ini:
لا يَستَطيعونَ نَصرَهُم وَهُم لَهُم جُندٌ مُّحضَرونَ
They are not able to help them, and they [themselves] are for them soldiers in attendance.
Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.
لا يَستَطيعونَ نَصرَهُم
Mereka tidak mampu untuk menolong mereka;
Iaitu mereka-mereka yang diseru itu tidak dapat nak membantu mereka yang menyeru. Tidak kira sama ada roh Nabi, wali, malaikat atau apa sahaja sembahan selain dari Allah, tidak mampu menolong orang-orang yang menyembah, menyeru mereka dahulu semasa di dunia.
Yang memuja mengharap supaya yang dipuja boleh memberi pertolongan di dunia dan akhirat, tapi mereka yang dipuja itu tidak mampu hendak memberi pertolongan kalau mereka mahu pun.
Tapi yang sebenarnya, yang dipuja itu pun tidak tahu pun mereka dipuja. Yang mereka puja sebenarnya adalah jin sahaja. Bagaimana mereka yang dipuja itu tahu sedangkan mereka tidak dengar pun yang mereka diseru. Ini telah disebut dalam ayat yang lain.
وَهُمْ لَهُمْ جُنْدٌ مُّحْضَرُونَ
dan mereka dihadhirkan untuk mereka sebagai tentera-tentera;
Yang disembah itu pula akan jadi tentera yang mengawal mereka yang buat syirik itu di akhirat kelak. Atau, sembahan-sembahan itu akan dibawa hadir sebagai saksi untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.
Atau, yang memuja itu sangka yang roh-roh pujaan mereka itu akan hadhir di akhirat kelak sebagai tentera yang akan bantu mereka. Yang menyembah selain Allah itu ingatkan yang dipuja itu akan dapat membantu mereka, tapi yang terjadi adalah sebaliknya. Nanti di akhirat mereka yang dipuja itu akan menjadi saksi untuk mengatakan kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang memuja itu.
Yang disembah itu akan beratur dalam saf yang panjang seperti tentera dan melihat sahaja mereka yang memuja itu diseksa dalam neraka nanti. Ianya adalah untuk menambahkan kesesalan kepada mereka. Kerana, dahulu entiti-entiti itulah yang mereka sembah dan puja semasa di dunia. Mereka menjadi harapan kepada pemuja-pemuja.
Tapi sekarang yang dipuja itu hanya melihat sahaja. Bayangkan pedih dan sakitnya hati kita kalau orang yang kita harapkan menolong kita, tapi mereka melihat sahaja kita di waktu kita memerlukan mereka.
Makna ‘menyembah’ itu bukanlah hanya bermakna menyembah seperti orang kafir menyembah berhala itu. Kalau kita memuja, memberi salam dan menghadiahkan Fatihah kepada entiti-entiti itu, itu pun sudah dikira ‘menyembah’ kerana kita buat ibadat kepada mereka. Kita disuruh beribadat hanya kepada Allah sahaja – seperti sembah, zikir dan puja. Tapi apabila kita melakukan perbuatan dalam bentuk ibadat kepada entiti-entiti itu, ianya dikira sebagai perbuatan sembahan juga.
Maka, jangan sempitkan fahaman ‘sembah’ itu dengan ‘sujud’ sahaja. Ini penting kerana apabila kita tegur perbuatan manusia yang ‘sembah’ kubur, mereka kata: eh kami tak sujud pun pada kubur itu…”
Ayat 76: Ayat ini adalah pujukan (tasliah) kepada Nabi. Ini kalau setelah dakwah dan mereka tetap juga menolak.
فَلا يَحزُنكَ قَولُهُم ۘ إِنّا نَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ
So let not their speech grieve you. Indeed, We know what they conceal and what they declare.
Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan kata-kata mereka. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.
فَلَا يَحْزُنْكَ قَوْلُهُمْ
Maka janganlah mendukacitakan kamu perkataan-perkataan mereka;
Allah memujuk Nabi Muhammad: “jangan kamu bersedih dengan kata-kata mereka itu yang menentang dan mengutuk kamu.” Allah nak pujuk hati Nabi dan para pendakwah sebab Nabi Muhammad adalah seorang yang sensitif. Baginda tahu apakah yang akan terjadi kepada kaumnya kalau mereka menolak ajakan tauhid itu. Baginda risau kerana baginda amat sayangkan kaumnya dan kerana itu baginda bersedih sangat apabila mereka tidak mahu terima dakwah tauhid.
Oleh kerana baginda bersedih, maka Allah pujuk Nabi untuk meneruskan apa yang baginda sedang buat. Jangan hiraukan apa kata mereka. Kerana apa yang Nabi sedang buat adalah perkara yang benar.
Dalam ayat ini, Allah bercakap terus kepada Nabi Muhammad. Ini adalah sebagai menunjukkan betapa tingginya kasih sayang Allah kepada Nabi.
إِنَّا نَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ
Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati mereka;
Allah tahu apa yang ada di dalam hati Musyrikin Mekah itu dan sesiapa sahaja. Dan Allah juga tahu apa yang ada dalam hati penentang dakwah tauhid kita. Memang ada yang tak suka dengan dakwah yang kita bawa kepada mereka tapi mereka cakap dalam hati sahaja.
وَمَا يُعْلِنُونَ
dan apa yang mereka sebutkan;
Ini adalah jenis yang menzahirkan perasaan tidak suka mereka secara berdepan semasa berjumpa dengan orang yang memberi dakwah. Ini pun Allah tahu juga walaupun Allah tidak berada di dunia.
Oleh itu, ada penentang yang cakap berdepan, ada yang cakap di belakang, ada yang bercakap dalam hati sahaja. Semuanya Allah tahu belaka. Tidak boleh sesiapa pun boleh menyembunyikan walau apa pun dari Allah. Maka Allah pujuk: tidak mengapa, Aku tahu apa yang kamu semua lalui…..
Allah membiarkan sahaja perbuatan mereka menghina Nabi dan menghina pembawa risalah tauhid itu. Mereka itu sebenarnya menambah dosa mereka sahaja. Dan semua akan dibalas di akhirat kelak. Yang sabar akan dapat pahala dan yang mengutuk dan menghina pun akan dapat balasan buruk.
Allah nak beritahu dalam ayat ini bahawa Allah bukan tidak tahu perbuatan mereka itu. Allah catit semua sekali perbuatan mereka, sama ada mereka zahirkan atau tidak. Maksudnya, Allah akan balas perbuatan mereka itu dengan azab di akhirat kelak (kalau tidak di dunia lagi). Maka kalau kita tahu yang Allah sedang memerhatikan, maka senang sikit hati kita. Kita tak perlu mengadu sangat, kerana Allah sudah tahu, bukan?
Ayat 77: Kenapa Allah tahu apa yang dalam hati mereka? Kerana Allah yang menjadikan manusia.
أَوَلَم يَرَ الإِنسٰنُ أَنّا خَلَقنٰهُ مِن نُّطفَةٍ فَإِذا هُوَ خَصيمٌ مُّبينٌ
Does man not consider that We created him from a [mere] sperm-drop – then at once he is a clear adversary?
Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah dia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),
أَوَلَمْ يَرَ الْإِنْسٰنُ أَنَّا خَلَقْنٰهُ
Tidakkah seorang insan itu melihat bahawasanya Kamilah yang menciptakan dia;
Allah ingatkan yang Dialah yang mencipta manusia. Maka tentu sekali Allah tahu segala-galanya tentang mereka.
Lihatlah bagaimana Allah menggunakan bahasa percakapan. Pada mula-mula surah ini, Allah bercakap terus kepada mereka untuk memberikan peringatan kepada mereka. Tetapi, apabila mereka berdegil, Allah membahasakan mereka dalam pihak ketiga – هم (mereka). Tapi ini sudah sampai kepada tahap Allah tak membahasakan mereka dalam pihak ketiga pun – Allah hanya sebut ‘manusia’ sahaja. Itu menunjukkan Allah sudah murka sangat.
Kalau dilihat asbabun nuzul ayat ini, ianya ditujukan kepada pemuka-pemuka Quraish yang menentang Nabi Muhammad. Tapi dalam zaman sekarang, ianya digunakan untuk mereka yang mempunyai sifat seperti mereka.
مِن نُّطْفَةٍ
daripada sperma;
Manusia dijadikan bukan dari air mani, tapi dari sperma yang satu dari banyak-banyak sperma yang ada dalam air mani itu.
Bayangkan Allah telah menjadikan manusia dari sesuatu yang hina iaitu air mani. Kalau air mani itu jatuh menitik ke bumi, ayam tak patuk, itik pun tak sudu. Tapi Allah telah menjadikan dari air mani itu manusia yang bersifat sempurna. Mempunyai rupa yang elok dan Allah telah memberikan akal kepada mereka. Tapi ingatlah bahawa kecantikan tubuh badan dan kepandaian akal fikiran itu berasal dari air mani sahaja.
فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ
Maka mereka tiba-tiba bila sudah jadi manusia, mereka menjadi pembantah yang jelas;
Mereka dijadikan dari air mani sahaja, tapi apabila sudah besar sikit, mereka boleh berkata-kata, boleh berbicara. Hebat sekali penciptaan Allah dan bagaimana Allah bentuk manusia dan besarkan manusia.
Tafsiran kedua: Mereka itu dijadikan dari sesuatu yang hina, tapi kemudian mereka membantah Allah dengan mengatakan perkara yang salah tentang Allah. Antaranya, mereka kata Allah memerlukan perantaraan dalam berdoa, atau mereka berkata kalau orang yang banyak dosa, Allah tak dengar doa hamba itu; dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana mereka amat jauh dari wahyu dan kerana itu mereka reka pemahaman sendiri tentang Allah. Padahal Allah tidak sebut tentang itu dalam mana-mana wahyu.
Perkataan خَصِيمٌ itu digunakan untuk merujuk kepada orang yang menentang dengan keras. Mereka amat sombong sampaikan mereka sanggup melawan dengan kuat, dengan jeritan dan sifat yang degil. Semua orang boleh nampak apa yang mereka lakukan itu. Ini jenis yang kalau kita minta dia sabar, dia akan jerit balik kepada kita: “apa sabar sabar?!”.
Berani sungguh dia buat begitu sedangkan yang dia lawan itu adalah kebenaran. Tapi fikirannya telah dikelabui oleh kesombongan dirinya. Dia lupa asal kejadiannya dulu yang dijadikan dari air mani yang hina.
Ayat 78: Mereka tidak percaya kepada kehidupan semula dan mereka berhujah dengan Rasulullah dengan hujah yang bodoh.
وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظٰمَ وَهِيَ رَميمٌ
And he presents for Us an example and forgets his [own] creation. He says, “Who will give life to bones while they are disintegrated?”
Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”
وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا
Dan mereka membuat contoh bandingan kepada Kami;
Allah yang jadikan mereka, tapi mereka berani pula buat contoh misalan untuk Allah. Mereka reka sifat Allah. Iaitu mereka kata Allah begini dan begitu (dari pemahaman mereka sahaja). Dan mereka kata Allah memerlukan wakil dalam menerima doa dari manusia.
Tafsiran kedua: Kisah ini terjadi semasa zaman Rasulullah. Mereka bawa tulang yang telah reput ke hadapan baginda. Dan mereka berhujah: “siapa yang dapat menghidupkan tulang-tulang itu semula?” Mereka sangka mereka pandai dengan hujah mereka itu. Mereka sangka hujah mereka sudah kuat tapi sebenarnya hujah mereka bodoh sekali kerana akal fikiran mereka telah dikelabui oleh kesombongan mereka.
وَنَسِيَ خَلْقَهُ
Dan dia lupa penciptaan dia dahulu;
Mereka lupa bahawa Allahlah yang menciptakan mereka mula-mula dahulu. Iaitu dari tiada kepada ada. Allah sudah pernah jadikan mereka dari tidak ada kepada ada, jadi adakah susah untuk Allah jadikan mereka semula? Tentu tidak, kerana senang sahaja bagi Allah. Mereka sahaja yang sangka Allah tidak mampu nak hidupkan mereka balik.
قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظٰمَ وَهِيَ رَمِيمٌ
Dia berkata: siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang ini yang telah hancur?
Ubay bin Khalaf (semoga Allah melaknatnya) datang kepada Nabi SAW membawa satu tulang yang hancur di tangannya. Dia menghancurkan tulang reput itu dan menaburkannya ke udara dan berkata: “Hai Muhammad! Apakah engkau mengira bahawa Allah akan membangkitkan ini kembali?”
Nabi bersabda: “Ya, Allah Taala akan mematikanmu, kemudian Dia bangkitkan kamu, lalu Dia kumpulkan kamu ke dalam api Neraka.” Maka turunlah ayat 77 Surah Yaasin ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini 7 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
jelas… penggunaan bahasa yg mudah difahami… terima kasih byk2
LikeLike
sukran jazilan bermanafaat
LikeLike