Pengenalan
Ini adalah salah satu dari surah yang paling pendek di dalam Al-Qur’an. Ramai yang hafal surah ini tentunya. Ianya ditujukan kepada Abu Lahab dan isterinya. Kerana itu nama lain baginya adalah surah al-Lahab.
Ini adalah perkara yang menghairankan kerana Allah tidak melakukannya terhadap musuh-musuh Nabi Muhammad SAW yang lain. Kalau musuh Nabi disebut di dalam mana-mana ayat, selalunya nama tidak disebutkan. Sebagai contoh, Abu Jahal juga teruk, tapi namanya tidak pernah disebut dalam Al-Qur’an. Tapi kali ini, disebutkan sampai satu surah tentang Abu Lahab dan isterinya. Tentu ada sesuatu yang besar hendak disampaikan.
Jadi, siapakah Abu Lahab ini? Ringkasnya:
-
- dia adalah seorang yang terkenal dan antara yang terkaya di Mekah.
- ada yang mengatakan bahawa dia adalah penjaga BaitulMaal waktu itu.
- namanya yang sebenar adalah Abdul Uzzah (hamba berhala Uzzah)
Dan seperti yang kita tahu, nama gelarannya adalah Abu Lahab. Kalimah لهب bermaksud api merah yang menyala dengan terang, menerangi sekelilingnya. Ia digunakan pada nama Abu Lahab sebagai penghormatan kepadanya kerana dia seorang yang tampan. Ini adalah kerana kulitnya kemerah-merahan.
Penggunaan ‘abu’ bukanlah semestinya bermaksud ‘bapa’. Ianya juga boleh digunakan kalau hendak mengaitkan seseorang dengan sesuatu. Sebagai contoh, pernah Nabi Muhammad SAW memanggil Saidina Ali dengan gelaran ‘Abu Turab’ (bapa tanah) kerana beliau berbaring di tanah dan baginda menyapu-nyapu tanah itu dari arah belakangnya.
Dan kita juga sudah tentu kenal Abu Hurairah (bapa kucing) dan tidaklah dia melahirkan kucing-kucing itu pula, bukan? Begitu juga penggunaan nama Abu Lahab – tidaklah dia ada anak yang bernama Lahab. Dia dipanggil begitu kerana kulitnya kemerahan dan dia memang seorang yang tampan. Jadi, dia ini adalah seolah-olah seorang selebriti pada zamannya. Kalau dalam istilah media sosial sekarang dia dipanggil ‘influencer’. Maklumat lain tentangnya:
-
- dia dari keturunan yang hebat. Dia adalah cucu kepada Hashim Abd Manaf yang juga moyang kepada Nabi Muhammad SAW. Hashim ini adalah orang besar Mekah dan dialah yang memulakan memberi makan kepada orang yang mengerjakan Haji. Jadi keturunan Hashim adalah keturunan yang dihormati di Mekah, malah di Tanah Arab.
- Abu Lahab ini juga adalah bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW.
- dia juga adalah besan kepada baginda kerana dua anak baginda telah berkahwin dengan anak Abu Lahab.
Selain daripada Abu Lahab, isterinya juga disebut dalam ayat ini. Isterinya bernama Urwah. Siapakah dia?
-
- dia juga orang yang berketurunan hebat – cucu kepada Umayyah, satu lagi keturunan yang dihormati di Tanah Arab. Oleh itu, apabila dia berkahwin dengan Abu Lahab, mereka adalah pasangan yang terkenal kerana kedua-duanya dari keturunan yang hebat. Memang ‘wedding of the year’.
- dia memang berbangga dengan keturunannya dan selalu mengingatkan orang tentangnya.
- nama panggilannya adalah Umm Jamil (ibu kecantikan) kerana dia seorang yang cantik juga; sudahlah Abu Lahab tampan, dia pula cantik. Oleh kerana itu, mereka memang pasangan yang selalu dipandang oleh masyarakat (power couple).
Kita sudah kenal serba sedikit dengan Abu Lahab ini. Maka, kenapakah dia teruk sekali dikutuk oleh Allah? Ini adalah kerana banyak keburukan dia:
-
- dia adalah musuh Nabi yang paling kuat. Memang ada orang lain yang memusuhi baginda tapi Abu Lahab ini lebih teruk daripada orang lain.
-
- dia juga jiran kepada Nabi Muhammad SAW; mereka berkongsi dinding. Kerana benci sangat kepada baginda, dia dan isterinya telah membuang kotoran, sampah, dan benda-benda yang teruk apabila baginda membaca Al-Qur’an. Kerana mereka dibalik dinding sahaja dan rumah dulu tidak ada penghadang. Maka, senang sahaja dia hendak melemparkan kekotoran itu ke dalam rumah baginda. Ini adalah perbuatan yang amat teruk sekali dan ini juga sebenarnya melanggar adat orang Arab. Dia sanggup melanggar adat kerana kebencian teramat sangat kepada Rasulullah.
-
- dua anaknya telah berkahwin dengan dua anak Rasulullah (ini terjadi sebelum Islam). Apabila Rasulullah mula berdakwah secara terbuka, dia telah mengarahkan dua anaknya itu untuk menceraikan anak-anak Rasulullah. Salah seorang menantu Rasulullah itu telah datang dan meludah depan baginda. Kiranya dia meludah depan bapa mertua dia – bukan sahaja menceraikan anak baginda, meludah pula lagi. Kerana perbuatan bekas menantu yang teruk itu, Rasulullah mendoakan keburukan untuknya. Apabila Abu Lahab mendengar doa baginda, dia menjadi takut (maknanya jauh di sudut hati dia, dia percaya juga yang baginda adalah Nabi dan doa baginda makbul). Maka, dia menjaga anaknya betul-betul hinggakan dia meletak pengawal. Tapi dalam satu perjalanan musafir, anaknya itu mati juga dibaham singa.
-
- apabila anak lelaki Rasullah mati waktu kecil, dialah orang pertama yang tahu dan dialah orang pertama yang meraikannya. Ini adalah teruk sekali kerana kalau musuh sekalipun, bila ada musuh yang kematian anak, tidaklah sanggup musuhnya bergembira dan mengutuk. Tapi Abu Lahab memang tidak ada berperi -kemanusiaan dan dia memang seorang musuh yang paling teruk sekali. Perkara ini disebut di dalam Surah Kawthar.
Jadi, ini adalah antara perkara yang menyebabkan Abu Lahab dikutuk dengan amat teruk oleh Allah. Kerana memang perkara yang dilakukannya itu adalah amat teruk, tidak dapat dimaafkan. Bayangkan, cucu saudaranya sendiri mati juga dia boleh bersorak lagi? Musuh Nabi yang lain juga tidak lakukan seperti mana yang dia lakukan ini.
Dialah juga yang pertama sekali menolak dakwah tauhid daripada baginda. Apabila Rasulullah diarahkan untuk berdakwah kepada keluarga baginda, baginda telah mengadakan jamuan makan kerana baginda hendak mula bercakap tentang Islam kepada keluarganya. Maka, Abu Lahab dan yang lain-lain juga dijemput. Apabila Nabi Muhammad SAW hendak bercakap sahaja tentang Islam, dialah yang pertama membuat bising dan menolak. Dia berkata: تباً لهذا الدين (musnahlah agama ini!)
Apabila Nabi Muhammad SAW naik ke atas bukit dan bercakap dengan Arab Mekah untuk berdakwah secara terbuka, dan memperkenalkan mereka dengan ajaran tauhid, Abu Lahab jua yang menghina baginda dan mengatakan baginda menipu. Dia menjerit: تباً لّك (musnahlah kamu!)
Waktu itu baginda naik ke atas bukit dan selalunya hal itu dilakukan jikalau ada seseorang yang hendak memberitahu berita gempar – mungkin ada orang hendak serang dan sebagainya. Marah dia kerana apa yang Nabi lakukan adalah kalau ada kecemasan sahaja. Lihat bagaimana dia menggunakan kalimah تب dalam kedua-dua situasi. Nanti Allah akan gunakan kalimah yang sama juga.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi ramalan tentang akibat buruk yang akan diterima oleh Abu Lahab.
تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ وَتَبَّ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Masad: Fiber. This sūrah is also known as al-Lahab (Flame).
May the hands of Abū Lahab be ruined, and ruined is he.¹
- Abū Lahab (the Prophet’s uncle), who was an enemy of Islām.
(MALAY)
Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
Oleh kerana Abu Lahab menggunakan kalimah تب dua kali (sekali semasa jamuan dan sekali lagi semasa baginda di atas bukit) maka dalam ayat ini, kalimah تب digunakan dua kali juga.
Allah mengatakan yang kedua tangan Abu Lahab akan musnah. Apabila ayat ini turun, Abu Lahab menghina ayat itu. Dia akan pergi ke khalayak ramai dan dia akan tunjuk tangan dia – dan dia berkata yang tangan dia tidak jadi apa-apa pun.
Kalimah تَبَّت adalah dalam bentuk fi’il madhi untuk kalimah تبب ataupun diringkaskan menjadi تبّ. Ianya dalam bentuk muannast (feminine) kerana pada Arab, tubuh badan berpasang seperti tangan dan kaki adalah ‘perempuan’. Kerana itu juga kalimah تَبَّت ada huruf ت yang menunjukkan ianya muannast.
Dari segi balaghah, Allah menggunakan fi’il madhi (past tense) kerana dalam bahasa Arab, ia menunjukkan kepastian – PASTI tangan Abu Lahab akan dimusnahkan. Ini adalah kerana sesuatu yang dikatakan akan berlaku esok belum tentu lagi, tapi apa yang telah berlaku semalam sudah pasti, bukan?
Ayat ini mengandungi dua kalimah تبّ:
a. تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ (semoga musnah kedua tangan Abu Lahab)
b. وَتَبَّ yang kedua ini adalah sebagai ketetapan – pasti tangannya itu musnah!
Kalimah تَبَّ bermaksud sesuatu yang musnah sedikit demi sedikit. Ianya sesuatu yang semakin teruk dan teruk sampai akhirnya musnah terus. Ia tidaklah musnah terus. Kalau kereta terlibat dalam kemalangan, kereta itu terus musnah, bukan? Jadi itu bukan تبّ.
Oleh itu, Allah maksudkan bahawa Abu Lahab tidaklah musnah terus tapi dia akan musnah sedikit demi sedikit. Kalau dia dimusnahkan terus, kalimah yang digunakan adalah هلك.
Kalimah تبّ ini ada juga digunakan dalam Hud:101
وَما ظَلَمناهُم وَلٰكِن ظَلَموا أَنفُسَهُم ۖ فَما أَغنَت عَنهُم آلِهَتُهُمُ الَّتي يَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ مِن شَيءٍ لَمّا جاءَ أَمرُ رَبِّكَ ۖ وَما زادوهُم غَيرَ تَتبيبٍ
Dan Kami tidaklah menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri, kerana itu tiadalah bermanfaat sedikit pun kepada mereka sembahan-sembahan yang mereka seru selain Allah, di waktu azab Tuhanmu datang. Dan sembahan-sembahan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan belaka.
Kalimah yang digunakan dalam ayat Hud:101 ini adalah تَتبيبٍ (tatbeeb) yang diambil dari kata dasar ت ب ب juga, cuma dalam wazan yang berlainan. Ayat ini memberitahu helah puak musyrik itu tidak akan memanfaatkan mereka walau sedikit. Yang menariknya, dalam surah Hud:101 juga ada kalimah أَغنَت di mana dalam surah Masad juga ada kalimah أَغنىٰ.
Kalimah أَغنىٰ dan أَغنَت dari kata dasar غ ن ي yang bermaksud ‘tidak memerlukan’ – kerana itu Allah adalah al-Ghaniy kerana Allah tidak memerlukan apa-apa daripada makhluk. Oleh itu, orang yang kaya juga dikatakan ghaniy kerana mereka banyak harta dan tidak memerlukan bantuan kewangan daripada orang lain. Orang-orang yang kaya selalunya ada harta dan ada antara mereka yang rasa mereka tidak memerlukan bantuan lagi.
Tapi, Allah menyebut yang harta mereka tidak dapat menyelamatkan mereka langsung dari memberikan pertolongan. Walaupun mereka kaya harta, tapi di akhirat kelak mereka tetap memerlukan pertolongan daripada Allah. Walaupun mereka kaya, tapi mereka ‘tidak cukup’ lagi.
Dalam surah Hud:101 disebut bagaimana musyrikin itu bergantung dengan ilah palsu mereka dan dalam surah al-Masad ini, Abu Lahab bergantung kepada hartanya. Oleh itu, satu ilah palsu dan satu lagi harta. Antara kedua ini, mana lagi komprehensif? Tentulah ilah palsu kerana harta juga boleh jadi sebahagian dari ilah palsu (subset kepada ilah palsu sahaja).
Oleh kerana ilah palsu itu lebih komprehensif, maka kalimah yang digunakan dalam surah Hud:101 adalah تَتبيبٍ dan lebih kuat lagi dari kalimah تَبَّت yang digunakan dalam surah Masad. Ini kerana, dalam surah Masad, yang disentuh adalah satu ilah sahaja, jadi tidak digunakan تبّ dalam bentuk yang kuat. Ini menunjukkan ketepatan penggunaan bahasa Al-Qur’an – ini dinamakan pembelajaran balaghah.
Satu lagi kalimah تبّ digunakan dalam Ghafir:37 yang menceritakan rancangan Firaun yang menjadikan dia semakin musnah.
أَسبٰبَ السَّمٰوٰتِ فَأَطَّلِعَ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ كٰذِبًا ۚ وَكَذٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرعَونَ سوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبيلِ ۚ وَما كَيدُ فِرعَونَ إِلّا في تَبابٍ
“(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa; dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta dia dihalangi dari jalan yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.
Dia memang ada lakukan banyak rancangan tapi semua itu tidak menjadi: mulanya dia hendak bunuh anak-anak lelaki Bani Israil kerana dia tidak mahu ada dari kalangan mereka yang menjatuhkan takhtanya. Rancangan itu memang dijalankan, tapi dia sebaliknya membesarkan pembunuhnya (Nabi Musa) di dalam istananya.
Apabila Nabi Musa datang memperkenalkan diri baginda sebagai Rasul dan membawa ajaran tauhid, dia mencabar Nabi Musa, tapi Nabi Musa memalukannya dengan berhujah dan menunjukkan dua mukjizat – tongkat menjadi ular dan tangan bercahaya.
Untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Musa a.s., Firaun kemudian telah menganjurkan perlawanan dengan ahli sihir yang dia kumpul – kali ini di khalayak ramai pula. Dia menyangka kan yang dia akan memalukan Nabi Musa, tapi sebaliknya pula yang berlaku – semua rakyat nampak bagaimana ahli sihir itu kalah teruk dan mereka pula yang masuk Islam kerana jelas yang Nabi Musa itu adalah seorang Rasul.
Bayangkan Firaun yang beri ruang untuk Musa berdakwah di khalayak ramai! Rancangannya itu semua adalah ke arah kehancurannya akhir nanti. Dia juga tidak langsung beriman sampai ke akhirnya kerana dia ditahan dari jalan yang lurus. Maksudnya, bagaimana Firaun ditahan dari masuk Islam ini nanti akan disebut berkenaannya.
Makna lain bagi kalimah تبّ
-
- Mati dengan cara teruk.
- Mengalami kerugian besar.
- Menjadi teruk seperti buah yang membusuk lama kelamaan.
- Jadi tidak berguna dan dibuang begitu sahaja.
- Tidak ada langsung kebaikan sedikit pun.
Dalam ayat ini digunakan kalimah: تَبَّت يَدا – musnahlah dua tangan. Kenapa kedua-dua tangan yang disebut dimusnahkan?
-
- Ini adalah kerana kita selalunya lakukan perkara dengan menggunakan dua tangan, bukan satu sahaja, bukan? Ia merujuk kepada usaha seseorang itu, bukannya tangan yang fizikal sahaja. Oleh itu, ia bermaksud – biarkan dia dan segala usaha yang dilakukan oleh tangannya itu musnah. Bukankah dia cuba memusnahkan dakwah Nabi? Tapi, segala usaha dia itu tidak berjaya bukan?
- Oleh itu, tangannya itu akan musnah, sekali dengan agamanya, dunianya dan segala apa yang dia telah lakukan dan harapkan.
- Dua tangan Abu Lahab itu jugalah yang pernah cuba untuk membaling Nabi Muhammad dengan batu.
- Orang Arab mengatakan, tangan kanan digunakan untuk menyerang dan tangan kiri digunakan untuk mempertahankan diri. Apabila Allah berkata kedua-dua tangannya itu akan dimusnahkan, ia bermaksud dia sudah tidak boleh menyerang sesiapa lagi dan dia tidak dapat mempertahankan dirinya. Jadi, tidak ada harapan langsung.
Dalam ayat ini digunakan أَبي لَهَبٍ – kenapa Allah memberi kun’yah (gelaran) kepada dia? Dalam penggunaan bangsa Arab, selalunya kalau ada kun’yah itu adalah sebagai penghormatan. Jadi, memang gelaran Abu lahab asalnya sebagai pujian baginya kerana dia adalah seorang yang tampan dan kemerahan kulitnya. Maksudnya, memang gelaran itu diberi oleh masyarakat Arab waktu itu sebagai penghormatan dan pujian untuknya. (ini tidak sama dengan nama Abu Jahal yang digunakan sebagai gelaran menghina). Tapi, mari kita lihat lagi siapakah Abu Lahab ini:
-
- Namanya yang sebenar adalah Abdul Uzzah (hamba Uzzah), dan Uzzah itu adalah salah satu dari berhala Musyrikin Mekah. Jadi, Allah tidak mahu menggunakan nama berhala dalam merujuk kepadanya. Tidak akan hendak pakai pula kerana tidak ada sesiapa juga yang menjadi hamba kepada Uzzah kerana Uzzah itu adalah rekaan manusia jahil sahaja. Jadi, kalau pakai namanya Abdul Uzzah, ia adalah suatu penipuan.
- Jadi, kun’yah Abu Lahab ini adalah sesuai dengan dia kerana dia akan menjadi penghuni api yang membakar. Allah akan memasukkan dia ke dalam neraka yang apinya membara dan itulah maksud ‘lahab’ juga. Jadi bila guna nama ini amat sesuai. Memang masyarakat memberi gelaran itu sebagai penghormatan, tapi Allah telah menjadikan makna baru bagi nama itu. Sekarang dia bukan dipanggil kerana dia seorang yang tampan, tapi kerana dia adalah ahli neraka yang membara.
- Abu Lahab seorang yang takut hendak berperang. Ini berlainan dengan Abu Jahal yang berani. Oleh kerana Abu Lahab ini penakut, maka dia akan suruh orang lain yang berperang bagi pihak dia. Apabila ada orang yang berhutang dengan dia, maka dia akan berkata untuk selesai hutang, hendaklah berperang bagi pihak dia.
Penerangan penggunaan kalimah وَتَبَّ: bahagian pertama ayat ini iaitu تَبَّت يَدا أَبي لَهَبٍ adalah dalam bentuk doa. Kalau doa, belum tentu dapat lagi, bukan? Tapi dengan tambahan kalimat وَتَبَّ ini, ia bermaksud tangannya itu pasti akan musnah kerana ia adalah dalam bentuk ‘khabr’ (berita, pemberitahuan). Oleh itu, Allah hendak memberitahu yang pasti kedua-dua tangan Abu Lahab itu pasti musnah.
Maksud kedua: تَبَّت يَدا yang pertama adalah tentang usahanya dan dirinya yang musnah di dunia, dan وَتَبَّ yang kedua itu adalah kemusnahannya di akhirat kelak. Oleh itu, kalau ada riwayat yang mengatakan dia dapat minum air di akhirat kerana kononnya pernah meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW itu adalah bohong belaka. Kerana Abu Lahab tidak akan dapat kebaikan langsung.
Penghujung hidup Abu Lahab amat mengerikan. Dia telah dijangkiti penyakit yang teruk hinggakan seluruh badannya membengkak. Anak-anaknya, pembantunya, keluarganya dan kawannya yang lain tidak berani mendekatinya kerana takut mereka juga terkena penyakit yang sama juga. Akhirnya, dia mati secara perlahan bersendirian dan tidak ada orang yang dekat dengannya.
Mayatnya terbiar sahaja di rumah yang jauh kerana tidak ada sesiapa yang berani mendekatinya dan menyentuhnya. Akhirnya, keluarganya telah mengupah orang lain untuk mengangkat mayatnya dan memasukkannya ke dalam lubang di padang pasir dan mereka memenuhkan lubang itu dengan batu. Janji Allah telah ditepati – dia mati secara perlahan dan di dunia lagi dia telah dikenakan dengan azab.
Oleh itu, ini adalah janji Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang Dia akan musnahkan musuh baginda yang paling teruk sekali. Kerana Abu Lahab ini adalah teruk sekali sikap dan permusuhannya dengan baginda. Menyebabkan baginda susah hati dan tidak dapat tumpukan sepenuhnya kepada dakwah.
Bayangkan, dia siap upah orang untuk susahkan kehidupan baginda. Dia menggunakan kekayaan dan harta yang dia ada untuk menyusahkan dakwah baginda.
Apabila Nabi pergi berdakwah kepada seseorang, dia akan ikut di belakang. Selepas baginda habis bercakap dengan orang itu, dia pula akan berjumpa orang itu dan melarang orang itu ikut seruan Nabi Muhammad SAW. Dia berkata yang dia tahu Nabi Muhammad SAW itu gila kerana dia adalah bapa saudaranya. Oleh itu, Allah musnahkan Abu Lahab supaya Nabi dapat lebih mudah berdakwah.
Ayat 2:
ما أَغنىٰ عَنهُ مالُهُ وَما كَسَبَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
His wealth will not avail him or that which he gained.
(MALAY)
Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan.
Kekayaan dan hartanya tidak dapat membantunya langsung untuk menyelamatkan dirinya. Dalam ayat ini digunakan kalimah ما (tidak). Dalam bahasa Arab, ada beberapa cara untuk menyatakan ‘tidak’. Salah satunya dengan menggunakan kalimah لم. Tapi, kalimah ما lebih kuat lagi dari kalimah لم.
Kerana ia bermakna ‘tidak langsung sama sekali’. Ia digunakan untuk menolak fahaman seseorang. Maknanya ada yang menyangkakan bahawa hartanya dapat menyelamatkan Abu Lahab – maka Allah menidakkan fahaman itu dengan mengatakan ‘tidak sama sekali, itu adalah pandangan salah’. Ini terkandung maknanya apabila kalimah ما digunakan – walaupun pendek sahaja, tapi ada makna yang banyak disampaikan. Abu Lahab dan puak Quraish sangka hartanya yang banyak itu dapat memberi kebaikan kepadanya dan menyelamatkannya dalam sebarang hal, tapi tidaklah begitu.
Kalimah ما أَغنىٰ adalah dalam bentuk past tense kerana hendak membawa maksud ianya pasti berlaku. Ianya juga hendak memberi jaminan bahawa hartanya itu tidak akan dapat memberi kebaikan kepadanya di masa hadapan juga – ia tidak pernah memberi kebaikan kepadanya di masa lalu, begitu juga di masa hadapan.
Mari kita lihat maksud وَما كَسَبَ ini. Kalimah كَسَبَ bermaksud sesuatu yang didapati dari usaha. Ia juga termasuk dengan anak-anak, kerana pada orang Arab, status dan kelebihan terdapat pada bilangan anak yang banyak juga. Jadi ayat ini hendak memberitahu bahawa tidak ada apa-apa jua yang akan memberi keselamatan kepada Abu Lahab, termasuklah harta dan anak-anaknya.
Segala amalannya semasa dia hidup dulu, walaupun baik tidak akan memberi kebaikan kepadanya kerana dia mati dalam keadaan syirik. Jadi, kalau ada orang yang berkata, orang yang mati kafir itu akan dapat kebaikan di akhirat kalau dia ada buat kebaikan semasa di dunia, itu adalah tidak benar. Kerana mereka yang mati kafir dan syirik, tidak akan dapat kebaikan apa-apa pun di akhirat kelak. Jadi, jangan kita ada pemahaman yang sebegitu kerana ia berlawanan dengan dalil dari wahyu.
Lihatlah bagaimana Allah tidak bercakap terus dengan Abu Lahab dalam ayat ini tapi berfirman dalam bentuk pihak ketiga. Ini adalah kerana dia tidak akan dapat penghormatan itu – dia tidak layak langsung.
Kenapa disebut tentang مالُ dan كَسَبَ? Kerana مالُ adalah harta yang dia sudah ada, dan كَسَبَ adalah perkara yang dia sedang usahakan dan dia mungkin dapat di kemudian hari. Allah hendak beritahu, kalau campur keduanya juga, tidak ada berguna untuknya. Tidak kira berapa banyak harta dan anak yang dia ada.
Antara perkara yang menyebabkan dia rasa selamat adalah kerana dia ada mengeluarkan sedekah menolong orang. Jadi, dia mungkin rasa yang dia akan dapat kebaikan, tapi Allah hendak kata, itu juga dia tidak dapat. Ini seperti orang yang ada menderma dan rasa mereka sudah buat hal yang baik, sedangkan mereka tidak menjaga agama mereka, zalim kepada orang lain dan zalim kepada Allah. Orang-orang yang sebegitu memang tidak ada gunanya.
Begitulah nasib Abu Lahab yang telah menentang dakwah Nabi Muhammad SAW dan menyakiti baginda. Dia berbangga dengan dua perkara yang ada padanya: rupanya yang tampan dan kekayaannya. Kedua-dua perkara ini Allah musnahkan dalam dua ayat ini. Rupanya yang tampan itu Allah musnahkan dengan diberikan penyakit yang akhirnya mematikannya; dan kekayaannya Allah beritahu tidak berguna langsung untuk menyelamatkan dirinya.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 1 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan