Tafsir Surah al-Masad Ayat 3 – 5 (Isteri yang paling teruk)

Ayat 3: Balasan yang dikenakan ke atas Abu Lahab.

سَيَصلىٰ نارًا ذاتَ لَهَبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will [enter to] burn in a Fire of [blazing] flame

(MALAY)

Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.

 

Ayat sudah berubah sekarang kerana ia akan memperkatakan tentang masa hadapan. Kita tahu kerana ada huruf س dalam kalimah سَيَصلىٰ (dia akan masuk) itu. Selalunya apabila perkara masa hadapan disebut, ianya tentang perkara yang akan berlaku tidak lama lagi (sama ada di dunia atau di akhirat). Ayat ini tentang kejadian di neraka.

Bagaimana pula jika neraka itu tidak lama lagi? Ini adalah kerana pada Allah ianya dekat sahaja. Kita sahaja yang menyangka ianya lambat lagi. Lihat ayat Ma’arij:7 وَنَراهُ قَريبًا (Sedangkan Kami memandangnya dekat).

Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam نارًا ذاتَ لَهَبٍ (api yang ada bara merah). Bukankah لَهَبٍ itu nama gelarannya? Ini adalah serangan dan hinaan kepada Abu Lahab – kamu suka digelar Abu Lahab, bukan? Jadi, sekarang diberitahu yang dia akan dimasukkan ke dalam لَهَبٍ!


 

Ayat 4: Sekarang masuk kepada kutukan terhadap isteri Abu Lahab pula – Umm Jamil. Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi ramalan tentang akibat buruk yang akan diterima oleh isteri Abu Lahab.

وَامرَأَتُهُ حَمّالَةَ الحَطَبِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his wife [as well] – the carrier of firewood.¹

  • She used to put thorns in the Prophet’s path and slander him (). The word “firewood” was used by the Arabs to allude to slander and backbiting.

(MALAY)

Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.

 

Kalimah امرَأَتُهُ (isterinya) yang dimaksudkan adalah Umm Jamil. Siapakah dia?

    • Dia adalah cucu kepada Ummayyah, seorang yang terkenal di Mekah pada zaman dahulu. Dia juga adalah adik Abu Sufyan, salah seorang pemimpin Mekah pada waktu itu. Jadi dia adalah daripada keturunan pembesar.
    • Dia amat berbangga dengan kedudukannya di dalam masyarakat. Jadi, dia akan menunjuk-nunjuk kelebihannya itu. Tambahan pula dia berkahwin dengan Abu Lahab, juga seorang yang terkenal. Mereka ini adalah pasangan yang dipandang tinggi dalam masyarakat pada waktu itu.
    • Dikatakan bahawa, dia memakai rantai yang mahal dan didedahkan di khalayak ramai. Kalau dia ternampak Nabi Muhammad SAW lalu, dia akan memegang rantai itu dan dia bersumpah dengan nama berhala Lat dan Uzza yang dia sanggup untuk menggadai rantainya itu untuk menjatuhkan Nabi Muhammad SAW. Begitu marah dia hinggakan dia sanggup hendak menggadai rantai kesayangannya itu.
    • Umm Jamil ini pernah mengutuk Nabi Muhammad SAW dengan menggelar baginda ‘Mudhamam’ (yang terkutuk). Nama Nabi kita adalah Muhammad, tapi dia hendak ubah jadi Mudhamam pula, hingga dia mengarang syair tentang nama ini.

Dia sungguh marah selepas turunnya surah ini hinggakan dia mengutuk Nabi Muhammad SAW dengan memberi nama Mudhamam itu. Bila ada orang memberitahu kepada baginda tentang perkara ini, Nabi Muhammad SAW menjawab, tidak perlu kisah kerana yang dikutuk adalah Mudhamam, sedangkan nama baginda adalah Muhammad (jadi bukan sebut tentang baginda).

Ini mengajar kita untuk bersabar dan belajar melihat mana yang perlu dilayan dan mana yang tidak perlu dilayan. Kalau anjing menyalak kita, adakah bijak kalau kita menyalak semula kepada anjing tersebut? Oleh itu, kalau ada yang mengarut tentang kita, tidak perlu kita hendak balas dengan mengarut semula, buang masa dan buat malu kita sahaja.

Masalahnya sekarang ada blog, ada group whatsapp, dan selalu ada pertelingkahan di antara penulis-penulis ‘sambilan’. Kadang-kadang ada yang menggunakan bahasa kasar dan kita rasa macam hendak balas sahaja bahasa kasar mereka.

Tapi ini membuang masa sahaja. Mereka memang hendak melihat bagaimana kita melompat dan melatah. Maka, orang Islam hendaklah belajar tentang perkara ini. Kalau hendak berbincang dengan baik, barulah kita layan mereka. Kalau hendak berlawan dan menggunakan kata-kata kesat atau bodoh, tidak perlu hendak layan.

Contohnya, kalau ada yang mengutuk Wahabi, biarlah. Kita bukan wahabi. Hendak kutuk wahabi, kutuklah, tidak ada kena mengena dengan kita.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah امرَأَة (isteri). Selain dari امرَأَة, ada satu lagi kalimah digunakan yang membawa maksud isteri iaitu زوجة. Kedua-duanya digunakan dalam Al=Qur’an dan bertukar-tukar, sekejap guna زوجة dan sekejap guna امرَأَة. Sebagai contoh, untuk isteri Firaun, isteri Nabi Zakariya digunakan kalimah امرَأَة seperti yang digunakan untuk Umm Jamil. Apakah beza antara keduanya?

Pertamanya, kita hendaklah tahu yang kalau digunakan kalimah امرَأَة, tidak semestinya untuk mereka yang buruk kerana isteri Firaun dan isteri Nabi Zakariya juga menggunakan kalimah itu. Kedua-dua mereka adalah orang yang baik. Jadi, ada sebab tertentu kenapa ianya digunakan dan tidak digunakan kalimah زوجة.

Bahasa Al-Qur’an adalah tepat dan tentu ada sebab yang hendak disampaikan dengan cara tersirat. Perkara ini tidak diketahui kalau setakat membaca terjemahan sahaja.

Objektif perkahwinan yang utama ada dua: untuk meninggikan kebaikan dalam masyarakat dan untuk mendapatkan anak. Ini kerana cara untuk mendapatkan anak dengan sah adalah dengan pernikahan. Kalau salah satu dari dua perkara ini hilang atau tiada, maka Allah menggunakan kalimah امرَأَة. Dan apabila kedua-duanya ada, maka Allah menggunakan kalimah زوجة.

Sebagai contoh, isteri Nabi Zakariya adalah seorang yang baik, tapi dia tidak ada anak maka digunakan kalimah امرَأَة untuk menyebut tentang dirinya. Tidaklah berkurang kemuliaannya kerana tidak ada anak. Kita hendaklah ingat yang ketiadaan anak tidak semestinya tidak mulia. Berapa ramai daripada kalangan orang kita yang tidak ada anak, tapi mereka itu orang yang baik? Itu semua adalah dugaan untuk mereka.

Berbalik kepada isteri Nabi Zakariya, apabila isterinya itu sudah dapat anak, barulah digunakan gelaran زوجة untuk dirinya (boleh lihat perubahan yang Allah gunakan). Lihatlah bagaimana tepatnya penggunaan kalimah dalam Al-Qur’an. 

Oleh kerana itu, digunakan kalimah امرَأَة untuk Umm Jamil – dia ada anak tapi tidak ada kebaikan padanya. Dia melakukan sesuatu yang buruk. Anak yang dia ada itu juga tidak menyebabkan kebaikan baginya.

Kalimah وَامرَأَتُهُ dalam ayat ini adalah sambungan dari ayat sebelumnya. Ia adalah khabar kedua selepas khabar pertama dalam ayat sebelum itu – kerana ada dhommah padanya (baris hadapan). Apakah maksudnya? Kalau diambil dari ayat sebelum: “Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam api neraka yang ada bara dan begitu juga dengan isterinya.”

Mereka bergabung semasa di dunia untuk menyakiti hati Nabi dan cuba untuk menjatuhkan dakwah baginda, maka Allah akan masukkan kedua-duanya bergabung ke dalam neraka.

Kalimah حَمّالَةَ dalam bentuk mansoob kerana ada fatha (baris atas) padanya. Ini juga penting kerana mengandungi balaghah di dalamnya. Dalam bahasa Arab, ada 16 sebab kenapa fathah digunakan. Jadi, salah satunya adalah kerana hendak menunjukkan kemarahan. Maka, kalimah ini menunjukkan kemurkaan dan kebencian Allah kepada Umm Jamil, isteri Abu Lahab itu.

Kalimah حَمّالَةَ juga adalah dalam bentuk mubalaghah (bersangatan) kerana ada syaddah pada huruf م itu. Ini menunjukkan yang Umm Jamil tetap terus melakukannya, bukan sekali sahaja. Itulah perkara yang dia akan lakukan di neraka nanti.

Kalimah الحَطَبِ bermakna kayu kering yang digunakan untuk pembakaran (memasak, memanaskan rumah dan sebagainya). Begitulah cara mereka memperoleh kepanasan dalam rumah pada zaman itu. Selalunya kayu kering itu dibawa oleh hamba.

Jadi, sekarang Allah memanggil dia sebagai pembawa kayu bakar itu pula. Sedangkan dia seorang yang bangga dengan kedudukannya dalam masyarakat dan dia tidak akan melakukan kerja kerana pada dia, itu adalah kerja yang hina. Tapi, Allah hendak kata yang Dia tidak hormat status dia dalam masyarakat. Kalau seseorang itu menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, maka orang itu hina sehina-hinanya pada pandangan Allah.

Kenapa dikatakan Umm Jamil itu membawa ‘kayu bakar’? Kerana dia suka mengapi-apikan antara manusia. Dia suka mereka-reka kisah buruk tentang Nabi Muhammad SAW supaya orang tidak suka kepada baginda. Dia suka membangkitkan perasaan tidak suka masyarakat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Umm Jamil juga akan dimasukkan ke dalam neraka bersama suaminya Abu Lahab, dan dia sendiri akan membawa kayu kering untuk membakar dirinya dan suaminya itu. Ini adalah sebahagian dari azab seksa yang akan dikenakan kepada mereka. Dia akan berterusan melakukannya.


 

Ayat 5: 

في جيدِها حَبلٌ مِن مَسَدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Around her neck is a rope of [twisted] fiber.

(MALAY)

Yang di lehernya ada tali dari sabut.

 

Ini adalah azab yang disebut dan dikenakan kepada Umm Jamil – ditambat pada leher dia tali yang diikat seperti anjing. Dia mulia semasa di dunia, tapi dia akan dihinakan di akhirat kelak.

Kita sekarang sudah sampai ke ayat yang penghujung surah ini. Ada dua tema dalam surah ini yang kita telah belajar:

    • Satu tema tentang Abu Lahab.
    • Satu lagi tentang isterinya, Umm Jamil.

Mereka berdua ini adalah jenis manusia yang paling teruk sekali. Kerana kita juga tahu yang manusia ini ada banyak jenis. Dari sirah Nabi, mereka ini terbahagi kepada empat jenis:

1. Bukan Muslim, tetapi seorang yang baik. Contohnya, seorang lelaki yang bernama Mu’tem bin Adiyy. Dia tidak masuk Islam di zaman Nabi, tapi dia mempertahankan baginda apabila baginda masuk ke Mekah. Begitu juga kita kenal bapa saudara Nabi, Abu Thalib yang tetap mempertahankan Rasulullah SAW walaupun dia sendiri tidak masuk Islam.

2. Ada musuh yang mulia. Mereka tetap tidak masuk Islam dan malah menentang Islam, tapi mereka itu sebenarnya hebat. Diri mereka memang hebat, tapi mereka tetap mahu mempertahankan kepercayaan mereka, cuma kepercayaan itu salah. Jikalau mereka masuk Islam, mereka akan menjadi orang yang mulia.

Contohnya, Abu Jahal. Dia memang ada kelebihan peribadi pada dirinya hinggakan Nabi pernah berdoa semoga dibukakan hati sama ada Abu Jahal atau Umar (untuk masuk Islam) kerana mereka berdua ini ada potensi dan kalau mereka masuk Islam, akan memudahkan dan memberi kebaikan kepada agama Islam. Ini kita sudah bincangkan dalam tafsir ayat surah al-Alaq:11.

3. Ada yang menentang Islam dan menjadi musuh Islam, tapi mereka tidak benci kepada personaliti yang bernama Muhammad itu. Sebagai contoh, Utbah ibn Rabiah. Dia tidak benci Nabi Muhammad SAW, tapi dia ada reputasi yang hendak dijaga sebagai orang besar di Mekah.

Begitu juga dengan Walid ibn Mughirah – dia rasa tercabar dengan Al-Qur’an kerana dia seorang penyair yang terkenal. Dia tidak dapat jelaskan apakah Al-Qur’an itu, tapi akhirnya dia kata Al-Qur’an itu adalah sihir (kerana ditekan oleh pemuka Quraish yang lain). Individu-individu ini boleh dipelajari tentang mereka di dalam sirah.

4. Akhir sekali adalah jenis yang paling teruk – benci agama Islam dan benci Nabi Muhammad SAW juga – Inilah perangai Abu Lahab. Dialah manusia yang paling teruk sekali, hinggakan Allah buatkan satu surah tentang dia.

Bukan sahaja dia itu ahli keluarga dan jiran Nabi; bahkan mereka suami isteri sama-sama membenci kepada baginda; mereka bukan sahaja membenci, tapi berusaha untuk menyerang Nabi; dan mereka jua yang paling awal menyerang baginda secara umum.

Bayangkan teruknya mereka itu, sampai meraikan kematian anak Nabi. Ini adalah kemuncak permusuhan terhadap baginda. Kalau musuh baginda yang lain juga tidak lakukan perkara seteruk ini.

Bahagian kedua surah ini menyentuh tentang isterinya, Umm Jamil. Dia ini adalah wanita yang sangat teruk. Kalau kita bahagikan jenis-jenis wanita, kita boleh bahagikan kepada 4 jenis juga:

    1. Wanita yang baik dengan wali yang baik. Ini seperti Maryam yang dijaga oleh Nabi Zakariya a.s.
    2. Wanita yang baik dengan wali yang teruk. Ini seperti Asiyah, isteri kepada Firaun yang teruk. Walaupun dia seorang mukminah, tapi dia hidup dengan seorang yang teruk. Walaupun begitu, dia tetap beriman.
    3. Wanita yang teruk tapi dengan wali yang baik. Ini seperti isteri kepada Nabi Nuh a.s. dan isteri kepada Nabi Luth a.s. Mereka ada suami yang berpangkat Nabi, tapi mereka tetap menjadi teruk.
    4. Yang paling teruk adalah wanita yang teruk dan tinggal dengan wali yang juga teruk. Inilah peringkat Umm Jamil ini – dia sendiri sudah teruk, tinggal pula dengan wali yang teruk (Abu Lahab). Jadi surah ini menyebut tentang lelaki yang paling teruk dan wanita yang paling teruk.

Kedudukan surah ini diletakkan selepas surah an-Nasr. Dalam surah itu, disebut perkara yang akan menyelamatkan kita di akhirat kelak – tasbih, tahmid dan istighfar. Jadi, dalam surah al-Masad ini disebut pula apa yang tidak dapat menyelamatkan kita: harta dan apa yang kita dapat dari usaha kita.

Surah ini juga adalah sambungan dari nikmat yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW. Abu Lahab dan Umm Jamil adalah musuh baginda yang paling teruk sekali. Jadi, dalam surah ini Allah beritahu yang mereka akan dimusnahkan – bukan sahaja di akhirat, tapi di dunia ini lagi mereka akan dimusnahkan.

Sebelum ini kita telah sebut bagaimana Firaun ditahan dari beriman dan sememangnya Firaun sampai ke waktu dia hendak mati, dia tidak beriman (dia cuma mahu beriman apabila dia dalam sakaratul maut dan imannya tidak bernilai lagi pada waktu itu).

Salah satu mukjizat Al-Qur’an adalah ia memberitahu perkara yang akan terjadi dan tidak ada yang berlawanan dengan Al-Qur’an. Oleh itu, apabila surah ini memberitahu yang Abu Lahab akan dimusnahkan, ia juga adalah sesuatu yang pasti berlaku. Tidak boleh syak lagi.

Kalau kita fikirkan, Abu Lahab ada satu peluang untuk mengatakan Al-Qur’an itu menipu – dia boleh sahaja mengaku beriman (walaupun dia menipu) dan dengan itu mengatakan Al-Qur’an tidak benar. Dia boleh sahaja berkata yang dia beriman dan berhujah: “tengok, Al-Qur’an kata aku tidak akan beriman, jadi sekarang aku beriman.” Dia ada masa bertahun-tahun untuk melakukan perkara ini, tapi dia tidak pernah lakukan.

Ini adalah salah satu mukjizat Al-Qur’an – mengatakan perkara yang benar, yang terbukti kebenarannya. Jikalau Abu Lahab di hujung hayatnya beriman, tentu ini akan melemahkan kedudukan Al-Qur’an, bukan? Tapi, terbukti Al-Qur’an itu benar. Allah membuktikan kebenaran Al-Qur’an itu apabila Abu Lahab langsung tidak beriman sampai ke hujung hayatnya.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Ikhlas.

Kemaskini: 1 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan.

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s