Ayat 2: Ayat 2 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Allah memberitahu yang penerimaan masyarakat Tanah Arab kepada Islam juga adalah dengan nasrullah (pertolongan Allah).
وَرَأَيتَ النّاسَ يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ أَفواجًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And you see the people entering into the religion of Allāh in multitudes,
(MALAY)
dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,
Kalimah رَأَيتَ bermaksud ‘kamu telah melihat’ atau ‘kamu akan melihat’ – bergantung kepada mana pendapat yang dipegang (sama ada surah ini Makkiah atau Madaniah). Allah bercakap terus dengan baginda (kita tahu dari dhomir تَ yang digunakan).
Semasa di Mekah, Rasulullah SAW bersedih kerana ramai manusia tidak menerima dakwah baginda. Maka Allah beritahu baginda yang baginda akan melihat ramai manusia masuk Islam secara berbondong-bondong. Ini adalah hadiah daripada Allah kepada baginda kerana baginda akan melihat dengan mata baginda sendiri.
Kalau manusia masuk Islam secara ramai-ramai juga sudah nikmat yang besar, tapi Allah tambah dengan memberi mereka masuk agama Islam semasa hidup Nabi Muhammad sendiri supaya baginda dapat lihat dengan mata kepala baginda sendiri. Ini juga adalah sebahagian dari janji Allah kepada baginda seperti yang disebut dalam surah Dhuha:5
وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.
Kalimah النّاسَ bermaksud ‘manusia’. Beratus-ratus manusia waktu itu telah datang mengadap Rasulullah SAW, belajar terus daripada baginda dan para sahabat selama beberapa hari dan mereka kembali ke puak mereka dan menyebarkan agama Islam. Setelah itu, puak mereka ramai-ramai pula masuk Islam.
Dalam surah al-Kaafiroon sebelum ini, telah disebut bagaimana penentang Rasulullah dan agama Islam digelar oleh Allah sebagai ‘kafir’. Jadi, sekarang dalam surah ini disebut bagaimana النّاسَ (manusia) masuk Islam. Iaitu Allah menggelar mereka sebagai النّاسَ.
Oleh itu, maksudnya mereka sebelum itu tidak Islam. Tapi, kenapa Allah tidak gelar mereka ‘kafir’ juga? Jadi kita kena tahu bagaimana hendak membezakan mana yang kafir dan mana yang tidak. Tidaklah semua orang yang tidak beragama Islam itu digelar ‘kafir’. Kalau kita melihat penggunaan gelaran ‘kafir’ di dalam Al-Qur’an, mereka itu adalah jenis yang:
-
- Sudah mendengar hujah dan dalil dari wahyu, sudah faham apa itu agama Islam, namun masih juga menolaknya. Seterusnya,
- Mereka menentang agama Islam dan melakukan tindakan untuk menjatuhkan agama Islam.
Sila lihat surah Baqarah:6
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم أَأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman.
Ayat ini memberitahu kita yang orang kafir itu tidak akan beriman, walaupun kalau kita mengajak mereka dan berdakwah kepada mereka. Oleh itu, kalau kita mengatakan bahawa semua orang bukan Islam itu sebagai ‘kafir’, tentu tidak ada gunanya kita berdakwah kepada Ah Chong, Muniandy dan John dalam masyarakat kita – kerana mereka tidak beriman, bukan?
Jadi non-Muslim bukanlah bermaksud mereka itu ‘kafir’. Kafir itu adalah mereka yang sudah tahu, sudah diberi ajakan, tapi mereka masih menolak dan mereka melawan pula agama Islam. Sedangkan kebanyakan orang bukan Islam dalam kalangan masyarakat kita belum dengar lagi dakwah daripada kita. Kalau mereka juga tahu serba sedikit, mereka tidaklah menentang agama Islam.
Begitu juga dengan kemasukan manusia ke dalam Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ada antara mereka yang tidak menentang dakwah baginda. Jadi, mereka diberi peluang untuk mengenali agama Islam. Lihat surah at-Tawbah:6
وَإِن أَحَدٌ مِنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلامَ اللَّهِ
Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya ia sempat mendengar firman Allah,
Dalam ayat ini, kalau ada yang tidak mengenali Islam lagi, maka mereka diberi peluang untuk mengenali Islam, walaupun setelah Pembukaan Mekah. Ini adalah kerana mereka waktu itu ada lagi yang tidak tahu apakah Islam itu dengan sebenarnya. Tapi, lihatlah bagaimana Allah menggelar mereka المُشرِكينَ, bukannya الكافرون.
Kalimah النّاسَ itu bermaksud manusia yang ada akal. Ini berlawanan dengan binatang yang tidak ada akal. Oleh itu, ini adalah isyarat bahawa mereka yang masuk Islam itu adalah mereka yang ada akal dan mereka yang masih tidak mahu masuk Islam adalah mereka yang tidak ada akal! Lihat surah al-A’raf:179
وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغافِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) banyak dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Kalimah أَفواجًا bermaksud ‘berbondong-bondong’. Kumpulan demi kumpulan datang dan masuk Islam. Sebelum itu, orang masuk Islam datang bersendirian, seorang demi seorang. Tapi, sekarang mereka masuk Islam beramai-ramai.
Bagaimana mereka lambat masuk Islam, tapi Allah masih menggunakan gelaran yang baik terhadap mereka? Ini menunjukkan rahmat Allah – walaupun mereka lambat masuk Islam tapi kalau mereka sudah masuk Islam, mereka masih diterima lagi. Tidaklah mereka dikutuk kerana lambat masuk Islam.
Tapi, lihatlah bagaimana Allah berfirman: يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ (mereka masuk ke dalam agama Allah) iaitu masuk Islam, bukannya ‘mereka beriman’. Ini adalah kerana iman belum tentu masuk lagi ke dalam hati mereka. Untuk masuk iman, mereka hendaklah berusaha untuk mendapatnya.
Ini disebabkan oleh, mereka mungkin masuk Islam beramai-ramai (أَفواجًا) kerana mengikut orang sahaja. Kerana waktu itu, jikalau ketua suku masuk Islam, anak-anak suku terpaksa masuk Islam juga kerana taat kepada puak mereka. Jadi mungkin ada yang tidak ikhlas masuk Islam dan kerana itu ada yang dikenali sebagai ‘munafik’.
Mereka itu tidak sama seperti para sahabat yang telah lama dalam agama Islam dan telah berjuang dan membuktikan keimanan mereka – mereka itu digelar ‘mukminoon’. Oleh itu, kalau baru masuk Islam, gelaran yang layak bagi mereka adalah ‘muslimoon’. Dari luarannya, mereka sudah nampak beragama Islam.
Orang-orang Arab di sekitar beramai-ramai masuk Islam. Mereka sudah mula percaya kepada agama Islam dan kepada Rasulullah SAW. Ini adalah kerana kalau muslimeen dapat memenangi Ka’bah, maka tentunya ia adalah agama yang benar. Kerana semua tahu kisah Tentera Bergajah Abrahah (as-hab al Feel) yang datang untuk menyerang Ka’bah tapi mereka telah dihancurkan dengan teruk sekali.
Jadi semua tahu yang Ka’bah itu dijaga oleh Allah. Dan apabila Rasulullah SAW berjaya menakluknya, maka tentulah itu adalah tanda bahawa baginda adalah Rasul yang benar. Kerana mereka yakin yang Allah tidak akan membenarkannya kalau bukan Rasul yang benar datang. Oleh kerana itu, ramai berbondong-bondong masuk Islam.
Sebelum itu, mereka duduk di tepian melihat sahaja kerana mereka tidak pasti. Kalau sebelum itu mereka menghormati Quraish kerana Quraish penjaga Ka’bah, sekarang mereka menghormati Rasulullah SAW pula kerana sekarang Rasulullah adalah penjaga Ka’bah pula – dan mereka menghormati dan mengagungkan Ka’bah.
Memang ini bukanlah kayu ukur yang bagus, kerana Rasulullah SAW memang sudah benar juga sebelum menguasai Ka’bah. Sebab itulah Allah katakan yang mereka itu hanya baru masuk Islam sahaja, belum tentu beriman lagi. Lihat apa yang Allah firman dalam surah al-Hujurat:14
قالَتِ الأَعرابُ آمَنّا ۖ قُل لَم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمانُ في قُلوبِكُم
Orang-orang Arab Badui itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;
Ada satu riwayat yang menakutkan:
وقال أبو عمار حدثني جابر لجابر ، قال : سألني جابر عن حال الناس ، فأخبرته عن حال اختلافهم وفرقتهم ؛ فجعل يبكي ويقول : سمعت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يقول : إن الناس دخلوا في دين الله أفواجا ، وسيخرجون من دين الله أفواجا .
Telah menceritakan Jabir kepada Jabir, dia berkata: Jabir bertanya kepadaku tentang hal manusia, lalu aku menceritakan kepadanya tentang perbezaan dan perpecahan manusia. Dia menangis dan berkata: “Aku mendengar dari Rasulullah SAW – baginda bersabda: “Sesungguhnya manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong, dan mereka akan keluar dari agama Allah berbondong-bondong.”
Maksudnya perpecahan umat Islam seperti mereka yang mengikut Musaylimah al Kadhdhab (Nabi Penipu), dan mereka yang keluar dari Islam (riddah) semasa zaman Khilafah Abu Bakr. Memang ramai manusia masuk Islam, tapi mereka yang keluar juga ramai. Alangkah menakutkan kalau kita juga termasuk dalam kumpulan mereka itu.
Ramai yang ‘Islam keturunan’ sahaja – tidak mempelajari agama Islam dan kerana itu tidak faham dan tidak kuat pegangan mereka. Mereka itu Muslim hanya kerana ibubapa mereka dulu Muslim dan mereka hidup dalam suasana semua orang Muslim. Tapi, mereka tidak kisah pun dengan agama. Lain dengan manusia yang ada keikhlasan untuk mempelajari agama dan mereka menghambakan diri kepada Allah dengan sebenarnya. Mereka yang sebegitu tidak akan mudah meninggalkan agama Islam.
Oleh itu, jangan kita menyangkakan bahawa anak-anak kita yang lahir-lahir sudah beragama itu akan kekal dalam Islam – kita kena terapkan ilmu Islam ke dalam hati dan akal mereka. Kalau kita biarkan sahaja, syaitan dan nafsu akan mengambil peluang untuk menyesatkan mereka.
Semoga Allah kekalkan kita dalam Islam dan matikan kita juga dalam agama Islam yang sebenar. Aameen.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 30 September 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan