Ayat 3: Ayat 3 ini adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah memberitahu tentang Sifat-Nya.
فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَاستَغفِرهُ ۚ إِنَّهُ كانَ تَوّابًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then exalt [Him] with praise of your Lord and ask forgiveness of Him. Indeed, He is ever Accepting of repentance.
(MALAY)
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.
Allah menyebut tentang istighfar di hujung وَاستَغفِرهُ
Allah menyebut tentang memuji-Nya di tengah بِحَمدِ
Allah menyebut tentang mensucikan-Nya di awal فَسَبِّح
Ini sebagai pengajaran untuk mereka yang melakukan istighfar (mohon ampun). Jikalau mahukan pengampunan daripada Allah, atau dalam berdoa, maka kita hendaklah memberikan hak Allah – kita kena mensucikan Allah, kemudian memuji-Nya dan selepas itu barulah minta ampun (ataupun berdoa dengan hajat kita). Oleh itu, dengan ayat ini, Allah mengajar kita cara berdoa kepadaNya.
Ayat ini adalah tafsir bagi ayat lain, iaitu Hijr:99
وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ
dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).
Ayat ini memberitahu kita yang kita hendaklah menghambakan diri kita selagi mana kita hidup. Ini termasuk juga mengerjakan ibadah – oleh itu, kita hendaklah solat sampai kita mati, tidak ada masa berhenti. Jadi, apabila kita menyebut tentang ‘ibadah’, ianya mengandungi dua perkara penting dan setiap ibadat ada salah satu dari dua perkara ini:
-
- memuji Allah
- memohon ampunan daripada-Nya. Maksudnya, kita mengakui kesalahan kita dan berharap semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita itu.
فَسَبِّح
maka bertasbihlah
Kalimah سَبِّح bermaksud mengisytiharkan kesempurnaan Allah. Ia dari kata dasar س ب ح yang bermaksud timbul di atas air. Oleh itu, apabila kita melakukan tasbih kepada Allah, kita mengatakan yang Allah itu sempurna, tidak ada kekurangan pada Diri-Nya, Perbuatan-Nya, Kalimah-Nya.
Jangan biarkan nama Allah tenggelam dalam fahaman yang syirik. Oleh itu, jangan mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya dan tidak layak kepada Allah. Inilah kesalahan yang dilakukan oleh puak Yahudi. Ini disebut di dalam surah Ali ‘Imran:181
لَقَد سَمِعَ اللَّهُ قَولَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللَّهَ فَقيرٌ وَنَحنُ أَغنِياءُ ۘ سَنَكتُبُ ما قالوا
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya Allah miskin dan kami kaya”. Kami akan mencatat perkataan mereka itu.
Kata-kata mereka itu memang tidak sepatutnya diucapkan dan Allah menyatakan kemurkaan-Nya.
Kalimah tasbeeh juga boleh membawa maksud ‘solat’. Jadi ada yang mengatakan bahawa ayat ini menyuruh kita solat. Ini banyak disebut dalam Al-Qur’an dan salah satunya adalah dalam surah Rum:17
فَسُبحانَ اللَّهِ حينَ تُمسونَ وَحينَ تُصبِحونَ
Maka bertasbihlah kepada Allah di waktu kamu berada di petang hari dan waktu kamu berada di waktu subuh,
Begitu juga dalam Taha:130
فَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ قَبلَ طُلوعِ الشَّمسِ وَقَبلَ غُروبِها ۖ وَمِن آناءِ اللَّيلِ فَسَبِّح وَأَطرافَ النَّهارِ لَعَلَّكَ تَرضىٰ
Maka sabarlah kamu atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya dan bertasbih pulalah pada waktu-waktu di malam hari dan pada waktu-waktu di siang hari, supaya kamu merasa senang,
Dalam dua ayat di atas, kalimah ‘tasbeeh’ di dalamnya bermaksud ‘solat’. Dan memang perbuatan tasbeeh, hamd dan istighfar yang terbaik dilakukan adalah dalam solat.
Seperti yang kita telah pernah sebutkan, surah ini sebagai tanda bahawa tugas Rasulullah SAW sudah selesai dan kerana itu hayat baginda di dunia akan berakhir tidak lama lagi. Ini juga ada disebut dalam satu hadis:
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيل، حَدَّثَنَا عَطَاءٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَير، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ} قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “نُعِيَت إِلَيَّ نَفْسِي”
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, telah menceritakan kepada kami Ata, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. (An-Nasr: 1) Rasulullah Saw. bersabda: Ini adalah ucapan belasungkawa terhadapku.
Memang baginda Rasulullah SAW wafat pada tahun yang sama juga. (Ini bagi pendapat yang mengatakan surah ini diturunkan di Madinah.)
Apabila surah ini turun, baginda telah memperbanyakkan tasbeeh.
قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا جَرير، عَنْ مَنْصُورٍ، عَنْ أَبِي الضحَى، عَنْ مَسْرُوقٍ، عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ: “سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” يَتَأَوَّلُ الْقُرْآنَ.
Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Usman ibnu Abu Syaibah, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Mansur, dari Abud Duha, dari Masruq, dari Aisyah yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW dalam rukuk dan sujudnya memperbanyak bacaan: Mahasuci Engkau, ya Allah, Tuhan Kami; dan dengan memuji kepada Engkau, ya Allah, ampunilah aku.
Nabi SAW melakukan demikian sebagai pengamalannya terhadap makna surah ini. Bukan sahaja di dalam solat, tapi di mana-mana – sama ada duduk, berdiri, berjalan baginda akan menyebut: subhan Allahi wa bi hamdihi.
قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنَا أَبُو السَّائِبِ، حَدَّثَنَا حَفْصٌ، حَدَّثَنَا عَاصِمٌ، عَنِ الشَّعْبِيِّ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي آخِرِ أَمْرِهِ لَا يَقُومُ وَلَا يَقْعُدُ، وَلَا يَذْهَبُ وَلَا يَجِيءُ، إِلَّا قَالَ: “سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ”. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّكَ تُكْثِرُ مِنْ سُبْحَانِ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، لَا تَذْهَبُ وَلَا تَجِيءُ، وَلَا تَقُومُ وَلَا تَقْعُدُ إِلَّا قُلْتَ: سُبْحَانَ اللَّهِ وبحمده؟ قال: “إني أمرت بها”، فقال: {إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ} إِلَى آخِرِ السُّورَةِ
Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abus Sa’ib, telah menceritakan kepada kami Hafs, telah menceritakan kepada kami Asim, dari Asy-Sya’bi, dari Ummu Salamah yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. di penghujung usianya, tidak sekali-kali beliau berdiri, duduk, pergi, dan datang melainkan membaca: Maha suci Allah dan dengan memuji kepada-Nya. Maka aku bertanya, “Wahai Rasulullah, aku telah melihatmu memperbanyak bacaan tasbih dan tahmid kepada Allah, tidak sekali-kali engkau pergi, datang, berdiri, atau duduk melainkan engkau membaca, “Maha suci Allah dan dengan memuji kepada-Nya.” Maka beliau Saw. menjawab, bahawa sesungguhnya beliau diperintahkan untuk melakukannya, lalu beliau membaca firman-Nya: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. (An-Nasr: 1), hingga akhir surat.
Baginda memperbanyakkan tasbeeh kepada Allah kerana Allah telah memberi kejayaan kepada Islam dan telah membersihkan Ka’bah dari berhala – maka sekarang adalah masa untuk tasbeeh – mengucapkan penyucian terhadap Allah. Memang mendapatkan kejayaan untuk agama Islam itu penting, tapi zikir kepada Allah itu lebih penting lagi. Allah menyebut dalam surah al-Ankabut:45
اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ ۖ إِنَّ الصَّلاةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۗ وَلَذِكرُ اللَّهِ أَكبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ ما تَصنَعونَ
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Inilah tugas kita yang utama – mengingat Allah. Dan dalam surah ini disebut tiga perkara – tasbeeh, hamd dan istighfar.
Tasbeeh – menyebut tentang kesempurnaan Allah, iaitu mengatakan yang Allah bebas dari perkara-perkara yang kurang, dari sifat-sifat yang tidak patut bagi Allah.
Hamd – memuji dan mengucapkan syukur kepada Allah.
بِحَمدِ رَبِّكَ
dengan memuji Tuhanmu
Tasbeeh dan hamd ini Allah gabungkan dalam ayat ini dengan huruf ba’ – فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ. Kenapa? Apakah maksudnya? Ada beberapa pendapat yang diberikan:
1. Iaitu mengucap subhanallah walhamdulillah. Iaitu menyebut kedua-duanya sekali. Allah kaitkan kedua-duanya dengan huruf ba’.
2. Maksud kedua, dengan mengucapkan alhamdulillah, sudah mengandungi subhanallah di dalamnya. Maknanya – sucikan Allah dengan mengatakan alhamdulillah. Ini adalah kerana maksud تصبيح sudah ada dalam حمد.
Oleh itu, dengan memuji dan berterima kasih kepada Allah (حمد), ini sudah menunjukkan yang Dia tidak ada kekurangan apa-apa. Kerana kita tidak melakukan حمد melainkan kepada Allah yang tidak ada kepincangan.
3. Ia juga boleh bermaksud: sebutlah kesempurnaan Allah (tasbeeh) kerana pujian dan terima kasih hanya layak untuk Allah sahaja.
4. Juga boleh bermaksud: bertasbihlah dengan perasaan dan sifat hamd kepada Allah. Bukan mulut sahaja bertasbih tapi hati dan perbuatan kita tidak.
5. Dengan bertasbih dan bertahmid selepas mendapat kemenangan, jangan lupa yang kamu tidak berkuasa, tapi Allah yang berkuasa penuh dan membuat keputusan penuh. Kemenangan yang kamu dapat itu adalah daripada Allah dan kurnia Allah – maka hendaklah memuji dan mensucikan-Nya.
وَاستَغفِرهُ ۚ إِنَّهُ كانَ تَوّابًا
dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.
Satu lagi suruhan Allah kepada Rasulullah SAW adalah istighfar. Kemudian Dia terus menyebut yang Dia adalah تَوّابًا (isim fa’il). Allah hendak memberitahu yang Dia telah lama menerima taubat dari dulu lagi. Ini adalah satu pernyataan yang hebat:
-
- Allah hendak memberitahu kepada baginda: tidakkah kau lihat apa yang Aku telah lakukan dahulu? Lihatlah contoh Bani Israil. Mereka dahulu banyak melakukan kesalahan tapi kalau mereka bertaubat, Allah akan terima. Allah hendak beritahu, kalau mereka juga Allah terima taubatnya, apatah lagi Nabi Muhammad SAW lagilah Allah akan terima taubat baginda. Kerana tidaklah Nabi seperti mereka kerana akhlak baginda amat terpuji.
- Bukan sahaja ini berita baik kepada baginda, tapi berita baik kepada mereka yang baru masuk Islam – kerana kalau terima Islam, bukankah itu juga suatu taubah dan Allah sedang menyatakan yang Dia telah menerima taubat mereka.
- Ini juga menunjukkan cinta Allah kepada baginda. Nabi disuruh untuk istighfar dan Allah terus memberitahu yang Dia telah terima taubat baginda. Ini juga adalah satu lagi hadiah kepada baginda.
Mungkin timbul persoalan: Kenapa baginda disuruh untuk melakukan istighfar pula? Ini kita kena berhati-hati untuk memahami perkara ini.
Kerana ada dua ekstrem dalam kalangan orang Islam; ada yang terlebih sanjung baginda sampai boleh jadi ke tahap syirik; dan ada yang buat tidak kisah sahaja dengan Rasulullah SAW, seolah-olah mereka memperkatakan baginda seperti orang biasa sahaja (tidak kisah dengan sunnah baginda, tidak kisah dengan ajaran baginda, ibadah baginda dan sebagainya). Kedua-dua ekstrem ini teruk dan tidak patut ada di dalam diri kita.
Oleh itu, titik kebenaran adalah antara kedua ekstrem itu (pertengahan). Maka kita hendaklah mempertimbangkan, jangan terlebih dan terkurang hormat kepada baginda. Jadi, dalam ayat ini Allah bukan sahaja menyuruh baginda melakukan tasbih dan hamd, tapi Allah juga menyuruh baginda untuk istighfar.
Selalunya, fahaman kita kalau kita istighfar, ianya apabila berdosa, bukan? Disinilah yang bahaya kalau salah faham kerana ada yang mungkin bertanya: apa yang Nabi buat sampai baginda di suruh istighfar? Ini yang kita harus berhati-hati.
Untuk memahaminya, kita hendaklah faham bahawa tahap/peringkat/maqam manusia memang ada tahap yang berbeza-beza. Sebagai contoh, kita bandingkan seorang lelaki yang selalu datang awal berjemaah ke masjid (sebelum azan dia sudah ada di masjid).
Tiba-tiba kerana ada hal yang mengganggunya, dia terpaksa datang lewat ke masjid. Memang dia pergi ke masjid untuk solat berjemaah, tapi kali ini terlewat. Oleh kerana dia memang sudah biasa ke masjid awal sebelum azan, kalau dia datang lewat juga dia sudah rasa bersalah, bukan?
Jadi, sekarang bandingkan pula dengan seorang lain yang jarang ke masjid. Sebulan sekali ke masjid juga jarang dapat. Jadi apabila dia dapat solat berjemaah di masjid walaupun dia datang selepas azan juga, dia sudah rasa hebat, sudah rasa dia lakukan kebaikan besar, bukan? Kenapa dua kejadian yang sama, berlaku kepada orang yang lain, tapi perasaan yang berbeza?
Ini adalah kerana peringkat manusia berlainan. Jadi, kebaikan itu sebenarnya adalah subjektif. Satu perbuatan yang sama, boleh dilihat sebagai kesalahan dan boleh juga dilihat sebagai kebaikan, bukan? Ianya bergantung kepada orang dan peringkat/tahap/maqam mereka. Maka, jangan kita bandingkan Nabi Muhammad SAW itu dengan diri kita.
Oleh itu, kekurangan Nabi Muhammad SAW itu adalah kebaikan yang lebih tinggi dari kebaikan orang lain sebenarnya. Kekurangan baginda bukanlah ‘dosa’, malah ianya tetap lebih baik daripada diri kita.
Sebagai contoh, baginda ditegur dalam Surah Abasa – bila baginda mengerutkan dahi baginda apabila ada sahabat buta datang bertanya kepada baginda persoalan agama semasa baginda berdakwah kepada pemuka Quraish. Adakah itu ‘dosa’? Tentu sekali tidak. Baginda tidak marah sahabat itu, tapi baginda hanya mengerutkan dahi sahaja, bukan juga bermasam muka.
Baginda sedang melakukan tugas yang besar pada waktu itu kerana sedang berdakwah kepada pemuka Quraish (baginda berharap mereka dapat beriman dan lebih ramai lagi akan beriman mengikuti mereka).
Jadi, sahabat yang bernama Abdullah ibn Maktum itu juga buta dan tidak nampak serta tidak terasa hati dari perbuatan Nabi itu. Tapi, baginda tetap ditegur kerana kedudukan baginda yang tinggi, hinggakan kalau tersilap sedikit sahaja juga sudah di tegur oleh Allah.
Allah menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran buat kita – salah satu pengajarannya adalah, yang boleh tegur Nabi hanyalah Allah sahaja – kita tidak layak hendak menegur baginda dan mengatakan baginda ada lakukan kesalahan, ada kekurangan – ini bukan kerja kita dan bukan tahap kita untuk buat begitu (siapa kita?).
Hanya Allah sahaja yang layak menegur baginda. Dan teguran Allah itu telah menyebabkan Nabi rasa tidak selesa, maka Allah terus beritahu yang Allah telah maafkan baginda – Allah bersifat تَوّابًا.
Dan istighfar itu memang disukai oleh Allah – sama ada ada dosa atau tidak. Sebab itulah Nabi suka beristighfar. Jadi, ini tidaklah dilakukan kalau telah melakukan dosa sahaja. Ini seperti kisah Nabi Ibrahim A.s semasa baginda membina Ka’bah bersama Nabi Ismail A.s- baginda juga memohon taubat semasa sedang membina Ka’bah. Ini disebut dalam surah al-Baqarah:128
وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
(dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang).
Kenapa pula baginda minta ampun sedangkan baginda sedang melakukan kerja yang mulia – membina Ka’bah? Bukan melakukan dosa.
Ini adalah kerana mungkin ada kekurangan dalam apa yang baginda lakukan – mungkin silap letak bata atau sebagainya. Oleh kerana itu, permohonan taubah para Rasul dan taubah kita memang berlainan. Selalunya, kalau kita bertaubat, itu memang kerana kita ada lakukan dosa, tapi para Rasul tidak berdosa (mereka maksum).
Tapi, yang mereka risaukan kerana standard mereka amat tinggi kalau dibandingkan dengan kita. Oleh itu, jangan kita menyangka bahawa Allah suruh baginda bertaubat kerana baginda ada lakukan dosa. Jangan sesekali kita berkata begitu kerana itu adalah fahaman yang amat salah sekali.
Ayat ini juga ada pengajaran bagi kita. Ia mengajar kita, jangan kita terus sangka yang amalan kita terus diterima oleh Allah. Kalau ada perasaan begini, maka syaitan akan mengambil peluang dan membisikkan sifat ujub dalam diri kita. Ini adalah salah satu talbis Iblis.
Ujub adalah satu perasaan yang rasa diri hebat tanpa menisbahkan kepada Allah. Ubatnya adalah dengan memandang kecil segala amalan kita, tidak kira betapa hebat amalan kita. Lihatlah dalam kes Nabi Muhammad SAW ini: baginda telah berjaya mengislamkan beribu-ribu umat Mekah dan sekitar yang dahulunya tidak mahu beriman.
Tapi, dalam kejayaan baginda itu, Allah tetap menyuruh baginda istighfar. Maka, kita dalam amal kita juga hendaklah istighfar selepas itu. Kerana entah ada kekurangan dalam amal kita itu. Atau mungkin kita tidak ikhlas hinggakan Allah tidak menerima amal kita. Maka, biasakan istighfar selepas amal. Jangan sangka Allah terus terima amalan kita. Hendaklah ada rasa takut yang Allah tidak terima. Ini adalah benteng dari talbis Iblis.
Penutup:
Ada dua bahagian utama surah ini. Pertama, tentang kejayaan Islam dan keduanya, adalah tentang tasbeeh, hamd dan istighfar.
1. Tasbeeh adalah penyucian. Sekarang rumah Allah telah disucikan dari berhala. Maka inilah masa untuk menyucikan hati pula. Setelah yang luar menjadi bersih, maka yang di dalam juga hendaklah disucikan. Ini hebat kerana kalau ikut logik kita, jika sudah menang, pasti Allah menyuruh kita bersyukur, bukan? Tidak begitu, kerja masih ada lagi yang perlu dilakukan.
2. Walaupun sudah menang, akan tetapi Allah menyuruh kita melakukan tasbeeh. Allah menyuruh Nabi sibukkan diri baginda dengan tasbeeh, hamd dan istighfar. Kenapa? Kerana selalunya kejayaan akan menyebabkan orang berasa bangga diri dan ego menjadi tinggi.
Maka, Allah mengajar kita untuk jaga hati kita supaya jangan jadi seperti itu. Kalau sudah musnahkan berhala yang di luar Ka’bah itu, maka berhati-hati dengan ‘berhala’ yang di dalam hati kita pula. Jangan kita menuhankan diri kita pula dengan rasa bangga diri dan sombong. Maka untuk menjaganya, hendaklah besarkan Allah dan istighfar kepada Allah.
3. Rasulullah SAW ada dua misi utama dalam hidupnya – Ibadah dan dakwah. Untuk memenuhi keduanya, baginda hendaklah berkomunikasi dengan Allah (dalam ibadah) dan berkomunikasi dengan manusia (dakwah). Anda rasa baginda lebih suka untuk berkomunikasi dengan Allah atau dengan manusia?
Tentulah kemanisan hidup baginda adalah kalau dapat berkomunikasi dengan Allah dan kita tahu dari kisah kehidupan baginda bagaimana perkara ini terbukti – lihatlah cara solat baginda. Jadi, apabila sudah hampir sampai ke penghujung hayat baginda, baginda pilih komunikasi yang mana agaknya? Bacalah kisah bagaimana apabila baginda diberi pilihan sama ada untuk terus di dunia atau untuk mati, baginda pilih untuk mati dan berada di langit, bukan?
Walaupun para Rasul lebih suka untuk beribadat kepada Allah, tapi mereka tetap juga menjalankan tugas dakwah mereka dan hendaklah berkomunikasi dengan manusia. Ini adalah tugas yang susah kerana memang susah hendak bercakap dengan manusia yang pelbagai ragam dan sikap. Dalam menyampaikan dakwah itu, mereka di hina, di tolak dan sebagainya.
Maka, kalau dibandingkan antara hendak beribadat dan dakwah kepada manusia, tentulah mereka lebih suka bercakap dengan Allah, bukan? Tapi, Allah tetap menyuruh mereka berdakwah kepada manusia. Oleh itu, sekarang selepas baginda telah menang, tugas baginda sudah selesai. Maka, baginda sekarang boleh melebihkan beribadat dengan melakukan tasbeeh, hamd dan istighfar.
Baginda sekarang dibenarkan untuk memperbanyakkan ibadat kerana tugas baginda sudah selesai. Baginda sudah mendapat kebenaran daripada Allah. Kerana itulah dari riwayat selepas peristiwa Pembukaan Mekah, sahabat mengatakan bahawa baginda memperbanyakkan tasbeeh, hamd dan istighfar.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Masad.
Kemaskini: 30 September 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Assalamualaikum tuan..
bolehkan ayat ini diubah sedikit supaya nampak lebih sopan terhadap Rasulullah s.a.w….
“Ini adalah kerana mereka lagi teruk dari baginda tapi Allah terima juga taubat mereka.”
Sekali baca seolah-olah nampak seperti mengatakan baginda teruk… tapi bani Israil lagi teruk… bani Israil memang teruk tapi Rasulullah s.a.w. tidak teruk sebenarnya… perkataan teruk tu agak kasar saya rasa…
LikeLike
ya, boleh. terima kasih atas teguran.
LikeLike