Ayat 16: Dan ini kumpulan yang kedua pula, iaitu kumpulan yang tidak selamat. Semoga kita diselamatkan dari kumpulan ini.
وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَلِقائِ الأخِرَةِ فَأُولٰئِكَ فِي العَذابِ مُحضَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But as for those who disbelieved and denied Our verses and the meeting of the Hereafter, those will be brought into the punishment [to remain].
(MELAYU)
Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al Qur’an) serta (mendustakan) menemui hari akhirat, maka mereka tetap berada di dalam seksaan (neraka).
وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا وَلِقائِ الأخِرَةِ
Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al Qur’an) serta (mendustakan) menemui hari akhirat,
Ini adalah mereka yang tidak percaya kepada ayat-ayat Al-Qur’an dan malah mereka mendustakan Al-Qur’an pula. Iaitu mereka mengatakan Al-Qur’an itu menipu sahaja. Atau kalau mereka tidak cakap, mereka tidak hiraukan Al-Qur’an seolah-olah ia tidak penting.
Dan mereka tidak percaya yang mereka akan bertemu dengan hari kiamat dan mereka sangka tidak akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan mereka.
Perhatikan bahawa dalam ayat ini tidak disebut perbuatan buruk. Dalam ayat sebelum ini disebut mereka yang ‘beriman dan beramal soleh’ sedangkan dalam ayat ini tidak disebut ‘beramal buruk’. Ini menunjukkan fahaman yang salah pun sudah boleh memasukkan manusia ke dalam neraka. Tak perlu tunggu buat amal buruk pun.
Maka ini amat menakutkan kerana fahaman salah ini tidak dapat dilihat orang. Maka kita sendiri kena belajar. Kerana kalau kita beramal buruk, orang boleh nampak dan tegur kita. Tapi fahaman buruk, siapa yang tahu? Oleh kerana itulah ramai yang ada fahaman syirik dalam diri mereka tapi tidak ditegur. Maka mereka terus berada dalam fahaman syirik itu.
Inilah pentingnya belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita dapat periksa fahaman dan akidah kita sama ada benar atau tidak. Kita sendiri kena periksa dengan Al-Qur’an kerana orang lain tidak tahu apa yang ada dalam hati dan akal kita.
فَأُولٰئِكَ فِي العَذابِ مُحضَرونَ
maka mereka tetap berada di dalam seksaan (neraka).
Orang-orang mukmin akan dibawa ke tempat-tempat dalam syurga untuk menikmati balasan baik tetapi orang-orang yang kufur dengan wahyu akan dihadirkan di hadapan Allah untuk menjawab soalan-soalan berat ke atas segala perbuatan mereka semasa mereka di dunia.
Ini seperti pelajar yang dipanggil untuk jumpa Pengetua sekolah kerana telah melakukan kesalahan. Mereka tidak akan rela untuk berjumpa Allah tapi mereka akan dipaksa dan akan dihadirkan.
Ayat 17: Ini adalah ayat Dakwa Surah ini.
فَسُبحٰنَ اللهِ حينَ تُمسونَ وَحينَ تُصبِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So exalted is Allāh when you reach the evening and when you reach the morning.
(MELAYU)
Maka bertasbihlah kepada Allah di waktu kamu berada di petang hari dan waktu kamu berada di waktu subuh,
فَسُبحٰنَ اللهِ حينَ تُمسونَ
Maka bertasbihlah kepada Allah di waktu kamu berada di petang hari
Ini merupakan tasbih Allah. Dia bertasbih menyucikan diri-Nya, sekaligus membimbing hamba-hamba-Nya agar bertasbih dan memuji-Nya di waktu-waktu tersebut yang saling silih berganti.
Huruf ف dalam kalimah فَسُبحٰنَ adalah dinamakan fa fasihah. Iaitu selepas kita tahu dari ayat-ayat sebelum ini, maka hendaklah kita melakukan sesuatu. Jangan baca kosong sahaja. Maka kerana kita tahu kita akan dihadapkan kepada Allah dan akan diperiksa segala amalan-amalan kita, maka hendaklah kita bertasbih kepada Allah semasa kita hidup. Banyakkan amal yang baik.
Dan kita kena faham satu perkara iaitu ‘Tasbih’ bukanlah ayat pemberitahuan kepada satu fakta seperti ‘Alhamdulillah’, tetapi ianya adalah kalimah yang merujuk kepada perbuatan. Ianya adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Oleh itu, kita kena sentiasa bertasbih. Jadi kita kena membersihkan nama Allah dan meninggikan kedudukanNya. Ini kerana pada kalimah subhana itu dalam bentuk fathah dan bukan dhommah (seperti alhamdu), bermaksud ada kalimah lain yang dihazafkan iaitu: “katakanlah” – Katakanlah subhanallah.
Bertasbihlah kepada Allah di waktu pagi dan petang. Tasbih itu maksudnya meninggikan Allah dan membersihkan Allah dari salah faham manusia tentang Allah. Iaitu menolak fahaman syirik. Ramai manusia yang mengatakan perkara yang tidak benar tentang Allah dan kita bersihkan fahaman salah itu. Itulah maknanya tasbih.
Jadi tidaklah sebut-sebut sahaja dengan lidah tapi ditunjukkan dengan amal. Antaranya sifat Allah adalah Maha Mendengar. Maka tidak ada yang ada kuasa itu selain Allah. Maka janganlah kita berdoa dan seru kepada selain Allah kerana selain Allah tidak ada kuasa mendengar. Maka jangan bertawasul kepada ahli kubur sama ada dari kalangan Nabi atau wali. Malangnya ramai yang buat perkara ini.
وَحينَ تُصبِحونَ
dan waktu kamu berada di waktu subuh,
Bertasbihlah kepada Allah ketika kamu sedang meluangkan masa di waktu petang dan semasa kamu mendoakan masa waktu pagi.
Tapi, kalau setakat nak bertasbih, tidak perlu tunggu waktu-waktu ini, bukan? Kita boleh sahaja bertasbih bila-bila masa pun. Jadi, salah satu pendapat yang dimaksudkan tentang tasbih ini adalah ‘solat’. Kerana tasbih itu paling baik dilakukan dalam solat.
Jadi kerana itu disebut tentang waktu-waktu solat dalam ayat ini. Cuma kita tidak perasan ada dalil waktu-waktu solat ini ada dalam Al-Qur’an. Kerana itu ada yang jahil bertanya: “bagitahu kat aku, mana dia Allah sebut waktu subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya’ dalam Qur’an?”. Memanglah dia tidak tahu kerana dia tidak belajar.
Silih bergantinya waktu-waktu itu menunjukkan kesempurnaan kekuasaan-Nya dan kebesaran pengaruh-Nya, iaitu di waktu petang hari ketika malam mulai datang dengan kegelapannya, dan di waktu pagi hari saat siang hari mulai datang dengan membawa sinar terangnya. Allah juga yang menjadikan malam dan siang itu, bukan?
Ayat 18: Kemudian Allah memuji DiriNya sendiri. Selepas suruh tasbih, Allah suruh tahmid pula.
وَلَهُ الحَمدُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَعَشِيًّا وَحينَ تُظهِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And to Him is [due all] praise throughout the heavens and the earth. And [exalted is He] at night and when you are at noon.
(MELAYU)
dan bagi-Nya-lah segala puji di langit dan di bumi dan di waktu kamu berada pada petang hari dan di waktu kamu berada di waktu Zuhur.
وَلَهُ الحَمدُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
dan bagi-Nya-lah segala puji di langit dan di bumi
Dan pujian khas hanya untuk Allah Ta’ala sahaja. Arab Mekah juga telah menggunakan kalimah alhamdu ini dari lama dulu tapi mereka bukan berikan kepada Allah sahaja, tapi mereka berikan kepada sembahan mereka yang lain juga. Maka Allah hendak beritahu yang pujian yang khas itu hanya untukNya sahaja.
Allah terpuji sama ada kita sebut alhamdulillah atau tidak. Maknanya sama ada kita menyebut alhamdulillah ataupun tidak, memang pujian khas itu sudah menjadi hak Allah. Allah tidak perlukan kita menyebutnya pun. Allah tetap terpuji. Berlainan dengan pujian kepada manusia; manusia memerlukan pujian baru dia jadi mulia. Tapi Allah tidak memerlukan makhluk memujiNya. Tapi kalau kita puji, maka ia adalah kebaikan untuk kita.
Jadi amal ibadah yang Allah dan Rasul ajar kepada kita adalah kebaikan untuk kita sebenarnya. Bukannya ia menyusahkan kita. Allah memang tidak perlukan ibadah kita. Tidaklah kalau kita buat ibadah itu, akan mengenyangkan Allah pula; dan tidaklah kalau kita tidak buat, Allah akan jadi kurus pula. Tidak sama sekali.
Kita kena sebutkan perkara ini kerana ada yang salah faham tentang perkara ini. Ada yang jahil, sangka Allah memerlukan ibadah dari kita. Jadi itu adalah fahaman yang amat salah sekali.
وَعَشِيًّا وَحينَ تُظهِرونَ
dan di waktu kamu berada pada petang hari dan di waktu kamu berada di waktu Zuhur.
Allah mengingatkan dua waktu iaitu petang/malam dan juga tengah hari kerana waktu inilah manusia leka dari mengingat Allah kerana waktu malam manusia tidur dan waktu tengah hari manusia sibuk dengan kerja. Maka ini adalah dua masa yang manusia selalunya leka tentang Allah.
Dan kerana leka, maka ramai manusia yang tidak ingat kepada Allah dan tidak memuji Allah. Tapi walaupun manusia tidak ada yang memuji Allah pada waktu-waktu itu, pujian itu masih kembali kepada Allah. Allah masih tetap terpuji. Kerana Allah tidak memerlukan makhluk memujiNya untuk menjadikanNya terpuji.
Ayat 19: Dalil adanya himpunan hamba di mahsyar.
يُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَيُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ وَيُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ وَكَذٰلِكَ تُخرَجونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He brings the living out of the dead and brings the dead out of the living and brings to life the earth after its lifelessness. And thus will you be brought out.¹
- Of the graves or out of the earth at the time of resurrection.
(MELAYU)
Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan menghidupkan bumi sesudah matinya. Dan seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari kubur).
يُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ
Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati
Allah mula bercakap tentang diriNya walaupun surah ini bermula dengan kisah Rum, Parsi dan lain-lain. Kerana semua kisah-kisah itu tentang turun dan naiknya kerajaan di bumi ini sebenarnya menunjukkan hebatnya kuasa Allah yang mampu melakukan apa-apa sahaja.
Antaranya Allah boleh mengeluarkan benda hidup dari benda yang mati. Sebagai contoh, Allah keluarkan ayam dari telur yang mati.
وَيُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ
dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup
Dan Allah boleh mengeluarkan benda yang mati dari benda yang hidup. Seperti Allah mengeluarkan telur yang mati dari ayam yang hidup.
وَيُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها
dan menghidupkan bumi sesudah matinya.
Allah menghidupkan bumi selepas ianya mati. Iaitu dari tidak ada bumi ini maka Allah jadikan ia. Dan ada tanah yang mati kerana gersang tidak ada air, maka Allah hidupkannya dengan cara memberikan air hujan. Macam juga kita dulu mati iaitu tanpa nyawa dan Allah boleh hidupkan kita.
وَكَذٰلِكَ تُخرَجونَ
Dan seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari kubur).
Maka tentulah Allah boleh menghidupkan manusia selepas manusia itu mati. Kalau Allah sudah pernah jadikan alam ini pertama kali maka Allah boleh jadikan semula apabila ia telah hancur. Sebagaimana mudahnya Allah menghidupkan tanah yang tandus gersang, maka begitu juga mudahnya Allah menghidupkan kembali manusia dari kubur masing-masing.
Allah sentiasa mengeluarkan benda hidup dari benda mati; benda mati dari benda hidup; menghidupkan tanah yang gersang. Takkan Allah yang ada qudrat sebegitu hebat dan kita pun boleh lihat kejadian itu setiap hari, tidak boleh nak hidupkan kita balik di akhirat kelak?
Kalau tidak dapat terima hujah yang mudah ini, maka itu maknanya hati orang itu telah lama tertutup. Mudah sahaja bagi Allah nak buat apa-apa sahaja. Allah menggunakan Qudrat yang sama sahaja.
Ayat 20: Setelah ada Dakwa Surah, Allah akan memberikan dalil untuk menguatkan Dakwa. Ini adalah Dalil Aqli Anfusi.
وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَكُم مِّن تُرابٍ ثُمَّ إِذا أَنتُم بَشَرٌ تَنتَشِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And of His signs is that He created you from dust; then, suddenly you were human beings dispersing [throughout the earth].
(MELAYU)
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak.
وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَكُم مِّن تُرابٍ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah,
Walaupun kerajaan Rum dan Parsi itu kita lihat hebat kerana ada manusia-manusia yang hebat yang menguasainya, tetapi asal kejadian manusia itu adalah dari tanah yang hina sahaja. Maknanya tidak hebat mana pun. Allah hendak mengingatkan kita yang Dialah yang menjadikan kita semua.
Asal mula kejadian manusia dari tanah liat sahaja, kemudian dari air yang hina, lalu menjadi ‘alaqah, kemudian menjadi segumpal daging, lalu menjadi tulang-tulang yang berbentuk manusia, setelah itu Allah memakaikan daging kepadanya dan meniupkan roh ke dalamnya, maka tiba-tiba menjadi manusia yang mempunyai pendengaran dan penglihatan. Kemudian dia keluar dari perut ibunya dalam keadaan kecil lagi lemah.
Selanjutnya setiap kali bertambah usianya, maka bertambah kekuatannya, dan bertambah kuat pula gerakannya. Pada akhirnya dia menjadi manusia yang sempurna dan mampu membangun kota-kota dan binaan yang besar serta mengadakan perjalanan ke berbagai kawasan, menempuh jalan laut menaiki perahu dan keliling dunia.
Dia mampu berusaha dan mengumpulkan harta. Dia mempunyai akal, berwawasan, serta mempunyai pengetahuan, dan berilmu dalam menganalisis perkara-perkara duniawi dan ukhrawi, masing-masing dianugerahi oleh Allah sesuai dengan kemampuannya. Maha suci Allah Yang telah membuat mereka berkemampuan, menjadikan mereka dapat menyesuaikan diri dan mempunyai kepandaian dalam menjalani roda kehidupan dan aneka ragam mata pencarian.
Allah telah membeza-bezakan mereka dalam hal ilmu, pemikiran, bentuk, dan rupa. Ada yang tampan, ada yang buruk, juga ada yang kaya, ada yang miskin, serta ada yang bahagia, ada pula yang sengsara.
Allah berfirman yang kita dijadikan dari tanah. Tapi kalau kita sendiri nak jadikan makhluk dari tanah, bolehkah? Tentu tidak boleh. Kerana kita bukan Allah. Allah nak suruh kita fikirkan, bagaimana hebatnya kuasa Allah, Allah ambil bahan-bahan dari alam juga, dan dijadikan satu makhluk yang begini punya hebat.
Maknanya, Allah lagilah hebat, bukan? Maka kenapa ada yang rasa kita lebih hebat dari Allah, lebih pandai dari Allah? Sampaikan arahan Allah mereka tidak mahu ikut, tidak mahu dengar?
ثُمَّ إِذا أَنتُم بَشَرٌ تَنتَشِرونَ
kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak.
Dan kemudian Allah menjadikan kita sebagai makhluk yang ada kulit kerana itulah maksud بشر (makhluk yang ada kulit). Ini kerana kita berbeza dengan makhluk seperti binatang yang lain kerana kulit mereka tidak kelihatan kerana ditutupi oleh bulu yang lebat. Lihatlah monyet dan juga ayam. Mereka itu tidak nampak kulitnya, bukan? Tapi kita nampak kulit kita.
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ وغُنْدَر، قَالَا حَدَّثَنَا عَوْف، عَنْ قَسَامَةَ بْنِ زُهَيْرٍ، عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم: “إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ آدَمَ مِنْ قَبْضَةٍ قَبَضَهَا مِنْ جَمِيعِ الْأَرْضِ، فَجَاءَ بَنُو آدَمَ عَلَى قَدْرِ الْأَرْضِ، جَاءَ مِنْهُمُ الْأَبْيَضُ وَالْأَحْمَرُ وَالْأَسْوَدُ وَبَيْنَ ذَلِكَ، وَالْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ، وَالسَّهْلُ وَالْحَزَنُ، وَبَيْنَ ذَلِكَ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id dan Gundar. Mereka berdua mengatakan, telah menceritakan kepada kami Auf, dari Qasamah ibnu Zuhair, dari Abu Musa yang telah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dari segenggam tanah yang Dia ambil dari semua penjuru bumi, maka jadilah anak-anak Adam sesuai dengan kadar dari tanah itu; di antara mereka ada yang berkulit putih, ada yang berkulit merah, dan ada yang berkulit hitam serta ada yang campuran di antara warna-warna tersebut; ada pula yang buruk, yang baik, yang mudah, dan yang susah serta yang campuran di antara perangai-perangai tersebut.
Imam Abu Daud dan Imam Turmuzi meriwayatkannya melalui berbagai jalur dari Auf Al-A’rabi dengan sanad yang sama. Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih.
Kemudian dari diri makhluk yang satu, berkembang biak jadi berbangsa-bangsa. Kita yang dijadikan ini pula boleh menjadikan (dengan izin Allah) makhluk yang lain, iaitu anak cucu kita? Allah bukan sahaja jadikan kita, tapi jadikan keturunan kita yang entah berapa banyak jumlahnya.
Maka Allah yang hebat begini, takkan tak boleh nak jadikan kita semula di akhirat kelak?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 20 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi