Tafsir Surah Rum Ayat 21 – 24 (Tidak boleh tidur malam?)

Ayat 21: Dalil aqli. Ayat ini selalu digunakan dan agak popular. Mari kita lihat apakah maknanya.

وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا لِّتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And of His signs is that He created for you from yourselves mates that you may find tranquility in them; and He placed between you affection and mercy. Indeed in that are signs for a people who give thought.

(MELAYU)

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

 

وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,

Salah satu daripada rahmat Allah kepada kita semua adalah Dia menjadikan pasangan untuk kita daripada ‘bangsa kita’ ataupun daripada ‘jenis kita’ iaitu jenis manusia. Semua manusia mahukan kepada pasangan (iaitu yang normal).

Manusia diberikan pasangan dari jenisnya. Maka ini adalah hujah tidak ada manusia yang berkahwin dengan jin seperti juga tidak ada manusia yang berkahwin dengan binatang. Kerana walaupun semuanya makhluk Allah, tapi ia berlainan jenis. Walaupun begitu, kita tidak nafikan ada pendapat yang mengatakan boleh ada perkahwinan antara jin dan manusia. Cuma kita katakan, ia agak jauh kebarangkaliannya.

Allah jadikan lelaki dan perempuan ada persamaan dan dalam yang sama ada perbezaan. Persamaan dan perbezaan itu menjadikan kedua-duanya berkehendak antara satu sama lain. Kerana kalau semua sama sahaja, tentu bosan, bukan? Dan kalau berlainan semua sekali pun, tentu tidak berjaya untuk menjadi pasangan.

Dan Allah berkuasa juga jadikan di semua tempat ada lelaki dan ada wanita. Tidaklah ada di satu negara, lahir perempuan sahaja; atau di satu negara lahir lelaki. Allah jadikan ada bilangan yang ramai supaya manusia boleh buat pilihan.

Kenapa kita diberikan dengan pasangan hidup? Apakah kelebihannya?

 

لِّتَسكُنوا إِلَيها

supaya kamu merasa tenteram kepadanya,

Supaya kita boleh mencari ketenangan dengan pasangan kita itu. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{هُوَ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا}

Dialah Yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan darinya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepada­nya. (Al-A’raf: 189)

Surah ini dimulakan dengan kisah peperangan tetapi sekarang sudah masuk pula menyebut tentang ketenangan. Kalau dalam perang tidak tenang, bukan? Maka duduklah di rumah dengan pasangan masing-masing supaya duduk dalam tenang dan jangan cari peperangan.

Ada isyarat di dalam ayat ini yang jikalau kita ada ketenangan di dalam keluarga kita, maka ia akan membawa kepada ketenangan dan hubungan yang baik di dalam masyarakat. Dan bila ada ketenangan dalam masyarakat, kemudian akan membawa kepada ketenangan di dalam negara dan kemudian di antara negara.

Kalau di rumah sudah tidak ada ketenangan dan sudah ada kacau-bilau, maka kerana itulah manusia berperang dan bergaduh sesama sendiri. Kerana kalau tak tenang, ada sahaja perasaan geram dengan semua orang. Semua orang hendak ‘dimakannya’.

Kalau kajian sosial dilakukan di kawasan-kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi, maka kita akan lihat bagaimana banyak keluarga di dalam tempat itu yang telah rosak sistem kekeluargaan mereka. Selalunya ini terjadi kerana perhubungan ibu bapa yang tidak harmoni dan tidak tahu menjaga keluarga anak mereka, maka keluarga itu sendiri sudah kacau bilau sampaikan otak anak itu sudah tidak betul.

Dan bila begitu, mereka akan mencari perkara lain untuk memuaskan nafsu mereka. Kerana itu mereka tidak malu untuk mencuri dari orang dan tidak malu untuk pukul orang dan boleh buat apa sahaja kepada orang lain kerana emosi mereka dan otak mereka sudah tidak betul.

Asalnya kerana ibu bapa yang tidak menjalankan kerja mereka untuk mengurus satu keluarga yang baik. Pasangan itu mahu kahwin tapi tidak tahu menjaga anak apabila dapat anak. Selalunya perkara ini berterusan dari keturunan yang sebelumnya lagi. Ianya menjadi satu kitaran. Sebagai contoh, kalau seorang bapa memukul isterinya, maka anak dia pun akan pukul isterinya juga nanti apabila dia berkahwin.

Memang pasangan akan menenangkan kita. Sejuk sahaja mata apabila isteri atau suami ada di sisi. Sebab itu kadang-kadang apabila suami tidak ada di rumah kerana kerja malam contohnya, isteri susah tidur; dan kalau isteri tidak, ada suami pun tidak tenang duduk di rumah keseorangan. Memang tidak keruan jadinya dan rasa rumah sunyi sahaja.

Dan lihatlah bagaimana kadang-kadang apabila kita kepenatan balik dari kerja dan kita lihat isteri kita dan anak kita, maka tenang hati kita dan ini adalah rahmat daripada Allah kerana Allah yang melemparkan perasaan ketenangan itu. Dan ketenangan ini adalah perasaan dalaman tetapi ia akan keluar pada wajah kita dan daripada perbuatan kita. Kita nampak relaks sahaja. Dan kita layan orang lain pun dengan baik sahaja.

Maka apabila kita di dalam keadaan tenang, maka perhubungan kita dengan orang lain pun seperti jiran kita, rakan sekerja kita yang lain, dan orang-orang asing yang kita berjumpa di jalanan pun menjadi baik. Maka amanlah masyarakat kita. Dan kalau begitu, tentu tidak perlu nak berperang lagi, bukan?

Kalimah سكن dari segi bahasanya bermaksud ‘berhenti’. Dan ini berbeza dengan pergerakan kerana pergerakan itu sebenarnya kacau-bilau dan kita sebenarnya suka jika duduk berhenti. Kita rasa tenang apabila kita berhenti dan tidak melakukan apa-apa pun.

Jadi jadikanlah ini sebagai satu amalan harian kita di mana ada masa antara kita dengan pasangan kita. Luangkan masa bersama sahaja dengan dia. Dan kalau digabungkan dengan ayat lain di mana Allah menjadikan malam itu sebagai ‘sakinah’, maka malam adalah masa untuk hidup bersama dengan isteri kita dan satu lagi elemen adalah ianya mesti di rumah. Maka kena duduklah di rumah di malam hari dengan keluarga. Jangan pula berpeleseran di kedai mamak dan pusat hiburan pula.

Jadi, ada 3 eleman untuk mendapat sakinah:

1. malam,
2. di rumah,
3. dengan pasangan kita

 

وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً

dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang.

Mawaddah dari و د د dan dari segi bahasa bermaksud ‘keinginan kepada sesuatu’ dan dalam konteks ayat ini, ia bermaksud kecintaan yang tinggi. Sebab itu kadang-kadang seorang suami apabila di tempat kerja dia akan terkenang kepada isterinya dan dia akan memberi mesej dengan telefon bimbit untuk mengatakan yang dia rindu kepada isterinya itu. Isterinya juga begitu.

Allah jadikan ada perasaan berkehendak antara lelaki kepada perempuan. Kerana kalau tidak ada keinginan itu, tentu tidak ada perkahwinan. Dan bila tidak ada perkahwinan, tentu tidak ada kelangsungan keturunan pula. Maka semua ini Allah telah aturkan dengan cantik sekali. Jadi bila kita lihat ada pasangan yang berkahwin, jadi kita tahu ini semua adalah rancangan dan susunan dari Allah.

Dan Allahlah yang masukkan perasaan ini ke dalam hati seorang lelaki dan juga perempuan. Sebab itu apabila seseorang lelaki itu berkahwin maka dia menjadi seorang yang tenang dan hidupnya teratur. Dia sudah tak sibuk nak cari benda lain untuk tenangkan dirinya kerana ia sudah ada sumber ketenangan di rumah. Dia cuma perlu balik sahaja dan menceritakan masalahnya kepada isterinya. Maka kerana itulah Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin seawal mungkin.

Tapi rezeki pasangan itu terpulang kepada Allah juga. Ada yang dapat kahwin dan ada yang tidak dapat kahwin. Ada yang dapat pasangan yang baik, dan ada pasangan yang menyebabkan hati kita sakit. Semoga Allah beri pasangan yang baik buat kita.

Dan Allah bukan sahaja meletakkan kecintaan yang tinggi pada pasangan itu terhadap sesama sendiri tetapi ia juga adalah rahmat iaitu sayang yang menyebabkan kita mahu menjaga dan memelihara orang yang kita sayang itu. Asalnya daya tarikan antara lelaki dan wanita itu mungkin atas dasar seksual. Tapi lama kelamaan apabila keduanya telah tua dan tidak ada aktiviti seksual antara keduanya pun, masih lagi ada kasih sayang, bukan?

Allah tanamkan perasaan rahmah itu dalam hati manusia. Maka kerana itu seorang suami akan sentiasa menjaga keperluan isterinya dan begitu juga seorang isteri sentiasa menjaga keperluan suaminya. Seorang isteri memang suka untuk uruskan suaminya dan memasak untuk suaminya itu. Dan kerana cinta seorang suami kepada isterinya, kalau isterinya sakit tidak dapat bergerak pun, sang suami tetap menjaganya berterusan.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Pada perasaan yang Allah telah berikan ini, ada لَأيٰتٍ ‘tanda-tanda’; selalunya Allah gunakan ءاية (‘tanda’ dalam bentuk mufrad) sahaja tetapi dalam ayat ini Allah menggunakan kalimah لَأيٰتٍ dalam bentuk jamak yang bermaksud ada banyak tanda-tanda yang boleh diambil perhatian oleh kita. Bukan satu pengajaran sahaja.

Maka apabila begitu, maka selepas ini tengoklah bagaimana perhubungan kita dengan isteri kita nanti. Sebelum ini mungkin tidak perasan tapi bila sudah disebut dalam Al-Qur’an ini dan kita sudah belajar, sepatutnya kita kena beri perhatian lagi.

Baru kita akan nampak bagaimana Al-Qur’an ini ‘hidup’. Sentiasa sahaja ayat-ayat Al-Qur’an ini ‘terjadi’ di depan mata kita. Yang disebut-sebut dalam Al-Qur’an selalu sahaja dimainkan di hadapan kita. Maka ini akan menyebabkan kita semakin yakin dengan Al-Qur’an. Orang selalu tidak dapat keyakinan dengan Al-Qur’an. Itu adalah kerana mereka tidak membuka mata mereka.


 

Ayat 22: Allah berikan dalil lagi.

وَمِن ءآيٰتِهِ خَلقُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَاختِلٰفُ أَلسِنَتِكُم وَأَلوٰنِكُم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّّلعٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And of His signs is the creation of the heavens and the earth and the diversity of your languages and your colors. Indeed in that are signs for those of knowledge.

(MELAYU)

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.

 

وَمِن ءآيٰتِهِ خَلقُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi

Allahlah yang mencipta alam ini dari tidak ada kepada ada. Alam yang begini punya hebat, takkan terjadi sendiri? Itulah yang kita kena fikirkan. Jadi soalan kepada orang Atheis: “bagaimana kamu nak jelaskan kejadian alam ini? Kamu nak kata ia terjadi sendiri kah?”

Orang Arab Mekah yang musyrikin pun terima yang Allah yang menjadikan alam ini. Kerana mereka terima sifat Pencipta itu hanya ada pada Allah sahaja. Jadi apabila Allah sahaja yang mencipta, kenalah seru dan buat ibadah kepada Allah sahaja. Inilah yang sepatutnya, tapi lain pula fahaman mereka.

 

وَاختِلٰفُ أَلسِنَتِكُم وَأَلوٰنِكُم

dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu.

Dan satu lagi tanda kudrat Allah adalah dijadikan bangsa-bangsa yang berbeza dengan bahasa yang berbeza dan rupa yang berlainan. Hebat sekali kalau kita lihat – manusia ini sama sahaja fizikalnya, mulut sama dan lidah pun satu itu sahaja, tapi bahasanya berlainan dari tempat ke tempat. Kalau satu negara pun bahasa sama, sudah dialek pula berlainan (lihat beza antara orang KL dan orang Kelantan).

Jadi ini adalah tanda yang Allah jadikan bangsa berbeza itu, maka kita tidak boleh mengutuk bahasa orang lain dan juga tidak boleh mengutuk bangsa lain kerana ianya seolah-olah kita mengutuk apa yang Allah telah jadikan. Dan kena ingat yang kalau kita kutuk apa yang Allah jadikan, maka kita sebenarnya mengutuk Allah.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّلعٰلِمينَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.

Kalau kita memikirkan betapa Qudrat Allah ini begitu hebat, maka tentulah kita akan hanya seru dan sembah Allah sahaja. Tentulah kita akan serahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah sahaja. Tidak perlu nak serahkan kepada makhluk lain.

Dalam ayat ini disebut dua perbezaan sahaja – bahasa dan warna kulit. Tapi kita pun tahu setiap manusia itu unik sekali. Tidak ada manusia yang sama 100% dengan seorang yang lain (walaupun kembar seiras). Ini menunjukkan Allah tidak menjadikan manusia macam kilang jadikan bahan keluaran mereka.

Semua penduduk bumi sejak Allah menciptakan Adam sampai hari kiamat, masing-masing mempunyai sepasang mata, sepasang alis, hidung, kelopak mata, mulut, pipi, dan seseorang dari mereka tidak serupa dengan yang lain. Tetapi masing-masing pasti mempunyai sesuatu ciri yang membezakan yang seorang dari yang lainnya, baik itu dalam hal rupa, bentuk, ataupun bahasa. Perbezaan itu ada yang jelas dan ada yang samar, yang hanya diketahui setelah dilihat dengan teliti.

Ini menunjukkan yang Allah adalah Pencipta yang Maha Agung, setiap satu keluaran manusia itu berlainan. Ini menjadikan kita amat terpesona dengan kehebatan Allah, bukan?

Maklumat ini diberikan kepada semua orang tapi yang boleh terima hanyalah mereka yang mahu mengetahui. Mengetahui apa? Yang mahu mengetahui kebenaran.


 

Ayat 23: Allah beri lagi dalil.

وَمِن ءآيٰتِهِ مَنامُكُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ وَابتِغاؤُكُم مِّن فَضلِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَسمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And of His signs is your sleep by night and day and your seeking of His bounty. Indeed in that are signs for a people who listen.

(MELAYU)

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengarkan.

 

وَمِن ءآيٰتِهِ مَنامُكُم بِاللَّيلِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam 

Satu lagi tanda yang Allah berikan kepada kita untuk kita fikirkan, adalah kemampuan kita untuk tidur di malam hari dan mencari ketenangan. Tidur ini adalah satu nikmat besar juga. Kerana ramai juga yang tidak dapat tidur malam kerana resah gelisah dengan masalah dunia. Jadi kalau kita dapat tidur malam nanti, bersyukurlah.

Ada doa yang Nabi ajarkan kalau tidak dapat tidur juga:

قَالَ الطَّبَرَانِيُّ: حَدَّثَنَا حَجَّاجُ بْنُ عِمْرَانَ السَّدُوسِيُّ، حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ الْحُصَيْنِ الْعُقَيْلِيُّ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُلاثة، حَدَّثَنِي ثَوْرُ بْنُ يَزِيدَ، عَنْ خَالِدِ بْنِ مَعْدان، سَمِعْتُ عَبْدَ الْمَلِكِ بْنَ مَرْوَانَ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: أَصَابَنِي أَرَقٌ مِنَ اللَّيْلِ، فَشَكَوْتُ ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: “قُلْ: اللَّهُمَّ غَارَتِ النُّجُومُ، وَهَدَأَتِ الْعُيُونُ، وَأَنْتَ حَيٌّ قَيُّومٌ، يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ، [أَنِمْ عَيْنِي وَ] أَهْدِئْ لَيْلِي” فَقُلْتُهَا فَذَهَبَ عَنِّي

Imam Tabrani mengatakan, telah menceritakan kepada kami Saur ibnu Yazid, dari Khalid ibnu Ma’dan; ia telah mendengar Abdul Malik ibnu Marwan menceritakan dari ayahnya, dari Zaid ibnu Sabit r.a. yang berkata bahawa pada suatu malam dia mengalami kegelisahan tidak dapat tidur, lalu dia mengadukan hal itu kepada Rasulullah Saw. Maka baginda Saw. bersabda: Ucapkanlah, “Ya Allah, semua bintang telah tenggelam dan semua mata telah tertidur, sedangkan Engkau Maha Hidup lagi Maha Mengatur semua makhluk-Nya. Wahai Yang Maha Hidup lagi Maha Mengatur semua makhluk-Nya, tidurkanlah mataku dan tenangkanlah diriku di malam ini.” Maka aku mengucapkannya dan mataku langsung tertidur.

Manusia tidak dapat berjaga berterusan kerana kalau begitu, dia akan jadi penat. Maka Allah berikan satu jangkamasa di mana manusia kena berehat untuk mendapatkan balik tenaga. Kalau kita nak tahan dari tidur pun tidak boleh. Sebab itu ada orang yang tahan juga dari tidur, tapi badannya akan ‘curi’ masa untuk tidur juga dan ini dinamakan micro sleep.

Ini banyak terjadi semasa orang memandu di jalanraya. Ada yang cuba juga untuk memandu dan tahan mengantuk tapi badannya akan menang juga. Mata akan automatik tutup. Dan ini bahaya kerana apabila dia tertidur semasa memandu, maka ia akan menyebabkan kemalangan. Maka kita kena jagalah keperluan tidur ini. Jangan susahkan badan kita dan bahayakan diri kita dan keluarga kita.

 

وَالنَّهارِ وَابتِغاؤُكُم مِّن فَضلِهِ

dan siang hari dan usahamu mencari sebagian dari kurnia-Nya.

Dan juga kadangkala kita tidur di siang hari. Ini adalah dalil adanya apa yang dinamakan Qailullah. Ini adalah tidur di siang hari sama ada sebelum Zuhur atau selepas Zuhur. Asalkan jangan selepas Asar.

Tidur ini selama beberapa minit sahaja tidak lebih dari 20 minit. Ia dapat menyegarkan otak dan menguatkan daya ingatan. Sebab itu ada sekolah tahfiz wajibkan anak murid mereka qailullah ini.

Dan ianya dapat membantu kita bangun malam untuk Solat Tahajjud. Maka elok sangat kalau dapat diamalkan. Orang Barat juga telah buat kajian dan mereka amalkan tidur pada waktu ini. Ada negara yang sunyi pada waktu tengahari kerana rakyatnya siesta. Atau juga dipanggil Power Nap. Kerana mereka dapati ianya bagus untuk otak.

Dan perkara ini memang diamalkan oleh masyarakat Arab zaman itu. Kerana itulah Nabi Muhammad hijrah ke Madinah pada waktu tengahari dan bukannya malam. Ini kerana baginda kena hijrah secara rahsia dan baginda lakukan semasa pihak musuh sedang tidur. Apabila semua tidur, maka senanglah nak keluar secara senyap-senyap.

Jadi bukanlah Nabi hijrah malam hari seperti yang selalu disangka oleh masyarakat kita. Kisah baginda hijrah di malam hari dan tempat tidur baginda diganti oleh Saidina Ali itu adalah rekaan Syiah sahaja. Sedangkan dalam Sahih Bukhari, disebut baginda hijrah tengahari. Hairan, bukan?

Orang Syiah masukkan penipuan dalam sejarah kerana mereka nak tunjukkan Imam (Saidina Ali) mereka itu berani dan terlibat dalam urusan penting dalam sejarah Islam (Hijrah ke Madinah). Tapi mereka telah menipu dan ini biasa sahaja bagi mereka. Mereka bukan kisah dosa pahala.

Atau ada hazaf di dalam ayat ini yang bermaksud: kita tidur di malam hari dan kita bekerja di siang hari. Kerana siang hari cerah dan senang untuk bekerja kalau dibandingkan dengan malam.

Dengan kita dapat tidur di malam hari dan memberi kerehatan kepada otak dan akal kita, maka itu memberi tenaga untuk kita bekerja di siang hari untuk mencari rezeki dan kurniaan yang Allah sediakan untuk kita di alam ini.

Dan untuk mencari rezeki itu pun Allah telah mudahkan alam ini menjadi tempat mencari rezeki. Macam-macam cara Allah telah permudahkan kita untuk mendapatkan rezeki. Allah jadikan tanah lembut untuk dicucuk tanam, Allah jadikan hujan untuk menjadikan tanah itu subur, Allah jadikan binatang untuk manusia berternak dan macam-macam lagi. Dan Allah jadikan fizikal kita dan mental kita juga sesuai untuk mencari rezeki. Allah telah sediakan semua sekali.

Dah kejadian ini berlaku setiap hari dimana kita boleh lihat semua orang akan mengalami perkara ini dimana setiap orang yang kita jumpa di siang hari itu, mereka semua itu pada malam sebelum itu semuanya telah tidur dan Allahlah yang memberi kemungkinan kepada mereka untuk tidur. Dan sekarang mereka bangun siang untuk bekerja pula. Jadi bila kita lihat semua orang di pagi hari semasa semuanya sibuk ke tempat kerja, kita akan teringat ayat ini.

Jadi inilah kehebatan tanda-tanda yang Allah berikan kerana apabila kita melihat kejadian pada alam ini ia mengingatkan kita kepada ayat Al-Qur’an dan apabila kita ingat kepada ayat Al-Qur’an maka kita teringat kepada Allah yang memberikan Al-Qur’an itu kepada kita.

Dan kalau kita lihat kalimat مَنامُكُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ وَابتِغاؤُكُم مِّن فَضلِهِ itu, (tidurmu di malam dan siang, dan mencari dari rezekiNya) ia boleh merangkumi semua keadaan. Kerana ada juga manusia yang kerja malam dan tidur siang, bukan? Maka Allah berikan umum sahaja – kamu tidur di malam hari dan di siang hari untuk mencari kurnia dariNya. Ada yang tidur malam dan ada yang tidur siang. Yang pasti, kena tidur; jangan malam tak tidur, siang pun tak tidur juga.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَسمَعونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengar.

Tanda-tanda ini ada pada alam ini dan diberikan kepada semua orang tetapi ianya hanya boleh diterima dan difikirkan oleh manusia yang mahu memberi telinga mereka untuk mendengar apa yang hendak disampaikan oleh Allah.


 

Ayat 24: Dalil lagi.

وَمِن ءآيٰتِهِ يُريكُمُ البَرقَ خَوفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّماءِ ماءً فَيُحيي بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And of His signs is [that] He shows you the lightening [causing] fear and aspiration, and He sends down rain from the sky by which He brings to life the earth after its lifelessness. Indeed in that are signs for a people who use reason.

(MELAYU)

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia memperlihatkan kepadamu kilat untuk (menimbulkan) ketakutan dan harapan, dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu menghidupkan bumi dengan air itu sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mempergunakan akalnya.

 

وَمِن ءآيٰتِهِ يُريكُمُ البَرقَ خَوفًا وَطَمَعًا

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia memperlihatkan kepadamu kilat untuk (menimbulkan) ketakutan dan harapan, 

Hebatnya pada kilat itu kerana padanya ada takut dan juga ada harapan (sedangkan kedua-dua sifat itu berlawanan). Sebab kilat bunyinya menakutkan, tapi ia juga membawa isyarat ada hujan nak turun. Dan manusia memang mengharapkan hujan. Jadi bila kilat, boleh menyebabkan salah satu dari dua perasaan itu.

 

وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّماءِ ماءً

dan Dia menurunkan hujan dari langit,

Apabila ada kilat, kemudian hujan akan turun dari langit. Maka gembiranya manusia yang sedang menunggu hujan itu. Dan Allahlah yang menurunkan hujan itu.

 

فَيُحيي بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها

lalu dihidupkan bumi dengan air itu sesudah matinya.

Air hujan itu penting kerana air hujan itu menghidupkan tanah yang mati. Kalau lama sudah tidak ada hujan maka tanah sudah tidak subur dan tidak dapat menumbuhkan tanaman. Ianya dikira mati kalau tanah itu gersang tanpa air. Maka susahlah hidup kalau begitu. Maka kerana itu sukalah manusia dengan turunnya hujan.

Susunan ini ada kaitan dengan wahyu yang disampaikan oleh Nabi. Ayat-ayat Makkiyah adalah seperti ‘kilat’ yang menakutkan. Ini kerana ia mengingatkan dan beri ancaman tentang neraka dan azab. Dan ia juga ada harapan untuk memberi harapan kepada mereka yang taat.

Harapan itu adalah dalam bentuk berita baik tentang syurga. Dan ia juga memberi harapan dengan bantuan yang akan diberikan di Madinah. Allah telah beritahu kejayaan yang akan dicapai oleh umat Islam. Kita telah belajar bagaimana umat Islam akan menang dalam Perang Badr.

Dan tanah yang mati itu adalah isyarat kepada iman yang mati dalam hati manusia. Inilah yang terjadi kepada Arab Jahiliah yang tidak ada ilmu wahyu. Dan ia dapat dihidupkan dengan wahyu Al-Qur’an sebagaimana air hujan dapat menghidupkan tanah yang mati.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mempergunakan akalnya.

Ini semua menjadi tanda adanya Allah sebagai pencipta dan pemelihara alam ini. Allah bukan sahaja cipta alam ini, tapi selepas cipta, Allah jaga dan pelihara alam ini.

Maklumat ini diberikan kepada semua manusia tetapi yang boleh mengambil pelajaran adalah mereka yang menggunakan akalnya. Kalau mereka tengok kosong sahaja, maka tentulah mereka tidak akan nampak kebenaran ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 20 Jun 2019.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s