Tafsir Surah al-An’am Ayat 23 – 25 (Nak menipu di akhirat)

An’am Ayat 23:

ثُمَّ لَم تَكُن فِتنَتُهُم إِلّا أَن قالوا وَاللهِ رَبِّنا ما كُنّا مُشرِكينَ

Sahih International

Then there will be no [excuse upon] examination except they will say, “By Allah , our Lord, we were not those who associated.”

Malay

Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

 

ثُمَّ لَمْ تَكُن فِتْنَتُهُمْ

Kemudian tiadalah jawapan alasan daripada mereka,

Kalimah ثُمَّ digunakan untuk merujuk jawapan mereka selepas mereka ditanya: “Mana dia entiti-entiti yang mereka syirikkan dengan Allah itu?” Apabila digunakan kalimah ثُمَّ di dalam ayat ini, ia memberi maksud sengkang masa8 yang lama. Maka ini memberi maksud yang mereka ada masa lama untuk berfikir memberikan jawapan mereka.

Perkataan فِتْنَتُهُمْ itu daripada katadasar ف ت ن yang kita biasa faham sebagai fitan yang bermaksud ‘dugaan’, ‘ujian’. Ia juga bermaksud ‘alasan’ sepertimana yang digunakan dalam ayat ini. Selepas kita dituduh dengan sesuatu, kita beri alasan. Ini adalah kerana setiap soalan dan jawapan adalah dugaan sebenarnya kerana entah jawapan dan alasan kita itu diterima atau tidak.

 

إِلَّا أَن قَالُوا

kecuali mereka mengatakan:

Mereka tidak ada hujah. Mereka cuma boleh cakap sahaja. Ini adalah dakwaan kosong mereka sahaja. Mereka tentunya tidak ada jawapan yang baik kepada pertanyaan Allah ‎ﷻ itu. Yang mereka ada hanyalah alasan-alasan lemah sahaja.

 

وَاللهِ رَبِّنَا

“Demi Allah, Tuhan kami,

Tidak ada jawapan lain yang mereka boleh beri melainkan waktu itu mereka akan mengaku yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan mereka. Mereka sudah nampak azab, maka mereka terpaksa berbohong untuk melepaskan diri. Di dunia mereka telah berbohong, di akhirat pun hendak bohong juga.

 

مَا كُنَّا مُشْرِكِينَ

tiadalah kami mempersekutukan Allah”.

Ini sahaja jawapan yang mereka boleh berikan. Mereka tidak mengaku yang mereka telah membuat syirik semasa di dunia dulu. Mereka akan kata mereka sembah dan buat ibadat kepada sembahan-sembahan mereka itu kerana hendak ‘mendekatkan’ diri mereka dengan Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka berhujah tujuan mereka sebenarnya baik.

Mereka waktu itu sebenarnya sedang berdusta di hadapan Tuhan kerana mereka tidak menyangka yang amalan tawasul mereka itu adalah syirik. Mereka lalai dalam mempelajari agama sehinggakan mereka tidak tahu yang apa yang mereka buat dulu di dunia adalah salah.

Ataupun mereka tahu, trtapi mereka buat juga amalan syirik mereka itu. Oleh itu, apabila Allah ‎ﷻ tanya mereka, mereka terpaksa menipu kerana mereka tidak ada jawapan lain. Mereka yang menipu di dunia akan menipu di akhirat juga nanti. Hujah semasa di dunia pun mereka hendak bawa di akhirat kelak. Sebab sudah selalu sangat menipu, ia sudah menjadi sebati dalam diri mereka. Mereka menipu secara automatik. Semoga kita tidak jadi begitu.

Dari sini juga kita tahu yang di akhirat nanti, ada manusia yang akan cuba menipu untuk melepaskan diri mereka. Namun penipuan mereka tidak akan berjaya. Mungkin di dunia mereka boleh tipu manusia. Mereka akan beri pelbagai dalil dan hujah untuk menghalalkan syirik dan tawasul yang mereka lakukan. Tetapi bolehkah mereka menipu di akhirat kelak? Tentu tidak.

وقال ابن أبي حاتم : حدثنا أبو سعيد الأشج ، حدثنا أبو يحيى الرازي ، عن عمرو بن أبي قيس ، عن مطرف ، عن المنهال ، عن سعيد بن جبير عن ابن عباس قال : أتاه رجل فقال يا أبا عباس . سمعت الله يقول : ( والله ربنا ما كنا مشركين ) قال : أما قوله : ( والله ربنا ما كنا مشركين ) فإنهم رأوا أنه لا يدخل الجنة إلا أهل الصلاة ، فقالوا : تعالوا فلنجحد ، فيجحدون ، فيختم الله على أفواههم ، وتشهد أيديهم وأرجلهم ولا يكتمون الله حديثا ، فهل في قلبك الآن شيء ؟ إنه ليس من القرآن شيء إلا قد نزل فيه شيء ، ولكن لا تعلمون وجهه

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa’id Al-Asyaj, telah menceritakan kepada kami Abu Yahya Ar-Razi’ dari Amr ibnu Abu Qais, daripada Mutarrif, daripada Al-Minhal, daripada Sa’id ibnu Jubair, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang menceritakan bahawa seorang lelaki pernah datang dan bertanya kepadanya mengenai makna firman-Nya: Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah. (Al-An’am: 23)
Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab, adapun mengenai firman-Nya: Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah. (Al-An’am: 23) Maka sesungguhnya mereka ketika melihat bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang salat, maka mereka mengatakan, Marilah kita ingkari.” Ketika mereka hendak mengingkarinya, maka Allah ‎ﷻ mengunci mulut mereka sehingga tidak dapat berbicara, dan tangan serta kaki merekalah yang bersaksi; mereka tidak dapat menyembunyikan suatu peristiwa pun daripada Allah ‎ﷻ. Maka apakah di dalam kalbumu sekarang masih terdapat sesuatu? Sesungguhnya tiada sesuatu pun daripada Al-Qur’an melainkan diturunkan suatu keterangan mengenainya, tetapi kalian tidak mengerti takwilnya. 

Matan yang sahih. Boleh rujuk di dalam Kitab Takhrij bagi kitab al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil – Ibnu Jazi al-Kalbi

Mereka akan kata itu dan ini bukan syirik tetapi benda yang elok. Ini kerana mungkin mereka sendiri merasakan bahawa apa yang mereka lakukan itu tidaklah syirik. Perkara ini terjadi kerana mereka tidak belajar. Antaranya ada sahaja yang selamba minta tolong dengan jin, beramal dengan amalan-amalan yang jin ajar. Ada yang selamba minta tolong dengan bomoh. Pada mereka, ini semua adalah ‘usaha’ sahaja.

Dan ada yang berpegang dengan pendapat yang ringan tentang syirik. Antanya yang bertawasul dengan orang yang sudah mati. Mereka akan kata bahawa tawasul itu bagus, dituntut dalam agama. Mereka akan beri dalil-dalil batil – iaitu dalil daripada kitab, dalil akal, dalil ulama’ itu dan ini buat – dan pelbagai bentuk lagi. Itu semua adalah bohongan belaka. Pada mereka itu bukan syirik, jadi mereka kata “Eh, mereka tak buat syirik lah.”

Maka, mereka telah berhujah di dunia tentang bolehnya berbuat itu dan ini dan ia tidak syirik. Dan di akhirat juga mereka hendak berhujah untuk mengatakan mereka tidak melakukan syirik semasa di dunia. Akan tetapi di akhirat nanti, mereka tidak akan selamat. Lihatlah ayat seterusnya.

Tentulah ini terjadi sebelum mulut mereka ditutup. Akan sampai masanya nanti mulut mereka ditutup dan anggota tubuh mereka yang akan bercakap dan menjadi saksi atas mereka. Waktu itu sudah tidak boleh tipu lagi. Sekarang Allah ‎ﷻ beri peluang mereka bercakap lagi, untuk menunjukkan kepada semua bahawa mereka ini bukan di dunia sahaja menipu dan berdusta, tetapi di akhirat juga!


 

An’am Ayat 24:

انظُر كَيفَ كَذَبوا عَلىٰ أَنفُسِهِم ۚ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

Sahih International

See how they will lie about themselves. And lost from them will be what they used to invent.

Malay

Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.

 

انظُرْ

Lihatlah

Allah ‎ﷻ suruh kita ‘lihat’. Seolah-olah ia sedang berlaku dan kita sedang menyaksikan kejadian itu. Padahal ia belum terjadi lagi kerana ini adalah kejadian hari Akhirat. Kenapa begitu?

Ini adalah salah satu daripada lenggok bahasa Al-Qur’an. Walaupun ia belum berlaku lagi, namun oleh kerana ia PASTI akan berlaku, maka Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa “present tense” seolah-olah ia sedang berlaku di hadapan mata kita. Allah ‎ﷻ suruh kita ambil pengajaran.

Juga, Allah ‎ﷻ suruh kita cuba bayangkan keadaan pada waktu itu nanti supaya kita rasa takut sangat dengan keadaan itu dan beringat-ingat. Semasa di dunia, kenalah jaga segala tingkah laku dan fahaman kita supaya selari dengan wahyu ilahi.

 

كَيْفَ كَذَبُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ

bagaimana mereka telah berdusta kepada diri mereka sendiri

Mereka sedang berdusta kepada Allah ‎ﷻ, tetapi kenapa dikatakan mereka mendustakan diri sendiri? Kerana setiap kali seseorang itu menipu, dia sebenarnya menyusahkan dirinya sendiri.

Ia hanya membawa mudarat sahaja. Tidaklah pernah penipuan itu akan menguntungkan orang yang menipu. Sebab itulah Allah ‎ﷻ kata mereka ‘berdusta kepada diri mereka sendiri’.

Tambahan pula segala penipuan mereka itu akan dijadikan hujah terhadap mereka nanti. Mereka akan dibentangkan dengan apa yang mereka telah katakan, dan akan dijadikan sebagai dalil hujah terhadap diri mereka sendiri sahaja nanti. Mereka lagi teruk akan kena.

Ini juga memberi pengajaran kepada kita tentang bahayanya menipu kerana jika sudah biasa sangat menipu (habitual liar), maka sampai ke akhirat nanti akan berdusta juga. Kerana itu Al-Qur’an dan Hadith selalu mengingatkan kita jangan berdusta. Bukan hanya wahyu, malah orang kafir dan naluri kita sendiri pun tahu yang menipu itu buruk sangat. Cuma kalau sudah biasa maka ia akan menjadi sebati.

Ingatlah hadith riwayat Abdullah Ibn Mas’ud رضي الله عنه, sabda Rasulullah ﷺ:

إِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا

Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke Neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah ‎ﷻ sebagai pendusta.

(Hadith riwayat al-Bukhari: 6094)

 

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

dan hilanglah daripada mereka sembahan-sembahan yang dahulu mereka ada-adakan.

Tidaklah ada yang dapat menolong mereka kerana apa yang mereka lakukan itu adalah sia-sia. Sembahan-sembahan mereka tidak ada yang akan menolong mereka.

Mana mungkin ada yang akan datang menolong, sedangkan sembahan-sembahan itu adalah hanya rekaan sahaja. Memang tidak wujud pun. Tidak ada Tuhan yang selain Allah‎ ﷻ, tidak ada ilah juga selain Allah ‎ﷻ.

Jikalau Nabi, wali dan malaikat dijadikan sebagai sembahan, sebagai tempat pengharapan, mereka tidak dapaat mendengar pun doa dan pujaan kita kepada mereka. Jadi tentulah mereka tidak akan datang menolong kerana mereka tidak ada kena mengena pun dengan penyembahan kita ke atas mereka.

Namun amat menyedihkan apabila manusia banyak yang reka ibadah-ibadah yang tidak ada di dalam Islam. Mereka lakukan kerana hendak mendapatkan pertolongan daripada Nabi, wali dan malaikat itu. Sebagai contoh, tidaklah pernah Nabi Muhammad ﷺ suruh sedekah bacaan Surah Fatihah kepadanya. Tidaklah malaikat suruh kita kita beri salam kepadanya. Tetapi bukankah ramai yang buat perkara ini?

Saya sendiri semasa belajar tarekat dulu diajar beri salam kepada sepuluh malaikat yang besar. Kononnya supaya malaikat-malaikat itu kenal kita dan boleh tolong bila diperlukan. Golongan pengamal silat juga banyak yang mengamalkan mantera syirik: ‘Jibril di kananku, Mikail di kiriku….’ dan banyak lagi amalan lain yang mengarut.

Ramai guru-guru di Malaysia ini yang buat amalan mengarut. Sebagai contoh, ada guru di Kelantan yang membaca seribu wirid fi kulli lamhatin wanafasin (salah satu zikir rekaan golongan bid’ah), pada seketul batu sungai, kemudian dia akan simpan batu itu. Apabila dia mati, dia wasiatkan kepada anak muridnya supaya dia ditanam dengan batu-batu itu. Kononnya, supaya batu itu menjadi saksi untuknya nanti.

Inilah kekeliruan umat Islam sekarang. Memang wirid dan zikir itu baik, tetapi apabila dijadikan dalam bentuk yang tidak pernah diajar oleh Nabi, maka ia menjadi amalan karut. Ramai yang tidak faham perkara ini malah mereka marah apabila kita tegur. Mereka tuduh kita halang berzikir pula…. Mana pula kita halang manusia berzikir? Tetapi kita ajak berzikir dengan cara yang Rasulullah ﷺ ajar sahaja. Jangan tambah dan reka kerana agama Islam ini telah lengkap.

Cukuplah sahaja kita dengan amalan yang Nabi ﷺ ajar kepada sahabat-sahabat baginda. Ikut itu sahaja pun belum tentu boleh habis lagi buat. Janganlah kita perasan kita lebih pandai daripada mereka pula. Ini kerana apabila anda mengamalkan amalan yang mereka tidak amalkan, maknanya ada perasan anda lebih hebat daripada mereka! Ini sungguh lawak!

Saya beri lagi contoh kekeliruan manusia dalam hal agama. Ada kisah bagaimana ada guru yang buat majlis tahlil dengan golongan mualaf (yang baru masuk Islam). Majlis Tahlil itu pula mereka ajar supaya diniatkan untuk ibubapa para mualaf itu yang kafir dulu. Ustaz itu kata supaya dengan bacaan tahlil itu mudah-mudahan ibubapa mereka yang mati kafir dulu itu boleh masuk syurga!

Subhanallah! Mana mungkin boleh jadi begitu? Sedangkan mereka itu telah mati tanpa pernah mengucap dua kalimah syahadah?! Itulah contoh-contoh amalan salah yang sekarang ini diamalkan oleh mereka yang jahil. Sudahlah amalan Bacaan Majlis Tahlil itu bid’ah, ditambah lagi dengan bid’ah sedekah kepada orang kafir pula! Begitulah yang berlaku apabila hanya menggunakan akal sahaja tanpa dilihat kepada dalil yang sahih. Kita bukan suruh tinggalkan akal, tetapi hendaklah akal yang berpandukan wahyu.

Oleh itu, apabila kita diberikan dengan sesuatu amalan oleh guru mana-mana, tanya kepada mereka: “Dapat dari mana amalan ini, ustaz?” Kalau mereka boleh beri dalil bahawa ia adalah daripada Nabi ﷺ, maka barulah kita amalkannya. Jika dia kata selain daripada itu, maka tinggalkan sahaja. Saya yakin para asatizah tidak mampu untuk memberikan dalil pun.  Malah tidak mustahil juga, kita pula yang dimaki kerana berani bertanya.

Maka tinggalkanlah asatizah sebegitu. Mungkin anda belum nampak lagi manakah salahnya amalan itu, tetapi kalau amalan itu bukan daripada Nabi ﷺ sahaja, maka kemungkinan besar, ia ada masalah.


 

An’am Ayat 25: Ayat Zajrun (ayat teguran). Allah ‎ﷻ menegur mereka yang walaupun telah duduk depan Nabi ﷺ pun masih tidak faham.

وَمِنهُم مَّن يَستَمِعُ إِلَيكَ ۖ وَجَعَلنا عَلىٰ قُلوبِهِم أَكِنَّةً أَن يَفقَهوهُ وَفي ءآذانِهِم وَقرًا ۚ وَإِن يَرَوا كُلَّ ءآيَةٍ لّا يُؤمِنوا بِها ۚ حَتّىٰ إِذا جاءوكَ يُجٰدِلونَكَ يَقولُ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا أَسٰطيرُ الأَوَّلينَ

Sahih International

And among them are those who listen to you, but We have placed over their hearts coverings, lest they understand it, and in their ears deafness. And if they should see every sign, they will not believe in it. Even when they come to you arguing with you, those who disbelieve say, “This is not but legends of the former peoples.”

Malay

Dan di antara mereka ada yang mendengarmu (membaca Al-Qur’an), pada hal Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya, dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak); dan kalau pun mereka melihat tiap-tiap keterangan (dan mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu; sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: “Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu”.

 

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُ إِلَيْكَ

Dan di antara mereka ada orang yang mendengar (bacaan)mu,

Ada antara Musyrikin Mekah itu yang datang dan mendengar bacaan Al-Qur’an Nabi Muhammad ﷺ. Mereka memang mendengar betul-betul kerana perkataan يَسْتَمِعُ digunakan (ada penambahan huruf ت di situ). Kalau سمع sahaja, itu baru ‘mendengar’ sahaja. Mereka dengar betul-betul sebab mereka suka mendengarnya.

Eh, kenapa mereka dengar bacaan Al-Qur’an pula? Sebab bacaan Al-Qur’an itu memang sedap pun, tambahan pula Nabi ﷺ yang baca, lagilah sedap didengari. Namun pendengaran mereka itu tidak memberikan hasil kepada mereka. Mereka masih juga tidak mahu beriman. Mereka setakat suka dengar sahaja. Sebagaimana kebanyakan masyarakat kita lah juga, suka baca Al-Qur’an, tetapi tidak faham pun apa yang mereka baca (sebab tidak belajar dan tidak ada keinginan hendak tahu).

Ayat ini juga menguatkan pengetahuan kita bahawa keindahan Al-Qur’an memang hebat sampaikan orang kafir pun boleh jadi suka dan terpesona dengan bacaannya. Dari dulu sampai sekarang. Sama ada mereka suka dengar bacaan atau mereka kagum dengan keindahan bahasa yang digunakan. Dan sampai sekarang memang ada yang mengkaji Al-Qur’an dan mengaku bahawa maklumat yang diberikan dalam Al-Qur’an adalah tepat sekali. Namun mereka masih tidak mahu beriman kerana mereka belajar hanya untuk ilmu, bukan untuk beriman.

Ayat ini mengisahkan bagaimana ada Musyrikin Mekah yang datang untuk mendengar-dengar sahaja Nabi ﷺ membaca dan mengajar Al-Qur’an tetapi mereka bukan hendak beriman. Dalam sirah, kita boleh tahu bahawa ayat ini berkenaan dengan tiga orang pemuka Quraish yang mendengar-dengar bacaan Al-Qur’an Nabi ﷺ semasa Nabi ﷺ salat qiyamullail di rumahnya.

Mereka mendengar secara senyap-senyap. Mereka pergi sendiri-sendiri tetapi akhirnya mereka telah bertembung sesama mereka. Mereka itu adalah Abu Jahal, Abu Sufyan dan Akhnaz bin Syuraikh. Ini boleh dibaca dalam tulisan lain.

Namun bukanlah setakat mereka bertiga itu sahaja kerana mereka bertiga itu sebagai contoh sahaja. ‘Mereka’ itu antaranya adalah mereka yang ada kedudukan dalam agama. Atau dipandang orang sebagai ‘tahu agama’. Jadi mereka datang kononnya hendak melihat betulkah ajaran itu. Seperti zaman sekarang pun ada juga yang datang kelas tafsir cuma hendqk mendengar-dengar sahaja. Mereka bukan hendak belajar betul-betul. Mungkin ada kawan atau keluarga mereka yang belajar tafsir dan mereka pun diajak juga, maka mereka ikut sama. Kononnya mereka hendak ‘periksa’, betulkah ajaran itu.

Namun hati mereka bukan mahukan kebenaran. Mereka sudah ada prejudis dalam hati mereka menolak apa sahaja yang disampaikan. Maksudnya mereka datang dengan ada prejudis, bukannya datang dengan gelas yang kosong. Jadi apabila dalam kelas itu disebut perkara-perkara yang tidak kena dengan fahaman mereka, dengan amalan mereka yang mereka amalkan selama ini, maka mereka tidak mahu terima. Mereka kata guru yang mengajar tafsir itu pula yang salah.

Namun begitu bukanlah semua seperti ini. Ayat ini dimulakan dengan perkataan مِنْهُم – sebahagian daripada mereka sahaja. Kita kena sedar yang orang kafir itu berjenis-jenis. Ada yang sembah berhala dan ada yang sembah benda lain. Ada yang jenis ketua (ada kedudukan) dan ada yang ikut-ikut sahaja. Ada yang menentang Islam dan ada juga yang buat tidak tahu sahaja.

Ada juga yang kafir tetapi mereka tolong juga orang Islam. Mereka tolong kerana hati mereka memang baik, cuma tidak terbuka lagi untuk terima Islam. Ada yang memang hati mereka mahukan kebenaran, maka setelah mereka mendengar Al-Qur’an (dan faham maksud yang disampaikan), mereka terus beriman.

 

وَجَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً

padahal Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka

Kenapa selepas mereka mendengar Al-Qur’an, mereka masih juga tidak mahu beriman? Kerana hati mereka telah tertutup kepada kebenaran. Mereka dari awal lagi tidak mahu beriman. Mereka telah ada prejudis sebelum mendengar tafsir Al-Qur’an. Mereka bukannya datang kerana hendakkan kebenaran. Oleh kerana mereka sudah ada prejudis, maka sebab itulah Allah ‎ﷻ letakkan tutupan di atas hati mereka.

Kalimah أَكِنَّةً adalah halangan atau penutup yang tidak dapat dipecahkan. Maka kerana itu ada orang yang belajar, tetapi tidak faham sampai bila-bila pun. Tidak kira berapa banyak kali mereka mendengar Al-Qur’an dibacakan kepada mereka. Maka jangan hairanlah kalau di dunia ini ada yang datang belajar tetapi masih tidak faham-faham.

 

أَن يَفْقَهُوهُ

(sehingga mereka tidak) memahaminya

Mereka sudah dengar tetapi mereka tidak dapat faham. Kenapa sampai begitu? Kerana mereka datang bukan hendak belajar tetapi hendak mendengar dan mencari-cari kesalahan sahaja. Mereka hendak mencari bukti bahawa apa yang Nabi ﷺ ajar itu adalah ajaran salah. Mereka tidak dapat terima kerana kesombongan mereka.

Sama sahaja dengan mereka yang datang kelas yang mengajar sunnah, tetapi mereka bukan hendak mencari kebenaran tetapi mereka hendak mencari hujah untuk menentang ajaran sunnah.

Oleh kerana hati mereka memang tidak mahu menerima agama dan kebenaran, maka Allah‎ ﷻ akan letakkan penutup itu atas hati mereka. Niat mereka sendiri sudah salah semasa mereka datang mendengar bacaan Al-Qur’an. Maka ini mengajar kita supaya memperbetulkan niat kita. Kena niatkan hati: “Aku hendak tahu apa yang benar ya Allah, tunjukkan kebenaran kepada diriku ini”.

 

وَفِي ءآذَانِهِمْ وَقْرًا

dan (Kami letakkan) sumbatan di telinganya.

Kalimah وَقْرًا daripada kata dasar و ق ر yang bermaksud ‘beban’. Seperti beban berat yang dibawa oleh keldai. Kalimah وَقْرًا digunakan dalam ayat ini untuk menceritakan keberatan seseorang untuk mendengar. Dia bukan pekak, tetapi berat hendak mendengar. Jadi ia adalah seperti sumbatan di telinga mereka.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa tidak semua mereka yang mendengar Al-Qur’an itu akan mendapat manfaat. Mereka cuma dengar sahaja, tetapi tidak masuk ajaran Al-Qur’an itu dalam hati mereka kerana niat mereka dengar itu bukan hendak belajar, bukan hendak mendapat kefahaman agama.

Seperti kebanyakan orang kita juga. Ramai yang baca Al-Qur’an tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca. Ramai yang baca Al-Qur’an, tetapi menggunakan Al-Qur’an sebagai ‘azimat’ sahaja. Baca potongan ayat sekian-sekian, untuk dapat sekian-sekian. Sebagai contoh, baca ayat Seribu Dinar sebab hendak dapat rezeki. Itu semua mereka dapat daripada ajaran guru-guru yang tidak belajar agama dengan betul. Mereka dapat maklumat daripada kitab-kitab karangan manusia sahaja, bukan daripada wahyu.

Ini amat menakutkan kita. Takut kita pun tergolong dalam golongan yang baca dan dengar Al-Qur’an tetapi tidak mendapat manfaat daripada Al-Qur’an. Jadi kalau salah faham tentang wahyu, memang tidak ke mana.

 

وَإِن يَرَوْا كُلَّ ءآيَةٍ

Dan jika pun mereka melihat segala tanda (kebenaran),

Kalau pun mereka lihat semua tanda kenabian Nabi ﷺ, atau diberikan dengan berbagai-bagai dalil dan hujah. Adakah mereka akan terima?

 

لَّا يُؤْمِنُوا بِهَا

mereka tetap tidak mahu beriman kepadanya.

Mereka masih juga tidak mahu beriman. Mereka akan kata: “Ini bukan ajaran tok guru kita.” Apabila kita beri ayat Al-Qur’an yang mengandungi ajaran tauhid, mereka tidak terima. Mereka kata: “Takkan tok guru mereka salah; takkan tok guru mereka nak masuk neraka?”

Untuk ayat hukum hakam seperti salat dan sebagainya, mereka tiada masalah untuk terima. Oleh kerana itu, kalau di surau-surau dan masjid-masjid, selalunya yang diajar adalah tentang fiqh sahaja tidak habis-habis bertahun-tahun. Tentang tauhid, tidak diajar pula.

Ini memberitahu kepada kita, kalau seseorang itu sudah ada niat lain selain daripada hendak mencari kebenaran, maka mereka tidak akan mendapat manfaat. Ini bukan daripada Al-Qur’an sahaja, tetapi termasuk juga hujah yang benar. Katakanlah seseorang itu berhujah, berbincang tentang hal agama, namun dalam hatinya, bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendak menegakkan hujahnya sahaja, maka dia tidak akan mendapat kebenaran. Walaupun kebenaran itu sudah berada betul-betul di hadapan matanya.

 

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوكَ

hingga apabila mereka datang kepadamu

Iaitu apabila mereka datang berdepan berjumpa dengan Rasulullah ﷺ.

 

يُجٰدِلُونَكَ

Mereka akan membantahmu,

Mereka hendak melawan sahaja. Walaupun mereka tidak ada alasan untuk menolak ayat-ayat Al-Qur’an itu, tetapi mereka tetap hendak menolak. Walaupun di sudut hati mereka, mereka tahu bahawa ia adalah satu kebenaran.

Pada zaman sekarang, ada yang tidak setuju dengan tafsir Al-Qur’an yang diberikan kepada mereka maka mereka membantah. Mereka tidak boleh mengatakan yang ayat Al-Qur’an itu salah, jadi mereka akan kata ‘tafsir’ kita yang salah kerana ia berlawanan dengan fahaman mereka selama ini. Mereka tetap hendak pegang fahaman mereka.

 

يَقُولُ الَّذِينَ كَفَرُوا

orang-orang kafir itu berkata:

Iaitu orang yang kafir degil. Sudah ada kebenaran depan mata pun masih tidak mahu terima. Mereka akan kata bagaimana?

 

إِنْ هَٰذَا إِلَّا أَسٰطِيرُ الْأَوَّلِينَ

“Al-Qur’an ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu”.

Kalimah أَسَاطِيرُ bermaksud kisah-kisah dongeng dahulukala. Ia daripada kata dasar س ط ر iaitu kisah yang dibuat-buat (orang barat ambil jadi ‘story’). Seperti kisah dongeng yang ditambah-tambah dengan maklumat-maklumat yang merapu. Termasuk juga kisah mitos di mana ramai yang tahu mengenainya, tetapi ia tidak benar. Semua orang tahu ia tidak benar, tetapi ramai mahu menceritakannya kerana masih  ramai juga suka hendak mendengarnya.

Itulah mereka kata tentang Al-Qur’an. Mereka beri hujah yang lemah. Mereka kata Al-Qur’an itu hanyalah kisah dongeng sahaja. Mereka cakap begitu kerana mereka hendak kata yang ia bukan wahyu daripada Allah ‎ﷻ tetapi diambil daripada kisah-kisah dahulu. Mereka beri berbagai alasan dan tuduhan.

Mereka kata mereka suka dengar sahaja seperti juga kalau mereka dengar kisah-kisah dongeng. Sebagaimana orang kita – suka mendengar musabaqah Al-Qur’an, tetapi mereka tidak faham pun apa yang dibaca. Apabila tidak faham, bagaimana hendak diambil pengajaran daripada Al-Qur’an?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s