Tafsir Surah Fussilat Ayat 21 – 24 (Salah ikut guru)


Tafsir Dakwa Surah Fussilat Ayat 25

Ayat 21: Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana tubuh badan mereka yang berdosa akan menjadi saksi bagi kesalahan yang dilakukan oleh tuannya. Oleh kerana mereka bimbang anggota tubuh mereka jadi saksi, mereka marah anggota mereka itu.

وَقالوا لِجُلودِهِم لِمَ شَهِدتُّم عَلَينا ۖ قالوا أَنطَقَنَا اللهُ الَّذي أَنطَقَ كُلَّ شَيءٍ وَهُوَ خَلَقَكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

And they will say to their skins, “Why have you testified against us?” They will say, “We were made to speak by Allah , who has made everything speak; and He created you the first time, and to Him you are returned.

Malay

Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

 

وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ

Dan mereka berkata kepada kulit-kulit mereka,

Mereka berkata kepada tubuh badan mereka kerana terkejut dan takut. Ditambah dengan kemarahan kerana tubuh mereka sendiri telah membuka pekung kesalahan mereka!

 

لِمَ شَهِدْتُّمْ عَلَيْنَا

kenapa jadi saksi ke atas kami?

Apabila kulit-kulit mereka jadi saksi, mereka marah kepada kulit-kulit mereka itu. Mereka kata: kenapa mereka buat begitu, sedangkan mereka sepatutnya bersama? Kalau mereka mengaku, nanti mereka sama-sama akan kena seksa.

Kita kena sedar yang bukan tubuh yang buat dosa, tapi roh lah yang sebenarnya yang buat amal jahat. Yang menjalankannya adalah tangan-tangan dan kaki-kaki. Anggota badan hanya mengikut sahaja di dunia kerana mereka tidak ada pilihan. Maka bukan mereka yang dipersalahkan.

 

قَالُوا أَنْطَقَنَا اللهُ

Mereka berkata: kami diberi berkata-kata oleh Allah.

Setelah tuan badan kata begitu, marah mereka, kulit-kulit itu akan berkata-kata mempertahankan diri mereka. Kalau di dunia, susah kita nak terima kejadian ini, tapi di akhirat nanti, Allah mampu nak jadikan apa sahaja. Maka jangan kita pelik.

Dalam dunia ini pun, kita boleh lihat sendiri bagaimana gerak badan kita boleh menceritakan apa sebenarnya dalam hati manusia. Mulut mungkin kata dia suka sesuatu, tapi dari kerdipan mata, kita boleh tahu bahawa dia sebenarnya tidak suka.

Dari gerak badan pun, kita boleh tahu apakah maksud seseorang itu. Ini dinamakan ‘body language’. Kalau orang yang pandai membaca body language ini, dia boleh membaca apakah hati dan perasaan manusia lain. Itu pun seumpama tubuh badan ‘berkata-kata’ juga.

Tapi di akhirat nanti, Allah boleh buat sampaikan mereka berkata-kata dengan secara zahir sekali. Tak perlu tunggu body languaga lagi, kerana memang tubuh itu akan berkata dengan sebenarnya.

 

الَّذِي أَنْطَقَ كُلَّ شَيْءٍ

yang berkuasa memberi kuasa bercakap kepada setiap sesuatu

Allah yang beri tubuh badan manusia berkata di akhirat nanti. Kerana memang semua yang berkata itu adalah kerana pemberian Allah. Kita yang boleh berkata ini pun kerana Allah yang beri kita kita berkata-kata.

Segala benda-benda yang tidak bernyawa, seperti bukit, pokok dan sebagainya, kita sangka mereka tidak bercakap. Tapi sebenarnya mereka berkata-kata dengan cara mereka. Kita sahaja yang tidak tahu.

 

وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Dan Dialah yang menciptakan kamu pada awal dulu.

Kamu dulu pun tak boleh bercakap juga dari mulanya, kemudian Allah yang membolehkan kamu berkata-kata apabila kamu sudah besar sedikit. Tuhan yang samalah juga yang memberi tubuh badan kulit boleh bercakap.

Waktu kecil, memang kita tidak boleh bercakap. Tapi masih lagi ada komunikasi antara ibu dan anak. Apabila anak menangis, seorang ibu itu boleh agak apakah sebabnya anak itu menangis. Mungkin dia kelaparan, mungkin lampinnya basah atau mungkin dia dalam keadaan tidak selesa. Allah telah atur semua itu untuk kemudahan kita.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepadaNyalah kamu dikembalikan

Samada kita suka atau tidak, beriman atau tidak, ingatlah bahawa kita semua akan dikembalikan kepada Allah untuk menerima balasan. Dan apabila Allah yang menjalankan penghakiman, tidak akan terlepas seperti yang terjadi di mahkamah di dunia.

Kerana kalau di dunia, ada yang dapat menipu, ada saksi yang tidak dapat dipanggil, ada saksi yang menipu, tersalah nampak dan sebagainya. Tapi semua perkara itu tidak akan terjadi di akhirat nanti. Maka kenalah beringat-ingat.


 

Ayat 22: Ini adalah idkhal ilahi – pencelahan Tuhan tentang apakah fahaman orang Musyrikin Mekah. Allah memberitahu kita supaya kita kenal mereka dan bandingkan diri kita dengan mereka.

وَما كُنتُم تَستَتِرونَ أَن يَشهَدَ عَلَيكُم سَمعُكُم وَلا أَبصٰرُكُم وَلا جُلودُكُم وَلٰكِن ظَنَنتُم أَنَّ اللهَ لا يَعلَمُ كَثيرًا مِّمّا تَعمَلونَ

Sahih International

And you were not covering yourselves, lest your hearing testify against you or your sight or your skins, but you assumed that Allah does not know much of what you do.

Malay

“Dan tidaklah kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).

 

وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ

Dan tidaklah kamu dulu bersembunyi

Allah berkata kepada Musyrikin Mekah: Kamu boleh bersembunyi dari manusia, tapi kamu tidak boleh bersembunyi dari anggota tubuh kamu sendiri. Tapi kamu sendiri pun tak berselindung dari anggota-anggota badan kamu semasa kamu melakukan kesalahan kamu itu.

Orang Arab waktu itu tidak berselindung dari tubuh badan mereka kerana Arab Mekah tidak sangka tubuh badan mereka akan dapat berkata-kata di akhirat kelak. Kerana itulah mereka tidak berselindung pun dari tubuh badan mereka. Mereka terus sahaja buat dosa. Mungkin mereka sembunyikan kesalahan mereka dari manusia, tapi tidaklah dari tubuh badan mereka.

Tapi sebenarnya, ayat ini bukan untuk Musyrikin Mekah sahaja. Kita pun kadang-kadang buat dosa, tak teringat pun yang tubuh kita ini akan jadi saksi nanti, kan? Kita tidak terfikir pun yang tangan yang kita gunakan untuk buat dosa itu nanti akan menjadi saksi ke atas kita, bukan? 

 

أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصٰرُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ

dari bersaksi ke atas pendengaran kamu, dan tidak penglihatan kamu dan tidak dari kulit-kulit kamu 

Ada satu salah faham dalam kalangan orang Arab Mekah pada zaman jahiliah. Mereka sangka yang kalau mereka cakap perlahan, Allah tidak dengar apa yang mereka katakan. Dan kalau mereka buat sesuatu perkara secara tersembunyi, Allah tidak tahu. Dan kalau selindung, Allah tak tahu apa yang mereka lakukan.

Ini adalah kerana mereka tidak ada pengetahuan yang lengkap tentang Allah. Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab wahyu dan Nabi mereka, Nabi Ismail عليه السلام telah lama meninggalkan mereka.

Jadi ilmu yang mereka ada adalah ikut-ikutan dari tok nenek mereka sahaja, bukan berdasarkan kepada pengetahuan yang tepat berdasarkan agama yang sahih. Memang mereka tidak ada ilmu. Sepatutnya kalau tak tahu kenalah belajar dengan Nabi, tapi tidak. Macam masyarakat kita yang tak kenal Allah tapi degil tidak mahu belajar. Apabila ada yang mahu datang mengajar, mereka dihalang-halang pula.

Begitu jugalah maklumat tentang Hari Akhirat yang mereka tidak tahu kerana mereka tidak ada ilmu tentangnya. Oleh kerana itu, semasa mereka buat dosa-dosa itu, mereka tak tutup pun mata atau telinga atau kulit mereka masa tu. Mereka tidak tahu bahawa semua anggota melihat apa yang kita lakukan dulu dan akan menjadi saksi ke atas mereka.

Mereka pun tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan kelak di akhirat. Pada mereka, apabila mereka mati, mereta terus mati dan tidak ada kebangkitan semula. Jadi mereka tidak takut buat dosa kerana mereka rasa habis di dunia sahaja kesalahan mereka itu. Kalau orang kita tidak yakin tentang akhirat pun, begitulah juga jadinya. Ramai yang tidak takut buat dosa di dunia kerana tak rasa akhirat itu betul-betul akan berlaku.

Jadi kita memang tidak boleh nak sembunyikan perbuatan dosa dari tubuh badan kita, bukan? Maka bagaimana nak elak? Nak elak tidak ada cara lain lagi melainkan jangan buat dosa. Apabila nak buat dosa, maka tengoklah tangan dan kaki kita dan bayangkan mereka akan jadi saksi atas kita nanti di akhirat. Sanggupkah kita nak dengar hujah mereka?

 

وَلَٰكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِّمَّا تَعْمَلُونَ

tapi kamu sangka bahawa Allah tak tahu kebanyakan dari dosa yang kamu lakukan,

Maksudnya mereka sangka Allah tidak akan balas kebanyakan dari dosa-dosa yang mereka buat. Mereka rasa banyak dosa-dosa mereka itu Tuhan tak nak balas. Oleh kerana mereka ada perasaan dan pemahaman sebegitu, maka mereka rasa mereka bebas untuk buat apa sahaja yang mereka hendak.

Ada orang berfalsafah, setelah Tuhan menjadikan dunia ini, Dia akan biarkan dunia ini sahaja, tidak kisah dah. Mereka juga kata Tuhan sibuk dengan perkara lain, tidak ada masa nak tengok kita satu persatu.

Itu adalah fahaman salah. Perkara kecil atau besar pun, semua Allah akan ambil kira. Banyak ayat-ayat dalam Qur’an menyebut tentang Allah akan mempersembahkan kepada manusia segala apa yang mereka kerjakan semasa di dunia. Mereka akan terkejut kerana begitu terperinci sekali Allah senaraikan perbuatan mereka. Ini kerana mereka tidak sangka sampai begitu detail sekali.


 

Ayat 23:

وَذٰلِكُم ظَنُّكُمُ الَّذي ظَنَنتُم بِرَبِّكُم أَردٰكُم فَأَصبَحتُم مِّنَ الخٰسِرينَ

Sahih International

And that was your assumption which you assumed about your Lord. It has brought you to ruin, and you have become among the losers.”

Malay

“Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!”

 

وَذَٰلِكُمْ

Dan demikianlah bagi kamu 

Dan demikianlah salah faham kamu tentang Allah yang menyebabkan kamu melakukan dosa tanpa takut. Kamu sangka Allah tidak tahu apa yang kamu perbuat; kamu sangka Allah tidak nak balas perbuatan jahat kamu itu; kamu sangka kamu akan mati begitu sahaja tanpa dibangkitkan semula.

 

ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ

syak wasangka kamu terhadap Tuhan kamu sendiri

Begitulah syak wasangka kamu terhadap Allah. Iaitu kamu sangka Allah tidak melihat apa yang kamu lakukan.

Ada satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Imam Ahmad: Satu waktu, Ibn Mas’ud berada di bawah kiswah Kaabah lalu datanglah tiga orang yang nampaknya kurang faham tentang agama. Mereka berbisik-bisik sesama mereka. Lalu seorang diantara mereka berkata: “Apakah pendapatmu, adakah Allah mendengar percakapan kita ini?” Kawannya menjawap: “Kalau kita bicara dengan kuat, tentu Dia mendengar. Tapi kalau kita cakap perlahan-lahan, tidaklah didengarNya.” Yang seorang lagi menyampuk, “Kalau sebahagian telah didengarNya, tentu semua didengarNya.” Ibn Mas’ud menyampaikan kisah kejadian ini kepada Nabi, maka turunlah ayat ini.

 

أَرْدٰكُمْ

yang ia menjatuhkan kamu

Salah faham tentang Allah itulah yang menyebabkan manusia masuk neraka. Apabila kita ada menyangka bahawa ada keadaan yang Allah tidak mendengar apa yang kita kata atau lakukan, akan menyebabkan kita tidak takut untuk melakukan kesalahan.

Kalau ada fahaman itu, kita akan buat ikut suka kita. Buat dosa sana dan sini kerana kita sangka tidak ada sesiapa yang melihat, termasuklah Allah sendiri. Perasaan itu akan merosakkan kita. Allah akan membinasakan kita akhirnya nanti disebabkan salah faham kita itu.

Allah tidak terus memberikan azab kepada manusia. Allah tangguhkan hukuman azab kerana nak beri peluang kepada manusia untuk bertaubat dan mengubah sikap mereka. Oleh kerana tidak terus kena azab, menyebabkan ramai yang rasa selesa dengan apa yang mereka lakukan (Aku buat benda tu tapi tidak kena apa-apa pun?)

Dan kerana itu mereka terus berada dalam kesesatan yang berterusan. Ini adalah ujian dari Allah. Tidaklah Allah sentiasa memberikan azab kepada manusia semasa manusia itu hidup di dunia. Kerana Allah mahu kita sedar sendiri. Tapi jangan salah sangka yang kita akan selamat.

 

فَأَصْبَحْتُمْ مِّنَ الْخٰسِرِينَ

maka jadilah kamu termasuk golongan orang yang paling rugi. 

Kalimah فَأَصْبَحْتُمْ bermaksud mereka berubah dari orang yang sepatutnya jadi baik kepada orang yang jahat. Seperti waktu subuh yang berubah dari malam kepada siang.

Mereka menjadi orang yang paling rugi kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.  Dan mereka bukan sahaja masuk, tapi mereka akan kekal dalam neraka kerana mereka menjadi pemegang geran neraka. Kekal di dalamnya, kalau kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan syirik.


 

Ayat 24:

فَإِن يَصبِروا فَالنّارُ مَثوًى لَّهُم ۖ وَإِن يَستَعتِبوا فَما هُم مِّنَ المُعتَبينَ

Sahih International

So [even] if they are patient, the Fire is a residence for them; and if they ask to appease [Allah], they will not be of those who are allowed to appease.

Malay

Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredhaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.

 

فَإِنْ يَصْبِرُوا

Dan sekiranya mereka sabar, 

Mereka akan kekal dalam neraka itu walaupun mereka sabar dalam menderita dalam neraka itu. Di neraka, sabar sudah tidak ada nilai. Ia bernilai di dunia, tapi di neraka, kalau sabar pun tidak ada gunanya.

Ada dari kalangan orang kafir yang kata, kalaulah mereka masuk dalam neraka pun, mereka tidak kisah sangat. Kerana mereka sangka masuk neraka itu macam masuk dalam penjara sahaja. Dapat makan percuma, mereka kata. Dan kalau duduk penjara, bukankah nanti akan keluar juga? Jadi, mereka nak masuk dulu dan nak rasa macam mana neraka itu.

 

فَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

maka neraka jugalah tempat tinggal mereka.

Tapi, Allah hendak beritahu bahawa neraka bukanlah macam penjara dunia. Walaupun mereka itu semua sabar duduk dalam neraka, mereka akan kena kekal duduk juga di dalamnya.

Macam mana sabar pun mereka dalam neraka itu, mereka akan tetap tinggal di dalam neraka juga. Kerana waktu itu, nilai kesabaran tidak ada harga. Nilai sabar itu amat tinggi semasa hidup di dunia, bukan di neraka. Mereka sangkakan kalau mereka sabar, boleh keluar akhirnya. Tapi mereka tak akan keluar neraka.

Oleh itu hendaklah kita sabar dengan dugaan semasa di dunia. Kesabaran adalah satu perkara yang dituntut dalam Islam. Kena sabar semasa di dunia, bukan nak sabar di neraka nanti.

 

وَإِنْ يَسْتَعْتِبُوا

Dan jika mereka minta diselamatkan,

Ada pula yang kata, kalau mereka masuk neraka nanti, mereka akan merayu habis-habisan supaya mereka dikeluarkan. Kalau mereka boleh rayu dengan penguasa, dengan pemimpin, dengan polis, takkan mereka tidak boleh rayu dengan penjaga neraka pula, bukan? Begitulah salah faham mereka tentang neraka.

Mereka ini bukan merancang supaya ‘jangan masuk neraka’, tapi merancang supaya boleh ‘keluar dari neraka’. Ini salah faham yang amat besar dalam manusia. Seolah-olah neraka ini macam penjara di dunia sahaja. Sebab itu ada orang kita selalu cakap: “tapi kalau orang muslim masuk neraka, akhirnya akan keluar juga, bukan?” Ini adalah kata-kata orang yang jahil dengan wahyu. 

 

فَمَا هُمْ مِّنَ الْمُعْتَبِينَ

tidaklah mereka itu termasuk mereka yang akan diselamatkan.

Segala permintaan mereka tidak akan dilayan. Kerana telah terlambat untuk mereka mengubah hidup mereka. Yang patut mereka lakukan adalah perubahan semasa mereka hidup di dunia dulu.

Mereka tidak akan dilayan kerana mereka dulu semasa di dunia telah berkali-kali diberi peringatan. Dan Allah takkan ubah berita yang disampaikan dalam Qur’an tentang balasan azab yang akan dikenakan kepada mereka. Allah takkan mungkir janji seperti yang telah disebutkan tentang kesalahan akidah.

Kalau ayat hukum, boleh ada nasikh mansukh lagi, tapi tidak dalam perkara akidah. Maka ayat ini terpakai sampai hari Kiamat. Maka, kenalah beringat-ingat. Jangan sesal di akhirat nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Julai 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Syeikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s