Ayat 21: Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana tubuh badan mereka yang berdosa akan menjadi saksi bagi kesalahan yang dilakukan oleh tuannya. Oleh kerana mereka bimbang anggota tubuh mereka jadi saksi, mereka marah anggota mereka itu.
وَقالوا لِجُلودِهِم لِمَ شَهِدتُّم عَلَينا ۖ قالوا أَنطَقَنَا اللهُ الَّذي أَنطَقَ كُلَّ شَيءٍ وَهُوَ خَلَقَكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
And they will say to their skins, “Why have you testified against us?” They will say, “We were made to speak by Allah , who has made everything speak; and He created you the first time, and to Him you are returned.
Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).
وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ
Dan mereka berkata kepada kulit-kulit mereka,
Mereka berkata kepada tubuh badan mereka kerana terkejut dan takut. Ditambah dengan kemarahan kerana tubuh mereka sendiri telah membuka pekung kesalahan mereka!
لِمَ شَهِدْتُّمْ عَلَيْنَا
kenapa jadi saksi ke atas kami?
Apabila kulit-kulit mereka jadi saksi, mereka marah kepada kulit-kulit mereka itu. Mereka kata: kenapa mereka buat begitu, sedangkan mereka sepatutnya bersama? Kalau mereka mengaku, nanti mereka sama-sama akan kena seksa.
Kita kena sedar yang bukan tubuh yang buat dosa, tapi rohlah yang sebenarnya yang buat amal jahat. Yang menjalankannya adalah tangan-tangan dan kaki-kaki. Anggota badan hanya mengikut sahaja di dunia kerana mereka tidak ada pilihan. Maka bukan mereka yang dipersalahkan.
قَالُوا أَنْطَقَنَا اللهُ
Mereka berkata: kami diberi berkata-kata oleh Allah.
Setelah tuan badan kata begitu, marah mereka, kulit-kulit itu akan berkata-kata mempertahankan diri mereka. Mereka kata mereka dapat bercakap kerana Allah beri mereka bercakap pada hari itu. Dulu di dunia mereka tidak dapat berkata-kata walaupun mereka tidak suka dengan perbuatan tuannya. Tapi di akhirat, mereka diberi peluang oleh Allah.
Kalau di dunia, susah kita nak terima kejadian ini, tapi di akhirat nanti, Allah mampu nak jadikan apa sahaja. Maka jangan kita pelik. Dalam dunia ini pun, kita boleh lihat sendiri bagaimana gerak badan kita boleh menceritakan apa sebenarnya dalam hati manusia. Mulut mungkin kata dia suka sesuatu, tapi dari kerdipan mata, kita boleh tahu bahawa dia sebenarnya tidak suka.
Dari gerak badan pun, kita boleh tahu apakah maksud seseorang itu. Ini dinamakan ‘body language’. Kalau orang yang pandai membaca body language ini, dia boleh membaca apakah hati dan perasaan manusia lain. Itu pun seumpama tubuh badan ‘berkata-kata’ juga.
Tapi di akhirat nanti, Allah boleh buat sampaikan mereka berkata-kata dengan secara zahir sekali. Tak perlu tunggu body language lagi, kerana memang tubuh itu akan berkata dengan sebenarnya.
الَّذِي أَنْطَقَ كُلَّ شَيْءٍ
Yang berkuasa memberi kuasa bercakap kepada setiap sesuatu
Allah yang beri tubuh badan manusia berkata di akhirat nanti. Kerana memang semua yang dapat berkata-kata itu adalah kerana pemberian Allah. Kita yang boleh berkata ini pun kerana Allah yang beri kita dapat berkata-kata. Berapa ramai yang bisu tidak dapat berkata-kata sepanjang umur dia? Maka kebolehan bercakap ini adalah satu nikmat juga.
Segala benda-benda yang tidak bernyawa, seperti bukit, pokok dan sebagainya, kita sangka mereka tidak bercakap. Tapi sebenarnya mereka berkata-kata dengan cara mereka. Kita sahaja yang tidak tahu.
وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ
Dan Dialah yang menciptakan kamu pada awal dulu.
Tubuh badan ingatkan tuan dia yang mereka dulu pun tak boleh bercakap juga dari mulanya, kemudian Allah yang membolehkan mereka berkata-kata apabila mereka sudah besar sedikit. Tuhan yang samalah juga yang memberi tubuh badan kulit boleh bercakap.
Waktu kecil, memang kita tidak boleh bercakap. Tapi masih lagi ada cara komunikasi antara ibu dan anak. Apabila anak menangis, seorang ibu itu boleh agak apakah sebabnya anak itu menangis. Mungkin dia kelaparan, mungkin lampinnya basah atau mungkin dia dalam keadaan tidak selesa. Ibu itu seperti ada gerak rasa yang dapat baca apa yang anaknya perlukan. Ini dinamakan intuisi. Allah telah atur semua itu untuk kemudahan kita.
وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
dan kepadaNyalah kamu dikembalikan
Sama ada kita suka atau tidak, beriman atau tidak, ingatlah bahawa kita semua akan dikembalikan kepada Allah untuk menerima balasan. Dan apabila Allah yang menjalankan penghakiman, tidak akan terlepas seperti yang terjadi di mahkamah di dunia.
Kerana kalau di dunia, ada yang dapat menipu, ada saksi yang tidak dapat dipanggil, ada saksi yang menipu, tersalah nampak dan sebagainya. Tapi semua perkara itu tidak akan terjadi di akhirat nanti. Maka kenalah beringat-ingat.
Ayat 22: Ini adalah idkhal ilahi – pencelahan Tuhan tentang apakah fahaman orang Musyrikin Mekah. Allah memberitahu kita supaya kita kenal mereka dan bandingkan diri kita dengan mereka.
وَما كُنتُم تَستَتِرونَ أَن يَشهَدَ عَلَيكُم سَمعُكُم وَلا أَبصٰرُكُم وَلا جُلودُكُم وَلٰكِن ظَنَنتُم أَنَّ اللهَ لا يَعلَمُ كَثيرًا مِّمّا تَعمَلونَ
And you were not covering yourselves, lest your hearing testify against you or your sight or your skins, but you assumed that Allah does not know much of what you do.
“Dan tidaklah kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).
وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ
Dan tidaklah kamu dulu bersembunyi
Allah berkata kepada Musyrikin Mekah: “Kamu boleh bersembunyi dari manusia, tapi kamu tidak boleh bersembunyi dari anggota tubuh kamu sendiri. Tapi kamu sendiri pun tak berselindung dari anggota-anggota badan kamu semasa kamu melakukan kesalahan kamu itu.”
Orang Arab waktu itu tidak berselindung dari tubuh badan mereka kerana Arab Mekah tidak sangka tubuh badan mereka akan dapat berkata-kata di akhirat kelak. Kerana itulah mereka tidak berselindung pun dari tubuh badan mereka. Mereka terus sahaja buat dosa. Mungkin mereka sembunyikan kesalahan mereka dari manusia, tapi tidaklah dari tubuh badan mereka.
Tapi sebenarnya, ayat ini bukan untuk Musyrikin Mekah sahaja. Kita pun kadang-kadang buat dosa, tak teringat pun yang tubuh kita ini akan jadi saksi nanti, bukan? Kita tidak terfikir pun yang tangan yang kita gunakan untuk buat dosa itu nanti akan menjadi saksi ke atas kita, bukan?
أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصٰرُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ
dari bersaksi ke atas pendengaran kamu, dan tidak penglihatan kamu dan tidak dari kulit-kulit kamu
Ada satu salah faham dalam kalangan orang Arab Mekah pada zaman jahiliah. Mereka sangka yang kalau mereka bercakap perlahan, Allah tidak dengar apa yang mereka katakan. Dan kalau mereka buat sesuatu perkara secara tersembunyi, Allah tidak tahu. Dan kalau berselindung, Allah tak tahu apa yang mereka lakukan.
Ini adalah kerana mereka tidak ada pengetahuan yang lengkap tentang Allah. Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab wahyu dan Nabi mereka, Nabi Ismail عليه السلام telah lama meninggalkan mereka.
Jadi ilmu yang mereka ada adalah ikut-ikutan dari tok nenek mereka sahaja, bukan berdasarkan kepada pengetahuan yang tepat berdasarkan agama yang sahih. Memang mereka tidak ada ilmu yang tepat melainkan sikit-sikit sahaja. Sepatutnya kalau tak tahu kenalah belajar dengan Nabi Muhammad, tapi tidak. Mereka lawan pula baginda.
Macam masyarakat kita yang tak kenal Allah tapi degil tidak mahu belajar. Apabila ada yang mahu datang mengajar, mereka dihalang-halang pula. Kerana itu kita amat hairan apabila ada ustaz yang berilmu, mereka pula yang dihalang dari mengajar di masjid dan surau. Mereka tidak diberi tauliah walaupun mereka itu lebih hebat dari pemberi tauliah itu sendiri.
Begitu jugalah maklumat tentang Hari Akhirat yang mereka tidak tahu kerana mereka tidak ada ilmu tentangnya. Oleh kerana itu, semasa mereka buat dosa-dosa itu, mereka tak tutup pun mata atau telinga atau kulit mereka masa itu. Mereka tidak tahu bahawa semua anggota melihat apa yang kita lakukan dulu dan akan menjadi saksi ke atas mereka.
Musyrikin Mekah pun tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan kelak di akhirat. Pada mereka, apabila mereka mati, mereka terus mati dan tidak ada kebangkitan semula. Jadi mereka tidak takut buat dosa kerana mereka rasa habis di dunia sahaja kesalahan mereka itu. Kalau orang kita tidak yakin tentang akhirat pun, begitulah juga jadinya. Ramai yang tidak takut buat dosa di dunia kerana tak rasa akhirat itu betul-betul akan berlaku.
Jadi kita memang tidak boleh nak sembunyikan perbuatan dosa dari tubuh badan kita, bukan? Maka bagaimana nak elak? Nak elak tidak ada cara lain lagi melainkan jangan buat dosa. Apabila nak buat dosa, maka tengoklah tangan dan kaki kita dan bayangkan mereka akan jadi saksi atas kita nanti di akhirat. Sanggupkah kita nak dengar hujah dan persaksian mereka?
وَلَٰكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِّمَّا تَعْمَلُونَ
tapi kamu sangka bahawa Allah tak tahu kebanyakan dari dosa yang kamu lakukan,
Maksudnya mereka sangka Allah tidak akan balas kebanyakan dari dosa-dosa yang mereka buat. Mereka rasa banyak dosa-dosa mereka itu Tuhan tak nak balas. Mungkin kerana mereka sangka Allah tidak tahu. Oleh kerana mereka ada perasaan dan pemahaman sebegitu, maka mereka rasa mereka bebas untuk buat apa sahaja yang mereka hendak.
Ada orang berfalsafah, setelah Tuhan menjadikan dunia ini, Dia akan biarkan dunia ini sahaja, tidak kisah lagi dengan apa yang kita lakukan. Mereka juga kata Tuhan sibuk dengan perkara lain, tidak ada masa nak tengok kita satu persatu.
Itu adalah fahaman salah. Perkara kecil atau besar pun, semua Allah akan ambil kira. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an menyebut tentang Allah akan mempersembahkan kepada manusia segala apa yang mereka kerjakan semasa di dunia. Mereka akan terkejut kerana begitu terperinci sekali Allah senaraikan perbuatan mereka. Ini kerana mereka tidak sangka sampai begitu terperinci sekali.
Ayat 23:
وَذٰلِكُم ظَنُّكُمُ الَّذي ظَنَنتُم بِرَبِّكُم أَردٰكُم فَأَصبَحتُم مِّنَ الخٰسِرينَ
And that was your assumption which you assumed about your Lord. It has brought you to ruin, and you have become among the losers.”
“Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!”
وَذَٰلِكُمْ
Dan demikianlah bagi kamu
Dan demikianlah salah faham kamu tentang Allah yang menyebabkan kamu melakukan dosa tanpa takut. Kamu sangka Allah tidak tahu apa yang kamu perbuat; kamu sangka Allah tidak nak balas perbuatan jahat kamu itu; kamu sangka kamu akan mati begitu sahaja tanpa dibangkitkan semula.
ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ
syak wasangka kamu terhadap Tuhan kamu sendiri
Begitulah syak wasangka kamu terhadap Allah. Iaitu kamu sangka Allah tidak melihat apa yang kamu lakukan.
Ada satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Imam Ahmad: Satu waktu, Ibn Mas’ud berada di bawah kiswah Kaabah lalu datanglah tiga orang yang nampaknya kurang faham tentang agama. Mereka berbisik-bisik sesama mereka. Lalu seorang diantara mereka berkata: “Apakah pendapatmu, adakah Allah mendengar percakapan kita ini?” Kawannya menjawab: “Kalau kita bicara dengan kuat, tentu Dia mendengar. Tapi kalau kita cakap perlahan-lahan, tidaklah didengarNya.” Yang seorang lagi menyampuk, “Kalau sebahagian telah didengarNya, tentu semua didengarNya.” Ibn Mas’ud menyampaikan kisah kejadian ini kepada Nabi, maka turunlah ayat ini.
أَرْدٰكُمْ
yang ia menjatuhkan kamu
Salah faham tentang Allah itulah yang menyebabkan manusia masuk neraka. Apabila kita ada menyangka bahawa ada keadaan yang Allah tidak mendengar apa yang kita kata atau lakukan, akan menyebabkan kita tidak takut untuk melakukan kesalahan.
Kalau ada fahaman itu, kita akan buat ikut suka kita. Buat dosa sana dan sini kerana kita sangka tidak ada sesiapa yang melihat, termasuklah Allah sendiri. Perasaan itu akan merosakkan kita. Allah akan membinasakan kita akhirnya nanti disebabkan salah faham kita itu.
Allah tidak terus memberikan azab kepada manusia. Allah tangguhkan hukuman azab kerana nak beri peluang kepada manusia untuk bertaubat dan mengubah sikap mereka. Oleh kerana tidak terus kena azab, menyebabkan ramai yang rasa selesa dengan apa yang mereka lakukan (“Aku buat benda tu tapi tidak kena apa-apa pun?”). Kerana itulah ada orang yang baik kalau di Malaysia, tapi sampai ke Thailand, sudah jadi orang lain.
Dan kerana itu mereka terus berada dalam kesesatan yang berterusan. Ini adalah ujian dari Allah. Tidaklah Allah sentiasa memberikan azab kepada manusia semasa manusia itu hidup di dunia. Kerana Allah mahu kita sedar sendiri. Tapi jangan salah sangka yang kita akan selamat.
فَأَصْبَحْتُمْ مِّنَ الْخٰسِرِينَ
maka jadilah kamu termasuk golongan orang yang paling rugi.
Kalimah فَأَصْبَحْتُمْ bermaksud mereka berubah dari orang yang sepatutnya jadi baik kepada orang yang jahat. Seperti waktu subuh yang berubah dari malam kepada siang.
Mereka menjadi orang yang paling rugi kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan mereka bukan sahaja masuk, tapi mereka akan kekal dalam neraka kerana mereka menjadi pemegang geran neraka. Kekal di dalamnya, kalau kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan syirik.
Ayat 24:
فَإِن يَصبِروا فَالنّارُ مَثوًى لَّهُم ۖ وَإِن يَستَعتِبوا فَما هُم مِّنَ المُعتَبينَ
So [even] if they are patient, the Fire is a residence for them; and if they ask to appease [Allah], they will not be of those who are allowed to appease.
Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredhaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.
فَإِنْ يَصْبِرُوا
Dan sekiranya mereka sabar,
Mereka akan kekal dalam neraka itu walaupun mereka sabar dalam menderita dalam neraka itu. Di neraka, sabar sudah tidak ada nilai. Ia memang bernilai di dunia, tapi di neraka, kalau sabar pun tidak ada gunanya.
Ada dari kalangan orang kafir yang kata, kalaulah mereka masuk dalam neraka pun, mereka tidak kisah sangat. Kerana mereka sangka masuk neraka itu macam masuk dalam penjara sahaja. Dapat makan percuma, mereka kata. Dan kalau duduk penjara, bukankah nanti akan keluar juga? Jadi, mereka nak masuk dulu dan nak rasa macam mana neraka itu.
فَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ
maka neraka jugalah tempat tinggal mereka.
Tapi, Allah hendak beritahu bahawa neraka bukanlah macam penjara dunia. Walaupun mereka itu semua sabar duduk dalam neraka, mereka akan kena kekal duduk juga di dalamnya.
Macam mana sabar pun mereka dalam neraka itu, mereka akan tetap tinggal di dalam neraka juga. Kerana waktu itu, nilai kesabaran tidak ada harga. Nilai sabar itu amat tinggi semasa hidup di dunia, bukan di neraka. Mereka sangkakan kalau mereka sabar, boleh keluar akhirnya. Tapi mereka tak akan keluar neraka.
Oleh itu hendaklah kita sabar dengan dugaan semasa di dunia. Kesabaran adalah satu perkara yang dituntut dalam Islam. Kena sabar semasa di dunia, bukan nak sabar di neraka nanti. Kerana sabar di neraka tidak ada nilai.
وَإِنْ يَسْتَعْتِبُوا
Dan jika mereka minta diselamatkan,
Ada pula yang kata, kalau mereka masuk neraka nanti, mereka akan merayu habis-habisan supaya mereka dikeluarkan. Kalau mereka boleh rayu dengan penguasa, dengan pemimpin, dengan polis, takkan mereka tidak boleh rayu dengan penjaga neraka pula, bukan? Begitulah salah faham mereka tentang neraka.
Mereka ini bukan merancang supaya ‘jangan masuk neraka’, tapi merancang supaya boleh ‘keluar dari neraka’. Ini salah faham yang amat besar dalam manusia. Seolah-olah neraka ini macam penjara di dunia sahaja. Sebab itu ada orang kita selalu cakap: “tapi kalau orang Muslim masuk neraka, akhirnya akan keluar juga, bukan?” Ini adalah kata-kata orang yang jahil dengan wahyu. Mereka agak neraka itu macam Penjara Kajang sahajakah?
فَمَا هُمْ مِّنَ الْمُعْتَبِينَ
tidaklah mereka itu termasuk mereka yang akan diselamatkan.
Segala permintaan dan rayuan mereka tidak akan dilayan. Kerana telah terlambat untuk mereka mengubah hidup mereka. Yang patut mereka lakukan adalah perubahan semasa mereka hidup di dunia dulu.
Mereka tidak akan dilayan kerana mereka dulu semasa di dunia telah berkali-kali diberi peringatan. Dan Allah takkan ubah berita yang disampaikan dalam Al-Qur’an tentang balasan azab yang akan dikenakan kepada mereka. Allah takkan mungkir janji seperti yang telah disebutkan tentang kesalahan akidah. Dan Allah telah berjanji akan mengenakan azab kepada mereka yang engkar.
Kalau ayat hukum, boleh ada nasikh mansukh lagi, tapi tidak dalam perkara akidah. Maka ayat ini terpakai sampai hari Kiamat. Maka, kenalah beringat-ingat. Jangan sesal di akhirat nanti.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 20 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Syeikh Nasir Jangda
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Azhar
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani