Tafsir Surah Rum Ayat 38 – 41 (Berkat kerana amalkan hudud)

Ayat 38: Berlaku ihsan kepada hamba yang lain boleh menyebabkan Allah tangguh azab yang sepatutnya dikenakan kepada hamba itu.  Ini dinamakan Amalan Tiga Serangkai.

فَئآتِ ذَا القُربىٰ حَقَّهُ وَالمِسكينَ وَابنَ السَّبيلِ ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ لِّلَّذينَ يُريدونَ وَجهَ اللهِ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So give the relative his right, as well as the needy and the traveler. That is best for those who desire the countenance of Allāh, and it is they who will be the successful.

(MELAYU)

Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan. Itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang mencari keredhaan Allah; dan mereka itulah orang-orang beruntung.

 

فَئآتِ ذَا القُربىٰ حَقَّهُ

Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya,

Sebelum ini Allah sebut yang ada yang Allah berikan banyak rezeki dan ada yang Allah beri sedikit sahaja dan sekarang Allah beritahu, jikalau Allah beri banyak rezeki kepada kita, apa yang kita perlu lakukan.

Kita mulakan dengan memberi bantuan kepada orang yang dekat dengan kita iaitu ahli keluarga kita sendiri ataupun ahli keluarga yang jauh sedikit; ataupun boleh bermaksud jiran-jiran yang duduk dekat dengan kita. Maka, mulakan dengan orang yang dekat dengan kita dahulu. Sebelum nak bagi kepada orang lain, tengok dulu orang di sekeliling kita. Entah-entah ada yang memerlukan bantuan.

Allah tidak sebut dalam ayat ini untuk berikan sebahagian daripada ‘harta kamu’. Tetapi Allah beritahu yang diberikan ‘hak mereka’. Maksudnya mereka ada hak atas harta kita itu. Kita mungkin ada banyak harta, tapi bukan semuanya hak kita. Kerana ada yang Allah berikan kepada kita untuk kita salurkan kepada orang lain. Maka jangan kita pegang kemas harta kita itu dan sangka semuanya hak kita.

 

وَالمِسكينَ وَابنَ السَّبيلِ

demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan. 

Selepas beri kepada ahli keluarga kita yang memerlukan, kita panjanglah lagi infak kita kepada fakir miskin dan orang yang dalam perjalanan.

Kena pandailah cari orang yang susah itu. Kalau kita memang tidak campur dengan masyarakat, memang susahlah nak tahu siapa fakir dan siapa miskin. Kerana itulah Islam mengajar kita bermasyarakat. Iaitu kita pergi berjemaah di masjid dan ada perhubungan dengan jiran-jiran. Rajin-rajin melawat jiran dan beri makanan yang kita masak.

Dan kalau kita bermasyarakat, kita akan kenal siapakah orang luar yang datang ke tempat kita. Jadi kita tahulah yang orang itu mungkin memerlukan pertolongan. Tapi kalau orang kampung sendiri kita tidak kenal, macam mana kita nak tahu siapa orang luar?

Ini kita jarang tengok diamalkan di negara ini. Iaitu kalau nampak orang luar, tawarkan kepadanya untuk duduk tinggal rumah kita. Memang tak pernah dengar lagi, bukan? Kalau masyarakat kita amalkan ayat ini, berebut-rebut orang ajak orang luar duduk rumah.

 

ذٰلِكَ خَيرٌ لِّلَّذينَ يُريدونَ وَجهَ اللهِ

Itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang mencari keredhaan Allah; 

‘Wajah Allah’ yang dimaksudkan adalah Dzat Allah. Iaitu redha Allah. Digunakan wajah kerana wajahlah yang menampakkan kegembiraan dan keredhaan kita, bukan? Kalau kita mencari keredhaan Allah, maka ayat inilah yang patut kita lakukan. Kalau tidak ada keinginan itu, maka tidaklah perlu nak fikirkan sangat. Maka tunggulah masa untuk mati dan dimasukkan ke dalam neraka.

Inilah sistem dalam Islam yang berlawanan dengan sistem komunis. Dalam sistem komunis, rakyat tidak ada harta kerana semuanya menjadi milik kerajaan. Dan kalau semuanya milik kerajaan, bagaimana manusia boleh memberi kepada orang lain? Sedangkan untuk beri, hendaklah manusia itu ada harta dulu. Jadi sistem seperti Komunis itu tertolak dari Islam.

Islam mengajar manusia untuk berhati mulia dengan memberikan sebahagian dari harta yang Allah telah berikan. Dengan itu dapat meningkatkan keimanan mereka. Dan mereka yang menerima harta dari pemberi itu pula dapat berterima kasih dan berkasih sayang sesama manusia.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

dan mereka itulah orang-orang beruntung.

Inilah kejayaan yang Allah janjikan kepada mereka yang mahukannya. Kejayaan yang sebenar adalah kejayaan masuk syurga. Bukanlah kejayaan itu berdasarkan kepada kekayaan di dunia atau kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Ramai yang mencari sanjungan manusia tapi tak ramai yang mencari sanjungan dari Allah.


 

Ayat 39: Satu lagi dari Amalan Tiga Serangkai itu adalah jangan zalim. Antara perbuatan zalim adalah mengamalkan riba. Ini juga telah berlaku pada zaman jahiliah di Mekah. Ini adalah zalim kerana apabila memberi pinjam kepada sesiapa, peminjam itu kena bayar lebih dari yang dia terima. Sepatutnya orang yang susah itu ditolong dan bukannya diambil kesempatan.

Kalau bagi pinjam tapi minta lebih dari yang diberi, itu bukan tolong namanya. Dan orang yang terdesak, dia akan pinjam juga kerana mungkin dia tidak ada cara lain lagi untuk menyelesaikan masalah dia. Tapi dia telah dizalimi kalau begitu.

وَما ءآتَيتُم مِّن رِّبًا لِّيَربُوَ في أَموٰلِ النّاسِ فَلا يَربو عِندَ اللهِ ۖ وَما ءآتَيتُم مِّن زَكَوٰةٍ تُريدونَ وَجهَ اللهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُضعِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whatever you give for interest [i.e., advantage] to increase within the wealth of people¹ will not increase with Allāh. But what you give in zakāh,² desiring the countenance of Allāh – those are the multipliers.³

  • The phrase includes several connotations, among them: a) that which is given as usury or interest, b) that which is given on the condition that it be repaid with interest, and c) a gift given with the intention of obtaining from the recipient greater benefit or a larger gift.
  • The meaning of ṣadaqah (voluntary charity) is included here.
  • Of their blessings on earth and their rewards in the Hereafter.

(MELAYU)

Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya).

 

وَما ءآتَيتُم مِّن رِّبًا

Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar

‘Riba’ dari segi bahasa bermaksud ‘penambahan’. Dalam syarak pula ia bermaksud ‘menambah harta dengan pasti tanpa ada usaha’.

Inilah definisi asas kepada riba. Jadi ini tidak sama dengan pelaburan, kerana pelaburan belum tentu dapat hasil yang bertambah lagi; sebagai contoh, kita beli tanah dan berharap ianya akan naik harga tetapi ini tidak pasti lagi kerana harga tanah mungkin boleh naik dan mungkin boleh turun. Maka keuntungan tidak pasti dalam pelaburan.

Tetapi jikalau kita berlabur di dalam bank dan bank itu telah beri janji yang setiap bulan bunga pasti akan naik setiap tahun sekian sekian peratus, maka ini adalah salah satu daripada ciri-ciri riba. Maka ia tetap haram. Walaupun diberi nama ‘faedah’, ‘interest’, ‘bunga’ dan sebagainya. Tukar nama pun, ia tetap ‘riba’. Bunga itu tetap tidak jadi wangi. Dan riba itu haram.

Lagi satu riba yang biasa adalah apabila kita memberi pinjam kepada seseorang dan orang itu mesti membayar balik lebih daripada jumlah yang dia pinjam. Jadi jenis riba inilah yang Allah sebut di dalam surah-surah Makkiyah.

 

لِّيَربُوَ في أَموٰلِ النّاسِ

agar dia bertambah pada harta manusia, 

Ini kerana ada manusia yang beri pinjam kepada orang lain supaya orang itu kena bayar balik dengan lebih lagi dan menjadikan pulangan kepada wang yang diberi pinjam itu bertambah. Mereka nak buat untung dengan duit.

 

فَلا يَربو عِندَ اللهِ

maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah.

Allah kata wang itu tidak bertambah pada sisiNya. Pada akal mereka sahaja yang sangka harta itu berkembang tapi pada sisi Allah, tidak. Mereka nampaklah yang wang dan harta mereka bertambah apabila mereka beri pinjam dan orang yang pinjam kena bayar lebih. Tapi hakikatnya tidak bertambah.

 

وَما ءآتَيتُم مِّن زَكَوٰةٍ تُريدونَ وَجهَ اللهِ

Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah,

Kemudian Allah memberitahu yang jikalau kita mengeluarkan zakat, maka harta itulah yang akan bertambah pada sisi Allah dan Allah akan gandakan pulangan itu kepada kita. Kita memang nampak macam harta kita berkurang, tapi pada hakikatnya ia bertambah dan berganda-ganda.

 

فَأُولٰئِكَ هُمُ المُضعِفونَ

maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan.

Dalam ayat sebelum ini Allah memberitahu kita untuk memberi bantuan kepada ahli keluarga kita dan orang-orang yang rapat dengan kita yang memerlukan. Ini adalah perbuatan yang terbaik kita boleh lakukan dengan harta kita iaitu dengan memberi bantuan kepada orang lain.

Allah akan gandakan pahala kepada mereka yang melakukannya. Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab sahih melalui sabda Nabi Saw.:

“وَمَا تَصْدَّقَ أَحَدٌ بِعَدْل تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ إِلَّا أَخْذَهَا الرَّحْمَنُ بِيَمِينِهِ، فَيُرَبِّيها لِصَاحِبِهَا كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فَلُوّه أَوْ فَصِيلَه، حَتَّى تَصِيرَ التَّمْرَةُ أَعْظَمَ مِنْ أُحُد”

Tidaklah seseorang menyedekahkan sesuatu yang semisal dengan sebiji kurma dari hasil yang halal, melainkan Tuhan Yang Maha Pemurah menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu mengembangkannya buat pemiliknya sebagaimana seseorang di antara kalian memelihara anak kudanya atau anak untanya, hingga sebiji kurma itu menjadi lebih besar daripada Bukit Uhud.

Jadi di dalam ayat ini Allah memberitahu perkara paling buruk yang kita boleh lakukan dengan wang kita, iaitu memberi pinjaman kepada orang lain di dalam bentuk riba.

Kemudian dalam ayat ini juga Allah memberitahu sesuatu yang sekurang-kurangnya kita boleh lakukan dengan wang kita iaitu dengan mengeluarkan zakat. Jadi ada tiga peringkat disebut dalam dua ayat ini:

  1. Terbaik – beri pada keluarga
  2. Pertengahan – keluarkan zakat. Ini yang sekurang-kurangnya kena dipenuhi.
  3. Terburuk – riba

Undang-undang riba banyak disebut di dalam ayat-ayat Madaniyah. Tetapi kerana ianya penting, maka di dalam surah Makkiyah seperti Surah Rum ini juga Allah telah mula sebut tentang riba ini. Kerana bahaya riba ini bukannya kecil tetapi amat besar yang boleh merosakkan masyarakat. Negara pun ada yang hancur kerana riba.

Jadi ayat ini adalah ayat pertama dalam susunan penurunan yang menyebut tentang Riba. Undang-undang riba akan disentuh lagi di Madinah apabila hukum agama Islam mula disusun dan Muslim sudah ada negara untuk mengamalkannya. Tapi Al-Qur’an memang biasa menyentuh sesuatu perkara dahulu dengan ringkas sebelum memberi hukum yang penuh.

Lihatlah bagaimana cara pengharaman arak disampaikan – tidak terus diberi pengharaman terus, tapi diberi sedikit demi sedikit. Jadi dalam ayat ini, hanya disebut yang riba tidak menguntungkan pemberinya. Dan nanti akan disebut pengharaman di dalam ayat Ali Imran:130 dan Baqarah:275.

Memang riba adalah sesuatu yang amat buruk sekali. Mari kita buat perbandingan untuk menjelaskan bagaimana ianya amat buruk. Katalah satu rumah yang berharga RM 20,000 hendak dibeli oleh seorang lelaki. Untuk membelinya maka dia perlu pinjam duit kepada bank dan dalam masa 30 tahun dia bayar kepada bank sebanyak RM 40,000. Maknanya sudah jadi sekali ganda dari harga asal rumah, bukan?

Anak cucu yang mahu menjual rumah itu nanti tentu tidak akan jual dengan harga itu dan mereka akan menjual mungkin RM 50,000 ditambah dengan keuntungan sebanyak RM 10,000, bukan? Dan dijual kepada seorang yang lain yang juga memerlukan wang pinjaman daripada bank. Dan orang itu juga meminjam dan membayar selama 30 tahun dengan bank dan dia terpaksa membayar RM 100,000 pula.

Lihat bagaimana rumah yang asalnya RM 20,000 sahaja telah menjadi lebih daripada RM 100,000. Inilah konsep riba yang telah menyebabkan harga barang naik dan menyebabkan hanya orang-orang kaya sahaja yang mampu untuk memiliki rumah. Dan jikalau orang yang berpendapatan sederhana mereka terpaksa bekerja keras untuk membayar rumah. Maka banyak wang mereka dihabiskan untuk rumah dan kerana itu kesannya kualiti hidup mereka jadi kurang kerana tidak dapat digunakan untuk perkara yang lain.

Inilah bahayanya riba dan tidakkah ini boleh dikira sebagai satu ‘rompakan’ kepada harta manusia? Maka Islam kena bangkit ke hadapan untuk menyelesaikan masalah perompakan ini dengan membawa ajaran Islam yang mengharamkan riba ini kepada dunia. Ini kena dilakukan kerana riba ini bukan hanya menyakiti orang Islam sahaja, tetapi menyakiti semua orang.

Jadi kena ada kajian yang menyeluruh yang dilakukan oleh umat Islam dan membawa perkara ini ke mata dunia. Dan memang ada orang bukan Islam yang telah masuk Islam kerana mereka telah nampak bagaimana sistem pengharaman riba ini dapat menyelamatkan ekonomi dunia.

Satu lagi bentuk riba adalah mengenakan harga yang terlalu tinggi kerana manusia memerlukannya. Sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana ubat yang hanya memerlukan beberapa sen sahaja untuk diproses tetapi dijual dengan harga berpuluh puluh ringgit. Ini kerana syarikat yang mencipta ubat itu hendak mengaut keuntungan yang terlalu berlebihan.

Bayangkan betapa susahnya manusia yang jatuh sakit tetapi mereka terpaksa mengeluarkan wang yang banyak hanya untuk kekal hidup. Jadi ini boleh dikatakan lebih teruk lagi daripada jenis riba yang lain; kerana riba yang lain itu mungkin melibatkan pembelian barang yang boleh jikalau kita tidak ada, tetapi bagaimana jikalau yang diperlukan itu adalah ubat untuk melangsungkan hidup seseorang? Kita mungkin tidak perlukan rumah atas nama kita kerana kita boleh sewa, tapi kalau ubat sakit jantung, macam mana?


 

Ayat 40: Ayat 40 – 42 adalah Perenggan Makro Kelima dan ia mengajar kita untuk memikirkan kejadian pusingan kehidupan dan kematian.

Ayat 40 ini adalah dalil aqli kenapa kita kena taat kepada Allah sahaja. Dari ayat tentang riba, Allah kembali memperkatakan tentang tauhid. Ini kerana tauhid amat penting.

اللهُ الَّذي خَلَقَكُم ثُمَّ رَزَقَكُم ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ۖ هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَفعَلُ مِن ذٰلِكُم مِّن شَيءٍ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh is the one who created you, then provided for you, then will cause you to die, and then will give you life. Are there any of your “partners” who does anything of that? Exalted is He and high above what they associate with Him.

(MELAYU)

Allah-lah yang menciptakan kamu, kemudian memberimu rezeki, kemudian mematikanmu, kemudian menghidupkanmu (kembali). Adakah di antara yang kamu sekutukan dengan Allah itu yang dapat berbuat sesuatu dari yang demikian itu? Maha Sucilah Dia dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

 

اللهُ الَّذي خَلَقَكُم

Allah-lah yang menciptakan kamu,

Allah ingatkan kita yang Dialah yang menjadikan kita dari tiada kepada ada. Jadi kenapa tidak taat kepadaNya sahaja?

 

ثُمَّ رَزَقَكُم

kemudian memberimu rezeki,

Sudahlah Dia menjadikan kita, Dia beri segala keperluan rezeki kepada kita pula. Dan ini juga mengajar kita, hendaklah kita minta rezeki kepada Allah sahaja, tidak minta kepada selain Allah.

Sebelum ini telah disebut tentang riba di mana orang yang jahat memberi pinjaman berteraskan riba kerana mereka hendak rezeki yang banyak. Sekarang Allah sentuh: jangan buat begitu. Kerana rezeki itu Allah yang beri. Kalau mahu rezeki, maka minta dengan Allah dan berusaha dengan cara yang Allah redha. Ada banyak cara lain.

 

ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم

kemudian mematikanmu, kemudian menghidupkanmu (kembali). 

Setelah Allah jadikan kita, apabila ajal yang ditetapkan untuk kita telah habis, maka kita akan dimatikan. Dan setelah itu akan dihidupkan kembali apabila akhirat bermula.

 

هَل مِن شُرَكائِكُم مَّن يَفعَلُ مِن ذٰلِكُم مِّن شَيءٍ

Adakah di antara yang kamu sekutukan dengan Allah itu yang dapat berbuat sesuatu dari yang demikian itu?

Tapi masih tetap juga ada manusia yang tidak faham. Ada yang sembah dan seru kepada selain Allah dan jadikan ilah-ilah itu sebagai syarik (sekutu) kepada Allah. Jadi Allah tanya balik kepada mereka: adakah tandingan-tandingan Allah itu boleh jadikan apa-apa?

Bolehkah sembahan itu beri rezeki, kemudian mematikan dan menghidupkan semula makhluk? Tentulah tidak ada. Mereka memang telah membuang masa dan harta mereka untuk melakukan penyembahan kepada entiti yang tidak boleh buat apa-apa pun.

 

سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Sucilah Dia dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

Kalau ilah-ilah selain Allah itu tidak boleh buat apa-apa, maka tentulah mereka tidak setanding dengan Allah. Maka Allah suci dari ada tandingan. Allah suci dan lagi tinggi dari ilah-ilah yang manusia sekutukan itu.


 

Ayat 41: Ayat takhwif duniawi. Keburukan syirik Allah akan tunjukkan semasa di dunia lagi. Iaitu mereka yang melakukan syirik akan diberi balasan yang teruk di dunia lagi.

Ini terutama apabila ada penyeru tauhid yang tegur dan teguran itu dilawan oleh golongan musyrik. Ini selalunya terjadi apabila yang menentang itu hendak mencederakan penyeru tauhid itu sama ada dari kalangan Rasul atau penyeru tauhid dari kalangan manusia biasa.

Maka ini mengajar kita yang kesyirikin kita kena tegur. Bila mereka yang ditegur itu melawan, maka Allah akan zahirkan kebenaran.

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذي عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Corruption has appeared throughout the land and sea by [reason of] what the hands of people have earned so He [i.e., Allāh] may let them taste part of [the consequence of] what they have done that perhaps they will return [to righteousness].

(MELAYU)

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

 

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut

Kalau menentang ajaranNya, ada kemungkinan Allah akan zahirkan azab dunia dalam bentuk bencana alam. Itu dalam bentuk umum kepada semua orang; kalau dalam diri sendiri, ada yang tidak tenang dalam diri kerana ada ketidakpuasan dalam kehidupan.

Kalimah فساد boleh diterjemahkan dengan ‘korupsi’. Tapi apakah korupsi yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini? Telah disebut kesalahan riba dan syirik sebelum ini dan kerana dua perkara ini, maka manusia telah mengalami korupsi di daratan dan di lautan. Kerosakan telah berlaku di daratan di mana pokok-pokok ditebang dan tanah-tanah ditarah dan kawasan-kawasan alam menjadi rosak.

Lautan juga telah dirosakkan dengan perbuatan manusia-manusia yang rakus untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat lipat kali ganda. Antaranya tumpahan minyak dan pembuangan sisa-sisa ke dalam lautan. Hidupan di laut telah terganggu kerana perbuatan manusia yang rakus ini. Dan ini kembali membahayakan manusia kembali kerana kita bergantung kepada alam ini untuk kelangsungan hidup kita, bukan?

 

بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ

disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, 

Semua kerosakan dan korupsi itu adalah kerana perbuatan manusia sendiri. Allah tunjukkan kesan daripada kesalahan yang mereka telah lakukan. Tetapi kesan itu sebenarnya hanya sedikit sahaja daripada hasil kesalahan yang dilakukan oleh manusia; kerana kalau Allah memberikan kesan itu dengan sepenuhnya, maka tentulah rosak terus dunia ini seperti hari kiamat nanti.

Apabila kita menjalankan ketaatan kepada Allah dan taat mengamalkan hukumannya, maka Allah akan beri kemudahan kepada manusia. Tapi apabila kita melanggarnya, maka kita akan diberikan dengan kesusahan.

Abul Aliyah mengatakan bahawa barang siapa yang berbuat derhaka kepada Allah di bumi, bererti dia telah berbuat kerosakan di bumi, kerana terpeliharanya kelestarian bumi dan langit adalah dengan ketaatan. Kerana itu, disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud yang bunyinya:

“لَحَدٌّ يُقَامُ فِي الْأَرْضِ أَحَبُّ إِلَى أَهْلِهَا مِنْ أَنْ يُمْطَرُوا أَرْبَعِينَ صَبَاحًا”

Sesungguhnya suatu hukuman had yang ditegakkan di bumi lebih disukai oleh para penghuninya daripada mereka mendapat hujan selama empat puluh hari.

Dikatakan demikian kerana bila hukuman-hukuman hudud ditegakkan, maka semua orang atau sebahagian besar dari mereka atau banyak dari kalangan mereka yang menahan diri dari perbuatan maksiat dan perbuatan-perbuatan yang diharamkan. Apabila perbuatan-perbuatan maksiat ditinggalkan, maka hal itu menjadi penyebab turunnya berkah dari langit dan juga dari bumi.

Oleh sebab itulah kelak di akhir zaman bila Isa putra Maryam a.s. diturunkan dari langit, baginda langsung menerapkan hukum syariat yang suci ini (syariat Islam), antara lain membunuh semua babi, semua salib dipecahkan, dan jizyah dihapuskan. Maka tidak diterima lagi jizyah, melainkan non-Muslim masuk Islam atau perang.

Dan bila di masanya Allah telah membinasakan Dajjal berserta para pengikutnya, juga Ya’juj dan Ma’juj telah dimusnahkan, maka dikatakan kepada bumi, “Keluarkanlah semua berkah (kebaikan)mu!” Sehingga sebuah delima dapat dimakan oleh sekelompok orang, dan kulitnya dapat mereka pakai untuk berteduh. Hasil perahan seekor sapi perah dapat mencukupi kebutuhan minum sejumlah orang.

Hal itu tiada lain berkat dilaksanakannya syariat Nabi Muhammad Saw. Manakala keadilan ditegakkan, maka berkah dan kebaikan akan banyak didapati. Kerana itu, kita amat menunggu-nunggu apakah yang akan terjadi kepada Negara Brunei yang berani menegakkan Hudud di negara mereka. Tentunya akan ada balasan yang baik yang Allah akan berikan kepada mereka.

 

لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذي عَمِلوا

supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, 

Tujuan Allah tunjukkan kerosakan di dalam alam ini adalah untuk menunjukkan kepada manusia kesan buruk dari perbuatan salah mereka supaya manusia boleh berfikir bahawa kalau di dunia sudah dikenakan dengan perkara sebegini, maka apatah lagi kalau di akhirat kelak.

Kalau kesusahan di dunia pun manusia sudah tidak sanggup, maka apakah mereka sanggup untuk menghadapi azab di akhirat kelak yang lebih teruk? Maka manusia kena fikirkan tentang nasib mereka di akhirat kelak.

 

لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

agar mereka kembali 

Maka tujuan dikenakan dengan musibah itu adalah untuk sedarkan mereka. Supaya mereka terkenang kembali apakah yang mereka telah lakukan semasa di dunia ini dan ambil peluang sementara masih ada. Sementara hidup ini, maka baikilah diri dan amal. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَبَلَوْنَاهُمْ بِالْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ}

Dan Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran). (Al-A’raf: 168)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 21 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s