Tafsir Surah Rum Ayat 33 – 37 (Doa kepada Allah kemudian syirik)

Ayat 33: Ayat zajrun kepada golongan musyrikin. Tidak kira dari golongan mana, bukan hanya kepada musyrikin Mekah sahaja. Ini adalah ayat tentang tauhid.

وَإِذا مَسَّ النّاسَ ضُرٌّ دَعَوا رَبَّهُم مُّنيبينَ إِلَيهِ ثُمَّ إِذا أَذاقَهُم مِّنهُ رَحمَةً إِذا فَريقٌ مِّنهُم بِرَبِّهِم يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when adversity touches the people, they call upon their Lord, turning in repentance to Him. Then when He lets them taste mercy from Him, at once a party of them associate others with their Lord,

(MELAYU)

Dan apabila manusia disentuh oleh suatu bahaya, mereka menyeru Tuhannya dengan kembali bertaubat kepada-Nya, kemudian apabila Tuhan merasakan kepada mereka barang sedikit rahmat daripada-Nya, tiba-tiba sebagian dari mereka mempersekutukan Tuhannya,

 

وَإِذا مَسَّ النّاسَ ضُرٌّ دَعَوا رَبَّهُم مُّنيبينَ إِلَيهِ

Dan apabila manusia disentuh oleh suatu bahaya, mereka menyeru Tuhannya dengan kembali bertaubat kepada-Nya,

Apabila sekali-sekala manusia dikenakan dengan musibah dan bala, maka manusia akan kembali berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah dan waktu itu mereka tidak kira lagi perbezaan mereka dengan orang lain dan hilanglah segala perbezaan-perbezaan itu.

Macam orang kita juga, kalau dah susah seperti perniagaan jatuh, maka mereka akan jadi orang baik. Dah mula pakai kopiah dan pergi ke masjid. Doa pun lama-lama.

Sebelum ini telah disebut tentang fahaman manusia yang berbeza-beza tentang tauhid. Ramai yang kata doa kena menggunakan tawasul melalui perantara. Maka apabila ada musibah, manusia dah tak pakai perantara dah, mereka akan doa terus kepada Allah. Kerana mereka pun tahu, Allah sahaja yang boleh selesaikan masalah mereka.

Ini menunjukkan yang dalam hati mereka, masih ada lagi saki baki tauhid. Kerana memang semua manusia kenal Allah dan kenal tauhid.

 

ثُمَّ إِذا أَذاقَهُم مِّنهُ رَحمَةً

kemudian apabila Tuhan merasakan kepada mereka barang sedikit rahmat daripada-Nya,

Tidaklah Allah kenakan azab berterusan. Sekejap sahaja Allah bagi supaya manusia itu sedar diri sikit. Dan apabila manusia sudah berdoa terus kepadaNya, maka Allah akan tarik balik musibah dan bala itu. Maka kesusahan yang dialami ditukar dengan rahmat. Kalau dulu perniagaan jatuh, Allah beri jalan supaya dapat berniaga balik. Kalau dah kena buang kerja, Allah berikan kerja yang baru yang lebih baik dari kerja yang lama.

 

إِذا فَريقٌ مِّنهُم بِرَبِّهِم يُشرِكونَ

tiba-tiba sebagian dari mereka mempersekutukan Tuhannya,

Tetapi apabila Allah tukar musibah mereka itu dengan beri rahmat dariNya maka tiba-tiba ada yang melakukan syirik terhadap Allah. Bagaimana mereka melakukan syirik itu?

Mereka kembali sembah dan doa kepada selain Allah balik. Semasa mereka susah, mereka terus doa kepada Allah, tapi bila dah selamat dan selesa, mereka kembali buat syirik.

Juga mereka kata mereka selesai masalah itu kerana perkara selain Allah. Ada yang mungkin jumpa guru yang buat mandi bunga kepada mereka, ada yang dapat cincin hikmat, ada orang yang ajar amalan selesai masalah dengan zikir-zikir yang bukan sunnah. Maka mereka kata mereka selesai masalah kerana semua perkara itu. Tapi mereka tidak kata pun yang Allah yang selesaikan masalah mereka. Allah yang selesaikan masalah mereka, tapi mereka kata benda lain. Maka itulah syirik kerana menisbahkan penyelesaian masalah kepada selain dari Allah.


 

Ayat 34:

لِيَكفُروا بِما ءآتَينٰهُم ۚ فَتَمَتَّعوا فَسَوفَ تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So that they will deny what We have granted them.¹ Then enjoy yourselves, for you are going to know.

  • Or “So let them deny what We have granted them.”

(MELAYU)

sehingga mereka mengingkari akan rahmat yang telah Kami berikan kepada mereka. Maka bersenang-senanglah kamu sekalian, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu).

 

لِيَكفُروا بِما ءآتَينٰهُم

sehingga mereka mengingkari akan rahmat yang telah Kami berikan kepada mereka. 

Dan apabila mereka melakukan syirik itu dengan mengatakan itu dan ini yang menyelamatkan mereka dengan tidak menyebut Allah, maka mereka telah kufur kepada apa yang Allah telah berikan kepada mereka. Ini dinamakan ‘kufur nikmat’. Allah yang beri nikmat kepada mereka, tapi mereka tidak menghargaiNya. Mereka tidak bersyukur kepada Allah atas nikmat itu.

Huruf lam dalam ayat ini menurut sebagian ulama bahasa disebut lamul ‘aqibah, sedangkan menurut sebahagian yang lain adalah lamut ta’lil, tetapi ta’lil ini berdasarkan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah terhadap mereka.

Huruf ل dalam kalimah لِيَكفُروا ini juga boleh bermaksudkan ‘biarlah’. Biarlah mereka nak jadi kufur. Allah biarkan sahaja dan tengok sahaja dan tulis segala perbuatan mereka. Allah sengaja biarkan mereka buat apa yang mereka hendak. Allah biarkan mereka tambah dosa mereka banyak-banyak supaya nanti Allah akan balas mereka dengan teruk kepada mereka. Semakin banyak dosa mereka, semakin teruk mereka akan kena azab.

 

فَتَمَتَّعوا فَسَوفَ تَعلَمونَ

Maka bersenang-senanglah kamu sekalian, kelak kamu akan mengetahui

Allah kata bergembiralah dengan apa yang mereka ada sehingga nanti mereka mati, akhirnya mereka akan tahu apakah kebenaran itu dan di manakah salahnya mereka. Bersenang lenanglah sementara boleh lagi. Ini adalah ancaman yang menakutkan.

Sebagian ulama mengatakan, “Seandainya ada seorang pengawal (tentara) yang kejam mengancamku, tentulah aku merasa takut. Maka terlebih lagi jika yang mengancam itu adalah Tuhan Yang mengatakan kepada sesuatu, ‘Jadilah kamu’, maka jadilah ia.”

Ada iltifad (penukaran) di dalam ayat ini di mana tiba-tiba Allah berubah dari bercakap tentang ‘pihak ketiga’ kepada bercakap terus dengan musyrikin Mekah sendiri (kerana Allah gunakan dhomir ‘kamu’). Dan ini sepatutnya memberi kejutan kuat, seperti seorang guru yang mengatakan tentang kesalahan murid yang teruk, tapi tak sebut nama murid. Cikgu itu pun senaraikanlah kesalahan orang itu, tetapi tiba-tiba cikgu itu melihat kepada kita dan kata: “ha kamu! jangan buat lagi!” Rupanya yang disebut-sebut itu adalah kita! Tentu kita terkejut, bukan?

Tentu kita akan rasa bersalah sangat, bukan? Kerana kalau dikatakan tentang pihak ketiga, ia boleh jadi sesiapa sahaja dan tidak menakutkan kita, tetapi kalau guru itu tiba-tiba bercakap terus ke muka kita, bagaimana? Jadi, inilah kesannya iltifad yang ada dalam Qur’an ini.


 

Ayat 35: Ini adalah jumlah mu’taridah. Maksudnya, ia keluar sebentar dari rentetan ayat-ayat tadi. Allah keluar sekejap dari perbincangan untuk beri pengajaran yang penting. Jadi kena beri perhatian kepada ayat-ayat sebegini.

أَم أَنزَلنا عَلَيهِم سُلطٰنًا فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِما كانوا بِهِ يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or have We sent down to them an authority [i.e., a proof or scripture], and it speaks of what they have been associating with Him?

(MELAYU)

Atau pernahkah Kami menurunkan kepada mereka keterangan, lalu keterangan itu menunjukkan (kebenaran) apa yang mereka selalu mempersekutukan dengan Tuhan?

 

أَم أَنزَلنا عَلَيهِم سُلطٰنًا

Adakah pernah Kami menurunkan kepada mereka keterangan/kuasa?

Allah perli mereka dengan bertanya, adakah mereka dapat sebarang bukti dari Allah untuk membenarkan kata-kata mereka itu? Yang dimaksud dengan sultan ialah alasan. Adakah Allah beri kebenaran dan kuasa kepada mereka untuk melakukan kesyirikan yang mereka lakukan itu? Ada pernah Nabi-nabi sebelum itu beritahu? Ada dalam kitab yang pernah mereka baca?

Sebagai contoh, ada yang bila masalah dia selesai, dia kata kerana wali itu dan ini yang selesaikan masalah dia. Jadi alah tanya: ada dalilkah yang Allah ada serahkan kuasa selesaikan masalah kepada wali seperti yang kamu katakan itu?

Tentu tidak ada. Jadi yang mereka memandai itu, datang dari mana? Begitu jugalah ayat ini ditujukan juga kepada pengamal-pengamal syirik dan bidaah dari kalangan orang kita: dari mana kamu dapat amalan ini? Pernah Allah atau Nabi bagi dalil kah?

 

فَهُوَ يَتَكَلَّمُ بِما كانوا بِهِ يُشرِكونَ

lalu keterangan itu menunjukkan (kebenaran) apa yang mereka selalu mempersekutukan dengan Tuhan?

Kalau mereka ada dalil, maka bolehlah kalau nak amalkan dan pakai. Tapi mana ada dalil yang mereka keluarkan? Cuba keluarkan, kita nak tengok juga. Kerana kalau ada, kita pun nak amalkan juga.

Istifham (kata tanya) dalam ayat ini mengandung makna engkar, yakni tiada suatu keterangan pun yang membuktikan kebenaran perbuatan mereka itu.

Begitulah dengan masyarakat kita yang mengamalkan syirik dan bidaah. Mereka itu tidak ada dalil dari amalan mereka itu, melainkan rekaan sahaja. Dan kalau mereka keluarkan dalil yang sahih pun, itu adalah salah faham dari dalil yang ada. Mereka buat amalan mereka, kemudian bila diminta dalil, maka mereka akan korek mana-mana dalil yang sahih dan katakanlah itulah dalil mereka.

Ini tidak benar kerana walaupun dalil itu ‘sahih’, tapi ianya tidak ‘sarih’. Maksud ‘sarih’ adalah bertepatan dengan amalan. Ada dalil yang sahih tapi tidak sarih dengan permasalahan. Kalau dalil tentang puasa tidaklah boleh nak digunakan pada amalan solat pula, bukan? Jadi, memang kadangkala dalil yang dibawakan itu sahih, tapi kalau orang baca dalil itu, tidak jadi pun sampai mengamalkan amalan mereka itu. Mereka hanya telah mengamalkan ‘reverse engineering’ untuk mensahihkan amalan mereka yang tidak sahih. Sebab mereka nak jadikan juga amalan mereka itu sebagai boleh.

Sebagai contoh, ada hadis yang menyebut Jaafar melompat apabila dipuji oleh Rasulullah. Kalau setakat baca hadis ini, kita tahulah yang Jaafar suka dengan pujian itu, bukan?

Tapi ada yang hendak membenarkan zikir sambil menari mereka, mereka menggunakan hadis ini. Padahal tidak ada pun Jaafar menari-nari tapi melompat sekali sahaja. Macam mana beliau melompat pun kita tidak tahu. Jadi jangan ikut kumpulan-kumpulan yang tidak pandai menggunakan dalil ini.


 

Ayat 36: Selepas jumlah mu’taridah dalam ayat 35 tadi, sekarang kembali kepada rentetan ayat sebelum itu. Kembali kepada salah faham manusia tentang musibah dan nikmat.

وَإِذا أَذَقنَا النّاسَ رَحمَةً فَرِحوا بِها ۖ وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم إِذا هُم يَقنَطونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when We let the people taste mercy, they rejoice therein, but if evil afflicts them for what their hands have put forth, immediately they despair.

(MELAYU)

Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.

 

وَإِذا أَذَقنَا النّاسَ رَحمَةً فَرِحوا بِها

Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu.

Bila dapat nikmat dan rahmat daripada Allah, manusia amat gembira. Kita memang suka kalau dapat benda-benda yang baik terjadi kepada kita. Tapi kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah فَرِحوا iaitu suka tapi dalam bentuk sombong. Dia bangga sampaikan dia memperkecilkan orang lain yang tidak sama status dengan dia. Mereka sangka hebat sangat dengan apa yang mereka ada itu. Suka dengan apa yang ada, tidaklah salah, tapi bila sampai merendahkan orang lain, ini tidak patut.

Memang sesungguhnya manusia itu bangga apabila diberi suatu nikmat, lalu mengatakan seperti apa yang disitir oleh firman-Nya:

{ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ}

“Telah hilang bencana-bencana itu dariku, sesungguhnya dia sangat gembira lagi bangga. (Hud: 10)

Allah ingatkan dalam ayat ini yang segala rahmat itu datangnya dari Allah, tidak ada yang selain dariNya. Maka janganlah berbangga dan sombong sangat. Kerana ada yang sombong dengan apa yang mereka ada. Mereka tidak sedarkah yang apa yang mereka ada itu semuanya dari Allah? Kalau kita sedar yang kita dapat semua ini dari Allah, maka tidaklah kita berbangga sangat.

 

وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم

Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, 

Tapi apabila orang yang sama kemudiannya menerima dugaan dan musibah daripada Allah, maka mereka itu terus berputus asa dan tidak mempunyai harapan lagi. Mereka rasa dah teruk sangat, rasa macam hidup mereka tidak bermaya dah, sudah tidak ada gunanya lagi.

Mereka juga rasa mereka tidak patut dapat kesusahan itu kerana mereka selalu dapat kesenangan sahaja. Mereka rasa Allah tidak sayang mereka, mereka rasa Allah tidak patut lakukan perkara itu dan macam-macam lagi fahaman salah mereka. Ini kerana mereka dari asalnya tidak faham yang apa sahaja yang Allah berikan adalah kerana kasih sayangNya, kerana rahmatNya. Bukannya kita layak dapat pun segala benda itu.

Jadi ramai yang gelisah dan mula marah bila dapat musibah dan kesusahan. Padahal, Allah ingatkan yang musibah itu pun dari amalan salah mereka. Allah beri musibah itu pun dari tangan mereka sendiri. Kerana mereka melakukan kesalahan dalam amalan dan akidah, maka Allah beri peringatan kepada mereka untuk mereka perbetul balik kesalahan mereka. Fikirkan balik: kenapa aku kena musibah ini… adakah salah aku di mana-mana?

Begitulah yang sepatutnya difikirkan oleh manusia. Maka kalau dah tahu yang memang ada kesalahan yang telah dilakukan, maka bertaubatlah dan baikilah kesalahan yang telah dilakukan itu.

 

إِذا هُم يَقنَطونَ

tiba-tiba mereka itu berputus asa.

Apabila dah kena musibah, mereka ini jelas tidak ada harapan lagi kepada Allah. Mereka rasa mereka sudah tidak ada harapan. Allah tegur sifat ini kerana Allah mahu hambaNya berharap kepadaNya.

Satu lagi tafsir: Ayat ini diturunkan berkenaan musyrikin Mekah. Mereka dalam perkara kecil mereka akan minta kepada wasilah (perantara) mereka. Iaitu ilah-ilah mereka seperti berhala, malaikat dan sebagainya lagi. Tapi kalau kena musibah yang besar, maka mereka putus asa dengan doa kepada ilah-ilah selain Allah itu. Waktu itu mereka akan doa terus kepada Allah. Allah hendak menceritakan salah faham mereka itu yang tidak patut. Sekejap minta kepada ilah lain, sekejap minta kepada Allah. Adakah patut begitu? Tentulah tidak.


 

Ayat 37: Maka kita sepatutnya meletakkan pengharapan penuh kepada Allah. Kerana Allah sahaja yang menguruskan segala-galanya. Perkara yang selalu dikisahkan oleh manusia adalah rezeki, bukan? Maka Allah sebut tentang rezeki pula.

أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللهَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not see that Allāh extends provision for whom He wills and restricts [it]? Indeed in that are signs for a people who believe.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahwa Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezeki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

 

أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللهَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahwa Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezeki itu). 

Nikmat termasuk rezeki kita ditentukan oleh Allah. Tidak ada selain Allah yang boleh menentukan, termasuklah Malaikat Mikail yang menurunkan rezeki itu. Orang beriman akan sedar tentang perkara ini. Jadi apabila Allah beri banyak, maka tentulah orang beriman akan bersyukur dengan banyak.

Ada yang Allah berikan banyak dan ada yang Allah beri cukup-cukup sahaja. Sikit dan banyak adalah ujian. Allah beri cubaan kepada kita semua kerana dunia adalah tempat cubaan bukan tempat balasan.

Mungkin ramai faham kalau dikatakan sempit rezeki itu sebagai cubaan; tapi bagaimana pula kalau dikatakan luas rezeki itu pun cubaan juga? Banyak rezeki pun cubaan dan dugaan juga dan mungkin ini lebih berat dari dugaan kurang rezeki. Kerana kalau duit tidak banyak, manusia senang nak ingat kepada Allah. Tapi kalau harta dah banyak, ramai manusia lupa kepada Allah, bukan?

Maka Allah yang kawal rezeki. Maka kenalah minta rezeki kepada Allah. Bukannya minta kepada selain Allah seperti roh Nabi, wali dan malaikat. Itu adalah permintaan dari seorang yang amat bodoh sekali.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

Apabila kita sedar yang Allah sahaja yang mengawal segala pemberian rezeki, maka sedarlah kita yang Allah lah yang berkuasa penuh dalam segala hal. Kia tidak ada kuasa apa-apa melainkan mengharap kepada Allah taala sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 Oktober 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s