Ayat 29: Dalam ayat sebelum ini telah diberikan ayat tentang tauhid. Sepatutnya dengan banyak dalil dan hujah yang telah diberikan, manusia sudah faham tentang tauhid tetapi akan ada juga manusia yang degil. Akan ada sahaja yang akan menentang tanpa ilmu.
بَلِ اتَّبَعَ الَّذينَ ظَلَموا أَهواءَهُم بِغَيرِ عِلمٍ ۖ فَمَن يَهدي مَن أَضَلَّ اللهُ ۖ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But those who wrong follow their [own] desires without knowledge. Then who can guide one whom Allāh has sent astray? And for them there are no helpers.
(MELAYU)
Tetapi orang-orang yang zalim, mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan; maka siapakah yang akan menunjuki orang yang telah disesatkan Allah? Dan tiadalah bagi mereka seorang penolong pun.
بَلِ اتَّبَعَ الَّذينَ ظَلَموا أَهواءَهُم بِغَيرِ عِلمٍ
Tetapi orang-orang yang zalim, mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan;
Sebenarnya mereka yang berbuat dosa dan menolak tauhid itu adalah kerana mereka mengikut kehendak nafsu mereka tanpa berdasarkan ilmu. Ini Allah hendak mengajar kita yang apabila ikut nafsu sahaja maka ianya sudah tentu bertentangan dengan wahyu. Jadi nafsu adalah hujah tanpa dalil.
Tafsir Jalalayn mengatakan ‘zalim dalam ayat ini adalah syirik.
Kita bukannya tidak terima pendapat lain, tapi kenalah ada dalil yang diberikan. Kerana kalau tanpa dalil, sesiapa sahaja boleh kata apa-apa sahaja.
فَمَن يَهدي مَن أَضَلَّ اللهُ
maka siapakah yang akan menunjuki orang yang telah disesatkan Allah?
Kalau Allah telah buat keputusan untuk menyesatkan sesiapa, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi hidayah kepada mereka lagi. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (Penutupan Hati). Ini dilakukan kerana orang itu telah banyak sekali menentang ajaran tauhid. Maka Allah buat keputusan untuk memasukkan dia ke dalam neraka. Dan kalau sesiapa sahaja dakwah kepada dia, dia tidak akan nampak kebenaran lagi.
وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ
Dan tiadalah bagi mereka seorang penolong pun.
Dan tidak akan ada yang boleh memberi pertolongan kepada mereka, apabila Allah telah buat keputusan untuk mengazab mereka di akhirat.
Ayat 30: Ayat 30 – 39 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia mengandungi panduan hidup bagi Muslimin. Ayat 30 ini mengulangi semula Dakwa Surah.
فَأَقِم وَجهَكَ لِلدّينِ حَنيفًا ۚ فِطرَتَ اللهِ الَّتي فَطَرَ النّاسَ عَلَيها ۚ لا تَبديلَ لِخَلقِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So direct your face [i.e., self] toward the religion, inclining to truth. [Adhere to] the fiṭrah¹ of Allāh upon which He has created [all] people. No change should there be in the creation of Allāh.² That is the correct religion, but most of the people do not know.
- The natural inborn inclination of man to worship his Creator prior to the corruption of his nature by external influences. Thus, Islāmic monotheism is described as the religion of fiṭrah –that of the inherent nature of mankind.
- i.e., let people remain true to their fiṭrah within the religion of Islām.
(MELAYU)
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,
فَأَقِم وَجهَكَ لِلدّينِ حَنيفًا
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah;
Huruf ف dalam فَأَقِم adalah fa fasihah. Ia bermaksud konklusi setelah diberitahu banyak maklumat sebelum ini. Maka setelah kamu tahu, maka sembahlah Allah sahaja. Setelah tahu bahayanya syirik maka kenalah amalkan ajaran tauhid. Bagaimanakah caranya?
Hendaklah fokus kepada agama yang lurus iaitu agama yang berlandaskan kepada ajaran tauhid. Fahaman tauhid amatlah penting dan inilah yang pertama yang kena jaga dan kena belajar dahulu. Dan ajaran tauhid ini diambil dari Al-Qur’an dan kerana itu hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an. Tidak cukup dengan baca sahaja atau dengan lihat terjemahan sahaja.
Juga ini bermaksud hendaklah mengamalkan agama Islam ini tanpa penambahan dari agama lain seperti yang banyak dilakukan oleh manusia. Malangnya ada manusia yang hendak menjadikan agama ini sebagai rojak di mana ambil sikit-sikit daripada amalan agama yang lain. Maka dalam mana-mana amalan, kena tahu apakah dalil bagi amalan itu.
فِطرَتَ اللهِ الَّتي فَطَرَ النّاسَ عَلَيها
fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.
Kalimah فطر bermaksud mencipta sesuatu dengan memberi bentuk yang indah. Allah memberitahu yang kita ini diciptakan dalam bentuk yang indah. Allah telah masukkan fahaman tauhid di dalam diri kita semasa di alam roh lagi. Kita sepatutnya sudah kenal Allah dari sebelum dilahirkan lagi.
Fitrah ini begitu berharga sampaikan Allah meletakkan namaNya kepadanya dengan memanggilnya ‘Fitrah Allah’.
Semua manusia sudah ada fitrah ini di dalam diri mereka. Perkara ini manusia tidak perlu tunggu belajar untuk mendapatkannya kerana memang sudah ada. Ianya seperti perasaan cinta, adil, yakin, kasih sayang, dan lain-lain lagi. Semua itu tidak perlu belajar, bukan? Ia akan datang sendiri.
Dan kerana itu apabila datang agama yang mengajar kepada benda yang baik maka kita sepatutnya senang terima kerana ianya sama dengan apa yang sudah ada dalam diri kita. Ianya sudah tertanam di dalam diri kita. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan dalam pembahasan yang terdahulu dalam tafsir firman-Nya:
{وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى}
dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Tuhan kami)” (Al-A’raf: 172)
Kerana itu kita tidak perlu belajar yang berbohong itu tidak bagus dan kita tidak boleh membunuh orang lain. Kerana fitrah itu sudah ada dalam diri kita. Ianya tetap ada di dalam diri setiap manusia tidak kira zaman dahulu, zaman sekarang, dan juga zaman hadapan.
Islamlah juga agama yang memang telah ada di dalam diri kita awal-awal lagi dan lahir bersama dengan kita. Ia cuma memerlukan agama yang diajar oleh Nabi dan diberitahu di dalam wahyu untuk ‘membuka’ agama itu. Ia sudah ada, cuma menunggu untuk dibuka sahaja.
لا تَبديلَ لِخَلقِ اللهِ
Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.
Maka ‘jangan ubah’ ‘fitrah Allah’ itu. Maknanya jangan campur aduk agama. Jangan ubah suai agama. Jangan ambil ajaran dari agama lain. Kerana kalau ada ajaran lain, ia seolah seperti susu dan dicampur najis. Walaupun susu itu lebih banyak kandungannya dari najis, tapi adakah sanggup untuk minum susu itu lagi? Tentu tidak, bukan?
Atau pun kalimah لا itu bermaksud ‘tidak’. Maknanya tidak boleh nak ubah agama ini lagi. Allah tetap Tuhan kita dan kita tetap kena menghambakan diri kepadaNya. Tidak ada pilihan yang lain. Malangnya, manusia banyak menjadikan banyak ilah selain Allah, tapi ini tidak diterima sampai bila-bila. Kerana tidak ada selain Allah yang mempunyai sifat ilah.
Imam Bukhari mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Ar-Rum: 30) Iaitu agama Allah; fitrah orang-orang dahulu ertinya agama orang-orang dahulu, agama dan fitrah maksudnya ialah Islam.
حَدَّثَنَا عَبْدَانُ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ، أَخْبَرَنَا يُونُسُ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، أَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَا مِنْ مَوْلُودٍ يُولَدُ إِلَّا عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانه أَوْ يُنَصِّرانه أَوْ يُمَجسانه، كَمَا تَنْتِج الْبَهِيمَةُ بَهِيمَةً جَمْعاء، هَلْ تُحِسُّونَ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ”؟ ثُمَّ يَقُولُ: {فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ}
Telah menceritakan kepada kami Abdan, telah menceritakan kepada kami Abdullah, telah menceritakan kepada kami Yunus, dari Az-Zuhri, telah menceritakan kepadaku Abu Salamah ibnu Abdur Rahman, bahawa Abu Hurairah r.a. pernah mengatakan bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda: Tidak ada seorang bayi pun yang dilahirkan melainkan atas dasar fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, atau Nasrani atau Majusi. Sama halnya dengan haiwan ternak yang melahirkan anaknya dalam keadaan sempurna, maka apakah kalian melihat adanya kecacatan pada anak haiwan itu. Setelah itu Nabi Saw. membacakan firman Allah Swt.: (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; (Ar-Rum: 30)
ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ
(Itulah) agama yang lurus;
Lurus itu bermaksud berada di atas jalan yang benar. Agama sudah lurus tidak perlu campur aduk dengan agama lain. Untuk tahu mana ajaran yang lurus, maka kena belajar.
وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,
Tapi kebanyakan manusia tidak kisah tentang agama. Mereka ikut hati mereka sahaja. Mereka tidak mahu luangkan masa untuk belajar. Mereka juga tidak mahu buka minda dan hati mereka untuk terima kebenaran yang disampaikan oleh penyebar tauhid.
Memang kebanyakan manusia begitu. Tidak ramai yang mahu terima kebenaran. Maka jangan hairanlah kalau ramai yang begitu. Maka jangan kita terpesona dengan ramainya orang di dalam fikrah (fahaman) yang jauh dari kebenaran. Jangan ada dalam hati kita: “ramai orang berfikiran macam ini, takkan salah…”. Kerana ramainya orang dalam satu-satu fikrah bukanlah tanda yang ianya benar.
Ayat 31:
۞ مُنيبينَ إِلَيهِ وَاتَّقوهُ وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَلا تَكونوا مِنَ المُشرِكينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Adhere to it], turning in repentance to Him, and fear Him and establish prayer and do not be of those who associate others with Allāh
(MELAYU)
dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikanlah solat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah,
مُنيبينَ إِلَيهِ
dengan kembali bertaubat kepada-Nya
Kena ada inabah di dalam diri kita. Iaitu perasaan condong kepada Allah untuk mendekatkan diri kepada Nya dan memohon keampunan kepadaNya. Sentiasalah juga kembali kepada Allah untuk memohon keampunan di atas segala kesalahan dan kesilapan kita.
وَاتَّقوهُ
dan bertakwalah kepada-Nya
Bertakwalah kepada Allah dengan menjaga hukumnya dan sedar yang Dia sentiasa melihat kita.
وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ
serta dirikanlah solat
Jagalah hubungan kita dengan Allah dengan cara menjaga Solat. Iman itu adalah perkara dalam hati. Dalam hati sahaja tidak cukup jadi hendaklah ditunjukkan dengan perbuatan fizikal kita juga. Kerana fizikal kita juga kena taat kepada Allah sebagaimana hati telah taat kepada Allah. Dan cara utama adalah dengan solat. Tapi bukan solat sahaja kena jaga. Segala suruhan dan larangan Allah kena ditaati.
Allah cuma beri satu contoh sahaja dengan ibadat yang terbaik, iaitu solat. Ini adalah kerana solat ini dilakukan setiap hari dan telah ditetapkan waktunya. Supaya kita diingatkan dengan iman yang kita perlu ada. Jadi ianya adalah latihan kepada iman dan peringatan kepada ajaran tauhid.
وَلا تَكونوا مِنَ المُشرِكينَ
dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah,
Jangan campur aduk amalan dan fahaman agama dengan syirik. Ia adalah satu dosa yang amat besar yang menyebabkan orang itu kekal dalam neraka dan tidak akan keluar sampai bila-bila.
Tapi untuk kenal apakah syirik itu kena belajar. Tidak boleh sangkaan-sangkaan sahaja. Berapa ramai yang mengaku Muslim dan tidak sangka mereka mengamalkan syirik tapi bila diperiksa, rupanya ada perkara syirik yang mereka tidak tahu. Maka untuk faham manakah syirik, maka kena belajar tafsir Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an banyak menyebut tentang syirik.
Ayat 32: Apakah termasuk perkara syirik itu?
مِنَ الَّذينَ فَرَّقوا دينَهُم وَكانوا شِيَعًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Or] of those who have divided their religion and become sects, every faction rejoicing in what it has.¹
- Of beliefs, opinions, customs, etc.
(MELAYU)
iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.
مِنَ الَّذينَ فَرَّقوا دينَهُم
iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka
Mereka itu adalah golongan yang memecahkan agama kepada bahagian-bahagian tertentu. Agama sudah sempurna tapi mereka pecah-pecahkan. Ini adalah kerana mereka mengikut hawa nafsu mereka.
Semua agama dari langit itu adalah daripada sumber yang satu iaitu Allah s.w.t. tetapi ada orang yang membeza-bezakan agama itu mengikut kepada Rasul yang menyampaikannya. Seperti Kristian hanya ikut Nabi Isa, Yahudi hanya ikut Nabi Musa dan sebagainya. Ini adalah salah.
وَكانوا شِيَعًا
dan mereka menjadi beberapa golongan.
Mereka beza-bezakan agama itu mengikut rasul yang menyampaikannya dan kemudian mereka buat golongan-golongan yang berlawanan dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Ada yang Yahudi, ada Kristian. Padahal semuanya asalnya adalah agama Islam.
كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.
Dan selepas mereka memecahkan agama itu dan memilih satu fahaman maka mereka bergembira dan berbangga sombong dengan agama yang mereka telah reka itu. Mereka kata agama mereka yang lebih baik dari agama orang lain.
Bukan sahaja antara agama itu dibezakan tetapi di dalam agama Islam sendiri ada penganut-penganut yang memecahkan agama Islam ini dan membandingkan diri mereka dengan orang lain. Mereka sendiri yang reka agama Islam yang baru dan kemudian mereka kutuk orang lain yang tidak ikut versi Islam mereka.
Sampaikan yang paling teruk ada yang berfahaman jikalau orang Islam berlainan fahaman seperti apa yang mereka faham, maka orang itu akan masuk ke dalam neraka dan tidak layak masuk ke dalam syurga. Soalannya, siapa mereka untuk menentukan begitu?
Mereka bangga dengan fahaman mereka kerana mereka jahil wahyu. Mereka telah ditipu oleh syaitan dan syaitan berjaya kerana mereka jahil. Syaitan memang suka kalau manusia berpecah belah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 21 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi