Tafsir Surah Zumar Ayat 44 – 47 (Semua syafaat milik Allah)

Ayat 44: Kalau mereka yang diseru itu tidak ada kuasa memberi syafaat, maka siapa yang ada kuasa untuk memberi syafaat?

قُل ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَميعًا ۖ لَّهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan).”

قُلْ ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَمِيعًا

Katakanlah: milik Allahlah segala syafaat semua sekali.

Dengan jelas dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang Dia sahaja yang memiliki kesemua syafaat. Nabi Muhammad ﷺ tidak memiliki syafaat yang boleh diberikan kepada sesiapa yang meminta darinya. Baginda hanya diberikan kuasa untuk ‘menyampaikan’ syafaat seperti yang kita telah jelaskan dalam ayat sebelum ini. Namun baginda tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan siapa yang boleh diberikan syafaat itu.

Seperti juga Malaikat Maut diberikan kuasa untuk mencabut nyawa. Soalan untuk mudah memahami konsep ini: bila ditiup sangkakala, dan semua makhluk sudah mati, adakah malaikat maut yang mencabut nyawa semua makhluk ketika itu? Jawabnya, tidak. Waktu itu, tiupan sangkakala itulah yang mengambil nyawa. Semua makhluk akan mati, termasuk jin dan makhluk-makhluk lain sekali.

Dalam Surah Baqarah, Allah ‎ﷻ pernah berkata ‘mati kamu’ kepada sekumpulan manusia. Allah ‎ﷻ katakan kepada 70 orang wakil dari Bani Israil yang hendak lihat Allah ‎ﷻ secara terang-terang. Allah ‎ﷻ berkata ‘mati kamu’ kerana kesalahan mereka meminta sebegitu. Semua sekali mati terus. Jadi, waktu itu bukan Malaikat Maut yang mengambil nyawa mereka.

Namun begitu, kita memang mengharapkan syafaat yang disampaikan oleh Nabi ﷺ itu. Semoga kita semua mendapat syafaat nanti di akhirat kelak. Tetapi, hendaklah kita ingat bahawa bukan baginda yang mempunyai kuasa beri syafaat itu.

Kalaulah Nabi ﷺ boleh memilih siapa yang baginda boleh beri syafaat, tentulah baginda akan memilih untuk berikan syafaat kepada Abu Talib. Sebab baginda sangat sayangkan Abu Talib dan Abu Talib telah banyak membantu baginda. Tetapi kita semua tahu bahawa Abu Talib mati sebagai orang kafir dan dia akan masuk neraka.

Allah ‎ﷻ yang tentukan siapa yang Nabi ﷺ boleh beri syafaat. Kemudian, Nabi ﷺ boleh turunkan kuasa memberi syafaat itu kepada orang lain pula. Contohnya kepada sahabat, sahabat pula turunkan kepada anak murid mereka dan murid mereka kepada anak murid mereka pula. Akhir sekali kuasa ‘sementara’ memberi syafaat akan diberikan kepada Muslim yang menghafal Al-Qur’an. Dia boleh berikan syafaat kepada sepuluh orang (Walaupun begitu, ada masalah dengan hadis berkenaan perkara ini).

Tetapi tidak boleh meminta syafaat daripada mereka sekarang kerana mereka belum mendapat kuasa itu lagi. Yang menghafal Al-Qur’an itu sendiri belum tentu boleh memasuki syurga. Sebab kalau dia hanya menghafal Al-Qur’an dan tidak mengetahui isi kandungannya, ia tidak menghalang dia dari melakukan dosa atau melakukan perbuatan syirik, maka dia pun belum tentu dapat memasuki syurga. Kalau dia pun tidak masuk syurga, bagaimana pula dia hendak berikan syafaat kepada orang lain? Jadi untuk mendapat syafaat, kita minta terus dengan Allah ‎ﷻ.

لَهُ مُلْكُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

milikNya kerajaan langit dan bumi.

Allah ‎ﷻ boleh berikan syafaat itu kerana Dialah memiliki segala kerajaan langit dan bumi. Kuasa penuh hanya ada pada Dia sahaja. Sembahan yang selain dari Dia, tidak ada kuasa-kuasa apa pun. Oleh itu, hanya Dia sahaja boleh memberikan syafaat.

ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kemudian kepada Dialah tempat kamu dikembalikan.

Sama ada kamu taat kepada Allah ‎ﷻ ataupun tidak, kamu akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Tidak ada satu makhluk pun yang akan terselamat. Mereka akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Bukan kepada ‘tuhan-tuhan kecil’ mereka. Mereka sangka sembahan-sembahan mereka yang akan menjadi ‘peguam’ untuk mereka nanti.

Mereka sangka mereka tidak terus berjumpa dengan Allah ‎ﷻ. Tetapi ayat ini menegaskan bahawa mereka akan terus bertemu dan menghadap Allah ‎ﷻ. Maka, bagaimana mungkin ada pemberi syafaat yang dapat menghalang orang itu dari menerima azab Allah ‎ﷻ? Bilakah pula dia hendak berikan syafaat untuk membantu orang itu, kalau benar dia boleh berikan syafaat?


 

Ayat 45: Ini adalah alamat yang kita boleh gunakan untuk kenal seseorang, sama ada dia amalkan syirik ataupun tauhid. Boleh kenal sebenarnya. Tetapi sebenarnya, lebih elok kalau kita gunakan kayu ukur ayat ini untuk memeriksa diri kita sendiri. Kerana kita kena tahu bahawa syirik tidak boleh ada sedikit pun dalam hati kita. Maka kena keluarkan semua sekali. Ayat ini adalah tanda kalau ada fahaman syirik itu ataupun tidak.

Jadi ayat ini adalah tentang orang musyrikin, tidak kira di mana dan bilakah mereka itu. Mereka percaya Allah ‎ﷻ itu Tuhan tetapi mereka ada berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana mereka berasa ada lagi ilah-lain yang ada kuasa Allah ‎ﷻ. Sebab itulah mereka mensyirikkan Allah ‎ﷻ dalam ibadah dan seruan mereka.

 

وَإِذا ذُكِرَ اللَهُ وَحدَهُ اشمَأَزَّت قُلوبُ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ ۖ وَإِذا ذُكِرَ الَّذينَ مِن دونِهِ إِذا هُم يَستَبشِرونَ

Dan apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta gembira.

وَإِذَا ذُكِرَ اللَهُ وَحْدَهُ

Dan apabila diajak seru/doa/ibadat kepada Allah sahaja,

Iaitu apabila dikatakan: tiada ilah melainkan Allah ‎ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan – kena ibadah dan seru Allah ‎ﷻ sahaja. Kena zikir pun semata-mata kepada Allah ‎ﷻ sahaja, tidak boleh seru kepada selain Allah ‎ﷻ. Inilah konsep tauhid yang perlu diamalkan oleh orang Islam.

 

اشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ

gelisah hati-hati orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat,

Tetapi, apabila diajak hanya seru dan ibadah kepada Allah ‎ﷻ sahaja, gelisah hati mereka yang ada fahaman syirik dalam hati mereka. Kita boleh lihat, apabila kita ajak beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja, berubah air muka mereka kerana mereka tidak suka.

Apabila disebut Allah ‎ﷻ sahaja berkuasa, hanya Dia sahaja sebagai penyempurnaan hajat, mereka akan gelisah. Dan perasaan mereka itu tidak boleh disorokkan dari wajah mereka. Mereka akan pelik dan berhujah: “eh tapi.. tapi… tapi… bukan Nabi Muhammad beri syafaat ke? Kan ada hadis cakap begitu?”. Ya memang ada hadis tetapi kalau tidak belajar memang akan keliru.

Kalau kita seperti itu, maka kita juga wajar dipanggil ‘musyrikin’. Cuma dinamakan dengan ‘Musyrikin Malaysia’. Hendak kenal mereka, senang sahaja. Apabila dibacakan ayat Al-Qur’an yang menegur mereka, mereka tidak suka dan tidak senang. Mereka tidak suka mendengar hujjah dari Al-Qur’an. Yang mereka suka adalah mendengar hujjah dari guru-guru mereka.

Ada orang yang berkata mereka tidak mengamalkan tawassul pun. Tetapi apabila disebutkan ayat-ayat tauhid kepada mereka, mereka gelisah. Kerana dalam hati mereka ada fahaman syirik. Dia tidak mengamalkannya, tetapi dia berasa yang ia tidak salah.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sebut mereka sebagai orang yang tidak beriman. Allah ‎ﷻ sebut terang-terangan bahawa mereka tidak beriman. Jadi jangan marah kepada pembawa berita ini. Bukan kita yang kata mereka tidak beriman, tetapi Allah ‎ﷻ sendiri.

Mereka juga tidak suka majlis yang hanya memperkatakan tentang Allah ﷻ. Dalam majlis, mereka ingin mengadakan benda-benda lain, cerita-cerita, nasyid dan sebagainya. Mereka berasa bosan kalau hanya bercakap tentang Allah ‎ﷻ sahaja.

Ayat ini bukan hanya tentang syirik sahaja. Ini adalah tentang segala perjumpaan. Kalau sesuatu perjumpaan itu, yang terbaik adalah memperkatakan tentang Allah ‎ﷻ. Tetapi untuk orang-orang yang tidak ada tauhid, mereka tidak selesa kalau percakapan bukan hanya tentang Allah ‎ﷻ sahaja. Akan nampak kegelisahan pada wajah mereka dan mereka sudah mula fikir bagaimana hendak melarikan diri dari kita.

وَإِذَا ذُكِرَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

dan apabila diajak mereka seru kepada roh selain dari Allah, tiba-tiba mereka suka.

Apabila diajak kepada menyeru selain Allah ‎ﷻ, mereka akan terus sokong. Mereka akan terus suka kerana ia bertepatan dengan fahaman mereka yang syirik. Contohnya, kalau kita kata boleh untuk berdoa/beribadat kepada tok wali, para Nabi, malaikat dan sebagainya, mereka pun suka. Mereka jadi suka kalau kita kata boleh buat begitu. Mulalah mereka bertanya, apakah cara-caranya.

Mereka itu tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu Tuhan, dan Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul, tetapi mereka suka pakai hujjah guru-guru mereka.

Mereka juga tidak suka bercerita tentang Allah ‎ﷻ dan tentang agama. Kalau dalam perjumpaan itu, mereka bersembang tentang politik, tentang sukan, tentang wayang, tentang perkara lain selain Allah ‎ﷻ barulah mereka suka. Tetapi bagi orang yang beriman, mereka akan suka bercakap tentang Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 46: Inilah akidah tauhid yang sebenar. Apabila kita sudah memahami tauhid, inilah natijah kepada kefahaman kita. Inilah kata-kata seorang yang faham tauhid.

قُلِ اللَّهُمَّ فاطِرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ عٰلِمَ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ أَنتَ تَحكُمُ بَينَ عِبادِكَ في ما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hambaMu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya”.

قُلِ اللَّهُمَّ فَاطِرَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Katakanlah: Wahai Allah, zat yang mencipta langit dan bumi.

Allah ‎ﷻ mengajar kita cara berdoa. Iaitu berdoa sahaja kepada Allah ‎ﷻ; berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ; bukannya minta kepada Nabi, wali dan malaikat untuk sampaikan doa itu seperti yang banyak dilakukan orang sekarang.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengajar yang doa itu dimulai dengan memuji-Nya. Kena mengaku yang Dia itu adalah Tuhan kita dan Dia yang berkuasa. Puji kedudukanNya sebagai pemilik langit dan bumi ini.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang menjadikan langit dan bumi, maka kita kenalah berdoa dan seru Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan doa dan seru kepada selain Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak jadikan langit dan bumi.

عٰلِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mengetahui perkara yang ghaib. Manusia dan makhluk lain tidak tahu. Kalau ada para Nabi yang tahu perkara ghaib, itu hanya selepas diberitahu oleh Allah ‎ﷻ. Itu pun setakat yang diberitahu sahaja.

Banyak fahaman syirik dalam masyarakat kita yang kata tok guru tahu ilmu ghaib. Sebagai contoh, ada orang Melayu yang takut hendak salam dengan ustaz kerana takut ustaz itu tahu apa yang ada dalam hati dia. Dan sesatlah fahaman golongan Syiah yang kata imam mereka tahu perkara ghaib.

Kalau yang ghaib pun Allah ‎ﷻ tahu, apatah lagi perkara yang nyata. Perkara yang nyata itu walaupun nyata kepada kita, namun pemahaman kita pun tidak sepenuhnya. Masih ada perkara yang tersembunyi juga, tetapi tidak tersembunyi bagi Allah ‎ﷻ. Semuanya nyata bagi Allah ‎ﷻ.

أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِي مَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Engkaulah Allah yang membuat kehakiman antara hambaMu tentang apa yang mereka dulu mereka berselisih (tentang tauhid).

Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh membuat keputusan tentang perbezaan antara ahli tauhid dan ahli syirik. Satu pihak berkata boleh meminta syafaat dari Nabi, satu pihak pula berkata tidak boleh. Jadi manakah yang betul? Sekarang ini masyarakat kita amat keliru. Antara satu fahaman dengan fahaman yang lain. Ada yang kata begini, ada yang kata begitu. Jadi mereka sudah tidak tahu hendak mengikut yang mana satu.

Ada yang kata meminta syafaat dari Nabi sekarang semasa kita hidup di dunia tidak boleh. Itulah yang sebetulnya kalau mengikut hadis. Tetapi ada pula yang berkata boleh minta syafaat di kubur Nabi. Ini semua adalah selisih yang besar. Bukan jenis selisih yang kecil-kecil. Jadi Allah ‎ﷻlah nanti yang akan mengadili di antara manusia nanti siapakah yang betul sebenarnya.

Di akhirat nanti, barulah kita tahu mana yang benar dan mana yang salah. Tetapi itulah masalahnya – kita hanya tahu apabila kita di akhirat kelak. Waktu itu sudah terlambat. Oleh itu bagaimana? Untuk selamat, kita kena lihat apakah dalil-dalil yang dibawa oleh pihak-pihak yang berlainan pendapat ini.

Allah ‎ﷻ telah ajar kepada kita – jikalau ada perselisihan, maka kembali rujuk kepada Al-Qur’an dan Hadis Nabi ﷺ. Maka, kita kena lihat siapakah yang membawa dalil dari Al-Qur’an dan Hadis.

Kita boleh lihat sendiri bagaimana yang mengatakan boleh meminta syafaat kepada Nabi ﷺ semasa di dunia ini lagi walaupun Nabi ﷺ sudah wafat, hujah yang mereka gunakan adalah hujah yang disebut oleh manusia, atau hujah akal sahaja. Padahal, yang mengatakan tidak boleh meminta syafaat dari Nabi ﷺ adalah mereka yang membawakan hujah dari Al-Qur’an dan Hadis. Jadi, kita sebagai orang Islam, mana satu kita hendak ikut? Tepuk dada, tanya iman.

Oleh itu, keputusan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah keputusan secara amali. Keputusan secara teori dan penerangan telah ada dalam Al-Qur’an. Hanya perlu untuk belajar sahaja. Janganlah menunggu keputusan amali baru hendak terima pula.

Allah ‎ﷻ mengajar cara berdoa dalam ayat ini. Ada Doa Iftitah yang menggunakan ayat Al-Qur’an ini. Imam Muslim رحمه الله di dalam kitab sahihnya mengatakan:

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ يُونُسَ، حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّارٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي كَثِيرٍ، حَدَّثَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا] بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْتَتِحُ صَلَاتَهُ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ؟ قَالَتْ: كَانَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ افْتَتَحَ صَلَاتَهُ: “اللَّهُمَّ رب جبريل وميكائيل وإسرافيل، فاطر السموات وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ”

Telah menceritakan kepada kami Abdu ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Yunus, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Amar, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Abu Kasir, telah menceritakan kepadaku Abu Salamah ibnu Abdur Rahman yang mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Siti Aisyah (رضي الله عنها) tentang doa pembukaan yang selalu dibaca oleh Rasulullah ﷺ dalam salatnya di malam hari. Maka Siti Aisyah menjawab bahawa baginda apabila bangkit di malam harinya mengerjakan salat, baginda membukanya dengan bacaan berikut: Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil, Pencipta langit dan bumi, Yang mengetahui hal yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah Yang memutuskan antara hamba-hamba-Mu tentang apa yang selalu mereka memperselisihkannya. Tunjukilah aku kepada kebenaran dari apa yang diperselisihkan itu, dengan seizin-Mu, sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.

Oleh itu, kita boleh gunakan ayat ini untuk memulakan doa kita kerana ia menggunakan nama Allah ‎ﷻ dan memuji-muji-Nya. Permulaan doa elok dimulakan dengan memuji-muji Allah ‎ﷻ sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.


 

Ayat 47: Takhwif Ukhrawi. Penting untuk kita tahu manakah jalan yang benar, kerana kalau tidak, kita akan bermasalah besar nanti di akhirat kelak. Kerana di akhirat kelak, tidak diterima segala tebusan atau rasuah.

وَلَو أَنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا ما فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ مِن سوءِ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ ۚ وَبَدا لَهُم مِنَ اللهِ ما لَم يَكونوا يَحتَسِبونَ

Dan sekiranya orang-orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat, setelah jelas nyata kepada mereka dari (hukum) Allah, azab yang mereka tidak pernah fikirkan.

وَلَوْ أَنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا وَمِثْلَهُ مَعَهُ

Dan kalaulah orang-orang yang menzalimi diri sendiri (dengan buat syirik) memiliki harta seluruh bumi atau sekali ganda lagi,

Maksud ‘menzalimi diri mereka sendiri’ adalah mereka melakukan syirik. Kerana syirik itu adalah zalim yang paling besar. Bagaimanakah keadaan mereka di akhirat kelak? Tentu mereka dalam ketakutan kerana mereka akan dinampakkan dengan neraka yang akan menjadi rumah mereka.

Kalaulah mereka ada banyak harta. Banyak mana? Sebanyak seluruh bumi, atau dua kali ganda dari itu. Tentulah tidak ada orang yang ada harta seperti. Tetapi, katakanlah mereka ada. Apa yang mereka akan buat?

لَافْتَدَوْا بِهِ مِنْ سُوءِ الْعَذَابِ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Nescaya mereka akan tebus dengan harta itu daripada keburukan azab api neraka pada hari kiamat.

Mereka rela mengeluarkan harta walau sebanyak mana pun, walaupun sebanyak dua kali ganda dunia itu, asalkan mereka boleh selamat dari azab api neraka itu. Waktu itu, mereka sudah tidak peduli dengan harta-harta yang banyak itu. Mereka akan sanggup berikan semua sekali apa yang mereka ada. Ini adalah kerana mereka sangka yang akhirat itu seperti dunia, yang mana di dunia dahulu boleh beri rasuah untuk selamatkan diri.

Malangnya, dalam ayat yang lain ada disebut yang segala apa yang mereka berikan itu tidak akan diterima. Ini disebut dalam Ali Imran:91.

وَبَدَا لَهُمْ مِنَ اللهِ مَا لَمْ يَكُونُوا يَحْتَسِبُونَ

dan zahirlah bagi mereka daripada Allah, apa yang mereka tidak fikir akan kena pada mereka.

Dahulu mereka tidak sangka mereka akan dikenakan azab sebegini. Mereka tidak yakin kerana mereka tidak belajar. Sedangkan orang yang beriman, mereka belajar dan kerana itu mereka yakin tentang akhirat dan balasannya.

Orang yang zalim itu sangka mereka akan selamat. Kerana mereka senang di dunia, mereka sudah banyak minta syafaat dari Nabi ﷺ, telah banyak membuat amal (tetapi sebenarnya amal bidaah), jadi mereka sangka mereka akan selamat.

Semasa di dunia mereka tidak nampak, namun di akhirat nanti, sudah zahir nyata kepada mereka apakah kesalahan yang mereka telah lakukan dan telah nyata apa yang akan dikenakan kepada mereka. Tetapi kalau waktu itu baru sedar, maka ia sudah terlambat kerana tidak boleh berbuat apa-apa lagi pada waktu itu.

Apa yang mereka lihat itu mereka tidak dapat dibayangkan semasa di dunia. Apa sahaja azab yang kita cuba bayangkan, ia jauh lebih lagi dari apa yang dapat dibayangkan. Jadi jangan kita sangka yang kita boleh hadap dan terima azab itu kerana ia adalah azab yang amat dahsyat sekali.

Termasuk mereka yang ditegur dalam ayat ini adalah orang yang beramal tetapi tidak ikhlas. Mereka tidak sangka yang amal mereka yang banyak itu tidak ada harga. Mereka sangka amal mereka banyak dan mereka pasti masuk syurga. Namun sebenarnya amalan mereka itu tidak ikhlas dan tidak laku sama sekali. Alangkah malangnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s