Anfal Ayat 47: Ayat zajrun (ayat teguran). Dalam perjuangan agama, antara perkara paling penting adalah ikhlas. Ikhlas dalam beribadat dan berjuang kerana Allah ﷻ. Sedangkan golongan Musyrikin Mekah adalah golongan yang tidak ada maksud keagamaan. Walaupun mereka doa kepada Allah ﷻ dengan memegang kelambu Kaabah, tetapi mereka buat itu adalah dengan tujuan memperlihatkan kehebatan mereka kepada orang lain.
Memang mereka ada berdoa kepada Allah ﷻ tetapi mereka ada juga berdoa kepada selain Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak beritahu kita sifat mereka dalam ayat ini. Walaupun ayat ini tentang Musyrikin Mekah, tetapi ayat ini ditujukan kepada semua orang lain dan kita kenalah ambil perhatian supaya jangan jadi begitu. Maka Allah ﷻ sambung nasihat kepada para pejuang di dalam ayat ini.
وَلا تَكونوا كَالَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النّاسِ وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ بِما يَعمَلونَ مُحيطٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And do not be like those who came forth from their homes insolently and to be seen by people and avert [them] from the way of Allāh. And Allāh is encompassing¹ of what they do.
- In knowledge. See 2:19.
(MALAY)
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya’ kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan.
وَلا تَكونوا كَالَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النّاسِ
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya’ kepada manusia
Allah ﷻ mengingatkan kita supaya jangan jadi seperti pihak kafir Mekah yang keluar dari Mekah dalam keadaan sombong. Mereka sombong untuk menerima kebenaran. Kemudian mereka bongkak dan berasa mereka kuat sangat dan boleh menghancurkan puak Muslim itu. Maka ayat ini menceritakan sifat mereka supaya kita jangan jadi seperti mereka. Sifat angkuhlah yang menyebabkan kuasa-kuasa dunia dahulukala jatuh terduduk. Kita umat Islam pernah kekalahan di dalam Perang Hunain kerana sombong dengan ramainya tentera Islam pada waktu itu.
Lafaz بَطَرًا bermaksud angkuh iaitu menunjukkan diri yang ada status yang tinggi. Ini adalah seperti seorang pengurus syarikat yang melayan pekerjanya dengan kurang ajar dan tidak patut. Mereka jadi begitu kerana kekayaan dan kekuasaan mereka. Inilah sifat yang ditunjukkan oleh Musyrikin Mekah apabila mereka keluar untuk berperang dengan pihak Muslim di Madinah.
Mereka juga berjuang untuk memperlihatkan kepada orang ramai betapa hebatnya mereka. Sudahlah mereka sombong tidak mahu terima kebenaran, kemudian tujuan jihad mereka pun salah. Yang mereka hendak adalah nama mereka diagung-agungkan.
كما قال أبو جهل – لما قيل له : إن العير قد نجا فارجعوا – فقال : لا والله لا نرجع حتى نرد ماء بدر ، وننحر الجزر ، ونشرب الخمر ، وتعزف علينا القيان ، وتتحدث العرب بمكاننا فيها يومنا أبدا
Seperti dikatakan oleh Abu Jahal ketika dikatakan kepadanya, “Kafilah Quraisy telah selamat (daripada penghadangan pasukan kaum mukmin), maka kembalilah.” Tetapi Abu Jahal berkata “Tidak, demi Allah, kami tidak akan kembali sebelum sampai di mata air Badr, lalu menyembelih unta dan minum-minum khamr serta mendengarkan nyanyian para biduan yang bernyanyi untuk kami. Kemudian kelak orang-orang Arab semuanya akan membicarakan perihal kekuatan kami pada hari itu untuk selama-lamanya.” (Rujuk Tafsir Ibnu Kathir)
Dari sini kita tahu yang tujuan asal mereka untuk keluar menuju ke Badr sudah tidak ada. Mereka boleh sahaja berpatah balik apabila maklumat telah diterima yang kafilah Abu Sufyan telah selamat. Namun mereka tetap teruskan juga kerana mereka hendak memusnahkan umat Islam, kononnya.
Mereka sangka mereka boleh menang kerana mereka tahu yang mereka ramai dan kuat. Akhirnya mereka telah kalah. Maka Allah ﷻ mengajar umat Islam jangan jadi bongkak, angkuh dan sombong dengan kekuatan yang ada. Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong sedikit pun. Sabda Nabi Muhammad ﷺ:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.
(Sahih Muslim (51))
وَيَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ
serta menghalangi (orang) dari jalan Allah.
Tujuan mereka keluar berperang adalah hendak menghalang manusia sekitar tanah Arab daripada masuk Islam. Mereka bertujuan untuk menghancurkan Islam terus dari muka bumi. Begitu tingginya kebencian mereka kepada agama Islam yang menegur kesalahan fahaman dan amalan mereka. Manusia memang tidak suka diperbetulkan. Mereka lebih suka terus dengan amalan lama, tidak kira benar atau salah.
وَاللَّهُ بِما يَعمَلونَ مُحيطٌ
Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan.
Tujuan mereka itu tidak dapat mereka capai kerana Allah ﷻ meliputi mereka dengan ilmu-Nya. Mereka seperti dalam pagar dan tidak boleh keluar kerana telah diliputi. Mereka sangka mereka berkuasa penuh tetapi sebenarnya tidak. Mereka sahaja yang rasa begitu.
Dengan kata lain, Allah ﷻ mengetahui niat yang mendorong kedatangan mereka dan untuk apa mereka datang. Kerana itulah Allah ﷻ menimpakan pembalasan yang sangat buruk terhadap mereka.
Anfal Ayat 48: Ini adalah sebab keempat kenapa harta rampasan perang itu ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini adalah kerana peperangan itu adalah daripada kehendak Allah ﷻ. Sebelum mereka keluar, iblis telah menghasut mereka untuk pergi menentang Nabi ﷺ. Ini adalah atas takdir Allah ﷻ juga kerana Allah ﷻ hendak perang Badr itu berjalan juga.
Sewaktu mereka sedang berbincang untuk keluar berperang, syaitan datang kepada mereka dengan menyerupai sebagai seorang manusia. Mereka tidak bulat hati hendak keluar pada waktu itu. Dalam riwayat dikatakan iblis datang dalam rupa seorang pemimpin masyarakat bernama Suraqah ibnu Malik ibnu Ju’syum, pemimpin Bani Mudlaj, orang yang disegani di kawasan itu. Iblis datang dalam bentuk dia kerana lelaki itu terkenal sebagai seorang yang pandai dalam peperangan.
Tujuannya hendak menyesatkan dan memberi semangat kepada orang Mekah. Allah ﷻ yang menghantar syaitan itu supaya orang kafir berani untuk melawan orang Islam.
Maka ini adalah Perenggan Makro yang ke-6: Peranan Syaitan. Di sini kita belajar bahawa syaitan itu adalah penasihat utama orang kafir yang hendak menentang Islam.
وَإِذ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم وَقالَ لا غالِبَ لَكُمُ اليَومَ مِنَ النّاسِ وَإِنّي جارٌ لَّكُم ۖ فَلَمّا تَراءَتِ الفِئَتانِ نَكَصَ عَلىٰ عَقِبَيهِ وَقالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكُم إِنّي أَرىٰ ما لا تَرَونَ إِنّي أَخافُ اللَّهَ ۚ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [remember] when Satan made their deeds pleasing to them and said, “No one can overcome you today from among the people, and indeed, I am your protector.” But when the two armies sighted each other, he turned on his heels and said, “Indeed, I am disassociated from you. Indeed, I see what you do not see; indeed, I fear Allāh. And Allāh is severe in penalty.”
(MALAY)
Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu”. Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang seraya berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah”. Dan Allah sangat keras seksa-Nya.
وَإِذ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم
Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka
Syaitan yang menjelma kepada mereka itu telah memperlihatkan amalan kufur mereka nampak baik dalam bentuk memberi sokongan kepada mereka. Lafaz أَعمالَ selalunya digunakan untuk amalan yang baik, kecualilah kalau ditambah dengan lafaz ‘buruk’ untuk menunjukkan yang itu adalah amalan buruk. Maka apakah maksud lafaz أَعمالَ dalam ayat ini kerana tidak dikatakan ia adalah amal yang buruk?
Maksudnya, memang amal yang dimaksudkan adalah amal mereka yang baik. Walaupun mereka itu musyrik, tetapi tentulah mereka ada juga amalan yang baik. Sebagai contoh, mereka itu adalah penjaga Kaabah. Maka, syaitan memuji mereka dalam kerja mereka yang telah menjaga Kaabah selama hari ini.
Syaitan menjadikan mereka berasa sedap hati, sampai mereka rasa mereka sebagai penjaga Kaabah boleh berbuat apa sahaja sampai mereka sangka apa yang mereka lakukan itu adalah untuk kebaikan. Ini kerana pada mereka, merekalah di pihak yang benar. Iblis menghasut mereka supaya mereka berasa begitu. Bagi mereka, mereka menyerang bertujuan untuk menghancurkan umat Islam itu adalah kerana mereka membuat kebaikan. Kerana itulah mereka berdoa di Kaabah kepada Allah ﷻ untuk memberi kemenangan kepada pihak yang paling baik (الهم انصر اهدى الطائفتين ya Allah, berikan bantuan kepada pihak yang paling terpimpin di antara dua kumpulan ini).
Oleh itu, kenalah berhati-hati dengan bisikan syaitan ini. Dia memang pandai menipu manusia. Dia akan buat bagi kita rasa kitalah yang benar dengan memuji diri kita. Pujiannya itu supaya menjadikan kita rasa tindakan kita itu benar. Sebagai contoh, dia akan kata kita ini sudah lama beribadah, takkan ibadah kita itu salah? Sedangkan entah ibadah itu ikhlas atau tidak, sunnah atau bid’ah. Kerana itu ramai yang menolak ajakan dakwah sunnah kerana rasa mereka sudah melakukan banyak ibadah dan sudah pandai.
Satu lagi cara syaitan adalah menampakkan amal buruk kita nampak baik. Ini seperti zikir-zikir bid’ah yang banyak diamalkan. Ia tidak baik, tetapi syaitan menghiasinya sehingga nampak baik.
وَقالَ لا غالِبَ لَكُمُ اليَومَ مِنَ النّاسِ
dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini,
Syaitan berkata dalam penipuannya itu: “Tiada yang boleh mengalahkan kamu pada hari ini dalam kalangan manusia”. Ini kerana syaitan mahu mereka berasa mereka hebat, boleh mengalahkan sesiapa sahaja. Syaitan menghasut agar mereka berasa mereka amat kuat dan tidak akan kalah dan supaya mereka tidak takut untuk keluar berperang dengan umat Islam di Madinah. Ini kerana mereka pada waktu itu takut kalau mereka keluar, nanti Mekah diserang pula. Tetapi iblis beritahu yang mereka tidak boleh diserang dan dikalahkan.
Di sini kita boleh tahu salah satu cara syaitan menghasut manusia. Selalunya mereka akan membisikkan was-was dan ajakan ke dalam hati manusia. Adakalanya mereka akan menjelma terus untuk menghadapi manusia dan mengajak mereka ke lembah durjana. Maka jangan senang-senang sahaja ikut orang lain tanpa usul periksa sama ada benar atau tidaknya ajakannya itu kerana entah-entah dia adalah syaitan yang menjelma sebagai manusia.
وَإِنّي جارٌ لَّكُم
dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu”.
Syaitan berkata dia sendiri akan menolong dan membantu mereka dalam mempertahankan mereka. Lafaz جارٌ bermaksud ‘jiran’ kerana dia pun akan ikut serta dalam kumpulan kafir itu. Dia pun sudah duduk bersebelahan dengan mereka. Namun ingat, tidaklah dia menampakkan dirinya sebagai syaitan tetapi sebagai seorang manusia.
Kata-kata iblis ini telah memberi semangat kepada mereka. Ini kerana Musyrikin Mekah sebenarnya ada satu isu yang menyebabkan mereka tidak terus pergi ke Badr. Ini adalah kerana mereka ada satu lagi ancaman daripada puak lain iaitu Banu Bakar. Mereka takut jikalau mereka pergi ramai-ramai ke Badr, Mekah tidak ada pelindung lagi dan mereka takut anak-anak dan wanita mereka akan diganggu oleh Banu Bakar.
Namun apabila iblis datang merupai Suraqah ibnu Malik itu, mereka menjadi lega untuk meninggalkan Mekah kerana Suraqah ibnu Malik itu datang dari tempat yang berdekatan dengan Banu Malik itu. Mereka percaya kata-kata iblis yang mereka orang Mekah tidak boleh dikalahkan oleh sesiapa pun termasuk Banu Bakar itu dan kalau jadi apa-apa pun, dia (Suraqah ibnu Malik) akan bantu.
فَلَمّا تَراءَتِ الفِئَتانِ نَكَصَ عَلىٰ عَقِبَيهِ
Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu berpusing balik ke belakang
Lafaz نَكَصَ عَلىٰ عَقِبَيهِ bermaksud ‘dia berpatah balik atas tumitnya’. Maksudnya, apabila dua kumpulan itu saling pandang memandang, syaitan itu menghilangkan diri daripada pasukan kafir itu.
Ini adalah kerana dia nampak ramai para malaikat mula turun. Dia takut kerana kalau malaikat pukul mereka, mereka akan rasa sakit. Kerana itu mereka lari. Oleh itu, syaitan yang datang untuk menghasut orang kafir itu telah lari dan mereka tidak meneruskan peperangan dengan kafir Mekah.
Memang jin syaitan takut dengan malaikat. Maka kita jangan takut dengan jin syaitan kerana bersama dengan kita adalah malaikat yang menjaga kita. Tapi masyarakat Melayu kita ini selalu ditakutkan dengan kisah hantu, jin dan syaitan sampai takut tidak tentu arah.
Di sini Allah ﷻ hanya sebut الفِئَتانِ (dua puak) yang berperang sahaja. Allah ﷻ tidak perlu sebut satu itu puak Islam dan satu lagi puak kafir. Ini kerana puak Islam tidak sepatutnya berperang sesama sendiri.
وَقالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكُم
seraya berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu,
Maksudnya, iblis berlepas diri daripada membantu Musyrikin Mekah. Terus tidak jadi membantu kerana dia tidak sanggup lagi. Tentera Musyrikin Mekah nampak Suraqah dan konconya meninggalkan mereka di medan perang begitu sahaja.
Kemudian nanti di Mekah mereka telah berjumpa dengan Suraqah dan memarahinya kerana meninggalkan mereka di medan perang. Suraqah kata dia tidak pernah pergi dengan mereka dan hanya tahu tentang kekalahan mereka itu sekembalinya mereka ke Mekah.
إِنّي أَرىٰ ما لا تَرَونَ
sesungguhnya aku melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat;
Iblis dan syaitan lari kerana mereka nampak apa yang pihak kafir itu tidak nampak – iaitu nampak malaikat. Namun tidaklah dia bercakap dengan orang Mekah itu. Dia cuma kata kepada dirinya sahaja. Allah ﷻ sebutkan kembali apa yang dikatakan olehnya untuk pengetahuan kita.
Atau boleh jadi memang dia ada berkata begitu kepada Musyrikin Mekah itu. Ini seperti yang disebut di dalam satu hadis:
وقال علي بن أبي طلحة ، عن ابن عباس قال : جاء إبليس يوم بدر في جند من الشياطين ، معه رايته ، في صورة رجل من بني مدلج ، والشيطان في صورة سراقة بن مالك بن جعشم ، فقال الشيطان للمشركين : ( لا غالب لكم اليوم من الناس وإني جار لكم ) فلما اصطف الناس أخذ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قبضة من التراب فرمى بها في وجوه المشركين ، فولوا مدبرين وأقبل جبريل ، عليه السلام ، إلى إبليس ، فلما رآه – وكانت يده في يد رجل من المشركين – انتزع يده ثم ولى مدبرا هو وشيعته ، فقال الرجل : يا سراقة ، أتزعم أنك لنا جار ؟ فقال : ( إني أرى ما لا ترون إني أخاف الله والله شديد العقاب ) وذلك حين رأى الملائكة .
Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa iblis datang pada hari Perang Badar bersama pasukan syaitan yang dibawanya, sedangkan panjinya dia sendiri yang memegang. Iblis saat itu merupakan dirinya dalam bentuk seorang lelaki dalam kalangan Bani Mudlaj, iaitu dalam rupa Suraqah ibnu Malik ibnu Ju’syum. Lalu syaitan berkata kepada kaum musyrik, “Tidak ada seorang pun yang dapat mengalahkan kalian pada hari ini, dan sesungguhnya saya ini adalah pelindung kalian.” Tetapi ketika kedua belah pihak berhadap-hadapan, Rasulullah ﷺ mengambil segenggam pasir dan melemparkannya ke arah wajah orang-orang musyrik, maka mereka mundur ke belakang. Dan Malaikat Jibril عليه السلام datang mengejar iblis. Ketika iblis melihatnya—saat itu tangan iblis memegang tangan salah seorang daripada pasukan kaum musyrik— maka dengan serta merta iblis menarik tangannya, lalu lari terbirit-birit bersama pasukannya. Maka lelaki yang dipeganginya itu berkata.”Hai Suraqah, bukankah kamu mengatakan bahawa kamu adalah pelindung saya?” Iblis berkata yang direkod oleh firman-Nya: Sesungguhnya saya dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; sesungguhnya saya takut kepada Allah. Dan Allah sangat keras seksa-Nya. (Al-Anfal: 48) Demikian itu terjadi ketika iblis melihat para malaikat.
إِنّي أَخافُ اللَّهَ
sesungguhnya aku takut kepada Allah”.
Syaitan kata dia takut kepada Allah ﷻ. Namun bukankah ‘takut kepada Allah ﷻ’ itu adalah perkara yang baik? Adakah syaitan beriman pula? Tentulah tidak. Ada pendapat yang mengatakan dia menipu sahaja. Ada yang mengatakan memang dia benar-benar takut kepada Allah ﷻ. Akan tetapi takut tanpa iman tidak bererti apa-apa.
Maksud ‘takut’ di sini bukan takut biasa, tetapi takut kepada pukulan Allah ﷻ. Dia tahu dia akan sakit sekiranya dipukul oleh para malaikat. Dia bukan takut mati kerana dia tidak mati sampai hari kiamat. Cuma dia takut sakit.
Jadi di sini syaitan meninggalkan kawannya dari kalangan manusia. Sudah menjadi kebiasaan syaitan untuk mengajak manusia melakukan keburukan dan kemudian akan meninggalkan mereka. Ini juga disebut di dalam [ Hashr: 16 ]
كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ
Ini seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.
وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ
Dan Allah sangat keras seksa-Nya.
Sesungguhnya seksaan Allah ﷻ amat keras dan tidak sanggup dihadapi oleh sesiapa pun.
Maka di sini kita tahu yang iblis kenal Allah ﷻ dan malah takut kepada Allah ﷻ. Dia cuma memberikan janji kosong sahaja kepada manusia. Nanti akan ditinggalkannya sesiapa yang mengikutinya. Jadi kita kena ingat yang syaitan tidak ada kuasa untuk mengawal manusia, cuma dia boleh ajak sahaja. Dan begitulah nanti di neraka pun dia akan beri khutbah kepada pengikutnya yang telah tertipu seperti disebut dalam [ Ibrahim: 22 ]
وَقالَ الشَّيطانُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم ۖ وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِن سُلطانٍ إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي ۖ فَلا تَلوموني وَلوموا أَنفُسَكُم ۖ ما أَنا بِمُصرِخِكُم وَما أَنتُم بِمُصرِخِيَّ ۖ إِنّي كَفَرتُ بِما أَشرَكتُمونِ مِن قَبلُ ۗ إِنَّ الظّالِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ
Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.
Habis Ruku’ 6 daripada 10 ruku’ surah ini.
Anfal Ayat 49: Ini adalah sebab kelima kenapa pembahagian harta ghanimah itu perlu diserahkan kepada Allah ﷻ untuk pembahagiannya. Allah ﷻ memberitahu, semasa orang Islam Madinah keluar untuk bertemu dengan pasukan musuh, golongan munafik sudah mula mengata-ngata tentang orang Islam. Mereka kata orang mukmin telah ditipu oleh agama. Tapi Allah ﷻ kuatkan juga semangat orang mukmin untuk berperang.
إِذ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ غَرَّ هٰؤُلاءِ دينُهُم ۗ وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Remember] when the hypocrites and those in whose hearts was disease [i.e., arrogance and disbelief] said, “Their religion has deluded those [Muslims].” But whoever relies upon Allāh – then indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.
(MALAY)
(Ingatlah), ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: “Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya”. (Allah berfirman): “Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
إِذ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ
ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata:
Allah ﷻ mengeluarkan semula kata-kata orang munafik dan orang yang ada dalam hati mereka penyakit kufur. Mereka itu tidak keluar untuk pergi berperang, cuma sibuk mengata-ngata dan berbuat kerosakan dalam hati dan fikiran manusia lain. Akidah mereka sendiri pun sudah rosak, tetapi mereka mahu rosakkan orang lain pula.
Allah ﷻ menggunakan kalimah يقول yang di dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense) di sini. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberi isyarat yang perbuatan ini berterusan dilakukan oleh golongan yang seperti mereka. Jika Allah ﷻ menggunakan kalimah قال (telah berkata) maka itu merujuk kepada perbuatan sekali itu sahaja.
Munafik adalah orang yang berpura-pura beriman tetapi siapa pula yang ada ‘penyakit’ dalam hatinya itu? Mereka itu sebenarnya orang beriman, tetapi iman mereka lemah. Penyakit yang ada di dalam hati mereka itu adalah penyakit syak di mana mereka tidak yakin lagi dengan agama Islam dan Rasulullah ﷺ.
Ini adalah peringkat pertama kufur iaitu syak dan tidak yakin. Sekiranya tidak ditangani (dengan ilmu) maka ia akan menjadi lebih teruk lagi. Mereka boleh menjadi munafik terus atau kafir terus. Allah ﷻ berfirman dalam [ Baqarah: 10 ]
فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضًا
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka;
Biasa sahaja kalau ada manusia yang syak dengan perkara yang baru seperti Islam ini. Jarang ada yang terus beriman (kerana mungkin sebelum itu mereka mencari-cari kebenaran). Masih ada isu yang bermain-main di fikiran mereka. Namun jangan dibiarkan sahaja. Kenalah buat kajian untuk memastikan mana yang benar. Mesti banyak bertanya dengan orang yang pandai untuk menjawab persoalan-persoalan yang ada di dalam minda.
Kalau tidak, akan menjadi lebih teruk iaitu kufur peringkat kedua. Ini adalah apabila sudah mula menolak tetapi di dalam hati. Peringkat ketiga adalah menolak dengan mulut dan perbuatan dan akhirnya peringkat keempat Allah ﷻ akan menutup pintu hati (qatmul qalbi) daripada menerima hidayah terus.
Di sini kita dapat dalil bahawa penyakit itu ada dua: penyakit fizikal/jasmani dan penyakit hati. Yang dihadapi di dalam ayat ini adalah penyakit hati. Ia adalah amat bahaya kerana ia menjerumuskan ke lembah kehinaan. Namun ramai buat tidak kisah sahaja. Kebanyakan manusia lebih sibuk dengan fizikal, bukan? Sedangkan sepatutnya penyakit hatilah yang mereka ubati dengan segera.
Apa kata orang-orang munafik dan lemah iman itu?
غَرَّ هٰؤُلاءِ دينُهُم
“Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya”.
Orang-orang munafik itu berkata, agama Islam yang dianuti oleh Muslim telah memperdayakan kehidupan orang Islam itu, telah mengheret mereka sampai mati. Ini adalah kata-kata mereka tentang para sahabat yang menyertai Nabi ﷺ. Mereka berkata, puak Muslim itu tertipu dengan agama sampai menyebabkan mereka akan terbunuh. Kata-kata ini bahaya kerana boleh melemahkan semangat orang mukmin yang mendengarnya.
Juga boleh dimaksudkan yang berkata begitu adalah puak Musyrikin Mekah. Ketika mereka melihat jumlah sahabat Nabi ﷺ yang sedikit, maka mereka berkata, “Mereka itu ditipu oleh agamanya, hingga dengan kekuatan yang sedikit itu mereka nekad juga datang ke medan perang, padahal jumlah musuh mereka banyak.”
Lebih spesifik lagi, apakah ‘penipuan’ yang mereka maksudkan? Iaitu janji Allah ﷻ akan beri kemenangan. Orang munafik, yang lemah iman, dan Musyrikin Mekah kata orang Mukmin telah ditipu dengan janji itu, sampaikan sanggup menyerah diri untuk mati.
وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
“Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
Walaupun ada orang yang cuba merosakkan fikiran orang Islam, namun untuk orang yang hatinya bertawakal kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan menjaga hati mereka daripada terpesong. Allah ﷻ akan bantu umat Islam setelah kita menyempurnakan syariat yang ditetapkan, kerana Allah ﷻ itu maha perkasa – boleh mengalahkan musuh. Itulah maksud al-Aziz.
Maksud حكيم pula adalah حاكم (pemberi hukum) dan حكمة (kebijaksanaan). Maksudnya Allah ﷻ yang menentukan segalanya dengan memberi hukum dan segala keputusan daripada Allah ﷻ itu adalah amat bijaksana. Oleh kerana itu senanglah hati kita untuk tawakal dan serahkan urusan kita kepada Allah ﷻ. Ini juga yang kita belajar dalam [ Talaq: 3 ]
وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ
Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.
Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ﷻ berikan galakan kepada para sahabat yang keluar berperang di Badr. Mereka telah keluar berperang kerana mereka yakin dengan janji Allah ﷻ yang Dia akan memberi kemenangan kepada mereka. Oleh itu, mereka telah bertawakal kepada Allah ﷻ kerana kalau mereka tidak ada tawakal dan tidak ada iman, mereka tidak akan keluar. Mereka tidak hiraukan kata-kata golongan munafik itu.
Di sini Allah ﷻ memberitahu kita yang Dia akan beri kemenangan kepada sesiapa yang tawakal kepada-Nya. Walaupun dari segi lahiriah nampak lemah, akan tetapi Allah ﷻ berkuasa untuk memberi kemenangan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Bukan di dunia sahaja tetapi di akhirat. Anda hendak masuk syurga tanpa hisab? Maka hendaklah bertawakal kepada Allah ﷻ. Dalilnya adalah sebuah hadith diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda:
يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Tujuh puluh ribu daripada umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tatayyur, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakkal pada Rabbnya.”
(Riwayat al-Bukhari (5752) dan Muslim (220))
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 1 Disember 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan