Tafsir Surah Anfal Ayat 53 – 57 (Biar orang kafir takut dengan Muslim)

Ayat 53:

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because Allāh would not change a favor which He had bestowed upon a people until they change what is within themselves. And indeed, Allāh is Hearing and Knowing.

(MALAY)

(Seksaan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ

yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum,

Lafaz ذٰلِكَ itu bermaksud: demikian sunnatullah. Terdapat jumlah muqaddar di sini: Demikianlah Allah azab orang yang kufur dan yang derhaka supaya kamu semua menyakini.

Allah tidak akan mengubah apa-apa nikmat yang diberikan kepada manusia, sehingga mereka mengubah pendirian mereka. Selagi mereka melakukan taat kepada Allah, Allah akan berlaku baik kepada mereka dan terus memberi nikmat kepada mereka.

 

حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم

hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri,

Maksudnya, nikmat yang Allah beri sebelum itu, Dia tidak tarik sehinggalah manusia mengubah sifat dari beriman kepada kufur. Apabila sudah jadi begitu baru Allah tarik nikmat.

Lafaz ‘ubah’ yang dimaksudkan itu bukanlah ubah atau ikhtiar dalam bentuk dunia tapi dalam bentuk agama. Memang ramai yang salah sangka ubah keadaan dunia mereka. Jadi mereka berusaha untuk mengubah rancangan mereka, cara hidup mereka, fikiran mereka dan sebagainya untuk mengubah keadaan mereka. Bukan itu yang Allah maksudkan. Yang Allah maksudkan adalah perubahan dari segi iman dan amal ibadah.

Nikmat yang dimaksudkan dalam konteks surah ini adalah: Musyrikin Mekah itu telah diberikan dengan segala kemudahan, mereka dihormati kerana jaga Masjidilharam. Kalau mereka pergi ke mana-mana tempat dalam tanah Arab, orang tempat itu akan hormat dan tidak kacau mereka kerana penduduk hormat sungguh dengan Kaabah.

Inilah nikmat besar yang telah diberikan kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi apabila mereka tidak jaga akidah mereka, amal mereka, tidak taat kepada Allah, jadi walaupun mereka penjaga Kaabah, mereka tetap dikalahkan oleh Allah. Allah tarik segala nikmat keamanan dan kesenangan yang mereka ada sebelum ini.

Seperti juga Allah telah beri kekayaan dan kuasa kepada Firaun, kaum Aad dan sebagainya, dan Allah tarik balik apabila mereka engkar.

Begitu jugalah dengan keadaan kita sekarang. Kalau kita sedang menikmati segala nikmat kesenangan yang Allah berikan, Allah juga tidak tarik sehinggalah kita sudah meninggalkan agama kita. Berapa banyak kerajaan Islam telah dikalahkan kerana mereka telah meninggalkan amalan agama yang benar?

Allah Swt. menyebutkan tentang keadilan dan kebijaksanaan-Nya dalam hukum yang telah ditetapkan-Nya, bahawa Dia tidak akan mengubah suatu nikmat yang telah Dia berikan kepada seorang hamba kecuali disebabkan dosa yang dikerjakan hamba yang bersangkutan, seperti yang disebutkan oleh ayat lain melalui firman-Nya:

{إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْوَالٍ}

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (Ar-Ra’d: 11)

Jadi, ayat dari Surah Ra’d itu juga ramai yang salah faham. Ramai yang tafsir ayat ini hanya berkenaan keduniaan sahaja, sedangkan yang dimaksudkan adalah perkara dalam hal agama.

 

وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah tahu apa yang dilakukan oleh manusia. Maka tidaklah salah kalau Allah buat tindakan yang menyebabkan kesusahan kepada mereka. Ini adalah kerana kesalahan mereka sendiri.


Ayat 54: Allah beri contoh perubahan nikmat yang telah diberikan kepada manusia engkar sebelum puak Musyrikin Mekah. Dalam ayat ini juga ada takhwif ukhrawi.

كَدَأبِ آلِ فِرعَونَ ۙ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِآياتِ رَبِّهِم فَأَهلَكناهُم بِذُنوبِهِم وَأَغرَقنا آلَ فِرعَونَ ۚ وَكُلٌّ كانوا ظالِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and of those before them. They denied the signs of their Lord, so We destroyed them for their sins, and We drowned the people of Pharaoh. And all [of them] were wrongdoers.

(MALAY)

(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya maka Kami membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya dan Kami tenggelamkan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya; dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.

 

كَدَأبِ آلِ فِرعَونَ

(keadaan mereka) serupa dengan keadaan golongan Fir’aun

Azab yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah itu macam juga yang dikenakan kepada ahli-ahli Firaun juga. Mereka dapat segala nikmat keduniaan tapi kerana mereka menolak ayat-ayat Allah, maka mereka juga dikenakan dengan azab.

 

وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

serta orang-orang yang sebelumnya. 

Dan perkara yang sama juga dikenakan kepada orang lain sebelum zaman Firaun itu lagi. Zaman berzaman dikenakan azab kepada mereka yang engkar. Ini adalah sunnatullah.

 

كَذَّبوا بِآياتِ رَبِّهِم

Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya

Ini adalah kerana mereka telah mendustakan ayat-ayat Allah apabila sampai wahyu itu kepada mereka. Apabila mereka tolak sahaja wahyu dari Allah, maka mereka ditarik dari nikmat yang ada pada mereka.

Lihatlah bagaimana Firaun sudah tidak lagi memerintah sedangkan mereka dulu amat kuat sekali. Ini adalah kerana Allah tarik nikmat yang diberikan kepadanya dan mana-mana kaum pun. Kita kena ambil pengajaran dari ayat ini.

 

فَأَهلَكناهُم بِذُنوبِهِم

maka Kami membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya

Allah telah binasakan mereka disebabkan oleh dosa-dosa mereka. Bukan kerana Allah sengaja nak azab mereka. Memang mereka itu layak dikenakan dengan azab.

 

وَأَغرَقنا آلَ فِرعَونَ

dan Kami tenggelamkan Fir’aun

Dan khusus kepada ahli-ahli Firaun, Allah telah tenggelamkan Firaun dan kumpulannya.

 

وَكُلٌّ كانوا ظالِمينَ

dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.

Mereka semua dikenakan dengan azab yang teruk kerana mereka telah menzalimi diri mereka sendiri.

 


Ayat 55: Ayat zajrun lagi. Dan sekarang kita masuk ke perenggan Makro yang seterusnya dalam surah ini. Allah mengajar kita bagaimana kita patut bersikap terhadap peperangan dan perdamaian.

إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الَّذينَ كَفَروا فَهُم لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the worst of living creatures in the sight of Allāh are those who have disbelieved, and they will not [ever] believe –

(MALAY)

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang paling buruk di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir, kerana mereka itu tidak beriman.

 

Allah beritahu kita, seburuk-buruk makhluk di atas muka bumi ini adalah makhluk yang kufur kepada Allah. Allah gunakan lafaz الدَّوابِّ yang bermaksud makhluk hidup yang berjalan di muka bumi termasuk binatang yang melata. Allah tidak kata pun mereka ‘manusia’ sebagai penghinaan kepada mereka.

Ini kerana manusia adalah makhluk yang mulia selagi mereka beriman. Kerana mulianya manusia, Allah telah suruh para malaikat untuk sujud hormat kepada Nabi Adam. Ini adalah adalah kerana dalam diri manusia itu ada roh, makhluk yang mulia yang Allah jadikan. Orang yang kafir tidak menjaga rohnya yang memerlukan makanan keimanan. Jadi rohnya tidak bernilai.

Dan apabila dia tidak ada roh, apakah dia masih mulia melebihi binatang? Tidak lagi. Kerana binatang tidak ada roh dan kalau manusia pun tidak jaga roh dia, maknanya, dia pun macam binatang sahaja. Mereka lebih teruk dari binatang, kerana binatang memang tidak ada roh dari asalnya, tapi manusia ada roh tapi dia tidak jaga.

 


Ayat 56:

الَّذينَ عاهَدتَ مِنهُم ثُمَّ يَنقُضونَ عَهدَهُم في كُلِّ مَرَّةٍ وَهُم لا يَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones with whom you made a treaty but then they break their pledge every time, and they do not fear Allāh.

(MALAY)

(Iaitu) orang-orang yang kamu telah mengambil perjanjian dari mereka, sesudah itu mereka mengkhianati janjinya setiap kalinya, dan mereka tidak takut (akibat-akibatnya).

 

الَّذينَ عاهَدتَ مِنهُم

(Iaitu) orang-orang yang kamu telah mengambil perjanjian dari mereka,

Allah menjelaskan siapakah mereka yang hina dari haiwan itu dan seburuk-buruk makhluk. Iaitu orang yang umat Islam buat perjanjian damai dengan mereka. Asbabun Nuzul ayat ini adalah kisah Bani Quraizah, satu puak Yahudi yang tinggal juga di Madinah. Kisah mereka ini ada disebut lagi dalam surah Ahzab.

Kita tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia, sama ada mereka kufur atau tidak, tapi alamat zahirnya, mereka sudah buat perjanjian damai dengan umat Islam dan mereka memungkirinya. Nabi pernah buat perjanjian damai dengan mereka untuk saling bantu membantu untuk mempertahankan Madinah dari serangan musuh dan jangan sokong kafir lain. Kalau Madinah diserang, puak Yahudi itu juga berjanji untuk bersama-sama mempertahankan Madinah dengan umat Islam.

 

ثُمَّ يَنقُضونَ عَهدَهُم في كُلِّ مَرَّةٍ

sesudah itu mereka mengkhianati janjinya setiap kalinya,

Tetapi, puak Yahudi itu telah memungkiri janji. Malah Allah kata mereka itu sentiasa mencabuli perjanjian. Mereka itulah makhluk yang paling hina, lebih hina dari binatang.

Ini mengajar kita yang kita kena taat kepada perjanjian kita. Kalau sudah ada perjanjian damai dengan mana-mana pihak, kita kena tepati. Jangan kita berjanji, tandatangan kontrak perjanjian tapi di belakang kita mungkiri pula. Tidak kisahlah kalau dengan umat Islam lain atau mereka yang kafir pun – tetap kita kena jaga perjanjian itu.

Oleh itu, jangan kita berjanji untuk taat kepada pemerintah, tapi dalam masa yang sama, kita menjalankan usaha untuk memusnahkan pemerintah dari dalam. Jangan ada sifat Yahudi dalam diri kita.

 

وَهُم لا يَتَّقونَ

dan mereka tidak bertaqwa

Mereka tidak takut apabila mereka mencabuli perjanjian mereka itu. Kerana mereka tidak mempunyai taqwa. Mereka tidak takut kepada Allah dan mereka tidak takut kepada kesan-kesannya.

 


Ayat 57: Ini adalah undang-undang jihad lagi. Umat Islam kena sentiasa berusaha supaya orang kafir takut kepada Islam. Kita kena pastikan orang kafir takut untuk lawan Islam. Kita kena wujudkan suasana itu. Ini adalah kerana kalau tidak, mereka tidak takut kepada kita, dan mereka akan ambil kesempatan.

فَإِمّا تَثقَفَنَّهُم فِي الحَربِ فَشَرِّد بِهِم مَن خَلفَهُم لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So if you, [O Muḥammad], gain dominance over them in war, disperse by [means of] them those behind them that perhaps they will be reminded.¹

  • i.e., kill them and make an example of them to discourage those who follow them.

(MALAY)

Jika kamu mengusai mereka dalam peperangan, maka cerai beraikanlah orang-orang yang di belakang mereka dengan (menumpas) mereka, supaya mereka mengambil pelajaran.

 

فَإِمّا تَثقَفَنَّهُم فِي الحَربِ

Jika kamu mengusai mereka dalam peperangan,

Maksudnya, jika umat Islam telah mengalahkan dan telah menangkap mereka yang belot dalam perjanjian dengan umat Islam. Sebagai contoh, mereka telah tolong orang kafir lain untuk menyerang kita, iaitu seperti yang dilakukan oleh Yahudi. Dalam keadaan begitu, apa tindakan seterusnya yang perlu dilakukan?

 

فَشَرِّد بِهِم مَن خَلفَهُم

maka cerai beraikanlah orang-orang yang di belakang mereka dengan (menumpas) mereka,

Selepas tangkap mereka, maka hendaklah seksa mereka, hingga mencerai-beraikan orang-orang kafir lain di belakang mereka. Supaya orang kafir lain, takut nak buat perkara yang sama.

Inilah cara yang Allah ajar kita. Kita kena buat sungguh-sungguh sampai ngeri orang kafir lain. Berikan hukuman yang akan menyebabkan orang kafir lain takut dengan kita. Supaya mereka tahu yang kita bukanlah puak yang lembut yang boleh diambil peluang. Lafaz شَرِّد itu digunakan apabila kita sembelih unta dan unta-unta lain lari kerana takut.

Asbabun Nuzul ayat ini tentang golongan Yahudi zaman Nabi. Tapi tidaklah hanya tentang mereka, kerana mereka itu hanya sebagai contoh sahaja. Ada pengajaran yang kena diamalkan oleh kita zaman berzaman. Kalau ada golongan yang sebegitu, maka kena buat perkara yang sama terhadap mereka. Kena ambil tindakan balas terhadap mereka.

 

لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

supaya mereka mengambil pelajaran.

Dilakukan perkara yang di atas, semoga puak kafir lain beringat-ingat dengan puak Islam. Supaya mereka jangan main-main dengan orang Islam.

Tapi yang sedihnya, umat Islam sekarang dipermainkan oleh Yahudi dan puak kafir yang lain. Ini adalah kerana Muslim sekarang tidak sama dengan Muslim dahulu. Kita lemah, tidak tawakal kepada Allah, tidak taat kepada Allah dan tidak takut kepada Allah sebaliknya takut kepada orang kafir. Sudahlah kita tidak bersatu.

Oleh itu, kita sekarang lemah dan tidak dapat mengamalkan ayat ini. Apabila orang kafir hina kita, tindas umat Islam di negara lain, kita tidak boleh buat apa-apa pun. Kalau tolong pun, tolong senyap-senyap sahaja.

Tapi, bukanlah ayat ini bermaksud kita nak kena jadikan manusia takut dengan Islam pula. Jangan mereka takut yang tidak patut. Kita mahu manusia jinak dengan Islam dan supaya mereka masuk Islam. Cuma kita kena kuatkan ummah kita supaya orang tidak ambil kesempatan dengan agama Islam dan umat Islam.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Februari 2019

 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s