Anfal Ayat 43: Ini adalah sebab yang kedua kenapa Allah ﷻ sahaja yang layak untuk menentukan pembahagian harta rampasan itu.
إِذ يُريكَهُمُ اللَّهُ في مَنامِكَ قَليلًا ۖ وَلَو أَرىٰكَهُم كَثيرًا لَّفَشِلتُم وَلَتَنٰزَعتُم فِي الأَمرِ وَلٰكِنَّ اللَّهَ سَلَّمَ ۗ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Remember, O Muḥammad], when Allāh showed them to you in your dream as few; and if He had shown them to you as many, you [believers] would have lost courage and would have disputed in the matter [of whether to fight], but Allāh saved [you from that]. Indeed, He is Knowing of that within the breasts.
(MALAY)
(iaitu) ketika Allah menampakkan mereka kepadamu di dalam mimpimu (berjumlah) sedikit. Dan sekiranya Allah memperlihatkan mereka kepada kamu (berjumlah) banyak tentu saja kamu menjadi gentar dan tentu saja kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan itu, akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.
إِذ يُريكَهُمُ اللَّهُ في مَنامِكَ قَليلًا
ketika Allah menampakkan mereka kepadamu di dalam mimpimu (berjumlah) sedikit.
Nabi ﷺ telah bermimpi berkenaan apa yang akan terjadi semasa Perang Badr itu. Ini terjadi pada malam sebelum berperang. Akan tetapi dalam mimpi Nabi ﷺ, bilangan orang kafir tidak ramai dan Nabi ﷺ sampaikan kepada mereka. Oleh kerana itu, para sahabat boleh menerima kata-kata Nabi ﷺ dan ajakan Nabi ﷺ untuk meneruskan berperang kerana memikirkan pihak musuh itu tidak ramai.
Padahal, mereka sebenarnya sudah tahu yang bilangan tentera musuh yang akan datang itu seramai seribu orang (kerana mereka telah mengetahui bilangan unta yang disembelih setiap hari, boleh dijadikan sebagai anggaran bilangan orang). Namun, dalam mimpi Nabi ﷺ, mereka tetap nampak sedikit sahaja.
Ini adalah kerana Nabi ﷺ hanya dinampakkan dengan mereka yang benar-benar kafir sahaja kerana ada dalam kalangan orang Mekah yang datang menyerang umat Islam itu yang akan masuk Islam akhirnya nanti. Mereka datang adalah kerana terpaksa sahaja sedangkan hati mereka bukannya memusuhi Islam sangat pun.
Sememangnya mimpi Nabi ﷺ adalah wahyu yang sebenar. Mimpi Nabi ﷺ adalah mimpi yang benar, bukannya mimpi para Habib yang selalu dijadikan hujah golongan mereka. Oleh kerana mimpi baginda itu, dalam perang yang sebenar, pasukan Islam yang berperang itu dinampakkan yang musuh kafir itu sedikit juga sebagaimana dalam mimpi itu. Walaupun dari segi bilangan mereka, seramai seribu orang namun pada mata mereka, dinampakkan sedikit sahaja.
Di sebelah pihak orang kafir pula, ketika sebelum perang, mereka mendapat maklumat yang orang Islam itu sedikit sahaja. Ketika hendak mula berperang sekalipun, mereka dinampakkan oleh Allah ﷻ yang orang Islam itu sedikit juga, supaya mereka mahu berperang juga. Ini kerana jika mereka nampak ramai, nanti mereka lari dan tidak jadi berperang pula.
Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak jadikan perang itu terjadi juga. Biar kedua-dua pihak mahu meneruskan peperangan dan tidak menarik diri. Allah ﷻ tetap adakan Perang Badr itu, kerana Allah ﷻ hendak menzahirkan kebenaran: iaitu walaupun orang yang benar itu sedikit, tetapi mereka tetap menang juga jika Allah ﷻ izinkan kemenangan berpihak kepada mereka.
Sekiranya tidak faham tentang ayat ini, mungkin ada masalah. Ini kerana jika sekali baca, nampak seolah-olah ayat ini tidak tepat dengan realiti pada waktu itu. Orientalis menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk mengatakan yang Allah ﷻ telah menipu Nabi-Nya. Sedangkan sebenarnya, ada hikmah di sebalik apa yang Allah ﷻ lakukan itu.
Allah ﷻ hanya menunjukkan realiti pihak musuh itu. Memang dari segi bilangan, mereka ramai, tetapi mereka sebenarnya tidak bersatu, dan oleh itu sebenarnya mereka bukannya ramai tetapi sedikit sahaja. Allah ﷻ menunjukkan realiti sebenar tentera kafir itu.
وَلَو أَرىٰكَهُم كَثيرًا لَّفَشِلتُم
Dan sekiranya Allah memperlihatkan mereka kepada kamu (berjumlah) banyak tentu saja kamu menjadi hilang keberanian
Allah ﷻ menampakkan pihak musuh itu sedikit kepada Nabi ﷺ, supaya Nabi ﷺ sampaikan kepada para sahabat supaya mereka tidak takut untuk berperang. Sekiranya dinampakkan ramai, tentu gentar pula hati para sahabat. Allah ﷻ hendak memastikan peperangan itu terjadi juga.
وَلَتَنٰزَعتُم فِي الأَمرِ
dan tentu saja kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan itu,
Sekiranya para sahabat رضي الله عنهم tahu yang tentera Kafir Mekah itu ramai, tentu nanti mereka gentar dan menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan peperangan. Nanti ada yang mengajak tentera Islam balik ke Madinah.
وَلٰكِنَّ اللَّهَ سَلَّمَ
akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu.
Allah ﷻ tidak mahu tentera Muslim pulang ke Madinah, kerana Allah ﷻ tetap mahu perang itu berjalan juga. Allah ﷻ selamatkan mereka daripada membuat keputusan yang akan memudaratkan mereka. Allah ﷻ menyelamatkan mereka daripada rasa takut untuk menghadapi perang itu kerana jika mereka tidak meneruskan peperangan itu, maka mereka telah melanggar perintah Allah ﷻ dan Rasul-Nya.
Allah ﷻ selamatkan juga mereka dari berbantah-bantah kerana ia perkara yang tidak elok. Dan akhirnya Allah ﷻ selamatkan mereka dari bahaya perang itu dan dari kekalahan.
إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.
Allah ﷻ lakukan semua itu kerana Allah ﷻ tahu hati manusia. Allah ﷻ tahu yang jika mereka nampak tentera musuh ramai, ada yang akan menarik diri kerana gentar.
Maka, oleh kerana semua itu perancangan daripada Allah ﷻ, maka Allah ﷻlah yang layak untuk memberi keputusan tentang pembahagian harta rampasan itu, bukannya mereka yang berperang.
Anfal Ayat 44: Ini adalah sebab yang keempat kenapa Allah ﷻ yang layak menentukan pembahagian harta rampasan perang itu.
وَإِذ يُريكُموهُم إِذِ التَقَيتُم في أَعيُنِكُم قَليلًا وَيُقَلِّلُكُم في أَعيُنِهِم لِيَقضِيَ اللَّهُ أَمرًا كانَ مَفعولًا ۗ وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [remember] when He showed them to you, when you met, as few in your eyes, and He made you [appear] as few in their eyes so that Allāh might accomplish a matter already destined. And to Allāh are [all] matters returned.
(MALAY)
Dan ketika Allah menampakkan mereka kepada kamu sekalian, ketika kamu berjumpa dengan mereka berjumlah sedikit pada penglihatan matamu dan kamu ditampakkan-Nya berjumlah sedikit pada penglihatan mata mereka, kerana Allah hendak melakukan suatu urusan yang mesti dilaksanakan. Dan hanyalah kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.
وَإِذ يُريكُموهُم إِذِ التَقَيتُم في أَعيُنِكُم قَليلًا
Dan ketika Allah menampakkan mereka kepada kamu sekalian, ketika kamu berjumpa dengan mereka berjumlah sedikit pada penglihatan matamu
Allah ﷻ menampakkan tentera kufur Mekah itu sedikit sahaja kepada pasukan Islam ketika mereka bertembung dalam Perang Badr. Kalau dalam ayat 43, ia ditunjukkan dalam mimpi Rasulullah ﷺ, sekarang ini di medan pertempuran pun mereka nampak sedikit sahaja. Padahal musuh mereka ketika itu berjumlah seribu orang, iaitu tiga kali ganda daripada mereka. Ini terjadi dengan ketentuan Allah ﷻ. Ibn Mas’ud رضي الله عنه berkata kepada sahabat di sebelahnya yang pihak musuh hanya dalam 90 orang tetapi sahabatnya kata tidak, mereka mungkin seratus orang.
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
وَيُقَلِّلُكُم في أَعيُنِهِم
dan kamu ditampakkan-Nya berjumlah sedikit pada penglihatan mata mereka,
Pada pandangan mata pihak musuh, tentera Islam itu pun sedikit juga dan sememangnya bilangan mereka kurang. Allah ﷻ boleh sahaja beri mereka nampak ramai, tetapi Allah ﷻ kekalkan mereka nampak sedikit. Abu Jahal pada waktu itu kata tentera Muslim mungkin makan seekor unta sahaja. Ketika zaman itu untuk menganggar bilangan tentera, mereka akan mengira berapa ekor unta yang disembelih. Seekor unta boleh dimakan seratus orang.
Atau, ia boleh bermaksud, tentera Mekah nampak pasukan Muslim waktu itu ‘sedikit’ dari segi kelengkapan perang. Ini menyebabkan pasukan tentera Mekah itu menjadi yakin yang mereka akan mengalahkan tentera Islam. Mereka sudah merasa pasti akan menang.
Oleh itu, apabila mereka kalah, ia telah menjadi satu pukulan yang lebih berat ke atas mereka. Ini kerana mereka sudah yakin sangat yang mereka akan menang, namun akhirnya kalah – tentu itu memberi tekanan kepada emosi mereka. Mereka tidak langsung bersedia untuk kalah. Allah ﷻ hendakkan mereka berasa lebih teruk lagi.
Walaupun sebelum berperang tentera kafir nampak tentera Muslim berjumlah sedikit, tetapi apabila mereka sudah mula berperang, Allah ﷻ telah menurunkan para malaikat untuk membantu pasukan Muslim, maka pada waktu itu barulah tentera kafir nampak pasukan Muslim dua kali ganda daripada mereka seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:
{قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأُخْرَى كَافِرَةٌ يَرَوْنَهُمْ مِثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِ مَنْ يَشَاءُ إِنَّفِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لأولِي الأبْصَارِ}
Sesungguhnya telah ada tanda bagi kalian pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir, yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan dengan bantuan-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan hati.
لِيَقضِيَ اللَّهُ أَمرًا كانَ مَفعولًا
kerana Allah hendak melakukan suatu urusan yang mesti dilaksanakan.
Allah ﷻ menjadikan semua itu, supaya akan berlaku keputusan yang tetap akan berlaku di mana Allah ﷻ tetap mahukan Perang Badr itu terjadi. Tujuannya adalah kerana Allah ﷻ hendak menunjukkan kepada manusia, kalah dan menang itu adalah dalam penentuan Allah ﷻ, bukannya pada bilangan dan kekuatan manusia.
Maka memanglah patut kalau Allah ﷻ yang menentukan cara pembahagian harta ghanimah itu, kerana Allah ﷻ yang menjadikan perang itu terjadi.
وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ
Dan hanyalah kepada Allahlah dikembalikan segala urusan.
Segala keputusan dan ketentuan di tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan segala-galanya. Maka kita hanya boleh terima sahaja. Kita kena redha dengan ketentuan daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh membuat apa sahaja. Dia boleh menjadikan yang ramai nampak sedikit, dan yang sedikit nampak ramai. Dia boleh memenangkan kumpulan yang besar dan Dia boleh memenangkan kumpulan yang sedikit. Semuanya tidak mustahil bagi Allah ﷻ kerana Dia yang menentukan segalanya.
Habis Ruku’ 5 daripada 10 ruku’ surah ini
Anfal Ayat 45: Ini adalah undang-undang perang pertama dalam bahagian kedua. Ada tujuh semua sekali. Allah ﷻ memberitahu, dalam peperangan hendaklah meneguhkan kaki dan hati.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا لَقيتُم فِئَةً فَاثبُتوا وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, when you encounter a company [from the enemy forces], stand firm and remember Allāh much that you may be successful.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman. apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu berjaya.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman.
Allah ﷻ hendak memberi semangat dan nasihat kepada orang Islam yang akan berperang. Ini juga adalah punca kemenangan umat Islam di dalam peperangan, selagi mereka mentaati perkara-perkara ini.
إِذا لَقيتُم فِئَةً فَاثبُتوا
apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguhlah kamu
Allah ﷻ mengingatkan umat Islam, apabila bertemu dengan kumpulan musuh, hendaklah meneguhkan kaki, jangan lari dari medan perang. Namun yang lebih penting adalah keteguhan hati. Tanpa keteguhan hati, tidak akan ada keteguhan kaki dan ini diketahui oleh semua panglima perang.
Ayat ini turun selepas Perang Badr. Ini hendak mengingatkan umat Islam untuk bersedia di peperangan yang lain selepas Perang Badr. Ia memberi isyarat kepada Perang Uhud yang akan terjadi tidak lama lagi.
وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا
dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya
Selain daripada meneguhkan kaki dalam perang, umat Islam hendaklah meneguhkan hati dengan mengingati Allah ﷻ banyak-banyak semasa berperang itu. Ini kerana apabila ingat Allah ﷻ dengan banyak, hati yang gelisah pun akan menjadi tenang;
قَالَ عَبْدُ الرَّزَّاقِ، عَنْ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ زِيَادٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ يَزِيدَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ، وَاسْأَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ فَإِنْ أَجْلَبُوا وَضَجُّوا فَعَلَيْكُمْ بِالصَّمْتِ
Abdur Razzaq telah meriwayatkan daripada Sufyan As-Sauri, daripada Abdur Rahman ibnu Ziyad, daripada Abdullah ibnu Yazid, daripada Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Janganlah kalian mengharapkan untuk bersua dengan musuh, tetapi mohonlah keselamatan kepada Allah; dan apabila kalian bersua dengan mereka, maka hadapilah dengan hati yang teguh dan berzikirlah kepada Allah. Dan jika mereka gaduh dan berteriak-teriak, maka kalian harus tetap diam.
(Hadith Riwayat Abdurrazzaq dalam Musannafnya (9283))
Daripada Abdullah bin Amru رضي الله عنهما. Ibnu Hajar menilai hadith ini hasan dengan syawahidnya dalam al-Futuhat Rabbaniyah.
Inilah sumber kekuatan umat Islam. Di dalam pihak tentera cuba untuk menguatkan tentera mereka dengan senjata dan teknik peperangan yang berbagai, umat Islam mempunyai senjata yang mampan ini.
Memang semasa perang, fikiran tentulah entah ke mana kerana dalam kesibukan perang dan nyawa di hujung pedang akan tetapi ada penekanan Allah ﷻ supaya umat Islam yang berperang ingat kepada-Nya dan diberi penekanan dengan kalimah كَثيرًا (sebanyak-banyaknya) di dalam ayat ini.
Kalimah كَثيرًا tidak digunakan bagi ibadah-ibadah yang lain seperti tidak ada salatlah كَثيرًا atau berpuasalah كَثيرًا. Tidak ada. Ini adalah kerana zikir ini amat mudah dilakukan, di mana-mana sahaja. Tidak perlu berhenti daripada membuat kerja, tidak perlu tukar pakaian, tidak perlu wudhu’, boleh dilakukan sama ada berdiri, duduk atau berbaring.
Tidaklah berat untuk melakukan zikir kepada Allah ﷻ dalam berperang. Antaranya boleh sebut Allahu akbar berterusan. Ia dapat mengingatkan kita kepada Allah ﷻ yang maha besar. Apa sahaja yang kita lakukan, Allah ﷻ lebih besar. Dan tujuan kita berperang itu pun untuk membesarkan Allah ﷻ, bukan?
لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ
agar kamu berjaya.
Dengan meneguhkan kaki dan meneguhkan hati itu, mudah-mudahan pihak Islam akan mendapat kemenangan. Oleh sebab itu, sudah ada dua suruhan dan Allah ﷻ berjanji di sini yang jikalau dapat menjaganya, kejayaan adalah milik umat Islam.
Allah ﷻ memerintahkan para mujahideen untuk teguh dalam memerangi musuh dan sabar dalam berlaga dengan mereka di medan perang, tidak boleh lari, tidak boleh mundur, dan tidak boleh berhati pengecut.
Hendaklah mereka selalu menyebut nama Allah ﷻ dalam keadaan itu, tidak boleh melupakan-Nya. Bahkan hendaklah meminta pertolongan kepada-Nya, bertawakal kepada-Nya. dan memohon kemenangan kepada-Nya dalam menghadapi musuh-musuh mereka.
Hendaklah mereka taat kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya dalam keadaan tersebut, segala apa yang diperintahkan Allah ﷻ kepada mereka harus mereka lakukan, dan semua yang dilarang-Nya harus mereka tinggalkan.
Janganlah mereka saling berbantahan sesama mereka yang akibatnya akan mencerai-beraikan persatuan mereka sehingga mereka akan dikalahkan dan mengalami kegagalan.
Anfal Ayat 46:
وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ وَلا تَنٰزَعوا فَتَفشَلوا وَتَذهَبَ ريحُكُم ۖ وَاصبِروا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And obey Allāh and His Messenger, and do not dispute and [thus] lose courage and [then] your strength would depart; and be patient. Indeed, Allāh is with the patient.
(MALAY)
Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ
Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya
Ini adalah sambungan daripada undang-undang perang. Kena taat kepada arahan Allah ﷻ dan Rasul-Nya. Oleh kerana Allah ﷻ tidak memberi arahan terus kepada manusia, maka kena taat kepada arahan Nabi ﷺ. Kita tidak ada apa-apa lagi kalau tidak ada ketaatan kepada Allah ﷻ dan Rasul.
Untuk taat kepada Allah ﷻ, kenalah rujuk kepada Al-Qur’an dan untuk taat kepada Rasul, kenalah rujuk kepada Hadith. Ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam [ Nisa: 59 ]
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَطيعُوا اللهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ وَأُولِي الأَمرِ مِنكُم ۖ فَإِن تَنٰزَعتُم في شَيءٍ فَرُدّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسولِ إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأويلًا
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
وَلا تَنٰزَعوا فَتَفشَلوا
dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi hilang keberanian
Jangan sekali-kali berselisih pendapat sesama Muslim yang menyebabkan lemah semangat dan menjadi gentar di medan perang. Jangan berkelahi sesama sendiri kerana kekuatan kita adalah kekuatan bersama. Jika sudah berpecah, maka kekuatan itu akan hilang. Sudah tiada sinergi sesama kita. Kerana itulah ada pepatah: bersatu teguh, bercerai roboh. Semangat yang ada bila beramai-ramai akan hilang dan kita akan berasa keseorangan dan akan gentar menghadapi musuh.
Malangnya, inilah yang telah terjadi di Medan Perang Uhud. Umat Islam telah tidak taat kepada arahan Nabi ﷺ dan telah berselisih sesama mereka. Maka, selepas Perang Badr ini, Allah ﷻ sudah memberikan peringatan awal-awal lagi sebelum Perang Uhud lagi. Maknanya Allah ﷻ sudah mengingatkan awal-awal sebelum kejadian di Perang Uhud itu lagi.
Amat bahaya sekali kalau umat Islam tidak bersatu. Apabila umat Islam tidak bersatu, maka semangat akan mudah hilang. Sebagai contoh, katakanlah ada satu persatuan Islam hendak membuat kerja amal. Kita pun datang menghadirkan diri kerana kita hendak memberi pertolongan mana yang kita boleh bantu. Namun apabila kita tiba di tempat persatuan itu, kita lihat ahli persatuan sedang berkelahi sesama sendiri; adakah anda rasa anda hendak meneruskan niat anda untuk menolong persatuan itu? Adakah anda ada semangat lagi untuk beri bantuan? Tentu tidak ada. Begitulah juga sekiranya tentera yang berperang tidak bersatu dan berselisih sesama sendiri. Memang akan hilang motivasi.
وَتَذهَبَ ريحُكُم
dan hilang kekuatanmu
Jika tidak bersatu dan berselisih, memang tidak ada kekuatan langsung. Lafaz وَتَذهَبَ ريحُكُم bermaksud ‘angin sudah pergi’. Seperti kapal layar yang tidak ada angin untuk meniup kapal itu bergerak, adakah kapal itu boleh bergerak? Tentu tidak.
Begitu jugalah kita dalam medan pertempuran. Tentu kita memerlukan ‘angin’ yang memberikan kekuatan tubuh kepada kita. Ini kerana kadang-kadang badan kita penat namun kalau ada ‘angin’, kita boleh menggerakkan lagi badan kita. Begitulah kadangkala kita tidak tahu dari mana datang kekuatan baru untuk berlari, berlawan dan sebagainya. Ini dinamakan fenomena ‘second wind’. Namun jika pada waktu itu umat Islam sedang bercakaran, tuduh menuduh, tidak bersatu, tentu tidak ada ‘angin’ itu.
Angin juga digunakan sebagai perumpamaan dalam ayat ini kerana angin itu boleh menjadi lembut dan boleh menjadi kuat. Lihatlah jika angin kuat yang menjadi tornado, mampu memusnahkan satu bandar disebabkan olehnya. Oleh itu, angin merujuk kepada kekuatan.
Maka, elakkan daripada bergaduh sesama sendiri. Jangan termakan dengan bisikan syaitan kerana syaitan tahu taktik ini. Mereka akan bisikkan ke telinga setiap ahli pasukan untuk menyebabkan mereka berkelahi. Kalau kita tidak perasan apa yang dilakukan oleh syaitan, maka kita akan ada masalah besar nanti.
وَاصبِروا
dan bersabarlah.
Selain bersatu, kita kenalah sabar sahaja dalam apa sahaja keadaan. Keadaan semasa sedang berjuang dalam peperangan tentulah tidak selesa. Fikiran bercelaru, tidak tenang dan kacau bilau pada waktu itu kerana ramai sangat manusia. Namun Allah ﷻ suruh kita bersabar. Terima sahaja apa yang berlaku dan redha.
Sabar ini ada tiga jenis:
1. Sabar dalam taat. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ﷻ dan Rasul.
2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.
3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.
Dalam jihad perang itu, ada ketiga-tiga jenis sabar ini, iaitu sabar untuk jihad seperti suruhan Allah ﷻ, meninggalkan larangan yang Allah ﷻ dan Rasul berkenaan jihad (seperti lari dari medan perang) dan kesusahan yang tentunya amat tinggi semasa perang. Kerana itulah Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُ فَاصْبِرُوا
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah kalian berharap bertemu dengan musuh, maka jika kalian berjumpa dengan mereka hendaklah kalian bersabar.
(Riwayat Ahmad (10356))
Disahihkan oleh Arnauth رحمه الله.
Dilihat daripada susunan nasihat daripada Allah ﷻ ini setelah disebut tentang jangan berpecah belah, sikap sabarlah yang penting seharusnya ada. Ini kerana walaupun kita di dalam satu pasukan, tetapi kita semua tidak sama. Pengalaman hidup, kematangan fikiran, pendidikan dan sebagainya akan mempengaruhi idiosinkratik (berfikiran atau kelakuan aneh) kita. Keputusan kita tidak semestinya sama dengan orang lain kerana minda dan emosi kita sendiri tidak sama.
Oleh itu, kadangkala pendapat kita berlainan dengan orang lain. Kalau kita tidak ada sabar di dalam diri kita, mungkin kita hendak juga idea kita diterima dan disokong oleh orang lain. Namun orang lain pun hendakkan idea dia juga diterimapakai, bukan? Maka, kadangkala perkara ini boleh menyebabkan perbalahan dan pasukan akan menjadi lemah. Oleh sebab itu, kenalah simpan sahaja fikiran dan idea kita jikalau ia boleh menyebabkan perpecahan.
Ini agak sukar untuk dilakukan jika tidak ada sifat sabar. Namun Allah ﷻ menjanjikan balasan yang besar kepada orang yang dapat bersabar. Sabar ini tidak ada disebut pahalanya kerana ia tidak ada had dan terpulang kepada Allah ﷻ berapa banyak Dia hendak beri. Allah ﷻ sebut di dalam [ Zumar: 10 ]
إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira
إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
Allah ﷻ berikan janji-Nya dalam ayat ini, kalau kita bersabar, Allah ﷻ akan bersama dengan kita, berada di pihak kita dan akan bantu kita. Kalau Allah ﷻ berada di pihak kita, adakah kita akan celaka lagi? Tentu tidak. Maka, ini adalah janji Allah ﷻ yang amat hebat diberikan kepada para mujahideen. Sesungguhnya tiada sesiapa dapat menandingi kehebatan para sahabat dalam hal keberanian dan ketaatan kepada Allah ﷻ dan Rasul.
Dengan berkah daripada Rasul dan ketaatan kepadanya dalam semua apa yang diperintahkannya kepada mereka, akhirnya mereka berhasil membuka hati manusia dan berhasil pula membuka banyak daerah —baik yang ada di kawasan timur mahupun barat—dalam waktu yang singkat. Padahal jumlah mereka sedikit kalau dibandingkan dengan pasukan daerah lainnya seperti pasukan bangsa Romawi, Persia, Turki, Saqalibah, Barbar, Habsyah, bangsa-bangsa yang berkulit hitam, bangsa Qibti, dan keturunan Bani Adam lainnya.
Para sahabat berhasil mengalahkan kesemuanya sehingga kalimah Allah ﷻ menjadi tinggi dan agama-Nya menang di atas semua agama lainnya. Kerajaan Islam makin meluas kekuasaannya di belahan timur dan barat bumi ini dalam waktu yang kurang daripada tiga puluh tahun.
Semoga Allah ﷻ melimpahkan redha-Nya kepada mereka dan membuat mereka puas akan pahala-Nya. dan semoga Allah ﷻ menghimpunkan kita semua ke dalam golongan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Pemberi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 24 November 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan