Anfal Ayat 60: Ini adalah undang-undang ke 3 dalam bahagian kedua surah ini. Ia adalah berkenaan persiapan untuk berperang. Kenalah mempersiapkan peralatan dan mestilah ada latihan tentera. Ini kerana kita pun tahu yang pihak musuh pun sedang bersiap sedia untuk menyerang kita, maka kita pun kena juga bersedia.
وَأَعِدّوا لَهُم مَّا استَطَعتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّباطِ الخَيلِ تُرهِبونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُم وَءآخَرينَ مِن دونِهِم لا تَعلَمونَهُمُ اللَّهُ يَعلَمُهُم ۚ وَما تُنفِقوا مِن شَيءٍ في سَبيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And prepare against them whatever you are able of power and of steeds of war¹ by which you may terrify the enemy of Allāh and your enemy and others besides them whom you do not know [but] whom Allāh knows. And whatever you spend in the cause of Allāh will be fully repaid to you, and you will not be wronged.
- Or equipment which serves the same purpose.
(MALAY)
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).
وَأَعِدّوا لَهُم مَّا استَطَعتُم مِّن قُوَّةٍ
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu mampu
Allah ﷻ mengajar umat Islam, hendaklah umat Islam membuat persiapan untuk menghadapi musuh semampu kita. Jangan duduk bersenang lenang sahaja, tetapi dalam kelemahan. Kekuatan tentera mesti ada.
Allah ﷻ tidaklah memberatkan kita dengan mestinya ada senjata yang sama dengan musuh. Sebab itu dimasukkan kalimat مَا استَطَعتُم (yang semampu kamu). Selebihnya mestilah berserah kepada Allah ﷻ. Ini kerana kemenangan itu bukannya kerana banyak dan canggihnya senjata tetapi kemenangan itu ditentukan oleh Allah ﷻ. Kadangkala senjata musuh lebih hebat, namun kita ada Allah ﷻ.
Senjata jenis bagaimanakah? Kalimah yang digunakan adalah قُوَّةٍ iaitu dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh menjadi kekuatan apa sahaja. Kekuatan itu mestilah mengikut keadaan semasa. Daripada hadith, Nabi ﷺ memberitahu ‘kekuatan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah panah. Panah disebut dalam hadith kerana pada waktu itu, ia merupakan senjata yang paling cepat sampai kepada musuh.
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هَارُونُ بْنُ مَعْرُوفٍ، حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْب، أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ أَبِي عَلِيٍّ ثُمَامة بْنِ شُفَيّ، أَنَّهُ سَمِعَ عُقْبَةَ بْنَ عَامِرٍ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم يَقُولُ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ: {وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ} أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ”
Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Harun ibnu Ma’ruf telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, daripada Abu Ali Sumamah ibnu Syafi (saudara lelaki Uqbah ibnu Amir). Beliau pernah mendengar Uqbah ibnu Amir mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda di atas mimbarnya: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kalian sanggupi.” Ingatlah, sesungguhnya kekuatan itu terletak pada pasukan pemanah. Ingatlah, sesungguhnya kekuatan itu terletak pada pasukan pemanah.
Imam Muslim رحمه الله dan lain-lainnya meriwayatkan daripada Uqbah bin Amir bahawa beliau berkata:
“Aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda dan pada masa itu baginda berada di atas mimbar: ( وَأَعِدّوا لَهُم مَا استَطَعتُم مِن قُوَّةٍ ) Ketahuilah bahawa ( القوة ) itu ialah melontar panah! Ketahuilah bahawa ( القوة ) itu ialah melontar panah!”
Namun begitu janganlah dibaca hadith Nabi ﷺ ini secara literal. Senjata itu hendaklah mengikut zaman. Untuk zaman sekarang, hendaklah disesuaikan dengan apa sahaja alat senjata yang dapat memberi kekuatan dalam peperangan. Jangan pula menggunakan panah kerana mati katak sahaja jika berperang begitu di zaman ini. Takkan musuh menembak dengan menggunakan senapang, kita hanya membalas serangan dengan panah sahaja?
Ini pernah terjadi di Turki pada satu waktu. Ada ‘ulama’ (yang tidak berapa ulama’ lah) yang kata tidak boleh menggunakan bom dan senapang kerana Nabi ﷺ hanya menggunakan panah dan pedang sahaja. Maka, tentera mereka telah berperang menggunakan senjata kuno. Tentulah kalah teruk. Ini adalah contoh pemahaman hadith yang tersasar terus.
Amat menarik sekali apabila ada kajian yang mengatakan semasa Kerajaan Melayu Melaka dikalahkan oleh Portugis dahulu, kerajaan Melaka bukanlah melawan hanya dengan keris dan lembing sahaja. Mereka mempunyai banyak laras senapang yang telah digunakan oleh pejuang mereka. Malah teknologi senjata Kerajaan Melaka pada ketika itu amat tinggi. Namun begitu, fakta ini telah dikaburkan daripada sejarah.
Kita hendaklah mengikut peredaran masa dan bertindak bersesuaian dengannya. Peperangan pun berubah dari zaman dahulu. Jika dibaca buku tulisan Alvin Toffler: War and Anti-War, beliau membahagikan fasa perang kepada tiga gelombang (“wave”). Gelombang pertama adalah perang menggunakan pedang, panah, kuda dan sebagainya. Gelombang kedua melibatkan kadar kemusnahan lebih berat dan besar apabila menggunakan senapang, bom, kereta kebal dan sebagainya.
Manakala yang menariknya adalah Gelombang ketiga iaitu “Smart War” (Peperangan Pintar) di mana teknologi canggih yang digunakan seperti grid elektrik musuh diserang supaya pertahanan mereka menjadi lumpuh. Tambahan pula sekarang banyak yang menggunakan IoT (Internet of Things) di mana serangan boleh dilakukan menggunakan cara teknologi internet juga.
Oleh hal yang demikian jangan hadkan kekuatan itu pada senjata tertentu sahaja kerana yang penting adalah mesti disesuaikan dengan peredaran semasa. Akan tetapi yang penting adalah asas kekuatan itu, iaitu iman. Sekiranya tiada iman, pasukan akan menjadi lemah dan tiada kekuatan. Bayangkan pada zaman dahulu ada para sahabat yang kurus kering namun disebabkan iman yang kuat, mereka dapat berjuang dengan bersemangat dan dapat mengalahkan musuh.
Bukan sahaja mesti disediakan panah, tetapi kenalah ada kemahiran memanah juga. Ini penting sampaikan ada hadith yang menceritakan bagaimana para sahabat berlatih bermain pedang di dalam masjid. Oleh itu belajar cara menggunakan senjata itu juga penting dan latihan yang bersesuaian mestilah diberikan. Kerana itu banyak negara menyediakan Sekolah Tentera untuk melatih rakyat mereka untuk bersedia.
Malah ada negara yang mewajibkan “military service” (perkhidmatan tentera) kepada rakyat untuk jangka pendek seperti Singapura dan Israel. Kita pun pernah ada juga, namun sekarang entah ke mana. Cuma tidaklah belajar memanah kerana panah tidak digunakan lagi, bukan? Kenalah sesuaikan latihan itu dengan zaman. Berlatih menembak lebih sesuai daripada berlatih memanah untuk zaman sekarang.
Selain daripada itu, yang paling penting adalah bersatu. Para sahabat dahulu kuat kerana mereka bersatu, tidaklah berpecah belah seperti kita sekarang. Lihat firman Allah ﷻ dalam [ Ali Imran: 103 ]
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.
وَمِن رِّباطِ الخَيلِ
dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang
Lafaz رِباطِ الخَيلِ bermaksud kuda yang ditambat di kandang dengan satu ikatan sahaja. Ia adalah ikatan yang ringkas supaya mudah dan cepat untuk dicabut dan terus bergerak untuk menghadapi musuh.
Ini memberi isyarat bahawa kita hendaklah sentiasa bersedia supaya bila keadaan memerlukan kita berperang, kita boleh terus bertindak. Tidaklah terhegeh-hegeh untuk mencari senjata, kenderaan, serta lambat pula untuk membuka ikatan kuda. Maka ayat ini mengajar kita yang kita mestilah sentiasa bersedia.
وَقَالَ الْإِمَامُ مَالِكٌ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ السَّمَّانِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الْخَيْلُ لِثَلَاثَةٍ: لِرَجُلٍ أجْر، وَلِرَجُلٍ سِتْرٌ، وَعَلَى رَجُلٍ وِزْرٌ؛ فَأَمَّا الَّذِي لَهُ أَجْرٌ فَرَجُلٌ رَبَطَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فَأَطَالَ لَهَا فِي مَرْجٍ -أَوْ: رَوْضَةٍ -فَمَا أَصَابَتْ فِي طِيَلِهَا ذَلِكَ مِنَ الْمَرْجِ -أَوْ: الرَّوْضَةِ -كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ، وَلَوْ أَنَّهَا قَطَعَتْ طِيَلَهَا فَاسْتَنَّتْ شَرَفًا أَوْ شَرَفَيْنِ كَانَتْ آثَارُهَا وَأَرْوَاثُهَا حَسَنَاتٍ لَهُ، وَلَوْ أَنَّهَا مَرَّتْ بِنَهَرٍ فَشَرِبَتْ مِنْهُ، وَلَمْ يُرِدْ أَنْ يَسْقِيَ بِهِ، كَانَ ذَلِكَ حَسَنَاتٍ لَهُ؛ فَهِيَ لِذَلِكَ الرَّجُلِ أَجْرٌ. وَرَجُلٌ رَبَطَهَا تغنِّيًا وَتَعَفُّفًا، وَلَمْ يَنْسَ حَقَّ اللَّهِ فِي رِقَابِهَا وَلَا ظُهُورِهَا، فَهِيَ لَهُ سِتْرٌ، وَرَجُلٌ رَبَطَهَا فَخْرًا وَرِيَاءً وَنِوَاءً فَهِيَ عَلَى ذَلِكَ وِزْرٌ”. وَسُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحُمُرِ فَقَالَ: “مَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيَّ فِيهَا شَيْئًا إِلَّا هَذِهِ الْآيَةَ الْجَامِعَةَ الْفَاذَّةَ: {فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Imam Malik رحمه الله telah meriwayatkan daripada Zaid ibnu Aslam. daripada Abu Saleh As-Samman, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Kuda itu mempunyai tiga fungsi; bagi seseorang berfungsi mendatangkan pahala, bagi yang lainnya berfungsi menjadi penutup bagi dirinya, dan bagi yang lainnya lagi berakibat mendatangkan dosa baginya.
Adapun kuda yang dapat mendatangkan pahala bagi pemiliknya ialah bila pemiliknya menambatkannya untuk persiapan berjuang di jalan Allah ﷻ. Jika kuda itu berada lama di kandangnya atau di tempat penggembalaannya, maka segala sesuatu yang dimakannya dalam kandang dan tempat penggembalaannya itu selama ia berada di sana merupakan pahala-pahala kebaikan bagi pemiliknya. Dan seandainya kuda itu terlepas dari kandangnya, lalu berlari-lari berputar-putar sekali putar atau dua kali putar, maka semua jejak kakinya dan kotoran yang dikeluarkannya merupakan pahala-pahala kebaikan bagi pemiliknya. Dan seandainya kuda itu melewati sebuah sungai, lalu minum airnya, sedangkan pemiliknya tidak mahu memberinya minum, maka hal itu merupakan pahala-pahala kebaikan bagi pemiliknya. Semuanya itu mendatangkan pahala bagi pemiliknya.
Dan seorang lelaki yang menambatkannya untuk keperluan mencari kecukupan (nafkah) dan memelihara harga diri (agar tidak meminta-minta), tanpa melupakan hak Allah ﷻ yang ada pada leher dan punggungnya, maka hal itu merupakan penutup bagi (keperluannya).
Dan seorang lelaki yang menambatkannya untuk kebanggaan, pamer, dan kesombongan, maka kuda itu mendatangkan dosa bagi pemiliknya.
Rasulullah ﷺ pernah ditanya mengenai keldai, maka baginda ﷺ bersabda: Tidak ada sesuatu pun yang diturunkan kepadaku mengenainya kecuali ayat yang bermakna menyeluruh lagi menyendiri ini, iaitu firman-Nya, “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Az-Zalzalah: 7-8)
Kuda disebut dalam ayat ini kerana ia amat sesuai pada zaman itu. Kuda adalah alat kenderaan yang paling sesuai semasa perang kerana ia laju dan dapat bergerak dalam semua keadaan. Malah zaman sekarang pun kuda masih lagi digunakan.
Yang perlu menyediakan kelengkapan perang ini sekarang adalah kerajaan. Kerana itulah perbelanjaan Kementerian Pertahanan adalah tinggi kerana ia memerlukan belanja yang besar. Maka kerajaan Islam pun mestilah memperuntukkan belanjawan yang besar. Oleh itu, jangan hairan kalau perbelanjaan ini tinggi. Namun begitu, ini perlulah dilakukan dengan berhemah. Jangan bazirkan wang rakyat dan wang negara. Jangan belanja sampai 6 bilion ringgit tetapi kapal selam tidak nampak rupa.
Ayat ini sebenarnya berat kerana di dalam ayat ini ada suruhan daripada Allah ﷻ. Apabila ada suruhan, ia mesti ditaati kerana ia adalah kewajipan. Akan tetapi adakah kita perasan yang ini adalah satu kewajipan ke atas kita? Kalau tidak perasan, maka ini sudah berat. Ada pendapat yang mengatakan entah berapa banyak daripada kita atau kerajaan yang mendapat dosa percuma kerana tidak menjalankan kewajipan ini. Begitulah kalau Al-Qur’an sudah lama ditinggalkan (iaitu pemahaman kepada Al-Qur’an).
Ayat ini diturunkan selepas Perang Badr. Pada waktu itu umat Islam telah menang walaupun tanpa senjata yang lengkap dan bilangan tentera yang ramai. Allah ﷻ boleh sahaja memberikan kemenangan kepada umat Islam tanpa senjata. Akan tetapi Allah ﷻ hendak umat Islam bersedia apabila perlu.
Namun begitu, ini adalah tentang jihad perang. Bagaimana pula dengan satu lagi jenis jihad iaitu jihad lisan atau jihad dalam dakwah? Kalau jihad perang pun memerlukan persediaan, maka jihad lisan juga begitu. Ini bermaksud kita kenalah bersedia dengan material dalam bentuk penulisan, video, ceramah dan sebagainya. Kerana kita juga sedang berjihad, bukan?
Kerana itu saya teringat soalan yang diberikan kepada Dr. Zakir Naik. Jika kita menonton video-video beliau, kita nampak gah betul bentuk pentas sesi ceramah yang dianjurkannya itu. Sampaikan kualiti pentas itu sama standard dengan majlis anugerah filem Bollywood. Orang bertanya kepadanya kenapa hendak menghabiskan duit sampai begitu? Bukankah sudah mencukupi sekadar adanya pentas dan mikrofon sahaja?
Jawapan beliau yang hebat: “Jikalau mereka membelanjakan wang yang banyak untuk mengajak ke arah maksiat, kenapa kita tidak boleh belanjakan yang banyak juga untuk mengajak kepada Allah?”
تُرهِبونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُم
dengannya kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu
Allah ﷻ memberitahu bahawa tujuan membuat persiapan itu adalah untuk menakutkan musuh Allah ﷻ dan musuh umat Islam. Bukannya tujuan kita hendak membunuh atau mengebom orang kafir seperti yang dilakukan oleh golongan jahil. Yang sebenarnya adalah untuk menakutkan musuh kita, supaya mereka tidak ganggu kita dan ambil mudah dengan kita.
Allah ﷻ kata musuh-Nya dan musuh kita. Ini mengajar kita yang musuh kita adalah sama sahaja dengan musuh Allah ﷻ. Kita benci yang Allah ﷻ benci dan kita sayang yang Allah ﷻ sayang. Kena ada persamaan. Kita kena sayang dan benci atas agama. Begitu juga kita berkawan dan bermusuh itu kerana agama.
Maka kena tunjukkan yang umat Islam ini sentiasa bersedia untuk berperang kalau diganggu kerana pihak musuh tentunya akan menghantar mata-mata gelap untuk mendapatkan maklumat tentang kita. Kita mahu mereka melaporkan kepada pihak atasan mereka yang bahaya kalau menyerang umat Islam kerana umat Islam sentiasa sahaja bersedia.
Yang penting mereka kena takut dengan kita. Akan tetapi zaman sekarang tidaklah musuh Islam takut dengan kita. Ini kerana kita beli senjata pun daripada mereka, bukan? Tentulah mereka memberikan senjata yang berkelas rendah sahaja. Kalau kapal selam pun belum tentu boleh berselam lagi dan mereka tidak takut dengan kita kerana mereka tahu kita tidak ada semangat.
Musuh Islam itu ramai. Ada musuh yang jelas pada pandangan mata kita. Kalau pada zaman Nabi, ia adalah Musyrikin Mekah dan Yahudi yang mahu memutuskan perjanjian dengan umat Islam dan belot untuk menyerang umat Islam bila-bila masa sahaja.
وَءآخَرينَ مِن دونِهِم لا تَعلَمونَهُمُ اللَّهُ يَعلَمُهُم
dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.
Selain daripada musuh-musuh yang jelas, ada lagi musuh-musuh lain. Ada musuh yang tidak bertembung lagi dengan umat Islam. Mereka menunggu masa sahaja untuk menyerang umat Islam. Sebagai contoh, ada kerajaan Rom dan Parsi waktu itu. Semasa ayat ini diturunkan, para sahabat tidak sangka pun yang mereka nanti akan berperang dengan kuasa besar dunia pada waktu itu.
Atau ia mungkin bermaksud puak munafik. Ini kerana mereka itu musuh dalam lipatan. Nampak sahaja mereka itu seperti orang Islam yang lain, tetapi di dalam hati mereka menyimpan kebencian kepada Islam dan umat Islam. Golongan Mukminin tidak tahu siapa yang sebenarnya munafik, tetapi Allah ﷻ tahu.
Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu daripada Bani Quzairah iaitu salah satu golongan Yahudi. Mereka itu nanti akan bersekongkol dengan puak Mekah untuk cuba menjatuhkan umat Islam.
Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu adalah jin dan syaitan. Mereka itu memang musuh tetapi kita tidak nampak mereka.
Tentu ada lagi golongan musuh kita yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu siapakah musuh-musuh itu kerana mereka belum menjelaskan diri mereka lagi. Akan tetapi Allah ﷻ tahu siapakah mereka. Allah ﷻ tahu kebencian dan persediaan mereka untuk menyerang umat Islam. Maka kita kena bersedia supaya mereka pun tidak berani untuk menyerang umat Islam. Atau, kalau mereka menyerang, kita sudah bersedia. Begitulah yang terjadi pada zaman Khulafa ur Rashidin dulu. Orang-orang kafir amat takut dengan mereka kerana kekuatan yang mereka ada pada waktu itu.
Allah ﷻ kata kita tidak tahu siapa musuh kita, tetapi Dia mengetahui. Oleh itu, kita kena serahkan kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan kita kata puak itu atau puak ini musuh kita. Selagi tidak ada bukti yang jelas mereka khianat atau hendak menyerang kita, kita tidak boleh memusuhi mereka lagi. Oleh itu jangan senang-senang untuk memanggil orang lain sebagai Kafir Harbi pula. Beberapa tahun lepas kecoh juga negara kita kerana ada yang memanggil golongan parti politik seperti DAP itu Kafir Harbi. Ini tidak benar sama sekali. Salah takrif kalau begitu.
Begitu juga dengan orang munafik. Ia adalah rahsia Allah ﷻ, maka kita tidak boleh kata orang itu munafik atau tidak. Kita tidak tahu perkara ghaib iaitu dalam hati manusia. Amat menghairankan sekiranya ada orang yang menuduh orang lain sebagai munafik. Ya dia mungkin ada sifat-sifat munafik, namun janganlah kita terus panggil dia munafik pula kerana tuduhan ini amat berat.
وَما تُنفِقوا مِن شَيءٍ في سَبيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيكُم
Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu
Ini adalah targhib (ajakan) kepada infaq. Untuk menyediakan kelengkapan perang itu, memang infaq amat diperlukan sangat. Bukan sahaja persediaan senjata, tetapi gaji kepada askar pun memerlukan wang juga. Allah ﷻ beritahu yang mereka yang infaq akan diberi balasan dengan sepenuhnya malah berlebih lagi.
Ketika zaman dahulu, kerajaan Islam tidak ada tentera yang bergaji lagi. Maka semua peralatan senjata dan persediaan perang itu datang daripada orang Muslim. Mereka digalakkan untuk infaq dan Allah ﷻ menjanjikan balasan yang tinggi kepada mereka. Ia mungkin di dunia lagi di mana mereka mendapat harga ghanimah/anfal atau kalau tidak, tentu ia akan dibalas di akhirat kelak.
Infaq fisabilillah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah infaq untuk menegakkan dakwah islamiah, iaitu untuk menjadikan ajaran tauhid dikenali. Ini bukan infaq untuk membantu seperti bantu anak yatim dan sebagainya. Itu pun infaq juga, tetapi secara khusus, sementara infaq fisabilillah dalam ayat ini adalah untuk dakwah, termasuk juga untuk perang. Ini kerana kadang-kadang dakwah itu memerlukan peperangan. Kita sebutkan kerana ada yang menggunakan lafaz infaq fisabilillah untuk infaq yang biasa. Itu tidak berapa tepat.
Bagaimana pula untuk zaman sekarang yang sudah ada tentera? Juga tidak ada perang jihad lagi. Maka infaq yang digalakkan adalah infaq dalam membantu urusan dakwah secara lisan kepada manusia. Ini tidak syak lagi memerlukan bantuan daripada semua kalangan masyarakat Islam kita. Banyak persatuan dakwah yang memerlukan dana untuk mereka bergerak, maka peluang untuk infaq ini sentiasa sahaja ada.
وَأَنتُم لا تُظلَمونَ
dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)
Maksudnya segala kebaikan akan dibalas. Tidaklah Allah ﷻ tertinggal untuk memberikan pahala di atas segala kebaikan kita. Ini kerana Allah ﷻ tahu semua yang kita lakukan. Kalau bos di pejabat kita mungkin tidak balas segala kerja kita kerana dia tidak tahu apa yang kita buat semuanya sekali, tetapi Allah ﷻ maha tahu belaka apa yang kita lakukan.
Anfal Ayat 61: Ini adalah undang-undang ke 4. Apa yang perlu dilakukan jikalau kita rasa ada kebaikan untuk berdamai.
۞ وَإِن جَنَحوا لِلسَّلمِ فَاجنَح لَها وَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if they incline to peace, then incline to it [also] and rely upon Allāh. Indeed, it is He who is the Hearing, the Knowing.
(MALAY)
Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
وَإِن جَنَحوا لِلسَّلمِ
Dan jika mereka condong kepada perdamaian,
Kalimah السلم (perdamaian) adalah lawan kepada الحرب (perang). Kalimah ‘islam’ pun diambil daripada katadasar yang sama: س ل م iaitu bermaksud damai, aman, penyerahan. Islam mementingkan perdamaian. Oleh itu jika golongan kafir condong untuk berdamai dengan umat Islam, kita boleh berdamai dengan mereka.
Lafaz جَنَحوا berasal daripada katadasar ج ن ح yang bermaksud ‘sayap’. Maksud yang digunakan dalam ayat ini adalah mereka merendahkan sayap mereka terhadap umat Islam. Itu sebagai tanda yang mereka merendahkan diri dengan kita dan mahukan perdamaian. Sekiranya burung itu menaikkan sayapnya, itu adalah apabila ia hendak menyerang.
Mungkin ada yang berkata: “Takkan nak percaya kepada musuh pula?” Kita kena faham bahawa inilah akhlak Islam, iaitu mahu kepada perdamaian. Kita bukannya hendak bermusuh dan hendak berbunuhan.
Keduanya, kita tidak tahu apa yang di dalam hati manusia. Kita ikut yang zahir sahaja. Kalau zahirnya musuh mahu berdamai, maka kita boleh berdamai dengan mereka, tidak ada masalah kerana kita memang sukakan perdamaian. Sekiranya kita hendak tikam musuh dalam peperangan pun dan tiba-tiba dia mengucap, kita tidak boleh bunuh dia.
Itu pun jika ada kebaikan kepada Islam. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan kebaikan untuk mereka, tetapi kenalah dilihat kepada kebaikan kepada agama. Ini kerana agama Islam adalah agama yang benar dan tinggi daripada agama lain. Maka kita kena meninggikan agama Islam ini. Bukannya mengikut kepentingan agama lain.
Jika kita berdamai dengan musuh, kita boleh membuat kerja lain seperti dakwah. Tidaklah sibuk dengan berperang dan buat persediaan perang tanpa henti. Kerana itulah, ketika kaum musyrik pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah mengajukan usul perdamaian dan gencatan senjata antara mereka dan Rasulullah ﷺ selama sembilan tahun, Rasulullah ﷺ menerima usul mereka, sekalipun ada usul persyaratan lain yang diajukan mereka.
Pada waktu itu ada sahabat seperti Saidina Umar رضي الله عنه yang tidak setuju kerana nampak syarat-syarat itu tidak benar. Namun begitu ada kebaikan dalam perjanjian itu kerana kerja dakwah dapat berjalan dengan lebih pesat dan pada waktu itulah manusia paling ramai masuk Islam.
Dalam ayat ini disebut kalau musuh yang ajak berdamai. Ini menunjukkan kekuatan ada di pihak Muslim. Maka, bolehkah kita pula yang ajak berdamai? Bagaimana kalau kita dalam kedudukan yang lemah pula? Ulama’ mengatakan ia boleh dilakukan.
فَاجنَح لَها وَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ
maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah.
Jika pihak kafir mahu berdamai dan ada kebaikan untuk Islam, maka berdamailah dengan mereka. Namun kena faham yang ia tidaklah wajib, bergantung kepada keadaan. Maka pemimpin mesti membuat penilaian berdasarkan kepada keadaan. Sekiranya ia baik bagi agama Islam, maka seboleh-bolehnya hendaklah menerima ajakan perdamaian daripada mereka.
Selepas itu, apa sahaja yang akan berlaku selepas berdamai, serah sahaja kepada Allah ﷻ. Maknanya kenalah bertawakal kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana realitinya, kita tidak tahu apa yang mereka rancangkan. Mungkin pihak kafir itu ada tipu muslihat, hanya tunjuk berdamai sahaja tetapi membuat perancangan lain pula untuk menyerang kita. Kita pula sangka mereka sudah hendak berdamai, maka kita sudah kendurkan persediaan kita, tiba-tiba mereka serang kita pula. Tentulah kita di dalam keadaan tidak bersedia pada waktu itu.
Ini amat menakutkan jika terjadi. Kita tidak tahu apa rancangan mereka; kita juga tidak mampu untuk memasang mata kita di setiap tempat. Namun begitu, Allah ﷻ beritahu di sini yang kita tawakallah sahaja kepada Allah ﷻ. Maknanya, serah sahaja kepada Allah ﷻ hal mereka.
Akan tetapi jangan lupa syarat tawakal adalah pertama kenalah berusaha terlebih dahulu; dan kedua, kenalah taat kepada Allah ﷻ. Apabila ada dua perkara ini, barulah lengkap tawakal itu dan barulah Allah ﷻ akan bantu.
إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Kita tidak dengar perancangan jahat musuh (jika ada) dan kita tidak tahu apa yang di dalam hati mereka. Namun Allah ﷻ Maha Mengetahui. Sebab itu kita serahkan kepada Allah ﷻ kerana kita yakin yang Allah ﷻ mendengar apa yang mereka rancangkan. Allah ﷻ tahu apakah rancangan mereka – sama ada baik atau buruk. Kalau kita serah urusan kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan memberikan jalan terbaik bagi kita dan akan selamatkan kita.
Apabila telah diletakkan kalimah إِنَّهُ (sesungguhnya Dia) dan kemudian ditambah pula lagi dengan kalimah هُوَ (Dia) maka ini ada isyarat kepada eksklusif, iaitu *hanya* Allah ﷻ sahaja yang ada sifat Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Makhluk tidak ada kuasa ini.
Anfal Ayat 62: Ayat sebelum ini disebut jika orang kafir itu mahu berdamai maka terimalah damai itu dan tawakallah sahaja kepada Allah ﷻ. Ini kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar ingin berdamai atau tidak. Kita tentunya tidak tahu apa yang di dalam hati mereka. Kita tidak tahu sama ada mereka jujur ataupun tidak.
وَإِن يُريدوا أَن يَخدَعوكَ فَإِنَّ حَسبَكَ اللَّهُ ۚ هُوَ الَّذي أَيَّدَكَ بِنَصرِهِ وَبِالمُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But if they intend to deceive you – then sufficient for you is Allāh. It is He who supported you with His help and with the believers
(MALAY)
Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin,
وَإِن يُريدوا أَن يَخدَعوكَ فَإِنَّ حَسبَكَ اللَّهُ
Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah
Sekiranya mereka ingin menipu kamu; sebagai contoh, mereka kata mereka hendak berdamai namun kemudiannya mereka mengambil kesempatan untuk menjatuhkan kita, kemungkinan itu kita serah sahaja kepada Allah ﷻ.
Sesungguhnya cukuplah Allah ﷻ bagi kita sebagai penolong kita. Kena ingat yang Allah ﷻ tahu bagaimana untuk membalas kepada mereka jika mereka mengkhianati kita. Mereka tidak akan selamat kalau mereka ambil langkah begitu. Serahkan diri kita kepada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ tahu bagaimana hendak melindungi kita.
هُوَ الَّذي أَيَّدَكَ بِنَصرِهِ وَبِالمُؤمِنينَ
Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin,
Allah ﷻ sentiasa menyokong Nabi Muhammad ﷺ dengan bantuan-Nya. Bukan sahaja kepada baginda tetapi Allah ﷻ juga memberi bantuan kepada orang mukmin yang lain.
Allah ﷻ sudah sebut أَيَّدَكَ بِنَصرِهِ (Dia memperkuatmu dengan pertolongan-Nya) yang tentulah sudah cukup. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ sebut lagi bantuan بِالمُؤمِنينَ (dengan para mukmin)? Kita kenalah sedar yang bantuan Allah ﷻ boleh datang terus daripada-Nya yang tidak disangka-sangka, dan ada bantuan yang melalui perantaraan. Dalam kes ini, Allah ﷻ hendak memberitahu yang para mukmin yang membantu baginda itu pun sebenarnya adalah bantuan daripada Allah ﷻ juga. Allah ﷻ yang menggerakkan mereka membantu baginda.
Siapakah المُؤمِنينَ yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Ada beberapa pendapat:
1. Golongan Ansar. Mereka ini memberi tempat kepada muhajirin yang memerlukan tempat perlindungan selepas ditindas oleh Musyrikin Mekah.
2. Golongan Ansar dan Muhajirin. Gabungan kedua-dua golongan ini yang membantu Rasulullah ﷺ menegakkan agama Allah ﷻ .
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 3 November 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan