Anfal Ayat 63: Sebelum ini disebut golongan المُؤمِنينَ membantu Rasulullah ﷺ. Namun apakah kekuatan mereka sehingga dapat membantu baginda? Inilah cara bagaimana Allah ﷻ menolong golongan mukmin, iaitu dengan bersatu. Inilah juga asbab kenapa mereka telah mendapat kemenangan.
وَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِهِم ۚ لَو أَنفَقتَ ما فِي الأَرضِ جَميعًا مّا أَلَّفتَ بَينَ قُلوبِهِم وَلٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَينَهُم ۚ إِنَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And brought together their hearts. If you had spent all that is in the earth, you could not have brought their hearts together; but Allāh brought them together. Indeed, He is Exalted in Might and Wise.
(MALAY)
dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.
وَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِهِم
dan Yang mempersatukan hati mereka
Allah ﷻ menyatukan hati para mukmin yang berjuang bersama Nabi ﷺ. Inilah bantuan daripada Allah ﷻ. Ia berkenaan talian antara Muhajirin dan Ansar. Ini adalah salah satu perkara penting yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ apabila tiba di Madinah.
Sebelum itu puak Aus dan Khazraj juga telah disatukan hati mereka. Padahal sebelum itu dua puak ini berperang sesama sendiri selama beratus tahun lamanya. Akan tetapi dengan kedatangan Islam, mereka terus bersaudara dan tidak berperang lagi. Mereka dikenali dengan satu nama: Ansar (penolong). Dengan berkat Rasulullah ﷺ dan juga dengan izin Allah ﷻ, mereka bersatu hati. Mereka telah bersatu hati menerima puak Muhajirin dari Mekah itu.
Allah ﷻ beritahu di sini yang Dia menyatukan ‘hati-hati’ mereka. Allah ﷻ tidak hanya kata menyatukan mereka sahaja, tetapi dijelaskan yang hati itu yang disatukan. Ini mengajar kepada kita yang bersatu itu di hati, bukannya untuk tujuan lain seperti politik, wang dan kedudukan sahaja. Sekiranya bergabung untuk tujuan politik sahaja, atau untuk kewangan sahaja, maka itu bukanlah benar-benar bersatu walaupun parti itu namanya Parti Bersatu. Bersatu itu mesti di hati yang murni dan ikhlas.
Baginda telah menjadikan puak Ansar dan puak Muhajirin itu bersaudara. Nabi ﷺ memberikan keluarga angkat kepada setiap orang. Puak Muhajirin diberikan keluarga angkat dalam kalangan puak Ansar. Maka puak Ansar telah berkongsi apa sahaja yang mereka ada kepada saudara mereka dalam kalangan Muhajirin itu. Puak Ansar menerima baik kedatangan saudara mereka itu.
Mereka boleh bergabung dan hidup bersama itu adalah kerana pertolongan daripada Allah ﷻ, kerana Allah ﷻ yang tautkan hati mereka. Bayangkan, kalau di mana-mana tempat pun, kaum pendatang selalunya disisihkan dan dipandang serong oleh puak asal. Namun orang Ansar boleh menerima puak Muhajirin yang datang dari Mekah itu dengan amat baik.
Seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam firman-Nya:
{وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ}
dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian, ketika kalian dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kalian, lalu menjadikan kalian kerana nikmat Allah itu, orang-orang yang bersaudara, dan kalian telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kalian daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kalian, agar kalian mendapat petunjuk.
Maka dengan bantuan Allah ﷻ ini, mereka telah menjadi kuat. Ini adalah kerana ada 3 tonggak kekuatan umat Islam:
1. Akidah. Ini perlu dikuatkan dahulu. Tanpa akidah yang mantap, sia-sia sahaja hidup di dunia ini.
2. Ukhuwah. Apabila umat Islam bersaudara dan bersatu hati, maka mereka menjadi kuat dan tidak boleh roboh.
3. Silah. Kekuatan senjata ini hanya berguna jikalau dua yang pertama tadi ada. Ini kerana jika senjata kuat tetapi tiada akidah dan persaudaraan, maka mereka mudah dirobohkan dan dikalahkan.
Ketiga-tiga perkara ini mesti ada, barulah umat Islam akan kuat. Ia mestilah mengikut susunan. Tanpa akidah, semua itu tidak bermakna. Selepas kuat akidah, kena ada ukhuwah dan selepas itu barulah diperlukan silah. Maka, ketaatan kepada Allah ﷻ itu yang utama seperti yang Allah ﷻ sebut di dalam [ Ali Imran: 103 ]
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai
Lihatlah di sini Allah ﷻ sebutkan kepada berpegang dengan ‘tali Allah’. Yang dimaksudkan dengan tali Allah ﷻ adalah Al-Qur’an dan syariat. Apabila pegangan manusia itu sama, maka senang untuk bersatu. Kerana itu kita tekankan kepada pemahaman kepada Al-Qur’an sebelum apa-apa pun.
Perbezaan pendapat sekali sekala itu biasa sahaja sebagai manusia. Namun kenalah pandai menanganinya. Jangan sampai berkelahi, menghina, merendahkan, menuduh itu dan ini. Kita boleh sahaja berbeza pendapat tetapi boleh duduk makan semeja lagi.
Pada zaman sekarang ini ramai orang bercakap tentang bersatu. Namun mereka faham untuk bersatu itu, semua orang kena ikut cakap dia. Ini tidak akan terjadi. Sebab kita tidak akan dapat semua orang bersetuju dengan kita. Jika ada pendapat yang sama pun, itu bukanlah semua kerana kita semua ada pegangan dan pendapat sendiri. Namun apa yang penting kita mesti bersatu dalam pemahaman Al-Qur’an. Allah ﷻ beritahu di dalam [ Maryam: 96 ]
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.
لَو أَنفَقتَ ما فِي الأَرضِ جَميعًا مّا أَلَّفتَ بَينَ قُلوبِهِم
Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka,
Hanya dengan Qudrat dan kehendak Allah ﷻ sahaja yang boleh menyatukan hati-hati mereka. Jika Nabi ﷺ sendiri hendak satukan memang tidak boleh. Allah ﷻ beritahu, kalaulah baginda infaqkan harta sepenuh bumi untuk satukan hati Aus dan Khazraj, antara Muhajirin dan Ansar, baginda tentu tidak mampu lakukan.
Baginda tentu tidak mampu kerana mentaliti berpuak telah ada sejak zaman berzaman lagi dan tidak boleh dihilangkan daripada fikiran manusia. Lihatlah hari ini, walaupun kita sesama Islam, namun kita tetap berpuak-puak. Ini puak aswaja, ini puak sunnah; ini orang Islam Indonesia, ini orang Islam Malaysia, orang Islam dari Timur Tengah dan sebagainya.
Begitulah realitinya. Kita masih lagi lihat perbezaan antara kita dan ini amat menyedihkan kerana kita tidak dapat bersatu. Memang amat payah untuk bersatu. Oleh kerana tidak bersatu, kita lemah di mata dunia dan diperkotak katikkan oleh puak bukan Islam.
Ayat ini mengajar kita yang kalau gunakan wang dan harta untuk menyatukan manusia, tidak akan berjaya. Mungkin mereka tunjuk bersatu sekejap sahaja tetapi lama kelamaan akan hilang penyatuan itu.
وَلٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَينَهُم
akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.
Manusia tidak dapat menyatukan hati manusia, tetapi Allah ﷻ jua yang mampu untuk menyatukannya kalau mereka mentauhidkan Allah ﷻ. Oleh itu, kalau hendak bersatu, mestilah berpegangan tauhid. Sekiranya semua berpegang dengan fahaman tauhid yang sama, panduan Al-Qur’an yang sama, Allah ﷻ boleh menghilangkan perbezaan antara manusia.
Dengan Al-Qur’anlah sahaja umat manusia boleh bersatu. Jika semua berpegang dengan Al-Qur’an, barulah boleh duduk sama. Allah ﷻ telah pernah melakukannya dahulu di Madinah – mereka berpegang kepada wahyu yang sama, dan kerana itu mereka boleh bersatu.
Orang selalu kata yang umat Islam sudah tidak bersatu. Akan tetapi tidak ramai yang bertanya, apakah yang boleh menyatukan kita kembali? Jawapannya: dengan Al-Qur’an. Apabila kita ada sumber rujukan yang sama, maka akan bersatulah kita, sebagaimana puak Ansar dan puak Muhajirin dapat bersatu kerana Al-Qur’an.
Oleh kerana itu, kita kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya faham apakah yang dikehendaki oleh Allah ﷻ supaya semua kita ada fahaman yang sama, sekurang-kurangnya tentang tauhid. Ini kerana perpecahan yang besar sekarang adalah tentang tauhid. Kalau kita dapat satukan, itu sudah cukup kuat.
Untuk belajar tafsir Al-Qur’an dan memahami Al-Qur’an, kita hendaklah mulakan belajar untuk menguasai bahasa Arab. Itulah cara terbaik. Kita belajar bahasa Arab kerana cinta kita kepada agama. Jika kita sayangkan bahasa Arab, ia boleh meningkat kasih kita sesama umat.
Sekiranya Bahasa Arab diterapkan dalam diri umat Islam, maka akan mudah untuk bersatu. Ini adalah kerana kita sudah ada satu bahasa perantaraan antara kita. Satu bahasa untuk semua Muslim! Kalau itu berjaya, maka senang untuk berinteraksi, senang untuk berbincang dan bersembang. Ia akan menjadi satu tali yang mengikat kita semua. Pergi mana-mana negara yang ada orang Islam pun, semua bercakap satu bahasa.
إِنَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ
Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Termasuk mempersatukan hati-hati manusia.
Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam merancang segala sesuatu. Apa-apa yang berlaku adalah atas kebijaksanaan Allah ﷻ.
Anfal Ayat 64: Ini adalah undang-undang peperangan yang ke 5. Ayat ini adalah khitab untuk Nabi Muhammad ﷺ.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَسبُكَ اللَّهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ المُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O Prophet, sufficient for you is Allāh and for whoever follows you of the believers.
(MALAY)
Hai Nabi, cukuplah Allah (menjadi Pelindung) bagimu dan bagi orang-orang mukmin yang mengikutimu.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَسبُكَ اللَّهُ
Hai Nabi, cukuplah Allah bagimu
Nabi Muhammad ﷺ diingatkan dalam ayat ini, dalam menentang orang kafir itu, cukuplah Allah ﷻ sebagai pembantu baginda. Nabi ﷺ tidak perlu selain Allah ﷻ.
Ini mengajar kita yang Allah ﷻ cukup bagi kita. Kalau tidak, segala apa yang selain-Nya tidak akan dapat mencukupkan kita. Sama ada harta yang banyak, keluarga yang ramai atau pengikut yang banyak. Ramai orang yang ada semua itu, tetapi hatinya tetap ada rasa tidak puas, bukan? Ini kerana Allah ﷻ tidak ada dalam hatinya. Pergantungannya bukan kepada Allah ﷻ tetapi kepada benda.
Lihatlah doa ghulam (budak) di dalam kisah Surah Buruj di mana dia berdoa apabila diseksa oleh raja yang zalim:
اللهم أكفنيهم بما شئت
Ya Allah cukupkanlah aku dalam urusanku dengan mereka sekehendakmu
وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ المُؤمِنينَ
dan bagi orang-orang mukmin yang mengikutimu.
Ini pula adalah khitab kepada orang mukmin. Cukuplah Allah ﷻ sebagai pembantu kepada orang-orang yang mengikut Nabi Muhammad ﷺ dalam kalangan para mukmin. Oleh itu, kita kena bergantung kepada Allah ﷻ, kena rasa cukup dengan bantuan Allah ﷻ. Kalau orang lain tidak tolong pun, Allah ﷻ tetap akan tolong.
Maka ada perbezaan terjemahan di sini. Satu terjemahan yang agak tidak tepat (walaupun ia adalah pendapat Hasan Basri) adalah begini: Wahai Nabi, cukuplah bagi engkau Allah dan orang-orang mukmin. Sebaliknya yang lebih tepat adalah Wahai Nabi, cukuplah Allah bagimu, dan bagi orang-orang mukmin, cukuplah juga Allah bagi mereka. Boleh ya nampak perbezaan itu?
Akan tetapi jikalau kita ambil pendapat Imam Hasan رحمه الله itu pun boleh juga. Iaitu bantuan Allah ﷻ adalah bantuan yang sebenarnya dan orang-orang Mukmin itu pula ada bantuan secara fizikal.
Allah ﷻ mengobarkan semangat Nabi ﷺ dan orang-orang mukmin untuk berperang melawan musuh dan menghadapi mereka dalam medan-medan perang. Allah ﷻ memberitahu kepada mereka bahawa Dialah yang akan memberikan kecukupan kepada mereka.
Allah ﷻlah yang akan menolong mereka dan mendukung mereka dalam menghadapi musuh, sekalipun jumlah musuh mereka lebih banyak bilangannya dan bala bantuannya berlipat ganda, sedangkan jumlah pasukan kaum mukmin sedikit.
Habis Ruku’ 8 daripada 10 ruku’ surah ini
Anfal Ayat 65: Ayat ini juga untuk Nabi ﷺ atau untuk pemimpin yang memimpin umat Islam dalam peperangan.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ المُؤمِنينَ عَلَى القِتالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُم عِشرونَ صٰبِرونَ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O Prophet, urge the believers to battle. If there are among you twenty [who are] steadfast, they will overcome two hundred. And if there are among you one hundred [who are] steadfast, they will overcome a thousand of those who have disbelieved because they are a people who do not understand.
(MALAY)
Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ المُؤمِنينَ عَلَى القِتالِ
Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang.
Seorang pemimpin negara hendaklah sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada mukmin untuk sentiasa berjuang, jangan duduk diam. Negara Islam mesti berjuang di atas jalan Allah ﷻ, jalankan dakwah tauhid kepada manusia. Ini adalah tugas khalifah negara Islam. Mestilah memberikan galakan dan motivasi dalam ceramah, dalam promosi dan sebagainya, ikut keadaan semasa.
Kerana itulah Rasulullah ﷺ selalu mengobarkan semangat pasukan kaum mukmin untuk berperang di kala mereka telah berbaris dan menghadapi musuh-musuhnya. Seperti yang pernah disabdakannya kepada para sahabatnya dalam Perang Badar, iaitu ketika pasukan kaum musyrik datang dengan semua kekuatannya, iaitu:
“قُومُوا إلى جنة عرضها السموات والأرض”
Bangkitlah kalian menuju syurga yang luasnya sama dengan langit dan bumi.
Maka Umair ibnul Hammam رضي الله عنه bertanya, “Luas syurga itu sama dengan langit dan bumi?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Ya.” Umair رضي الله عنه berseru, “Wah. Wah!” Rasulullah ﷺ bertanya, “Mengapa kamu katakan wah, wah?” Umair رضي الله عنه menjawab, “Saya berharap semoga saya termasuk penghuninya.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Engkau termasuk salah seorang penghuninya.” Maka Umair رضي الله عنه maju dan mematahkan sarung pedangnya, lalu mengeluarkan beberapa biji kurma dan memakan sebahagiannya, kemudian sisanya yang masih dipegangnya beliau buang, lalu berkata, “Seandainya saya masih hidup hingga dapat memakan semuanya, sesungguhnya hal itu merupakan hidup yang panjang.” Kemudian beliau maju dan bertempur hingga gugur sebagai syuhada.
(Sahih Muslim (1901))
Daripada hadith ini kita dapat tahu yang cara baginda membangkitkan semangat umat Islam adalah dengan menjanjikan mereka dengan balasan syurga.
Kenapakah baginda mesti membangkitkan semangat mereka? Ini adalah kerana manusia memang tidak suka berperang kerana ada kemungkinan nyawa mereka akan melayang. Ini seperti disebut di dalam [ Baqarah: 216 ]
كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Manusia hendaklah diberikan janji balasan syurga yang lebih besar daripada kematian. Kematian di medan jihad tidaklah sia-sia kerana balasannya amatlah besar. Akan tetapi yang mahu berpegang dengan janji ini tentulah orang yang benar-benar beriman dan percaya kepada janji Allah ﷻ.
Ayat ini diturunkan di waktu Jihad Qital belum diwajibkan lagi kepada umat Islam lagi. Ia adalah fardhu kifayah pada waktu itu – sebab itulah harus mengajak dan menggalakkan umat Islam untuk berperang. Ini termasuklah dalam Perang Badr dan Uhud.
Hanya apabila Perang Tabuk barulah diwajibkan semua umat Islam yang mampu, untuk berperang. Ini disebut dalam Surah Tawbah. Di awal Islam, hadir untuk berperang adalah atas dasar sukarela. Ini adalah kerana pada waktu itu negara Islam masih baru dan tidak boleh untuk mewajibkan kehadiran dalam peperangan lagi.
Oleh kerana ia adalah sukarela, kenalah beri galakan kepada umat Islam untuk menyertainya. Hanya apabila Mekah telah dibuka dan dibersihkan daripada berhala syirik dan amalan syirik, barulah lengkap objektif Negara Islam dan pada waktu itu barulah diwajibkan berperang kepada umat Islam. Pada ketika itu, sekiranya tidak boleh menyertai peperangan yang diwajibkan, maka mereka yang tidak dapat pergi mesti mendapatkan keizinan daripada Nabi ﷺ untuk tidak menyertai peperangan.
إِن يَكُن مِّنكُم عِشرونَ صٰبِرونَ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ
Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh.
Ini adalah berita gembira. Allah ﷻ memberitahu, sekiranya umat Islam hanya ada 20 orang sahaja tentera, tetapi mereka boleh bersabar di medan perang, maka mereka boleh mengalahkan 200 orang kafir. Oleh itu, nisbahnya adalah 1:10. Setiap orang dapat mengalahkan sepuluh orang kafir.
Allah ﷻ telah sebut di dalam [ Baqarah: 249 ] yang golongan yang sedikit boleh mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah ﷻ.
كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ
Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah
Di sini Allah ﷻ hendak memberitahu yang kekuatan umat Islam bukanlah bergantung kepada bilangan tetapi di atas iman. Allah ﷻ juga hendak memberitahu yang walaupun orang kafir itu ramai, tetapi mereka lemah sahaja.
وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا
Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir,
Manakala jika ada 100 orang tentera Islam yang mempunyai sifat sabar, mereka boleh mengalahkan 1,000 orang kafir. Masih lagi dalam nisbah 1:10 dan ini adalah nisbah yang ditetapkan waktu dahulu. Ini adalah janji daripada Allah ﷻ.
Dari segi hukum, jika menggunakan nisbah 1:10, orang Islam tidak boleh lari dari medan pertempuran jika tidak lebih daripada 10 orang musuh yang mereka kena lawan. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah berjanji akan memberi kemenangan kepada mereka untuk nisbah itu.
Nisbah ini kemudiannya diringankan dalam ayat seterusnya selepas ini. Iaitu kemudiannya, perintah ini di-mansukh, tetapi berita gembiranya masih tetap berlangsung.
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ
نَزَلَتْ
{ إِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ }
فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ حِينَ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ أَنْ لَا يَفِرَّ وَاحِدٌ مِنْ عَشَرَةٍ ثُمَّ إِنَّهُ جَاءَ تَخْفِيفٌ فَقَالَ
{ الْآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنْكُمْ }
قَرَأَ أَبُو تَوْبَةَ إِلَى قَوْلِهِ
{ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ }
قَالَ فَلَمَّا خَفَّفَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ مِنْ الْعِدَّةِ نَقَصَ مِنْ الصَّبْرِ بِقَدْرِ مَا خَفَّفَ عَنْهُمْ
Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata, telah turun ayat, “Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh.”
Maka hal tersebut terasa berat atas orang-orang Muslim di saat Allah ﷻ mewajibkan kepada mereka agar tidak seorang pun lari daripada sepuluh orang musuh.
Kemudian datang keringanan, Allah ﷻ berfirman, “Sekarang Allah telah meringankan kepadamu…..”
Abu Taubah membacanya hingga firman-Nya: “…. dapat mengalahkan dua ratus orang kafir.”
Abu Taubah berkata, tatkala Allah ﷻ memberikan keringanan kepada mereka dalam hal jumlah maka berkuranglah kesabaran sesuai kadar keringanan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka.
(Hadith Riwayat Abu Daud (2275) disahihkan oleh Albani)
بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ
disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.
Walaupun tentera mukmin itu kurang dari segi bilangan, namun mereka boleh mengalahkan orang kafir yang lebih ramai daripada mereka kerana orang kafir itu kaum yang tidak kenal Allah ﷻ dan tidak memahami agama. Maka mereka tidak tahu dan percaya dengan janji-janji Allah ﷻ. Sedangkan umat Islam mempercayai benar dengan janji-janji Allah ﷻ dan kerana itu mereka tidak takut jihad kerana mereka memang mengejar mati syahid.
Oleh kerana orang kafir itu tidak memahami agama, maka mereka tidak ikut undang-undang yang Allah ﷻ telah tetapkan dan Allah ﷻ tidak akan berpihak kepada mereka. Bila Allah ﷻ tidak berpihak kepada mereka, mereka tidak akan mendapat kemenangan.
Mereka juga tidak memahami kenapa mereka berperang. Mereka tidak ada satu tujuan yang besar (menuju ke syurga). Mereka cuma ikut sahaja arahan daripada pihak atasan. Mungkin mereka ditawarkan dengan balasan keduniaan seperti harta. Ini bukanlah motivasi yang kuat. Apabila seseorang yang keluar berperang tanpa sebab yang besar, mereka akan lemah. Begitulah yang terjadi zaman sekarang.
Sebagai contoh, banyak kisah bagaimana tentera Amerika yang bertugas di Iraq dan negara-negara Arab lain, menulis surat kepada keluarga mereka dan mengaku yang mereka pun tidak tahu kenapakah mereka berperang. Semangat mereka tidak ada. Mereka berperang kerana arahan sahaja dan mereka tidak tahu kenapa mereka perlu pergi ke sana.
Sedangkan mereka yang mempunyai tujuan peperangan dan kenapa mereka keluar berperang, mereka itu akan sepuluh kali ganda lebih kuat. Semangat mereka kental. Sebagai Muslim apabila mereka keluar sahaja untuk berjihad, mereka sudah menang kerana sekiranya mereka mati, mereka akan mati syahid dan mereka akan terus masuk ke syurga. Jika menang dan hidup, mereka akan dapat pahala yang hebat dan mungkin harga ghanimah.
Dari segi bahasa, kalimah فقه itu lebih hebat daripada عليم. Orang yang alim itu mungkin tahu ilmu secara mendalam akan tetapi dia tidak mempraktikkan ilmunya itu. Orang yang faqih itu bukan sahaja alim, tetapi dia mengamalkan ilmu yang diketahuinya. Namun untuk menjadi faqih, haruslah menjadi alim terlebih dahulu. Maka beruntunglah orang yang diberikan فقه seperti sabda Rasulullah ﷺ:
من يرد الله به خيرًا يفقه في الدين
Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, Dia akan memberikan kefahaman agama kepadanya.
(Muttafaqun alaih)
Di sini kita boleh lihat kepentingan berfikir. Allah ﷻ mahu kita menggunakan akal kita untuk menilai semua perkara terutama sekali tentang agama. Malangnya ramai yang tidak menggunakan fakulti yang Allah ﷻ telah berikan ini dan ikut sahaja manusia lain tanpa periksa.
Anfal Ayat 66: Ini adalah ayat rukhsah (keringanan). Ia membatalkan hukum di dalam ayat 65 tadi. Ini adalah dalil yang adanya ayat nasikh dan mansukh.
الئٰنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا ۚ فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Now, Allāh has lightened [the hardship] for you, and He knows that among you is weakness. So if there are from you one hundred [who are] steadfast, they will overcome two hundred. And if there are among you a thousand, they will overcome two thousand by permission of Allāh. And Allāh is with the steadfast.
(MALAY)
Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.
الئٰنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم
Sekarang Allah telah meringankan kepadamu
Dalam ayat sebelum ini, nisbah yang digunakan oleh Allah ﷻ adalah 1:10. Jika seorang Muslim menghadapi sepuluh orang dalam kalangan tentera kafir, dia tidak boleh melarikan diri. Dalam ayat ini, Allah ﷻ meringankan untuk umat Islam.
وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا
dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan.
Kenapakah Allah ﷻ meringankan nisbah itu? Allah ﷻ meringankan kerana Allah ﷻ tahu ada kelemahan pada diri umat Islam. Ini kerana umat Islam sudah semakin ramai apabila ramai yang sudah mula masuk Islam. Mereka sudah masuk Islam akan tetapi iman mereka belum diuji lagi seperti iman umat Islam yang awal.
Memang mereka sudah ramai dari segi kuantiti, namun belum tentu ia sama dari segi kualiti. Kemenangan bukanlah kerana kekuatan tentera tetapi Allah ﷻ bantu apabila mereka ada kekuatan dari segi keimanan.
Begitulah Islam ini adalah agama rahmah dan tidak memberatkan manusia melebihi kemampuan mereka.
فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ
Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir;
Ini adalah undang-undang yang baru: kalau ada 100 orang sabar dalam kalangan tentera Muslim, mereka boleh mengalahkan 200 orang kafir. Maknanya satu Muslim melawan dua orang kafir.
Dari segi hukum, jika bilangan tentera itu untuk setiap orang mesti melawan dua orang kafir, maka tidak boleh lari dari medan peperangan, kena teruskan berperang, tidak boleh berundur diri. Oleh itu, sekiranya lebih daripada itu, dibenarkan untuk berundur. Ini kerana Allah ﷻ tidak menjanjikan kemenangan untuk nisbah melebihi 1:2 itu. Oleh itu, pemimpin perang mestilah memikirkan strategi peperangan. Jika bilangan sekali ganda sahaja, maka masih boleh menang lagi.
وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ
dan jika di antaramu ada seribu orang, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang,
Masih mengekalkan nisbah 1:2. Sekiranya ada seribu orang yang sabar, masih boleh mengalahkan 2,000 kafir dengan izin Allah ﷻ.
بِإِذنِ اللَّهِ
dengan izin Allah.
Namun harus diingatkan, kemenangan itu mestilah dengan izin Allah ﷻ juga. Bukan dengan kekuatan tentera Muslim. Allah ﷻ yang menentukan siapakah yang menang dan siapakah yang kalah. Sekiranya tentera Islam itu menjaga segala syarat peperangan yang telah ditetapkan, Allah ﷻ pasti akan memberikan kemenangan.
Maknanya, syarat mestilah diikuti. Tidaklah pasti kemenangan jika tidak menepati syarat.
وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.
Salah satu syarat yang Allah ﷻ sebutkan dalam ayat ini, hendak sentiasa bersabar dalam menjaga hukum. Maksudnya, bertaqwa dengan menjaga segala hukum yang Allah ﷻ telah berikan. Allah ﷻ pasti akan memberi bantuan kerana Allah ﷻ telah berjanji dalam ayat ini. Dengan kesabaranlah yang Allah ﷻ akan memberikan kemenangan kepada kita, iaitu dengan berkat sabar.
Allah ﷻ tidak kata Dia معكم (bersama kamu) tetapi bersama orang yang sabar. Ini kerana معكم bermaksud hanya dengan para sahabat pada waktu itu sahaja. Maka Allah ﷻ luaskan iaitu asalkan bersabar, Allah ﷻ akan bersama sesiapa golongan mukminin di mana-mana zaman.
Allah ﷻ juga hendak meletakkan syarat sabar untuk mendapat bantuan-Nya. Sekiranya para sahabat pun tidak bersabar, Allah ﷻ juga tidak akan bantu mereka.
Allah ﷻ tidak pernah kata Dia bersama orang salat, orang yang berpuasa, bukan? Ini adalah kerana semua itu adalah rukun dan wajib dilakukan oleh semua orang. Namun begitu, bersabar ini adalah sesuatu yang memerlukan usaha daripada manusia. Allah ﷻ tidak pula meletakkan sabar sebagai rukun kerana susahlah untuk kita hendak menjaganya, bukan? Kerana kadang-kadang kita hilang sabar.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 9 November 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan