Tafsir Surah Maryam Ayat 90 – 98 (Kasih sayang sesama Muslim)

Ayat 90: Inilah kesan daripada perbuatan kata-kata mereka itu.

تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِنهُ وَتَنشَقُّ الأَرضُ وَتَخِرُّ الجِبالُ هَدًّا

Sahih International

The heavens almost rupture therefrom and the earth splits open and the mountains collapse in devastation

Malay

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

 

تَكَادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian,

Makhluk-makhluk Allah ‎ﷻ yang lain terkejut dan marah dengan kata-kata manusia yang mengadakan anak bagi Allah ‎ﷻ. Pertama yang disebut dalam ayat ini adalah ‘langit’. Hampir-hampir terpecah langit itu. Langit itu amatlah kukuh, tetapi disebabkan oleh kata-kata mereka, hampir-hampir pecah tujuh lapis langit itu.

 

وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ

dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah,

Bayangkan bumi yang gagah dan kuat ini pun hampir terbelah. Kenapa mereka hampir terbelah? Kerana marah dengan perbuatan dan kata-kata manusia yang melampau tentang Allah ‎ﷻ.

 

وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

Kalimah هَدًّا adalah apabila sesuatu itu terjatuh dan bukan jatuh sahaja tetapi yang akan menggegarkan bumi. Bayangkan bangunan diruntuhkan. Betapa kuatnya gegaran itu. Bukankah gunung ganang ini adalah pasak kepada bumi? Lihatlah kukuhnya kedudukan gunung itu. Namun hampir runtuh ranap disebabkan oleh perkataan manusia.

Dalam Ahzab:33 ada disebut tentang bagaimana tanggungjawab menjadi khalifah di bumi telah ditawarkan kepada tiga makhluk itu – langit, bumi dan gunung-ganang. Ketiga-tiga makhluk Allah ‎ﷻ itu tidak mahu kerana mereka takut dengan tanggungjawab itu (kerana ia terlalu berat). Mereka hendak menjadi makhluk yang taat sahaja. Mereka tidak mahu diberikan nafsu dan pilihan untuk taat atau tidak tetapi manusia berani untuk terima.

Jadi, apabila manusia buat kesalahan syirik yang amat berat, makhluk-makhluk itu marah sangat. Mereka marah kerana manusia lalai dengan tanggungjawab yang manusia telah setuju untuk pikul.

Makhluk-makhluk itu berkhidmat untuk manusia kerana Allah ‎ﷻ telah kata dalam Al-Qur’an bahawa segala yang dijadikan ini adalah untuk kita. Namun hampir-hampir mereka hendak menghancurkan kita. Kalau kita lihat sekarang, tidak jadi pun begitu. Tidaklah langit pecah, tidaklah bumi hancur lagi. Walaupun manusia memang banyak yang buat syirik sekarang dari zaman berzaman.

Ini adalah kerana apabila mereka minta untuk hancurkan manusia, Allah ‎ﷻ tidak benarkan. Dan mereka menurut perintah Allah ‎ﷻ. Itu pun satu pengajaran juga kepada kita. Lihatlah betapa taatnya mereka kepada Allah ‎ﷻ. Hanya pada hari Kiamat nanti baru mereka dibenarkan, ‘dilepaskan’ untuk menghancurkan manusia. Tidak lama lagi akan sampai waktu yang menakutkan itu.


 

Ayat 91: Kenapa makhluk-makhluk itu marah sangat?

أَن دَعَوا لِلرَّحمٰنِ وَلَدًا

Sahih International

That they attribute to the Most Merciful a son.

Malay

Kerana mereka mendakwa: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

 

Langit, bumi dan gunung ganang marah kerana golongan yang melakukan syirik itu mengatakan ada entiti-entiti yang rapat dengan Allah ‎ﷻ seperti anak angkat. Dan kerana kedudukan rapat itu mereka telah memuja dan menyembah entiti-entiti itu supaya kononnya dapat mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ.

Inilah yang menyebabkan langit, bumi dan gunung-ganang marah sangat. Kata-kata itu adalah kata-kata yang amat buruk sekali, syirik dan amat besar sekali kata-kata mereka itu daripada segi dosa dan keingkaran.


 

Ayat 92: Perkara-perkara yang disebut dalam ayat ini adalah perkara asas sahaja. Tentang percaya kepada Allah ‎ﷻ, percaya kepada Hari Kebangkitan, tentang Allah ‎ﷻ tidak ada anak dan sebagainya. Ia macam kursus iman — 101.

Nampak macam mudah sahaja. Tetapi kadang-kadang kita kena cakap perkara asas kepada manusia, kerana ramai yang tidak faham. Apabila kita bercakap tentang iman, kita kena ceritakan sejelas-jelasnya. Bandingkan dengan perkara fiqh, Allah ‎ﷻ cuma sebut secara ringkas sahaja dalam Al-Qur’an dan seterusnya dijelaskan dengan panjang lebar oleh Nabi ﷺ (dalam hadith) dan dijelaskan lagi oleh ulama’. Itu tentang fiqh.

Tetapi, berkenaan tauhid, Allah ‎ﷻ jelaskan sejelas-jelasnya dalam Al-Qur’an supaya tidak ada kekeliruan pada manusia. Maka sekarang, Allah ‎ﷻ sambung lagi tentang hal ‘anak Tuhan’ ini. Sebab perkara ini perlu diberitahu dengan jelas agar tidak ada ruang untuk kurang faham. Yang tak faham itu sebab tak belajar tafsir sahaja.

وَما يَنبَغي لِلرَّحمٰنِ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا

Sahih International

And it is not appropriate for the Most Merciful that He should take a son.

Malay

Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak.

 

وَمَا يَنبَغِي لِلرَّحْمَٰنِ

Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman,

Allah‎ ﷻ maha besar daripada memerlukan anak atau anak angkat. Kita memanglah layak dan memerlukan anak. Tapi Tuhan lain sangat daripada manusia dan makhluk yang lain. Jangan samakan kita dengan Tuhan.

 

أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا

bahawa Dia mempunyai anak.

Akidah Allah ‎ﷻ ada anak ini adalah akidah syirik. Ia adalah akidah dan fahaman yang diajar oleh syaitan untuk menyesatkan manusia. Syaitan yang ajar manusia melantik ‘anak angkat’ bagi Allah ‎ﷻ dan kemudian syaitan akan sesatkan lagi manusia dengan mengajar manusia cara berdoa menggunakan perantaraan anak angkat itu.

Kemudian langkah seterusnya adalah berdoa terus kepada anak angkat itu dan kemudian terus menyembahnya. Maka lengkaplah proses mensyirikkan anak Adam.

Sebagai contoh, dahulu manusia menjadikan Nabi Isa عايه السلام sebagai wasilah (perantaraan) sahaja dalam doa kepada Tuhan. Tapi lama kelamaan banyak manusia yang sembah terus Nabi Isa عليه السلام.

Begitu juga dulu golongan Syiah menjadikan Saidina Hussein رضي الله عنه sebagai wasilah sahaja dalam doa kepada Allah ‎ﷻ. Tapi lama kelamaan mereka terus minta kepada Saidina Hussein رضي الله عنه.


 

Ayat 93: Kenapa Allah ‎ﷻ tidak memerlukan anak? Untuk memahaminya, kita kena lihat balik apakah keperluan anak? Anak itu perlu kepada manusia kerana manusia perlukan sokongan. Dan kita teringin untuk ada anak supaya ada yang mewarisi daripada kita, menyambung keturunan kita.

Kita juga teringin ada anak supaya kita dapat bergembira bermain-main dengan anak itu. Kita juga perlukan bantuan anak dalam banyak perkara (seperti membantu dalam kerja, mempertahankan keluarga dan lain-lain). Jadi memang kita perlukan anak atas sebab-sebab di atas, tapi Allah‎ ﷻ tidak perlukan semua itu.

إِن كُلُّ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ إِلّا ءآتِي الرَّحمٰنِ عَبدًا

Sahih International

There is no one in the heavens and earth but that he comes to the Most Merciful as a servant.

Malay

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.

 

إِن كُلُّ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi

Maksudnya seluruh makhluk yang Allah ‎ﷻ telah cipta di alam ini.

 

إِلَّا ءآتِي الرَّحْمٰنِ عَبْدًا

melainkan dia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.

Semua makhluk akan datang mengadap Allah ‎ﷻ. Tidak boleh elak lagi. Bagaimana mereka akan datang nanti? Sebagai hamba.

Semua akan tunduk patuh kepada Allah ‎ﷻ. Waktu itu, semua akan sedar dan terima bahwa mereka adalah hamba sebenar-benar hamba kepada Allah ‎ﷻ. Kalau di dunia mereka mungkin tidak mengaku, tidak mahu terima diri sebagai hamba Allah ‎ﷻ, tapi di akhirat nanti mereka akan terima juga.

Mereka yang terima diri mereka sebagai hamba kepada Allah ‎ﷻ semasa di dunia ini lagi, ikut arahan Allah ‎ﷻ, pasti akan datang ke akhirat dengan rela menjadi hamba. Mereka akan datang dengan hati yang suka gembira. Sebab mereka memang terima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan.

Tapi mereka yang tidak menerima diri mereka sebagai hamba pun, akan kena datang bertemu dengan Allah ‎ﷻ juga dengan cara terpaksa. Sama ada mereka rela atau tidak, suka atau tidak. Tapi, apabila mereka datang tanpa rela, mereka akan datang dengan keadaan payah. Jadi, lebih baik kita terima siap-siap bahawa diri kita adalah hamba. Ini akan memudahkan kita datang kepada Allah ‎ﷻ nanti.

Ayat ini menegaskan sekali lagi bahawa *semua* sekali akan datang mengadap Allah ‎ﷻ dalam status sebagai *hamba*. Tidak lebih daripada itu. Ini menolak pendapat yang kata Nabi Isa عليه السلام itu anak Allah ‎ﷻ, Uzair anak Allah ‎ﷻ, malaikat itu anak perempuan Allah ‎ﷻ dan sesiapa sahaja yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada ambil anak. Tidak sama sekali. Semua akan datang kepada Allah ‎ﷻ sebagai hamba, tidak lebih daripada itu.

Semuanya sama sahaja status mereka di hadapan Allah ‎ﷻ. Tidak ada yang ada kuasa lebih daripada seorang hamba. Nabi Muhammad ﷺ pun akan hadir sebagai hamba, semua Nabi عليهم السلام pun sebagai hamba, wali yang mereka puja itu juga akan datang sebagai hamba, malaikat malah sesiapa sahaja, akan mengadap Allah ‎ﷻ sebagai hamba. Mereka akan duduk di hadapan Tuhan pada hari Kiamat itu, bukannya duduk di sebelah Tuhan.


 

Ayat 94:

لَقَد أَحصٰهُم وَعَدَّهُم عَدًّا

Sahih International

He has enumerated them and counted them a [full] counting.

Malay

Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.

 

لَّقَدْ أَحْصٰهُمْ

Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka

Kalimah أَحْصَ bermaksud ambil kira selepas mereka dikumpulkan. Semua sekali akan dihimpunkan depan Allah ‎ﷻ. Kemudian mereka akan dikira satu-satu. Tidak ada yang akan terlepas dan dapat lari daripada hadir ke mahsyar. Macam cikgu sekolah ambil kedatangan.

 

وَعَدَّهُمْ عَدًّا

serta menghitung mereka satu persatu.

Kemudian semua perbuatan mereka kecil atau besar akan dikira satu persatu. Semuanya ada dalam Kitab Amal mereka. Setiap kali mereka menyebut perkara yang syirik, ia akan ditulis. Setiap kali mereka berbuat dosa atau pahala, akan ditulis.


 

Ayat 95:

وَكُلُّهُم ءآتيهِ يَومَ القِيٰمَةِ فَردًا

Sahih International

And all of them are coming to Him on the Day of Resurrection alone.

Malay

Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.

 

وَكُلُّهُمْ ءآتِيهِ

Dan mereka semua akan datang mengadapNya

Perkataan آتِيهِ itu dalam bentuk isim untuk menunjukkan bahawa ia pasti akan terjadi.

 

يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

pada hari kiamat

Hari Kiamat pasti akan terjadi. Dan kita semua pasti akan menemuiNya. Maka kita kena bersedia dari sekarang. Bagaimanakah cara kita menemuiNya nanti?

 

فَرْدًا

seorang diri.

Mereka yang malang akan datang berseorangan.

Atau mungkin bermaksud semua makhluk akan mengadap Allah ‎ﷻ berseorangan. Memang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini bagaimana orang yang bertaqwa akan datang beramai-ramai. Tapi ada masanya akan ada juga mengadap Allah ‎ﷻ berseorangan. Sebab semua makhluk kena lalui proses itu. Iaitu bertemu dengan Allah ‎ﷻ berseorangan.


 

Ayat 96: Ini tentang mereka yang selamat.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا

Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – the Most Merciful will appoint for them affection.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.

 

إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Iaitu mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ dan perkara-perkara ghaib  yang perlu diimani. Iaitu perkara yang telah termaktub dalam akidah yang benar.

Ia juga bermaksud mereka yang ikhlas dalam ibadat mereka. Oleh kerana mereka beriman dengan Allah ‎ﷻ, maka mereka beramal kerana Allah ‎ﷻ.

Ia juga bermaksud mereka yang tidak melakukan syirik atau memiliki fahaman syirik. Ini pun penting kerana kadangkala ada yang tidak buat amalan syirik tapi ada pula fahaman syirik. Seperti mereka percaya yang kalau burung hantu berbunyi, itu tanda seseorang akan mati.

Maklumat tentang apakah syirik dan apakah tidak, amat penting dalam masyarakat kerana ramai yang tidak jelas tentang perkara ini dan kerana itu mereka ada fahaman syirik atau beramal dengan amalan syirik tanpa mereka sedari.

Bagaimana untuk tahu mana syirik dan mana tidak? Mahu tidak mahu, kena juga belajar tafsir Al-Qur’an kerana bab tauhid dan bab syirik diajar dengan panjang lebar dalam Al-Qur’an.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan beramal soleh,

Mereka bukan hanya cakap beriman sahaja tapi kenalah ditunjukkan dengan perbuatan mereka. Iman itu hendaklah ditunjukkan dengan perbuatan. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an akan menyebut tentang amal selepas disebutkan tentang iman.

Maka kita kena tunjukkan kita orang beriman. Sebagai contoh, sembahyang adalah tanda kita beriman. Kalau kita beriman, tanda kita beriman adalah kita akan meluangkan masa untuk solat kepada Allah ‎ﷻ.

Inilah dua perkara yang penting yang kena ada. Iman dan amal soleh sahaja yang boleh menyelamatkan kita. Bukan nak harapkan syafaat sahaja.

Daripada sudut nahu bahasa Arab, الصَّالِحَاتِ bermaksud bilangan yang banyak (plural) tapi bukan banyak sangat. Allah ‎ﷻ bukan nak lihat kita buat amalan yang banyak tapi yang terbaik. Mereka hanya perlu buat setakat yang mampu, asalkan istiqamah.

 

سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمٰنُ

Tuhan ar-Rahman akan menjadikan bagi mereka

Sekali lagi disebutkan nama Allah ar-Rahman dalam ayat ini. Banyak kali sifat Allah ini disebutkan sampaikan para penafsir ada memanggil surah ini sebagai ‘Surah Rahmah’. Banyak disebutkan dalam ayat ini tentang rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan. Ini mengingatkan kita tentang sifat Allah ‎ﷻ ini.

Dalam surah ini, walaupun dalam ayat yang memberi peringatan kepada orang yang kufur, sifat ini juga disebut kerana hendak mengingatkan mereka yang mereka telah lupa kepada sifat Allah ‎ﷻ. Setelah segala apa yang Allah ‎ﷻ berikan, mereka masih lagi kufur.

Kenapa dalam ayat yang menyebut tentang hukuman balasan kepada kekufuran digunakan nama Allah ‎ﷻ yang menyebut sifatNya yang maha penyayang? Mungkin ada yang kata macam tidak sesuai – kerana hukuman dan sifat rahmah itu berlawanan sekali. Tapi Allah ‎ﷻ sendiri telah letakkan begitu dalam Al-Qur’an. Maksudnya, ia adalah sesuai dan ada sesuatu yang hendak disampaikan.

Ini juga sebenarnya menjelaskan sifat Rahman Allah juga. Sebab sifat Rahman Allahlah yang memberitahu kita dan mengingatkan kita berkali-kali tentang balasan buruk kalau kita buat salah. Kalau Allah ‎ﷻ tak ingatkan kita, bagaimana? Tentu kita akan buat salah dalam kita tidak tahu yang kita telah melakukan kesalahan. Jadi, Allah ‎ﷻ sudah beritahu siap-siap kepada kita apakah balasannya kalau buat salah.

 

وُدًّا

perasaan kasih sayang.

Iaitu perasaan kasih sayang yang tidak terbanding.

Ayat ini dalam bentuk yang terbuka. Tidak dijelaskan dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan ‘kasih sayang’ itu. Mungkin Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita bahawa kalau kita beriman dan beramal soleh, Allah ‎ﷻ akan menyayangi kita dengan banyak. Allah ‎ﷻ akan sayang kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pun sayang kepada Allah ‎ﷻ.

Dan bukan itu sahaja, Allah ‎ﷻ akan letakkan perasaan kasih sayang sesama Muslim. Ini kerana kita ada satu persamaan sesama kita, percaya dengan Allah ‎ﷻ dan percaya kepada Rasulullah ﷺ. Lihatlah betapa ramai makhluk cintakan Nabi Muhammad ﷺ. Sahabat cintakan Nabi, binatang, malah pokok-pokok pun cintakan Nabi. Maka kalau kita pun cintakan Nabi Muhammad ﷺ, maka kita pun bersama dengan mereka yang bersama-sama cintakan Nabi.

Allah ‎ﷻ kata dalam ayat ini bahawa cinta itu datangnya dari Allah ‎ﷻ. Kita tidak boleh bagi orang sayang kepada kita. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja boleh buat. Kita hanya perlu beriman dan beramal soleh sahaja. Selain daripada itu Allah ‎ﷻ yang akan uruskan.

Imam Ahmad رحمه الله meriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda:

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ, jika mencintai seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril عليه السلام dan berfirman: ‘Hai Jibril, sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Lalu Jibril عليه السلام pun mencintainya. Kemudian Jibril عليه السلام memanggil seluruh penghuni langit dan berkata: ‘Sesungguhnya Allah ‎ﷻ mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Lalu seluruh penghuni langit pun akan mencintainya. Kemudian, diletakkanlah baginya penerimaan di muka bumi. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ, jika membenci seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril عليه السلام dan berfirman: ‘Hai Jibril, Aku membenci si fulan, maka bencilah dia.’ Lalu Jibril عليه السلام pun membencinya dan memanggil penghuni langit sambil berkata: ‘Sesungguhnya Allah ‎ﷻ membenci si fulan, maka bencilah dia,’ lalu penghuni langit pun membencinya. Kemudian diletakkan baginya kemurkaan di muka bumi.” (Hadith Riwayat Muslim, Ahmad, Bukhari)

Jangan kita hendak orang terima kita, orang sayang kita, kita cakap apa yang mereka suka dengar sahaja. Begitulah yang terjadi dengan ramai guru agama. Mereka takut nak cakap perkara yang mereka takut akan menyebabkan orang tak suka dengar. Oleh kerana itu mereka akan ajar benda-benda yang tak mengejutkan orang sahaja. Mereka akan cakap bagi orang suka dengan mereka sahaja.

Maka, kesannya masyarakat jadi jahil tentang agama. Mereka buat benda yang salah kerana guru-guru agama tak ajar pun mereka apakah yang salah. Sikit-sikit ajar tentang fiqh sahaja. Sedangkan tentang akidah dan tentang tauhid, jarang sekali. Kalau ajar pun, ajar sikit-sikit.


 

Ayat 97: Ini adalah peringatan akhir yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam surah ini.

فَإِنَّما يَسَّرنٰهُ بِلِسانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ المُتَّقينَ وَتُنذِرَ بِهِ قَومًا لُّدًّا

Sahih International

So, [O Muhammad], We have only made Qur’an easy in the Arabic language that you may give good tidings thereby to the righteous and warn thereby a hostile people.

Malay

Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Qur’an ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.

 

فَإِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ

Maka sesungguhnya Kami telah memudahkan Al-Qur’an ini

Apakah maksud ‘memudahkan’? Ia bukanlah bermaksud Al-Qur’an ini mudah sangat. Kalau mudah sangat, sudah hilanglah kehebatan Al-Qur’an. Untuk memahami Al-Qur’an, kena ada usaha. Malah, kena luangkan masa untuk belajar kerana ia adalah sesuatu yang hebat. Mungkin ambil masa bertahun untuk belajar, baru boleh faham.

Tapi, Allah ‎ﷻ telah berikan kemudahan untuk kita faham. Kalau kita mahu belajar, mahu faham ayat-ayat Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan bantu kita. Allah‎ ﷻ telah bangkitkan alim  ulama’ yang telah kupas ayat-ayat Al-Qur’an kepada kita supaya kita dapat ambil pengajaran daripadanya.

 

بِلِسَانِكَ

dengan bahasamu,

Kalimah لِسَانِ dalam bahasa Arab bukan sahaja bermakna ‘bahasa’. Tapi termasuk juga ‘lenggok bahasa’. Iaitu bahasa yang senang difahami. Oleh itu untuk faham Al-Qur’an, pertama kena belajar bahasa Arab. Tapi bukan itu sahaja kerana kalau tahu bahasa sahaja diterjemahkan, kita masih tidak dapat faham sepenuhnya Al-Qur’an itu. Kena tahu lenggok bahasa itu juga.

Seperti yang kita telah tahu, Allah ‎ﷻ telah pilih Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang tepat. Satu-satu ayat itu dapat menyampaikan makna yang mendalam. Ini tidak boleh dilakukan dalam bahasa lain. Kalau Al-Qu’ran itu dalam bahasa Melayu, entah berapa tebal Al-Qur’an itu agaknya.

Akan tetapi, tidaklah syarat mula belajar tafsir kena belajar bahasa Arab dulu. Boleh mulakan tanpa tahu bahasa Arab kerana sudah banyak pengajian di dalam bahasa kita. Tapi kemudian tambahlah ilmu pengetahuan dengan belajar bahasa Arab juga.

 

لِتُبَشِّرَ بِهِ

ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya

Kalimah ‘dengannya’ bermaksud Nabi ﷺ menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk berdakwah kepada manusia. Itulah cara terbaik untuk berdakwah. Itulah cara terbaik untuk memberi khabar gembira kepada manusia.

Kenapa Al-Qur’an itu dimudahkan? Untuk memberi memberi berita gembira kepada manusia sebagai motivasi. Motivasi kepada mereka untuk berbuat kebaikan. Kepada mereka yang bertaqwa, dijanjikan balasan yang baik untuk mereka. Kerana kalau susah sangat sampai tidak boleh difahami melainkan oleh orang tertentu sahaja, maka susahlah kita hendak ambil pengajaran, bukan?

 

الْمُتَّقِينَ

orang-orang yang bertaqwa,

Yang paling utama mendapat berita gembira adalah orang-orang bertaqwa. Mereka itu menjaga diri mereka daripada melakukan dosa kerana mereka takut kepada Allah ‎ﷻ. Dan kerana mereka takut kepada Allah ‎ﷻ maka mereka berhati-hati dengan segala perbuatan mereka. Apa-apa sahaja yang mereka lakukan, mereka akan fikir: adakah Allah ‎ﷻ hendak begini?

Kepada mereka, akan diberikan berita gembira dalam Al-Qur’an.

 

وَتُنذِرَ بِهِ

dan supaya engkau memberi amaran dengannya

Huruf بِهِ bermaksud menggunakan Al-Qur’an untuk beri berita gembira dan beri ancaman. Ini bermakna, Al-Qur’an adalah alat utama dalam dakwah. Kita kena sampaikan ayat-ayat Al-Qur’an sebelum kita beri pendapat kita. Pendapat kita mesti berdasarkan kepada dalil Al-Qur’an dan hadith.

Tapi, orang kita yang berdakwah, jarang pakai Al-Qur’an. Mereka akan guna akal, guna kitab-kitab ajaran manusia dan sebagainya. Padahal ayat-ayat dalam Al-Qur’an itulah yang perlu disampaikan dahulu kepada manusia.

 

قَوْمًا لُّدًّا

kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.

Kalimah لُّدًّا bermaksud ‘amat suka berkelahi’. Suka cari pasal dan suka kalau dalam keadaan macam itu.

Kalau kita lihat susunan ayat ini, mula-mula Allah ‎ﷻ cakap tentang memberi motivasi kemudian barulah beri ancaman. Maknanya, kena mula dengan bagi berita gembira dahulu. Kalau itu tidak berjaya, teruskan dengan memberi ancaman.

Kita beri peringatan dan ancaman itu adalah kerana kita sayang kepada mereka. Kita tak mahu mereka salah langkah. Kita tak mahu mereka masuk neraka. Bukan kita hendak menakutkan mereka semata-mata.


 

Ayat 98: Allah ‎ﷻ berikan kata-kata akhir kepada orang yang tidak mahu menerima Islam.

وَكَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِّن قَرنٍ هَل تُحِسُّ مِنهُم مِّن أَحَدٍ أَو تَسمَعُ لَهُم رِكزًا

Sahih International

And how many have We destroyed before them of generations? Do you perceive of them anyone or hear from them a sound?

Malay

Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorang pun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu.

 

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ

Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka;

Banyak sangat kaum yang telah dibinasakan di zaman dahulu. Ada yang kita tahu kisah mereka dari Al-Qur’an dan ada yang kita tak tahu pun. Sampai sekarang, ada lagi kesan-kesan peninggalan mereka itu. Allah ‎ﷻ sengaja tinggalkan kesan-kesan itu supaya kita boleh ambil pengajaran daripada kejadian itu.

 

هَلْ تُحِسُّ مِنْهُم مِّنْ أَحَدٍ

Adakah engkau menyedari dari orang-orang yang telah dibinasakan itu?

Kau tidak tahu sikit pun tentang mereka. Macam mereka tidak wujud pun dulu kerana Allah ‎ﷻ telah hancurkan mereka semuanya. Begitulah nasib mereka. Mereka sampai dilupakan terus. Kalau Al-Qur’an tak beritahu kepada kita, kita pun tidak tahu.

 

أَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًا

ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorang pun

Kalimah رِكْزًا adalah ‘suara yang halus sahaja’. Digunakan juga untuk bunyi “buzzing” lebah, atau bunyi cengkerik. Macam tidak ada apa-apa bunyi. Maknanya, suara yang halus tentang mereka pun tidak ada. Langsung tak dengar suara mereka, langsung tak dengar tentang mereka. Allah ‎ﷻ hancurkan mereka sampai tidak ada bunyi langsung daripada mereka.

Ini adalah amaran kepada mereka yang menentang Nabi dan tidak mahu menerima dakwah Nabi. Mereka sangka mereka besar dan hebat, tapi mereka pun boleh jadi macam orang-orang yang telah dihancurkan dulu.

Dan ayat ini juga adalah isyarat kepada Nabi untuk meneruskan dakwah. Jangan hirau nasib mereka kerana Allah ‎ﷻ sendiri akan uruskan mereka. Allah ‎ﷻ akan balas mereka sama ada dalam dunia atau di akhirat kelak.

Surah ini bermula dengan suara yang perlahan – iaitu cara Nabi Zakaria عليه السلام berdoa dengan suara yang lembut. Dan surah ini berakhir dengan suara yang halus pula. Itulah persamaan antara permulaan ayat dan akhir ayat. Ini menunjukkan kehebatan susunan ayat-ayat Al-Qur’an.

 

Sekian sahaja tafsir Surah Maryam ini. Allahu a’lam. Sambung surah seterusnya, Surah Taha.

Kemaskini: 26 Jun 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s