Pengenalan:
Ini adalah salah satu surah yang popular. Surah ini selalu dibaca oleh imam-imam di masjid dan surau. Ia juga sedap untuk dihafal kerana bunyinya yang mengasyikkan. Maka elok sangat kalau kita tahu apakah yang disampaikan dalam surah ini.
Surah ini mengingatkan kita tentang nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Jadi, elok kalau baca surah ini apabila kita baru dapat nikmat dari Allah. Ianya lebih memberi kesan kepada kita.
Atau kalau kita dalam kesusahan, maka surah ini juga mengingatkan kita bahawa walaupun tengah susah, tapi ada banyak nikmat yang kita telah dapat dan masih lagi sedang dapat.
Ianya adalah Surah Makkiah (diturunkan di Mekah). Ada juga yang mengatakan ianya adalah Surah Madaniah (diturunkan di Madinah). Tapi kalau dilihat dari subjek yang disampaikan dalam surah ini, ianya lebih sesuai sebagai Surah Makkiah. Diturunkan di hujung-hujung waktu Nabi berada di Makkah sebelum bagindad berhijrah ke Madinah.
Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:
Permulaan Surah: Allah memberitahu QudratNya luar biasa Allah dan rahmatNya yang meliputi. Ditujukan awalnya kepada Musyrikin Mekah. Banyak disebut-sebut nama Ar-Rahman kerana mereka tidak biasa dengar nama Allah sebagai Ar-Rahman. Mereka tolak nama itu kerana mereka biasa dengar nama Allah sahaja. Oleh kerana tak biasa dengar nama ar-Rahman, maka mereka tolak terus. Maka Allah ulang dan ulang berkali-kali dalam surah ini untuk penekanan.
Pertengahan Surah: Mengandungi takhwif (penakutan) bagi melahirkan perasaan takut kepada golongan degil dan jahil tentang syariat Allah. Ia menjadi ayat-ayat ancaman dan peringatan kepada manusia.
Akhir Surah: Mengandungi tabshir (berita gembira) kepada mereka yang sanggup menerima ajaran wahyu. Kepada mereka diberikan dengan berita gembira dengan diberitahu nikmat-nikmat. Kalau mereka terima, maka mereka akan mendapat balasan baik yang tidak terhingga.
Maksud Surah:
Dalam surah ini, Allah hendak tsabitkan (tetapkan) yang berkat ini hanya pada Dia sahaja. Keberkatan itu bukan benda biasa dan ia kena dikaitkan dengan Tuhan.
Maka kena hati-hati dalam kita memperkatakan tentang berkat. Kerana itu dalam Al-Qur’an apabila sebut tentang berkat, ianya dikaitkan dengan Allah. Jadi kena ada dalil tentang keberkatan sesuatu perkara itu. Kita jangan memandai nak bagi berkat kepada makhluk pula seperti yang dilakukan kebanyakan dari orang kita. Sebagai contoh, ada yang kata sesuatu tempat itu berkat, seseorang itu berkat. Ini tidak patut.
Kekeliruan berlaku pada zaman dulu dan zaman sekarang pun. Dan syaitan ambil kesempatan memesongkan akidah dengan mengatakan ada makhluk yang boleh beri berkat. Iaitu kepada mereka yang jauh dari ajaran wahyu, senang ditipu oleh syaitan.
Kena ada dalil dari wahyu, barulah kita boleh katakan sesuatu itu ada keberkatan. Inilah yang dinamakan Tauhid fil Barookah. Kita kena sedar dan terima yang sumber berkat itu hanya Allah taala sahaja. Dan oleh kerana itu, kita kena minta berkat dari Allah sahaja. Janganlah pula minta berkat dari selain Allah pula.
Contoh syirik dalam berkat ini adalah apabila ada yang kata: “tok guru itu ini ada berkat”. Ini adalah kata-kata yang salah malah syirik. Memang ramai yang kata begini tapi ketahuilah yang ia dikatakan oleh mereka yang jauh dari ilmu wahyu.
Memang Allah ada beri berkat kepada makhluk. Tapi kena ada dalil untuk kita terima perkara itu. Contoh selain Allah yang ada berkat adalah ‘amal kebaikan’. Dalam amal ada keberkatan tapi kena pastikanlah amal itu adalah amal yang sunnah. Amal yang bidaah tidak ada berkat di dalamnya.
Dakwa Surah ini dalam ayat 78 iaitu ayat terakhir. Maha berkat Nama Tuhan. Nama Allah sendiri sudah berkat. Allah hendak memberitahu yang nama-nama ilah dan berhala golongan musyrik itu tidak ada berkat. Kerana mereka sangka ilah mereka ada berkatlah yang mereka akan seru nama berhala mereka termasuk di dalam peperangan.
Itu salah kerana nama Allah sahaja yang ada berkat. Maka berdoalah kepada Allah dengan menyeru mana-mana nama Allah kerana pada asma’ Allah itu ada keberkatan.
Dakwah Risalah:
Surah ini ditujukan kepada semua manusia, bukan kepada orang Islam sahaja. Ianya seolah-olah press release kepada semua orang. Oleh itu, sebagai orang Islam, ianya menjadi tugas kita untuk menyampaikan press release ini kepada orang kafir yang tak baca Al-Qur’an. Bagi mereka dengar juga ayat-ayat Allah ini.
Juga kena sampaikan kepada orang Islam, tapi mereka tak baca Al-Qur’an. Atau mereka baca Al-Qur’an, tapi tidak faham apa yang mereka baca. Memang ramai sangat Muslim yang sebegini. Mereka tahu baca Al-Qur’an sahaja tapi tidak tahu apa yang mereka sedang baca.
Maknanya, semuanya kita kena sampaikan sama ada Muslim atau tidak. Maknanya, kita kena jadi pendakwah. Kita kena jadi orang yang sampaikan risalah Al-Qur’an ini kepada manusia.
Surah ini diturunkan setelah berlalu sekian lama Nabi Muhammad menyampaikan dakwahnya di Mekah. Bertahun-tahun Nabi sudah dakwah kepada umatnya, bangsa Arab. Dan nanti anda akan perasan yang ada ayat yang diulang-ulang dalam surah ini. Kenapa pula ayat itu diulang-ulang?
Pertama, ini untuk menekankan sesuatu perkara yang penting. Banyak cara penekanan digunakan dalam Al-Qur’an untuk menekankan sesuatu dan salah satunya dengan mengulang-ulang ayat.
Keduanya, kerana mereka (Musyrikin Mekah) degil sangat, sudah lama dakwah tapi tak mahu dengar juga, maka kena ulang-ulang berkali-kali. Macam kalau anak yang degil, kena cakap berulang kali kepadanya, bukan?
Surah ini juga menunjukkan cara penyampaian Al-Qur’an yang efektif. Penyampaian yang efektif kena ada tiga elemen:
1. Isi kandung yang baik. Hendaklah mempunyai mesej yang bermakna. Apabila mesej yang hendak disampaikan penting, pendengar akan mendengar dengan teliti. Kalau kita hendak menyampaikan maklumat yang tidak penting, tentulah pendengar akan rasa kita buang masa mereka dan mereka pun tak mahu nak dengar.
Ayat-ayat dalam Al-Qur’an tentunya mempunyai mesej yang amat penting.
2. Cara penyampaian. Kalau kita ada isi kandung yang bagus, tapi cara kita menyampaikannya salah atau tidak tepat, ianya tidak efektif. Kadang-kadang kalau kita silap cakap, orang lagi marah dengan kita.
Oleh itu, bahasa yang digunakan oleh Al-Qur’an adalah amat tepat sekali. Indah sekali bahasa yang digunakan. Kadang-kadang Al-Qur’an menegur dengan kiasan sahaja. Semua ini memberi kesan yang hebat dan mempesonakan mereka yang membacanya.
3. Penyampaian itu hendaklah sesuai dengan penerima. Kita mengubah cara percakapan kita mengikut pendengar kita, bukan? Tidak sama kalau kita bercakap dengan seorang kanak-kanak dan orang dewasa. Lain juga cara bercakap dengan orang yang pandai dan orang yang tidak tahu. Walaupun mesej yang hendak disampaikan adalah sama sahaja, tapi cara penyampaian berlainan.
Oleh itu, Al-Qur’an menyampaikan mesej yang sama tapi kepada peringkat penerima yang berbeza-beza. Ada yang mahu beriman, ada yang tidak mahu beriman. Oleh itu, kita boleh lihat bagaimana ada perbezaan apabila kita lihat Surah-surah Makkiah dan surah yang diturunkan di Madinah. Cara penyampaian keduanya tidak sama.
Semasa di Mekah, banyak yang menentang agama Islam. Semasa Surah Rahman ini diturunkan, ianya ditujukan kepada orang-orang Mekah yang tidak mahu menerima Islam dan mereka menentang Islam.
Sedar tentang nikmat dari Allah:
Musuh Islam pada zaman Nabi Muhammad tidak suka dengan perkembangan Islam yang semakin meningkat. Berbagai cara mereka lakukan untuk menghalang masyarakat dari masuk Islam, tapi tidak berjaya. Semakin hari semakin ramai masyarakat Arab masuk Islam. Semakin banyak mereka menghalang, semakin ramai yang lembut hati untuk masuk Islam.
Jadi, mereka mula minta kepada Nabi macam-macam benda mengarut seperti meminta Nabi turunkan malaikat, mereka minta mukjizat yang macam-macam dan sebagainya. Mereka juga minta orang mati dihidupkan. Kononnya, mereka nak tengok dengan mata mereka sendiri baru mereka nak beriman.
Tapi Al-Qur’an tidak melayan permintaan mereka. Sepatutnya ayat-ayat Al-Qur’an itu sudah cukup untuk menunjukkan kebenaran Islam itu. Lihatlah bagaimana dalam Al-Qur’an telah diceritakan bagaimana Allah telah berkali-kali menunjukkan mukjizat kepada umat Nabi-nabi dahulu.
Sebagai contoh, unta Nabi Saleh, Nabi Isa yang bercakap dari bayi lagi, Bani Israil yang melepasi laut yang dibelahkan, tapi adakah umat itu beriman? Tidak juga mereka beriman. Jadi, buat apa nak tunjuk lagi perkara-perkara mukjizat yang hanya boleh dilihat dengan mata?
Kali terakhir mukjizat yang boleh dilihat dengan mata adalah semasa umat Nabi Isa meminta makanan dari langit. Ini adalah kerana pengikutnya nak juga tengok makanan diturunkan dari langit. Inilah gambar ‘The Last Supper’ yang kita selalu tengok yang dilukis oleh Leonardo da Vinci itu. Setelah mereka meminta makanan dari langit, Allah berfirman yang Dia akan menurunkan makanan itu.
Allah boleh sahaja buat apa yang Dia hendak dan apa yang manusia minta. Maka Allah kata, Dia boleh bagi apa yang mereka minta itu. Tapi selepas itu, kalau ada yang tidak beriman juga, Allah akan mengazab mereka dengan azab yang paling teruk. Kerana kalau Allah sudah beri mukjizat seperti diminta, tapi masih lagi tidak beriman, tentulah lagi teruk dari orang yang tidak melihat dengan mata sendiri.
Allah marah sangat sampai Allah katakan yang Allah akan berikan azab yang tidak pernah diberikan kepada orang lain. Kerana itulah walaupun umat Arab meminta ditunjukkan mukjizat yang mereka boleh lihat dengan mata mereka, Allah tidak turunkan. Ini adalah sebagai rahmat sebenarnya kepada mereka.
Dan kenapa nak tengok mukjizat? Kenapa nak tengok kehebatan mukjizat sedangkan kita sudah dapat macam-macam nikmat sebenarnya. Itu yang sentiasa berlaku kepada kita dan kita boleh tengok setiap hari. Itulah yang Allah tekankan dalam surah ini.
Dan kalau kita berurusan dengan orang yang degil, kita tidak boleh sekali sahaja nasihat mereka. Macam juga kalau kita bercakap dengan anak kita. Berkali-kali kena cakap, itu pun belum tentu mereka dengar lagi. Sudah berkali cakap pun tapi masih mereka tak dengar.
Begitulah juga dengan kafir Mekah yang masih lagi berdegil tidak mahu beriman dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Maka Allah berulang-ulang kali mengingatkan kepada mereka banyak nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Itulah sebabnya ada ayat yang berulang-ulang dalam Surah ar-Rahman ini. Ada satu ayat yang berulang-ulang sampai 31 kali dalam surah ini.
Pembelajaran Wahyu:
Allah memberitahu juga dalam surah ini bahawa Dia juga adalah ‘pengajar’. Mengajar bukanlah satu perbuatan yang mudah. Tidak sama dengan hanya bercakap sahaja. Bercakap sahaja memang senang. Sebab itu kita tengok dalam dunia, ramai yang pandai cakap sahaja. Tapi, apabila kena mengajar, amat sukar.
Mengajar itu susah kerana kita pun tahu bahawa manusia susah nak faham pembelajaran yang disampaikan. Jadi, sebelum kita mengajar, seseorang guru selalunya akan bersedia untuk mengajar. Malam sebelumnya dia telah siapkan point-point yang dia hendak sampaikan, dia berlatih macam mana nak sampaikan kepada anak murid dia, dia bayangkan suasana kelas macam mana, dan sebagainya. Kalau anda seorang guru, tentu anda lebih faham lagi.
Tapi, kadang-kadang selepas kita buat persediaan pun, masih ada lagi yang tidak faham. Maka, kita akan ubah cara pengajaran kita. Kita cuba untuk mudahkan. Kita akan pecahkan pembelajaran satu persatu.
Kadang-kadang ada yang faham tapi pasti ada seorang dua yang tak faham lagi. Maka, kita akan beri tumpuan kepadanya sahaja. Kalau dia masih tak faham lagi, kita akan ajak dia datang jumpa kita selepas kelas dan kita akan ajar dia seorang sahaja (one on one). Tapi ada juga yang masih tak faham walaupun telah dilakukan pembelajaran khusus kepadanya.
Dalam keadaan macam itu, kesabaran guru itu diuji berkali-kali. Sudah berkali-kali diberi pengajaran dan macam-macam cara telah diberikan, tapi masih tidak faham lagi. Orang lain sudah faham, tapi dia seorang tak faham-faham lagi. Apakah yang disalahkan dalam hal ini? Adakah kurikulum, guru atau pelajar itu? Tentulah tidak ada yang bermasalah, kecuali pelajar itu sendiri.
Mari kita akan lihat Surah Rahman ini dan bandingkan dengan contoh pelajar yang kita berikan di atas. Allah telah memberi pengajaran yang terbaik sekali iaitu Al-Qur’an. Tidak ada yang pengajaran yang lebih baik dari Al-Qur’an. Allah adalah guru yang sebenarnya, tapi Allah lantik Nabi Muhammad untuk menyampaikan kurikulum ini – maka, guru yang sebenar adalah Allah, dan yang menyampaikannya adalah Nabi Muhammad sendiri – tentulah itu sudah guru yang paling baik sekali. Jadi, tidak ada sebab sebenarnya untuk manusia tidak faham lagi kerana mesej sudah hebat, guru pun hebat juga.
Ramai Arab Mekah tidak mahu menerima dakwah Nabi Muhammad. Baginda pun risau apabila manusia tidak menerima dakwahnya – baginda menyalahkan dirinya apabila manusia tidak mahu beriman. Sebab Nabi seorang yang bertanggungjawab dan amat prihatin dengan umatnya dan tugas baginda. Baginda takut kalau-kalau baginda yang tidak pandai mengajar. Tapi Allah kata tidak ada salah pada baginda. Oleh itu, tentu yang ada masalah adalah penerima ajaran itu atau pelajar itu sendiri.
Sudah bertahun-tahun baginda berdakwah kepada mereka, dan mesej yang disampaikan boleh dikatakan sama sahaja – tapi berkali-kali disampaikan dengan berbagai-bagai cara. Senang sahaja untuk difahami apa yang hendak disampaikan – bukan memerlukan seseorang yang ada PHD baru faham pun. Yang kata Al-Qur’an ini susah adalah kerana mereka tak belajar sahaja.
Atau mereka telah diberitahu oleh guru-guru yang sesat bahawa Al-Qur’an itu susah, jadi tak payah cuba nak faham. Hasilnya, ramai manusia jahil dengan Al-Qur’an. Tidak, ketahuilah yang Al-Qur’an itu tidak begitu. Banyak ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa ‘Al-Quran itu dimudahkan’. Maka memang boleh belajar asalkan kita berusaha. Ianya tidak sukar untuk difahami. Kena usaha sahaja dulu.
Jadi, tidak boleh dijadikan alasan yang ianya susah untuk difahami. Manusia sahaja yang keras hati untuk terima. Jadi, kalau telah berkali-kali diajar, tapi tak mahu terima juga, apakah guru sepatutnya buat? Tentulah guru itu tinggalkan pelajar itu, hukum pelajar itu dan sebagainya. Maka, salahkah kalau Allah beri azab kepada mereka?
Allahu a’lam. Sambung kepada ayat surah ini.
Kemaskini: 17 Ogos 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
AsSalam, Jazaka Allah Khairan beri pencerahan yang amat baik, dengan bahasa yang mudah serta terus ke maksud sebenar….. Terimakasih Dan terus Cemerlang
LikeLike