Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan Makro. Ayat 1 – 28 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi dalil Rububiyyah dan Rahmaniyyah.
الرَّحْمٰنُ
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
Ayat ini ada satu perkataan sahaja. Begitu hebat sekali cara ia disusun. Allah buat begini kerana hendak kita memikirkan dan tadabbur pada makna kalimah ini sahaja dahulu. Banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil.
Setiap ketika dan masa, ada sahaja rahmah yang Allah berikan kepada kita. Apabila kita membaca satu ayat ini, bayangkan apakah rahmah yang Allah sedang beri kepada kita sekarang, hari ini, semalam, minggu ini, minggu lepas dan sebagainya. Tidak terkira banyaknya tapi cubalah. Ada yang kita perasan dan ada yang kita tidak perasan pun. Tidak akan habis kalau kita nak kira.
Dan nikmat yang Allah berikan kepada makhluk adalah dalam bentuk rohani dan jasmani. Nikmat rohani adalah faedah kepada roh – santapan rohani. Dan dalam ayat kedua nanti, Allah dulukan menyebut nikmat rohani. Kerana nikmat jasmani lebih rendah dari nikmat rohani.
Nikmat rohani adalah asal nikmat. Kerana kalau dapat nikmat rohani, ia dari dunia sampai syurga. Kalau nikmat jasmani, setakat hidup di dunia sahaja.
Dialah Tuhan yang bersifat Rahman. Dalam Al-Qur’an, ada dua nama yang selalu digunakan untuk DiriNya, sama ada Allah atau ar-Rahman. Tapi dalam ayat ini, hanya ada ar-Rahman.
Ar-Rahman bermaksud sangat-sangat pemurah. Ia juga dalam bentuk present tense, bermaksud Allah ‘sedang’ melakukan aktiviti ‘pemurah’ itu. Kerana kalau kita kata seseorang itu seorang yang suka memberi sedekah, tidak semestinya dia sedang memberi sedekah waktu itu. Tapi ar-Rahman bermaksud, Allah sedang bersifat Rahmah semasa kita menyebut namaNya itu.
Allah menyebut salah satu sifatNya dalam ayat ini. Asal perkataan ar-rahman itu dari perkataan ‘rahmah’. Kalau kita lihat, tempat kita semasa dalam perut ibu kita pun dipanggil rahim yang juga dari katadasar yang sama dengan rahman, rahmah, rahmat.
Ada banyak makna rahmah itu. Antaranya: sayang, kasihan, cinta, kelembutan, kemaafan. Ia juga mengandungi makna keselamatan. Ianya mempunyai makna seseorang itu diberikan segalanya itu tanpa dia melakukan apa-apa. Tanpa ada usaha apa-apa, tapi diberikan kepada mereka. Kalau kita buat kerja, memang kita layak dapat upah. Tapi itu apabila kita ada buat kerja.
Dalam hal rahmah ini, tanpa buat apa-apa pun, Allah sudah berikan kepada kita. Bayangkan semasa kita lemah dalam perut ibu kita, Allah berikan keselamatan kepada kita dalam rahim ibu kita. Allah beri makan dan minum walaupun duduk dalam perut ibu yang gelap.
Dan kemudian kita dilahirkan, dalam keadaan amat lemah. Tapi Allah berikan segala keperluan yang kita perlukan untuk meneruskan hidup. Apakah yang kita telah buat untuk melayakkan kita dapat segala perhatian dari Allah itu? – Tidak ada apa-apa. Tidak ada amalan ibadah apa lagi pun yang kita lakukan.
Kita pun memang tak boleh buat apa-apa kerana masih bayi lagi. Tapi lihatlah berapa banyak rahmat yang Allah berikan kepada kita. Maknanya, Allah beri segala rahmat itu bukanlah kerana perbuatan kita, bukan?
Sifat rahmah juga bermaksud ‘penjagaan’. Selalunya ditafsirkan sebagai mercy/kasihan. Mungkin tidak berapa sesuai kalau itu sahaja makna yang kita faham. Kerana kalau kita hanya mengambil maksud ‘kasihan’, itu hanya bermaksud Allah tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang itu. Macam tentera tawan tawanan perang dan kerana ‘kasihan’, dia tidak membunuh orang itu. Jadi, kalau itu sahaja maksud ‘rahmah’, itu baru bermaksud ‘tidak ada perkara buruk’ sahaja. Itu adalah satu tafsir yang terhad, tidak seperti yang sepatutnya.
Sedangkan maksud الرَّحْمَٰنُ lebih lagi dari itu. Nama sifat ini merujuk kepada sifat yang ‘menjaga segala keperluan makhluk’. Kita semua memerlukan rahmat Allah untuk hidup dalam dunia ini. Dari dalam perut, sampailah kita mati. Macam bayi dalam perut memerlukan rahmah dari Allah. Allah beri penjagaan kepada bayi itu kerana bayi itu tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Nak minta tolong pun tak boleh. Maka, tanpa minta tolong pun Allah telah berikan segala kemudahan kepada bayi itu.
Itulah setakat yang kita mampu jelaskan tentang maksud rahmah itu. Kita tentu tidak akan dapat memahami keseluruhan maksud الرَّحْمَٰنُ ini kerana kecetekan ilmu kita dan kerana kekurangan akal kita sebagai seorang manusia.
Itulah pemberian Allah dalam bahagian pertama surah ini – Allah beri kita Al-Qur’an, kebolehan bercakap, alam yang begini luas dan sebagainya lagi – semua itu tanpa ada apa-apa usaha amal dari kita.
Selain dari diberikan pemberian tanpa apa-apa usaha, ada juga pemberian yang diberikan kepada makhluk atas usaha amal mereka. Ini disebut dalam bahagian kedua surah ini – Allah berikan syurga, segala apa yang ada di dalamnya, dengan bidadari dan sebagainya – ini adalah jenis pemberian yang Allah berikan atas usaha baik yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Mereka layak mendapat segala pemberian itu kerana usaha dari manusia itu sendiri.
Jadi, ada dua jenis pemberian yang Allah berikan kepada kita:
1. Yang diberikan walaupun kita tidak ada apa-apa usaha, dan satu lagi,
2. Yang diberikan kepada kita atas amal kebaikan kita semasa di dunia.
Allah memulakan surah ini dengan memperkenalkan sifatNya ar-Rahman, kerana dalam surah ini akan disebut berkali-kali pemberian yang diberikan kepada makhluk. Kemudian Allah akan tanya balik: “manakah nikmat Allah yang kamu tidak mengaku?”
Ayat 2: Allah menyenaraikan rahmah-rahmahNya yang diberikan kepada kita. Susunan rahmah itu mengikut kepentingan sesuatu perkara itu. Maka, Allah mulakan dengan menyebut tentang Al-Qur’an kerana itu adalah perkara yang paling penting sekali.
Tidak ada nikmat yang lebih besar lagi. Ini adalah kerana dengan nikmat Al-Qur’an ini, ia boleh menyelamatkan manusia sampai bila-bila dari azab.
عَلَّمَ الْقُرْءآنَ
Dialah yang mengajarkan Al-Qur’an.
Ayat ini menegaskan yang Al-Qur’an ini dari Allah. Ini menidakkan tuduhan penentang Al-Qur’an yang mengatakan Nabi Muhammad yang menulis sendiri Al-Qur’an itu. Ini adalah tuduhan yang tidak ada asasnya.
Ayat ini juga bermakna Allah sendiri yang mengajar Al-Qur’an kepada kita, bukan orang lain. Guru atau ustaz yang mengajar itu hanya menyampaikan sahaja. Tapi yang memberi pemahaman adalah Allah sendiri. Kita belajar tafsir Al-Qur’an dari guru kita, guru kita belajar dari gurunya, gurunya dari gurunya, sampai kepada sahabat, sampai kepada Nabi, yang belajar dengan Jibril yang mendapatnya dari Allah juga. Akhirnya, pemahaman itu datangnya dari Allah juga. Kalau Allah tak beri, kita pun tidak dapat.
Kadang-kadang, pengajaran yang diberikan sama, tapi pemahaman anak murid tidak sama. Dua orang murid duduk dalam kelas yang sama, mengikuti pembelajaran yang sama, tapi apabila diperiksa pemahaman mereka, adakalanya tidak sama pemahaman mereka. Ini menunjukkan pemahaman itu diberikan oleh Allah. Ini menunjukkan Allahlah sebenarnya guru yang mengajar.
Allah kata Allah ‘mengajar’ Al-Qur’an kepada kita, bukannya hanya ‘menurunkan’ sahaja. Allah mengajar kita dengan sifatNya yang Maha Pemurah.
Ayat ini adalah jumlah ismiah – iaitu disebut ism (kata nama) dahulu. Dua ayat pertama ini adalah satu perkataan yang lengkap sebenarnya (selepas digabungkan): Ayat yang lengkap berbunyi begini: “Allahlah yang mengajar Al-Quran itu”. الرَّحْمَٰنُ adalah mubtada’ dan عَلَّمَ الْقُرْآنَ adalah khabar. [Ini adalah bermanfaat kepada mereka yang ada sedikit ilmu nahu bahasa Arab].
Gunanya ayat disusun sebegini (dalam bentuk ismiah) adalah menekankan kepada ‘pelaku’ – mengingatkan kita bahawa Allahlah sebenarnya yang mengajar Al-Qur’an itu walaupun zahirnya kita nampak guru kita yang mengajar Al-Qur’an dan tafsir kepada kita. Kita kena ingat bahawa pada hakikatnya Allahlah yang mengajar.
Kalau dalam dunia akademik, kita selalunya berbangga dengan guru yang mengajar kita. Kita beritahu orang bahawa syeikh itu, syeikh ini yang mengajar kita. Sekarang lihatlah, Allah beritahu Dia yang mengajar kita sebenarnya. Kita boleh berbangga dengan mengatakan bahawa Allahlah yang mengajar Al-Qur’an kepada kita.
Guru kita adalah Allah sendiri. Tapi jangan salah faham pula, kenalah mulakan dengan belajar dengan guru. Jangan baca dan memandai faham sendiri pula.
Digunakan nama Allah الرَّحْمَٰنُ dalam ayat sebelum ini. Ada makna tertentu kenapa digunakan nama ini. Nama Tuhan yang selalu kita pakai adalah Allah, tapi tidak digunakan nama itu dalam ayat sebelum ini. Kalau digunakan nama ‘Allah’, ianya merangkumi seluruh sifat Allah. Tapi apabila digunakan namaNya ar-Rahman, ia memberi penekanan kepada sifat Rahmah Allah.
Atas sifat rahmah Allah itulah, Allah mengajarkan Al-Qur’an kepada manusia. Ianya diturunkan kepada manusia sebagai penjaga kita, kerana Allah sayang kepada kita. Tidak wajib bagi Allah untuk turunkan Al-Qur’an. Allah boleh sebut NamaNya yang lain, sebagai contoh: “Allah mengajar Al-Qur’an”. Tapi apabila Allah menekankan Sifat RahmanNya dalam ayat ini, ini menunjukkan penurunan Al-Qur’an ini adalah dari sifat kasih sayangNya.
Allah boleh sahaja cipta kita dan kemudian hukum kita apabila kita buat salah. Tapi Allah hendak kita selamat maka Allah turunkan Al-Qur’an kepada kita sebagai panduan hidup kita supaya kita ambil pengajaran dan tidak sesat dan buat salah.
Maka banyak sangat rahmah yang Allah beri kepada kita. Jadi kena ceritakan tentang sifat Rahman Allah ini. Kerana Al-Qur’an bukan hanya nak menceritakan tentang halal haram dan mengajar hukum untuk manusia sahaja. Ia juga mengajar kita tentang Allah dan sifatNya.
Apabila kita tidak faham perkara ini, maka kita akan melihat Allah dan Al-Qur’an itu sebagai sesuatu yang garang, yang hendak menentukan bagaimana kita hidup sahaja. Sikit-sikit nak hukum, sikit-sikit cerita pasal neraka sahaja – macam nak masukkan manusia dalam neraka dan beri azab sahaja.
Kita jangan cetekkan pemahaman kita tentang Al-Qur’an tapi hendaklah kita tahu bahawa apa yang Allah ajar dalam Al-Qur’an itu adalah untuk kebaikan kita sebenarnya. Kalau tidak belajar, maka tidak akan nampak. Memang ramai yang tidak belajar dan mereka tidak nampak perkara ini. Masyarakat kita sudah lama jauh dari pemahaman tafsir Al-Qur’an dan diharap ini akan berubah selepas ini.
Ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana manusia tidak nampak rahmah yang ada dalam Al-Qur’an itu kalau tidak belajar. Golongan orientalis sentiasa sahaja mencari ‘salah’ yang ada dalam Al-Qur’an. Mereka mengatakan Al-Qur’an itu adalah satu buku yang amat teruk sekali, yang menyuruh pengikutnya membunuh orang lain, menindas perempuan, menyebabkan masyarakat Islam mundur tidak maju dan sebagainya.
Inilah retorik yang sering kita hadapi. Sampaikan zaman ini ada masyarakat barat yang menjalankan majlis membakar Al-Qur’an pun ada. Ini kerana mereka tidak kenal Al-Qur’an ini sebagai yang sepatutnya. Maka kerana itu mereka menentang.
Kalau ianya datang dari orang kafir, kita masih faham lagi. Tapi kalau ianya datang dari orang Islam sendiri, bagaimana? Tentulah lagi sedih. Ramai yang menentang ajaran dalam Al-Qur’an kerana mereka jahil ilmu wahyu.
Dalam surah ini, akan disebutkan berbagai-bagai rahmat yang Allah berikan kepada kita. Tapi rahmat yang pertama sekali disebut adalah Al-Qur’an. Selalunya yang pertama disebut, itulah yang terpenting. Oleh itu, dari sini kita boleh tahu bahawa Al-Qur’anlah rahmat Allah yang paling hebat sekali.
Kalimah عَلَّمَ bermaksud ‘mengajar’. Dalam bahasa Arab, sesuatu ayat yang lengkap memerlukan ‘subjek’ dan ‘predikat’. Macam kalau kita kata: ‘Ahmad pukul’, kita mesti tertanya-tanya, siapa yang Ahmad pukul? Kita akan tertanya-tanya kerana ayat itu tergantung kerana tidak ada subjek pada ayat itu.
Dalam ayat ini, ia adalah jenis ayat yang tergantung juga. Kerana disebut tentang ‘mengajar’ – Allah yang mengajar, dan disebut apa yang ‘diajar’ – iaitu Al-Qur’an – tapi tidak disebut kepada siapakah ianya diajar. Kenapa begitu?
Banyak jenis ayat sebegini yang terdapat dalam Al-Qur’an. Apabila objek tidak disebut, ini bermakna ianya dibiarkan terbuka. Supaya ia mempunyai makna yang luas. Boleh dipakaikan dalam banyak keadaan. Banyak elemen boleh dijadikan sebagai objek.
Sebagai contoh, Allah mengajar Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad, kepada manusia, orang lelaki, perempuan, yang sudah lama masuk Islam, yang baru masuk Islam, termasuk orang bukan Islam dan lain-lain lagi. Semuanya boleh ambil pengajaran dari Al-Qur’an itu. Lihat bagaimana luasnya pemahaman itu?
Perkataan عَلَّمَ bukan sahaja bermaksud ‘mengajar’, tapi mengajar dalam masa yang lama. Mengambil masa untuk mengajar dan belajar. Bukan mengajar sekali harung sahaja. Bukan setakat memberitahu sahaja – kerana kalau memberitahu sahaja, perkataan a’lama yang digunakan. Tapi Allah meluangkan masa untuk mengajar Al-Qur’an kepada manusia.
Inilah rahmah dari Allah – Allah meluangkan masa untuk mengajar Al-Qur’an kepada kita. Inilah yang hendak ditekankan dalam ayat ini.
Maknanya, Allah bukan sahaja memberikan Al-Qur’an kepada kita, tapi Allah juga mengajar kepada kita. Oleh itu, apa yang kita boleh ambil pengajaran dari sini? Kita juga kenalah meluangkan masa untuk belajar Al-Qur’an itu. Bukanlah nak habiskan cepat-cepat sahaja. Bukan hendak habiskan 30 juzuk tafsir, kita belajar cepat-cepat sampai kita tidak mementingkan pemahaman lagi. Itu tidak betul.
Kita kena pentingkan kefahaman daripada hendak menghabiskan belajar sahaja. Apa guna kalau kita sudah habis belajar, tapi kita tidak faham? Adakah kita hendak jaja kepada orang lain yang kita sudah belajar tafsir Al-Quran 30 juzuk? Kenapa kita nak jaja? Adakah kerana kita hendakkan pujian dari orang ramai?
Ada ulama’ yang mengatakan bahawa pembelajaran tafsir Al-Qur’an itu ada tiga lapis. Lapis pertama adalah secara ringkas untuk semua ayat. Kemudian lapis kedua, kita mendalami pemahaman tafsir ayat-ayat Al-Qur’an itu. Kemudian lapis ketiga belajar dengan lebih mendalam lagi.
Perkataan الْقُرْآنَ juga ada makna yang kita kena faham. Ianya dalam bentuk sighah mubalaghah – hyperbolize form – dalam bentuk yang kuat. Ini kita tahu kerana ada huruf ن dalam kalimah الْقُرْآنَ. Ini adalah kerana Al-Qur’an adalah satu kitab yang dibaca berkali-kali dengan banyak sekali. Itulah yang kita boleh faham dengan penambahan huruf ن dalam perkataan الْقُرْآنَ itu.
Oleh itu, ini mengajar kepada kita bahawa memang Al-Qur’an itu perlu dibaca banyak kali. Diulang-ulang baca setiap hari. Inilah yang perlu dilakukan oleh orang Islam. Tidak ada alasan untuk tidak membaca Al-Qur’an. Pentingnya membaca Al-Qur’an sampaikan Allah telah wajibkan kita untuk membaca Al-Qur’an dalam solat kita. Itulah waktu yang yang wajib untuk kita membaca Al-Qur’an, sekurang-kurangnya.
Apakah yang Allah ajar?:
1. Membaca – membaca dalam bentuk umum. Ini boleh jadi tulisan mana-mana sahaja. Kalau Allah tak beri kelebihan ini kepada kita, kita langsung tak dapat baca apa-apa pun.
2. Membaca Al-Qur’an – iaitu kitab yang mengandungi kalamNya ini yang kita sedang belajar ini.
Kalau kita ambil pemahaman dari kedua-duanya, maka kita boleh ambil kesimpulan bahawa kita belum lagi membaca dengan sebenarnya, selagi kita tidak membaca Al-Qur’an. Al-Qur’anlah pembacaan yang paling penting sekali. Maknanya kita belajar membaca kerana kita hendak membaca Al-Qur’an sebenarnya. Ianya adalah satu kitab yang selayaknya kita baca berkali-kali dan belajar tanpa henti.
Hikmah yang ada di dalamnya tidak akan habis untuk kita pelajari. Bayangkan ada orang yang meluangkan masa berpuluh-puluh tahun mempelajari Al-Qur’an tapi masih lagi mereka meneruskan pembelajaran. Masih ada lagi benda baru yang mereka jumpa walaupun setelah lama mengkaji. Ini kerana tidak akan habis ilmu untuk dikaut dari ayat-ayat Allah.
Ayat 3: Sekarang akan disebut rahmat yang seterusnya. Ini pula adalah nikmat jasmani anfusi. Ada kena mengena dengan tubuh badan kita. Satu lagi adalah nikmat afaqi (luar tubuh kita). Maknanya ada nikmat dalaman dan nikmat luaran.
خَلَقَ الْإِنسٰنَ
Dialah yang telah menciptakan manusia; –
Allahlah yang menciptakan insan dari tidak ada kepada ada. Nak dapat nikmat lain, kenalah ada tubuh dulu, bukan? Maka Allahlah yang telah menjadikan kita. Maka kena kenang jasa Allah yang amat besar ini. Dan tahulah kita hebatnya Allah taala kerana dapat menjadikan kita.
Maka kerana Allah yang menjadikan kita, maka tentulah Allah tahu segala-galanya tentang kita, bukan? Allah tahu perangai kita dan apa yang kita perlukan. Allah tahu bagaimana hendak mengurus kita dan apakah panduan yang kita sepatutnya ikut.
Dan panduan itu Allah telah sebut dalam ayat sebelum ini, iaitu Al-Qur’an. Maka memang patutlah kita ikut panduan yang Allah telah sampaikan dalam Al-Qur’an itu. Tidak patut kalau kita biarkan sahaja Al-Qur’an itu tanpa dipelajari.
Mubtada’ dalam ayat ini masih lagi sifat Allah ‘ar-Rahman’. Jadi, ini bermaksud, Allah menjadikan kita pun adalah salah satu dari sifat ar-Rahman juga. Ada yang hairan dan bertanya, kenapalah mereka dijadikan. Kerana ada yang hidup dengan cacat, banyak masalah dan sebagainya. Mereka akan bertanya: “kenapalah aku diciptakan kalau nasib aku begini?”.
Ini adalah kata-kata seorang yang tidak beriman. Mereka tidak dapat melihat apakah kebaikan dari kejadian mereka. Mereka tidak nampak bahawa kejadian mereka itu dijadikan dari sifat rahman Allah. Kadang-kadang memang akal kita yang terhad ini tidak dapat memahami. Hanya dengan iman kepada Allah sahaja yang boleh membuatkan kita menyerahkan urusan itu kepada Allah.
Kenapa Allah sebut Al-Qur’an dahulu, kemudian sekarang baru disebut kejadian insan? Sepatutnya, kalau ikut susunan yang logik kepada kita, tentulah sepatutnya disebut dijadikan manusia dahulu, kemudian baru disebut kepada mereka itu diberikan Al-Qur’an, bukan? Tapi, Allah tak susun begitu. Jadi, untuk memahamkan kenapa susunan itu begitu, kena ada penjelasan sedikit. Ini bukan susunan kronologikal tapi susunan dalam bentuk kepentingan. Allah susun ikut kedudukan kepentingan.
Mari kita buat perumpamaan untuk memudahkan kita memahaminya. Kalau kita nak buat masjid atau bangunan lain, adakah kita terus bina masjid itu atau kita akan buat pelan arkitek dulu? Tentulah kita akan ada pelan lengkap bagaimana rupa masjid itu dan apakah yang akan diletakkan.
Begitulah juga dengan insan. Apakah pelan yang perlu diikut oleh insan? Pelan itu adalah Al-Qur’an.
Al-Qur’an itu adalah panduan hidup kepada insan. Al-Qur’an mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan dalam alam ini. Bolehkah kita bayangkan bagaimana kehidupan manusia tanpa Al-Qur’an? Oleh itu, dari sini kita nampak kenapakah susunan itu disebut Al-Qur’an dulu barulah insan dijadikan.
Begitu juga, kalau sesuatu benda dijadikan manusia, mereka akan keluarkan manual dulu. Kerana Allah yang menjadikan kita, tentulah Allah tahu serba serbi tentang kita. Maka, Allah tahu apakah yang kita perlukan dan sesuai untuk kita. Itulah Al-Qur’an yang dijadikan sebagai pedoman hidup kita. Orang yang tidak mempelajari tafsir Al-Qur’an bermakna dia tidak mendapat pedoman hidup. Dia akan hidup dalam tunggang langgang. Dia akan langgar sahaja peraturan hidup yang sepatutnya dia ikut.
Kata الْإِنسَانَ diambil dari kata dasar انس yang bermaksud ‘kasih sayang’. Manusia ada kelebihan ini. Allah menjadikan manusia yang seperti ini. Manusia boleh memberi sayang dan memerlukan sayang juga. Binatang tidak ada keperluan ini. Mereka hidup macam itu sahaja.
Oleh kerana itu Al-Qur’an juga ada mengajar manusia tentang sifat ini kepada manusia. Kerana Al-Qur’an itu bukan sahaja kitab tentang hukum halal dan haram sahaja tapi juga mengandungi ajaran bagaimana berurusan dengan manusia yang lain. Hendaklah kita bersemangat untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini sebab ia hebat sangat. Mereka yang tidak mahu belajar adalah kerana mereka tidak tahu apakah Al-Qur’an itu lagi.
Satu lagi pendapat mengatakan bahawa kata dasar الْإِنسَانَ itu adalah dari perkataan nasiya – lupa. Memang tidak dinafikan manusia itu memang mudah lupa. Maka sebab itulah kita amat memerlukan peringatan sentiasa. Maka itulah sebabnya Al-Qur’an itu adalah peringatan kepada kita. Sampaikan salah satu nama bagi Al-Quran itu adalah الذكرى – peringatan.
Maka untuk dapat peringatan, kenalah selalu dibaca Al-Qur’an ini. Jangan baca sekali sahaja dan sangka sudah faham. Malangnya masyarakat kita, selalunya bila sudah khatam Al-Qur’an, seolah-olah mereka sudah ada lesen untuk tutup Al-Qur’an terus. Ini amat malang sekali.
Begitulah rahmah Allah kepada kita semua. Allah tidak biarkan kita begitu sahaja tanpa panduan dan ingatan. Sebab itulah banyak ayat Al-Qur’an diulang-ulang perkara yang sama. Kerana kita selalu lupa tanggungjawab kita. Maka Allah ingatkan kita. Bukan kita tak tahu, tapi kita lupa.
Oleh kerana itu, kita memang memerlukan peringatan itu. Macam kita suruh anak kita ulangkaji, bukan dia tidak tahu dia kena ulangkaji. Cuma selalu lupa sahaja. Maka, kita kena ingatkan berkali-kali.
Allah mengatakan manusia itu pelupa. Tapi apakah yang kita lupa? Kita lupa tentang Allah. Itulah yang disebut dalam ayat pertama dalam surah ini. Kita lupa siapakah ar-Rahman itu. Padahal kita sudah kenal Allah dari sebelum kita diturunkan ke alam dunia lagi, seperti yang disebut dalam A’raf:172:
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,
Malangnya, apabila manusia masuk ke alam dunia, kita sudah lupa siapakah Allah itu. Maka, itulah sebabnya Al-Qur’an mengingatkan kita kembali tentang Allah. Apabila seseorang itu lupa, peringatanlah perkara yang paling penting kepada orang itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 18 April 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Syeikh Nasir Jangda
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
terima kasih …. entri ini sgt membantu kita memahami maksud disebaliknya …. Dalam satu ayat ada beberapa perkataan tetapi huraiannya sgt panjang dan menyeluruh … Bila kita baca setiap tafsir ayat tersebut Allah menyuruh kita berfikir secara meluas dan mengambil kebaikan disebaliknya … Yg saya sangat kagumi, Allah swt selalu bercerita dgn kita tentang kekufuran manusia yg terdahulu dan betapa sesungguhnya AL-Quran itu diturunkan untuk mengajak kita berfikir tentang kebesaranNya…
LikeLike
Assalamualaikum. Saya terjumpa blog ini sewaktu mencari rujukan untuk tafsir ar-Rahman. Alhamdulillah saya buka page ini sambil dengar dan bandingkan ibrah surah Ar-Rahman oleh Ustaz Syaari Ar Rahman.
(Dia bukan mufassir tapi lebih kepada fasilitator kearah pembelajaran al-Quran.) Setakat ini semua point yang disampaikan adalah selari.
Terima Kasih!
Jazaakumullah
LikeLike
Alhamdulillah, tulisan saya ini dapat membantu. Teruskan pembelajaran dan memang molek mendengar banyak kupasan. Kerana setiap orang ada pemahaman yang berlainan dan kita boleh mengutip tambahan-tambahan maklumat.
LikeLiked by 1 person
Syukur Alhamdulillah… Banyak yang saya pelajari Dan saya renungi hasil Dari tulisan ini. Moga insan yang menulis ini sentiasa berada dalam Rahmat kasihNya yang tidak bertepi. Terima kasih Allah kerana menggerakkan tangan ini membuka blog ini. Sesungguhnya tiada lah daya mampu selain semuanya adalah kepunyaanMu..
LikeLiked by 1 person
Alhamdulillah. Segala puji milik Allah.
LikeLiked by 1 person
Terima kasih, saya betul betul suka website ni. Very beneficial, so props to you, semoga Allah membalas segala usaha awak. I’ve been reading other translations and tafsir, tapi sebab ulasan dan penjelasan website ni dalam bahasa melayu, rasa macam lagi senang nak mendalami apa yang Allah cuba sampaikan. I’ll be sure to bookmark this page 🙂
LikeLiked by 1 person
Alhamdulillah. Tolong sebarkan.
LikeLike
Subhanallah, moga usaha tuan dpt ganjaran Allah…sangat2 membantu dan menarik untuk kita berfikir ….
LikeLike
Assalamu’alaikom, saja nak kongsi fahaman ayat 17.
Kalau kita perhatikan Sura Rahman ini menyentuh dua (2) spesis makhluk iaitu jin dan manusia. Jadi ada yg berpendapat apabila di sebut 2 timur dan 2 barat, adalah berkaitan 2 spesis itu juga. Setiap spesis di dunia masing2, dan sepatutnya tidak bercampur sebagaimana yg dikias dalam ayat 20.
(Allah hu ‘alm)
LikeLike
Alhamdulillah. Penerangan tuan sampai ke hati. Moga Allah beri ganjaran yg hebat utk tuan dan kita semua. InsyaaAllah. Aamiin.
LikeLike