Tafsir Surah Baqarah Ayat 249 – 253 (Talut dan Jalut)

Ayat 249: Kita masih lagi pada kisah Talut dan Jalut. Talut diberikan kepandaian dan kemahiran untuk melatih tenteranya. Memang tentera itu kena dilatih supaya seorang ketua itu tahu yang dia sedang bawa tentera yang terlatih.

فَلَمّا فَصَلَ طالوتُ بِالجُنودِ قالَ إِنَّ اللَّهَ مُبتَليكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنهُ فَلَيسَ مِنّي وَمَن لَّم يَطعَمهُ فَإِنَّهُ مِنّي إِلّا مَنِ اغتَرَفَ غُرفَةً بِيَدِهِ ۚ فَشَرِبوا مِنهُ إِلّا قَليلًا مِّنهُم ۚ فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ ۚ قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And when Saul went forth with the soldiers, he said, “Indeed, Allah will be testing you with a river. So whoever drinks from it is not of me, and whoever does not taste it is indeed of me, excepting one who takes [from it] in the hollow of his hand.” But they drank from it, except a [very] few of them. Then when he had crossed it along with those who believed with him, they said, “There is no power for us today against Goliath and his soldiers.” But those who were certain that they would meet Allah said, “How many a small company has overcome a large company by permission of Allah . And Allah is with the patient.”

MALAY

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah dia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya dia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

فَلَمّا فَصَلَ طالوتُ بِالجُنودِ

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya,

Salah satu perkara yang dia uji tenteranya adalah ketaatan kepada ketua kerana ketaatan adalah amat penting dalam peperangan. Kalau tidak ada ketaatan, tentera itu akan lemah, tidak kira sama ada mereka dalam bilangan yang sedikit atau banyak.

Dalilnya kita boleh lihat dalam kisah peperangan Uhud. Waktu itu, kemenangan yang hampir dapat boleh berubah menjadi kekalahan kerana ketaatan telah hilang (apabila para pemanah meninggalkan tempat mereka). Maka Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Talut melatih tenteranya menjadi taat.

Talut membawa tenteranya untuk berperang dengan golongan Amaliqah yang berada di BaitulMaqdis waktu itu.

 

قالَ إِنَّ اللَّهَ مُبتَليكُم بِنَهَرٍ

berkatalah dia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai,

Allah ‎ﷻ mengilhamkan Talut untuk menguji tentera itu dengan sungai. Mereka akan melalui sungai itu tetapi arahan yang dikeluarkan, tidak boleh minum walau dahaga macam mana pun.

Bayangkan mereka waktu itu sudah berjalan jauh, dalam kepenatan dan dahaga yang amat sangat, tetapi tidak boleh minum air yang ada di dalam sungai depan mata. Jiwa tentunya bergelora hendak minum tetapi arahan yang diberikan jangan minum. Ini adalah ujian yang berat untuk lihat siapa yang taat.

 

فَمَن شَرِبَ مِنهُ فَلَيسَ مِنّي

oleh itu sesiapa yang meminum airnya maka bukanlah dia daripada pengikutku, 

Sesiapa yang minum juga, maka tidak boleh lagi menjadi tentera Talut. Maknanya, mereka yang minum telah tidak mengikut arahan dan tidak taat kepada ketua. Mereka dikira gagal dalam ujian itu. Mereka akan digugurkan daripada tentera itu. Bahaya kalau bawa mereka juga kerana mereka lemah dan tidak taat.

 

وَمَن لَّم يَطعَمهُ فَإِنَّهُ مِنّي

dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya dia daripada pengikutku,

Sesiapa yang boleh menahan diri daripada meminum air daripada sungai itu, maka mereka boleh terus ikut menjadi tentera. Mereka boleh terus menjadi tentera Talut kalau taat kepada beliau.

 

إِلّا مَنِ اغتَرَفَ غُرفَةً بِيَدِهِ

kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”.

Yang tidak minum langsung adalah jenis komando tetapi kalau jenis askar yang biasa, bolehlah kalau hendak minum sekadar seraup tapak tangan sahaja. Tidak boleh lebih daripada itu. Masih lagi dikira sebagai tentera Talut juga. Namun darjatnya sudah turun sedikit.

 

فَشَرِبوا مِنهُ إِلّا قَليلًا مِّنهُم

mereka meminum juga daripada sungai itu, kecuali sebahagian kecil daripada mereka. 

Ramai yang minum dengan banyak, kecuali sedikit sahaja yang mengikut arahan. Bahasa yang digunakan menunjukkan sedikit sangat yang tidak minum. Mereka tidak tahan melawan nafsu yang amat dahaga, maka mereka terus minum.

 

فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ

Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, 

Kisah ini terus melompat ke bahagian mereka sudah di lapangan peperangan setelah menyeberangi sungai itu.

 

قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ

berkatalah mereka: “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”.

Mereka yang minum dengan banyak itu berkata yang mereka tidak ada kemampuan untuk berperang dengan tentera Jalut. Apabila mereka melihat banyaknya bilangan tentera Jalut, mereka sudah takut.

Dalam riwayat, dikatakan yang tentera Jalut sebanyak 90,000 dan ada riwayat lain kata sebanyak 300,000. Sedangkan tentera Talut itu seramai 313 orang sahaja. Asalnya lebih ramai.

Tentera mereka yang asalnya 80,000 jadi sedikit kerana sudah kena tapis sampai tinggal 313 orang sahaja. Kalau kita ambil bilangan tentera Jalut sebanyak 90,000, tentunya bukan senang untuk dilawan berbanding dengan bilangan tentera talut yang hanya sebanyak 313 orang itu. Begitulah Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan bagaimana selalunya kisah tentera Islam selalunya melawan tentera yang lebih ramai tetapi menang.

Ini kerana Allah‎ ﷻ hendak tunjuk bagaimana Dia menolong hamba-Nya yang taat. Bukannya bergantung kepada ramainya bilangan tentera. Allah ‎ﷻ hendak kita mula pergi perang sahaja, dan apabila kita taat, Dia akan beri kemenangan. Memang kalau fikirkan dengan akal yang logik, tidak nampak macam mana cara boleh menang, tetapi Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan Qudrat-Nya.

Satu lagi tafsir, yang berkata itu adalah mereka yang minum sekadar seraup tangan itu. Yang sudah minum banyak itu memang sudah tiada lagi sebab sudah kena balik kampung. Maka yang berkata itu adalah yang minum seraup tangan itu, iaitu mereka yang lemah sedikit daripada mereka yang tidak minum langsung. Bila mengadap tentera Jalut sahaja, mereka sudah takut kerana mereka agak lemah.

 

قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: 

Yang berkata itu adalah mereka yang benar-benar yakin akan bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka yakin kerana mereka sedar yang mereka akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Mereka tahu yang mereka akhirnya akan menemui Allah ‎ﷻ juga akhirnya, tetapi mati dalam jihad lebih mulia.

Allah ‎ﷻ sudah menjanjikan kemenangan kepada mereka, maka mereka yakin akan kemenangan itu dan kalau mereka mati di medan pertempuran, mereka akan mati syahid. Jadi, apa-apa pun, mereka akan menang. Mereka sudah tidak takut dan kita boleh lihat mereka berkata-kata dengan berani sekali.

Allah ‎ﷻ membawakan kisah ini kepada para sahabat yang tidak lama lagi akan berdepan dengan tentera Musyrikin Mekah yang lebih ramai daripada mereka dalam Perang Badr. Allah ‎ﷻ hendak memberikan semangat kepada mereka bahawa walaupun nanti mereka berhadapan dengan musuh yang lebih ramai, mereka tetap boleh menang walaupun mereka sedikit kerana mereka akan dibantu oleh Allah ‎ﷻ.

 

كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ

“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah;

Mereka yang berani itu berkata kemenangan yang itu adalah dengan keizinan Allah ‎ﷻ. Bukan dengan ramainya tentera. Hanya mereka yang benar-benar yakin sahaja akan kata begini. Namun kalau yang berkata itu tidak yakin, tiada makna. Kalau kita saja-saja hendak cakap, tidak ada makna kerana keyakinan itu datangnya dari hati.

Kita cakap ini sebab ada manusia yang menggunakan ayat ini sebagai azimat. Mereka hendak mula berperang, atau mula hendak bertumbuk, mereka akan baca ayat ini sebagai penguat semangat dan sebagai azimat. Itu adalah cara salah. Tidak ada maknanya kalau mereka cakap tetapi hati mereka tidak yakin.

Manusia yang jahil, memang suka baca ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Baca pada air, pada barang, pada rumah dan macam-macam lagi. Apa yang mereka baca pun mereka tidak faham kerana mereka bukannya belajar tafsir Al-Qur’an pun. Mereka pakai baca sahaja.

Ingatlah yang ayat Al-Qur’an bukan untuk dijadikan sebagai azimat supaya dibaca supaya dapat kuasa atau sebagainya. Namun sebab ramai dalam kalangan umat Islam ini jahil dan bodoh, maka senang sangat mereka ditipu. Maka banyaklah dalam pasaran sekarang ada air jampi, air yang telah dibaca Al-Qur’an 30 juzuk, Air Anugerah, air itu ini, baju sudah kena jampi, biskut, coklat sudah kena jampi, ayam jampi, baju raya pun dijampi juga dan macam-macam jampi lagi.

Apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kerana niat tertentu, berkehendakkan sesuatu, maka pembacaan itu menjadi sihir iaitu sihir dengan ayat Al-Qur’an. Manusia yang jahil menyangka kalau menggunakan ayat Al-Qur’an, tidak salah. Namun ia adalah salah sebenarnya.

 

وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Mereka yang berani itu sambung lagi kata-kata mereka: Allah ‎ﷻ bersama dengan orang yang sabar. ‘Bersama’ maksudnya Dia akan beri bantuan. Lihatlah nanti bagaimana dalam Perang Talut dan Jalut ini, tentera Islam mendapat kemenangan dan dalam Perang Bad pula, tentera Islam juga telah mendapat kemenangan.

Sabar itu antara lain, sabar dalam menjaga hukum. Walaupun kita rasa arahan Allah ‎ﷻ itu susah, namun oleh kerana kita taat kepada Allah ‎ﷻ, kita ikut juga. Maka kalau kita berani, kita tidak takut menegakkan kebenaran. Walaupun orang hendak kata kita Wahabi atau apa-apa sahaja tuduhan palsu.


 

Ayat 250:

وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And when they went forth to [face] Goliath and his soldiers, they said, “Our Lord, pour upon us patience and plant firmly our feet and give us victory over the disbelieving people.”

MALAY

Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”

 

وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ

Dan apabila mereka keluar menentang Jalut dan tenteranya,

Ini adalah semasa tentera Talut itu sudah mengadap tentera Jalut dan hampir hendak berlawan di medan pertempuran. Mereka sudah nampak tentera Jalut di hadapan mereka.

 

قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا

mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami,

Ini adalah doa mereka apabila berhadapan dengan musuh. Tugas kita adalah minta kepada Allah ‎ﷻ. Kalau takut, maka serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Apa-apa sahaja kita bergantung kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka minta supaya dilimpahkan sabar kepada mereka. Doa minta sabar ini hanya boleh dibaca depan musuh sahaja. Tidak boleh dibaca semasa kita senang lenang. Nabi ﷺ tidak membenarkan kerana pernah Nabi Muhammad ﷺ mendengar seorang sahabat berdoa minta sabar. Nabi ﷺ menegur perbuatan sahabat itu.

رواه الترمذي 3527 من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ

Nabi ﷺ mendengar seorang lelaki berdoa: ya Allah aku memohon kepada-Mu sabar. Baginda bersabda: kamu meminta bala.  Maka mintalah afiah. (Riwayat tirmidzi

Ini kerana kalau minta sabar semasa senang, itu meminta bala sebenarnya kerana sabar tidak akan jelas dan zahir tanpa bala. Maka kalau minta sabar, Allah ‎ﷻ akan beri bala supaya orang itu diberi ujian sabar. Oleh itu, hanya apabila kita perlu berada dalam keadaan sabar, barulah minta.

 

وَثَبِّت أَقدامَنا

dan teguhkanlah tapak pendirian kami 

Hati kena teguh dengan sabar, dan kaki kena teguh juga supaya tidak lari. Kaki kita akan ikut hati sebenarnya. Kalau hati berani, kaki pun akan berani. Kalau hati sudah takut, kaki pun akan takut juga. Sebab itu bila kita takut, kaki kita lembik sahaja, bukan?

 

وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”

Mereka meminta kemenangan diberikan kepada mereka kerana mereka menentang orang kafir. Indah sekali doa mereka ini dan Allah ‎ﷻ memasukkan doa mereka ke dalam Al-Qur’an yang akan kekal sepanjang zaman sampai kiamat.

Namun harus diingatkan, jangan amalkan doa ini kalau keadaan tidak memerlukan.


 

Ayat 251:

فَهَزَموهُم بِإِذنِ اللَّهِ وَقَتَلَ داوودُ جالوتَ وَءَاتَٮٰهُ اللَّهُ المُلكَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمّا يَشاءُ ۗ وَلَولا دَفعُ اللَّهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ لَّفَسَدَتِ الأَرضُ وَلٰكِنَّ اللَّهَ ذو فَضلٍ عَلَى العٰلَمينَ

SAHIH INTERNATIONAL

So they defeated them by permission of Allah , and David killed Goliath, and Allah gave him the kingship and prophethood and taught him from that which He willed. And if it were not for Allah checking [some] people by means of others, the earth would have been corrupted, but Allah is full of bounty to the worlds.

MALAY

Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.

 

فَهَزَموهُم بِإِذنِ اللَّهِ

mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah,

Doa mereka dimakbulkan. Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang mereka menang bukan kerana kekuatan tentera mereka tetapi dengan keizinan Allah ‎ﷻ.

 

وَقَتَلَ داوودُ جالوتَ

dan Nabi Daud telah membunuh Jalut.

Jalut adalah ketua syirik waktu itu dan dia telah dibunuh oleh Nabi Daud عليه السلام. Nabi Daud عليه السلام adalah salah seorang daripada tentera Talut kerana waktu itu baginda belum diangkat menjadi Nabi.

Ini memberitahu kita bahawa syirik kena dibasmikan oleh ketua agama. Oleh kerana itu, akhir zaman nanti, apabila tentera Imam Mahdi menentang tentera Dajjal, yang akan membunuh Dajjal adalah Nabi Isa عليه السلام.  Tetapi kepemimpinan tetap ada pada Imam Mahdi. Kerana itu jugalah, Talut tetap ketua tentera tetapi yang membunuh ketua syirik (iaitu Jalut waktu itu), adalah Nabi Daud عليه السلام.

 

وَءَاتَٮٰهُ اللَّهُ المُلكَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمّا يَشاءُ

Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya.

Pada kemudian hari, Nabi Daud عليه السلام telah diberikan dengan kerajaan dan pangkat kenabian dan Allah ‎ﷻ mengajarkan ilmu wahyu. Nabi Daud عليه السلام adalah antara Nabi yang diberikan dengan pangkat kenabian dan juga kuasa kenegaraan. Seorang lagi yang mendapat perkara yang sama adalah anaknya, Nabi Sulaiman عليه السلام.

 

وَلَولا دَفعُ اللَّهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ

Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia dengan setengahnya yang lain

Ini adalah hikmah disyariatkan perang. Ia dapat menolak keganasan manusia dengan menggunakan setengah manusia lain yang beriman. Kalau ada yang berkuasa dan mereka telah berbuat zalim kepada dunia, maka Allah ‎ﷻ akan datangkan kuasa yang baik untuk menentang dan mengalahkan mereka.

 

لَّفَسَدَتِ الأَرضُ

nescaya rosak binasalah bumi ini;

Kalau Allah ‎ﷻ tidak buat begitu, tentulah dunia ini tidak ada syariat dan ada maksiat sahaja kerana yang zalim akan terus berkuasa tanpa disekat. Maka kena ada golongan baik yang kuat supaya dapat mengalahkan kebatilan.

Manusia yang tidak ada agama, akhirnya akan sampai kepada tahap melakukan keganasan. Semasa tiada kuasa dan wang, mereka boleh duduk senyap lagi. Namun apabila sudah ada kuasa lebih, mereka akan ganas. Begitulah yang kita takut dengan golongan Syiah. Apabila mereka berkuasa, mereka akan menjadi ganas.

Apabila ada golongan besar yang menjadi ganas, Allah ‎ﷻ akan hantar golongan lain yang lebih daripada mereka yang akan memusnahkan mereka. Jadi jihad juga adalah untuk membasmi keganasan manusia. Maka kerana itu amat penting jihad dijalankan oleh umat Islam.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ ذو فَضلٍ عَلَى العٰلَمينَ

akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.

Banyak lagi kurnia Allah ‎ﷻ ke atas  manusia. Kalau tidak ada peperangan pun, Allah ‎ﷻ masih lagi mengurniakan keamanan. Itu adalah kurniaan Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 252:

تِلكَ ءَايَـٰتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۚ وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ

SAHIH INTERNATIONAL

These are the verses of Allah which We recite to you, [O Muhammad], in truth. And indeed, you are from among the messengers.

MALAY

Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

 

تِلكَ ءَايَـٰتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar;

Allah ‎ﷻ berikan kisah ini kepada Nabi ﷺ dan umat Islam sebagai pengajaran. Maklumat ini hanya diberikan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang boleh bawa cerita ini kerana baginda yang diberi wahyu.

 

وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ

dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

Maka tsabitlah Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Nabi. Kalau baginda bukan Nabi, baginda tidak akan tahu kisah ini.


 

Ayat 253: Apabila syariat hendak ditegakkan, rasul telah diangkat dan dakwah telah dijalankan, maka akan ada manusia yang ingkar. Mereka akan menentang dakwah Islam. Mereka ini perlu ditentang.

Maka tidak cukup dengan dakwah mulut sahaja, kena juga ada kekuatan ketenteraan dan kena jalankan perang juga. Kalau biarkan sahaja, mereka akan terus mengganas. Ini adalah satu faedah daripada jihad perang.

Yang kedua, Jihad perang juga adalah ujian kepada pendakwah Islam di mana mereka bukan sahaja berkorban harta dan masa untuk menegakkan agama Islam, tetapi mereka juga akan melepasi ujian mempertaruhkan nyawanya untuk Islam. Faedahnya, iman mereka akan meningkat ke tahap kemuncak. Ini kerana kalau berhadapan dengan mati, ia memerlukan iman yang tinggi sekali.

۞ تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ ۘ مِّنهُم مَّن كَلَّمَ اللَّهُ ۖ وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجٰتٍ ۚ وَءآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّنٰتِ وَأَيَّدنٰهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم مِّن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنٰتُ وَلٰكِنِ اختَلَفوا فَمِنهُم مَّن ءآمَنَ وَمِنهُم مَّن كَفَرَ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ

SAHIH INTERNATIONAL

Those messengers – some of them We caused to exceed others. Among them were those to whom Allah spoke, and He raised some of them in degree. And We gave Jesus, the Son of Mary, clear proofs, and We supported him with the Pure Spirit. If Allah had willed, those [generations] succeeding them would not have fought each other after the clear proofs had come to them. But they differed, and some of them believed and some of them disbelieved. And if Allah had willed, they would not have fought each other, but Allah does what He intends.

MALAY

Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.

 

تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ

Itulah Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain

Rasul adalah manusia yang dilantik khas untuk menyampaikan wahyu untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ dengan cara tauhid. Ini kerana ada yang kenal siapa Allah ‎ﷻ, tetapi tidak mentauhidkan-Nya. Selain daripada itu, para Nabi itu tugasnya mengajar manusia cara untuk taat kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka adalah penyatu umat manusia sebenarnya kerana mereka membawa mesej akidah yang sama. Namun ada juga fahaman yang kata Nabi-nabi itulah yang menyebabkan manusia berpecah. Mereka kata asalnya kita semua ‘anak Tuhan’ tetapi manusia berpecah mengikut Nabi-nabi yang berlainan.

Ini adalah fahaman yang salah kerana para Nabi itu bukan memecahkan fahaman. Mereka bawakan mesej akidah yang sama sahaja zaman berzaman. Yang berpecahnya adalah manusia selepas mereka.

Ayat sebelum ini tsabit tentang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Namun Nabi lain pun dihormati juga maka Allah ‎ﷻ sentuh tentang mereka dalam ayat ini. Semua mereka adalah model ikutan kita. Jangan jadi seperti umat terdahulu yang tidak terima kenabian sesetengah Nabi. Kita tidak tafriq tetapi ada tafdhil. Apa pula ini?

‘Tafriq’ maksudnya bezakan Nabi itu, ada yang terima sebagai Nabi dan ada yang tidak. ‘Tafdhil’ pula adalah membezakan kedudukan Nabi antara satu sama lain, kerana ada yang kedudukan lebih tinggi daripada sesetengah yang lain. Allah ‎ﷻ sendiri yang buat begitu. Bukan kita yang bezakan sendiri.

Allah ‎ﷻ melebihkan kedudukan sesetengah rasul berbanding rasul-rasul dan nabi-nabi yang lain. Ada rasul yang digelar sebagai Rasul Ulul Azmi dan ada yang tidak. Semua Nabi itu tidak dapat menandingi kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun umur Nabi ﷺ kita itu pendek, tetapi cabaran dan dugaan yang diberikan kepadanya dahulu adalah amat berat.

Sebagai contoh, setelah baginda menghadapi musuh di Mekah dan setelah berhijrah ke Madinah, musuh Baginda bertambah dan bukannya berkurang. Semasa di Mekah, musuhnya hanya kafir Quraish sahaja, tetapi semasa di Madinah, baginda berhadapan dengan musyrikin Mekah, Yahudi, munafik, kerajaan Rom, kerajaan Parsi dan kafir kawasan sekitar.

 

مِّنهُم مَّن كَلَّمَ اللَّهُ

Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya

Yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عليه السلام. Ingat bahawa puak Yahudi sedang membaca Al-Qur’an juga dan apabila disebut ada Nabi yang bercakap terus dengan Allah ‎ﷻ, mereka terus tahu bahawa yang dimaksudkan adalah Nabi mereka yang utama, Nabi Musa عليه السلام. Maka tentu mereka suka, sebab itu adalah Nabi yang mereka sayangi.

 

وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجٰتٍ

dan ditinggikan-Nya sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. 

Ada Nabi yang ada kedudukan Rasul Ulul Azmi. Itu adalah lima orang Nabi yang telah melalui ujian yang hebat dan mereka telah diberikan dengan kedudukan yang tinggi dibandingkan dengan Nabi-Nabi yang lain.

Kedudukan Nabi Muhammad ﷺ adalah yang paling tinggi. Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda bahawa baginda telah diuji dengan berat dan tidak ada Nabi lain yang diuji seperti ujian yang dikenakan kepada baginda. Bila ujian kepada Nabi Muhammad ﷺ itu lebih berat, maka darjat baginda pun lebih juga.

 

وَءآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّنٰتِ

Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran

Selepas menyentuh tentang Nabi Musa عليه السلام, Nabi utama Bani Israil, Allah ‎ﷻ sebut pula Nabi Isa عليه السلام, iaitu Nabi yang Bani Israil tidak iktiraf. Ini mengingatkan kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ bukanlah Nabi pertama yang ditolak oleh mereka. Sebelum ini pun mereka sudah tolak seorang lagi Nabi, iaitu Nabi Isa عليه السلام.

Nabi Isa عليه السلام telah diberikan dengan mukjizat-mukjizat dan juga telah diberikan dengan Kitab Injil.

 

وَأَيَّدنٰهُ بِروحِ القُدُسِ

serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril)

Sokongan tambahan telah diberikan kepada Nabi Isa عليه السلام di mana setiap kali baginda keluar berdakwah, baginda akan disokong oleh Jibril عليه السلام. Ini menunjukkan bahawa Nabi Isa عليه السلام itu bukanlah anak Tuhan sampaikan baginda perlu diberi sokongan tambahan. Baginda diberikan sokongan dengan Jibril عليه السلام kerana baginda tidak ada ayah dan kedudukan baginda dalam masyarakatnya waktu itu adalah amat lemah.

Jibril عليه السلام juga disebut kerana bukankah Bani Israil bermusuh dengan Jibril عليه السلام? Mereka suka Malaikat Mikail tetapi mereka tidak sukakan Jibril عليه السلام seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini.

Kita kena ingat bahawa para ‘rasul’ terdiri daripada manusia dan juga malaikat. Ini kerana malaikat juga menyampaikan ‘risalah’ daripada Allah ‎ﷻ. Rasul dalam kalangan malaikat pun kita terima juga semuanya, tidak seperti Bani Israil yang memilih milih mana yang mereka suka sahaja.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم

Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan

Allah ‎ﷻ boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ boleh jadikan tidak ada perang langsung sesama manusia, hidup aman damai sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ jadikan juga perang itu kerana ia adalah untuk kebaikan hamba-Nya.

 

مِّن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنٰتُ

sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan

Mereka berpecah itu bukannya sebab tidak ada Nabi, tidak ada kitab daripada Allah ‎ﷻ tetapi selepas semua petunjuk telah datang kepada manusia. Mereka telah disampaikan dengan kebenaran, tetapi mereka yang tolak.

 

وَلٰكِنِ اختَلَفوا

Tetapi mereka bertelingkah,

Ada yang berhujah, kalau agama Islam itu benar, kenapa ada perpecahan dalam kalangan penganutnya? Memang kita tidak nafikan pun, kerana kita biasa lihat pun bagaimana ulama’ ini kata begitu, ulama’ ini kata begini pula dan sebagainya. Boleh dikatakan perbalahan dan perpecahan fahaman dalam Islam ini menyeluruh dan tidak dapat disangkal lagi.

Jawabnya, bukan dalam agama Islam sahaja ada pertelingkahan, perbezaan pendapat, malah peperangan. Zaman dahulu pun sudah berlaku. Masalahnya bukan pada agama, tetapi pada manusia. Memang sifat manusia itu selalu berbeza, semua ada pendapat sendiri.

Kadang-kadang mereka tidak tahu menangani perbezaan pendapat itu sampai boleh membawa kepada peperangan. Maka, jangan salahkan agama.

 

فَمِنهُم مَّن ءآمَنَ

di antara mereka ada yang beriman, 

Ada manusia yang tetap di dalam akidah tauhid yang benar, terus mereka beriman dengan Allah‎ ﷻ dan perkara-perkara yang wajib diimani.

 

وَمِنهُم مَّن كَفَرَ

dan ada dari kalangan mereka yang kafir.

Lebih ramai lagi yang terpedaya dengan bisikan syaitan dan mereka memilih jalan kekufuran. Mereka sangka mereka benar dan mereka sampai sanggup mengangkat senjata untuk menegakkannya.

 

وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا

Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan;

Kalau Allah ‎ﷻ hendak menjadikan umat manusia ini taat sahaja semuanya, Allah ‎ﷻ boleh buat. Sebagaimana Allah telah menjadikan para malaikat yang lebih ramai dan lebih kuat daripada kita itu, dan taat sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ

tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

Tetapi bukan begitu yang Allah ‎ﷻ kehendaki kepada umat manusia. Ini semua adalah ujian kepada kita belaka. Kita tidak boleh mempersoalkan apa yang Dia hendak buat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s