Tafsir Surah Hadid Ayat 8 – 11 (Qardhun Hasan)

Ayat 8: Ayat ini adalah tahkik (penekanan) kepada makna ayat 7 sebelum ini.

وَما لَكُم لا تُؤمِنونَ بِاللهِ ۙ وَالرَّسولُ يَدعوكُم لِتُؤمِنوا بِرَبِّكُم وَقَد أَخَذَ ميثٰقَكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And why do you not believe in Allāh while the Messenger invites you to believe in your Lord and He has taken your covenant, if you should [truly] be believers?

(MELAYU)

Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul menyeru kamu supaya kamu beriman kepada Tuhanmu. Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjianmu jika kamu adalah orang-orang yang beriman.

 

وَما لَكُم لا تُؤمِنونَ بِاللهِ

Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah

Allah beri teguran kepada manusia di dalam ayat ini: kenapa dengan kamu?!

Ini amat menakutkan kerana ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam. Allah beri teguran yang agak keras dalam ayat ini. Maka kalau hati kita lembut, tentu kita akan tersentuh dengan teguran Allah dalam ayat ini.

Allah tegur: “Kenapa kamu masih tidak beriman dan percaya dengan janji-janji Allah, terutama tentang infak?”

Mungkin kita sangka kita sudah beriman kerana kita mengaku kita seorang Muslim dan kita sangka kita sudah beriman tetapi adakah Allah terima iman kita? Inilah persoalannya.

Mungkin pada satu peringkat kita semua sudah beriman dengan Allah, iaitu kita percaya yang Allah itu Tuhan kita yang menjadikan kita dan juga alam ini. Tetapi pada satu peringkat yang lain, kita juga kena percaya dengan apa yang Allah janjikan kepada kita.

Berbagai-bagai perkara yang Allah suruh kita lakukan dan Allah berjanji akan memberi balasan yang baik kepada kita atas pengorbanan kita itu. Akan tetapi kita kena tanya diri kita balik sama ada kita percaya janji Allah ini atau tidak? Allah janji akan balas infak kita, tapi bila kita tidak infak, bermakna kita seolah-olah tidak percaya dengan janji Allah itu, bukan?

 

وَالرَّسولُ يَدعوكُم لِتُؤمِنوا بِرَبِّكُم

padahal Rasul menyeru kamu supaya kamu beriman kepada Tuhanmu.

Kenapa kamu tidak mahu beriman penuh dengan Allah, sedangkan Rasulullah sudah mengajak kamu untuk beriman dengan sepenuhnya. Adakah kamu tidak percaya dengan janji Rasulullah?

Teguran ini lagi teruk kepada para sahabat yang berada bersama Nabi kerana mereka duduk di kalangan Nabi. Mereka dapat terus suruhan dan ajakan dari baginda.

Maka kita yang tidak dapat bersama dengan Rasulullah ini mendapat kedudukan yang berlainan dari mereka seperti yang disebut dalam permulaan Syarah Kitabul Iman dari kitab Sahih Bukhari, bahawa pada suatu hari Rasulullah Saw. telah bersabda kepada para sahabatnya:

“أيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَعْجَبُ إِلَيْكُمْ إِيمَانًا؟ ” قَالُوا: الْمَلَائِكَةُ. قَالَ: “وَمَا لَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ وَهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ؟ ” قَالُوا: فَالْأَنْبِيَاءُ. قَالَ: “وَمَا لَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ وَالْوَحْيُ يَنْزِلُ عَلَيْهِمْ؟ “. قَالُوا: فَنَحْنُ؟ قَالَ: “وَمَا لَكَمَ لَا تُؤْمِنُونَ وَأَنَا بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ؟ وَلَكِنْ أَعْجَبُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا قَوْمٌ يجيؤون بَعْدِكُمْ يَجِدُونَ صُحُفًا يُؤْمِنُونَ بِمَا فِيهَا”

“Orang mukmin manakah yang imannya paling kalian kagumi?” Mereka menjawab, “Para malaikat.” Nabi Saw. bersabda, “Dan mengapa mereka tidak beriman, sedangkan mereka berada di sisi Tuhan mereka.” Mereka berkata, “Kalau begitu, para nabi.” Nabi Saw. menjawab, “Mengapa mereka tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?” Mereka berkata, “Kalau begitu, kami.” Nabi Saw. bersabda, “Mengapa kamu tidak beriman, sedangkan aku berada di antara kalian? Tetapi orang mukmin yang paling menakjubkan keimanannya ialah suatu kaum yang datang sesudah kalian; mereka hanya menjumpai lembaran-lembaran (mushaf), lalu mereka beriman dengan semua yang terkandung di dalamnya.”

 

وَقَد أَخَذَ ميثٰقَكُم

Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjianmu

Ini adalah tentang Janji Setia setelah masuk Islam. Iaitu berjanji untuk ikut ajaran Islam. Ini adalah baiah Nabi dengan para sahabat. Janji nak setia dengan Islam sampai bila-bila.

Ini telah pernah dilakukan tapi sekarang jadi asing bagi kita. Padahal zaman Nabi biasa sahaja dilakukan baiah yang sebegitu. Sepatutnya ia masih ada dalam Islam kerana baiah yang sebegini akan memberi kekuatan untuk menegakkan agama Islam.

Memang Rasulullah yang mengajar kamu tentang janji setia itu, tetapi adakah ini perkara yang baru? Bukankah kamu sudah pun berjanji di dalam Syahadah kamu untuk hanya beriman kepada Allah dan hanya mengikut ajaran Nabi Muhammad. Itu pun sudah janji setia juga dan kita semua umat Islam telah menzahirkan janji setia itu sama ada kita sedar atau tidak. Yang tidak sedar itu adalah kerana jahil agama sahaja.

Ulama’ ada juga mengatakan yang perjanjian yang dimaksudkan adalah perjanjian semua Muslim apabila mereka masuk ke dalam Islam seperti yang disebut dalam Maidah:7

وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثٰقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَاتَّقُوا اللَهَ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami taati”. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati(mu).

Tetapi Ibnu Jarir mempunyai pendapat bahawa makna yang dimaksudkan dengan perjanjian ini adalah yang diambil dari mereka saat mereka masih berada di dalam sulbi Adam; dan ini juga menurut pendapat Mujahid, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Ayat ini disebut dalam A’raf:173

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

 

إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

jika kamu adalah orang-orang yang beriman.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Maka infaklah harta dan masa kita sekiranya kita orang yang benar-benar beriman. Kalau rasa kamu sudah beriman, maka buatlah apa yang disuruh dalam surah ini.


 

Ayat 9: Ayat targhib (ajakan) kepada infak. Allah hendakkan kebaikan bagi hamba dengan memberi agama kepada kita. Bukanlah Allah hendak menyusahkan kita tapi sebenarnya Allah hendak kita jadi baik.

Untuk kita senang infak, ia kena ada keinginan. Tapi keinginan inilah yang menjadi ujian besar. Ini kerana Allah tidak memaksa kita dan Allah telah beri manusia bebas memilih sama ada nak pilih jalan syurga atau tidak. Mereka yang pilih selamat adalah mereka yang berjaya.

هُوَ الَّذي يُنَزِّلُ عَلىٰ عَبدِهِ ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۚ وَإِنَّ اللهَ بِكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sends down upon His Servant [Muḥammad (ṣ)] verses of clear evidence that He may bring you out from darknesses into the light. And indeed, Allāh is to you Kind and Merciful.

(MELAYU)

Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang (Al-Qur’an) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.

 

هُوَ الَّذي يُنَزِّلُ عَلىٰ عَبدِهِ ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ

Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang

Telah disebut bahawa iman umat Islam sudah lemah sebelum ini. Lalu jikalau iman sudah lemah, maka bagaimanakah cara untuk boleh mendapatkan iman itu kembali? Maka Allah beritahu di dalam ayat ini bahawa untuk mendapatkan kembali iman adalah dengan kita membaca dan memahami Al-Qur’an dan mengamalkannya.

Maka kenalah ikut wahyu yang jelas nyata itu. Allah yang turunkan kepada hambaNya untuk menjadi panduan bagi hamba. Ayat-ayatnya tidak tersembunyi dan mudah didapati dan senang difahami. Senang sahaja nak cari dan baca Al-Qur’an kerana semua rumah sudah ada mushfa Al-Qur’an, bukan? Sekarang kena cari guru tafsir sahaja.

Dan ianya mudah sahaja setelah dipelajari. Memanglah kalau baca sendiri susah nak faham (atau tidak boleh faham langsung). Tapi kalau sanggup luangkan masa untuk belajar tafsir, ianya memang boleh difahami. Kerana kalau kena kaedahnya, ia senang difahami. Kerana itu kita ajak semua belajar tafsir Al-Qur’an.

 

لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. 

Tujuan apa Allah beri wahyu Al-Qur’an itu? Dengan Al-Qur’an itu dapat mengeluarkan pembacanya (dan pengamalnya) dari kegelapan kepada cahaya. Sebagaimana kita memerlukan cahaya untuk melihat jalan di dalam dunia, maka jalan ke akhirat memerlukan cahaya dan cahaya itu ada dalam Al-Qur’an. Asalkan kita baca dengan faham dan kemudian mengamalkannya.

Allah gunakan kalimah ‘gelap’ sebagai nisbah kepada semua perkara yang buruk. Ada banyak benda buruk dalam dunia ini sampaikan tidak terkira. Ia merangkumi juga kejahilan agama dan terutama sekali kejahilan tentang syirik. Keburukan itu sangat banyak sampai sukar nak jelaskan satu persatu, kita pun tak tahu di mana nak mula.

Tapi cahaya ada satu sahaja, iaitu wahyu. Dengannya dapat keluar dari segala kegelapan itu tidak kira berapa banyaknya. Banyak masalah tapi ubatnya satu sahaja. Dengan mempelajari wahyu Al-Qur’an akan dapat membawa insan kepada ilmu. Dan dengan ilmu itu dapat mengeluarkan dari keburukan dan membawa kepada kebaikan.

Ayat ini juga amat menakutkan kerana mereka yang berada di dalam kegelapan itu telah disebut di dalam surah Al-Baqarah sebagai orang-orang kafir. Tetapi sekarang ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam pula. Maka kegelapan iman yang dimaksudkan itu adalah orang munafik yang juga orang Islam tetapi sebenarnya lemah imannya.

 

وَإِنَّ اللهَ بِكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.

Kalimah لَرَءوفٌ itu bermaksud Allah sayang dan tak mahu manusia dalam bahaya. Allah memberitahu yang Dia prihatin kepada hambaNya. Allah sedar apa yang kita lalui dan mahu ajar bagaimana keluar dari bahaya itu.

Allah mahu menyelamatkan hambaNya kerana Allah juga bersifat رَحيمٌ iaitu Allah amat sayang kepada Hambanya. Allah turunkan wahyu dan para Nabi yang mengajar wahyu itu kerana Allah nak selamatkan hamba.

Cara Allah tunjukkan prihatin itu adalah dengan memberikan Al-Qur’an kepada kita untuk menaikkan kembali iman kita. Maka jikalau ada orang yang rasa imannya lemah, maka kita boleh tahu bahawa itu adalah kerana hubungan mereka dengan Al-Qur’an juga adalah lemah.

Malangnya kebanyakan umat Islam sekarang amat jauh dari Al-Qur’an. Mereka tidak hiraukan tentang memahami Al-Qur’an. Kalau ada baik pun, mereka cuma baca sahaja Al-Qur’an itu tanpa memahami apa yang mereka baca. Kalau mereka tidak faham, bagaimana mereka nak amalkan agama kerana ambilan agama ini dari Al-Qur’an?

Habis Ruku 1 dari 4 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 10: Ayat ini adalah sebab infak yang kedua. Infak dapat membezakan antara munafik dan mukmin sebenar. Ini dapat dilakukan apabila ada jihad. Maka ayat 10 – 11 mengandungi seruan untuk sertai jihad.

وَما لَكُم أَلّا تُنفِقوا في سَبيلِ اللهِ وَِلِلهِ ميرٰثُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ لا يَستَوي مِّنكُم مَّن أَنفَقَ مِن قَبلِ الفَتحِ وَقٰتَلَ ۚ أُولٰئِكَ أَعظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذينَ أَنفَقوا مِن بَعدُ وَقٰتَلوا ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللهُ الحُسنىٰ ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And why do you not spend in the cause of Allāh while to Allāh belongs the heritage of the heavens and the earth? Not equal among you are those who spent before the conquest [of Makkah] and fought [and those who did so after it]. Those are greater in degree than they who spent afterwards and fought. But to all Allāh has promised the best [reward]. And Allāh, with what you do, is Acquainted.

(MELAYU)

Dan mengapa kamu tidak menafkahkan (sebahagian hartamu) pada jalan Allah, padahal Allah-lah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi? Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tingi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

وَما لَكُم أَلّا تُنفِقوا في سَبيلِ اللهِ

Dan mengapa kamu tidak menafkahkan pada jalan Allah, 

Allah tegur lagi umat Islam dalam ayat ini. Allah mempersoalkan kenapa mereka tidak infak di jalan Allah. Infak yang dimaksudkan adalah ‘infak di jalan Allah’. Kerana maksud ‘infak’ adalah ‘keluarkan harta’ sahaja dari segi bahasa. Kalau keluarkan duit untuk beli barang di pasar pun sebenarnya adalah infak juga.

Jadi Allah jelaskan dalam ayat ini yang infak yang dimaksudkan adalah ‘infak di jalan Allah’. Maksudnya untuk menegakkan agama Allah.

 

وَِلِلهِ ميرٰثُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

padahal Allah-lah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi?

Apabila Allah sebut tentang mempusakai langit dan bumi, itu bermaksud bahawa tidak ada sesiapa lagi di atas dunia yang akan mempusakai alam ini. Kerana akhirnya nanti tidak ada makhluk yang akan hidup apabila Kiamat berlaku.

Maksudnya Allah hendak memberitahu bahawa alam ini akan hancur dan yang akan mempusakainya adalah Allah sahaja kerana tidak ada sesiapa lagi yang masih hidup pada waktu itu.

Maka kenapa kedekut sangat nak simpan sangat harta itu kerana apa yang kamu ada itu akan kamu tinggalkan sahaja. Maknanya harta itu milik kita sementara sahaja. Maka gunakan infak di jalan Allah untuk menjadikan harta itu sebagai milik sempurna kita. Kalau tidak, akhirnya Allah sahaja yang ambil. Peluang akan habis kalau kita tidak gunakan semasa harta itu di tangan kita.

Oleh itu, sebab yang kedua kita kena infak adalah untuk menjadikan harta itu ‘milik kekal’ kita. Sebab jikalau kita tidak infak, maka harta itu jadi milik kita sementara sahaja dan akhirnya akan dimiliki oleh Allah. Maka untuk menjadikan harta itu milik kekal kita maka hendaklah kita infak semasa kita masih hidup lagi.

Jadi Allah suruh kita fikirkan: “apakah yang kamu lakukan untuk agama?” Kenapa nak fikirkan tentang kehidupan dunia sahaja? Jangan jadikan dunia sebagai satu-satunya sahaja tujuan hidup kita. Kerana kita tidak tinggal tetap di dunia ini. Lambat laun kita pasti akan mati dan kerana itu kita kena bersedia untuk mati. Salah satu persediaan adalah dengan infak sebanyak mungkin.

Dalam ayat ini juga sebenarnya Allah hendak memberitahu bahawa kiamat itu sebenarnya sudah dekat. Kita sahaja yang sangka ianya macam jauh sahaja tapi tanda-tandanya sudah banyak, bukan?

Pertamanya, Nabi Muhammad sudah lahir, dan kalam wahyu yang terakhir dalam bentuk Al-Qur’an sudah turun; maka peristiwa besar yang akan berlaku selepas ini hanyalah kiamat sahaja, tidak ada wahyu lain dan Nabi lain.

Maka apakah yang kamu tunggu lagi dengan tidak infak? Apa kamu sangka masa kamu lama lagikah? Kalau pun Kiamat Besar itu lambat lagi, Kiamat Kecil (iaitu mati) bagi kamu tidak lama lagi. Entah esok lusa kamu boleh mati. Peluang kamu hidup yang entah berapa lama sahaja ini perlu digunakan sepenuhnya.

 

لا يَستَوي مِّنكُم مَّن أَنفَقَ مِن قَبلِ الفَتحِ وَقٰتَلَ

Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah).

Infak ada dua jenis: ada yang dapat pahala besar dan dapat pahala biasa. Infak semasa tiada harta dan semasa ada banyak harta, tidak sama. Allah lihat kepada kualiti. Allah lihat kepada tahap pengorbanan kita pada waktu infak itu.

Kalimah الفَتحِ (pembukaan atau kemenangan) itu boleh merujuk kepada Pembukaan Mekah atau Perjanjian Hudaibiyah. Ulama’ khilaf tentang perkara ini. Jumhur mengatakan ia merujuk kepada Pembukaan Mekah; tetapi ada dalil yang kuat mengatakan ia berkenaan Perjanjian Hudaibiyah seperti hadis ini yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, iaitu:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ، حَدَّثَنَا زُهَير، حَدَّثَنَا حُمَيد الطَّوِيلُ، عَنْ أَنَسٍ قَالَ: كَانَ بَيْنَ خَالِدِ بْنِ الْوَلِيدِ وَبَيْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ كَلَامٌ، فَقَالَ خَالِدٌ لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ: تَسْتَطِيلُونَ عَلَيْنَا بِأَيَّامٍ سَبَقْتُمُونَا بِهَا؟ فَبَلَغَنَا أَنَّ ذَلِكَ ذُكر لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ” دَعُوا لِي أَصْحَابِي فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ أَنْفَقْتُمْ مِثْلَ أُحُدٍ-أَوْ مِثْلَ الْجِبَالِ-ذَهَبًا، مَا بَلَغْتُمْ أَعْمَالَهُمْ”

telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Abdul Malik, telah menceritakan kepada kami Zuhair, telah menceritakan kepada kami Humaid At-Tawil, dari Anas yang mengatakan bahawa pernah terjadi perdebatan antara Khalid ibnul Walid dan Abdur Rahman ibnu Auf. Khalid berkata kepada Abdur Rahman, “Kamu mempunyai pengaruh atas kami berkat hari-hari yang kamu lebih mendahuluinya daripada kami.” Kemudian hal tersebut diceritakan kepada Nabi Saw. Maka beliau Saw. bersabda: Biarkanlah aku dan sahabat-sahabatku, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, seandainya kamu berinfak sebanyak seperti Bukit Uhud atau seperti gunung berupa emas, maka kamu tetap masih belum dapat mencapai amal perbuatan mereka (para sahabatku yang terdahulu masuk Islamnya).

Syarah: Dan telah dimaklumi bahawa masuk Islamnya Khalid yang menjadi lawan bicara hadis ini adalah di masa antara Perjanjian Hudaibiyah dan sebelum penaklukan kota Mekah. Maka tentu yang dia maksudkan adalah Perjanjian Hudaibiyah.

Allah memberitahu bahawa tidak sama mereka yang berjuang sebelum Islam sudah menang. Ini merujuk kepada infak para sahabat yang awal kerana mereka hidup dan berjuang semasa di sekeliling mereka kekufuran bermaharajalela. Mereka menjaga iman mereka sewaktu keadaan amat susah untuk mengaku seorang Muslim. Waktu itu ramai yang menentang mereka dan perkara-perkara maksiat berleluasa dan senang untuk mereka dapat lakukan maksiat. Jadi perjuangan mereka amat berat.

Dan infak mereka waktu itu amat berharga kerana waktu itu mereka miskin sangat. Mereka pun susah nak makan, tapi mereka keluarkan juga infak untuk menegakkan agama.

 

أُولٰئِكَ أَعظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذينَ أَنفَقوا مِن بَعدُ وَقٰتَلوا

Mereka lebih tingi derajatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu.

Tidak sama kedudukan mereka kalau dibandingkan dengan orang yang infak dan berjuang selepas Islam telah kuat. Waktu itu sudah ramai orang beriman dan kekuatan Islam sudah ada. Tempat maksiat pun tidak ada dan dugaan untuk melakukan maksiat sudah kurang. Dan kerana itu lebih mudah untuk mereka menjaga iman.

Infak dan jihad sebelum kejayaan Islam dan selepas kejayaan Islam, tidak sama. Kalau kita bandingkan dalam keadaan kita pada zaman sekarang, mereka yang mengeluarkan harta dan berdakwah semasa dalam keadaan susah dan semasa pergerakan Sunnah ini masih lemah, maka mereka itu akan mendapat kedudukan yang lebih daripada orang lain.

Ini kerana dakwah semasa pergerakan Sunnah masih lemah, mendapat tentangan yang amat teruk sekali. Jadi dugaan amat tinggi dan ini adalah dugaan yang amat berat. Jadi Allah balas dugaan dan ketabahan itu dengan pahala yang amat banyak.

Infak itu bukan hanya tertakluk kepada harta dan wang sahaja. Ada banyak perkara yang kita boleh keluarkan untuk menegakkan agama seperti masa, tenaga dan juga idea kita. Maka kita akan ditanya apakah yang kita lakukan dengan masa lapang kita dan bagaimana kita menghabiskan masa muda sebelum datangnya masa tua. Maka jangan rugikan masa kita yang lapang ini. Jalankan dakwah dengan cara kita.

 

وَكُلًّا وَعَدَ اللهُ الحُسنىٰ

Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik.

Walaupun pahala itu tidak sama jika infak diberi dahulu dan sekarang, tetapi masing-masing akan mendapat balasan baik iaitu syurga juga di atas infak mereka itu. Pahala infak tetap akan dapat, tapi tidaklah sama tingkatan di syurga nanti. Kerana tingkatan syurga itu banyak.

Allah tetap akan beri balasan kepada infak fi sabilillah yang dilakukan oleh sesiapa sahaja. Cuma bezanya adalah balasan itu berganda banyak atau sikit. Tapi tetap Allah akan balas seperti yang Allah sebut dalam Saba:39

وَما أَنفَقتُم مِّن شَيءٍ فَهُوَ يُخلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Segala apa yang diinfakkan oleh kita diketahui oleh Allah. Sama ada kecil atau besar, Allah tahu. Dan yang penting, Allah akan balas segala infak itu.

Yang penting adalah ikhlas. Dan Allah tahu sama ada perbuatan baik yang kita lakukan itu ikhlas atau tidak.


 

Ayat 11: Ini adalah sebab infak yang ketiga. Infak ini dari segi hakikatnya bukan beri terus tapi akan dapat balasan dari Allah. Ianya seumpama kita beri pinjam kepada Allah dan Allah simpan. Bila Allah simpan, itu maksudnya Allah akan beri balik berlipat kali ganda.

Allah beri perumpamaan pinjam, kerana manusia susah nak beri terus, tapi kalau bagi pinjam sahaja, masih ok lagi.

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجرٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who is it that would loan Allāh a goodly loan so He will multiply it for him and he will have a noble reward?

(MELAYU)

Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.

 

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللهَ قَرضًا حَسَنًا

Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, 

Kalimah قَرضًا  dari katadasar ق ر ض yang bermaksud potong. Kalimah قَرضًا pula adalah beri pinjaman kerana orang yang beri pinjam itu sebenarnya memotong sebahagian dari harta dia untuk diberikan kepada orang lain. Dan kalimat قَرضًا حَسَنًا pula bermaksud ‘pinjaman yang baik’.

Ini adalah pertanyaan Allah: Siapakah yang di luar sana yang sanggup untuk memberi pinjaman yang baik kepada Allah? Ada tak sesiapa yang di luar sana? Ada tak?

Ini adalah sesuatu yang pelik. Kenapa pula Allah sampai meminta pinjaman daripada kita sedangkan Allah memiliki segala-gala? Selalunya pinjaman ini diberikan daripada orang yang memiliki kepada yang tidak memiliki.

Maka ini sebenarnya adalah soal integriti. Bayangkan satu keadaan di mana ibu kita datang minta pinjam duit kita kerana dia ada masalah dan dia berjanji untuk bayar balik. Kalau ini terjadi, maka kita kena fikir balik: adakah patut ibu kita sendiri pinjam duit dengan kita? Tidakkah amat memalukan kita jikalau ibu kita ada masalah tetapi kita tidak tahu tentang masalah dia dan kita tidak membantunya terus? Kita tidak tahu masalah ibu kita sendiri pun sudah ada masalah, bukan?

Dan amatlah teruk sekali kita jikalau ibu kita bukan minta duit daripada kita tetapi ‘minta pinjam’. Sepatutnya sebagai ibu kita sendiri, tak payah pinjamlah duit dari kita, sebaliknya kita yang kena beri terus, bukannya beri pinjam. Ini sudah teruk kali kedua (kali pertama kerana kita tidak tahu ibu kita ada masalah kewangan).

Dan teruk yang ketiga, ibu itu terpaksa kata dia berjanji yang dia akan bayar balik wang pinjaman itu. Kerana nak dapatkan pinjaman dari kita, ibu kita terpaksa berjanji: “nak.. mak janji yer… nanti mak bayar balik.. tolonglah mak yer….” Kalau inilah terjadi, maknanya ibu kita sudah melihat kita sebagai teruk sangat sampaikan kena cakap yang dia akan bayar balik duit kita itu, takut kita tak bagi duit kalau dia tak cakap begitu.

Ya Allah… ini amat memalukan sekali kalau kena kepada kita. Bayangkan emak sendiri kena buat begitu kepada kita, sedangkan emak itulah yang melahirkan kita dan menjaga kita sampai kita besar.

Jadi bayangkan ayat ini Allah bercakap kepada orang Islam yang kedekut yang tidak mahu mengeluarkan harta sampaikan Allah kata berilah pinjaman kepada Dia dan Dia berjanji akan membayar balik pinjaman itu. Janganlah takut tak dapat pulangan balik kerana yang berjanji ini adalah Allah sendiri.

Jadi ini adalah teguran yang amat-amat pedas dari Allah. Dia yang beri harta itu kepada kita, Dia yang beri segala yang lain bagi kita, dan sekarang seolah-olah Allah ‘merayu’ minta pinjaman dari kita!

‘Qardhan hasanan’ juga bermaksud pinjaman yang tidak ada had masa. Maknanya jikalau kita beri pinjam kepada orang dengan pinjaman ini maka kita kata kepada dia: “jikalau ada duit maka bayarlah, kalau tidak ada wang nak bayar tidak mengapa.” Maknanya, Allah hendak memberitahu bahawa Dia pasti akan bayar balik tetapi masanya tidak tahu lagi bila. Tapi pasti Dia akan bayar balik.

Qardhan hasanan juga bermaksud pinjaman yang ikhlas. Iaitu kita berikan dengan hati yang ikhlas, bukan kerana terpaksa. Bukan kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang dan bukan kerana hendakkan sesuatu.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Al-Hasan ibnu Arafah, telah menceritakan kepada kami Khalaf ibnu Khalifah, dari Humaid Al-A’raj, dari Abdullah ibnul Haris, dari Abdullah ibnu Mas’ud yang mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, iaitu firman Allah Swt.: Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya. (Al-Hadid: 11) Abud Dahdah Al-Ansari berkata, “Wahai Rasulullah, apakah Allah menghendaki pinjaman dari kita?” Rasulullah Saw. menjawab, “Benar, hai Abud Dahdah.” Abu Dahdah berkata, “Wahai Rasulullah, kemarikanlah tanganmu.” Maka Abud Dahdah menjabat tangan Rasulullah Saw., lalu berkata, “Sesungguhnya aku pinjamkan kepada Tuhanku kebun kurmaku.” Dia mempunyai kebun kurma dengan enam ratus tangkal kurma, dan Ummu Dahdah bertempat tinggal di dalam kebun itu bersama anak-anaknya. Lalu Abud Dahdah datang dan memanggil isterinya, “Hai Ummu Dahdah.” Isterinya menjawab, “Labbaik.” Abud Dahdah berkata, “Keluarlah kamu, sesungguhnya kebun ini telah kupinjamkan kepada Tuhanku.”

Menurut riwayat yang lain, saat itu juga Ummu Dahdah berkata kepada Abud Dahdah, “Beruntunglah perniagaanmu, hai Abud Dahdah,” lalu Ummu Dahdah memindahkan semua barang dan anak-anaknya dari kebun itu, sedangkan Rasulullah Saw. bersabda:

“كَمْ مِنْ عَذْق رَدَاح فِي الْجَنَّةِ لِأَبِي الدَّحْدَاحِ”

Betapa banyaknya pohon kurma yang berbuah subur di dalam syurga milik Abu Dahdah.

 

فَيُضٰعِفَهُ لَهُ

maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya,

Sekarang Allah berjanji yang Dia akan bayar balik ‘pinjaman’ yang kita berikan itu. Dan Allah berjanji yang Dia akan bayar bukan sebanyak mana yang kita beri tapi Allah akan balas berganda-ganda.

Dan tentulah kalau Allah yang berjanji, Allah akan tepati kerana janji Allah boleh dipercayai. Dan di dalam ayat yang lain, Allah sebut yang di dunia lagi Allah sudah gandakan.

 

وَلَهُ أَجرٌ كَريمٌ

dan dia akan memperoleh pahala yang mulia.

Dan bukan sahaja Allah akan balas, tapi Allah akan bagi pahala lagi. Ini pula di akhirat kelak.

Kalimah Kareem bermaksud balasan dari segi nilai. Allah akan balas dengan nilai yang lebih tinggi. Seumpama kita bagi pinjam dalam bentuk wang ringgit tapi dibalas dalam bentuk dinar. Tak sama nilainya kerana 10 dinar lebih tinggi dari 10 Ringgit, bukan?

Satu lagi, kalimah Kareem juga bermaksud keampunan yang besar. Diambil maksud ini dari makna yang diambil dari ayat lain. Oleh itu, Kareem juga boleh bermakna Maghfirah. Allah gugurkan dosa dan apabila Allah gugurkan dosa, tentu yang tinggal adalah pahala.

Oleh itu, Maghfirah adalah nikmat yang amat besar. Bayangkan hutang kita macam dosa. Kalau kita ada banyak pahala banyak tapi kalau dosa pun banyak, maka tinggallah sikit sahaja pahala itu. Bagaimana kalau Allah gugurkan dosa? Tentu kalau Allah gugurkan dosa, maka tinggallah pahala sahaja yang banyak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 1 Mei 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s