Ayat 12: Ayat tabshir (berita gembira) kepada orang mukmin. Nanti akan disebut pula bagaimana keadaan orang munafik. Jadi ayat 13 – 15 menceritakan perihal orang munafik. Tapi Allah mulakan dengan menyebut keadaan orang mukmin dahulu dalam ayat 12 ini.
يَومَ تَرَى المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ يَسعىٰ نورُهُم بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم بُشرٰكُمُ اليَومَ جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
On the Day you see the believing men and believing women, their light proceeding before them and on their right, [it will be said], “Your good tidings today are [of] gardens beneath which rivers flow, wherein you will abide eternally.” That is what is the great attainment.
(MELAYU)
Pada hari kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar”.
يَومَ تَرَى المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ
pada hari kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan,
Ini adalah berita baik kepada mukmin lelaki dan perempuan. Selalunya kalau Allah sebut mukmineen, itu sudah termasuk mukminaat sekali. Tetapi apabila Allah bezakan dan sebut kedua-duanya sekali, ini kerana Allah nak tekankan yang lelaki dan perempuan dua-dua ada peluang untuk mendapatkan janji Allah.
Wanita dimuliakan kerana usaha mereka pun berharga. Maka Allah sebut khusus juga bagi mereka dalam ayat ini. Tidaklah mereka itu golongan bawahan kepada lelaki. Mereka juga ada hak untuk mendapat janji Allah, asalkan mereka juga berusaha.
يَسعىٰ نورُهُم بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم
sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka,
Mereka bergerak dengan laju di akhirat kelak semasa melintasi Titian Sirat dan kemudian menuju ke syurga. Maka dalam ayat ini Allah membayangkan keadaan mereka semasa sedang menuju ke syurga dengan laju dan kerana itu kalimah يسعى digunakan.
Allah juga beritahu di sini, semasa mereka sedang menuju ke syurga itu, akan keluar cahaya dari diri mereka sendiri. Dan cahaya itu ada di depan mereka dan dari sebelah kanan mereka. Kenapa ada cahaya di kanan pula disebut? Kerana cahaya di sebelah kanan itu adalah nisbah kepada amal baik mereka yang mereka telah lakukan.
Suasana di akhirat nanti adalah amat gelap maka semua perlu kepada cahaya untuk bergerak. Waktu itu iman yang akan menjadi cahaya di hadapan dan cahaya di sebelah kanan bermaksud cahaya daripada amal-amal kebaikan. Dua-dua kena ada.
Allah hendak memberi isyarat yang cahaya ini ada kerana mereka telah infak di jalan Allah. Ada cahaya yang jauh nampak sampai ke hadapan dan ada yang nampak pada kaki sahaja. Ini bergantung kepada banyak mana mereka telah infak dan seperti yang telah disebut tentang kualiti infak itu.
Kalau dia infak di awal Islam, maka cahaya itu lebih berkualiti. Kalau lebih banyak dia beri, maka lebih jauh lagi cahaya itu. Kalau ikhlas lebih, maka lebih lagi cahaya itu. Ia relatif kepada amalan infak mereka kerana cara dan niat manusia infak tidak sama.
Hal itu sesuai dengan amal perbuatan mereka masing-masing. Mereka berjalan di atas sirat, di antara mereka ada yang nur-nya seperti gunung, ada yang nur-nya seperti pohon kurma, dan ada yang nur-nya seperti seorang lelaki yang berdiri, dan orang yang paling rendah nur-nya dari mereka adalah yang sebesar ibu jarinya, yang kadangkala menyala dan kadangkala padam. Ini diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Jarir.
Qatadah mengatakan, telah menceritakan kepada kami bahawa Nabi Saw. pernah bersabda:
“مِنَ الْمُؤْمِنِينَ مَنْ يُضِيءُ نُوره مِنَ الْمَدِينَةِ إِلَى عَدن أَبْيَنَ وَصَنْعَاءَ فَدُونَ ذَلِكَ، حَتَّى إِنَّ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ مَنْ يُضِيءُ نُورُهُ مَوْضِعَ قَدَمَيْهِ”
Di antara orang-orang mukmin ada yang cahayanya menerangi antara Madinah dan ‘Adn serta San’ah dengan sinar yang sangat terang, dan yang kurang dari itu hingga sesungguhnya di antara orang-orang mukmin ada yang cahayanya hanya dapat menerangi tempat kedua telapak kakinya saja.
بُشرٰكُمُ اليَومَ جَنّٰتٌ
“Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) taman-taman syurga
Setelah orang mukmin itu berjaya melepasi neraka dengan melalui Titian Sirat, maka mereka akan bertemu dengan taman-taman syurga yang telah disediakan untuk mereka. Mereka bukan sahaja mendapat satu taman tetapi dari bahasa yang digunakan, ada banyak taman-taman untuk mereka dan mereka boleh melihat semua taman-taman itu.
Apabila mereka sampai, mereka terus disambut dengan berita gembira. Mereka diraikan dan disambut dengan mesra sangat.
تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
Allah beri semangat dan motivasi kepada pembaca Al-Qur’an dengan mengatakan taman-taman syurga itu ada air yang mengalir di bawahnya. Sifat manusia memang suka kepada air dan suka kepada kawasan penempatan yang ada air seperti kolam, laut dan air terjun. Kerana itu ada yang buat air terjun buatan dan juga kolam di dalam rumah.
Dan kita amat memerlukan air. Sekali air kena catu oleh Jabatan Bekalan Air pun kita sudah kelam kabut. Maka apabila disebut air di taman-taman syurga, itu adalah untuk menarik perhatian pembaca Al-Qur’an supaya semakin naik minat mereka kepada syurga. Supaya mereka jadi lebih ringan untuk berusaha mendapatkannya.
Tambahan pula ayat ini pertama kali diberikan kepada penduduk Mekah yang tempat mereka tidak ada banyak air. Jadi apabila sebut air yang banyak, tentulah ia menarik perhatian mereka.
خٰلِدينَ فيها
yang kamu kekal di dalamnya.
Kalau duduk sekejap sahaja, tentu tidak menarik. Kalau dapat duduk di hotel paling mahal pun, akhirnya akan kena keluar juga. Maka memang manusia suka kepada tempat tinggal yang kekal. Kerana itu manusia tidak suka kalau menyewa rumah dan kerana itu ramai akan berusaha untuk mendapatkan rumah sendiri.
Maka Allah beritahu hal itu jangan ditakuti lagi. Kalau dapat masuk syurga, maka penghuni syurga akan kekal di dalamnya, tidak akan keluar sampai bila-bila.
ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
Itulah keberuntungan yang besar”.
Inilah kejayaan yang kena dikejar. Dan ini adalah kejayaan jenis الفَوزُ iaitu jenis selamat dari bahaya. Dan bahaya apakah yang dimaksudkan?
Itulah bahaya api neraka. Bukankah sebelum ini telah disebut mereka melalui Titian Sirat? Itulah bahaya yang paling besar dan apabila telah dapat melepasinya, maka kejayaan itu adalah kejayaan yang amat-amat besar dan العَظيمُ.
Ayat 13: Kalau ayat sebelum ini tentang orang Mukmin, sekarang tentang orang munafik pula pada waktu itu. Allah nak bezakan keadaan dua golongan itu. Kerana amalan dan fahaman tidak sama, maka keadaan mereka di akhirat juga tidaklah sama.
يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا انظُرونا نَقتَبِس مِن نّورِكُم قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا فَضُرِبَ بَينَهُم بِسورٍ لَّهُ بابٌ باطِنُهُ فيهِ الرَّحمَةُ وَظٰهِرُهُ مِن قِبَلِهِ العَذابُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
On the [same] Day the hypocrite men and hypocrite women will say to those who believed, “Wait for us that we may acquire some of your light.” It will be said, “Go back behind you¹ and seek light.” And a wall will be placed between them with a door, its interior containing mercy, but on the outside of it is torment.
- To where light was acquired, i.e., in the worldly life.
(MELAYU)
Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu”. Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”. Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa.
يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا
Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman:
Sekarang kita bercakap tentang golongan orang-orang munafik. Dan kita memang kena berhati-hati supaya jangan terjerumus dalam golongan ini. Jadi kita kena belajar tentang mereka dan sifat-sifat mereka supaya kita tidak jadi seperti mereka.
Ada tiga peringkat iman yang kita kena faham:
1. iman yang bagus
2. iman yang lemah
3. golongan munafik.
Kalau iman kita lemah dan kita tidak melakukan sesuatu untuk menaikkan kembali iman itu, maka tangga yang seterusnya adalah menjadi seorang yang munafik. Lama kelamaan iman akan menurun kalau tidak dilakukan sesuatu untuk menaikkannya. Mulanya iman lemah sahaja, tapi akhirnya jadi munafik. Dan nanti kita akan baca bagaimana keadaan orang munafik di akhirat kelak – adakah kita nak jadi seperti mereka?
Ada iltifad (penukaran) dalam dua ayat ini. Kalau dalam ayat tentang orang mukmin sebelum ini, dikatakan Nabi dapat melihat mereka يَومَ تَرَى (hari yang engkau melihat). Tapi kali ini disebut sahaja apa golongan munafik itu kata – يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ (hari berkata orang-orang munafik). Ini adalah kerana Nabi tidak dapat lihat mereka dan mereka tak layak dilihat oleh baginda.
Disebut dalam ayat ini golongan ‘munafik wanita’ kerana munafik mereka berlainan dengan munafik lelaki. Dulu mereka duduk sama dalam masyarakat Islam. Cara pakaian dan apa yang mereka sampaikan di mulut mereka mungkin sama sahaja, tapi dalaman mereka berlainan.
Ayat tentang keadaan mereka ini dikatakan peringkat kedua selepas Mahsyar di mana orang-orang kafir memang telah dimasukkan ke dalam neraka dan sekarang tinggal orang-orang Islam sahaja. Tetapi dalam kalangan orang Islam ini, ada orang yang beriman dan ada orang yang munafik.
Apakah kata-kata orang munafik itu kepada orang mukmin?
انظُرونا
“Tunggulah kami
Perjalanan di akhirat menuju ke syurga itu panjang, dalam keadaan gelap pula. Dan waktu itu mereka nampak golongan mukmin laju sahaja berjalan kerana mereka ada cahaya. Golongan munafik itu akan terhegeh-hegeh tidak dapat bergerak laju kerana mereka tidak ada cahaya langsung.
Ad-Dahhak mengatakan bahawa tiada seorang pun dari kalangan mereka yang akan diberi cahaya kelak di hari kiamat. Dan apabila mereka sampai di pinggir sirat, maka padamlah cahaya orang-orang munafik. Ketika orang-orang mukmin menyaksikan hal itu, mereka merasa takut cahayanya padam seperti yang terjadi pada orang-orang munafik. Maka berkatalah mereka, “Ya Tuhan kamu, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami.”
Maka golongan munafik cuba mengejar tapi ditinggalkan oleh golongan mukmin itu. Ini kerana orang beriman sudah tahu yang mereka sedang menuju kepada syurga dan mereka mahu bergerak segera kerana mereka mahu segera sampai ke syurga dan tidak ada masa mereka nak tunggu orang lain. Maka waktu itulah mereka minta golongan mukmin itu tunggu.
Kenapa mereka beriya-iya minta orang mukmin tunggu mereka?
نَقتَبِس مِن نّورِكُم
supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu”.
Golongan munafik itu minta golongan mukmin tunggu sebab nak pinjam cahaya orang mukmin. Perbuatan ini dinamakan iqtibas iaitu apabila seorang mengambil api dari jamung orang lain. Mereka minta kerana pada mereka kalau orang mukmin itu beri sedikit api pun tidak kurangkan api mereka, bukan?
Apakah mereka berjaya?
قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا
Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”.
Walaupun mereka merayu untuk mendapatkan cahaya, tapi tidak diberikan langsung kepada mereka. Penolakan itu akan dikatakan kepada mereka oleh malaikat yang berada di situ. Tidak diberitahu siapakah yang akan berkata kepada orang munafik itu dan berkemungkinan besar ia dikatakan oleh para malaikat kerana orang beriman sudah tidak kisah tentang mereka. Orang mukmin sudah jalan laju di hadapan.
Malaikat suruh golongan munafik itu balik ke dunia dan cari cahaya yang mereka perlukan itu di sana. Ini tentunya dalam bentuk perli sahaja kerana dunia sudah tidak ada lagi, lalu nak ke mana lagi? Dulu golongan munafik itu hanya kisah tentang dunia sahaja dan pengharapan mereka pun kepada dunia sahaja, maka carilah apa yang mereka hendak itu di dunia.
Pergilah balik ke dunia semula untuk ambil cahaya kerana mereka yang dapat cahaya itu telah mengumpul cahaya itu semasa di dunia. Iaitu mereka dapat cahaya itu dengan jalan infak. Mereka bukannya cari cahaya itu di akhirat.
Tapi waktu itu tentu mustahil untuk mendapatkannya maka ini adalah ayat peringatan dan ancaman. Beringatlah untuk mendapat cahaya itu semasa di dunia lagi, janganlah nak minta kepada orang lain semasa di akhirat pula.
فَضُرِبَ بَينَهُم بِسورٍ
Lalu diadakan di antara mereka dinding
Golongan munafik sudah tahu yang mereka tidak boleh kembali ke dunia maka orang munafik itu akan berkejaran ke hadapan untuk cuba mendapatkan cahaya dari golongan mukmin juga dan pada waktu itulah dinding akan diadakan di antara mereka. Ada dinding yang akan dijatuhkan nanti.
Maka diadakan سورٍ di antara antara golongan munafik dan golongan mukmin iaitu satu dinding besar yang digunakan untuk mendindingi kota. Dari kata dasar yang sama inilah kita pakai kalimah ‘surah’ (ini kerana dalam satu surah itu ada berbagai-bagai perkara yang disampaikan, seolah-olah berbagai perkara yang ada di dalam kota yang didindingi dengan dinding kota). Jadi dinding ini memang besar dan tidak dapat ditembusi dan juga dipanjat.
Ada pendapat yang mengatakan inilah dinding A’raf seperti yang disebut dalam A’raf:46.
لَّهُ بابٌ
yang mempunyai pintu.
Tapi dinding itu walaupun besar dan tidak dapat ditembusi, ia ada pintu. Kerana golongan munafik itu mungkin dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosa mereka dan apabila sudah selesai dalam neraka, maka ada yang dapat masuk syurga akhirnya. Sebab itu ada pintu untuk membenarkan mereka masuk. Kalau orang kafir terus, tidak ada harapan untuk mereka.
Kena faham yang golongan munafik ada dua jenis: ada jenis yang memang kufur terus dan ada jenis yang lemah iman sahaja. Kepada mereka yang lemah iman inilah yang ada peluang untuk masuk syurga juga akhirnya (setelah duduk dalam neraka).
باطِنُهُ فيهِ الرَّحمَةُ
Di sebelah dalamnya ada rahmat
Bahagian dalam yang mengandungi golongan mukmin itu tentunya ada rahmah. Iaitu syurga. Mereka itu golongan yang selamat, setelah mendapat rahmah dari Allah yang memasukkan mereka ke dalam syurga. Ini adalah kerana yang masuk syurga itu kerana rahmah dari Allah semata-mata.
وَظٰهِرُهُ مِن قِبَلِهِ العَذابُ
dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa.
Kalimah ظهر bermaksud ‘bahagian luar’. Di sebalik dinding itu iaitu di bahagian golongan munafik itu adalah neraka. Ia قبل (mengadap) kepada azab. Maknanya, mereka akan ditunjukkan dengan azab neraka.
Ayat 14: Apakah laungan golongan munafik selepas mereka didindingi?
يُنادونَهُم أَلَم نَكُن مَّعَكُم ۖ قالوا بَلىٰ وَلٰكِنَّكُم فَتَنتُم أَنفُسَكُم وَتَرَبَّصتُم وَارتَبتُم وَغَرَّتكُمُ الأَمانِيُّ حَتّىٰ جاءَ أَمرُ اللهِ وَغَرَّكُم بِاللهِ الغَرورُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They [i.e., the hypocrites] will call to them [i.e., the believers], “Were we not with you?” They will say, “Yes, but you afflicted yourselves¹ and awaited [misfortune for us] and doubted, and wishful thinking deluded you until there came the command of Allāh. And the Deceiver [i.e., Satan] deceived you concerning Allāh.
- By hypocrisy or by falling into temptations.
(MELAYU)
Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: “Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?” Mereka menjawab: “Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah; dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.
يُنادونَهُم أَلَم نَكُن مَّعَكُم
Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: “Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?”
Orang-orang munafik itu berterusan memanggil-manggil lagi kepada orang-orang mukmin yang selamat di sebelah dinding itu. Mereka meminta pertolongan dengan mengatakan yang mereka dulu hidup bersama-sama dengan orang-orang mukmin itu. Mereka dulu makan bersama, tinggal bersama, solat bersama dan macam-macam lagi. Oleh kerana dulu semasa di dunia duduk bersama, takkan tak boleh tolong?
قالوا بَلىٰ
Mereka menjawab: “Benar,
Orang-orang mukmin itu menjawab yang memang mereka dulu hidup bersama sama. Ini tidak dinafikan. Macam zaman sekarang pun, kita tidak tahu siapa yang munafik dan siapa yang sebenarnya mukmin. Kerana kalau dilihat dari segi penampilan, mungkin sama sahaja. Dari segi zahir tidak dapat dibezakan.
وَلٰكِنَّكُم فَتَنتُم أَنفُسَكُم
tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri
Memang duduk dan bergaul bersama, tetapi orang-orang munafik itu meletakkan diri mereka di dalam keadaan bahaya. Mereka sendiri yang meletakkan diri mereka dalam keadaan itu. Akan disebut mereka itu ada 4 masalah dan kita kena tahu supaya kita boleh elakkan.
1. Dalam ayat ini disebut yang mereka telah membinasakan diri mereka sendiri. Kerana akidah mereka yang tidak betul kerana mereka tidak belajar wahyu dan kerana itu mereka tidak percaya dengan sebenar-benarnya. Iman dan akidah mereka kucar kacir. Dalam erti kata lain, mereka tidak yakin kepada Allah.
Mereka selalu pergi kepada majlis yang tidak patut. Mereka melakukan perkara-perkara yang tidak patut dilakukan oleh orang yang benar beriman. Sebagai contoh, kalau budak-budak muda sekarang mereka selalunya akan pergi ke parti-parti yang liar, hisap dadah, kacau orang dan lain-lain lagi. Mereka bercampur gaul dengan wanita-wanita ajnabi dan duduk dengan orang-orang yang tidak mengamalkan agama dengan benar. Mereka sendiri yang meletakkan diri mereka dalam keadaan bahaya.
وَتَرَبَّصتُم
dan menunggu
2. Mereka walaupun duduk sekali dengan orang mukmin, tapi mereka tidak suka kepada orang mukmin sebenarnya. Mereka menunggu musibah menimpa orang mukmin. Mereka tak suka kepada mukmin yang ikut Nabi dan dalam Baqarah:13 telah disebut yang orang munafik panggil golongan mukmin itu sebagai sufaha’ (orang bodoh).
Dalam Surah Fath juga telah diberitahu bagaimana mereka berharap orang-orang mukmin itu mati apabila pergi mengerjakan Umrah bersama Nabi. Dan dalam ayat-ayat yang lain disebut mereka berharap supaya orang mukmin mati apabila pergi berperang jihad.
Maknanya mereka tidak suka kepada golongan yang benar-benar ikut Nabi Muhammad. Kalau zaman sekarang, orang munafik ini tidak suka orang yang ikut agama yang sebenar, yang rajin beribadah, yang mahu menjaga agamanya, yang mahu ikut ajaran Sunnah.
Golongan munafik itu melakukan tabarrus. Iaitu mereka menunggu dan melihat pihak manakah yang akan menang. Mereka tidak iklankan kekafiran mereka terang-terangan. Mereka nak tunggu mana yang untung. Kalau orang Islam yang menang, maka waktu itu mereka akan mengaku Muslim. Kalau orang kafir yang menang, maka mereka akan pergi dan minta habuan dari orang kafir pula.
Macam orang munafik sekarang, mereka akan lihat sama ada amalkan agama dapat untung atau tidak. Kalau ada kelebihan dan kepentingan kepada mereka, mereka akan pergi. Kalau tidak dapat apa-apa dan mereka rasa menyusahkan mereka, maka mereka akan tinggalkan.
Dan mereka juga melengah-lengah untuk buat perkara yang baik walaupun mereka tahu yang itu adalah perkara yang perlu dilakukan. Mereka kata tunggulah bila mereka sudah tua, tunggulah bila mereka ada kelapangan, tunggulah dulu kerana mereka hendak menikmati kehidupan muda dahulu dan sebagainya. Akhirnya tunggu punya tunggu, mereka pun mati tidak bersedia dengan amal untuk akhirat.
Maka ini mengajar kita untuk membanyakkan diri kita dengan ilmu. Kita sebagai seorang Islam seumpama pokok. Daripada benih bercambah menjadi pokok kecil dan kemudian membesar sampai boleh mengeluarkan buah. Buah itu boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Sepanjang masa pokok itu perlu dijaga dan juga diberi benih supaya ia boleh mengeluarkan buah yang baik.
Apabila kita ada ilmu, kita akan beramal dengan baik dan bukan untuk diri kita sahaja tapi bermanfaat kepada orang yang lain. Sebagaimana manusia dan binatang boleh makan dari buah yang masak, begitu juga orang lain boleh dapat ilmu dari orang yang ada ilmu.
Ada yang sanggup untuk buat perkara haram untuk mendapatkan rezeki dan mereka kata bila mereka sudah cukup duit nanti mereka akan berniaga perkara yang halal. Mereka melengahkan taubat dan meninggalkan perbuatan haram kerana mereka sangka mereka ada masa untuk berubah. Ini pemahaman yang bahaya. Jangan begitu kerana kalau rezeki haram maka makanan halal yang dimakan pun jadi haram.
Manalah mereka tahu yang mereka akan sempat nak bertaubat sebelum mati? Kalau Allah matikan mereka semasa mereka sedang melakukan perkara yang haram, bagaimana?
وَارتَبتُم
dan kamu ragu-ragu
3. Golongan munafik itu ragu-ragu dengan agama dan ragu-ragu dengan ilmu. Mereka tidak meningkatkan fahaman mereka dalam agama. Mereka redha sahaja dengan kejahilan mereka.
Kalau munafik zaman Nabi, mereka itu ragu-ragu dengan wahyu dan kerasulan Nabi Muhammad. Mereka ragu-ragu sama ada Islam akan menang.
Kalau zaman sekarang, golongan munafik atau yang lemah iman itu ragu-ragu sama ada Islam ini agama yang benar atau tidak. Mereka ragu-ragu dengan janji Allah akan beri balasan kalau buat amalan baik dan sebagainya. Mereka ragu-ragu kerana mereka tidak berusaha untuk belajar.
Begitulah jikalau kita tidak menambah ilmu kita untuk menguatkan iman kita maka lama-lama kita menjadi ragu dengan agama Islam. Kerana akan ada sahaja bisikan daripada syaitan yang mengganggu fikiran kita dan kita tidak dapat menolak was-was itu kerana kita tidak ada ilmu. Amat bahaya sekali jikalau orang Islam sendiri meragui agama.
وَغَرَّتكُمُ الأَمانِيُّ
serta kamu ditipu oleh angan-angan kosong
4. Dan mereka membenarkan diri mereka ditipu oleh syaitan dengan angan-angan kosong. Syaitan akan membisikkan mereka dengan angan-angan dunia. Syaitan akan suruh mereka buat itu dan ini untuk berjaya dalam kehidupan; pergi ke sana sini berjalan sakan; mereka buat semua itu sampaikan mereka tidak ada masa nak bersedia dalam kehidupan akhirat.
Dalam kehidupan dunia mereka hendak berjaya dan hendak buat itu dan ini; hendak pergi ke sana sini dan hendak memiliki itu dan ini. Mereka sangka itulah kejayaan yang sebenar dan jikalau Allah beri kejayaan itu kepada mereka itu menjadi tanda bahawa mereka adalah ‘insan terpilih’ (disayangi Allah) dan tentunya mereka akan selamat juga di akhirat, kononnya.
Bagi mereka yang mendapat rezeki yang haram maka mereka mengisi angan-angan kosong di dalam diri mereka yang apabila mereka memberi derma kepada Ustaz dan juga kepada masjid, mereka sangka dengan pemberian mereka itu dapat membersihkan harta dan diri mereka.
Begitu juga kepada artis-artis yang sekali sekala pergi mengerjakan umrah dan mereka sangka dosa-dosa mereka dibersihkan buat sementara waktu. Pada mereka, Umrah dan Haji itu untuk cuci dosa sahaja dan kemudian buat dosa balik.
Dalam hal agama pula mereka dijanjikan dengan amalan dan pahala yang tidak ada dalil. Ini dipanggil amaaniy (angan-angan kosong). Ini berkenaan mereka yang belajar dengan guru yang salah dan beramal dengan amalan yang salah. Mereka dijanjikan dengan pahala yang hebat, maqam itu dan ini. Semua itu adalah berita dan janji kelebihan yang palsu yang bukan bersumber dari Nabi. Inilah amalan-amalan bidaah dan sesat dalam agama.
حَتّىٰ جاءَ أَمرُ اللهِ
sehingga datanglah ketetapan Allah;
Mereka penuhi diri mereka dengan angan-angan kosong dan amalan-amalan yang tidak baik itu hinggalah tiba-tiba sampai kematian kepada mereka. Mati akan datang secara tiba-tiba dan mereka tidak sempat untuk bertaubat dan untuk perbaiki amalan-amalan mereka.
Dulu mereka kata apabila mereka sudah senang maka mereka akan belajar agama. Mereka kata apabila mereka kaya nanti mereka akan buat perniagaan yang halal. Mereka ada cita-cita untuk beriman kononnya tapi mereka tangguhkan cita-cita itu sampai tiba-tiba datang kematian kepada mereka. Inilah salah satu dari talbis iblis (belitan Iblis) iaitu taswif (melengah-lengahkan kebaikan).
وَغَرَّكُم بِاللهِ الغَرورُ
dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.
Maka syaitan telah berjaya menyesatkan mereka dan memasukkan mereka ke dalam neraka bersama dengan syaitan. Mereka telah kalah dengan syaitan dan mereka sekarang menjadi sebahagian dari golongan syaitan di dalam neraka.
Syaitan tipu mereka ‘tentang Allah’ dengan kata: Allah itu kan Maha Pengampun? Maka mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak, nanti Allah akan ampunkan sahaja semua dosa-dosa itu. Begitulah syaitan sangat licik dalam menipu mereka yang jahil agama, terutama sekali jahil wahyu.
Syaitan juga tipu dalam hal amalan bidaah yang mereka lakukan. Contohnya syaitan akan kata: “Allah pasti terima amalan ini kalau ikhlas….” begitulah ramai yang buat amalan bidaah tapi perasan Allah nak terima dan beri pahala kepada amalan mereka itu. Amalan itu tidak ada dalil, tapi mereka tetap juga nak buat kerana mereka sangka Allah tetap akan terima (kerana kononnya mereka ikhlas). Mereka selalunya akan gunakan alasan: ‘apa salahnya, benda baik kan?’.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 1 Mei 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi