Ayat 265: Masih lagi membicarakan tentang syarat-syarat dalam mengeluarkan infak.
وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And the example of those who spend their wealth seeking means to the approval of Allah and assuring [reward for] themselves is like a garden on high ground which is hit by a downpour – so it yields its fruits in double. And [even] if it is not hit by a downpour, then a drizzle [is sufficient]. And Allah , of what you do, is Seeing.
MALAY
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah
Allah ﷻ hendak memberitahu perumpamaan mereka yang infak itu. Daripada ayat ini, kita tahu yang infak itu mesti kerana hendak mencari redha ilahi. Maksudnya tujuan infak itu antara lain adalah untuk menggembirakan Allah ﷻ.
Oleh itu, niat semasa mengeluarkan infak itu kenalah betul. Ia mesti ikhlas kerana Allah ﷻ. Jangan sebab hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan niat-niat lain yang salah.
وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم
dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka,
Infak itu boleh meneguhkan hati. Orang yang mengeluarkan infak itu adalah kerana mereka yakin yang akhirat itu ada dan mereka yakin yang infak mereka itu akan dapat balasannya di akhirat kelak.
Jadi kena latih diri kita untuk dapat keyakinan ini. Mungkin pada awalnya, kita tidak dapat rasa begitu. Namun lama kelamaan, kita terus infak, perasaan itu akan datang. Mungkin kita mulakan dengan infak yang sedikit, dan Allah ﷻ akan kuatkan jiwa kita. Lama kelamaan kita akan biasa untuk infak yang besar-besar.
Apabila kita yakin yang kita akan dapat balasan di akhirat kelak, maka kesannya, kita akan rasa senang hati untuk mengeluarkan infak. Oleh itu, kesimpulannya, kita keluarkan infak itu supaya hati teguh dengan agama. Dengan sebab infak, Allah ﷻ akan kuatkan jiwa kita atas agama.
كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ
adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,
Perumpamaan yang Allah ﷻ beri: bayangkan satu tanah kebun yang berada di kawasan tanah tinggi. Apabila ia tinggi, ia tidak ditenggelami air. Ia adalah tanah yang subur, dan Allah ﷻ beri pula hujan lebat yang akan menyuburkan tanah itu lagi. Tanah tinggi yang tidak kontang dan sentiasa dilimpahkan dengan hujan lebat memang menjadi tanah yang sangat subur.

فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ
lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda
Tanah itu kerana amat subur, akan keluarkan hasil yang berganda kerana tanahnya subur dan dapat air hujan yang banyak pula.
فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ
Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun cukup
Kalau tidak dapat hujan lebat pun, cukup dengan hujan renyai-renyai kerana tanah memang sudah subur. Maknanya kalau amalan dibuat kerana Allah ﷻ dan hati gembira semasa melakukannya, infak sedikit pun sudah dapat pahala yang banyak dan kalau buat lebih banyak, lebih-lebih lagi.
وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
Dan Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
Ayat ini diakhiri dengan lafaz تَعْمَلُونَ dahulu. Selalu تَعْمَلُونَ digandingkan dengan kalimah بَصِيرٌ. Akan tetapi susunannya berubah-ubah. Kadang-kadang Allah ﷻ dahulukan lafaz بَصِيرٌ sebelum lafaz تَعْمَلُونَ.
Apabila kita kaji, kita nampak apabila ayat itu berkenaan dengan amal perbuatan manusia, potongan ayat itu akan dimulakan dengan perkataan تَعْمَلُونَ (yang kamu perbuat) kerana perbuatan itu adalah amalan fizikal. Macam ayat ini, ia adalah tentang infak, dan infak adalah perbuatan fizikal, maka dimulakan dengan perkataan تَعْمَلُونَ.
Tetapi jikalau ayat itu adalah tentang amalan hati, Allah ﷻ akan mulakan dengan perkataan بَصِيرٌ sebelum تَعْمَلُونَ kerana Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia nampak apakah niat hati kita dahulu.
Ma sha Allah…. Senang bila tahu untuk kita hafal Al-Qur’an. Sebab kadang-kadang bertukar dan kalau tidak tahu formula ini, kalau sedang membaca Al-Qur’an daripada hafalan, ada masa akan tersangkut kerana kita terlupa susunan. Dengan tahu formula ini, kalau ayat itu sedang memperkatakan amalan fizikal, maka kita tahu susunannya seperti susunan dalam ayat ini.
Ayat 266: Ini pula keterbalikan daripada orang sebelum ini. Allah ﷻ hendak menceritakan jenis orang yang tidak ada ikhlas semasa melakukan infak. Ini juga adalah ayat perumpamaan.
أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Would one of you like to have a garden of palm trees and grapevines underneath which rivers flow in which he has from every fruit? But he is afflicted with old age and has weak offspring, and it is hit by a whirlwind containing fire and is burned. Thus does Allah make clear to you [His] verses that you might give thought.
MALAY
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang dia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).
أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok tamar (kurma) dan anggur,
Allah ﷻ beri perumpamaan lagi. Bayangkan seseorang yang ada kebun kurma dan juga kebun anggur. Kalau sebut kebun tamar, itu biasa sahaja kerana tamar adalah makanan ruji mereka. Tetapi apabila disebut kebun anggur, itu dikira sebagai hebat. Allah ﷻ suruh kita bayangkan seorang lelaki yang ada kebun yang ada tamar dan anggur. Bukan satu kebun, tetapi dua kebun dia ada.
تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
Kebun itu ada anak sungai pula yang boleh beri air kepada kebun itu. Ini adalah sesuatu yang amat hebat kerana ayat ini mula diturunkan di Tanah Arab yang bukan mudah untuk mendapatkan air. Namun kebun yang disebut dalam ayat ini ada sistem pengairannya yang tersendiri. Jadi ini bukan kebun biasa-biasa.
لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ
dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan,
Selain kurma dan anggur, ada pula tanaman buah-buahan lain. Itu adalah tanaman sampingan yang boleh tambah pendapatan kepada tuan punya kebun itu. Jadi, secara ringkasnya, hebatlah kebun itu.
Itulah perumpamaan kepada infak yang kita telah keluarkan. Ia adalah sesuatu yang amat hebat, yang akan memberi hasil kepada kita di masa kita tua nanti. Balasan dan hasil berganda-ganda.
وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ
sedang dia sudah tua dan mempunyai zuriat yang masih kecil,
Sekarang bayangkan apabila telah sampai masa tuanya, dan dia ada anak tetapi mereka masih lagi kecil-kecil. Dia sudah lama usaha kebunnya itu. Sekarang dia sudah tua dan anak-anaknya tidak dapat diharapkan lagi kerana masih kecil. Mereka pun belum besar lagi jadi mereka bergantung kepadanya.
Jadi dia memang amat mengharapkan hasil daripada kebunnya itu untuk kelangsungan hidupnya dan zuriatnya. Namun apa yang terjadi?
فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت
lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia
Tiba-tiba kebun itu ditimpa taufan. Ia adalah angin kuat yang ada api yang dipanggil Taufan Belati. Habis semuanya. Hasil kebun-kebunnya yang hebat itu sudah tiada lagi. Tanah pun sudah hancur kiranya.
Dia pula sudah tua dan tidak mampu hendak bercucuk tanam lagi seperti semasa dia muda-muda dahulu. Dia sangka dia boleh makan hasil kebun dia di masa tua, tetapi sekarang sudah habis semuanya.
Begitulah perumpamaan keadaan pahala infaknya di akhirat nanti. Segala infaknya di dunia itu tidak ada nilai, kerana sudah batal. Dia sangka dia infak banyak dan boleh banyak pahala menantinya di akhirat, namun tidak ada langsung.
Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa kalau harta dunia tidak pasti akan kekal selama-lamanya, tetapi infak kita akan kekal di akhirat. Maka jangan harap sangat kepada harta dunia. Jangan sangka apa yang kita ada itu akan kekal. Jangan berharap sangat dengan dunia, kerana Allah ﷻ boleh tarik bila-bila masa sahaja.
كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir
Allah ﷻ beri contoh bandingan yang mudah difahami dan mudah dibayang-bayangkan oleh akal, supaya manusia boleh faham. Semoga manusia boleh berfikir apakah jenis infak yang Allah ﷻ hendak daripada kita supaya kita senang ambil pengajaran dan didik hati kita ke arah kebaikan.
Habis Ruku’ 36 dari 40 surah ini
Ayat 267:
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ ۖ وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ
SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, spend from the good things which you have earned and from that which We have produced for you from the earth. And do not aim toward the defective therefrom, spending [from that] while you would not take it [yourself] except with closed eyes. And know that Allah is Free of need and Praiseworthy.
MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Wahai orang-orang yang beriman!
Dengarlah wahai orang-orang yang beriman. Ini adalah ajaran daripada Allah ﷻ tentang cara infak.
أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم
Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik,
Ini syarat yang kena ada. Barang yang kita infak itu mestilah barang yang baik-baik. Barang yang boleh digunakan dan masih boleh dipakai lagi. Boleh digunakan oleh orang yang diberi. Ia juga kenalah sesuai dengan orang yang diberi. Jangan beri baju perempuan kepada orang lelaki, contohnya.
Jangan berikan infak daripada harta yang haram, contohnya hartanya yang didapati dengan cara yang haram. Malangnya, dalam masyarakat, ada yang dapatkan harta dengan cara haram dan konon hendak bersihkan harta itu, mereka derma sedikit.
Ada juga orang Islam (di negara lain) yang jual arak, selamba sahaja dan sekali sekala mereka akan derma dan sedekah kepada masjid. Sepatutnya tidak boleh diterima infak itu kalau kita tahu dari mana sumbernya.
وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ
dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
Berikanlah daripada sumber rezeki yang Allah ﷻ sendiri yang telah beri kepada kita. Allah ﷻ berikan rezeki yang banyak kepada kita supaya kita dapat salurkan kepada orang lain yang memerlukan.
وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ
Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu infakkan
Jangan sengaja memilih yang buruk daripada barang yang hendak diberi itu. Contohnya, sengaja pilih kambing yang buruk-buruk daripads banyak-banyak kambing. Atau baju yang buruk-buruk yang kita memang hendak buang pun, yang tidak boleh dipakai lagi.
وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ
padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu, kecuali dengan memejamkan mata padanya.
Jangan beri barang yang kita sendiri pun tidak mahu kalau diberi oleh orang. Kita terima pun dengan pejam mata kerana tidak suka dengan apa yang diberi. Maksudnya, barang itu kalau diberikan kepada kita pun, kita tidak mahu terima, tetapi ambil sahaja sebab orang sudah beri.
Atau, pejam mata itu adalah daripada pihak yang memberi kerana dia sendiri malu kepada pemberi. Dia malu sebab dia sendiri tahu barang yang dia beri itu tidak ada nilai. Namun jangan kata: “Tapi aku bagi orang itu ambik!” Kena faham yang orang yang diberi itu kadangkala ambil juga sebab orang sudah beri, ambil jugalah. Itulah maksudnya. Maknanya, buruk sangat benda yang diberikan itu tetapi ambil kerana jaga hati orang yang memberi sahaja.
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ
Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
Allah ﷻ Maha Kaya dan tidak perlukan infak kita itu, bukan Allah ﷻ hendak pakai pun. Allah ﷻ suruh infak itu bukan kerana Dia yang mahu. Tetapi Allah ﷻ hendak beri peluang kepada kita untuk buat dan kumpul pahala.
Allah ﷻ sudah sempurna dan tidak perlukan ibadat kita. Kalau kita tidak buat amal ibadah pun Allah ﷻ tetap mulia. Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk infak untuk kebaikan kita sebenarnya. Maka, ambillah peluang itu.
Ayat 268: Ayat ini memberitahu kita, kalau tidak infak, termasuk dalam golongan syaitan.
الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ وَفَضلًا ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
Satan threatens you with poverty and orders you to immorality, while Allah promises you forgiveness from Him and bounty. And Allah is all-Encompassing and Knowing.
MALAY
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan
Syaitan bisik kepada kita: [kalau kita beri sedekah, infak, derma, nanti duit kita akan habis. Keadaan ekonomi susah sekarang, baik simpan duit. Jangan tolong orang sangat… bukan orang tolong kita pun….] dan macam-macam lagi hasutan daripada syaitan supaya kita tidak infak.
وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ
dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji
Syaitan hanya menyuruh kepada melakukan perbuatan dosa dan perkara yang memalukan. Dalam ayat ini bermaksud ‘kedekut’ kerana memang kedekut adalah satu sifat yang memalukan. Ini kerana ia suatu sifat yang tidak patut ada pada orang yang baik. Satu dunia tahu yang kedekut adalah sifat yang buruk, hatta orang kafir pun tahu.
Lihatlah dalam ayat ini, disebut syaitan ‘menyuruh’, maknanya memberi arahan kepada manusia. Maknanya, Syaitan sudah boleh beri arahan kepada orang itu. Mula-mula dia hanya boleh bisikkan sahaja tetapi kalau sudah selalu sangat ikut bisikan dan saranan syaitan, sampai satu masa syaitan sudah boleh beri arahan terus.
وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ
sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya
Allah ﷻ beri keampunan kepada kita apabila kita infak. Kita tentunya banyak dosa, maka infak itu dapat membersihkan dosa-dosa kita.
وَفَضلًا
serta kurnian-Nya.
Maksudnya, Allah ﷻ akan beri taufik kepada kita untuk mengerjakan amal ibadat. Taufik adalah kekuatan untuk melakukan perkara yang Allah ﷻ suruh. Kadang-kadang ada manusia yang hidayah sudah sampai kepada dia – dia tahu dia kena buat amal ibadat, tetapi dia tidak buat kerana dia tidak dapat taufik. Tidak ada kekuatan pada diri dia.
وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.
Allah ﷻ akan balas dengan beri tambahan ganjaran di akhirat. Dia Maha Tahu siapakah yang beri infak dan Dia akan balas infak itu dengan pahala yang lebih baik daripada infak yang kita beri itu. Allah ﷻ boleh beri ganjaran yang berganda-ganda kerana rahmat-Nya amat luas.
Ayat 269:
يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ
SAHIH INTERNATIONAL
He gives wisdom to whom He wills, and whoever has been given wisdom has certainly been given much good. And none will remember except those of understanding.
MALAY
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya
Orang yang infak akan diberi kefahaman agama yang benar. Antara yang diberi adalah kefahaman yang betul tentang infak iaitu kita faham kenapa kita kena infak.
Kefahaman (ilmu) ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu apakah kelebihan dan kepentingan infak dalam Islam. Ini adalah kerana mereka tidak belajar. Apabila tidak belajar, mereka akan terkesan dengan bisikan syaitan yang menjanjikan kemiskinan kepada mereka kalau mereka infak. Maka ramai yang tidak infak.
Hikmah adalah ilmu bermanfaat yang diamalkan. Kalau setakat tahu ilmu sahaja tetapi tidak buat, itu bukan hikmah, itu setakat ilmu sahaja. Sebagai contoh, banyak orang sudah tahu mereka tidak patut membazir tetapi bila dapat gaji, membazir juga.
Bukannya mereka tidak tahu membazir itu tidak elok, tetapi mereka buat juga. Apabila gaji mereka bazirkan, maka mereka sudah tidak ada duit untuk infak sebab sudah dihabiskan ke tempat yang tidak berfaedah.
وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا
Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.
Amat beruntung sekali mereka yang diberikan dengan hikmah itu. Oleh kerana mereka dapat kefahaman yang betul, maka mereka akan infak dengan banyak dan hasilnya, mereka akan jadi kaya raya di akhirat. Malah di dunia lagi mereka akan mendapat balasan baik.
وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ
Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Maksud ‘ulul albab’ adalah orang yang sempurna akalnya. Allah ﷻ selalu sebut perkataan ulul albab ini dalam Al-Qur’an. Ia bermaksud orang yang bijak. Surah Ali Imran akan menjelaskan siapakah mereka.
Kita pun boleh jadi ulul albab kalau kita tahu dan kita berusaha untuk mencapai darjat itu. Janganlah kita sangka yang ia adalah kedudukan yang tidak boleh dicapai.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 23 Januari 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Alhamdulillah terima kasih. Ayat ini memberi kesedaran pentingnya infak dalam kehidupan.
LikeLike