Tafsir Surah Baqarah Ayat 214 – 217 (Anjuran jihad)

Ayat 214: Ayat 214 – 218 adalah tentang infak dan jihad. Disebut kali ketiga tentang hal ini kerana i amat penting.

Ayat ini adalah dorongan/targhib jihad yang ketujuh. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa syurga itu tidak diberikan secara percuma. Syurga itu mahal dan kenalah berkorban untuk mendapatkannya. Mereka yang hendakkan syurga akan diuji semasa di dunia.

Oleh itu jihad hendaklah dijalankan kerana ia adalah salah satu daripada jalan untuk masuk syurga dan ia merupakan ujian yang amat besar.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Or do you think that you will enter Paradise while such [trial] has not yet come to you as came to those who passed on before you? They were touched by poverty and hardship and were shaken until [even their] messenger and those who believed with him said,”When is the help of Allah ?” Unquestionably, the help of Allah is near.

MALAY

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

 

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, 

Adakah kamu sangka kamu dapat masuk syurga dengan mudah? Syurga itu mahal dan ada bayaran untuk memasukinya.

 

وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم

padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? 

Ini adalah ayat yang menakutkan sekali. Allah ‎ﷻ kata untuk masuk syurga, kita mesti diuji seperti umat-umat Islam yang terdahulu juga. Umat terdahulu telah diuji dengan tiga perkara:

 

مَّسَّتهُمُ البَأساءُ

Mereka telah ditimpa kepapaan

Kesusahan harta benda demi menegakkan agama. Ini adalah ujian harta. Mereka dahulu miskin-miskin belaka namun mereka tetap juga memperjuangkan agama dengan apa sahaja yang mereka ada.

 

وَالضَّرّاءُ

dan serangan penyakit,

Iaitu jenis sakit pada tubuh. Ini ujian pada fizikal kita. Memang perjuangan memerlukan batang tubuh kita untuk hadir dalam perjuangan itu. Tidak boleh hantar wakil. Kadangkala penyakit atau gangguan fizikal akan diberikan.

 

وَزُلزِلوا

serta digoncangkan

Mereka digoncangkan dengan ancaman daripada musuh mereka. Ini termasuk dengan ujian-ujian lain seperti sekatan, tohmahan, serangan, cacian dan macam-macam lagi. Ini semua adalah ujian selain ujian harta dan tubuh. Mereka yang sebelum kita telah digegarkan dengan teruk sekali.

Maka kalau kita kena ujian dari orang lain zaman sekarang, itu biasa sahaja. Jangan dirisaukan sangat tentang perkara itu.

 

حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ

sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”

Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم sampai bertanya bilakah datangnya pertolongan Allah ‎ﷻ itu kerana Allah ‎ﷻ memang telah berjanji akan memberikan bantuan tetapi tidak ditentukan waktu bila ia akan diberi. Oleh kerana sudah lama tidak sampai-sampai, maka Nabi ﷺ dan sahabat cuma bertanya kenapa lama sangat.

Bukanlah Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم sangsi kepada pertolongan Allah ‎ﷻ, cuma tertanya-tanya bilakah akan sampai pertolongan itu. Ini kerana mereka sudah tidak tahan lagi kerana teruk sangat ujian yang mereka kena.

Ayat ini nak beritahu kepada kita yang baca Al-Qur’an ini, bahawa untuk dapat pertolongan Allah ‎ﷻ, kena duduk terlebih dahulu dalam kepayahan yang panjang. Dakwah kepada agama Islam ini bukan mudah dan kita kena bersedia. Kita kena ada persediaan mental untuk menghadapinya.

Kalau kita sudah tahu yang ia bukan senang, maka kalau kita menghadapi segala halangan dan dugaan ini, kuranglah sedikit rasa kesusahan itu. Ini kerana kita sudah bersedia. Kita memang sudah agak yang dakwah ini bukan kerja senang. Sebaliknya kalau kita sangka ia kerja senang, dan kemudian dikenakan ujian, tentu ia lebih sukar kepada kita. Ini kerana mental kita tidak bersedia.

Memang pendakwah agama akan menerima ujian daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita melakukan tugas dakwah kita, kita akan diuji kerana Allah ‎ﷻ telah beritahu yang Dia telah siap sediakan musuh untuk orang Mukmin dalam kalangan jin dan manusia.

Kalau kita tidak menjalankan tugas kita pula dalam dakwah, Allah ‎ﷻ akan uji kita dengan kita ditundukkan oleh agama lain supaya kita sedar kembali. Jadi, dalam dua keadaan itu, memang kita akan diuji. Maka terima sahajalah. Juga diingatkan supaya jangan berputus asa. Ingatlah bahawa balasan untuk kesabaran kita itu adalah syurga.

 

أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ

Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat 

Allah ‎ﷻ beritahu bahawa pertolongan-Nya akan pasti tiba dan tidak lama lagi. Mereka cuma perlu bersabar sedikit sahaja lagi. Kesabaran mereka menunggu pertolongan itu akan dibalas dengan pahala dan syurga yang tentunya lebih tinggi nilainya daripada susah payah dan penat jerih manusia yang berdakwah untuk menegakkan agama-Nya.

Ayat ini juga memberi isyarat yang Allah ‎ﷻ dekat dengan kita. Memang Dia telah memberitahu perkara yang sama kepada kita dalam ayat 186.

Yang paling penting adalah sabar. Ada hadith tentang sahabat yang mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ dan lihatlah bagaimana jawapan baginda.

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا قَيْسٌ عَنْ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ قَالَ شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ قُلْنَا لَهُ أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا قَالَ كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ أَوْ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

Telah bercerita kepadaku Muhammad bin Al Mutsannaa telah bercerita kepada kami Yahya dari Isma’il telah bercerita kepada kami Qais daripada Khabbab bin Al Arat رضي الله عنه berkata; “Kami mengadu kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda sedang berbantalkan kain selimut baginda di bawah naungan Ka’bah; “Tidakkah baginda memohon pertolongan buat kami? Tidakkah baginda berdo’a memohon kepada Allah ‎ﷻ untuk kami?” Baginda bersabda: “Ada seorang lelaki daripada umat sebelum kalian, lantas digalikan lubang untuknya dan dia diletakkan di dalamnya, lalu diambil gergaji, kemudian diletakkan gergaji itu di kepalanya lalu dia dibelah menjadi dua bahagian namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Tulang dan urat di bawah dagingnya disisir dengan sisir besi namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Demi Allah ‎ﷻ, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna hingga ada seorang yang mengendarai kuda berjalan dari Shana’a menuju Hadlramaut tidak ada yang ditakutinya melainkan Allah ‎ﷻ atau (tidak ada) kekhuatiran kepada serigala atas kambingnya. Akan tetapi kalian sangat tergesa-gesa”. (Hadith sahih Bukhari no 3343)

 

Ayat 215: Tajuk baharu adalah tentang infak. Selepas ini akan diselang-selikan dengan tajuk Jihad dan Infak supaya umat Islam bersedia dengan kedua-dua perkara itu. Memang Islam tidak sepatutnya lari jauh daripada infak dan jihad.

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ ۖ قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ فَلِلوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينِ وَابنِ السَّبيلِ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

They ask you, [O Muhammad], what they should spend. Say, “Whatever you spend of good is [to be] for parents and relatives and orphans and the needy and the traveler. And whatever you do of good – indeed, Allah is Knowing of it.”

MALAY

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

 

يَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan

Dalam ayat ini umat Islam zaman Nabi ﷺ telah bertanya kepada baginda apakah yang mereka perlu infakkan. Beginilah sifat para sahabat yang prihatin kepada agama. Selepas diberitahu kelebihan infak, mereka ingin tahu apakah yang perlu mereka infakkan.

 

قُل ما أَنفَقتُم مِّن خَيرٍ

Katakanlah: apa jua harta benda yang baik yang kamu infakkan

Allah ‎ﷻ jawab mereka boleh infakkan apa sahaja asalkan ia mempunyai harga. خَيرٍ bermaksud apa sahaja yang bernilai. Ia boleh jadi apa-apa sahaja. Seeloknya benda yang kita pun suka, kita pun mahu lagi. Janganlah beri benda yang orang lain tidak selera hendak pakai.

Sebagai contoh, selalunya bila kita kemaskan almari baju kita, kita jumpa baju-baju lama yang kita pun tidak ingin hendak pakai lagi. Maka selalunya kita beri baju yang buruk-buruk itu kepada orang lain. Ini tidak patut. Kalau hendak beri pun, kenalah yang masih elok lagi.

 

فَلِلوٰلِدَينِ

maka berikanlah kepada: kedua ibu bapa, 

Yang lebih penting daripada ‘apa’ yang perlu diinfakkan adalah kepada ‘siapa’kah infak itu perlu diberikan. Itu yang mereka lebih patut  tanya. Kita manusia memang selalu mengeluarkan duit kita tetapi persoalannya adalah ke manakah sepatutnya kita keluarkan duit kita itu.

Jadi pertama yang kita perlu infakkan harta kita yang berharga itu ialah kepada ibubapa kita yang susah.

Kenalah kita tolong ibubapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita. Jangan kita banyak tolong orang lain, tetapi ibubapa kita sendiri tidak pula kita kisahkan susah senang mereka. Kadangkala ada ibubapa yang susah di kampung tetapi anak tidak tolong sedikit pun. Ada yang senang di ibukota tetapi emak di kampung, merempat.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang perlu ditolong adalah ibubapa yang susah. Namun ada juga yang berpendapat tidak perlu dikhususkan kepada ibubapa yang susah sahaja kerana walaupun mereka senang, apabila kita beri sumbangan kepada mereka, mereka amat suka.

Kita juga jangan lupa bahawa infak bukan sahaja dalam bentuk harta benda sahaja tetapi dalam bentuk pertolongan dan lain-lain. Maka tolonglah menyenangkan hidup ibubapa kita dalam apa-apa cara. Kalau mereka sakit, kitalah yang bawa mereka ke klinik dan hospital.

 

وَالأَقرَبينَ

dan kaum kerabat,

Selepas bantu ibubapa, kita kena tengok pula kepada kaum kerabat yang susah. Kenalah kita tolong mereka yang berdekatan dengan kita dahulu kerana tentu mereka akan terasa hati kalau kita tolong orang lain tetapi tidak menolong mereka sedangkan mereka saudara mara kita.

Ini selalunya ada masalah. Masyarakat kita ada sahaja masalah dengan saudara mara mereka. Ada adik beradik yang terasa dengan adik beradik sendiri dan sudah bermasam muka. Anak-anak mereka pun menyambung ‘permusuhan’ ibubapa mereka dan berterusanlah perkelahian ini.

Ini amat memalukan. Bayangkan, seteruk-teruk Arab Jahiliyah itu, mereka amat menjaga hubungan sesama kabilah mereka, tetapi kita pula berkelahi sesama ahli keluarga kita?

 

وَٱليَتَـٰمَىٰ

dan anak-anak yatim

Kemudian anak yatim yang susah. Mereka ini adalah golongan yang selalu diabaikan kerana mereka sudah tidak ada ibu bapa. Maka kita kena cari mereka untuk tolong mereka.

Jangan kita sangka kita hanya boleh tolong mereka dengan wang sahaja kerana kita bukan semua ada wang. Tetapi kita boleh bantu mereka cara yang lain. Kalau kita pandai memasak, kita boleh masak untuk mereka. Kalau kita pandai akademik, kita boleh beri tuisyen kepada mereka.

Atau apa-apa sahaja. Kena kreatif sedikit bagaimana hendak tolong mereka. Jangan hadkan kepada bantuan kepada bantuan berbentuk kewangan sahaja.

 

وَٱلمَسَـٰكِينِ

dan orang-orang miskin, 

Keutamaan infak diberikan kepada mereka yang susah kerana mereka yang memerlukan pertolongan itu. Kalau ibu bapa kita kaya-raya, atau saudara mara kita memang sudah kaya ataupun anak yatim lebih banyak duit daripada kita, maka tidaklah perlu kita berikan kepada mereka. Maka apabila hendak infakkan kita perlu melihat kepada keadaan.

Walaupun begitu, ada juga yang kata bahawa untuk ibubapa, tidak perlu tunggu mereka susah. Kena sentiasa tolong mereka.

 

وَابنِ السَّبيلِ

dan anak perjalanan

Maksudnya orang musafir yang putus bekalan dalam perjalanan. ini kerana ada musafir yang cukup bekalan mereka dan tidak memerlukan pertolongan.

Berinfak kepada musafir ini lebih-lebih lagi perlu diberikan kepada mereka yang bermusafir kerana hendak menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Mereka memerlukan pertolongan kerana mereka berada di tempat yang baru dan susah untuk mereka mendapatkan pertolongan kerana mereka tidak kenal orang lain.

Kalau kita tolong mereka, pahala mereka membawa orang ke jalan yang benar akan sampai juga kepada kita.

 

وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Dan apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya

Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja yang kita infakkan, tidak perlu beritahu orang lain. Tidak payah hendak masukkan ke dalam Facebook atau Instagram segala infak yang kita lakukan.

Allah ‎ﷻ juga mengingatkan yang penting adalah ikhlas dalam hati semasa infak. Allah ‎ﷻ tahu isi hati kita dan sama ada kita ikhlas atau tidak semasa memberinya. Kalau tidak ikhlas maka tidaklah dapat pahala.

Untuk jaga ikhlas, jangan beritahu kepada orang lain segala kebaikan atau infak yang kita lakukan. Ini kerana takut-takut kalau orang lain tahu, maka akan timbul rasa bangga dan riak di dalam diri kita. Maka jangan beri alasan macam-macam untuk kita war-warkan dalam media. Sebagai contoh, ada yang beri alasan dengan mereka buat begitu, mereka ajak dan menggalakkan orang lain juga.

Masalah dengan hal ini adalah, takut hati kita tidak cukup kuat untuk menolak riak yang syaitan akan timbulkan dalam diri kita. Kalau belajar Talbis Iblis, ini memang salah satu cara syaitan hendak menipu kita.


 

Ayat 216: Ini adalah pengulangan semula tajuk jihad selepas disebut ayat tentang infak. Ini kerana infak yang utama adalah kepada jihad fi sabilillah.

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Fighting has been enjoined upon you while it is hateful to you. But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not.

MALAY
Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ

Kamu diwajibkan berperang

Kita diwajibkan berperang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ di dunia ini. Tentunya dengan syarat-syarat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Ayat ini sebagai dalil bahawa jihad perang ini adalah wajib. Kadangkala kita tidak suka sesuatu perkara itu kerana kita guna akal dan emosi kita.

Sebagai contoh, pada akal kita, mungkin kita rasa tidak elok kalau berperang. Namun pencapaian akal kita terhad sahaja dan tidak dapat mengetahui dengan penuh tentang hakikat sesuatu perkara itu. Ini adalah ujian keimanan untuk kita: adakah kita sanggup taat kepada suruhan dan percaya kepada hikmah yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita? Adakah kita faham atau tidak?

Ada beberapa hadith yang menyebut tentang jihad fi sabilillah:

 أَبِي هُرَيْرَةَ رَ ضِيَ اَللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم (  مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ, وَلَمْ يُحَدِّثْ نَفْسَهُ بِهِ, مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ )  رَوَاهُ مُسْلِمٌ

“Dari Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mati, sedangkan dia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, maka dia mati dalam satu cabang kemunafikan.” (Muttafaq Alaihi.)

Dalam hadith keutamaan jihad yang lain:

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنِي مَنْصُورٌ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنْ طَاوُسٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

Telah bercerita kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah telah bercerita kepada kami Yahya bin Sa’id telah bercerita kepada kami Sufyan berkata telah bercerita kepadaku Manshur dari Mujahid dari Thowus dari Ibnu ‘Abbas   رضي الله عنهما berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada lagi hijrah setelah kemenangan (Mekah) akan tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Maka jika kalian diperintahkan berangkat berjihad, berangkatlah”. (Hadith Bukhari no 2575)

Begitu pun, kenalah jihad perang itu dijalankan mengikuti syari’at. Bukannya kita terus serang orang kafir tidak tentu arah. Kenalah ada protokol yang perlu diikuti. Antaranya, jihad perang itu hendak diarahkan oleh Khalifah. Tetapi sekarang kita tidak ada sistem khalifah maka usaha jihad terbantut sebenarnya.

Di samping itu juga, bukanlah semua rakyat kena pergi ke medan perang. Ada yang hanya diperlukan untuk memberikan sokongan; ada yang menerima bantuan kewangan; ada yang tugasnya mengajar; ada yang menjaga keluarga. Semua itu ada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Oleh kerana itu, jihad perang ini adalah fardhu kifayah, bukan fardhu ain. Maka kenalah ada pihak yang menjalankan jihad perang itu dan jika tidak ada, maka kewajipan itu masih jatuh kepada semua orang Islam. Kalau tidak dijalankan, maka seluruh umat Islam berdosa.

Walaupun begitu terdapat juga keadaan di mana setiap Muslim perlu mengangkat senjata untuk berperang apabila negara diserang musuh. Maka, pada waktu itu, semua diwajibkan untuk berperang.

 

وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم

sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci

Peperangan ini memang perkara yang manusia biasa tidak suka. Manusia membencinya kerana ia adalah naluri biasa manusia. Sebab tidak ada sesiapa pun yang suka mati dan suka membunuh orang lain.

Ada golongan munafik yang mempersoalkan kenapa perlu jihad sedangkan Islam itu agama yang aman. Begitulah orang-orang zaman sekarang pun menggunakan alasan yang sama juga. Ini adalah satu kata-kata dan hujah yang tidak tepat. Seperti yang kita telah bahaskan sebelum ini, memang ada keperluan untuk melakukan jihad itu.

Hujah yang melarangnya adalah daripada mereka yang tidak faham tentangnya sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak belajar apakah yang dimaksudkan dengan jihad dan kerana itu mereka salah faham. Mereka tidak taat 100% kepada arahan Allah ‎ﷻ. Mereka masih hendak menggunakan akal yang terhad juga lagi.

 

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, 

Allah ‎ﷻ beritahu yang mungkin ada perkara yang kita benci tetapi sebenarnya ia adalah baik untuk kita. Antaranya jihad. Jihad ini penting dan diwajibkan kepada kita kerana jihad fisabilillah ini akan mendekatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Tidak akan ada orang yang membuat maksiat semasa sedang berjihad di jalan Allah ‎ﷻ.

Waktu itu iman kita sedang diuji dengan hebat sekali dan waktu itu tidak terfikir hendak buat maksiat. Kalau kita dapat menjalankan jihad, maka kita telah dapat melepasi banyak sekali ujian sebelum sampai ke peringkat jihad.

Bila jihad tidak ada, maka kebanyakan manusia akan duduk dalam keadaan lalai dan leka. Jadi begitulah walaupun kita benci kepada peperangan dan pembunuhan tetapi jihad fi sabilillah adalah baik untuk kita kerana ia akan menghampirkan hati kita rapat dengan Allah ‎ﷻ. Selalunya suasana-suasana yang merangsang perasaan kita boleh mengubah apa yang ada dalam diri kita.

Ini kerana apabila sedang berperang maka kita dalam keadaan di mana kita tahu bahawa bila-bila masa sahaja kita boleh mati maka tentunya kita akan ingat kepada Allah ‎ﷻ dan tidak berani untuk membuat dosa disebabkan terdapat kemungkinan yang amat besar yang kita akan mati.

Memang perang itu berat tetapi ini sama seperti seorang ibu yang memaksa anaknya untuk memakan ubat kerana ubat itu baik untuk anak itu dan ibu itu memaksa anak itu unutuk memakan ubat kerana ibu itu sayangkan anaknya. Jadi, memang anaknya tidak suka dan meronta-ronta namun ibu itu akan melakukan apa yang perlu untuk anaknya. Ini kerana ibu itu tahu apa yang baik untuk anaknya, tetapi anaknya yang tidak faham. Begitulah Allah ‎ﷻ mewajibkan jihad bagi kita.

 

وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم

dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. 

Namun di sebaliknya, mungkin ada perkara yang kita suka sangat, tetapi ia adalah tidak baik untuk kita. Begitulah, ada larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi terhadap kita, maka hendaklah kita menahan diri kita daripada melakukannya, walaupun hati kita suka dan akal kita pun tidak nampak salahnya.

Tetapi begitulah, akal tidak akan dapat memahami mana yang baik dan tidak untuk diri kita. Allah ‎ﷻ yang Maha Tahu dan kerana itu Dia telah menetapkan hukum untuk kita patuhi. Maka patuhilah sahaja dan yakinlah yang ia baik bagi kita. Serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ.

Kedua-dua potongan ayat ini adalah berbentuk umum, bukan hanya mengenai perang sahaja. Ada benda dalam kehidupan kita yang kita mahu sangat tapi ia tidak baik kepada kita. Manakala ada perkara yang kita hendak elakkan tetapi terkena juga kepada kita. Namun begitu kemudiannya kita dapati yang ia baik untuk kita.

Sebagai contoh, ada yang kena buang kerja, dia amat sedih dan tidak suka. Tetapi oleh kerana dia dibuang kerja, dia akhirnya telah mendapat kerja yang lebih baik daripada kerja yang sebelumnya yang dia tidak akan dapat kerja baru itu kalau dia tidak dibuang kerja asalnya. Atau, kerana dibuang kerja, maka dia terpaksa memulakan perniagaan yang ternyata menguntungkan bagi dirinya.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah ‎ﷻ sajalah yang tahu hakikat dan keadaan sebenar sesuatu perkara itu dan manusia biasa tidak tahu. Maka kita kenalah ikut arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kita kena sedar kedudukan kita. Siapa kita yang hendak mempersoalkan hukum dan arahan Allah ‎ﷻ?

Ingatlah, kalau kita layan akal kita sangat, syaitan akan ambil peluang untuk membisikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa. Begitulah bahayanya akal yang tidak dipandu oleh wahyu. Memang kita boleh guna akal, tetapi hendaklah dipandu oleh wahyu.

Kalau kita faham perkara ini, maka kita akan senang untuk serahkan urusan hidup kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita akan selalu doa istikharah kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi panduan dalam membuat keputusan hidup.

Kita juga akan senang untuk bersabar kerana kita yakin bahawa apa sahaja yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan untuk kita adalah untuk kebaikan kita dan ada hikmahnya. Mungkin kita masih tidak nampak lagi pada asalnya. Maka kita doa kepada Allah ‎ﷻ untuk tunjukkan hikmah itu kepada kita supaya kita lebih senang untuk menerima takdir-Nya itu.

Habis Ruku’ 26 dari 40 surah ini


Ayat 217:

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ ۖ قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ وَالمَسجِدِ الحَرامِ وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ ۗ وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا ۚ وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL

They ask you about the sacred month – about fighting therein. Say, “Fighting therein is great [sin], but averting [people] from the way of Allah and disbelief in Him and [preventing access to] al-Masjid al-Haram and the expulsion of its people therefrom are greater [evil] in the sight of Allah . And fitnah is greater than killing.” And they will continue to fight you until they turn you back from your religion if they are able. And whoever of you reverts from his religion [to disbelief] and dies while he is a disbeliever – for those, their deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and those are the companions of the Fire, they will abide therein eternally.

MALAY

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

 

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam Bulan Haram

Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang bolehkah berperang dalam bulan Haram?

Latar belakang ayat ini: ada sahabat yang dihantar oleh Nabi ﷺ untuk menjaga sempadan orang Islam. Tiba-tiba mereka terjumpa dengan orang kafir. Oleh kerana keadaan yang mencurigakan, maka terjadilah pergelutan dan orang kafir itu dibunuh.

Sahabat tersebut memang menghormati Bulan Haram dan memang beliau menyangka yang hari itu masih lagi di luar Bulan Haram tetapi rupanya telah masuk ke Bulan Rejab, salah satu daripada Bulan Haram. Maka kejadian ini telah menyebabkan orang kafir bising menyalahkan orang Islam. Mereka kata lihatlah orang Islam itu, konon kata jaga syariat, tetapi membunuh di dalam Bulan Haram.

 

قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ

katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar,

Allah ‎ﷻ tidak menidakkan bahawa berperang dalam Bulan Haram itu memang berdosa besar.

Tetapi, Allah ‎ﷻ suruh jawab yang kejadian ini tidak sengaja. Bukan sahabat itu sengaja hendak berperang dalam Bulan Haram itu. Namun lihatlah bagaimana sikap Musyrikin Mekah itu, apabila orang Islam buat salah terus mereka nampak dan bising, padahal mereka sendiri lagi banyak buat kesalahan.

Ada lima kesalahan mereka dan setiap satunya patut sudah boleh mereka diperangi kerana ia bukanlah kesalahan biasa. Mereka sahaja buat tidak nampak.

Biasa begitulah masyarakat dunia dengan orang Islam. Kalau umat Islam buat salah sedikit sahaja, kecoh satu dunia dan kaitkan kesalahan itu dengan agama Islam – mereka kata Islam agama pengganas. Kalau ia dilakukan oleh agama lain, mereka senyap sahaja dan tidak kaitkan dengan agama orang itu.

Umpamanya, kalau orang baik yang buat salah, akan nampak pelik tetapi kalau orang jahat buat jahat, orang tidak kisah pun. Maknanya orang luar melihat orang Islam ini sebagai orang yang baik sebenarnya.

Allah ‎ﷻ mengajar kepada Nabi ﷺ cara untuk menjawab soalan mereka itu. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa memang berperang di Bulan Haram itu memang besar dosanya. Memang berperang dan membunuh dalam Bulan Haram itu berdosa besar jikalau dilakukan dengan sengaja sedangkan apa yang dilakukan oleh para sahabat ketika itu adalah tidak sengaja. Maka ia dimaafkan.

 

وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ

tetapi perbuatan menghalangi manusia dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya,

Mereka mengutuk dan menyalahkan umat Islam tetapi buat tidak nampak sahaja perbuatan mereka menghalang orang-orang lain daripada masuk Islam. Mereka memburukkan Islam kerana tidak mahu orang lain masuk Islam.

Sudahlah mereka sendiri kufur kepada Allah ‎ﷻ, mereka menghalang orang lain pula. Mereka telah menghalang orang lain daripada memeluk agama Islam adalah perkara yang lebih besar dan ini sebenarnya sudah cukup untuk berperang dengan mereka.

 

وَالمَسجِدِ الحَرامِ

dan (juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam)) ke Masjid Al-Haraam

Yang kedua, mereka menghalang orang Islam daripada menggunakan Masjidilharam untuk beribadat. Sedangkan mereka sendiri sebenarnya tidak layak kerana mereka adalah orang-orang yang mengamalkan syirik. Mereka telah mempersendakan lambang Islam iaitu masjid yang paling mulia dalam dunia ini.

Sepatutnya ia diberikan kepada Nabi ﷺ untuk digunakan kerana Nabi ﷺ lebih layak. Tetapi mereka telah menghalang Nabi ﷺ dan para sahabat daripada beribadat di Kaabah. Kalau manusia lain yang datang dari jauh untuk tawaf dan menyembah berhala, mereka benarkan pula.

 

وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ

serta mengusir penduduknya dari situ,

Ketiga, mereka telah menghalau para sahabat yang Mukmin dari tanah-tanah mereka yang mereka berhak ke atas tanah-tanah itu. Musyrikin Mekah telah menghalau mereka sampai mereka terpaksa lari ke Habasyah dan ke Madinah meninggalkan kampung halaman yang mereka cintai. Kemudian harta dan tanah mereka telah dirampas oleh puak Musyrik itu. Padahal mereka tidak layak mengambilnya.

 

أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ

adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah.

Ketiga-tiga perkara yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu adalah kesalahan yang lebih besar daripada berperang di Bulan Haram. Kesalahan mereka itu sudah sepatutnya diperangi tetapi setakat itu, umat Islam masih membiarkan sahaja kerana belum datang perintah berperang.

 

وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ

Dan (ingatlah), fitnah syirik itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan

Yang keempat, mereka telah melakukan syirik di atas muka bumi. Lafaz ‘fitnah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘syirik’. Jadi ini bukanlah ‘fitnah’ yang selalu digunakan dalam Bahasa Melayu. Ramai yang keliru dengan penggunaan kalimah ini.

Fitnah syirik yang mereka lakukan itu sebenarnya lebih besar daripada berperang dan membunuh. Ini kerana jikalau kita membunuh manusia, orang itu akan mati sahaja dan memang lumrah manusia akan mati pun, sama ada kerana tua atau kerana sakit dan sebagainya. Tetapi jikalau melakukan syirik, itu akan menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

 

وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا

Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian);

Yang kelima dan akhir sekali, sampai sekarang pun puak Musyrikin itu masih lagi mahu memerangi puak Islam dan mereka telah bertekad tidak akan berhenti sehingga orang Islam murtad. Mereka mahu umat Islam itu kembali kepada agama syirik mereka. Padahal, umat Islam tidak mengganggu mereka pun.

Lima kesalahan yang mereka lakukan dengan sengaja itu mereka tidak nampak sedangkan satu kesalahan yang dilakukan oleh puak Islam dalam keadaan tidak sengaja itu mereka besar-besarkan.

Begitulah propaganda yang selalu diada-adakan oleh puak kafir untuk menjatuhkan nama Islam. Contohnya mereka mengatakan kepada dunia yang kita adalah agama terroris. Padahal agama Islam tidak mengajar umatnya menjadi terroris. Seorang Islam tidak akan berani hendak membunuh orang lain tanpa sebab yang dibenarkan, kerana kita takutkan api neraka.

Kadang-kadang yang membunuh itu adalah orang kafir dan mereka menuduh orang Islam yang bunuh kerana hendak menjatuhkan nama baik Islam. Mereka sanggup lakukan begitu kerana mereka tidak takut kepada akhirat. Tetapi kerana propaganda mereka itu kuat maka ramai daripada orang Islam yang malu dengan Islam dan malu hendak menyampaikan agama Islam ini kepada orang-orang kafir kerana mereka sendiri tidak faham Islam.

Sedangkan tugas kita adalah menyampaikan dakwah tauhid kepada umat manusia seluruhnya. Kita tidak perlu malu dengan agama Islam ini kerana ia adalah agama yang suci, benar dan mulia. Orang-orang yang malu dengan agama sendiri adalah mereka yang jahil.

Orang kafir mengutuk orang Islam dan agama Islam, sedangkan orang-orang kafir itu yang  sepatutnya belajar dengan orang-orang Islam cara-cara memimpin dan cara-cara menjalani kehidupan. Dalam sejarah dunia, kerajaan yang dipimpin oleh pemerintahan Islam dan negara aman damai dan orang-orang kafir pun dapat menumpang keamanan itu.

Jadi janganlah mereka yang hendak mengajar kita, sebaliknya merekalah yang kena belajar dengan kita. Namun malangnya ramai daripada orang-orang Islam yang tidak memahami agama sendiri dan akhirnya terpaksa belajar dengan orang-orang kafir tentang cara-cara kepemimpinan. Akhirnya orang-orang Islam yang mengikut telunjuk orang-orang kafir. Sudah jadi terbalik pula.

 

وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ

dan sesiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir,

Jikalau ada umat Islam yang termakan dengan dakyah dan tekanan daripada Musyrikin Mekah itu dan mereka murtad, Allah ‎ﷻ hendak memberi peringatan kepada mereka. Kalau mereka buat syirik kembali dan sempat bertaubat, masih ada harapan untuk mereka. Tetapi jikalau mereka mati tanpa sempat bertaubat, maka nasib mereka adalah amat malang sekali.

 

فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat,

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini peringatan kepada orang-orang Islam jikalau mereka murtad, segala amalan-amalan kebaikan yang mereka pernah lakukan akan hancur luluh, tidak bernilai langsung.

Jikalau mereka murtad (dengan jelas dan war-warkan dia telah murtad), hukumnya di dunia lagi mereka boleh dibunuh dan jenazah mereka tidak dimandikan dan tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam yang lain. Sementara di akhirat kelak, Allah ‎ﷻ lebih tahu tentang kedudukan mereka.

 

وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

dan mereka itulah ahli neraka,

Asalnya mereka Muslim dan ada harapan untuk masuk syurga. Tetapi jikalau mereka murtad, mereka akan menjadi ahli neraka dan mereka akan kekal dalamnya, kerana mereka memegang ‘geran’ neraka. Itulah maksud ‘ashab’.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

kekal mereka di dalamnya

Mereka akan kekal di dalamnya dengan tidak ada harapan untuk masuk syurga langsung. Kekal mereka di neraka selama-lamanya. Walaupun mereka pernah menjadi Muslim, tetapi kerana mereka mati dalam keadaan kufur, mereka sama sahaja macam orang-orang kufur yang lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 15 Disember 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s