Tafsir Surah Tawbah Ayat 55 – 59 (Redha dengan apa yang ada)

Ayat 55:

فَلا تُعجِبكَ أَموالُهُم وَلا أَولادُهُم ۚ إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِها فِي الحَياةِ الدُّنيا وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كافِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So let not their wealth or their children impress you. Allāh only intends to punish them through them in worldly life and that their souls should depart [at death] while they are disbelievers.

(MALAY)

Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir.

 

فَلا تُعجِبكَ أَموالُهُم وَلا أَولادُهُم

Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. 

Memang ramai dari kalangan munafik itu yang kaya raya. Dan hidup mereka nampak senang-senang sahaja dan anak pinak mereka pun ramai. Tapi Allah pesan dalam ayat ini, orang mukmin jangan terpikat dengan harta mereka yang banyak dan anak-anak mereka keliling mereka. Itu hanyalah kelebihan dari segi keduniaan sahaja. Tengok sahaja, tapi jangan sampai kamu terpesona dengan apa yang mereka ada itu dan nak jadi macam mereka pula.

Ayat ini sama dengan firman Allah Swt. yang mengatakan:

{وَلا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى}

Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal. (Taha: 131)

 

إِنَّما يُريدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِها فِي الحَياةِ الدُّنيا

Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia

Sebenarnya, Allah limpahkan kesenangan dan kekayaan kepada mereka kerana Allah akan azab mereka di dunia ini lagi. Ini akan berlaku satu hari nanti. Sebagai contoh, kerana mereka tidak infak, Allah akan jadikan harta dan anak-anak mereka itu sebagai penyesalan untuk mereka nanti. Mungkin anak-anak mereka tidak hormat mereka, buat perkara yang memalukan mereka, boleh jadi apa sahaja.

Di dunia lagi pun mereka akan rasa menyesal yang amat sangat. Harta mereka itu yang akan menyeksa jiwa mereka nanti. Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

{أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ}

Apakah mereka sangka bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar. (Al-Mu’minun: 55-56)

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah mereka dibebani untuk membayar zakatnya dan menginfakkan sebahagian darinya di jalan Allah (padahal semuanya itu tidak diterima dari mereka).

 

وَتَزهَقَ أَنفُسُهُم وَهُم كافِرونَ

dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir.

Bukan sahaja mereka akan diseksa jiwa di dunia, di akhirat nanti pun mereka akan diseksa juga. Kerana mereka akan dicabut nyawa mereka dalam keadaan mereka kafir. Mereka tidak sempat nak mengucap syahadan dan mereka akan mati begitu sahaja.

Dan bila mereka mati dalam keadaan kafir, mereka akan diseksa sebagai orang kafir, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Mereka mungkin nampak dari segi luaran sebagai orang Muslim dan mereka mengaku Muslim, tapi mereka mati dalam keadaan kufur. Alangkah menakutkan sekali!

Oleh kerana itu, harta mereka yang banyak itu menjadi istidraj bagi mereka – iaitu harta itu menarik mereka untuk melakukan mungkar, bukannya melakukan kebaikan.


 

Ayat 56:

وَيَحلِفونَ بِاللَّهِ إِنَّهُم لَمِنكُم وَما هُم مِنكُم وَلٰكِنَّهُم قَومٌ يَفرَقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they swear by Allāh that they are from among you while they are not from among you; but they are a people who are afraid.

(MALAY)

Dan mereka (orang-orang munafik) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa sesungguhnya mereka termasuk golonganmu; padahal mereka bukanlah dari golonganmu, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut.

 

وَيَحلِفونَ بِاللَّهِ إِنَّهُم لَمِنكُم

Dan mereka (orang-orang munafik) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa sesungguhnya mereka termasuk golonganmu;

Apabila rombongan perang balik dari Tabuk, puak munafik datang bertemu Nabi dan mereka bersumpah di hadapan Nabi. Mereka bukan cakap biasa, tapi siap bersumpah sebab nak bagi Nabi percaya mereka. Ini adalah kerana mereka rasa kalau mereka tidak bersumpah, Nabi tidak puas hati, jadi mereka datang bertemu Nabi dengan bersumpah dengan nama Allah.

Waktu itu mereka akan mengaku yang mereka dari umat Islam yang benar. Apabila mereka mengaku yang mereka dari puak Islam, maknanya mereka dalam masa yang sama mengaku yang mereka ada masalah dulu, tidak dari kalangan orang Islam lah. Sebab sekarang baru mereka nak mengaku Muslim.

 

وَما هُم مِنكُم

padahal mereka bukanlah dari golonganmu, 

Allah sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati manusia. Dan dalam ayat ini, Allah beritahu yang mereka bukan dari kalangan umat Islam. Pengakuan mereka tidaklah menjadikan mereka Muslim sejati.

 

وَلٰكِنَّهُم قَومٌ يَفرَقونَ

akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut.

Mereka adalah jenis kaum yang takut. Macam-macam mereka takut: takut untuk mengaku yang mereka Muslim dan dalam masa yang sama, takut nak kata mereka bukan umat Islam. Tentunya mereka takut mengaku munafik kerana takut kena pancung.

Oleh itu mereka serba tak kena sahaja. Sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Hidup tidak tenteram langsung.


 

Ayat 57:

لَو يَجِدونَ مَلجَأً أَو مَغاراتٍ أَو مُدَّخَلًا لَوَلَّوا إِلَيهِ وَهُم يَجمَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If they could find a refuge or some caves or any place to enter [and hide], they would turn to it while they run heedlessly.

(MALAY)

Jikalau mereka memperoleh tempat perlindungan atau gua-gua atau lubang-lubang (dalam tanah) nescaya mereka pergi kepadanya dengan secepat-cepatnya.

 

لَو يَجِدونَ مَلجَأً أَو مَغاراتٍ أَو مُدَّخَلًا

Jikalau mereka memperoleh tempat perlindungan atau gua-gua atau lubang-lubang

Kalaulah mereka boleh dapat tempat berlindung di mana-mana di bukit, atau mana-mana lubang di tanah, atau gua, atau apa sahaja tempat yang mereka boleh menyorok dan mengasingkan diri.

 

لَوَلَّوا إِلَيهِ

nescaya mereka pergi kepadanya

Kalaulah mereka tahu ada tempat untuk berlindung, mereka pasti akan pergi terus ke tempat itu untuk menyelamatkan diri.

 

وَهُم يَجمَحونَ

dengan secepat-cepatnya.

Dan mereka akan berlari-lari kelam kabut ke tempat perlindungan itu – ini adalah kerana mereka takut sangat. Mereka akan lari macam binatang yang lari sampai putus tali hidung. Ini adalah peribahasa Arab untuk menunjukkan kadar takut yang amat sangat. Kerana binatang ada yang diikat hidung mereka untuk tidak beri mereka lari. Tapi apabila mereka takut sangat, mereka akan tarik tali yang ikat hidung mereka itu dan mereka tidak kisah kalau hidung mereka putus atau berdarah.


 

Ayat 58:

وَمِنهُم مَن يَلمِزُكَ فِي الصَّدَقاتِ فَإِن أُعطوا مِنها رَضوا وَإِن لَم يُعطَوا مِنها إِذا هُم يَسخَطونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among them are some who criticize you concerning the [distribution of] charities. If they are given from them, they approve; but if they are not given from them, at once they become angry.

(MALAY)

Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang (pembahagian) zakat; jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka senang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian dari padanya, dengan serta merta mereka menjadi marah.

 

وَمِنهُم مَن يَلمِزُكَ فِي الصَّدَقاتِ

Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang sedekah;

1. Puak munafik itu tidak suka infak harta mereka di jalan Allah kerana mereka sayang sangat kepada hartabenda dan mereka tidak mengharap balasan di syurga atas sedekah itu. Dan kalau orang lain beri sedekah pun, mereka akan persendakan. Mereka kata, kenapalah orang itu membazirkan hartanya beri kepada orang lain. Maka, yang dicela adalah orang yang infak harta atau keluarkan zakat.

2. Makna yang kedua: ada antara mereka, yang mencela yang membahagikan zakat. Ada yang mencela Nabi semasa Nabi membahagikan wang zakat. Dan ada juga yang mencela baginda dalam pembahagian ghanimah pun. Mereka kata baginda tidak adil. Memang baginda tidak beri sama rata.

Baginda akan beri berdasarkan keperluan orang itu. Kalau ada yang lebih memerlukan, baginda akan beri lebih. Kadang-kadang orang munafik itu tidak dapat sama macam orang lain. Jadi mereka pun bising dengan mengatakan yang Nabi Muhammad tidak adil. Ini adalah amat tidak patut kerana kalau baginda tidak adil, siapakah lagi yang boleh dikatakan adil? Mereka tidak hormat kepada baginda sebagai Rasulullah.

Ibnu Juraij mengatakan, telah menceritakan kepadaku Daud ibnu Abu Asim yang mengatakan bahwa Nabi Saw. kedatangan harta zakat, maka baginda Saw. membagi-bagikannya ke sana dan ke mari hingga habis. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan Ansar yang ada di belakangnya berkata, “Ini pembagian yang tidak adil.” Maka turunlah ayat tersebut.

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ فِي قِصَّةِ ذِي الخُوَيصرة -وَاسْمُهُ حُرْقوص -لَمَّا اعْتَرَضَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ قَسَمَ غَنَائِمَ حُنَيْنٍ، فَقَالَ لَهُ: اعْدِلْ، فَإِنَّكَ لَمْ تَعْدِلْ. فَقَالَ: “لَقَدْ خِبتُ وخسرتُ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ”. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ رَآهُ مُقَفِّيًا إِنَّهُ يَخْرُجُ مِنْ ضِئْضِئ هَذَا قَوْمٌ يحقرُ أَحَدُكُمْ صَلَاتَهُ مَعَ صَلَاتِهِمْ، وَصِيَامَهِ مَعَ صِيَامِهِمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ مُرُوق السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّة، فَأَيْنَمَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّهُمْ شَرُّ قَتْلَى تَحْتَ أَدِيمِ السَّمَاءِ” وَذَكَرَ بَقِيَّةَ الْحَدِيثِ

dari Abu Salamah, dari Abu Sa’ id dalam kisah Zul Khuwaisirah (si pinggang kecil) yang nama aslinya adalah Hurqus. Saat itu dia menentang Nabi Saw. yang sedang membagi-bagikan ghanimah Hunain. Hurqus berkata kepada Nabi Saw., “Berlaku adillah, kerana sesungguhnya engkau tidak berlaku adil.” Maka Nabi Saw. bersabda: Sesungguhnya aku pasti kecewa dan merugi jika aku bersikap tidak adil. Kemudian Rasulullah Saw. bersabda setelah melihat Hurqus pergi: Sesungguhnya kelak akan keluar dari keturunan orang ini suatu kaum, yang seseorang di antara kalian pasti memandang remeh salatnya dibandingkan dengan salat mereka, dan puasanya dengan puasa mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembus sasarannya. Di mana saja kalian menjumpai mereka, bunuhlah mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah bangkai hidup yang paling jahat di bawah kolong langit ini.

 

فَإِن أُعطوا مِنها رَضوا

jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka senang hati,

Mereka amat mementingkan keduniaan dan harta benda. Oleh itu, jika mereka diberi sebahagian dari zakat, sedekah atau ghanimah itu, mereka sangat puas hati. Waktu itu mereka akan pergi dengan hati yang gembira.

 

إِن لَم يُعطَوا مِنها إِذا هُم يَسخَطونَ

dan jika mereka tidak diberi sebahagian dari padanya, dengan serta merta mereka menjadi marah.

Akan tetapi kalau mereka tidak diberi bahagian dari harta itu, tapi diberikan kepada orang lain, mereka naik marah. Mereka jadi marah dan jadi kurang ajar. Padahal mereka tidak diberi kerana mereka tidak perlu dan ada orang lain lagi yang lebih memerlukan.


 

Ayat 59:

وَلَو أَنَّهُم رَضوا ما آتاهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ سَيُؤتينَا اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَرَسولُهُ إِنّا إِلَى اللَّهِ راغِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If only they had been satisfied with what Allāh and His Messenger gave them and said, “Sufficient for us is Allāh; Allāh will give us of His bounty, and [so will] His Messenger; indeed, we are desirous toward Allāh,”¹ [it would have been better for them].

  • Meaning “We desire Allāh and His grace and acceptance,” or “We desire whatever Allāh wills to give us of His bounty.”

(MALAY)

Jikalau mereka sungguh-sungguh redha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka, dan berkata: “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan sebahagian dari kurnia-Nya dan demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berharap kepada Allah,” (tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka).

 

وَلَو أَنَّهُم رَضوا ما آتاهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ

Jikalau mereka sungguh-sungguh redha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka,

Allah ajar apa yang patut mereka lakukan. Kalaulah mereka itu puas hati dengan apa yang Allah beri dan apa yang Nabi beri kepada mereka, tentulah ada kebaikan bagi mereka. Inilah yang sepatutnya mereka rasa. Jangan nak tengok kepada keduniaan sahaja.

 

وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ

dan berkata: “Cukuplah Allah bagi kami,

Hati mereka kena redha dan mulut mereka kena kata: “cukuplah kami dengan Allah. Allahlah yang akan mencukupkan kami, bukan pemberian zakat, bukan harta ghanimah, bukan sedekah dari orang.” Jangan nak mengharap pemberian dan dapat benda percuma sahaja.

 

سَيُؤتينَا اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَرَسولُهُ

Allah akan memberikan sebahagian dari kurnia-Nya kepada kami dan demikian (pula) Rasul-Nya,

Kalaulah mereka boleh buat macam itu, nescaya Allah akan tambahkan kurniaanNya dan Rasulullah akan beri zakat kepada mereka.

 

إِنّا إِلَى اللَّهِ راغِبونَ

sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berharap kepada Allah,”

Dalam hati mereka kena yakin yang sesungguhnya mereka semua akan kembali kepada Allah. Kita ini hanya duduk di dunia sekejap sahaja. Kita mengharap kepada Allah sahaja sebenarnya. Kita bukan nak harta itu tapi kita sebenarnya hendak bertemu dengan Allah di syurga.

Ini jugalah sepatutnya sikap kita tentang harta. Jangan berharap sangat kepada harta. Jangan sayang sangat kepada harta, tapi tumpukan harapan kita kepada Allah.

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: kalau mereka rasa dan kata begitu, tentu itu lebih baik bagi mereka.

Akan tetapi, yang berlaku tidak begitu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Februari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s