Tafsir Surah Anfal Ayat 66 – 69 (Teguran kepada Nabi tentang tawanan)

Ayat 66:

الآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا ۚ فَإِن يَكُن مِنكُم مِائَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِائَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّابِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Now, Allāh has lightened [the hardship] for you, and He knows that among you is weakness. So if there are from you one hundred [who are] steadfast, they will overcome two hundred. And if there are among you a thousand, they will overcome two thousand by permission of Allāh. And Allāh is with the steadfast.

(MALAY)

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada diantaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika diantaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

 

الآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم

Sekarang Allah telah meringankan kepadamu

Dalam ayat sebelum ini, nisbah yang digunakan oleh Allah adalah 1:10. Kalau seorang Muslim menghadapi sepuluh orang dari kalangan tentera kafir, dia tidak boleh melarikan diri. Dalam ayat ini, Allah ringankan untuk umat Islam.

 

وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا

dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan.

Kenapa Allah ringankan nisbah itu? Allah ringankan kerana Allah tahu ada kelemahan pada diri umat Islam. Kerana umat Islam sudah semakin ramai apabila ramai yang sudah mula masuk Islam. Mereka sudah masuk Islam akan tetapi iman mereka belum diuji lagi seperti iman umat Islam yang awal.

Memang mereka sudah ramai dari segi kuantiti, tapi belum tentu ianya sama dari segi kualiti. Kerana kemenangan bukanlah kerana kekuatan tentera tapi Allah bantu apabila mereka ada kekuatan dari segi keimanan.

 

فَإِن يَكُن مِنكُم مِائَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِائَتَينِ

Maka jika ada diantaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir;

Ini adalah undang-undang yang baru: kalau ada 100 orang sabar dari kalangan tentera Muslim, mereka boleh kalahkan 200 orang kafir. Maknanya satu Muslim lawan dua orang kafir.

Dari segi hukum, kalau bilangan tentera itu kalau dikira setiap orang kena lawan dua, tidak boleh lari dari medan peperangan, kena teruskan berperang, tidak boleh mengundur. Oleh itu, kalau lebih dari itu, dibenarkan untuk berundur. Kerana Allah tidak janjikan kemenangan kalau lebih dari nisbah 1:2 itu. Oleh itu, pemimpin perang kena memikirkan strategi peperangan. Kalau sekali ganda sahaja, masih boleh menang lagi.

 

وَإِن يَكُن مِنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ

dan jika diantaramu ada seribu orang, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang,

Masih mengekalkan nisbah 1:2. Sekiranya ada seribu orang yang sabar, masih boleh kalahkan 2,000 kafir dengan izin Allah.

 

بِإِذنِ اللَّهِ

dengan izin Allah.

Tapi kena ingat, kemenangan itu kenalah dengan izin Allah juga. Allah yang tentukan siapakah yang menang dan siapakah yang kalah. Kalau tentera Islam itu menjaga segala syarat peperangan yang telah ditetapkan, Allah pasti akan beri kemenangan.

rMaknanya, syarat kena ikut. Tidaklah pasti kemenangan kalau tidak menepati syarat.

 

 

وَاللَّهُ مَعَ الصّابِرينَ

Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.

Salah satu syarat yang Allah sebut dalam ayat ini, hendak sentiasa bersabar dalam jaga hukum. Maksudnya, bertaqwa dengan menjaga segala hukum yang Allah telah berikan. Allah pasti akan beri bantuan kerana Allah telah berjanji dalam ayat ini.

 


Ayat 67: Ini adalah peringatan dari Allah, iaitu undang-undang perang ke 5.

ما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكونَ لَهُ أَسرىٰ حَتّىٰ يُثخِنَ فِي الأَرضِ ۚ تُريدونَ عَرَضَ الدُّنيا وَاللَّهُ يُريدُ الآخِرَةَ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not for a prophet to have captives [of war] until he inflicts a massacre [upon Allāh’s enemies] in the land. You [i.e., some Muslims] desire the commodities of this world,¹ but Allāh desires [for you] the Hereafter. And Allāh is Exalted in Might and Wise.

  • i.e., material benefit, such as the ransom paid for prisoners.

(MALAY)

Tidak patut, bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

ما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكونَ لَهُ أَسرىٰ

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan

Allah menegaskan, tidak patut bagi bagi mana-mana Nabi untuk memperolehi tawanan perang dengan cara mudah. Ini adalah arahan yang amat payah sekali kepada para sahabat. Kerana sebahagian musuh dan lawan mereka dalam perang itu adalah ahli keluarga mereka. Mungkin ada rasa berat untuk membunuh ahli keluarga sendiri. Jadi mereka lebih selesa kalau mereka tangkap musuh sebagai tawanan sahaja.

Tapi walaupun begitu, para sahabat lebih sayangkan agama. Mereka sanggup membunuh saudara mara mereka kalau mereka itu orang kafir dan menentang Islam. Sebab itulah dari riwayat kita dapat tahu yang para sahabat akan mengikat tapi yang mengikat ahli saudaranya lebih ketat lagi dari orang lain. Kerana mereka tidak mahu ada rasa kasih sayang kekeluargaan dalam diri mereka. Kerana mereka lebih memandang tinggi agama Islam.

Asbabun Nuzul ayat ini: dalam perang Badr, selepas peperangan itu tamat, 70 orang dari pihak kafir telah mati dan 70 orang lagi kena tawan. Berkenaan dengan tawanan perang itu, Nabi Muhammad telah bertanya pandangan sahabat apa yang hendak dilakukan dengan para tawanan itu. Saidina Umar beri cadangan untuk bunuh sahaja, supaya orang kafir faham yang mereka berbalah itu kerana akidah. Walaupun mereka itu saudara mara mereka, tidak ada pertalian dari dunia sampai akhirat. Kata Saidina Umar, itulah masa untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada agama, bukan kepada saudara mara.

Tapi Saidina Abu Bakr pula berpendapat lain pula. Beliau kata, janganlah bunuh mereka, kerana entah mereka nanti akan masuk Islam. Kalau dibunuh terus, nanti mereka tidak ada peluang untuk masuk Islam. Beliau beri cadangan supaya diletakkan syarat untuk mereka dilepaskan: sama ada dengan bayaran atau ajar umat Islam membaca dan menulis.

Selain dari dua cadangan ini, masih ada lagi cadangan lain. Nabi telah terima cadangan Abu Bakr kerana pada pendapat baginda, itu adalah cara yang terbaik. Dan tidak ada wahyu tentang perkara itu pun pada waktu itu jadi tidak salah baginda buat keputusan begitu.

Akan tetapi, Allah sebenarnya mahu mereka yang ditawan itu disembelih juga seperti cadangan Umar. Tetapi telah berlalu takdir dengan mesyuarat itu, cadangan Abu Bakr yang diambil pakai. Ianya adalah hasil dari mesyuarat itu, dimana diluluskan pandangan Abu Bakr. Tidaklah Nabi Muhammad salah, kerana tidak ada dalil lagi; kalau sudah ada dalil, tidak boleh buat keputusan begitu.

Imam Ahmad mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Hasyim, dari Humaid. dari Anas r.a. yang menceritakan bahwa Nabi Saw. meminta pandangan kepada sahabat-sahabatnya tentang para tawanan Perang Badar yang berhasil ditangkap oleh kaum Muslim. Untuk itu beliau Saw. bersabda, “Sesungguhnya Allah menguasakan sebahagian dari mereka kepada kalian.” Maka Umar ibnul Khattab berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, pancunglah leher mereka.” Nabi Saw. berpaling darinya, kemudian kembali bersabda, “Hai manusia, sesung­guhnya Allah telah menguasakan sebahagian dari mereka kepada kalian, dan sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kalian sendiri di masa kelmarin.” Maka Umar berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, pancung­lah leher mereka.” Nabi Saw. berpaling darinya. Kemudian Nabi Saw. kembali bersabda kepada orang-orang seperti sabdanya yang pertama. Maka berdirilah Abu Bakar As-Siddiq r.a., lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kami berpendapat sebaiknya engkau memberi maaf mereka dan menerima tebusan dari mereka.” Maka lenyaplah rasa gusar yang tadinya mencekam wajah Rasulullah Saw., dan beliau Saw. memberi maaf mereka serta menerima tebusan mereka. Saat itu juga turunlah Firman Allah SWT yang mengatakan: Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kalian ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kalian ambil. (Al-Anfal: 68)

Dari segi keduniaan, tidaklah salah Nabi Muhammad memilih pendapat Abu Bakr itu. Kalau kita fikirkan dari sudut logik akal, memang Nabi Muhammad telah mengambil keputusan yang terbaik pun. Baginda adalah seorang yang sememangnya seorang yang bijaksana dan hanya Allah sahaja yang tahu lebih dari baginda.

Tetapi, mungkin timbul persoalan, kenapa Allah tidak beritahu siap-siap apakah keputusan yang benar supaya tidaklah Nabi buat keputusan yang silap dan kemudian ditegur baginda setelah membuat keputusan itu? Ada kebaikan dalam perkara ini: mengajar kita yang Nabi Muhammad pun boleh tersalah buat keputusan dan Allah boleh tegur baginda. Tapi hanya Allah sahaja yang boleh buat begitu, tidaklah para sahabat atau mana-mana manusia pun. Itu adalah adab dengan Nabi.

Keduanya, kita dapat ambil pengajaran dari ayat ini yang Nabi Muhammad sendiri tahu yang tidak ada yang boleh melawan keputusan yang baginda keluarkan kecuali Allah. Tetapi baginda pun rasa amat bersalah dengan keputusan baginda itu dan setelah kejadian itu, baginda telah banyak melakukan istighfar memohon ampun dari Allah.


حَتّىٰ يُثخِنَ فِي الأَرضِ

sehinggalah dia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi.

Nabi Muhammad tidak dibenarkan sebenarnya untuk menyimpan tawanan perang, sehinggalah Nabi benar-benar telah menumpaskan orang kafir dalam peperangan di muka bumi. Ini adalah kerana pihak kafir itu tidak mudah untuk menyerah kalah. Kena berperang sungguh-sungguh dengan mereka sampai dapat melumpuhkan mereka. Bila orang kafir itu memang sudah lumpuh, barulah dapat ambil tawanan perang.

Oleh itu, tidak patut bagi Nabi untuk ada tebusan perang, sehinggalah puak Islam telah bersungguh-sungguh melumpuhkan musuh di muka bumi. Dan antara cara melumpuhkan musuh adalah dengan membunuh tentera kafir.

Memang bunyinya macam ganas, tapi kita jangan lupa yang ayat dan surah ini adalah tentang perang dan begitulah keadaannya dalam peperangan. Oleh itu, pendapat Saidina Umar lah yang benar dalam hal ini, bertepatan dengan kehendak Allah. Beliau ada apa yang dinamakan ‘basirah’ – pandangan mata hati.

Dan ini adalah hanya satu contoh sahaja dimana pendapat Umar sama dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Beliau adalah seorang yang mulia dan bijaksana, malangnya pihak Syiah telah mengatakan beliau kafir. Dan masyarakat Melayu kita yang jahil tentang agama, senang sahaja ditipu oleh Syiah yang memang kerja mereka menipu.


تُريدونَ عَرَضَ الدُّنيا وَاللَّهُ يُريدُ الآخِرَةَ

Kamu menghendaki harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu).

Allah menegur perbuatan hendak mengambil tawanan perang kerana inginkan imbuhan dunia dengan mendapat bayaran fidyah, dengan cara dapat wang tebusan. Lafaz تُريدونَ (mereka menginginkan) yang digunakan dalam ayat ini dalam bentuk jamak dan merujuk kepada mereka yang berpihak dengan keputusan Abu Bakr. Setelah kejadian itu, Abu Bakr juga amat malu dengan diri beliau sendiri.

Tapi beliau juga tidaklah salah. Kerana beliau juga mahukan kebaikan untuk Islam. Ada dua keinginan manusia tentang agama: umpama mahukan perhiasan dari besi atau apa yang boleh digunakan dengan menggunakan besi itu. Kedua-duanya memerlukan usaha untuk membuatnya. Syurga adalah seperti perhiasan itu. Apabila Allah kata: تُريدونَ عَرَضَ الدُّنيا, itu bermaksud kemenangan Islam di dunia, kejayaan jangka panjang untuk Islam, bukannya hendakkan harta untuk diri sendiri. Jadi tidaklah mereka itu bersalah.

Cuma kerana mereka tidak dapat melihat masa hadapan, maka mereka tidak tahu apakah keputusan yang paling tepat. Maka, mereka gunakanlah strategi menggunakan akal yang Allah berikan. Cuma strategi Allah adalah lebih baik. Allah ingin pahala akhirat untuk umat Islam. Oleh itu, jangan salahkan Abu Bakr dan mereka yang sependapat dengan beliau.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah maha perkasa dan segala hukumnya kenalah diikuti. Allah maha bijaksana dalam menetapkan hukumNya. Kita mungkin nampak kebaikan dalam satu perkara tapi sebenarnya ia tidak baik untuk masa hadapan. Kerana Allah sahaja yang ada ilmu tentang segala perkara.

 


Ayat 68: 

ولا كِتابٌ مِنَ اللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُم فيما أَخَذتُم عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If not for a decree from Allāh that preceded,¹ you would have been touched for what you took by a great punishment.

  • Three interpretations of the “decree” are given: that by which the companions of Badr were forgiven, that by which indeliberate errors in judgement by believers are not punished, and that which made lawful the spoils of war.

(MALAY)

Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.

 

ولا كِتابٌ مِنَ اللَّهِ سَبَقَ

Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah,

Apakah yang dimaksudkan dengan ketetapan yang telah lalu? Ini berkenaan dengan ayat Muhammad:4

فَإِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا فَضَربَ الرِّقابِ حَتّىٰ إِذا أَثخَنتُموهُم فَشُدُّوا الوَثاقَ فَإِمّا مَنًّا بَعدُ وَإِمّا فِداءً حَتّىٰ تَضَعَ الحَربُ أَوزارَها

Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berakhir.

Lihatlah bagaimana dalam Surah Muhammad ini Allah telah memberi pilihan kepada umat Islam sama ada untuk membebaskan tawanan perang atau boleh mengambil tebusan dari mereka. Ayat ini turunnya sebelum ayat dari surah Anfal itu diturunkan. Oleh kerana sudah ada pilihan yang pernah diberikan, maka Nabi Muhammad telah menggunakan dalil ini untuk buat keputusan baginda. Jadi, memang baginda tidak salah.

Baginda mengambil keputusan yang lebih lembut. Antaranya kerana baginda tahu yang dalam tentera Musyrikin Mekah itu, ada golongan mereka yang tidak pun mahu memerangi umat Islam, tetapi mereka datang ke Badr kerana terpaksa. Antaranya menantu baginda sendiri, bapa saudara baginda sendiri dan ramai dari kalangan saudara mara para sahabat.

Jadi, keadaan memang kompleks, banyak kena difikirkan. Oleh kerana ada pilihan yang lebih lembut, maka baginda telah mengambil keputusan itu.

 

لَمَسَّكُم فيما أَخَذتُم عَذابٌ عَظيمٌ

nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.

Kalau tidaklah ada pilihan dalam ayat lain yang turun sebelum itu, nescaya umat Islam akan ditimpa dengan azab yang besar kerana mereka telah mengambil duit tebusan itu. Tetapi Allah telah takdirkan, keputusan yang dibuat dengan mesyuarat telah diambil, dan memang tidak ada nas untuk buat keputusan waktu itu, maka tidaklah Nabi Muhammad dan umat Islam dihukum.

Inilah kata-kata keras dari Allah. Bayangkan, pada masa umat Islam telah mencapai kejayaan yang pertama dalam medan perang, apa yang mereka dapat adalah teguran keras dari Allah. Sepatutnya waktu itulah masa untuk bergembira, tapi tidak rupanya. Kerana Allah hendak mengajar hambaNya.

 


Ayat 69:

فَكُلوا مِمّا غَنِمتُم حَلالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So consume what you have taken of war booty [as being] lawful and good, and fear Allāh. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Maka makanlah dari sebahagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu, sebagai makanan yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

فَكُلوا مِمّا غَنِمتُم حَلالًا طَيِّبًا

Maka makanlah dari sebahagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu, sebagai makanan yang halal lagi baik, 

Ini adalah hukum dari Allah: harta rampasan itu boleh diambil untuk digunakan dan dimakan. Ianya adalah sesuatu yang baik yang memang boleh diambil dan digunakan. Malah ianya amat bersih kerana untuk mendapatkannya bukan senang, sampai kena menyabung nyawa.

Jadi, walaupun mereka telah ditegur dalam ayat sebelum ini, tapi Allah telah maafkan, tidaklah perlu pulangkan harta rampasan itu, boleh diambil dan digunakan. Yang sudah lepas, biarkanlah.

Imam Abu Daud di dalam kitab Sunnah-nya meriwayatkan bahawa: telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Mubarak Al-Absi, telah menceritakan kepada kami Sufyan ibnu Habib, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Abul Anbas, dari Abusy Sya’sa, dari Ibnu Abbas, bahwa Rasulullah Saw. menetapkan tebusan sebanyak empat ratus dinar bagi tawanan Perang Badar.

Menurut jumhur ulama hukum ini masih tetap berlaku terhadap para tawanan, dan imam boleh memilih sehubungan dengan para tawanan itu. Jika dia menghendaki untuk menjatuhkan hukuman mati seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Saw terhadap para tawanan perang Bani Quraizah, maka dia boleh melakukannya.

Jika dia memilih tebusan, maka dia boleh menerimanya seperti yang dilakukan terhadap tawanan Perang Badar. Dia boleh pula melakukan barter untuk membebaskan kaum Muslim yang tertawan oleh musuh, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah Saw. terhadap seorang wanita dan anak perempuannya, yang kedua-duanya hasil tangkapan Salamah ibnul Akwa”. Nabi Saw. mengembalikan keduanya ke tangan musuh dan sebagai barterannya Nabi Saw. mengambil sejumlah kaum Muslim yang tertawan di tangan kaum musyrik.

Jika imam ingin menjadikan tawanannya itu sebagai budak belian, dia juga boleh melakukan­nya. Demikianlah menurut mazhab Imam Syafie dan sejumlah ulama. Sehubungan dengan masalah ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan para imam ahli fiqih, yang keterangannya disebutkan di dalam kitab-kitab fiqih pada bab yang membahasnya.

Juga ayat ini bermaksud yang umat Islam boleh mengambil harta rampasan perang. Ini tidak sama dengan peperangan umat-umat Islam sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Pendapat ini diperkuatkan dengan adanya sebuah hadis yang diketengahkan di dalam kitab Sahihain oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim melalui Jabir ibnu Abdullah yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“أُعْطِيتُ خَمْسًا، لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ وَلَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ عَامَّةً”

Aku dianugerahi lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku. Aku diberi pertolongan melalui rasa gentar yang mencekam hati musuh sejauh perjalanan satu bulan, bumi ini dijadikan bagiku sebagai tempat sujud (salat) lagi menyucikan: dan dihalalkan bagiku ghanimah. sedangkan sebelumnya tidak dihalalkan bagi seorang (nabi) pun. Aku dianugerahi syafaat: dan dahulu seorang nabi diutus hanya kepada kaumnya, sedangkan aku diutus untuk seluruh umat manusia.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

dan bertakwalah kepada Allah;

Tapi kenalah berjaga-jaga lain kali supaya jangan keputusan dibuat bercanggah dengan nas. Taqwa maksudnya jaga hukum; jangan dalil sudah ada tapi buat keputusan yang berlawanan dengan nas pula.

Jangan jadi macam puak yang sesat dan puak bidaah yang tidak endahkan dalil, tapi buat keputusan ikut sedap hati dan akal mereka sahaja. Agama ini tertegak atas dalil.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah menekankan sifat PemaafNya. Kesalahan mereka sebelum ini tentang keputusan bertindak kepada tawanan itu telah dimaafkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Februari 2019

 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s